Thursday 28 May 2015

BENCI / CINTA AWAK BUDAK NAKAL? KARYA QASEH FARINA

BAB 3



Petang itu, Pak Long dan Mak Long sekeluarga tiba sebelum waktu berbuka puasa. Riang betul Nek Ngah menyambut ketibaan mereka. Yaya memerhati dari jauh saja. Dia berselindung di balik pintu dapur yang terkuak. Mencuri pandang ke tengah laman. Ini bukannya kali pertama Yaya berjumpa Pak Long dan Mak Long. Entah kenapa, dia rasa segan pula. Mungkin kerana belum berapa mesra. Dengan anak lelaki mereka yang dua orang tu, apatah lagi. Yaya tak kenal langsung. Memang patutlah dia rasa malu. Sembunyi-sembunyi Yaya menjenguk ke halaman. Mengalahkan angsa lehernya panjang menjengah. Teruja mahu tahu, macam mana agaknya rupa anak-anak Pak Long dan Mak Long tu.
“Di depan sekali tu, mesti Along. Yang di belakang confirm si Ayin. Muka masam. Tak macam budak yang di depan tu! Happy saja. Nek Ngahkan kata, yang si Ayin tak suka balik kampung. Kalau begitulah rupa dia, memang betullah dia tak suka,” teka Yaya. Tentu tekaannya tepat, kerana dari jauh ini pun boleh melihat mulut budak muka masam seperti buah kedondong tu asyik mengomel saja. Terkumat-kamit. Tak berhenti-henti merungut. Kena paksa balik kampung kot, itu yang tak puas hati sangat tu. Yaya memerhati sehingga kelibat Nek Ngah, Pak Long dan Mak Long serta anak-anaknya naik ke atas rumah.
“Yaya! Mari ke depan sekejap. Salam Pak Long dan Mak Long ni !” Tiba-tiba Yaya terdengar suara Nek Ngah memanggil dari ruang tamu. Rasa malu dan segan yang bertandang, buatkan hatinya berat untuk menayang muka di depan.
“Yaya... !” Terdengar suara Nek Ngah memanggil sekali lagi. Yaya senyap tidak menjawab. Masih berkira-kira sama ada mahu ke ruang tamu atau bersembunyi saja di dapur.
“Yaya!” Suara Nek Ngah lebih kuat dari tadi. Mahu tidak mahu, Yaya terpaksa juga ke sana. Nanti dikata orang tidak beradap pula. Perlahan-lahan Yaya melangkah. Lantai rumah dipijak dengan penuh berhati-hati hingga tidak mengeluarkan bunyi. Sopan kakinya menyusun derap. Lagak kalah gadis Melayu terakhir. Kala Yaya berdiri di hadapan Pak Long dan Mak Long, sepuluh jari segera dihulurkan untuk bersalaman.
“Mak long. Pak long.” sapa Yaya perlahan.
“Yaya sihat?” Mak Long sambut tangan gadis itu.
“Sihat mak long.” Dahinya singgah ke tangan Mak Long. Kemudian Yaya bergerak pula mendekati Pak Long. Penuh santun dia menghulurkan jabatnya.
“Macam mana tinggal dengan Mak Ina?” soal Pak Long pula.
“Alhamdulillah pak long. Mak Ina baik. Dia sayangkan Yaya. Sama macam Nek Ngah. Nek Ngah pun sayangkan Yaya. Kan, Nek ngah?” Pandangan dilontarkan kepada wanita tua yang duduk di sisi Mak Long. Senyuman diukir bagi menutupi rasa gemuruhnya. Nek Ngah hanya ketawa mendengar gurauan Yaya itu.
“Baguslah kalau macam tu,” tambah Pak Long lagi.
Ekor mata Yaya sempat juga melekat pada wajah budak yang masam seperti buah kedondong tu. Riaknya tetap sama seperti mula-mula tiba di rumah ini tadi. Cuma kali ni, mukanya sudah serupa asam kecut. Berkerut seribu. Banyak sangat merungut, tu pasallah jadi macam tu! Baru Yaya bercadang ingin beredar ke dapur, Mak Long memanggilnya.
“Yaya! Nak pergi mana?” tanya Mak Long. Hairan agaknya melihat Yaya seperti mahu melarikan diri pula.
“Yaya nak pergi buat air untuk mak long dan pak long.”
“Buat air apa bendanya, Yaya? Kan puasa?” usik Pak Long. Yaya menyeringai sebelum tertunduk malu.  Macam mana dia boleh tak ingat pula yang mereka sedang berpuasa? Kalau baru sehari berpuasa tu, ada ampunnya juga dia terlupa. Ini dah nak raya! Nampak sangat dia sedang tak keruan. Apa sebabnya tak tahulah.
Meh! Mari sini. Duduk sebelah mak long ni.” Mak Long menepuk kusyen kerusi rotan di sebelahnya. Yaya akur tidak membantah. Dia dapat rasakan, salah seorang anak Mak Long sedang memerhatikannya. Kepala berat hendak dipanggung. Wajah ditunduk hingga dagu menyentuh ke dada. Perlahan punggung dilabuhkan di sebelah Mak Long. Anak mata hanya dilekapkan ke wajah wanita itu. Tidak berani hendak berpaling melihat kepada dua orang budak lelaki di hadapannya ini.
