Thursday, 18 December 2014

DIA... COACH HANDSOMEKU BY WANIZA AMI

BAB 1

https://www.facebook.com/azizah.ami.3114?fref=nf


PUNGGUNGNYA dilabuhkan dengan senyuman yang melebar. Bukannya gembira melihat wajah ceria para pemain bola sepak kebangsaan tetapi melihat wajah jurulatih yang sentiasa serius ketika melatih pemain bawahannya. Julia memejam matanya seketika. Alangkah bagusnya jika dia ada disebelah jurulatih bernama Muiz itu sambil memegang botol air mineral. Dengan penuh rasa kasih, peluh yang menitis di dahi Muiz dikesatnya dengan penuh kelembutan. Bibir yang terukir molek itu terus hilang jejak ukirannya apabila pahanya ditampar kuat oleh Kira.
         “Berangan tak habis-habis!”
Julia mencebik lalu dibuka matanya seluas yang mungkin. Muiz yang berjalan melewati para pemain sedikit terganggu tumpuannya apabila menyedari renungan Julia itu. Dia dengan segera berpaling daripada terus menjadi intipan mata pemangsa bernama Julia.
        “Kau tengok abang kau ke, tengok coach tu?” Kira mengintai wajah Julia.
        “Abang aku tu hari-hari aku dah jumpa. Tekak aku ni dah loya tahap tak boleh telan air masak dah tau tengok muka abang aku tu. Setakat nak meloyakan tekak aku ni, di rumah pun boleh.” Jawapan yang sangat telus itu dibalas dengan gelengan lemah oleh Kira. Sudah dia agak daripada awal.
        "Baik, coach!" Jerit semua pemain di padang. Julia menongkat dagunya memandang Muiz yang tegas di padang dari tempat duduknya. Masih tidak berganjak daripada tadi.
        "Sejak bila pula kau minat tengok bola ni?" Kira mencuit paha sahabatnya yang tak mahu memutuskan talian renungannya. Makin berkerut dahi Muiz apabila menyedari renungan penuh dengan makna itu masih ada buatnya. Muiz bergerak sedikit ke sebelah kiri, mahu berlindung daripada terus direnung Julia. Zaril, abang Julia yang merupakan penyerang sisi kanan mengecilkan mata tatkala melihat adiknya yang tersengih-sengih memandang Muiz. Kurang asam, kata nak bagi semangat pada abang sendiri tapi rupa-rupanya nak mengurat. Apa punya adiklah! Sikit pun tak dipandangnya aku. Balik nanti siap kau, gerutu hati Zaril.
        "Siapa tu Zaril?" Soal Muiz.
        "Er... adik saya."
        "Pergi pada dia dan minta dia jangan renung saya dari situ." Arah Muiz dan Zaril berlari terus pada Julia yang sedikit terkejut.
        "Adik! Jangan pandang jurulatih abang dari situ. Dia tak suka tahu tak?" Marah Zaril sambil ditunjuknya isyarat cubitan pada adiknya. 
Mereka meneruskan latihan dan Muiz menoleh ke belakang. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat Julia melambainya dengan senyuman tanpa rasa bersalah.
        "Encik Muiz kata jangan pandang dari sana jadi saya pandanglah dari sini."Jerit Julia. Muiz dan Kira menepuk dahi mereka serentak. Memang parah budak ni. Kira menarik tangan Julia agar beredar daripada situ. Dengan rasa terpaksa Julia terpaksa juga mengikut Kira pulang ke rumah. Sepanjang jalan dia membebel panjang. Kira memekakkan telinganya. Itulah kalau orang dah angau, buang segala rasa malu. Dia pula yang rasa malu apabila melihat Muiz yang tidak selesa direnung oleh Julia.
       “Lain kali aku tak nak ikut kau,” ujar Kira dan Julia hanya ketawa lucu.
       “Kau tak nak ikut? Aku emmang tengok coach Muiz tu tapi kau ingat aku tak perasan mata kau yang sepet tu pandang siapa? Pandang abang aku kan?” Soalan Julia mematikan kata-kata Kira. Memang itu kebenarannya. Nak dinafikan bagaimana lagi? Nak menipu Julia bukannya mudah. Dialah sahabatnya sejak daripada kecil lagi.
      “Esok ada perlawanan. Kau nak ikut tak? Aku dapat tempat duduk baik punya. Dekat dengan tempat duduk pemain.” Keningnya terjongket-jongket memandang Kira. Malu pula Kira mahu mengangguk. Faham-faham sendirilah apabila Kira tersenyum malu begitu.
       “Eleh, bakal kakak ipar aku ni pun gedik semacam juga.” Julia memaut bahu sahabatnya dengan tawa yang meleret. Tak sabar rasanya mahu menonton perlawanan esok hari atau lebih tepat lagi, menatap wajah Muiz yang nampak serius tapi manis macam gula tebu.

