Friday 29 May 2015

MR KILLER SMILE, KAU MEMBUNUHKU PERLAHAN KARYA RUBY NUR AIRIS

BAB 1


‘Hanya kesedihan yang terpancar dari senyuman dan pandangan matamu. Akukah puncanya atau situasi yang membelenggu dan mengelilingimu saat ini. Jikalau aku puncanya katakanlah agar bisaku ubah caraku tetapi jikalau situasi sekeliling…akanku cuba melindungi dan menjadi benteng menghadapinya…’

Bab Satu

Hari minggu.Hari yang di nanti-nantikan oleh Iskandar. Seperti lazimnya setiap hujung minggu dia akan memperuntukkan hari yang istimewa ini untuk bersantai. Iyalah…setelah sibuk dan berpenat-penat dengan urusan pejabat dari pukul 9.00 pagi hinggga 5.00 petang, inilah harinya dia berhibur sedikit. Hari ini dia akan menjemput seorang ‘teman’ yang baru 2 minggu di kenalinya.
Berkenalan pula dari laman sesawang masa kini….facebook. Huh, zaman serba canggih sekarang begitu memudahkan insan-insan yang sibuk sepertinya mencari teman baru. Mudah saja, cuma perlu klik….semua jenis perempuan dapat di temui…of couselah kalau ingin menjadi ‘teman’ Iskandar, pakej-pakej tertentu akan di beri perhatian. Paling penting perempuan itu mestilah cantik, bergaya, boleh di bawa ke tengah ke tepi dan seangkatan dengan seksi!!
Hidupnya terasa bahagia sekali. Selesai bersarapan Iskandar terus mencapai kunci Mitsubishi Evolution VIInya. Kereta itu adalah di antara tiga kereta kesayangannya. Kakinya melangkah melewati ruang tamu yang bercat biru laut. Warna yang mendamaikan dan seingatnya warna itu tidak pernah bertukar semenjak neneknya masih ada lagi.
Jikalau ruang tamu itu di cat baru sekali pun warna yang sama masih di kekalkan. Mungkin warna itu warna nostalgia bagi atuknya. Iskandar tersenyum kecil. Dia tahu betapa atuknya begitu menyayangi arwah neneknya sehinggakan semua yang berkaitan arwah neneknya masih kekal sehingga kini walaupun sudah hampir 8 tahun nenek kesayangannya kembali kepada yang Satu. Kembali kepada yang lebih berhak.
“Is!!” tiba-tiba saja terdengar suara Dato’Hasyim ketika Iskandar sudah menghampiri pintu kayu yang besar.
Iskandar sedikit tersentak, terkejut kerana pada kebiasaannya pagi-pagi begitu atuknya itu akan berada di bilik bacaannya. Dia segera berpaling. Dato’Hasyim kelihatan sedang membaca surat khabar. Gayanya itu seperti tidak memperdulikan kehadiran Iskandar yang semakin menghampiri. Iskandar segera melabuhkan punggungnya di salah satu sofa yang terdapat di situ. Suasana sepi di antara mereka. Keadaan Dato’Hasyim yang membisu seribu bahasa itu meresahkan Iskandar. Hampir 5 minit keadaan itu berlaku, barulah Dato’Hasyim menutup akhbar dihadapannya.
“Atuk panggil Is?” Iskandar bertanya.
“Atuk ada sesuatu yang ingin di perkatakan dan perkara ini terlalu penting. Harap Is akan dengar baik-baik dan fikir sedalam-dalamnya perkara ini,’’ ujar Dato’Hasyim sambil anak matanya memerhatikan cucu tunggal kesayangannya itu.
“Perkara apa atuk? InsyaAllah kalau Is boleh cuba Is akan cuba sebaik mungkin.” Lembut suara Iskandar menuturkannya namun hatinya sedikit cemas. ‘Harap-harap janganlah perkara itu,’ getus hati kecilnya.
“Atuk pasti Is dapat menangani perkara ini dengan sebaiknya. Ianya tentang Auni. Atuk tak mahu ada perkara buruk berlaku, maksud atuk….iyalah….kau tu lelaki dia perempuan. Tak manis dipandang oleh jiran-jiran. Atuk cakap macam ni bukan kerana atuk tak sukakannya tapi Is harus tahu batas-batasnya bila duduk sebumbung walaupun masih ada atuk, mak Zah dan abang Mie…Is fikirkanlah…’’ Panjang lebar Dato’Hasyim menerangkan perkara yang sudah lama bersarang di fikirannya.
