Monday 29 September 2014

KAU YANG TAK DIUNDANG BY NURIL BAHANUDIN

BAB 4



 
“Hai, semenjak bila pula ofis kita ni dah jadi kedai bunga ni, Abby? Sana sini bunga saja saya nampak. Atas meja saya ada bunga, atas meja papa ada bunga, atas meja dekat pantri ni pun ada bunga, atas meja meeting pun ada bunga juga, pendek kata semua meja yang terdapat dalam ofis ni semua terhias dengan bunga.” Rio bertanya. Pelik melihat suasana yang luar biasa di pejabat itu.
Hari ini hari kedua dia perasan yang pejabat ini penuh dengan bunga. Semalam dia sudah perasan yang pejabat mereka dipenuhi bunga tapi tidak sebanyak hari ini. Semalam dia diamkan saja sebab sangkanya setiausaha papanya itu mahu menukar mood. Itu yang diletakkan bunga segar sebagai hiasan di mejanya.
Rabiah tersenyum lebar mendengar pertanyaan anak majikannya itu.
“Hai bos, you tak akan tak tahu? Tak ada dengar-dengar cerita?”
“Tahu apa? Dengar cerita apanya, Abby?”
“Tak adalah… Ada seorang kawan kita ni dah ada peminat. Hari-hari peminatnya kirim bunga pada dia. Dia tak tahu nak buat apa dengan bunga tu. Jadi dia bagilah pada I ni, lagipun sayang tau kalau dibuang begitu saja, jadi I ambil keputusan untuk agihkan pada setiap sudut ofis ni. Nampaklah segar sikit. Sedap juga mata yang memandang.”
“Kawan kita? Siapa?”
“Siapa lagi kalau bukan si Leila Suria tu, bos oii! Eee, untungnya dia ada peminat macam tu. Jealous I tau.” Kepoh mulutnya bercerita. Sungguh, terbit sedikit rasa iri hati dia kepada gadis itu. Dia yang hidup dikelilingi lelaki pun belum pernah dikirimkan bunga setiap hari. Hailah… Tuah orang.
“Hah, Leila Suria?” Sedikit terkejut.
Uikh, siapalah lelaki buta mata nakkan minah stone tu? Macam tak percaya pula bila mendengar cerita Rabiah itu.
“Haahlah bos, kenapa? You tak percaya? Ke you cemburu? Eh, you ada hati sekali ya dengan si Leila tu?” Sengaja mengusik bos keciknya itu.
“Huh, mengarutlah you ni, Abby. Apa you ingat taste I ni untuk si Leila tu ke? Hesy, bagi percuma pun belum tentu I mau tau. Dingin beku mengalahkan ais saja bila dengan lelaki.”
“Alah bos, bos tak rapat dengan dia beranilah bos cakap macam tu. Dia tu okey apa. Baik hati, selalu membantu I ni kalau I dalam kesempitan.”
“Eh, apa-apalah… Malaslah I mahu layan you,
Abby.”
“I tak suruh pun you layan I ni, bos oi.”
“Amboi, meriahnya dari luar lagi saya dah dengar suara kamu. Apa benda yang kalian berdua bualkan ni Rio, Abby?” Rolland Fiqry yang baru saja muncul di sebalik pintu menegur perbualan mereka.
“Amboi, smartnya papa hari ini?” Rio Alami Raqly menegur kehairanan, sedikit pun tidak membalas pertanyaan papanya itu.
Errr, morning, tuan. Semakin hari tuan ni semakin kacak bergayalah. Eh, ada apa-apa ke ni?” Rabiah turut menegur penampilan majikannya itu. Hurm, bau minyak wanginya sebatu sudah boleh dihidu.
“Wah Abby, you puji-puji I ni, I tak ada duit keciklah nak bagi pada you,” balasnya bersahaja.
Lebih 30 tahun berada di bumi Malaysia, membuatkan lidahnya sudah lancar menuturkan bahasa kebangsaan ini. Selalu orang akan memandangnya dengan pandangan yang agak luar biasa terutama para pekerjanya sewaktu pertama kali mereka bersua muka. Teragak-agak ingin menggunakan bahasa Melayu bila berbicara dengannya atau bahasa lainnya bimbang dia tidak faham. Tengok saja pada raut wajahnya, mudah saja untuk orang meneka yang dia bukannya orang tempatan.
“Haha tuan ni, pandai buat lawak pula dia.” Rabiah ketawa besar mendengar gurauan majikannya itu.

