BAB 1
‘Hanya
kesedihan yang terpancar dari senyuman dan pandangan matamu. Akukah puncanya
atau situasi yang membelenggu dan mengelilingimu saat ini. Jikalau aku puncanya
katakanlah agar bisaku ubah caraku tetapi jikalau situasi sekeliling…akanku
cuba melindungi dan menjadi benteng menghadapinya…’
Bab Satu
Hari minggu.Hari yang di nanti-nantikan
oleh Iskandar. Seperti lazimnya setiap hujung minggu dia akan memperuntukkan
hari yang istimewa ini untuk bersantai. Iyalah…setelah sibuk dan berpenat-penat
dengan urusan pejabat dari pukul 9.00 pagi hinggga 5.00 petang, inilah harinya
dia berhibur sedikit. Hari ini dia akan menjemput seorang ‘teman’ yang baru 2
minggu di kenalinya.
Berkenalan pula dari laman
sesawang masa kini….facebook. Huh, zaman serba canggih sekarang begitu
memudahkan insan-insan yang sibuk sepertinya mencari teman baru. Mudah saja, cuma
perlu klik….semua jenis perempuan dapat di temui…of couselah kalau ingin menjadi ‘teman’ Iskandar, pakej-pakej
tertentu akan di beri perhatian. Paling penting perempuan itu mestilah cantik, bergaya,
boleh di bawa ke tengah ke tepi dan seangkatan dengan seksi!!
Hidupnya terasa bahagia sekali.
Selesai bersarapan Iskandar terus mencapai kunci Mitsubishi Evolution VIInya. Kereta
itu adalah di antara tiga kereta kesayangannya. Kakinya melangkah melewati
ruang tamu yang bercat biru laut. Warna yang mendamaikan dan seingatnya warna
itu tidak pernah bertukar semenjak neneknya masih ada lagi.
Jikalau ruang tamu itu di cat
baru sekali pun warna yang sama masih di kekalkan. Mungkin warna itu warna
nostalgia bagi atuknya. Iskandar tersenyum kecil. Dia tahu betapa atuknya
begitu menyayangi arwah neneknya sehinggakan semua yang berkaitan arwah neneknya
masih kekal sehingga kini walaupun sudah hampir 8 tahun nenek kesayangannya
kembali kepada yang Satu. Kembali kepada yang lebih berhak.
“Is!!” tiba-tiba saja terdengar
suara Dato’Hasyim ketika Iskandar sudah menghampiri pintu kayu yang besar.
Iskandar sedikit tersentak, terkejut
kerana pada kebiasaannya pagi-pagi begitu atuknya itu akan berada di bilik
bacaannya. Dia segera berpaling. Dato’Hasyim kelihatan sedang membaca surat
khabar. Gayanya itu seperti tidak memperdulikan kehadiran Iskandar yang semakin
menghampiri. Iskandar segera melabuhkan punggungnya di salah satu sofa yang
terdapat di situ. Suasana sepi di antara mereka. Keadaan Dato’Hasyim yang
membisu seribu bahasa itu meresahkan Iskandar. Hampir 5 minit keadaan itu
berlaku, barulah Dato’Hasyim menutup akhbar dihadapannya.
“Atuk panggil Is?” Iskandar
bertanya.
“Atuk ada sesuatu yang ingin di perkatakan
dan perkara ini terlalu penting. Harap Is akan dengar baik-baik dan fikir
sedalam-dalamnya perkara ini,’’ ujar Dato’Hasyim sambil anak matanya
memerhatikan cucu tunggal kesayangannya itu.
“Perkara apa atuk? InsyaAllah kalau
Is boleh cuba Is akan cuba sebaik mungkin.” Lembut suara Iskandar menuturkannya
namun hatinya sedikit cemas. ‘Harap-harap janganlah perkara itu,’ getus hati
kecilnya.
“Atuk pasti Is dapat menangani
perkara ini dengan sebaiknya. Ianya tentang Auni. Atuk tak mahu ada perkara
buruk berlaku, maksud atuk….iyalah….kau tu lelaki dia perempuan. Tak manis
dipandang oleh jiran-jiran. Atuk cakap macam ni bukan kerana atuk tak
sukakannya tapi Is harus tahu batas-batasnya bila duduk sebumbung walaupun
masih ada atuk, mak Zah dan abang Mie…Is fikirkanlah…’’ Panjang lebar
Dato’Hasyim menerangkan perkara yang sudah lama bersarang di fikirannya.
“Is faham. Atuk janganlah risau.
