Sunday 13 March 2016

BIAR HATI BERBISIK RINDU KARYA ZURI YANIE

BAB 4


SEBENTAR lagi matahari akan menyembunyikan wajah di ufuk barat dan rembulan penuh bakal mengambil alih menyinari langit hitam pekat. Awan hitam yang membawa hujan lebat petang itu baru saja berhenti berarak. Namun hujan tetap masih turun renyai-renyai. Seolah-olah belum puas menyirami bumi.
Haruman rumput tumbuh menghijau di sekitar kampus yang baru disiram hujan petang tadi langsung tidak menggangu Nina yang mengatur langkah pulang ke asrama. Keadaan jalan bertar hitam berlopak air di sana sini tidak menggugat aturan derap langkah Nina.
Nina mengambil laluan pejalan kaki untuk sampai ke asrama. Lebih selamat dari kesibukan kenderaan yang berpusu-pusu keluar dari kampus yang kemungkinan besar akan menyimbah lopak air yang membanjiri jalan ke arah pejalan kaki. Jarak antara asrama dan kampusnya cuma beberapa meter saja. Dia sendiri yang membuat pilihan untuk berjalan kaki daripada berebut-rebut dengan pelajar lain di situ untuk menaiki bas.
Sebuah novel dan sebuah lagi buku catatan hariannya digenggam erat sambil menghayun langkah pantas. Sekali-sekala Nina akan berlaga bahu dengan pengguna jalan kaki yang datang dari arah bertentangan. Tidak pula Nina ringan mulut meminta maaf seperti selalu.
Sudah seminggu fikiran Nina sarat dengan wajah Amil. Perasaan benci terhadap lelaki itu sungguh tak tergambar. Selepas kali pertama Nina keluar berdua dengan lelaki itu, dia sudah nekad untuk memutuskan saja tali pertunangannya dengan Amil.
Masih terbayang-bayang lagi perbuatan Amil padanya sewaktu lelaki itu menghantar dia pulang ke asrama malam itu selepas mereka berkunjung ke restoran steak.
“Terima kasih Nina sebab sudi temankan Amil makan malam.” Amil memulakan bicara tatkala kereta dipakir di hadapan pintu pagar utama asrama. Lelaki itu memalingkan wajahnya ke arah Nina, menatap wajah mulus Nina yang disimbahi cahaya lampu neon jalan. Masih kelihatan lembut dan tenang.
“Sama-sama.” Nina menjawab ringkas. Jam pada dashboard kereta direnung sekilas. Waktu itu sudah menginjak ke angka 11. Setengah jam saja lagi para pelajar dibenarkan berada di luar kawasan asrama. Jika terlambat masuk ke asrama nanti, nama akan diambil oleh pengawal keselamatan asrama dan akan dibawa ke jabatan disiplin pelajar asrama.
“Mungkin lain kali kita boleh keluar lagi. Mungkin hujung minggu nanti.” Amil menyambung. Dia masih berharap dapat keluar lagi dengan Nina. Dia masih tidak puas menatap wajah itu dan mendengar Nina berbicara memandangkan gadis itu lebih suka berdiam diri dan hanya menjadi pendengar saja.
“Nina tak pasti Nina ada masa nak keluar lagi ke tak. Amil pun faham sajalah, Nina ambil IB. Tak boleh nak main-main sangat.” Nina menekan perkataan main-main supaya Amil mengerti.
Dia sebenarnya mencari alasan untuk tidak lagi bertemu dengan Amil. Selepas menemani Amil mengisi perut di restoran steak tadi, dia lebih suka mendengar. Lelaki itu banyak bercerita tentang keluarganya. Dia terlalu berbangga dengan kekayaan yang dimiliki oleh keluarganya sehingga membuatkan Nina hilang minat untuk mendengar. Sudahnya, gadis itu diam saja dan mengangguk bila perlu.
Lagipun tak lama lagi mereka akan menikah. Tak salah rasanya mereka simpan saja keinginan untuk mengenal hati budi. Apa salahnya mereka bercinta selepas berkahwin? Kan lebih manis begitu?
“Nina tak suka keluar dengan Amil?” soal Amil kecewa. Bukan dia tidak mencuba untuk mendekati gadis itu, cuma Nina saja yang bersikap dingin. Memang dia akui dia terlalu memilih gadis yang lebih suka bersikap terbuka, bergaya dan semestinya seksi. Tetapi mereka semua hanya teman untuk bersuka ria. Bukannya untuk dijadikan isteri.
Bila melihat Nina petang tadi, dia akui dia mula jatuh cinta buat pertama kali. Kerana itulah, dia mahu mereka luangkan lebih masa bersama-sama.
“Kita tak pernah kenal dengan lebih dekat, Nina. Apatah lagi nak luangkan masa bersama-sama sebelum ni. Setiap kali keluarga Amil melawat keluarga Nina, Amil tak pernah ada peluang nak bercakap dengan Nina. Mungkin waktu nilah kita boleh ambil peluang untuk kenal diri masing-masing,” luah Amil, mohon Nina memahami hatinya.
“Bukan macam tu maksud Nina. Tak lama lagi kita akan kahwin. Apa salahnya kalau kita bercinta lepas nikah? Waktu tu kita boleh kenal hati budi. Kita boleh keluar sama-sama, habiskan masa berdua. Amil pun akan temankan Nina sambung belajar di U.K. Masih panjang lagi masa untuk kita bersama.”
Nina meluahkan pendapat, meminta Amil mengerti. Selebihnya dia mula resah kerana masih berada di dalam perut kereta lagi. Takut nanti namanya tersenarai dalam pelajar yang lambat masuk ke asrama. Tak pernah dibuatnya sebelum ini.
Amil mengeluh berat mendengar alasan Nina. Pelbagai alasan yang diterimanya oleh Nina namun kali ini hujah gadis itu panjang lebar. Sudahnya dia mula menyandarkan tubuh ke bahu tempat pemandu, melepaskan keluhannya di situ. Nina sememangnya seorang gadis yang dingin. Tak punya hati untuk bercinta.
“Nina dah lambat. Tinggal 15 minit lagi nak masuk ke asrama.” Nina sudah menggenggam beg tangan.
 Tanpa Nina duga, tidak semena-mena Amil menarik tubuhnya ke dalam pelukkan. Bukan itu saja, lelaki itu tanpa segan silu mendaratkan bibirnya ke pipi Nina.
Terkejut dengan perilaku Amil, tak semena-mena telapak tangan Nina mendarat di pipi lelaki itu. Marahnya meluap-luap dengan tindakan Amil tadi. Turun naik dadanya menahan getar.
“Tergamak Amil buat Nina macam ni?” Menggigil tangannya selepas menampar pipi Amil. Dia tidak menduga Amil berani bertindak sejauh itu. Mereka baru saja pertama kali keluar bersama. Perbuatan Amil sudah melampaui batas!
“Oh relakslah, Nina! Kita dah bertunang pun. Tak salah kalau Amil cium Nina sekalipun.” Amil mula hilang arah. Tak pernah mana-mana gadis sebelum ini menolak perilakunya pada mereka. Bahkan mereka semuanya suka, seronok!
“Tak salah? Amil jangan nak samakan Nina dengan mana-mana perempuan yang Amil bawa ke katil. Nina ada maruah, ada harga diri. Kalau macam nilah perbuatan Amil, baik kita putuskan saja pertunangan kita. Nina tak sudi bersuamikan lelaki macam Amil ni.” Nina meluahkan kata geram. Geram dan marah bercampur baur menimbulkna rasa benci dengan mendadak.
Cincin pertunangan di jari manis ditanggalkan dan dibaling ke wajah Amil. Lelaki seperti Amil patut diajar. Bukan semua perempuan sama saja. Dia ada maruahnya yang perlu dipertahankan. Ikatan pertunangan bukannya boleh dijadikan medium untuk mereka bebas melakukan apa saja!
“Nina!”
Jeritan Amil langsung tidak diendahkan oleh Nina. Gadis itu cepat-cepat menghilang di balik dinding bangunan asrama. Marahnya bukan kepalang. Bila tiba di bilik nanti, akan dia buangkan jambangan mawar yang dihadiahkan oleh Amil padanya ke dalam tong sampah saja.
NINA kini sudahpun tiba di hadapan pintu bilik. Selepas menyelak daun pintu, Nina mendapati keadaan bilik sunyi sepi tanpa Hana. Keadaan bilik yang tersusun rapi menandakan Hana masih belum pulang dari keluar berdua menonton wayang bersama-sama teman lelakinya. Kata Hana, hari ini adalah hari untuk menghabiskan masa bersama-sama Zamir.
Nina mengambil tempat di birai katilnya lalu memandang kosong ke arah katil Hana di sebelah. Kini hanya sepi menyelubungi hati tatkala berseorangan di bilik. Akhirnya Nina menarik tuala di birai katil lalu menapak ke bilik air. Usai solat Maghrib nanti, Nina mahu bersiap-siap untuk menghabiskan bacaan novelnya di atas katil saja.