Rio tersenyum sumbing. Cuba membaca makna di sebalik perubahan papanya itu. Papa ni mesti ada apa-apa ni. Hesy tak boleh tidak, aku kena cari apa sebab papa sudah berubah sangat ni. Tak akan sebab teguran pasal kedutan di wajahnya hari tu sampai papa sanggup buat perubahan sedrastik ini?
“Hah Rio, awal kamu hari ni? Biasa tu, selagi matahari tak tegak di atas kepala selagi itulah batang hidung kamu tu susah nak nampak dekat ofis ni,” sindirnya sinis.
“Alah papa ni, Rio datang lewat papa bising, ni Rio datang awal pun papa bising juga. Ha, karang kalau Rio tak datang langsung baru papa tau,” ujarnya bersulam nada tak puas hati.
“Hah, cubalah kamu tak datang kalau kamu rasa nak nama kamu tu tiada dalam senarai wasiat harta-harta papa ni nanti.”
Uik papa, apa ni sampai libat wasiat harta sekali. Bukannya Rio buat kesalahan besar pun tau.”
“Ha, tau pun gentar hati tu ya?”
“Alah, Rio yakin papa tak akan sanggup buat Rio macam ni. Lagipun Rio ni satu-satunya waris papa tau. Kalau harta tu tak jatuh pada Rio, pada siapa lagi, kan?”
Dia yakin yang papanya itu hanya mengugut. Masakan harta yang menimbun begitu ingin dibiarkan tanpa diwasiatkan kepadanya. Tak masuk akallah tu kalau papa sanggup buat macam tu.
“Heh, yakinnya kamu ni, Rio? Kamu pandang rendah pada papa ya? Yakin ke kamu tu satu-satunya anak papa?”
“Eh, apa maksud papa? Masakan papa ada anak selain daripada Rio? Papa ada bini lain ke selain dari arwah mama?” soalnya hairan. Selama ini papanya itu tak pernah cerita pun kepada dirinya yang dia ada adik-beradik yang lain.
“Buat masa sekarang memang kamulah satu-satunya anak papa, tapi masa akan datang siapa tau, kan? Papa ni masih mampu lagi tau kalau nak menambah anak.”
“Hah? Rio tak fahamlah papa cakap apa ni?”
“Alahai bos, maksud tuan tu, bos mungkin akan dapat mak baru dan dapat adik daripada mak baru tuan tu.” Rabiah yang sekian lama menjadi pendengar setia pada perbualan dua beranak itu akhirnya menyampuk. Tak tahan melihat kebengapan tuan keciknya itu.
“Hah? Bi… biar betul, papa?”
“Ya, mungkin betul, Rio. Jadi baik kamu jaga kelakuan kamu tu ya. Jangan asyik nak buat papa marah dan pening kepala saja.” Sempat dia memberi amaran kepada anak bujangnya itu supaya mengubah kelakuannya itu.
“Baik papa…” balasnya lemah.
Aduh, kalau betul apa yang papa kata, habislah aku. Tak dapatlah aku berfoya-foya lagi lepas ni. Tak boleh tidak, aku kena siasat siapa perempuan tu. Aku kena halang perkahwinan papa dengan apa cara sekalipun, tekad hatinya.
Patutlah penampilan papa mula berubah semenjak dua tiga menjak ni. Rupa-rupanya dia sedang dilamun cinta. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Rasa tak percaya dengan perubahan papanya itu. Papa, papa... Makin berumur ni makin ligat pula perangai dia.
“Sudah, yang kamu termenung tu kenapa Rio?” tegur Rolland Fiqry apabila melihat anaknya itu mula termenung melayan perasaan. Masakan anak itu terasa dengan kata-katanya? Ah biarkan, hanya dengan cara ini saja akan membantu menyedarkan anaknya itu yang sedang ‘lena’ dalam dunianya.
Err, tak ada apa-apa, papa.”
“Ha, kalau tak ada apa-apa, pergi siapkan kerja kamu. Abby siapkan I Milo panas ya?” Sempat Rolland Fiqry memberi arahan kepada Rabiah sebelum berlalu ke bilik pejabatnya.