Is akan cuba selesaikan perkara ini, insyaAllah. Emm…I must go now, assalamualaikum…” Iskandar tersenyum sebelum
berlalu.
“Waalaikummussalam…” Dato’Hisyam
membalas salam dan turut tersenyum. Dia tahu cucunya itu pasti ada cara
penyelesaian berkenaan masalah yang berbangkit tadi.
##########
Di blok B seorang pelajar
perempuan kelihatan tertinjau-tinjau seperti mencari sesuatu. Iskandar ketika
itu baru balik dari bilik guru segera menghampiri. Peluang keemasan sebegini
jarang dilepaskan olehnya. Yalah, burung seperti leka memakan padi ataupun
istilah lain yang dia sendiri lebelkan ialah tikus ada di hadapan mata sedang
leka memakan keju. Kalau tidak masakan di sekolah itu dia di gelar ‘Romeo’.
Bukan romeo sebarang romeo tetapi romeo yang lengkap segala pekej.
“Kau cari siapa?” Iskandar
menyoal pelajar perempuan yang sedang membelakanginya. ‘Mak oi,wanginya!’
“Ya, awak cakap dengan saya ke?”
pelajar itu berpaling memperlihatkan wajah.
Entah istilah apa yang mampu di nyatakan,
entah perkataan apa yang mampu dituturkan, Iskandar bagaikan terpaku dengan
keayuan dan kecomelan wajah yang terpapar di hadapan mata. Liurnya ditelan.
Wajah itu begitu memukau dan mengasyikkan. Iskandar tersenyum, hati nakalnya
berbisik…ini ada ‘mangsa’ baru yang begitu polos kelihatannya.
“Habis tu kau ingat aku bercakap
dengan siapa? Atau dengan apa! Mana ada orang lain kat sini? Atau pun kau ada six sence? Ada ternampak sesiapa lagi
kat sini? Atau pun kau nampak aku bercakap dengan dinding ni ke?” Iskandar tahu
tutur katanya begitu kasar dan biadap terhadap gadis itu tapi itulah
identitinya,‘romeo’ yang bukan gentleman.
Riak wajah terkejut jelas
terpapar di wajah pelajar itu dan mungkin geram dengan sikap biadap Iskandar,
si gadis berpaling dan melangkah meninggalkan Iskandar, si romeo yang bukan gentleman. Di hujung koridor kelihatan
seorang pengawas yang semakin menghampiri tempat itu. Iskandar turut melangkah
mengekori si gadis.
“Hei, kau tak jawab pertanyaan
aku tadi!” Iskandar menarik hujung tudung sekolah apabila dia betul-betul berada di belakang
pelajar berkenaan.
Terkejut dengan tindakan
Iskandar, pelajar perempuan itu terjerit kecil. Perasaan marahnya begitu ketara
apabila wajahnya bertukar warna menjadi kemerah-merahan. Dia cuba menarik
kembali hujung tudungnya namun Iskandar seakan tidak mahu lepaskannya dan
adengan tarik-menarik terjadi.
“Awak ni kenapa?” soal pelajar
perempuan itu. Wajah merahnya begitu jelas kelihatan, marah, geram dan rasa sakit
hati yang bercampur baur.
“Aku cuma nak tahu nama kau je
dan form berapa?” Iskandar masih
memegang hujung tudung pelajar perempuan itu dan dia mempamerkan senyuman
‘cantik’nya. Manalah tahu, pelajar cute itu cair dengan senyumannya.
“Apa yang kau buat Adam
Iskandar?” tiba-tiba satu suara kedengaran,mengganggu pandangan tajam Iskandar
terhadap pelajar cute di hadapannya.
Iskandar berpaling seketika ke arah
pengawas tersebut sebelum tersenyum sinis dan melepaskan pegangan kemasnya dari
hujung tudung. Tanpa berkata apa-apa dia terus berlalu meninggalkan tempat itu.
Meninggalkan sang bunga bersama pengawas ‘hidung tinggi’. Auni, itulah nama
pelajar baru itu, pelajar yang baru bertukar ke daerah tersebut dan berada di
dalam tingkatan 3 Amanah ataupun lebih dikenali sebagai 3RK1.
Orangnya kecil sahaja, bertudung
dan sungguh ayu dengan lesung pipit di kedua belah pipinya. Iskandar sering
ternampak pengawas ‘hidung tinggi’ berada dekat dengan pelajar itu. Mungkinkah
mereka bercinta?