“Awalnya balik hari ni.” Hana bersuara lalu meletakkan beg tangan ke atas katil. Gadis itu baru saja pulang setelah Nina selesai menunaikan solat Maghrib. Nina sudah bersiap-siap di atas katil, mencari muka surat yang ditandanya pada novel yang baru dipinjamnya semalam.
“Kau ni aku tengok kalau tak ulangkaji, baca novel. Tu novel yang kat atas meja tu mesti pinjam petang tadi, yang kat tangan belum habis baca lagi.” Hana mula mengomel. Tangannya ligat menarik baju tidur di dalam loker pakaian sebelum menapak ke bilik air.
Dia kasihankan Nina. Sudahlah hidupnya banyak dihabiskan dengan buku-buku ilmiah, gadis itu lebih suka terperap di dalam bilik saja. Tak suka bergaul dan berkawan dengan orang lain. Itu tak termasuk lagi dengan hal dia dan Amil. Dia turut perasan Nina pulang dari keluar berdua dengan Amil minggu lepas dengan wajah basah. Dia tidak mahu masuk campur hal peribadi gadis itu jika Nina tidak mahu bercerita.
Nina hanya senyum. Dia meneruskan bacaannya setelah muka surat yang ditandanya sudah dijumpai. Dibiarkan saja Hana mengomel sendirian.
“Sekali-sekala ikutlah aku keluar. Ni tak, dah macam kera sumbang aku tengok kau ni,” luah Hana sungguh-sungguh. Menanti reaksi Nina dengan sabar. Tetapi mata Nina tetap tertancap pada barisan ayat-ayat di dalam novel di tangan.
“Daripada layan kau macam ni, baiklah aku pergi mandi dulu,” kata-kata Hana berselang keluhan.
‘Nina ni, kalau dia tak mahu layan kita jangan harap dia nak dengar apa yang kita cakapkan,’ omel Hana di dalam hati.
Melihat mata Nina masih tertancap pada novel di tangan, Hana menapak ke pintu bilik dengan gelengan.
Nina biarkan saja Hana pergi begitu saja. Bukannya dia tak mahu keluar bersama Hana, dia cuma tak mahu mengganggu Hana dan teman lelakinya. Mengenai hal berkawan, bukannya dia tak ada kawan. Kawan-kawan di kelas memang ramai. Cuma dia lebih suka menyendiri setelah tamat waktu belajar.
Sekejap saja bacaan Nina, panggilan telefon membantutkan keinginan Nina untuk meneruskan bacaan. Tatkala nombor telefon Vila Tengku tertera di skrin, dada Nina mula bergendang hebat.
“Kenapa Nina buat nenda macam ni?” Suara nenda terus menerjah tatkala Nina tekapkan telefon ke telinga. Tak ada salam dihulurkan, nenda terus menjerkah.
“Nina tahu tak Nina dah malukan nenda di depan Uncle Madi?” Suara nenda meninggi, menggetarkan perasaan Nina.
Nina hanya diam. Masih menanti kata-kata nendanya yang seterusnya.
“Kalau keputusan Nina putuskan pertunangan dengan Amil muktamad, Nina jangan harap Nina dapat sambung belajar di U.K.!” Kata-kata nenda muktamad. Talian ditamatkan begitu saja oleh nenda, menyentap jantung Nina.
Tak semena-mena airmata Nina mengalir lesu menuruni pipinya. Nendanya langsung tidak bertanya sebabnya Nina bertindak sedemikian bahkan menetapkan keputusannya. Sungguh tak adil. Bertahun dia hidup dibawah telunjuk wanita itu. Apa salahnya kali ini giliran nendanya pula menurut keinginannya yang satu ini?
Tidak mahu Hana melihat dia dalam keadaan begini, Nina berlari keluar dari bilik itu. Langkah disusun sehingga tiba ke pinggir tasik yang menjadi pemisah antara asrama perempuan dan asrama lelaki.
Di situ, dia menjerit sekuat hatinya. Biar reda perasaan yang terbuku di hati. Dia sungguh terluka dengan keputusan yang dibuat oleh nendanya. Keinginan untuk mencari ayahnya di U.K. akan lenyap begitu saja jika dia tidak menurut kata nenda. Sampai bila-bila dia tidak akan bertemu ayahnya lagi.
Akhirnya Nina terjelepuk ke atas rumput. Dilepaskan tangis sepuas-puasnya.
“Awak…”
Nina disapa lembut dari belakang. Perlahan-lahan Nina mengangkat wajah memandang ke arah air tasik yang tenang. Airmata di wajah diseka dengan hujung jari.
Sekilas dia mencari wajah yang menegurnya tadi di belakang. Tatkala pandangan mata mereka bersabung, Nina melarikan anak mata ke arah tasik di hadapannya semula.
“Awak ada masalah ke?” Raof masih berdiri menatap belakang tubuh Nina. Kedua-dua tangannya menyeluk poket jaket bagi melawan kedinginan malam.
Sewaktu dia melintasi kawasan ini tadi, dia ada terdengar suara gadis menjerit. Tatkala dia tiba di situ, dia melihat Nina menangis sendirian. Sayu hatinya tatkala mendengar tangis Nina. Nina seolah-olah kesal dengan apa yang berlaku padanya. Sebab itu di sini, menanti tangis Nina reda. Tapi gadis itu tetap begitu. Sudahnya, dia menegur.
“Kalau awak tak kisah, saya temankan awak kat sini.” Raof masih diam berdiri di tempatnya tadi. Dia bimbangkan keselamatan Nina. Di sini merupakan laluan pejalan kaki pelajar lelaki berulang alik dari asrama ke kampus. Dia bimbang Nina akan diganggu oleh mereka.
Nina hanya diam. Perasaannya sudahpun reda. Dia mula bangun dan ingin mengatur langkah menuju ke asrama. Teringatkan akan diri yang baru sudah menangis dan pastinya akan dikesan oleh Hana, dia mengambil tempat duduknya semula.
“Awak dah makan?” Raof menyoal, cuba mencari raut wajah empunya diri. Dari tadi dia hanya melihat belakang tubuh Nina saja.
Nina diam. Menggeleng tidak apatah lagi hendak mengangguk. Dia bingung dengan siapa dia sedang bercakap. Dia tak pernah kenal mana-mana lelaki di situ kecuali rakan sekelas saja.
Melihat Nina hanya membatu, Raof membuka mulut.
“Saya rasa elok saja kalau awak balik. Tak elok kalau awak duduk kat sini sorang-sorang. Bahaya. Sini laluan pejalan kaki budak-budak asrama lelaki. Saya takut nanti berlaku benda yang tak elok pada awak.” Raof meluahkan kata dengan harapan Nina mengerti. Bukannya dia tidak ingin menemani gadis itu di sini lama-lama. Rasanya tak elok jika hanya mereka berdua dalam keadaan gelap begini.
Nina masih diam. Dia tidak mahu balik ke biliknya lagi. Dia tak mahu Hana melihat dia dalam keadaan begitu. Nanti gadis itu akan membedilnya dengan pelbagai soalan. Dia belum bersedia untuk bercerita kepada sesiapa tentang masalahnya.
“Tapi kalau awak masih nak duduk kat sini, saya tetap akan temankan awak.” Raof akhirnya mengalah bila Nina masih berdegil duduk di situ. Sudahnya dia mencari kerusi yang tak berapa jauh dari tempat Nina duduk. Matanya tak lepas-lepas dari mengawasi Nina. Bimbang Nina akan bertindak di luar jangkaannya. Entah apalah yang bermain di fikiran Nina sekarang ini sehingga gadis itu tidak takut berada di situ keseorangan?
Setengah jam Nina di situ, akhirnya Nina bangun mengatur derap ke arah asrama. Sewaktu melintasi Raof, lelaki itu turut bangun.
Raof terkedu melihat Nina. Rupa-rupanya gadis yang sedang menangis sendirian tadi adalah gadis yang diintainya dalam diam. Lama matanya terpaku pada Nina. Bibirnya kelu untuk berkata-kata. Selebihnya, dia langsung tidak menyangka akan bersua dengan Nina dalam keadaan begitu.
“Terima kasih sebab temankan saya.” Nina bersuara dalam serak. Dipandang sekilas ke arah Raof. Dia malu bila lelaki yang langsung tak dikenalinya itu sudi menemani dia melepaskan sedih yang terbuku di hati.
Raof mula sedar tatkala Nina mula meninggalkan dia di situ. Segera dia mengejar Nina, menyaingi langkah gadis itu.
“Saya temankan awak balik.” Mereka berjalan seiring. Biarpun Nina tak bersuara sepanjang langkah mereka, bagi Raof, dia sudah cukup bertuah.



BIAR HATI BERBISIK RINDU KARYA ZURI YANIE

BAB 3


KEADAAN di dewan perpustakaan itu sunyi sepi biarpun dihuni oleh ramai pengunjung. Masing-masing sedang sibuk menelaah pelajaran disamping mencari maklumat di dalam buku rujukan. Keadaan sepi itu diselangi dengan bunyi batuk, deheman dan juga pen terjatuh yang berulang. Ada juga kedengaran suara-suara kecil, mungkin berbincang atau bertanyakan perkara yang tidak difahami.