Thursday 25 September 2014

TRIPLETS LOVES : MY HANDSOME NERD BY BALDU MERAH



 BAB 2


 



LELAKI itu menapak laju ke perkarangan kawasan kegemarannya.  Ya, memang semua keperluan di sini tersedia khas untuk dirinya sendiri. Bukan dia meminta, cuma itu yang dimahukan oleh ibunya. Perpustakaan yang tersedia khas di ruangan bawah tanah rumahnya ini lengkap dengan pelbagai kemudahan. Buku-buku yang terkini dan mengikut keperluan tuntutan bidang yang diambilnya sentiasa ada. Dia cukup bersyukur dengan kelebihan yang dimiliki ibunya. Alhamdulilah, baru-baru ini ibunya tersenarai dalam “Malaysia`s 10 Richest List”. Dia turut menumpang bangga dengan pencapaian ibunya itu. 

Namun, ada kalanya dia rasa rimas juga apabila disebabkan kekayaan itu, muncul wanita-wanita gedik yang datang kepadanya. Dia bukan bodoh untuk menilai. Mereka itu hanya mahukan wangnya sahaja. Oopss..bukan wangnya. Wang ibunya. Ibunya yang berharta, bukan dia.

            Macbook Pro With Retina Display berwarna putih itu diletakkan kemas di hadapannya. Papan kekunci ditekan, dan jarinya mula menaip-naip aksara di situ. Dia perlu menyiapkan proposal kajiannya sedikit demi sedikit. Dia tidak suka kerja bertangguh. Tidak elok baginya. Matanya beralih ke arah buku di sisinya. Buku yang berkaitan dengan perniagaan itu diolah menjadi rujukan untuknya menulis.

TING!

            I-phone 5S-nya berdering meminta-minta dirinya untuk mengangkat dengan kadar segera. Oh ya, dia tidak suka menggunakan lagu sebagai nada deringnya. Baginya cukup serabut. Lebih elok menggunakan nada dering yang sudah sedia ada tersedia. Bahkan, jika ditanya tentang lagu-lagu pada masa kini, pasti dia perlu membuat kajian dahulu tentanG lagu-lagu itu. Dia sendiri tidak tahu. Dia bencikan hiburan. Baginya itu perkara yang melalaikan. Huh!

Tugasannya dihentikan seketika. Dia menjengah ke skrin, lalu melihat gerangan si pemanggil. Bibirnya mengukir senyum. Nampaknya wanita yang dicintai sedang berada di hujung talian. Dia mula meletakkan telefon itu di telinga lalu memberikan salaman penuh mesra.

“Assalamualaikum ibu..”

“Waalaikumusalam.. Ha, kat library lagi ker tu?”

Harith tergelak kecil mendengar telahan ibunya. Tidak dapat dinafikan. Tekaan ibunya sentiasa betul. Perfect!

“Mana lagi ibu. Kalau tak kat sini. Kenapa ibu?”

“Saja jer ibu call. Sekarang ni free, jom lunch. Ibu dah ada kat depan rumah dah ni.”
“Errm..”

No excuse!” Tan Sri Habibah memotong. Dia tahu anaknya itu pasti akan beralasan untuk menyiapkan kajiannya. Argh, jika difikirkan kerja, mana pernah habis. Apa salahnya meluangkan masa bersama keluarga.

“Ibu ni, mana ada Harith nak bagi alasan. Memang Harith nak join ibu pun. Lama tak lunch sama-sama. 5 minutes please..”

Okay, jangan lambat, gesa Tan Sri Habibah.

Talian dimatikan dan Harith bergegas ke kereta ibunya. Segala alatannya dikemas dan dirapikan dahulu. Sepatutnya memang tidak perlu kerana bilik itu dikhaskan untuk nya sahaja. Tetapi, memang menjadi sikapnya tidak suka benda yang serabut. Jadi, dia harus mengemas dulu ruangan ini sebelum berjumpa dengan ibunya.

Done!” Harith menguntum senyum.



Padi House Putrajaya menjadi pilihan mereka. Restoran yang menyajikan pelbagai jenis masakan ala barat memang memikat selera sesiapa saja yang berkunjung ke sini. Harith seperti biasa. Macademia Cheese Cake menjadi pilihannya sebagai pencuci mulut. Manakala, Crispy Chicken Tomato Rice pula sebagai santapan tengah harinya. Tan Sri Habibah hanya memesan Grilled Chicken With Pesto Foundue. Sejenis hidangan yang menyajikan ayam dan kentang putar ditindih bersama serta ditambah lagi dengan pesto foundue yang cukup mampu menaikkan selera sesiapa sahaja yang menjamahnya.

Selesai memesan menu, Harith membuang pandang ke sekeliling. Matanya ternampak wanita di sebalik tingkap itu. Mejanya tidak jauh daripadanya. Sedari tadi wanita berambut panjang paras bahu itu terus-terusan melirik mata ke arahnya. 