“Yaya..., ni anak mak long yang sulung. Nama dia Kamal Ikram. Yaya panggil saja, Along.” Mak Long memperkenalkan salah seorang daripada anaknya. Yaya angkat kepala untuk melihat seketika.
“Hai...” Along menyapa sambil tersenyum lebar. Yaya hanya anggukkan kepala. Nak senyum pun terasa ketat muka. Otot di wajah sedang mengeras agaknya. Bukan dia sombong, cuma rasa segan dan malunya kepada dua remaja lelaki itu datang bertimpa-timpa.
“Yang ini anak mak long yang bongsu, Azrin Hisham. Yaya panggil Ayin saja.” Mak Long menunding jari kepada anaknya yang berwajah masam seperti tertelan sebotol cuka tu. Budak muka asam kecut tu langsung tidak mengangkat muka. Buat tak tahu saja? Eeee... kereknya budak ni...
“Along... Ayin... Ini Sinar Suria. Anak angkat Mak Su Ina.” Mak Long memperkenalkan Yaya kepada mereka berdua pula. Cuma Along saja yang melemparkan senyuman ramah. Budak yang nama Ayin tu? Dia buat muka toya saja! Buat don’t know... Seolah-olah tak ada orang di sekelilingnya. Sibuk bermain Sony PSP. Kata-kata Mak Long langsung tak diendahkan. Melihat kelakuan Ayin begitu rias wajah Yaya terus berubah. Buruk sangat ke muka dia ni? Sampai si kerek tu tak pandang walau sebelah mata.
“Yaya jangan ambik hati dengan perangai adik along ni. Dia ni memang macam ni. Kurang mesra alam sikit,” ulas Along tiba-tiba. Barangkali dapat membaca riak kurang senang yang terpamer di wajah Yaya. Ayin yang duduk di sebelah Along, menjeling sekilas. Tidak puas hati apabila Along mengatanya depan-depan. Itupun sekejap saja. Perhatiannya kemudian kembali semula kepada Sony PSP di tangan. Malas agaknya hendak bergaduh dengan Along. Ke memang dia ni spesies orang tak cukup perasaan? Tengoklah! Buak dek saja. Along mengata dia pun, bukan reti dia nak marah.
“Haah! Yaya. Jangan ambik hati dengan perangai Ayin tu. Dia tu memang tak berapa mesra dengan orang yang baru dia kenal. Nanti lama-lama, dia okeylah tu...” celah Mak Long pula. Cuba menjaga hati Yaya. Mata Mak Long sempat merenung Ayin dengan pandangan kurang puas hati. Kalaulah Ayin tu dekat, memang dah menjalar sepit ketam. Tak suka sangat balik kampung pun, janganlah tunjuk perangai! regus Mak Long dalam hati.
Yaya tidak membalas. Nak kata apa lagi, senyum sajalah. Dalam hati mula berkata-kata, kalau beginilah peel si Ayin ni, tak hingin aku nak berkawan dengan dia! Budak bandar yang sombong! Azrin Hisham a.k.a Ayin, masih lagi buat muka selamba. Gamaknya seperti kata-kata Mak Long masuk telinga kanan berlumba-lumba keluar telinga kiri. Langsung dia tidak ambil peduli. Jari tetap laju menekan punat-punat PSP. Entah apa penyakit budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek ni agaknya? Memanggg... tak mesra alam betul!
Waktu maghrib tiba. Semua orang berbuka puasa di rumah Nek Ngah. Termasuklah Mak Ina dan anak-anaknya. Yaya ambil keputusan untuk berbuka di rumah Mak Ina saja. Diambil sedikit lauk-pauk dan dibawa balik ke rumah Mak Ina. Sebabnya Yaya malas nak berhadapan dengan budak banyak cekadak, banyak bunyi, banyak songeh, sangat kekwat, banyak keok, asam kedondong, asam kecut dan teramat kerek tu. Entah kenapa, dan tak tahu apa sebabnya, tiba-tiba Yaya rasa Ayin tu seperti dah jadi musuh dia pula. Musuh dalam diam. Alasan Yaya kepada Mak Ina dan Nek Ngah mudah saja. Sakit perut! Nasiblah mereka semua percaya dan tidak banyak bertanya.
“Dah baik sakit perut tu, Yaya?”
Terlepas sudu dari tangan Yaya. Jatuh berdenting ke dalam sinki.
“Oh! Mak long. Yaya ingatkan siapa tadi. Terperanjat Yaya.” Yaya usap dada kelegaan. Sedang asyik mengumpat Ayin dalam hati, tiba-tiba disergah begitu mahu tak terpelanting sekejap semangatnya.
“Dah okey mak long,” balas Yaya sopan.