Jauh di sudut kecil, Nina kelihatan tekun menelaah pelajaran. Matanya tidak lepas dari memandang buku di atas meja sejak dari dia masuk ke sini tadi. Keadaan persekitaran yang selesa dan sunyi membantu dia lebih fokus belajar.
Sekejap-sekajap Nina membelek buku rujukan berkulit biru setebal dua inci di hadapannya. Mencari maklumat yang berguna untuk dijadikan bahan bacaan kelak. Kemudian, dia menulis sesuatu di dalam buku catatannya. Mencatit isi-isi penting untuk dijadikan rujukan semasa persediaan menghadapi peperiksaan nanti. Selepas itu, pandangannya kembali tertancap pada buku tebal tadi.
Keadaan perpustakaan yang sepi tanpa sebarang bunyi membantu Nina belajar dengan tenang di situ. Nina lebih suka belajar dalam keadaan senyap tanpa diganggu bunyi bising. Oleh sebab itulah, Nina lebih suka menghabiskan waktu di perpustakaan tak kiralah waktu siang ataupun malam hanya untuk menelaah pelajarannya semata-mata.
Namun tumpuan Nina terhadap pelajarannya sejak akhir-akhir ini sering terganggu dek keputusan yang nendanya buat secara mendadak. Selepas dipaksa mengikat tali pertunangan dengan Amil, Nina lebih banyak termenung mengenangkan nasib diri. Dia langsung tidak berkenankan Amil, apatah lagi untuk sehidup dan semati dengan lelaki itu. Sungguh dia tak mahu.
Pen di tangannya diletakkan di atas meja. Tumpuan yang terganggu pada keputusan nenda memaksa Nina untuk merehatkan minda seketika. Dia menyandar lesu di bahu kerusi dan memandang ke arah dinding putih dengan perasaan yang kosong.
Sejenak Nina terkenangkan peristiwa pada malam nenda mengumumkan keluarga Uncle Asmadi akan datang membawa rombongan merisik. Waktu itu, mamalah orang yang paling terkilan. Nina masih ingat, berkali-kali mama merayu supaya nenda lupakan saja niat berbesan dengan keluarga Uncle Asmadi tetapi nenda berdegil.
Kata nenda, jika dahulu mama tidak mahu menikah dengan Uncle Asmadi, Ninalah yang terpaksa memikul tanggungjawab itu. Nenda mahu mengekalkan keturunannya. Macam mana sekalipun, nenda mahu anak-anak Nina berpangkal Tengku di hadapan walaupun keinginan nenda ini tak masuk dek akal langsung!
Ah, apalah sangat dengan keturunan dan darjat? Bagi Nina, jika dilihat pada warna darah sekalipun semua orang sama saja. Masing-masing berkongsi warna darah yang sama! Tak ada bezanya pangkal pada nama.
Akhirnya Nina mengeluh panjang tatkala mengenangkan nasib diri. Fikiran Nina penat bergilir-gilir memikirkan tentang nasib diri dan mata pelajaran yang diulangkaji hari ini. Berkali-kali Nina tanyakan pada diri sendiri apakah keputusan yang diambilnya ini betul? Apakah nanti dengan menurut kehendak nenda, Nina akan bahagia?
Sudahnya Nina mendongak merenung siling berukiran bunga di perpustakaan itu. Dia memicit-micit pelipis bagi menghilangkan penat berfikir.
‘Sudah-sudahlah Nina. Mungkin inilah dikatakan takdir.’ Nina berbisik sendiri.
Jarum jam sudah menginjak ke angka 9.00 malam. Nina mula bersiap-siap untuk pulang ke asrama. Nina menggeliat kecil dan bangun menyusuri deretan rak-rak buku novel Melayu dan Inggeris. Sekali-sekala Nina akan meluangkan masa dengan membaca novel. Bergilir-gilir membaca novel Melayu dan Inggeris. Sejenak matanya berhenti pada nama Zuri Yanie bertajuk Kupujuk Hati. Lalu Nina kembali ke meja belajarnya tadi dengan senaskah buku itu di dalam genggaman. Malam nanti Nina akan membacanya sebelum tidur.
Baru saja Nina melangkah keluar dari bangunan perpustakaan, telefonnya berbunyi minta diangkat. Tatkala melihat nama Amil tertera di skrin telefon, Nina biarkan saja ia membingit dan meneruskan derap. Entah apalah yang Amil mahukan darinya sehingga menelefonnya pada malam begini, Nina tak mahu ambil pusing. Difikirannya cuma satu. Dia mahu merehatkan fikiran dan tubuh badan tanpa gangguan sesiapapun.
Sekejap saja sepi kemudian telefonnya berbunyi lagi. Kali ini Nina sudah bersedia untuk menjawab panggilan.
“Nina kat mana?” Belum sempat Nina mengucapkan salam, Amil terlebih dahulu bertanya di hujung talian.
“Nina baru keluar dari perpustakaan. Sekejap lagi Nina akan balik ke hostel.” Nina menjawab tenang. Jam yang dihadiahkan oleh Muhriz sempena hari lahirnya yang ke-18 ditilik sekilas. Dia tidak suka diganggu pada malam begini terutamanya oleh Amil. Dia tidak sukakan lelaki itu bahkan dia tidak mahu mendengar suara lelaki itu.
“Ada apa Amil telefon Nina ni?” Entah apalah yang Amil mahukan darinya. Sejak dari hari mereka bertunang sehingga kini, Amil tidak serik-serik mengganggunya melalui panggilan telefon. Lelaki itu tidak sudah-sudah mengganggunya biarpun diminta jangan mengganggunya lagi.
Pernah sekali Nina meminta Amil supaya menghentikan saja perbuatannya itu. Namun, selang sehari nenda menelefon meleterinya kerana tidak melayan lelaki itu. Sudahnya, Nina terpaksa menjawab setiap panggilan dari lelaki itu dari mengelak dibebeli oleh nenda lagi.
“Nina dah makan? Kalau Nina belum makan lagi, Amil nak ajak Nina keluar makan sama-sama.” Suara Amil memecah khayalan Nina pada nenda. Tumpuannya kini beralih pada Amil.
“Dah. Nina dah makan pukul enam tadi.” Nina jawab cepat-cepat. Sebolehnya dia tidak mahu keluar berdua dengan Amil. Dia tidak sukakan Amil. Pandangan mata Amil lain benar rasanya bila memandang ke arah dia. Lebih baik dia cuba mengelak dari bertemu Amil langsung. Jika mahu, Amil patut datang ke vila nendanya nanti jika mahu bertentang mata.
“Nina dah nak sampai ke hostel. Sekejap lagi Nina nak bersihkan diri dan lepas tu Nina nak tidur.” Nina cuba memberikan alasan, mencari jalan keluar dari situasi canggung antara dia dan Amil.
“Esokkan hari minggu? Awalnya Nina tidur. Apa salahnya Nina borak panjang sikit dengan Amil malam ni.” Amil sedikit kecewa mendengar jawapan Nina. Sudah beberapa hari dia cuba mengajak Nina keluar makan malam dengannya namun tak berhasil. Jika diajak bercakap melalui telefonpun sekejap saja Nina melayan. Nina lebih suka menghabiskan masanya di perpustakaan dan di asrama saja daripada berborak panjang dengannya. Selebihnya, ada saja alasan Nina.
“Kalau Nina tidur awal, esok Nina bolehlah bangun awal.” Nina cuba mencari alasan.
Amil diam saja. Memang dia sudah masak dengan alasan Nina. Nina bagaikan tidak sukakannya. Bicara Nina acuh tak acuh saja dengannya. Bila diajak bercerita, Nina lebih suka menjadi pendengar. Bila diajak keluar makan bersama, ada saja alasan Nina. Kenyang, nak menelaah pelajaran dan mengantuk. Ah, kalau tidak kerana kehendak papanya menjodohkan dia dengan Nina, tak mungkin dia menurut. Dia lebih sukakan gadis bersikap terbuka. Bukan seperti Nina. Harap saja dari keluarga berada tetapi orangnya bagai gadis kampung. Bosan!
Mendengar hujung talian menyepi, Nina menyambung lagi.
“Kita sambung borak esok, bolehkan Amil?” Nina cuba berlembut, berharap moga-moga Amil tidak lagi mengganggu.
Memang Nina penat kerana seharian menelaah pelajaran. Nina mahu merebahkan tubuh di atas katil sambil membaca buku yang baru dipinjamnya tadi sebelum Nina terlelap.
“Okey,” sepatah jawapan Amil menampar cuping telinga Nina.
Nina mula sedar suara Amil seolah-olah lelaki itu berjauh hati. Belum sempat Nina memberi salam, Amil sudahpun memutuskan talian. Nina terkedu dan kemudiannya mengeluh.
Apa salahnya Amil memberi dia ruang untuk diri sendiri? Kadang-kadang Nina rimas dengan panggilan telefon dari Amil. Lelaki itu terlalu inginkan perhatiannya. Pelik sungguh!
“Nina…”
Baru saja ingin menapak ke anak tangga asrama, lengan Nina dipaut kemas dari arah belakang.