“Nampak skema mamat ni. Tapi hansem. Cuma, cermin mata tu better buang jer!”

Itu yang dibaca oleh Harith. Ya, dia ada kelebihan membaca hati wanita. Dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh ada kelebihan seperti itu. Cuma, sejak berada di tingkatan 1, kebolehan semulajadinya itu mula terserlah. Lebih-lebih lagi sejak peristiwa itu. Peristiwa yang sampai kini pun tidak akan dilupakannya.

“Nampak macam orang kaya,” kata hati wanita itu lagi.

Harith tersenyum-senyum sendiri mendengarkan kata hati wanita itu. Haish, kadang kala kebolehannya ini membuatkannya rimas. Mana taknya. Sekejap ada sekejap tak ada. Bila muncul kebolehannya itu, maka pelbagai suara yang didengarinya. Sampai kadang-kadang dia sukar melelapkan mata. Namun kini, dia sudah pandai mengawal kebolehannya itu. Syukur kepada Allah S.W.T atas nikmat yang dikurniakan.

Seperti gelagat sepasang lelaki dan wanita di meja sebelahnya ini. Rasanya mereka itu sepasang kekasih. Menurut apa yang dibacanya, hati wanita itu meronta-ronta inginkan perhatian daripada kekasihnya itu. Tetapi lelaki itu hanya sibuk dengan I-padnya sahaja. Hurm..itulah manusia. Kecanggihan teknologi buatkan manusia alpa. Anti-sosial!

“Harith, ibu nak cakap something ni,” tanpa mukadimah ibunya terus menyuarakan keinginannya. Terus mematikan pandangan Harith terhadap orang di sekelilinya.

“Kenapa ibu, macam ada benda penting jer,” ujar Harith sambil membetulkan cermin matanya.

“Hurm... ibu rancang nak buat program..”

“Program? Program apa?” Kening Harith bertaut. Tak pernah-pernah ibunya berbincang hal kerja dengannya. Pelik. Memang pelik.

“Sehari Menjadi CEO. Okay tak?” jawab Tan Sri Habibah perlahan.

Kening Harith masih bertaut dua.

See, program ni memerlukan seorang pemenang wanita yang ibu akan sediakan macam-macam kemewahan untuk dia. Kad kredit platinum khas untuknya, rumah, pembantu rumah, car, driver dan semua keperluan yang dia mahukan. Dia akan berada di pejabat, hadir mesyuarat dan sebagainya. Dia dapat menikmatinya sendiri. Cuma, dalam sehari jer lah.”

Harith berjeda seketika sebelum menyambung.

“Hurm.. menarik. Tapi, apa faedah program tu? Yang paling pelik, kenapa ibu beritahu Harith semua ni?”

Because….

Kata-kata Tan Sri Habibah terhenti bila pelayan mula menghantar pesanan mereka. Anggukan kepala tanda terima kasih diberi sebelum pelayan itu berlalu pergi.

“Okay, sebab apa ibu?”

“Err..Saja..” ringkas jawapan Tan Sari Habibah dengan senyuman pahitnya.  Terus dia menukar fikiran untuk tidak berterus terang dengan anaknya.

Harith mengangkat kedua-dua belah bahunya.

It`s up to you. Kalau ibu rasa okay, just go on. Mungkin dapat bagi peluang orang kat luar sana rasa macam mana jadi CEO right?”

Tan Sri Habibah mengganguk perlahan. 

“Belum masanya lagi Harith tahu tujuan ibu,” luah hati Tan Sri Habibah sendiri.

Harith terdiam.

“Tujuan? Tujuan apa? Harith terkejut bila membaca kata hati ibunya sendiri. Dia merasakan seperti ada sesuatu yang disembunyikan oleh ibunya. Tapi..Tapi apa?


Sementara itu...

“Mana lah Miss Izzi ni, tadi kata sekejap, ni lama pulak pergi Subway tu. Haish, ni yang aku malas nak tunggu dekat sini ni.  Apalah dia ni. Takut sangat kereta dia kena curi. Saper nak curi? Huh!” Bentak Seri sendirian. 

Sejak mereka beramai-ramai menjamu selera di Padi House Putrajaya tadi, boleh pula dia disuruh balik dengan bos dia ni. Semuanya salah Kak Fiqah yang terpaksa pulang awal untuk mengambil anaknya di sekolah lantaran suaminya ada urusan kerja yang penting. Sudahnya, dia berdua jer dengan Miss Izzi.

