Thursday 26 February 2015

BAB 1 - PENGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS KARYA AULIA IMAN





“Kris, ada surat untuk Kris!” suara Puan Suraya memecah hening pagi. Kris Al-Hadi memisat kelopak mata. Kantuk yang menggila masih belum hilang, seawal lapan pagi lagi suara si ibu sudah mula mengganggu lena. Ah, bingit rasanya!
“Kris... bangunlah! Matahari sudah terpacak, dia masih berlingkar. Bangun, teman ibu ke pasar!” Laung Puan Suraya lagi. Kris yang masih bermalas-malasan mendengus kasar. Asyik dia sahaja yang harus ke pasar. Macamlah tiada lelaki lain selain dia di dalam rumah batu seluas ini.
“Kris!” kali ini jeritan suara Suraya semakin deras. Tahulah Kris, ibunya sudah tercegat di depan pintu bilik. Dengan segera, selimut ditolak dan dia bangkit dari pembaringan. Duduk dibirai katil sambil memerhatikan gerak-geri si ibu yang sedang menapak masuk ke dalam kamarnya.
“Ni, ada surat untuk Kris!” Puan Suraya menghulurkan sepucuk surat. Dengan lambat-lambat, dia menyambut huluran itu lalu membuka sampul bewarna merah jambu itu perlahan-lahan. Namun belum sempat sampul dibuka sepenuhnya, sekali lagi Suraya memberi peringatan mesra.
“Cepat mandi ya Kris, lepas tu bolehlah temankan ibu ke pasar!” tukas wanita berusia awal 50-an itu menyapa gegendang telinga.  Kris mengangguk, tiada kudrat untuk dia menolak kehendak puan besar. Kalau menolak, pasti ada sahaja kerja lain yang menanti dirinya. Dia tak sanggup!
“Ibu ke bilik sekejap, tukar pakaian. Nanti tunggu ibu dekat bawah!” tukas Suraya sebaik sahaja melihat anak bujangnya mengangguk lemah.
“Yelah, bu!” sahut Kris ringkas. Sejurus itu Suraya memberi isyarat untuk berlalu dan Kris pula sekadar memerhati kelibat ibunya hingga lenyap dari pandangan mata.
Beberapa saat kemudian, Kris kembali memandang sepucuk surat di tapak tangan. Anak mata bewarna hitam pekat bingkas menancap sebaris nama. Suri! Kekasih paling dicinta. Tanpa berlengah, sampul itu dikoyak lalu lembaran itu dikeluarkan.

Kehadapan kekasihku, mulai saat surat ini dibaca olehmu, bermakna hubungan kita terputus berkuatkuasa serta merta. Dibawah merupakan surat tunjuk sebab dan punca-punca hubungan kita terhenti di sini:

1. Awak lelaki yang membosankan.
2. Sifat kedekut awak, memang menjadi kebencian saya. Sedangkan awak  tahu, saya suka membeli belah dan berhibur
3. Paling penting, awak lelaki tak punya perasaan. Tiada rasa cemburu walaupun saya keluar dengan lelaki lain. Kalau sekali dua tidak mengapa lagi, ini sudah berkali-kali hingga saya merasa bahawasanya saya bercinta dengan tunggul kayu. Awak lelaki tak berperasaan!
4. Akhir sekali saya tak suka fesyen jeans koyak yang awak agung-agungkan selama ini. Selekeh, tak bergaya & busuk! Tentang rambut, itu pun saya tak berkenan! Tolonglah jadi pembersih dan segak, bukan selekeh tidak terurus!
Dengan ini, berakhirlah hubungan kita! Selamat tinggal romeoku. Jangan cuba merayu diriku lagi.
Ikhlas dari Suri buat Kris al-Hadi