Terpaku Nina tatkala melihat tubuh Amil berdiri tegap di hadapannya dengan senyuman yang manis. Lelaki itu lalu menghulurkan sejambak mawar putih dan kuning kepada Nina yang masih kelu.
“Buat Nina.” Dalam terkelu Nina menyambut jua huluran Amil. Teragak-agak.
“Nina temankan Amil makan malam, boleh?” Amil bersuara dengan senyuman yang melebar. Terserlah lesung pipit di pipinya tatkala dia tersenyum.
“Nina…” Nina cuba mencari ayat yang sesuai untuk menolak permintaan Amil. Sebenarnya dia masih terkejut dengan kemunculan Amil di hadapannya kini. Tak terduga dia lelaki ini akan datang secara mengejut. Yang pastinya, permintaan lelaki itu tidak boleh ditolak lagi!
“Amil datang semata-mata nak jumpa dengan Nina sebab Amil rindukan Nina. Bolehkan Nina temankan Amil walaupun sekejap?” Amil menatap sayu wajah Nina.
Ah, pandainya Amil bermain dengan kata-kata. Sejak bila pula lelaki itu merinduinya sedangkan sebelum ini mereka cuma pernah bersua beberapa kali saja? Itupun semasa lelaki itu berkunjung ke vila nendanya semasa Hari Raya Puasa saja. Mereka tak pernah berbual apatah lagi untuk jatuh cinta dan rindu-rinduan. Jauh sekali!
Nina mendiamkan saja dirinya dari membalas kata-kata Amil. Dia sekadar tunduk mencium haruman mawar-mawar mekar di dalam pelukannya itu.
Entah kenapa, kali ini tatkala matanya menyinggah pada Nina yang bergaya bagaikan gadis kampung, hatinya terpaut. Pada raut wajah polos itu, Nina kelihatan cantik dan menawan. Nina tidak seperti gadis-gadis yang didampinginya. Biarpun berwajah seksi dan menawan, mereka semua palsu. Mereka lebih suka bersembunyi di sebalik coretan tebal di wajah.
Sejenak jantung Amil bagaikan berdenyut dengan nada yang indah tatkala melihat senyuman Nina di sebalik jambangan mawar di tangannya. Kali ini dia terpaksa mengunyah kata-katanya sendiri. Nina cantik biarpun tanpa solekan bahkan wajah tenang Nina membuatkan dia terpaut, terpana bahkan terkedu.
“Amil tahu kedatangan Amil ni dah buat Nina terkejut, tapi apa salahnya Nina temankan Amil malam ni saja.” Kali ini Amil merayu. Apa nak jadi, jadilah. Asalkan Nina sudi menemaninya malam ini. Dia bagaikan hilang arah melihat Nina kali ini. Seolah-olah Ninalah kini penunjuk arahnya itu.
Nina makin serba salah. Jika dia menolak bererti dia akan menyebabkan Amil berkecil hati. Dan pastinya lelaki itu akan mengadu pada nenda dan menimbulkan kemarahan nenda.
“Nina naiklah dulu, bersihkan diri. Amil tunggu Nina kat bawah ni. Amil janji akan hantar Nina balik awal.” Melihat Nina hanya diam, Amil mengarah lembut. Tubuh Nina didorongnya ke tangga dan memerhati tubuh Nina hilang di balik anak tangga.
Selepas membuka pintu biliknya, terkedu Nina dengan tindakan teman sebiliknya, Hana, menerkam laju ke arahnya. Jambangan bunga bertukar tangan membuatkan Nina tertawa geli hati. Hana pantas saja menyuanya ke wajah, menghidu wangian bunga segar.
“Wangi!” Gadis kecil itu melantunkan kata ceria. Dia pula yang kelihatan gembira dengan pemberian ini.
“Dalam diam dah ada buah hati. Sejak bila pandai berahsia pulak ni?” Mata galak Hana menikam ke anak mata Nina.
Nina cepat-cepat melarikan anak matanya. Tidak keruan Nina jadinya dengan soalan satu-satunya teman sebilik itu. Nina berpura-pura menyibukkan diri menyusun buku-buku yang berselerakkan di atas meja. Sebolehnya dia mahu melarikan pandangan dari bertembung dengan Hana. Tidak mahu nanti Hana bertanyakan soalan lain pula. Itu belum lagi bertanya tentang cincin platinum bertatahkan berlian yang tiba-tiba terjatuh dari kotak barangan peribadinya tempoh hari. Terpaksa pula dia berbohong cincin tersebut hadiah dari nendanya. Padahal ianya cincin tunang.
Nina dan Hana saling mengenali sewaktu mereka mula-mula mendaftar untuk mengikuti program IB di situ. Hana juga akan bersamanya ke U.K. menyambung pengajian dalam bidang yang sama. Mereka tidak banyak persamaan dari segi hobi, kegemaran dan susur galur keturunan tetapi mereka sebulu bila bercerita tentang cita-cita dan impian.
Nina selesa berkawan dengan Hana. Gadis kecil ini banyak membantunya dalam pelajaran. Hana tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman hidup. Biarpun mereka berdua jarang menghabiskan masa bersama-sama, mereka tetap serasi.
“Hana Hanif. Amil tu anak kepada sepupu mama aku, lebih kurang abang saudara aku. Takkanlah aku dan dia nak bercinta pulak.” Nina cuba berdalih, memutar belit jalan cerita.
Buku-buku yang dibawa pulang dari perpustakaan tadi disusun dengan kemas di atas meja. Nina masih belum mampu membalas pandangan Hana. Takut nanti rahsia pertunangan yang disimpan kejap terbuka begitu saja.
Usai mengemas mejanya, Nina mengambil tempat di kerusi belajarnya.
“Oh, nama dia Amil. Handsome-nya!” Hana melonjak riang mendengar Nina menyebut nama Amil.
Nina tertawa geli hati melihat tindakkan Hana lalu bahu gadis genit itu ditamparnya lembut.
“Kalau kau nakkan dia, aku boleh kenalkan. Itupun kalau kau tak kisah nak tinggalkan Zamir Asmara kau tu demi Amil.” Nina mengusik sambil mengenyit matanya. Sengaja dia menekan nama kekasih hati Hana, ditokok tambah Asmara di belakang nama panggilan lelaki itu.
“Masya-ALLAH, Nina. Ke situ pulak kau. Kalau dengan aku tak sesuailah tapi kalau dengan kau, bagai pinang dibelah dua.” Hana mengambil tempat duduknya semula. Dia berpura-pura menilik mawar di dalam pelukannya.
‘Apalah Nina ni, orang nak kenenkan dia dengan Amil, kita pula yang jadi mangsa.’ Desis Hana di dalam hati.
“Aku serius ni, Hana. Kalau kau nakkan Amil, aku boleh kenalkan. Kalau nak kenal dia sekarang pun boleh. Kau boleh ikut kita orang keluar makan sama-sama jugak.” Nina cuba mengusik, menanti bibir Hana mencebir.
“Alah kau ni, Nina. Mulut aje cakap tak nak, tapi hati tu bukan main suka lagi. Aku tengok dari riak muka kau pun aku dah tahu yang kau sukakan dia.” Hana cuba serkap jarang. Cuba memancing Nina bercerita.
Sebetulnya dia berasa pelik dengan perubahan sikap Nina sejak kembali dari cuti pertengahan semester. Nina lebih suka termenung dan mengeluh. Dia bimbang Nina akan mengabaikan pelajarannya. Dia juga bertambah pelik tatkala matanya tertancap pada sebentuk cincin berlian yang tiba-tiba jatuh dari loker Nina. Dia ada bertanya sendiri pada Nina tentang cincin tersebut. Namun terang Nina, cincin tersebut adalah hadiah dari nendanya.
“Eh, dah bertukar jadi ahli nujum pulak ke, Hana? Boleh main tilik-tilik perasaan orang ni. Ajaib!” Nina sengaja berdalih. Dia tidak mahu isunya dengan Amil berpanjangan.
Teringatkan Amil, lelaki itu masih menunggunya di bawah. Pantas Nina menepuk dahi lalu tergesa-gesa menarik tuala yang tersidai di birai katil.
“Patutlah sehari dua ni aku tengok kau ni semacam aje. Asyik termenung sana, termenung sini. Sekejap-sekejap mengeluh. Rupa dah macam orang mati laki. Hah, nilah rupanya masalah negara tu. Entah-entah kau sorokkan sesuatu dari aku tak, Nina?” Hana menyambung lagi, kali ini dengan tanda soal. Langsung tidak diendahkan senda Nina yang tadi.
“Dah. Aku nak mandi dulu. Sekejap lagi nak keluar makan dengan Amil. Dari tadi lagi dia tunggu kat bawah tu. Kalau layan kau ni, esok lusa pun belum tentu habis.” Nina melontarkan bantal kecilnya ke wajah Hana lalu berlari ke arah pintu.
“Amboi, orang dah mabuk bercinta macam nilah perangainya. Muka aku jugak yang jadi mangsanya. Jangan kau dah kahwin dengan dia tak beritahu aku sudahlah, Nina.” Hana mengomel sendiri. Masih sempat kata-katanya menampar ke cuping telinga Nina.