“Kenapa kau tak tackle dia?” Anuar Syahril pernah
bertanyakan soalan itu.
“Not my taste!” Jawapan ringkas yang sering di beritahu kepada
sahabat baiknya itu jikalau sang gadis tidak digemarinya.
Ah, perdulikan semua itu! Itu
semua tidak penting baginya. Paling penting ketika itu ialah STPM yang semakin
menghampiri. Juga aktiviti-aktiviti luarnya yang lain iaitu mewakili hoki peringkat
kebangsaan dan tidak lupa berkenalan dan berkawan sedikit mesra dengan
gadis-gadis cantik. Yalah, siapa tidak kenal dengan ‘romeo’. Berbekalkan wajah
yang kacak dan segak, tidak susah bagi Iskandar mahu bergandingan dengan
sesiapa pun lebih-lebih lagi dengan kemampuan kewangannya.
7 tahun berlalu, dia tetap
begitu. Iskandar si ‘romeo’. Siapa sangka dia bertemu kembali dengan gadis yang
pernah diusiknya ketika kali pertama gadis itu bersekolah di sekolahnya. Kali
ini di universiti teman terbarunya.
“Ini Iskandarkan?” gadis itu
menegur Iskandar.
“Kau buat apa kat sini?” wajah
gadis itu begitu dikenalinya walau hampir 7 tahun tidak bertemu. Wajah yang
sama, ketinggian yang sama, perwatakan yang sama.
“Saya belajar di sini. Ini tahun
akhir.” Auni memberitahu ikhlas sambil tersenyum.
Iskandar memandang tanpa
kata-kata ke wajah gadis itu namun kemudiannya segera berpaling ke sisi apabila
‘teman baru’nya menarik-narik lembut lengan kanannya.
“Ma…maaf kalau saya menggangu.
Emm…apa-apa pun selamat bertemu kembali.” Auni segera mahu berlalu setelah
melihat ‘situasi’ yang agak tidak menyenangkan itu.
“Auni, tunggu!”
“Sorry! Kau tak mengganggu. Aku cuma terkejut sebab jumpa kau kat
sini. Kau masih kenal aku?” Iskandar tersenyum dengan senyuman mautnya.
Hari itu, selepas 7 tahun berlalu
mereka berbual panjang. Siapa sangka zaman persekolahan dulu mereka jarang
berpeluang berbual panjang seperti itu. Yalah, semenjak kisah Iskandar menarik
tudung Auni dulu, Auni seakan melarikan diri daripada lelaki itu. Takut?
Mungkin juga. Siapa yang tidak takut bila seseorang bagaikan mahu membuli
apabila hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah baru.
“Aku nak minta maaf kat kau.”
Dikerancakkan berbual Iskandar tiba-tiba memohon kemaafan dari Auni.
“Kenapa pula? Awak tak salah
apa-apa pun kat saya.”
“Pasal aku pernah tarik tudung
kau dulu.” Iskandar mengingatkan Auni tentang kenakalannya suatu waktu dulu.
Auni tertawa kecil menampakkan
kedua lesung pipitnya. Dia sedikit geli hati dengan permohonan maaf dari lelaki
itu. Kelakar apabila peristiwa zaman budak-budak masih diambil perhatian ketika
ini.
“Kenapa kau ketawa?” Kehairanan.
Iskandar betul-betul kehairanan.
“Eh, tak ingat ke? Awakkan dah
minta maaf pasal perkara itu.”
“Tak, tak ingat! Betul ke?”
“Awak dah minta maaf masa hari
sukan tahunan. Ingat?”
Iskandar tersenyum sambil
menganggukkan kepalanya. ‘Teman baru’ yang sedari tadi mendiamkan diri mula
menarik-narik lembut tangan Iskandar. Mukanya masam mencuka dengan bibir yang
dijuihkan seperti muncung itik. Anak itik hodoh!!
“Oklah Auni. Aku nak ke tempat
lain pula. Harap jumpa lagi dan ini business
card aku. Kalau ada apa-apa hal kau boleh hubungi aku.” Kad dikeluarkan
dari wallet dan bertukar tangan.
Itu cerita 2 bulan dulu. Cerita
ketika kali pertama Iskandar bertemu kembali dengan Auni Amirah. Cerita itu
sudah berlalu dan cerita hari ini begitu berlainan sekali. Siapa sangka Auni, terpaksa
menumpang seketika di rumahnya sebelum semester baru bermula. Semester itu juga
akan menjadi semester akhir Auni. Masih terbayang keadaan Auni ketika itu.