“He ekleh dia ni! Kau ingat aku kisah? Budget cun.. cermin dulu diri kau tu Suri. Kau tu fat, sepadanlah dengan aku yang selekeh ni. Huh!” tidak semena-mena surat yang baru habis di khatam direnyuk lalu dilempar ke hujung katil.
Menyampah pada Suri sudah tidak kira. Selama ini dia berkorban apa sahaja, namun akhirnya dia dihina dan diperkotak katikkan sebegini. Sia-sia sahaja masa dan tenaga yang dicurahkan. Alih-alih, dia juga yang ditinggalkan! Malang sungguh!
“Ah Suri, siaplah kau! Fat, tak sedar diri!” Kris menghambur segala rasa yang bermain di sanubarinya. Pagi-pagi lagi dikejutkan dengan berita sebegini, siapa yang boleh tersenyum bahagia? Spoil mood di awal permulaan hari.
‘Ah, stress!’ hati berdesis dan sudah pasti riak wajahnya sudah bertukar tegang.
“Ha, Kris kenapa tak siap-siap lagi ni?” Suraya muncul di muka pintu. Kris yang sedang terkumat kamit menyumpah seranah bekas kekasih hatinya segera memanggung wajah. Ibunya sudah siap menukar pakaian.
“Kris.. ibu tanya ni, dia boleh keras macam tugu negara? Kris sihat ke tidak?” Suraya melangkah masuk ke dalam kamar anak bujang yang baru sahaja menyambut usia 24 tahun. Keadaan bilik yang cukup berselerak, sama seperti keadaan anaknya juga!
“Err.. Kris sihat bu!” cepat-cepat Kris menjawab.
“Habis tu, senyap je ibu tengok!”
“Kris baru putus cinta!” lambat-lambat bibir meluahkan perkara yang baru berlaku. Termasuk Suri, sudah tiga orang gadis memutuskan hubungan dengan dirinya. Bermakna, mereka sengaja menolak tuah!
“Serius?” Suraya menyoal dengan nada tegas.
Kris mengangguk perlahan lalu anggukan itu disambut dengan senyuman Suraya.
“Baguslah Kris... lega ibu dengar!” ujar Suraya seraya menepuk bahu anaknya berulang kali. Dia bangga dengan keadaan Kris ketika ini. Terselamat anak terunanya dari dosa kering!
Kris yang mendengar kata-kata ibunya pula, segera memandang hairan. Ibunya tidak bersimpati, bahkan bergembira di atas kesedihan yang dialami. Ah, kesianya hidup kau Kris Al-Hadi.
“Bu... Kris putus cinta kut! Ibu boleh tersenyum-senyum macam ni? Langsung tak kesiankan Kris! Apa, Kris ni tak patut bercinta ke apa?” dengan nada berkecil hati, Kris menyoal ibunya.
Puan Suraya yang mengesan kelainan si anak, segera bertindak untuk memujuk. Kali ini, bahu si anak diusap lembut, tiada lagi tepukan bravo untuk si bujang. Dia tahu Kris pasti terluka namun sesungguhnya dia berasa amat gembira apabila mengetahui berita baik seperti ini. Lega sungguh hati tuanya!
“Ya, ibu tahu tu Kris! Tapi syukur alhamdulillah.. selamat anak ibu dari melakukan dosa kering! Tak adalah sakit mata ibu dok tengok Kris angkut si Suri tu ke hulu ke hilir! Berdosa tau!”
“Berdosa?” Ulang Kris bagai tercekik ketul ais di saluran kerongkong. Perit! Ah, mengangkut Suri ke hulu ke hilir dikatakan berdosa? Mustahillah! Dia bukannya melakukan perkara yang tak elok ataupun tidak senonoh. Cuma keluar bertemu janji dan bersiar-siar, itu sahaja! Takkanlah berdosa!
“Ya, berdosa! Bukan muhrim, tak elok keluar berdua-duaan! Kalau sudah berdua, pasti ada yang ketiga.” Ujar Suraya menerangkan perkara sebenar.
Baginya, tindakan Kris sudah dikira berdosa di sisi agama, dan kurang manis jika dipandang oleh masyarakat setempat. Tambahan pula, mereka golongan yang dikenali. Apa yang akan terjadi kepada mereka sekiranya sesuatu yang tidak elok berlaku dikemudian hari? Nauzubillahiminzalik!
“Kris tak buat apa-apa pun bu.. kami hanya keluar berjalan-jalan! Itu pun salah ke?” rungut Kris bersama wajah kelat. Suraya yang mendengar kenyataan si anak, segera menggeleng. Perkara yang disebut oleh bibir itu, harus segera diperbetulkan.
“Kris..  kita dilarang mendekati zina apatah lagi melakukannya. Kalau Kris dekati zina, tak mustahil anak ibu ni mudah terjerumus. Lagipun, ibu tak mahu Kris bergelumang dengan dosa! Cukuplah stok kekasih Kris yang bersepah-sepah tu. Ibu rimas! Cukup ya, nak! Jangan bazirkan masa dengan sesuatu yang tak pasti dan tak berfaedah.” pinta Suraya membuatkan Kris terdiam seribu bahasa.
Sebaik sahaja melihat si anak tidak melawan katanya, Suraya segera bangkit dan mula menoleh jam di pergelangan tangan. “Eh, kita dah lambat ni Kris! Jom ke pasar, petang ni ibu ada buat makan-makan.”
“Awal lagi bu!” hambur Kris pendek. Dia masih menguap menahan kantuk.
 “Astaghfirullahhalazim, dah pukul 8.30 pagi ni Kris! Matahari sudah terpacak!
“Awal lagi bu.. kejap lagilah kita pergi! Jalan jam, malas nak drive…” leret suara si anak tetap tidak mematahkan kehendak Suraya. Dengan suara tegas, dia nyatakan kemahuannya.
 No.. Kita dah lewat! Ibu nak ke pasar nak beli barang untuk majlis makan-makan petang nanti!”
“Makan apa pulak ni bu…. Malam tadi, kan kita dah makan?” sekali lagi Kris merungut sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
 “Makan-makan sempena menantikan pengumuman penting dari babah!” ujar Suraya menjawab pertanyaan itu. Dia kuntum senyum sambil menanti reaksi si anak yang paling dekat dengan dirinya.
“Pengumuman? Pengumuman apa pulak ni? Ibu dengan babah, kalau tak buat sesuatu yang suspen tak boleh ke?” Dahi yang tegang kini sudah berkerut seribu. Cuak rasanya!
 Senyuman Suraya terlakar di bibir. Dengan bersahaja, dia ungkapkan sesuatu. “Adalah kejutan yang babah nak buat... semua anak bujang ibu kena ada! Termasuk Kris!”
“Wajib?” kening terjongket tinggi.
“Ya, wajib!” angguk Suraya masih lagi dalam senyuman mesra.
“Okey, tapi pukul berapa ya bu? Kris ada hal…”
“Lepas asar, lebih kurang pukul 5.30 petang! Tak ambil masa yang lama pun, ibu jamin!”
“Kalau macam tu, okeylah! Pukul enam, Kris nak lepak dengan member!”
“Ha yelah! Ni, apa tunggu lagi.. cepat bersiap! Kita ke pasar, lepas tu tolong ibu masak!”
“Kris lagi?” sengaja jari telunjuk di hala ke arah batang tubuh sendiri. Asyik-asyik dia.. balik-balik dia. Sah, tiada orang lain yang lebih berkaliber dan patuh selain dirinya, Kris Al-Hadi.

No comments:

Post a Comment