Cepat-cepat Nina menutup daun pintu. Dia tidak mahu isu dia dan Amil dipanjangkan. Dia belum bersedia bercerita kepada sesiapapun tentang pertunangannya dengan Amil. Biarlah dirahsiakan dulu.

BIAR HATI BERBISIK RINDU KARYA ZURI YANIE

BAB 2



CUTI penggal semester akhir sudah bermula. Nina kembali lagi ke vila di tepi pantai itu bagi menghabiskan baki cutinya yang terakhir sebelum tamat IB. Usai menjamu hidangan makan malam, Nina terus mendaki anak tangga menuju ke bilik mamanya. Dia merebahkan tubuh ke atas katil sementara menanti mamanya muncul di sebalik pintu kamar.
“Awal Nina naik. Macam lari dari nenda aje?” Mama muncul dengan segelas susu lalu dihulurkan kepada Nina. Nina tidak membantah malah meneguk sehingga habis.
Mama kemudiannya mencapai bantal dan mengambil tempat di sebelah Nina.
“Nina tidur dengan mama malam ni, boleh?” Telahan mama tidak dibalas sebaliknya Nina merengek manja. Kepalanya diletakkan di atas ribaan wanita itu.
Semenjak mama menjadi ibu tunggal, Nina tak pernah ketandusan kasih sayang. Malah, mama tak pernah lokek meluangkan masa bersama dengan dia dan Muhriz biarpun letih. Bagi Nina, mama seorang pendengar yang baik. Walaupun Nina membesar tanpa kehadiran ayah di sisi, Nina tak pernah rasa kekurangan kasih sayang.
“Anak mama dah besar pun masih nak tidur dengan mama lagi?” Mama mengusik Nina. Nina hanya tersengih. Keadaan bilik menjadi tenang seketika saat tangan lembut mama membelai ubun-ubun Nina.
“Dah lima bulan tak tidur dengan mama. Sebab tulah Nina fikir sementara cuti ni, Nina nak tidur dengan mama.” Nina berkata-kata manja sambil mengelus jemari mamanya. Pandangan mereka bersatu lembut tatkala Nina menarik jemari mama ke bibir.
“Kalau macam ni, Nina tentu akan rindukan mama nanti bila Nina kat U.K.” Mama membalas lembut kata-kata Nina. Tangannya tidak henti-henti mengelus rambut Nina.
“Sekarang kan dah moden? Nina akan cuba telefon mama melalui aplikasi Skype tak pun Talk.” Nina cuba menyakat mama. Nina akui biarpun dapat melihat mamanya melalui skrin telefon mahupun komputer nanti, ianya tetap tak sama berada di hadapan mata.
“Yalah, mama aje yang buta teknologi.” Maya mengalah. Dia hanya mengukir senyuman tatkala melihat Nina mengangkat tangan tanda kemenangan.
“Ma…” Nina menarik jemari mama ke dalam genggamannya. Mata mereka saling berbalas pandang. Ada satu perasaan rindu yang tak tergambar di sebalik sinaran mata mama. Nina mula terkesan riak mamanya berubah tatkala menyebut perkataan U.K. tadi.
Nina cuba tersenyum. Biar perasaan mama tenang melihat senyuman Nina. Senyum itukan penawar duka. Dulu-dulu, Nina pernah terbacakan diari mama. Menurut mama, jika mahu menghilangkan rasa rindu pada ayah, mama akan buatkan Nina ketawa dan tersenyum kerana Nina dan ayah berkongsi senyuman yang sama.
“Nina tanya boleh? Tapi mama mesti jawab dengan jujur.”
Mama hanya mengangguk.
“Mama tak rindukan ayah?” Nina tanya lembut dan berhati-hati dengan nada yang bergetar.
Kali ini mama membisu. Matanya melekap kemas di pintu biliknya. Seolah-olah pintu itu menjadi layar yang menyiarkan kenangan lama.
“Tapi kalau mama tak nak jawab, Nina tak paksa.” Melihat kepada raut wajah mama, Nina mula berasa bersalah kerana mengutarakan soalan itu.
“Apa yang nenda bincangkan dengan Nina minggu lepas?” Maya menukar tajuk perbualan mereka.
Bukannya dia tak mahu menjawab pertanyaan Nina. Cuma hatinya masih lagi terluka dengan perbuatan Mustafa suatu ketika dulu. Biarlah dia membuka lembaran hidup baru dan membiarkan kenangan bersama lelaki itu hidup dengannya. Sudah tidak ada yang perlu diperbetulkan. Hidupnya kini ditemani Nina dan Muhriz. Dia juga berharap Mustafa juga bahagia bersama pilihan hatinya. Dia yakin bekas suaminya itu takkan pernah mengingati mereka lagi.
Kali ini Nina diam. Pertanyaan mama bagaikan penggera yang menyatakan tempoh untuk Nina berfikir tentang jawapan kepada permintaan nenda minggu lepas sudahpun tamat.
“Macam besar aje masalahnya. Kenapa nenda tak cakap pada mama aje?” Maya mula sangsi bila melihat wajah Nina mula berubah. Dari raut manja, Nina kini bertukar suram. Apakah permintaan bondanya sesuatu yang terlalu berat untuk Nina tunaikan? Maya mula berfikir yang bukan-bukan.
“Ma… patut ke Nina kahwin dulu sebelum sambung belajar?” Pertanyaan Nina kali ini membuatkan Maya terkedu. Apakah bondanya telah meminta Nina berkahwin dahulu sebelum menyambung pengajiannya di luar negara? Ah, langsung tak masuk dek akal.
“Nenda suruh Nina kahwin?” Kali ini jemari Nina digenggam erat. Mata Nina ditatap bagi mencari kebenaran.
Nina kehilangan kata-kata. Seminggu dia di kolej memikirkan permintaan nenda yang satu ini. Sebenarnya bukan permintaan tetapi lebih kepada syarat. Ya, syarat Nina untuk sambung belajar di luar negara ialah berkahwin dengan pilihan nenda.
Ah, seminggu Nina dihurung sakit kepala. Sudahlah menyudahkan IB ini susah, ditambah pula dengan masalah nenda yang satu ini. Sebolehnya Nina tak mahu melibatkan mama dalam hal ini tetapi bila mama sudah bertanya, Nina tak boleh nak mengelak.
Nina tak mahu melukakan hati sesiapa. Tidak nenda apatah lagi mama. Namun jika Nina memilih untuk berkahwin, Nina seolah-olah membina satu tembok untuk berkerjaya. Bahkan lelaki yang dipilih nenda adalah lelaki yang tak pernah Nina suka apatah lagi menjadi teman seumur hidupnya.
“Dengan siapa? Mama kenal ke orang tu? Nina suka?” soalan mama bertubi-tubi menerjah ke dalam telingan Nina.
Nina makin diam. Sepatutnya Nina tak perlu ceritakan hal ini kepada mama. Seminggu Nina cuba yakinkan diri untuk membantah saja syarat nenda. Tapi jika Nina membantah, bermakna Nina perlu melupakan hasrat ke U.K. dan belajar saja di sini.
Tapi Nina tak mahu. Sebenarnya Nina punya perancangan sendiri untuk ke sana. Sambil belajar di sana, Nina dapat mencari ayahnya semula. Nina mahu menyatukan keluarga mereka semula. Tanpa diduga jalan yang Nina pilih ini seolah-olah berpagar di tengah. Sama ada Nina perlu memanjat pagar tersebut atau Nina berpatah semula dan memilih jalan lain. Betullah kata pensyarahnya dahulu.
‘Some people will throw stone on your path. It depends on you to build a wall or bridge.
Maya bingkas bangun dari tempat duduknya. Ditinggalkan Nina yang terpinga-pinga di atas katil.
Melihat mamanya meninggalkan dia, Nina pantas bangun mengejar dari belakang menuruni anak tangga. Sejenak Nina terpana melihat mama menerjah masuk ke kamar nenda begitu saja. Ditutupnya pintu rapat-rapat seolah-olah mama tidak mahu sesiapa mendengar perbualan mereka.
Keinginan Nina untuk tahu apa yang ingin dibicarakan oleh mama menarik langkah Nina rapat ke pintu kamar nenda. Lalu, Nina melekapkan telinganya ke situ.
“Betul ke apa yang Nina cakap pada Maya?” Suara Maya sedikit meninggi. Terkejut bukan kepalang dia mendengar dari mulut Nina sendiri tentang aturan bondanya itu.
“Pasal apa? Pasal kahwin dengan Amil sebelum ke U.K.?” Tengku Mariam bertanya tenang. Sejak dari tadi dia cuba mencari peluang bertanyakan sendiri kepada Nina tentang syaratnya itu. Tak sangka pula Nina akan ceritakan pada mamanya.
Mendengar nama Amil, mata Maya terus membuntang. Cari nahas namanya. Cucu saudara bondanya itu bukan boleh dibuat suami.
“Bonda tak boleh buat Nina macam tu. Bonda tak boleh paksa Nina kahwin dengan sesiapapun. Nina dah besar. Nina berhak pilih teman hidup dia sendiri.” Suara Maya kembali tenang tetapi tegas. Dia hanya memerhati bondanya mengait tanpa menghiraukan kehadirannya di situ.