Mujur Auni menghubunginya ketika itu. Memang setahunya Auni hanya mengenali
beberapa orang saja di daerah itu.
Ketika gadis itu baru berpindah
sekolah dulu ke daerah itu,dia berada di tingkatan 3 dan tinggal dengan abang
dan kakak iparnya. Sekarang gadis itu bagaikan sebatang kara setelah abang dan
kakak iparnya kemalangan dan meninggal dunia ketika Auni di tahun pertama.
Kemudian bagaikan malang yang bertimpa ayahnya pula meninggal kerana serangan
jantung sebelum cuti semesta bermula. Ibu tirinya pula…ah, ini kerana ibu
tirinya! Ada kisah yang berlaku hingga mennyebabkan Auni tekad keluar dari
rumah pusaka arwah ayahnya dan datang ke daerah ini.
Iskandar sedar dia bukanlah insan
pertama yang di hubungi Auni ketika itu. Ah, tak kisahlah dia insan yang ke
berapa tetapi sekarang Auni sudah berada di rumahnya. Rumah yang didudukinya
bersama atuk, mak Zah dan abang Mie. Ah, pening di buatnya! Lebih-lebih lagi
kata-kata yang di ucapkan atuknya tadi. Setiap patah perkataan jelas dan di fahami
maksudnya.
Kata-kata itulah yang membantutkan
rancangannya mahu keluar berhibur bersama teman baru. Pagi itu Iskandar
mengambil keputusan keluar menghirup udara segar di pinggir laut. Di tepi
pantai yang sememangnya terkenal di negeri itu. Pantai Teluk Cempedak atau
ringkasannya pantai TC. Hampir ke waktu senja barulah dia menapak pulang dan
langsung ke biliknya. Waktu makan malam juga Iskandar tidak turun seperti lazimnya.
###########
“Is…..cepat turun makan. Lauk dah
sejuk ni.” Entah kali yang ke berapa mak Zah mengetuk pintu bilik Iskandar.
Iskandar tersentak, agak jauh dia
termenung dan berfikir rupanya. Minda dan hatinya terasa agak jauh melayang.
Walau hakikatnya jasadnya masih di situ. Selesai sembahyang tadi, Iskandar
berteleku sendirian dan memikirkan kata-kata atuknya tadi. Berserabut.
Fikirannya begitu berserabut.
“Is!!!” ketukan di pintu semakin
kuat bunyinya. Suara mak Zah juga kedengaran cemas.
“Adoi…!!!”
Mak Zah ketawa kecil.
“La…terjongol macam tu je. Maaflah mak Zah tak sengaja.” Rupanya tanpa sengaja
mak Zah terketuk hidung Iskandar yang tiba-tiba membuka pintu biliknya.
“Itulah lain kali senyaplah lagi.
Menakutkan mak Zah je. Dahlah tu pergi makan dulu. Orang lain semua dah makan.
Kalau nak tunggu Is….laparlah jawabnya.” Mak Zah meleteri Iskandar sambil
mereka turun ke tingkat bawah.
Iskandar hanya mendiamkan
dirinya. Baginya leteran mak Zah adalah seperti lagu merdu yang di dendangkan
penyanyi popular ketika ini. Makan malam, walaupun sedap dan menyelerakan pada
selera orang lain tetapi tidak bagi Iskandar hari itu. Namun begitu bagi tidak
menghampakan mak Zah yang bersusah payah memasak Iskandar makan juga walaupun
sedikit.
“Sikitnya Is makan malam ni…tak
sedap ke mak Zah masak?” Mak Zah menegur setelah dilihatnya Iskandar sudah siap
makan walaupun masih banyak nasi dan lauk di pinggannya.
“Eh, taklah mak Zah…emm..atuk dan
Auni, mana mak Zah?”
“Dato’ ada dalam bilik bacaan, rasa-rasanyalah.
Auni…Auni, kalau tak silap mak Zah ada kat luar agaknya. Mungkin ambil angin
kut.” Mak Zah menjawab sambil tangannya sibuk mengemas sisa makanan Iskandar
tadi.
Tanpa berkata apa-apa Iskandar
segera keluar dari rumah dan menuju ke arah taman mini yang diberi nama
‘Mutiara Emas’ oleh arwah neneknya dulu. Dia amat yakin Auni ada di situ kerana
sepanjang dua minggu ini gadis itu sering kelihatan menyendiri di ‘Mutiara
Emas’.