“Is faham. Atuk janganlah risau. Is akan cuba selesaikan perkara ini, insyaAllah. Emm…I must go now, assalamualaikum…” Iskandar tersenyum sebelum berlalu.
“Waalaikummussalam…” Dato’Hisyam membalas salam dan turut tersenyum. Dia tahu cucunya itu pasti ada cara penyelesaian berkenaan masalah yang berbangkit tadi.
##########
Di blok B seorang pelajar perempuan kelihatan tertinjau-tinjau seperti mencari sesuatu. Iskandar ketika itu baru balik dari bilik guru segera menghampiri. Peluang keemasan sebegini jarang dilepaskan olehnya. Yalah, burung seperti leka memakan padi ataupun istilah lain yang dia sendiri lebelkan ialah tikus ada di hadapan mata sedang leka memakan keju. Kalau tidak masakan di sekolah itu dia di gelar ‘Romeo’. Bukan romeo sebarang romeo tetapi romeo yang lengkap segala pekej.
“Kau cari siapa?” Iskandar menyoal pelajar perempuan yang sedang membelakanginya. ‘Mak oi,wanginya!’
“Ya, awak cakap dengan saya ke?” pelajar itu berpaling memperlihatkan wajah.
Entah istilah apa yang mampu di nyatakan, entah perkataan apa yang mampu dituturkan, Iskandar bagaikan terpaku dengan keayuan dan kecomelan wajah yang terpapar di hadapan mata. Liurnya ditelan. Wajah itu begitu memukau dan mengasyikkan. Iskandar tersenyum, hati nakalnya berbisik…ini ada ‘mangsa’ baru yang begitu polos kelihatannya.
“Habis tu kau ingat aku bercakap dengan siapa? Atau dengan apa! Mana ada orang lain kat sini? Atau pun kau ada six sence? Ada ternampak sesiapa lagi kat sini? Atau pun kau nampak aku bercakap dengan dinding ni ke?” Iskandar tahu tutur katanya begitu kasar dan biadap terhadap gadis itu tapi itulah identitinya,‘romeo’ yang bukan gentleman.
Riak wajah terkejut jelas terpapar di wajah pelajar itu dan mungkin geram dengan sikap biadap Iskandar, si gadis berpaling dan melangkah meninggalkan Iskandar, si romeo yang bukan gentleman. Di hujung koridor kelihatan seorang pengawas yang semakin menghampiri tempat itu. Iskandar turut melangkah mengekori si gadis.
“Hei, kau tak jawab pertanyaan aku tadi!” Iskandar menarik hujung tudung sekolah  apabila dia betul-betul berada di belakang pelajar berkenaan.
Terkejut dengan tindakan Iskandar, pelajar perempuan itu terjerit kecil. Perasaan marahnya begitu ketara apabila wajahnya bertukar warna menjadi kemerah-merahan. Dia cuba menarik kembali hujung tudungnya namun Iskandar seakan tidak mahu lepaskannya dan adengan tarik-menarik terjadi.
“Awak ni kenapa?” soal pelajar perempuan itu. Wajah merahnya begitu jelas kelihatan, marah, geram dan rasa sakit hati yang bercampur baur.
“Aku cuma nak tahu nama kau je dan form berapa?” Iskandar masih memegang hujung tudung pelajar perempuan itu dan dia mempamerkan senyuman ‘cantik’nya. Manalah tahu, pelajar cute itu cair dengan senyumannya.
“Apa yang kau buat Adam Iskandar?” tiba-tiba satu suara kedengaran,mengganggu pandangan tajam Iskandar terhadap pelajar cute di hadapannya.
Iskandar berpaling seketika ke arah pengawas tersebut sebelum tersenyum sinis dan melepaskan pegangan kemasnya dari hujung tudung. Tanpa berkata apa-apa dia terus berlalu meninggalkan tempat itu. Meninggalkan sang bunga bersama pengawas ‘hidung tinggi’. Auni, itulah nama pelajar baru itu, pelajar yang baru bertukar ke daerah tersebut dan berada di dalam tingkatan 3 Amanah ataupun lebih dikenali sebagai 3RK1.
Orangnya kecil sahaja, bertudung dan sungguh ayu dengan lesung pipit di kedua belah pipinya. Iskandar sering ternampak pengawas ‘hidung tinggi’ berada dekat dengan pelajar itu. Mungkinkah mereka bercinta?