“Aku nenda dia. Aku berhak tentukan hidup dia. Kalau betul dia nak ke U.K., kahwin dengan Amil dulu. Kalau tak, belajar saja kat sini.” Tengku Mariam masih tenang. Sejauh manalah sangat Maya akan membantah. Lambat-laun mereka dua beranak akan menurut saja kata-katanya. Tengoklah nanti.
“Tapi bukan dengan Amil, bonda. Nina berhak tentukan jalan hidup dia. Bonda kena akui sekarang ni bukan zaman kita tentukan jodoh anak-anak kita.” Maya kecewa dengan tindakan bondanya. Sampai hati Tengku Mariam meletakkan syarat kepada Nina.
Maya akui Tengku Mariam terlalu kecewa dengan keputusannya menikahi Mustafa suatu ketika dulu.
“Kenapa? Sebab kau tak sukakan Asmadi dulu dan sekarang kau tak mahu keturunan aku kahwin dengan keluarga dia? Macam tu?” Tengku Mariam bingkas bangun. Ditinggalkan hasil kaitannya di atas kerusi Cleopatra merah itu lalu menghampiri beranda.
“Bukan macam tu bonda. Ikatan perkahwinan tak akan bahagia tanpa kerelaan hati.” Maya masih mencuba merayu seperti tadi.
“Kau jangan nak mengajar aku, Maya. Kau dah lupa yang kau dulupun melutut di kaki aku sebab Mus tinggalkan kau? Kerelaan hati konon! Rumah tangga siapa yang tak bahagia sekarang ni?!” tempelak Tengku Mariam. Panas hatinya mendengar Maya cuba mengajar dia. Dia tahulah apa yang sedang dia lakukan sekarang. Semuanya demi kebaikkan Nina. Jika dia tak tentukan nasib Nina, barangkali Nina akan mengikut jejak Maya dan merana sehingga ke akhir hayatnya.
“Bonda…” Suara Maya mula bergetar.
“Kan aku dah cakap dulu, kahwin dengan keturunan baik-baik macam kita ni. Tengku Asmadi itupun doktor. Entah apa yang kau nampak pada Mus. Kahwin tak sampai enam tahun dah bercerai-berai. Jantan jenis apa aku pun tak tahu!” Tengku Mariam mula melepaskan kata-kata. Biar Maya sedar yang dia telah melakukan kesilapan besar dahulu.
“Aku dah cakap pada kau, aku nak kekalkan keturunan kita. Tapi kau tu keras kepala. Tengok sekarang apa dah jadi. Keluarga porak-peranda, ada hati nak mengajar aku.” Keras Tengku Mariam bersuara, mengguris perasaan Maya.
“Tapi bonda pun nikah dengan orang kebanyakkan jugak.” Maya bersuara dalam tangisan.
“Kau jangan nak mengajar aku! Memang aku bernikah dengan orang kebanyakkan. Tapi hidup aku tak melarat. Bahkan, aku yang menanggung hidup kau dan anak-anak. Aku nak kekalkan darah keturunan kita. Kalau kau tak suka, jangan masuk campur.”
Nina yang sejak dari tadi mendengar mama dan nendanya bertikam lidah mengetuk pintu kamar itu lalu menerpa masuk. Tubuh mama dipeluk erat dari arah belakang.
Sampai hati nenda mengata yang bukan-bukan pada mamanya. Dia tidak mahu menangis bahkan dia mahu menunjukkan betapa kuatnya dia di hadapan nenda.
“Nenda… Nina dah buat keputusan yang Nina akan kahwin dengan Amil sebelum bertolak ke U.K. Nina akan turut apa saja kemahuan nenda asalkan nenda dan mama gembira.” Nina memutuskan kata. Serentak itu Nina menyorong tubuh mamanya keluar dari bilik itu.
Biar hatinya terluka asalkan bukan mama. Berkali-kali dia menyalahkan diri kerana terlepas bicara pada mama tadi. Tentu perkara sebegini tidak akan berlaku.

Thursday 10 March 2016

BIAR HATI BERBISIK RINDU KARYA ZURI YANIE

BAB1



OMBAK tak sudah-sudah memukul pantai. Burung-burung pula terbang kembali ke sarang masing-masing setelah seharian keluar mencari makan. Mentari mula menyembunyikan wajah di hujung laut sekaligus menyerlahkan warna jingga di ufuk barat.
Cantik.
Beberapa anak kecil berkejaran di gigi air lalu menjerit kecil tatkala ombak memukul kaki. Kelihatan ibu mereka terkial-kial mengejar sambil tangan kiri memegang erat simpulan selendang. Barangkali tidak mahu diterbangkan angin.
Layang-layang terbang tinggi mencecah paras pohon nyiur biarpun malam bakal melabuhkan tirai sekejap saja lagi. Masih ada beberapa orang kanak-kanak lelaki leka berlumba-lumba menaikkan layang-layang mereka, mahu menunjukkan kehebatan masing-masing. Siapa yang terbang tinggi, dialah yang akan dikagumi. Dan besok, perkara yang sama akan berulang tanpa rasa jemu.
Nina masih duduk di atas sebatang kayu mati sejak dari dia turun ke pesisir pantai itu. Rambut yang ikal mengurai beralun ditiup bayu petang, dibiarkan saja bermain-main nakal di wajah. Matanya masih sayu memandang ke hujung laut, ke arah matahari yang makin menutup wajah.
Resah.
Itulah perasaan Nina kala ini. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata, hari ini fikiran dia seakan tepu. Sebab itulah seharian dia hanya duduk di situ mengadap laut. Selalunya, hanya laut yang dapat mengurangkan resah yang kian menggila di dalam hatinya. Namun kali ini lain pula jadinya. Tidak berjaya.
Panggilan telefon dari nenda dua hari lepas memaksa dia memijak kaki ke sini, pulang ke vila itu. Vila Tengku. Sejak kecil Nina tinggal bersama-sama dengan nenda. Begitu juga mama dan abangnya, Muhriz. Maka di sini adalah rumah merangkap kampung halamannya.
Permintaan nenda untuk pulang pada hari minggu sebegini rupanya berhajat. Malam semalam, perbualan hanya antara dia dan nenda di bilik bacaan akhirnya sampai kepada sebab utama nenda memanggil dia pulang.
Ah, nenda… Nina akhirnya mengeluh berat mengenangkan permintaan wanita yang bergelar nenek itu.
Sejenak dia memejamkan matanya rapat dan melepaskan hela panjang. Kali ini, dia cuba meraih keyakinan diri disebalik keinginan hati. Dia masih buntu untuk membuat pilihan apatah lagi menyuarakan hasratnya. Sudahnya, dia masih di situ mengutip sisa-sisa kenangan suatu ketika dulu.
Berkali-kali kenangan bersama ayahnya berputar di kotak ingatan. Memori yang mereka kongsi bersama terlalu manis untuk dilupakan begitu saja apatah lagi untuk memungkiri janjinya pada lelaki itu dulu.
Masih segar di ingatan Nina tentang peristiwa itu. Peristiwa yang menjadi titik permulaan terjadinya perpisahan mereka.
“Assalamualaikum.” Ayah memberi salam tatkala kakinya memijak lantai flat. Nina yang masih tekun menyusun cebisan-cebisan gambar di atas permaidani hanya mendongak melihat ayah yang sedang menyangkut kot tebal. Langsung tidak membalas salam ayah dek kerana merajuk tidak diambil di pusat asuhan tadi.
“Nina tengah buat apa, sayang?” Ayah datang menegur Nina sambil mengusap belakang tubuh Nina. Ah, sentuhan ayah tak pernah berubah. Lembut dan ada rasa sayang. Hati Nina yang mula rasa sebal dengan sikap sambil lewa ayah kembali reda dengan sekelip mata.
Akhirnya Nina mengalah dan bingkas bangun lalu memeluk erat tubuh ayah. Lama Nina membenamkan wajah ke dada ayah kerana gemarkan wangian lelaki itu. Wangian ubat-ubatan yang melekat di tubuh ayah menjentik keinginan Nina untuk segera membesar dan menjadi sepertinya.
“Nina dah lupa apa yang mama pesan ya?” Ayah menarik pipi mungil Nina dan kemudiannya mengelus rambut Nina yang cuma separas bahu.
Waktu itu Nina cuma ketawa mengekek, mempamerkan barisan gigi kecil yang tersusun cantik dan bersih. Hasil jagaan rapi ayah sendiri. Nina selesa diperlakukan begitu. Tindak-tanduk ayah terhadap Nina bagaikan percikkan bunga api di langit yang menyeronokkan. Nina bahagia.
“Kenapa sepah-sepahkan rumah ni, sayang? Mama tentu tak suka.” Kali ini ayah menarik lembut hidung mancung Nina pula. Suara ayah mendatar dan tidak pula marah-marah biarpun letih.
Nina hanya diam di dalam pelukkan ayah, tersenyum gembira dengan layanan ayahnya itu.