Dalam cahaya yang menerangi taman
mini kelihatan Auni di salah satu bangku yang terdapat di situ. Iskandar
berkira-kira bagaimana mahu memberitahu perkara yang di perkatakan atuknya
siang tadi. Auni berpaling setelah menyedari seseorang memerhatikannya.
“Ada apa Is?” seperti tahu ada
sesuatu yang mahu di bicarakan Iskandar, Auni bertanya. Dia tersenyum sedikit
tanda hormat terhadap tuan rumah.
Iskandar melangkah dan duduk di bangku
yang sama. “Sebenarnya memang ada sesuatu yang aku nak beritahu kau
sebenarnya…”
Auni berpaling memandang ke wajah
Iskandar yang berada di sebelahnya. Dia tahu apa yang mahu di perkatakan
Iskandar. Hatinya sedikit resah. Resah dengan perkara yang bakal di beritahu.
Resah dengan masalah yang membelenggunya semenjak dua minggu yang lalu. Resah
dengan kehadiran Iskandar di sisi walaupun jarak mereka boleh memuatkan lagi
dua orang manusia.
Satu persatu Iskandar memberitahu
Auni tentang perkara yang di beritahu atuknya. Auni hanya diam mendengar. Dia
tahu perkara itu akan berbangkit juga akhirnya. Keadaan menjadi sunyi seketika.
Tiada satu perkataan pun yang keluar dari mulut Iskandar mahupun Auni sendiri.
Mereka berdua melayani perasaan
masing-masing. Iskandar dengan rasa bersalahnya. Auni pula dengan masalah yang
bagaikan mengekori dan mengejarnya. Ketika ini hanya kedengaran bunyi cengkerik
dan katak yang sahut menyahut,mungkin hari hendak hujan. Katak? Tiba-tiba Auni
terbangun dari duduknya.
Geli. Ya, itulah perasaannya
ketika teringatkan haiwan dua alam itu. Amfibia, tubuhnya melekit-lekit dengan
lendir. Sebenarnya Auni memang gelikan haiwan kecil itu. Harap-harap janganlah
haiwan itu ada berdekatan, itulah doa Auni dalam hati.
Iskandar sedikit terperanjat
apabila Auni tiba-tiba bangun dan berdiri kaku di situ. Jauh di sudut hatinya
dia begitu bersimpati dengan nasib yang menimpa gadis itu. Sebenarnya dia
sanggup memberi gadis itu tinggal di situ selama mungkin. Dia juga tidak pasti
kenapa atuknya menyuruhnya memberitahu Auni tentang kemungkinan masalah yang
bakal terjadi dengan kehadiran gadis itu di rumah mereka.
“Aku minta maaf kalau perkara
yang aku beritahu tadi menyebabkan kau terasa hati.” Lembut Iskandar berbicara.
Matanya terpaku ke arah Auni yang sedang berdiri.
Auni ketawa kecil. Cuba
menghilangkan rasa gugupnya tatkala berbual dengan Iskandar. Sebenarnya dia
kurang biasa berbual dengan lelaki. Lebih-lebih lagi dengan berkeadaan berduaan
begitu. “Takde apa-apalah Is. Saya faham. Is jangan rasa bersalah pulak. Saya
tak terasa hati pun. Betul juga kata atuk tu. Bimbang dengan kata-kata orang
luar, lebih-lebih lagi atuk adalah orang cukup di kenali di sini.”
“Maafkan aku sekali lagi, Auni.
Nanti kita akan cuba fikirkan bagaimana mahu selesaikan masalah ini…” beberapa
kali Iskandar meraup rambutnya tanda kegelisahan.
Auni ketawa kecil lagi. “Awak tak
perlu minta maaf Is. Sepatutnya sayalah yang perlu minta maaf kerana kehadiran
saya bagaikan meragut ketenangan yang lama ada di rumah ini. Saya betul-betul
minta maaf Is….”
Iskandar turut bangun dan berdiri
di sebelah Auni. “Itulah gunanya kawan, Auni. Walaupun susah bagaimana pun,
insyaAllah selagi terdaya. Akan cuba membantunya.” Iskandar senyum dengan
senyuman mesra.
Dalam hatinya berbisik kata-kata
sendiri. ‘Sebenarnya aku sanggup membantu dan menolong kau, sahabatku. Walau
apa pun rintangan, aku sangguh menjadi benteng dan menepis segala masalah yang
melanda. Aku sanggup menjadi pelindung asalkan kau bahagia kerana itulah erti
persahabatan sejati. Kebahagiaan kau kebahagiaanku juga, sahabatku.’