“Kenapa kau tak tackle dia?” Anuar Syahril pernah bertanyakan soalan itu.
Not my taste!” Jawapan ringkas yang sering di beritahu kepada sahabat baiknya itu jikalau sang gadis tidak digemarinya.
Ah, perdulikan semua itu! Itu semua tidak penting baginya. Paling penting ketika itu ialah STPM yang semakin menghampiri. Juga aktiviti-aktiviti luarnya yang lain iaitu mewakili hoki peringkat kebangsaan dan tidak lupa berkenalan dan berkawan sedikit mesra dengan gadis-gadis cantik. Yalah, siapa tidak kenal dengan ‘romeo’. Berbekalkan wajah yang kacak dan segak, tidak susah bagi Iskandar mahu bergandingan dengan sesiapa pun lebih-lebih lagi dengan kemampuan kewangannya.
7 tahun berlalu, dia tetap begitu. Iskandar si ‘romeo’. Siapa sangka dia bertemu kembali dengan gadis yang pernah diusiknya ketika kali pertama gadis itu bersekolah di sekolahnya. Kali ini di universiti teman terbarunya.
“Ini Iskandarkan?” gadis itu menegur Iskandar.
“Kau buat apa kat sini?” wajah gadis itu begitu dikenalinya walau hampir 7 tahun tidak bertemu. Wajah yang sama, ketinggian yang sama, perwatakan yang sama.
“Saya belajar di sini. Ini tahun akhir.” Auni memberitahu ikhlas sambil tersenyum.
Iskandar memandang tanpa kata-kata ke wajah gadis itu namun kemudiannya segera berpaling ke sisi apabila ‘teman baru’nya menarik-narik lembut lengan kanannya.
“Ma…maaf kalau saya menggangu. Emm…apa-apa pun selamat bertemu kembali.” Auni segera mahu berlalu setelah melihat ‘situasi’ yang agak tidak menyenangkan itu.
“Auni, tunggu!”
Sorry! Kau tak mengganggu. Aku cuma terkejut sebab jumpa kau kat sini. Kau masih kenal aku?” Iskandar tersenyum dengan senyuman mautnya.
Hari itu, selepas 7 tahun berlalu mereka berbual panjang. Siapa sangka zaman persekolahan dulu mereka jarang berpeluang berbual panjang seperti itu. Yalah, semenjak kisah Iskandar menarik tudung Auni dulu, Auni seakan melarikan diri daripada lelaki itu. Takut? Mungkin juga. Siapa yang tidak takut bila seseorang bagaikan mahu membuli apabila hari pertama menjejakkan kaki ke sekolah baru.
“Aku nak minta maaf kat kau.” Dikerancakkan berbual Iskandar tiba-tiba memohon kemaafan dari Auni.
“Kenapa pula? Awak tak salah apa-apa pun kat saya.”
“Pasal aku pernah tarik tudung kau dulu.” Iskandar mengingatkan Auni tentang kenakalannya suatu waktu dulu.
Auni tertawa kecil menampakkan kedua lesung pipitnya. Dia sedikit geli hati dengan permohonan maaf dari lelaki itu. Kelakar apabila peristiwa zaman budak-budak masih diambil perhatian ketika ini.
“Kenapa kau ketawa?” Kehairanan. Iskandar betul-betul kehairanan.
“Eh, tak ingat ke? Awakkan dah minta maaf pasal perkara itu.”
“Tak, tak ingat! Betul ke?”
“Awak dah minta maaf masa hari sukan tahunan. Ingat?”
Iskandar tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. ‘Teman baru’ yang sedari tadi mendiamkan diri mula menarik-narik lembut tangan Iskandar. Mukanya masam mencuka dengan bibir yang dijuihkan seperti muncung itik. Anak itik hodoh!!
“Oklah Auni. Aku nak ke tempat lain pula. Harap jumpa lagi dan ini business card aku. Kalau ada apa-apa hal kau boleh hubungi aku.” Kad dikeluarkan dari wallet dan bertukar tangan.
Itu cerita 2 bulan dulu. Cerita ketika kali pertama Iskandar bertemu kembali dengan Auni Amirah. Cerita itu sudah berlalu dan cerita hari ini begitu berlainan sekali. Siapa sangka Auni, terpaksa menumpang seketika di rumahnya sebelum semester baru bermula. Semester itu juga akan menjadi semester akhir Auni. Masih terbayang keadaan Auni ketika itu. Mujur Auni menghubunginya ketika itu. Memang setahunya Auni hanya mengenali beberapa orang saja di daerah itu.