Ayah kemudiannya bangun, meninggalkan Nina sendirian lalu mengutip beberapa anak patung dan periuk mainan Nina lalu diletakkan ke dalam bakul. Kemudian, ayah mengambil tempat di sofa panjang lalu melepaskan lelah di situ.
Pendiang yang dinyalakan oleh mama sewaktu mereka tiba di rumah tadi menghangatkan tubuh yang kedinginan. Nina kembali ke dalam rangkulan ayah tanpa dipinta. Rindu biarpun tidak berjumpa hanya beberapa jam.
Biasanya pada waktu begini ayah akan membawa dia dan Muhriz bersiar-siar di tepi tasik di Drury Lane Garden sambil menaburkan cebisan roti kepada itik-itik di situ. Memandangkan sekarang ini salji sedang turun dan musim dingin akan berlarutan, Nina terpaksa bermain di dalam rumah saja.
“Mama tak buka pemanas rumah ya, sayang?” Rambut ikal Nina diusapnya ayah dengan penuh kasih sayang. Sekilas bibir ayah mendarat ke pipi gebu Nina.
Nina hanya mampu menggeleng mendengar pertanyaan ayah. Selepas kembali dari pusat asuhan, mama biarkan Nina bermain di ruang tamu flat berbalutkan pakaian panas dan pendiang. Tak apa, Nina sudah biasa sejuk begini sebenarnya.
“Apa yang Nina buat dari tadi ni, sayang?” Ayah ulang soalan yang sama sewaktu dia melangkah masuk ke dalam flat itu tadi.
“Nina susun puzzle. Ayah kan pernah cakap, puzzle baik untuk otak? Nina nak jadi pandai macam ayah. Nanti bila Nina besar, Nina nak jadi doktor gigi macam ayah.” Nina menyeringai mempamerkan barisan gigi yang tersusun cantik. Memang itu cita-cita Nina. Ayahlah idola Nina. Ayahlah juga pendorong Nina.
Biarpun Nina masih kecil, Nina sudah menanam cita-cita ingin berbaju putih. Kadang-kadang Nina akan curi-curi memakai kot makmal ayah dan menggayakannya di hadapan cermin.
“Anak ayah ni walaupun umur lima tahun, dah pandai rupanya.” Tubuh Nina diangkat lalu dilambung. Mengekek Nina ketawa kerana gayat bercampur geli tatkala diperlakukan begitu.
“Memanglah you tak perasan anak membesar kalau you asyik kat kolej tu saja. Orang lain pun belajar jugak, tapi tak macam you!”
Mama tiba-tiba muncul dari balik dinding dapur. Di tubuhnya melekap apron merah jambu beropol dan di tangannya ada sebatang senduk diunjukkan ke arah ayah.
Tawa Nina susut mendadak. Nina diam membungkam. Lengan ayah dipeluk erat. Sejak akhir-akhir ini, setiap kali ayah kembali dari kelasnya mama pasti menyinga. Itu tak termasuk lagi dengan suara mama yang kuat memecahkan kesunyian tetangga.
Entah apalah yang mengganggu fikiran mama kali ini pula. Mama betul-betul buatkan Nina gerun.
Honey, Nina is here. If you want to shout out, wait till her fall asleep.” Ayah memperlahankan suara, menegur lembut tetapi tegas. Ubun-ubun Nina dibelai lembut olehnya. Takut nanti Nina mula lari ke dalam bilik.
Nina hanya mampu membatukan diri di dalam pelukan ayah. Nina tahu ayah dan mama sengaja bertutur dalam loghat British setiap kali bergaduh. Tapi Nina sekarang sudahpun berusia lima tahun. Nina bergaul dengan kawan-kawan yang berambut perang ketika di pusat asuhan. Bahasa perantaraan mereka tentulah Bahasa Inggeris U.K. Takkanlah apa yang sedang dibicarakan antara ayah dan mama, Nina langsung tak faham?
“I tak kira. Kali ini Nina pun patut tahu apa yang berlaku antara you dengan I.” Mama membentak keras. Senduk di tangan dilempar ke dinding.
Berdegup laju jantung Nina melihat mama bertindak sedemikian. Nina kenal sangat dengan mama. Hidup Nina banyak dihabiskan bersama mama jika hendak dibandingkan dengan ayah. Mama tidak akan marah sesuka hatinya. Pasti ada sesuatu yang menggangu fikiran mama waktu tu sehingga mama bertindak seperti tadi.
Ayah sudahpun bangun. Kali ini ayah dukung Nina ke tangga flat itu.
“Nina naik ke atas dulu. Tunggu ayah kat dalam bilik. Nanti ayah tukarkan baju Nina lepas tu kita turun makan malam ya, sayang?” Ayah menyorongkan patung beruang ke dalam dada Nina. Tubuh Nina disorong ke tangga lalu mata ayah menyoroti langkah Nina hingga lenyap dari pandangan.
Tapi Nina berpatah balik semula. Nina ingin perhatikan apa yang bakal berlaku antara mama dan ayah di sebalik celahan anak tangga. Sambil-sambil itu, patung beruang yang Nina namakan Nini, Nina peluk erat-erat.
“Berapa kali I nak cakap pada you? Jangan marah sesuka hati di depan anak-anak terutamanya Nina. Dia tak patut tengok mama dia garang macam ni.” Ayah bersuara lembut, seakan-akan memujuk dan berjalan menghampiri mama. Ketika ayah cuba merangkul tubuh mama, mama tepis dengan kuat.
“Jangan sentuh I dengan tangan jijik you! I tak sangka dengan you ni, Mus.” Mama mula menangis. Melihat kepada keadaan mama, Nina jatuh kasihan. Mama tak pernah menangis. Setiap hari Nina hanya lihat senyuman di wajah mama. Mama seorang ibu yang penyayang, lemah-lembut dan kuat. Tetapi hari ini, airmata mama gugur jua.
“You memang pandai ambik hati semua orang, kan? With your smiles and your grace, you make girls chasing you!” Mama mula bercakap yang bukan-bukan. Dada ayah menjadi mangsa tumbukan mama.
“Apa yang you cuba sampaikan ni, Maya? Kalau ianya dari silap I, maafkan I. I tak pernah berniat nak lukakan hati you langsung.”Ayah hanya bersabar dengan tindakan mama. Bahkan ayah masih cuba meraih mama ke dalam pelukannya.
“Dulu bukan main lagi you cakap you cintakan I, sayangkan I. Kalau betul you macam tu, kenapa sekarang ni you ada perempuan lain?!” Mama mula mengongoi. Akhirnya mama terduduk di atas sofa panjang dan menekup wajah di situ.
Ayah kelihatan tergamam dengan kata-kata mama. Keadaan jadi sepi. Hanya tangisan mama yang kedengaran di ruang tamu flat itu.
“Sumpah demi ALLAH, Maya. I tak pernah sayangkan sesiapa melainkan you.” Ayah cuba menarik jemari mama tapi mama tepis dengan kuat.
“Habis tu, takkanlah mata I ni buta tengok you berkepit dengan perempuan tu? You ingat I ni suka-suka tuduh you macam tu ke?” Mama mula bertukar nada, berlembut.
“I sumpah, Maya. I tak pernah ada sebarang hubungan dengan sesiapapun. Mungkin apa yang you tengok tu, waktu tu I keluar makan tengah hari dengan budak-budak kelas yang lain.” Ayah cuba terangkan kepada mama. Suara ayah dan pujukkannya seolah-seolah dia sedang menenangkan perasaan mama yang bergelodak.
“I kerja macam orang gila nak tampung perbelanjaan keluarga kita. Anak-anak kita, I yang uruskan. Sewa flat ni, I yang bayarkan. Dengan gaji 1700 lebih sebulan tolak dengan semua perbelanjaan rumah, sewa flat ni dan perbelanjaan anak-anak untuk sekolah. Semua ni I lakukan demi you, I sayangkan you. Tapi ni ke balasan yang I dapat?” Mama menahan esak. Wajahnya basah dengan tangisan.
“I tahu, Maya. I minta maaf kalau I ada buat you rasa cemburu dan sakit hati dengan perangai I. Kita memang tak sepatutnya hidup macam ni. Tapi percayalah pada I.” Ayah merayu-rayu pada mama. Kemudian, ayah merangkul erat tubuh mama.
“I dah tak tahan hidup kat U.K. ni, Mus. Lepas I tamat belajar tahun lepas, perbelanjaan kita meningkat. Muhriz dan Nina kena tinggal di pusat asuhan. Bila tiba musim salji macam ni, bil elektrik melambung. Itu tak termasuk belanja harian.” Mama mengadu dalam sendu.
“I tahu you tertekan. Lepas I habis belajar, kita akan balik ke Malaysia. I akan berkhidmat dengan kerajaan dan you boleh jadi cikgu di sekolah menengah. Kita tak perlu ikat perut macam sekarang lagi.” Ayah memujuk lembut.
“I tahu you tertekan sebab itulah you tuduh I macam-macam. I tak salahkan you. Tapi, tunggulah untuk beberapa bulan lagi sehingga I tamat belajar.” Kali ini ayah menarik wajah mama dekat dengan wajahnya.
“I akan pastikan you hidup bahagia hingga ke akhir hayat you.”