“Ya ke Yaya sakit perut ni? Mak long tengok okey saja. Tak ada apa-apa pun.” Mak Long serkap jarang. Hati kuat mengatakan sakit perut itu sekadar alasan.
Emmm... Arrr...” Takkan nak tipu lagi? Tadi dah kurang pahala puasa gara-gara menipu kerana tidak mahu menghadap muka Ayin. Sekarang ni nak tipu lagi ke? Kurang lagi ke pahala walaupun sudah berpuka puasa? Mak Long faham. Kalau dah senyap tu, betullah sakit perut tu sekadar alasan Yaya sahaja.
“Yaya kecik hati dengan Ayin ke?”
Pantas Yaya menafikannya. “Eh! Tak adalah mak long. Nak kecik hati pasal apa pula?” soal Yaya semula. Kerja mencuci perkakas-perkakas peninggalan Mak Ina membakar kuih petang tadi diteruskan. Esok dah nak raya, Mak Ina ni masih sibuk buat kuih raya. Sempat pula Yaya mengomel.
“Habis tu, kenapa Yaya buka puasa di sini?” Niat sebenar Mak Long datang rumah Mak Ina sekadar hendak menjenguk Yaya. Bimbang sakit perut Yaya melarat. Apabila melihat keadaan Yaya sihat walafiat, Mak Long rasa ada sesuatu yang tidak kena. Yaya membasuh tangannya dan melangkah menghampiri Mak Long yang mengambil tempat di kerusi meja makan.
“Mak long jangan risaukan pasal Yaya. Tak ada sebab Yaya nak kecik hati dengan Ayin tu. Yaya cuma segan dengan Along dan Ayin saja.” Yaya beralasan. Minta-minta alasan ini kedengaran logik di telinga Mak Long. Mak Long senyum lega. Sebenarnya dia bimbang Yaya terasa hati dengan layanan dingin Ayin petang tadi.
Ayin perangainya memang jauh berbeza dari Along. Ayin keras kepala. Budak yang degil, nakal dan juga lasak. Bawah sikit saja dari budak yang hyperactive. Kalau dia kata tak nak, maka tak naklah jawapannya. Janganlah hendak dipaksa-paksa. Perangai Ayin bukan macam Along. Along baiknya yang amat! Mengalahkan malaikat. Kalau mama dan papanya kata A, jadi A lah dia. Kalau B, jadi B juga. Kadang-kadang, Mak Long bandingkan juga Ayin dengan Along. Kenapa Ayin tak boleh jadi anak yang baik macam Along? Walaupun umur Ayin dan Along jaraknya cuma muda dua tahun, tetapi perangai mereka memang jauh berbeza. Ibarat langit dan bumi. Bagai Utara dan Selatan. Ataupun boleh juga dikatakan sejauh syurga dan neraka. Syurganya Alonglah... Takkan Ayin pula kan?
“Mak long pun tak tahu kenapa sikap Ayin macam tu, Yaya. Mungkin sebab dia anak yang bongsu. Terlampau manja sangat, sampai naik lemak. Tambahan Along dan Ayin tu cuma dua beradik saja. Itu yang skil human relation ship Ayin agak kurang. Di sekolah pun Ayin macam tu juga, Yaya. Entah beberapa kali dah Pak Long kena menghadap cikgu disiplin sekolah dia tu. Perangai memang tak berapa semenggah. Pernah Ayin kena gantung sekolah sampai dua minggu kerana bergaduh. Berbirat juga punggung dan keting kena belasah dek Pak Long tapi perangai tetap tak berubah. Macam tu juga!” bebel Mak Long panjang menceritakan perihal perangai Ayin. Yaya senyum nipis.
“Mak long harap Yaya bersabar ya dengan perangai Ayin tu. Dia tu memang tak suka balik kampung. Bila dipaksa balik kampung, jadi macam tulah perangainya,” ujar Mak Long mengakhiri kata-katanya.
“Yaya okeylah, mak long,” balas Yaya berusaha menyedapkan hati Mak Long.
“Kalau okey, jom kita pergi rumah Nek Ngah. Malam ni mak long nak masak ketupat dan rendang. Pak Long pula nak tolong Nek Ngah kacau dodol. Yaya tolong, ya?” Mak Long bangkit meninggalkan kerusi.
“Tentulah Yaya nak tolong, mak long!”
“Yaya tak penat ke? Sudahlah siang tadi tolong Nek Ngah kemas rumah, pasang langsir semua. Rumah Mak Ina ni pun, Yaya kemaskan juga ke?” Mata Mak Long meliar dari dapur hingga ke ruang depan. Memang sudah cantik tersusun rapi. Berhias indah dengan langsir baharu dan gubahan bunga di setiap sudut.
Yaya angguk perlahan. “Tak apa mak long. Tak penat mana pun.”
“Kalau macam tu jom! Cepat mula, cepat siap masak.” Lantas Mak Long menarik tangan Yaya menuju ke pintu dapur.








No comments:

Post a Comment