“Ish, tak boleh jadi ni! Biar aku tengok dia kejap!” Seri meluru ke arah pintu masuk Galeria Putrajaya, lalu menuju ke Restoran Subway. Dari jauh sudah kelihatan bosnya sedang membuat bayaran. Langkahnya dideraskan. Tiba-tiba, dia merasakan sebatang tubuh yang keras dan tegap sedang melanggarnya. Maka, mengaduh sakitlah dia pada ketika itu.



“Harith nak pergi library balik ker sekejap lagi?”

Anggukan ringkas diberikan. Bukan dia tidak mahu berhenti seketika daripada menyiapkan kerjanya. Namun dia tidak suka melambat-lambatkan kerja. Apa yang penting, dia lebih bermotivasi untuk menyelesaikannya di perpustakaan itu. Seakan-akan setiap ruang itu memberi ilham dan inspirasi sepanjang dia menyiapkan proposal kajiannya.

“Ni kenapa terkepit-kepit kaki tu?” tegur Tan Sri Habibah. Sedari tadi, Harith berkelakuan seperti itu. Tak senonoh betul!

“Err.. Ibu, tunggu kejap ya, Harith nak buang air lah.. Hehehe..”
Tan Sri Habibah menggeleng sambil tersenyum.

“Ish..ish..ish.. Ha, pergilah..”

Harith lekas menuju ke tandas untuk melepaskan hajat. Memang dia tidak tahan kala ini. Rasa seperti sudah di penghujung! Sedang dia berlari-lari anak, entah mengapa dirasakan ada tubuh gebu seorang wanita menerpah ke arahnya. Maka, terjatuhlah dia saat itu. 

“Aduh!” wanita itu mengaduh.

“Maaf cik.. Cik tak ada apa-apa?” Harith mula meluru ke arah wanita itu. Bagaikan ada satu aura yang menyelinap, dia terkesima. Wanita di hadapannya itu cukup ayu bertudung bawal. Wajahnya yang bundar serta dihiasi sepasang mata yang cantik cukup menawan. Mengingatkan dia dengan seseorang? Tapi siapa ya?”

“Hello bro! Pandang apa?” Wanita itu mengawang-awangkan tangannnya di hadapan Harith. Terus lamunannya pergi entah ke mana.

“Eh, sorry..sorry.. Saya tak sengaja! Awak okay tak?” soal Harith simpati.

Saat pandangan Harith menikam ke arah matanya, entah mengapa dirasakan ada getar di hatinya. Sumpah, ini kali pertama dia rasakan getar sebegitu. Wajah lelaki dihadapannya ini cukup kacak. Meskipun bercermin mata bingkai hitam dengan rambut dibelah tepi, namun wajah maskulin lelaki itu tetap terserlah. Ditambah pula dengan susuk tubuh badan yang tegap itu membuatkan hatinya bergetar.

“Saya okay..Cuma..” matanya dihalakan ke bawah.

“Kenapa basah?” Seri mengangkat tangannya dari tompokan air di lantai.

Saat itu Harith merasakan dia mahu lari laju-laju dan sembamkan mukanya ke tilam. Sebab apa? Dia terkencing!





Wednesday 24 September 2014

ALASAN UNTUK SETIA BY ADZRA SUE


BAB 6
https://www.facebook.com/eizan.ezan.3?fref=nf


“Ibu tengok. Lilis dah lama tak pergi kelas latihan? Asyik sibuk dengan Nasrul aja?”
“Tak apalah ibu.... Dua tiga hari lagi, Liss pergilah. Kelas tu tak penting sangat pun. Liss pun dan sampai tahap 'Dan 2'. Memadailah untuk diri sendiri. Tak berhajat pun nak naik peringkat tinggi lagi”
“Tak teringin nak jadi Sifu? Apa orang kata.. jadi mahaguru?”
“Ish... jauh sangat nak capai tahap tu, ibu. Tak sanggup rasanya..... Liss pergi kelas hanya nak belajar teknik-teknik yang lebih mantap”
“Ialah tu. Minggu lepas waktu beg ibu kena ragut, Lilis tergamam jugak, kan?” Ibu ketawa dan aku sambut ketawa ibu. Ya lah.... mana aku tak terkedu, secara tiba-tiba saja budak lelaki ragut beg ibu. Aku pula sedang sibuk meninjau kereta Laila.
“Sebut pasal tu... Ibu jangan beritahu makcik Salbiah yang Nasrul ragut beg ibu ya? Liss bohong kata yang Nasrul tolong Liss tangkap peragut beg tangan ibu”
“Kenapa Lilis tipu macam tu?”
“Liss tak sampai hati. Ibu tengoklah keadaan makcik Salbiah masa tu...”
“Tak sangka anak ibu ni baik sangat hatinya”
“Ibu pun, apa kurangnya. Lagiiiiii..... baik hati. Liss sayang ibu..” Aku peluk lengan ibu dan lentokkan kepalaku di bahunya. Ibu ketawa perlahan.