Nina memejam matanya rapat. Semakin Nina cuba melupakan tangis mama waktu itu, semakin ia datang menghantui. Sungguh, Nina kasihankan mama. Nina sayangkan mama dan Nina juga sayangkan ayah.
Tapi sayangnya, selang dua minggu kemudian mama datang mengambil Nina dan Muhriz di pusat asuhan dengan mata dan hidung yang kemerah-merahan.
Muhrizlah yang cuba menenangkan mama waktu itu. Perjalanan yang cuma mengambil masa selama 15 minit menjadi 30 minit untuk sampai ke rumah. Mama terpaksa berhenti di bahu jalan semata-mata untuk menghamburkan tangisnya.
Kasihan mama… hanya itu yang mampu Nina gambarkan kala itu.
Malam itu tanpa diduga, mereka bertiga terbang di awan biru. Mama umumkan yang mereka akan pulang ke Malaysia tanpa ayah. Dan sehingga kini, Nina hanya hidup bertemankan kenangan bersama ayah saja.
Desiran ombak mengembalikan Nina ke alam nyata. Kini, di pesisir pantai itu cuma tinggal Nina seorang saja. Akhirnya dia bangun lalu menyusun langkah ke vila lama milik nenda yang masih utuh hanya 500 meter dari tempat dia duduk.
“Buat apa termenung sorang-sorang kat tepi pantai? Abang tengok dari tadi lagi Nina sekejap-sekejap mengeluh. Macam ada masalah negara aje.” Muhriz yang duduk memerhati Nina dari jauh sejak dari tadi menegur tatkala Nina membuka pintu pagar kecil belakang vila itu.
Nina mengambil tempat di hadapan abangnya itu. Perbezaan umur hanya setahun tidak menjadi satu halangan untuk dia membahasakan Muhriz sebagai abang.
“Ceritalah. Manalah tahu abang boleh tolong.” Muhriz menyandarkan tubuhnya ke bahu kerusi batu. Penat menghabiskan masa petangnya di gimnasium, barulah dia muncul di sekitar vila ini mencari Nina. Menurut mama, Nina balik ke sini untuk berhujung minggu. Sebab itulah dia juga pulang ke sini untuk berjumpa Nina. Jika tidak, jangan haraplah.
Nina hanya mampu memerhati. Gaya dan tutur bicara Muhriz tak ubah seperti mama tapi rupanya saling tak tumpah seperti ayah. Setiap kali terpandangkan Muhriz, fikirannya pasti menerawang kepada ayah di negara asing.
Apakah ayah masih lagi di sana? Masih ingatkah lagi ayah pada mereka di sini? Biar beribu mama menitipkan kata benci pada ayah, Nina tetap menyayangi lelaki itu hingga hujung nyawa.
“Nina tanyakan sesuatu boleh? Abang tak marah?” Nina bersuara ragu-ragu. Apakah nanti kata-katanya bakal menjentik bara dendam ke dada Muhriz?
“Belum tanya lagi takkanlah abang nak marah. Lagipun, pernah ke abang marahkan Nina sebelum ni?” Muhriz memulangkan soalan kembali kepada Nina.
Segera Nina menggeleng. Nina akui semenjak kembali ke tanah air 14 tahun dahulu, Muhriz bagaikan berubah watak. Dia sendiri melantik dirinya menjadi ketua keluarga. Dialah yang menjadi pelindung kepada Nina dan mama.
Sewaktu kembali ke Malaysia, mama membawa mereka ke sini. Pertama kali berjumpa nenda, Nina punya tanggapan sendiri terhadap wanita tua berkebaya nyonya itu. Nenda masih lagi kelihatan muda dengan pakaian yang kemas dan bersalut barang kemas. Jika diletakkan mama dan nenda bersebelahan, mereka ibarat kakak dan adik.
Waktu itu, masih jelas diingatan Nina dengan kata-kata nenda pada ayah.
“Menantu tak kenang budi! Bernikah satu sen pun tak pakai wang, duit anak aku pun kau kikis!”
Waktu itu Nina hanya mampu melihat mama menangis tersedu-sedan dan memohon ampun pada nenda. Kasihan mama, terlalu berat beban yang digalas oleh mama kala itu.
“Itulah kau, Maya! Dulu aku suruh kau menikah dengan sepupu kau sendiri kau tak nak. Kau pilih jugak budak miskin tu jadi laki kau. Tengok sekarang apa dah jadi?” Marah nenda waktu tu meluap-luap. Nina dan Muhriz hanya mampu menatap sayu pada mama.
“Itulah kau, cinta konon! Hah, akhirnya kau datang melutut jugak pada aku. Kau mesti ingat Maya, orang miskin tak mampu nak hidup kaya macam kita. Aku cukup benci dengan dia orang. Nasib baik kau cepat sedar.”
Semenjak hari itu, Nina dan Muhriz membesar di sini. Mama bekerja sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah menengah sehingga menjadi pengetua sekolah berkat kesungguhan mama mendidik. Tapi sayang, sehingga kini nenda tak pernah berhenti menyebut tentang kesilapan perkahwinan mama yang dahulu.
“Apa yang Nina nak tanya?” Fikiran Nina berderai tentang kenangan lama. Wajah Muhriz menjadi tujahan matanya.
Nina hanya menggeleng-geleng. Dia bingkas bangun tatkala melihat nenda yang masih anggun menghampiri mereka.
Melihat Nina bangun, Muhriz juga turut bangun lalu bersalaman dengan nenda. Dia kemudiannya kembali ke tempat duduknya tadi.
“Nenda nak jus? Nina boleh ambilkan.” Nina bertanya lembut.
Nenda hanya menggeleng-geleng lalu mengambil tempat duduk Nina tadi.
“Baru sampai, Muhriz? Dah lama tak balik jenguk mama kamu kat sini, baru hari ni nampak batang hidung. Bila dah dapat kereta, hilang macam lipas kudung.” Kata-kata nenda dibiarkan saja Muhriz masuk ikut telinga kiri dan keluar melalui telinga kanan.
Tengku Mariam hanya memerhati Muhriz yang lebih suka duduk menghenyak tubuh ke bahu kerusi batu itu. Semenjak mendapat tempat di universiti tempatan, Muhriz makin jauh dengannya. Perangai Muhriz juga mula berubah bila dihadiahkan kereta hasil keputusannya yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dahulu. Bila ditanya mahu menyambung pengajian di luar negara ataupun tidak, Muhriz menolak mentah-mentah. Katanya perlu menjaga mamanya di sini. Bila jadi begini, lain pula ceritanya. Cakap tak serupa bikin.
“Muhriz sibuk sikit dengan tugasan tutorial,” bohong Muhriz.
Sejak belajar di universiti tempatan, Muhriz kurang berminat untuk balik ke sini. Dia lebih suka menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Jika di sini, nenda sering mengugut dia dengan cara yang sama wanita itu mengugut mama dan Nina. Bingit. Dia pelik bila mama dan Nina tak pernah bosan mendengar ugutan wanita ini. Bahkan, masih lagi tinggal di sini.
“Nina ambilkan jus untuk abang.” Melihat nenda lebih berminat akan Muhriz, Nina segera menyusun langkah ke pintu dapur.
“Duduk dulu, Nina. Nenda nak tanyakan tentang hal semalam.” Nina tidak jadi mengorak langkah. Dia mengambil duduk lambat-lambat. Cubaan melarikan diri dari nenda tidak berhasil.
“Nina setuju?” Tengku Mariam terus kepada soalan pokok. Tidak dibiarkan Nina ternanti-nanti. Dari pagi tadi Nina menghilang, puas dicarinya. Bila dilihat dari arah biliknya tadi, barulah dia tahu Nina menghabiskan masanya di tepi pantai.
Keputusan Nina untuk menyambung pengajian di luar negara langsung tidak berkenan di hatinya. Dia amat takut jika Nina menurut jejak mamanya. Program persediaan ke luar negara selama dua tahun turut diselit dengan percintaan antara Maya dan Mus yang berakhir ke jinjang pelamin. Biar dia tak pernah merestui hubungan mereka berdua namun hingga kini Maya dan anak-anaknya bahagia. Biar berjuta kali dia membenci Mus, Nina dan Muhriz tetap darah dagingnya.
Nina diam seketika. Wajah Muhriz dan nenda direnung bersilih ganti. Entah jawapan apalah yang harus Nina berikan kepada wanita itu. Dia bingung.
“Nina, naik sekejap. Mama nak minta tolong sikit.” Suara mama dari beranda biliknya mematikan perbualan mereka. Nina pantas mendongak mencari wajah mama disebalik susunan besi beranda.
“Ya, ma. Nina naik sekarang,” laung Nina.
“Nenda, naik ke atas dulu.” Nina bingkas bangun, meninggalkan nenda yang terpinga-pinga.
Tengku Mariam terkulat-kulat ditinggalkan cucunya begitu saja. Muhriz juga turut bangun meninggalkan dia di situ setelah meminta diri. Kini cuma tinggal dia sambil mendengar alunan azan berkumandang dari arah masjid berdekatan tanpa meninggalkan kesan di hati.