Ketika gadis itu baru berpindah sekolah dulu ke daerah itu,dia berada di tingkatan 3 dan tinggal dengan abang dan kakak iparnya. Sekarang gadis itu bagaikan sebatang kara setelah abang dan kakak iparnya kemalangan dan meninggal dunia ketika Auni di tahun pertama. Kemudian bagaikan malang yang bertimpa ayahnya pula meninggal kerana serangan jantung sebelum cuti semesta bermula. Ibu tirinya pula…ah, ini kerana ibu tirinya! Ada kisah yang berlaku hingga mennyebabkan Auni tekad keluar dari rumah pusaka arwah ayahnya dan datang ke daerah ini.
Iskandar sedar dia bukanlah insan pertama yang di hubungi Auni ketika itu. Ah, tak kisahlah dia insan yang ke berapa tetapi sekarang Auni sudah berada di rumahnya. Rumah yang didudukinya bersama atuk, mak Zah dan abang Mie. Ah, pening di buatnya! Lebih-lebih lagi kata-kata yang di ucapkan atuknya tadi. Setiap patah perkataan jelas dan di fahami maksudnya.
Kata-kata itulah yang membantutkan rancangannya mahu keluar berhibur bersama teman baru. Pagi itu Iskandar mengambil keputusan keluar menghirup udara segar di pinggir laut. Di tepi pantai yang sememangnya terkenal di negeri itu. Pantai Teluk Cempedak atau ringkasannya pantai TC. Hampir ke waktu senja barulah dia menapak pulang dan langsung ke biliknya. Waktu makan malam juga Iskandar tidak turun seperti lazimnya.
###########
“Is…..cepat turun makan. Lauk dah sejuk ni.” Entah kali yang ke berapa mak Zah mengetuk pintu bilik Iskandar.
Iskandar tersentak, agak jauh dia termenung dan berfikir rupanya. Minda dan hatinya terasa agak jauh melayang. Walau hakikatnya jasadnya masih di situ. Selesai sembahyang tadi, Iskandar berteleku sendirian dan memikirkan kata-kata atuknya tadi. Berserabut. Fikirannya begitu berserabut.
“Is!!!” ketukan di pintu semakin kuat bunyinya. Suara mak Zah juga kedengaran cemas.
“Adoi…!!!”
Mak Zah ketawa kecil. “La…terjongol macam tu je. Maaflah mak Zah tak sengaja.” Rupanya tanpa sengaja mak Zah terketuk hidung Iskandar yang tiba-tiba membuka pintu biliknya.
“Itulah lain kali senyaplah lagi. Menakutkan mak Zah je. Dahlah tu pergi makan dulu. Orang lain semua dah makan. Kalau nak tunggu Is….laparlah jawabnya.” Mak Zah meleteri Iskandar sambil mereka turun ke tingkat bawah.
Iskandar hanya mendiamkan dirinya. Baginya leteran mak Zah adalah seperti lagu merdu yang di dendangkan penyanyi popular ketika ini. Makan malam, walaupun sedap dan menyelerakan pada selera orang lain tetapi tidak bagi Iskandar hari itu. Namun begitu bagi tidak menghampakan mak Zah yang bersusah payah memasak Iskandar makan juga walaupun sedikit.
“Sikitnya Is makan malam ni…tak sedap ke mak Zah masak?” Mak Zah menegur setelah dilihatnya Iskandar sudah siap makan walaupun masih banyak nasi dan lauk di pinggannya.
“Eh, taklah mak Zah…emm..atuk dan Auni, mana mak Zah?”
“Dato’ ada dalam bilik bacaan, rasa-rasanyalah. Auni…Auni, kalau tak silap mak Zah ada kat luar agaknya. Mungkin ambil angin kut.” Mak Zah menjawab sambil tangannya sibuk mengemas sisa makanan Iskandar tadi.
Tanpa berkata apa-apa Iskandar segera keluar dari rumah dan menuju ke arah taman mini yang diberi nama ‘Mutiara Emas’ oleh arwah neneknya dulu. Dia amat yakin Auni ada di situ kerana sepanjang dua minggu ini gadis itu sering kelihatan menyendiri di ‘Mutiara Emas’.