JULIA dan Kira sudah tiba lebih awal untuk memberikan sokongan pada pasukan negara bagi menentang pasukan daripada negara Filipina itu. Lagi beberapa minit perlawan akan dimulakan. Julia berdiri dengan bendera yang disangkut ke bahunya.
        “Muiz! Muiz!” Jeritannya membuatkan penonton sekeliling berpaling memandangnya dengan kening yang berkerut dalam. Orang sorakkan pemain, dia pula sorakkan jurulatih. Menyedari dirinya direnung pelik, Julia dengan segera menerangkan tindakannya tadi.
        “Kalau tak ada coach, kamu semua ingat pemain tu boleh main dengan sempurna ke? Coach pun patut kena sorak tau?”
Tak sangka mereka yang lain turut sama bersorak seperti Julia.
       “Muiz!Muiz!”
        “Yeah... come on bebeh!” Sorak Julia lagi. Muiz dan para pemain sedikit pelik. Mereka menoleh ke belakang. Mata Muiz menangkap sesusuk tubuh yang dengan terujanya menjerit namanya berkali-kali. Mata Muiz beralih pada Zaril yang lebih dulu memberikan jawapan yang selamat.
       “Saya tak tahu coach. Entah adik siapalah tu.” Zairil berlari anak ke sebelah hujung untuk memanaskan badan. Hatinya sudah panas dengan perangai Julia. Nasib baik sorakan itu tidak lama dan yang pastinya hanya mereka yang duduk di sekeliling Julia sahaja yang menyorak nama Muiz.  Perlawanan dimulakan dan nampaknya pasukan negara mempunyai peluang yang baik apabila bola yang disepak oleh pasukan negara Filipina itu tidak berjaya membolosi gawang pasukan negara. Julia melompat kegembiraan. Muiz berpeluk tubuh sambil mengunyah gula-gula getah. Mungkin dia sedikit risau memandangkan perlawanan malam itu lebih dikuasai pasukan lawan.
      Julia menggenggam tangan Kira apabila Zaril menggelecek bola sebelum dihantar kepada Hasrul. Dengan tendangan kaki kiri, bola terus membolosi gawang pasukan lawan. Bergema Stadium Bukit jalil dengan sorakan para penonton. Julia apa lagi, siap terlompat-lompat dan memeluk Kira. Muiz bertepuk tangan dan tersenyum gembira tetapi entah kenapa matanya melirik ke arah Julia yang masih lagi bersorak. Muiz ketawa sendiri.
     Akhirnya perlawan tamat dengan kemenangan di pihak pasukan negara. Setelah semua penonton meninggalkan stadium, Julia berdiri di tepi pagar memanggil abangnya. Disebabkan dia adik penyerang negara, maka dia dibenarkan masuk ke padang dan yang pastinya kaki Julia terus melangkah ke tempat duduk pemain yang sudah pun kosong. Hanya tinggal Muiz sahaja yang sedang berbincang dengan pembantu jurulatih. Zaril mendapatkan adiknya yang tersenyum lebar.
       “Abang siapalah ye?” Julia kenyit mata.
      “Tak payah! Datang sini bukan sorak nama abang sendiri tapi sorak nama jurulatih.” Kepala Julia ditolak lembut. Kira senyum.
Muiz menghampiri mereka semua. Bahu Zaril ditepuk berkali-kali.
      “Good job, Zaril.”
      “Tengoklah abang siapa.” Julia menyampuk dengan kerlingan manjanya. Muiz hanya senyum simpul dan duduk sedikit  jauh daripada Julia.
      “Tak nak ada pom pom girl?” Kakinya dihayun ke depan dan ke belakang.
      “Saya boleh jadi cheerleader.” Julia senyum lagi. Muiz menutup botol mineral dan hanya menggeleng.
      “Kenapa pula tak nak?” Kaki yang dihayunkan tadi termati hayunannya
      “Nanti orang tak tengok bola, orang tengok awak yang terlompat-lompat. Lagi satu, jangan sorak nama saya lagi. Saya bukan pemain.” Muiz mengerling dengan ekor matanya.
      “Mak aih, macamlah dia seorang sahaja nama Muiz dalam dunia ni. Pakcik Muiz!” Julia melambai tangannya ke arah tukang sapu stadium yang tercengang-cengang. Bila masa pula nama dia Muiz. Pakcik Kassan memandang sekelilingnya. Muiz tersenyum.
      “Nama pakcik tu Kassan.”
      “Tapi mak dia panggil Muiz masa dia demam dulu.” Julia bangun dan terus berlalu. Dia melintasi Pakcik Kassan dengan muka selamba. Muiz memandang Julia sehingga adik kepada pemainnya itu hilang daripada pandangan mata. Entah kenapa bibirnya dengan mudah tersenyum lebar. Pelik betul adik Si Zaril ni...