  DALAM sibuk bersembang dengan Laila sebelum kami memulakan latihan untuk peringkat Kyu (permulaan), Desi yang baru sampai melambai ke arah kami. Aku dan Laila biasanya menjadi tenaga pengajar untuk anak-anak kecil yang rata-ratanya dalam lingkungan enam hingga ke lapan tahun. Selepas sesi mereka selama dua jam, barulah giliran kami pula berlatih bagi memantapkan lagi teknik-teknik seni mempertahankan diri karate-do 'Shotoshinkai' yang kami ceburi sejak di sekolah menengah lagi.
“Lilis.... lama kau tak datang berlatih? Apa yang sibuk sangat kebelakangan ni?” Desi terus mengasakku dengan pertanyaan.
“Ada hal kecemasan sikit. Mak saudara aku sakit, aku kena selalu ulang alik hospital”
“Ooo... eh korang tahu tak., aku ada dengarr desas-desus hari ni ada 'Sensei' (Guru Senior) baru yang join kelab kita. Orang luar... baru pindah agaknya area kita ni. Muda beb! Barulah rasa seronok nak berlatih!”
“Siapa?” Laila teruja dengan perkataan “Muda” yang disebutkan Desi. Omak aihhh! Laju bebenor si Desi dapat cerita. Padanlah seemenjak dulu lagi kami gelarkan dia 'CNN'. Hehehe....
“Entah!. Aku tak tahu siapa. Tak kisahlah... asalkan tak tua macam “Shihan” (Mahaguru) yang kita ada sekarang. Macam dah tak larat dah!” Desi membebel.
“Kau nih.. tak baik tau! Shihan Low tu, dari mula-mula kita daftar masuk, dia dah mengajar. Kan ada anak lelaki dia boleh jadi Shihan jugak?” Aku memarahi Desi. Teruk sungguh perangainya.
Seorang demi seorang anak kecil mula duduk dalam bulatan seperti kebiasaannya. Hampir dua puluh oramg hari ini. Cukuplah untuk aku memulakan pemanasan dulu. Seperti biasa, anak-anak kecil yang memakai 'Dogi' (pakaian seragam) putih dengan 'sabuk' (tali pinggang) yang juga berwarna putih suka kalau dapat berlari dari hujung dewan ke hujung satu lagi secara bergilir-gilir. Riuh-rendah suara mereka seperti dalam acara temasya sukan. Aku juga turut ketawa gelihati melihat telatah mereka yang mencuit hati. Serta-merta aku teringatkan Wawa dan Nasuha.
Tahun depan bila Wawa sudah mencecah umur enam tahun, aku mahu heret mereka belajar karate seperti kanak-kanak di dewan 'Muhibah' ini. Tentu mereka seronok dapat berjumpa kawan baru.
Arahan untuk memasuki barisan, aku jerit dengan lantangnya dan mereka mula membentuk dua barisan. Faham dengan peraturan dalam karate, serentak anak-anak kecil melakukan 'Osu' sebagai salam sebelum memulakan latihan. Duduk dan membongkok ke lantai dan kemudian bangun berdiri tunduk kepadaku dan juga Laila.
Selama dua jam, basic Dachi (kuda-kuda) dipraktiskan semula dari awal Fudho Dachi sehinggalah ke Zenkutsu Dachi. Anak-anak ini cepat lupa dan harus diulang teknik Dachi stiap kali memulakan kelas latihan. Setengah jam terakhir, barulah Laila beralih kepada teknik pukulan lurus (Tsuki).
Dipenghujung masa latihan, kelihatan ibu-bapa masuk ke dewan untuk menjemput anak-anak mereka. Tidak mengganggu kami, para ibu-bapa berdiri di depan pentas dan hanya menunggu kelas ditamatkan. Aku bertepuk tangan meminta mereka membentuk barisan semula. Laial mengucapkan selamat tinggal dan seorang demi seorang bergerak ke arah kami dan menunduk hormat dan mereka mula meninggalkan gelanggang latihan. Aku dan Laila saling berpandangan dan tersenyum.
Ada setengah jam untuk kami berehat sebelum memulakan latihan. Seperti biasa kami bertiga duduk ditepi gelanggang meneguk air mineral yang aku ambil dari beg sandangku. Dewan mula didatangi para-para pelatih kelab Shotoshinkai di bawah naungan Shihan Low. Ada yang masih muda berumur belasan tahun dan ramai juga yang sudah berusia melebihi tiga puluh tahun. Malangnya, kebanyakan dari mereka adalah terdiri dari kaum lelaki. Jadi... kami bertigalah ahli wanita yang paling senior di sini.
“Lilis... eh.... macam kenal je 'mamat' tu?”
“Siapa?” Aku berpaling ke belakang cuba mengamati lelaki yang sedang berbuai dengan Shihan Han... anak kepada mahaguru kami, Shihan Low. Tak nampak pula wajahnya kerana dia sedang membelakangi kami.
“Tu... bukan ke.. eh! Rizman la! Dia ke 'Sensei' baru kita? Wah! Handsomenya dia pakai Dogi. Aku tergoda, weh!!!” Desi mula menunjukkan aksi gediknya.
“Betul ke Rizman tu? Aku tak nampak muka dia lah! Entah-entah orang lain kut. Kau tu... semua lelaki kau nampak macam dia” Aku menafikannya. Macam tak logik aja, lelaki yang tak berapa 'tua' seperti Rizman sudah bergelar Sensei?
“Betul la kau... Rizman tu. Aku ingat lagi dia..!” Laila menambah. Nampaknya kedua-dua rakanku ini sudah tergoda dengan Rizman.
Rizman...., dialah lelaki yang telah menolong mendapatkan beg ibu yang dibawa lari oleh Nasrul.
“Alah.. tak kisahlah siapa dia! Yang korang teruja sangat ni, kenapa?” Aku kerutkan dahi melihat kedua-dua aksi kawanku ini.
“Handsome siot!! Minggu lepas kami borak-borak masa tunggu kau, tak ada lah pulak dia bagitau dia nak join kelab kita. Cara dia bercakap, cara dia pandang aku.... cair beb!” Aku tergelak. Begitulah sikap Desi! Mudah sangat jatuh cinta pada pemuda tampan. Kalau tak silap aku, sudah empat kali dia bercinta dan tak ada satu pun yang kekal. Kini, dia kembali solo. Laila pula sudah ada kekasih hati semenjak kami di kolej lagi.