Dalam cahaya yang menerangi taman mini kelihatan Auni di salah satu bangku yang terdapat di situ. Iskandar berkira-kira bagaimana mahu memberitahu perkara yang di perkatakan atuknya siang tadi. Auni berpaling setelah menyedari seseorang memerhatikannya.
“Ada apa Is?” seperti tahu ada sesuatu yang mahu di bicarakan Iskandar, Auni bertanya. Dia tersenyum sedikit tanda hormat terhadap tuan rumah.
Iskandar melangkah dan duduk di bangku yang sama. “Sebenarnya memang ada sesuatu yang aku nak beritahu kau sebenarnya…”
Auni berpaling memandang ke wajah Iskandar yang berada di sebelahnya. Dia tahu apa yang mahu di perkatakan Iskandar. Hatinya sedikit resah. Resah dengan perkara yang bakal di beritahu. Resah dengan masalah yang membelenggunya semenjak dua minggu yang lalu. Resah dengan kehadiran Iskandar di sisi walaupun jarak mereka boleh memuatkan lagi dua orang manusia.
Satu persatu Iskandar memberitahu Auni tentang perkara yang di beritahu atuknya. Auni hanya diam mendengar. Dia tahu perkara itu akan berbangkit juga akhirnya. Keadaan menjadi sunyi seketika. Tiada satu perkataan pun yang keluar dari mulut Iskandar mahupun Auni sendiri.
Mereka berdua melayani perasaan masing-masing. Iskandar dengan rasa bersalahnya. Auni pula dengan masalah yang bagaikan mengekori dan mengejarnya. Ketika ini hanya kedengaran bunyi cengkerik dan katak yang sahut menyahut,mungkin hari hendak hujan. Katak? Tiba-tiba Auni terbangun dari duduknya.
Geli. Ya, itulah perasaannya ketika teringatkan haiwan dua alam itu. Amfibia, tubuhnya melekit-lekit dengan lendir. Sebenarnya Auni memang gelikan haiwan kecil itu. Harap-harap janganlah haiwan itu ada berdekatan, itulah doa Auni dalam hati.
Iskandar sedikit terperanjat apabila Auni tiba-tiba bangun dan berdiri kaku di situ. Jauh di sudut hatinya dia begitu bersimpati dengan nasib yang menimpa gadis itu. Sebenarnya dia sanggup memberi gadis itu tinggal di situ selama mungkin. Dia juga tidak pasti kenapa atuknya menyuruhnya memberitahu Auni tentang kemungkinan masalah yang bakal terjadi dengan kehadiran gadis itu di rumah mereka.
“Aku minta maaf kalau perkara yang aku beritahu tadi menyebabkan kau terasa hati.” Lembut Iskandar berbicara. Matanya terpaku ke arah Auni yang sedang berdiri.
Auni ketawa kecil. Cuba menghilangkan rasa gugupnya tatkala berbual dengan Iskandar. Sebenarnya dia kurang biasa berbual dengan lelaki. Lebih-lebih lagi dengan berkeadaan berduaan begitu. “Takde apa-apalah Is. Saya faham. Is jangan rasa bersalah pulak. Saya tak terasa hati pun. Betul juga kata atuk tu. Bimbang dengan kata-kata orang luar, lebih-lebih lagi atuk adalah orang cukup di kenali di sini.”
“Maafkan aku sekali lagi, Auni. Nanti kita akan cuba fikirkan bagaimana mahu selesaikan masalah ini…” beberapa kali Iskandar meraup rambutnya tanda kegelisahan.
Auni ketawa kecil lagi. “Awak tak perlu minta maaf Is. Sepatutnya sayalah yang perlu minta maaf kerana kehadiran saya bagaikan meragut ketenangan yang lama ada di rumah ini. Saya betul-betul minta maaf Is….”
Iskandar turut bangun dan berdiri di sebelah Auni. “Itulah gunanya kawan, Auni. Walaupun susah bagaimana pun, insyaAllah selagi terdaya. Akan cuba membantunya.” Iskandar senyum dengan senyuman mesra.
Dalam hatinya berbisik kata-kata sendiri. ‘Sebenarnya aku sanggup membantu dan menolong kau, sahabatku. Walau apa pun rintangan, aku sangguh menjadi benteng dan menepis segala masalah yang melanda. Aku sanggup menjadi pelindung asalkan kau bahagia kerana itulah erti persahabatan sejati. Kebahagiaan kau kebahagiaanku juga, sahabatku.’
           
            

No comments:

Post a Comment