ZARIL menyusun makanan yang sudah siap di masak ke atas meja. Hari itu pasukan mereka akan makan tengahari di rumah Zaril. Sudah lama Maznah, ibu kepada Zaril dan Julia mahu berjumpa dengan Muiz. Kalau bukan kerana Muiz yang mengesan bakat Zaril, sudah tentu anak sulungnya tidak sehebat itu. Julia menggelabah tak tentu hala.
      “Ibu rasa lipstick warna pink cantik ke warna berry?”
      “Kenapa pula?” Maznah pelik dan ketawa sendiri.
      “Tak payah nak mengada. Yang datang nanti semua lelaki. Adik jangan nak menggedik di sini. Pergi duduk dapur tak pun pergi duduk dalam bilik.” Marah Zaril. Julia bukan peduli. Teruk lengan Zaril dipukulnya dengan tangan kanannya.  Selepas setengah jam, semua pemain dan jurulatih tiba di rumah Zaril. Julia tidak berani mahu ke depan. Buatnya Zaril marah dia depan Muiz, mahu malu setahun. Tak mengapalah, dengar suara pun tak mengapa. Julia membasuh pinggan dengan mulut yang mengomel panjang.
      “Eleh, bukannya orang nak tengok kawan-kawan dia. Bukannya handsome sangat pun kawan abang tu. Lebih kurang muka abang juga. Orang nak tengok muka coach dia je. Itu pun kedekut. Dah lah coach dia tu sombong bukan main. Nak tegur aku? Hmm... Memang tidaklah. Menyampah abang!”
    Muiz yang mahu ke dapur untuk membasuh tangannya tersenyum sendiri. Perlahan-lahan dia menarik kerusi bersebelahan kabinet dapur dan hanya duduk mendengar bebelan Julia. Kali ini mangkuk pula dibasuhnya.
      “Ni, muka abang. Nah kau. Aku tonyoh-tonyoh muka abang sebab kedekut tak bagi tengok Muiz. Macamlah Muiz tu pakwe dia. Gay kot abang ni.”
Muiz angkat kening. Amboi, beratnya tuduhan.
      “Agaknya semua pemain bola macam ni kot. Muiz tu pun sombong juga. Sorak nama dia pun nak marah. Eleh, lain kali aku tak sorak nama dia, aku sorak nama Pak Kassan!”
     “Bukan nama pakcik tu Muiz ke?”
Julia tergamam. Span ditangannya terlepas dengan sendirinya. Matanya terpejam rapat. Padanlah ibunya selalu marah dia membebel sendiri. Tubuhnya mematung tanpa sebarang gerakan. Muiz menghampirinya dan membasuh tangan sebelum menutup kepala paip.
       “Hari ni baru saya tahu saya dan Zaril gay,”tambah Muiz.
       “Bukalah mata, tadi kata nak tengok saya sangat.” Bisik Muiz. Julia terus berlari masuk ke dalam biliknya. Malunya bukan kepalang. Kali ini pintu bilik ditutup rapat-rapat. Tak payah tengok Muiz pun tak apa.

2 comments:

  1. Best .... Adakah Julia sama sengal dengan penulisnya ?

    ReplyDelete
  2. Wah, berapa umur coach pasukan kebangsaan ni? Biasanya coach berumur orangnya dan berpengalaman luas dalam bidang bola sepak ( bekas pemain bola sepak contohnya).

    ReplyDelete