Tuesday 23 September 2014

ALASAN UNTUK SETIA BY ADZRA SUE

BAB 5
https://www.facebook.com/eizan.ezan.3?fref=nf

PAK MAT pemandu ibu membawa kami ke jalan tanah merah yang aku tunjukkan. Aku tunjukkan bangunan kuarters yang usang kepada pak Mat dan menyuruh dia berhenti di situ.
“Kat sini ke rumahnya Lilis?”
“Haah ibu. Kat sinilah tempatnya” Aku dulu buka pintu kereta dan mendahului ibu ke pintu nombor tiga deretan bangunan usang itu.
“Assalamualaikum.. Nasrul!!...” Aku ketuk juga pintu uzur itu walaupun amat pasti yang daun pintu itu sememangnya tidak berkunci. Aku dengar suara Nasrul menjawab salam dan tak lama selepas tiu daun pintu terselak.
“Kak Liss??” Berkerut dahinya melihat aku sedang berdiri di hadapan pintu dengan seplastik bekas makanan di tanganku.
“Haah... kak Liss datang lagi, boleh kak Liss masuk?”
“Er... maaf... Nasrul lupa nak pelawa. Masuklah kak Liss” Suara Nasrul kedengaran menggeletar bila menyedari di belakangku ada seorang perempuan lain yang menemaniku. Ianya tak lain tak bukan wanita yang telah diragut beg tangannya siang tadi.
“Kak Liss bawak ibu kak Liss. Jangan takut... dia bukan datang nak marah Nasrul. Ibu.. inilah Nasrul. Yang kecik ni... Wawa dan Nasuha. Salam nenek, sayang?” Aku minta kedua-dua anak kecil itu menyalami ibu dan segera mereka mematuhinya. Tangan ibu dicium penuh tertib.
“Wawa dan Nasuha dah makan?” Kedua-duanya mengeleng.
“Ni.... Kak Liss ada bawak nasi dan lauk.. Wawa nak makan sekarang? Pergi ambil pinggan..” Bagai lipas kudung kedua-duanya menghilang ke belakang.
“Mak cik.... Ma...afkan Nasrul... Nasrul yang curi beg makcik pagi tadi” Perlahan sahaja dia meminta maaf dari ibu. Pastinya dia tidak mahu suaranya kedengaran hingga ke dalam bilik di mana emaknya berada”
“Tak apa..... makcik dah dengar semua cerita tentang Nasrul dari kak Liss. Mak Nasrul macam mana? Dah kebah ke demamnya?” Aku yang sedang melayani Wawa dan Nasuha tersenyum mendengar ibu juga membahasakan aku kak Liss, tak sama dengan kebiasaanya memanggilku.
Nasrul diam dan kemudiannya mengeleng perlahan. Bermaksud, emaknya masih lagi demam. Aku segera hulurkan pinggan kepada Nasrul menyuruh dia makan. Kemudiannya, aku bangun dan menyelak langsir pintu bilik emaknya.
“Makcik.....!” Aku sentuh bahu emak Nasrul. Bahang dari tubuhnya terus mengalir ke tanganku.
“Makcik....” Aku panggilnya sekali lagi dengan rasa cemas. Dia bergerak sedikit. Alhamdulillah! Emak Nasrul ynag belum lagi aku ketahui namanya, masih lagi dapat berinteraksi denganku walaupun di dalam keadaan lemah. Aku sentuh dahinya dan cepat-cepat alihkan badannya. MasyaAllah, panasnya! Terus aku bergegas keluar.
“Ibu.... Liss rasa, kita kena bawak emak Nasrul pergi hospital sekarang!. Panas betul badannya! Nasrul.. cepat habiskan makan. Tolong kak Liss cari kad pengenalan emak Nasrul” Nasrul cepat-cepat menghabiskan suapan terakhirnya dan tergesa-gesa mengutip pinggan adik-adiknya dibawa ke dapur. Dia keluar semula mendapatkan aku di muka pintu bilik emaknya.
“Tapi kak Liss, Nasrul tak ada duit. Kalau kena bayar mahal, Nasrul nak bayar dengan apa?” Nasrul renung wajahku meminta simpati. Aduhai, kesian sungguh Nasrul. Dalam keadaan begini, dia masih memikirkan perbelanjaan di hospital nanti.
“Jangan banyak fikir. Yang tu, biar kak Liss uruskan. Kejap lagi, siapkan Wawa dan Nasuha sekali. Biar kak Liss panggil pak Mat”
“Ibu.... Liss nak panggil pak Mat. Ibu tunggu kat sini kejap ya?” Ibu mengangguk dan aku meluru keluar dari teratak sempit ini. Berlari anak aku mendapatkan Volvo ibu dan mengetuk cermin kereta.
“Pak Mat.. tolong Lilis! Lilis nak bawak emak Nasrul pergi hospital” Dengan satu nafas, aku berkata-kata pada pak Mat yang baru membuka pintu kereta.
“Kat mana?”
“Ikut Lilis, pak Mat... sini!” Pak Mat menekan remote kereta menguncinya dan bergegas mengikutiku dari belakang.
Aku terus masuk ke bilik emak Nasrul selepas menggamitnya untuk membantuku memapah tubuh kurus emaknya yang begitu lemah. Bau hapak pakaianya yang menerpa hidungku tidak aku pedulikan. Apa yang lebih penting sekarang, emak Nasrul harus dibawa ke hospital dengan kadar segera.
“Pak mat... tolong!” Aku berteriak memanggil pak Mat yang masih berada di luar rumah. Melihat aku dan Nasrul terkial-kial menampung tubuh emak Nasrul segera dia melangkah masuk. Tanpa berlengah, tubuh kurus itu dicempungnya dan ibu meminpin Wawa dan Nasrul.
“Pak Mat, kita terus ke hospital.” Angguk pak Mat setelah enjin kereta dihidupkan. Aku duduk di hadapan meriba Nasuha dan Wawa duduk dipangkuan ibu. Emak Nasrul diapit ibu dan anak lelakinya. Volvo ibu memecut laju ke arah bandaraya Kuala Lumpur.
@@@@@@@
“Ibu……” Ibu yang sudah tersandar keletihan menoleh kepadaku dan dia tersenyum hambar. Wawa dan Nasuha juga sudah tersengguk-sengguk di kerusi. Hanya Nasrul yang masih kelihatan segar duduk di sisi emaknya yang terlantar di katil wad nombor 901 ini.
“Ibu nampak penat. Mari ibu… kita balik dulu. Makcik Salbiah dah tidur tu. Nasrul…., Kak Liss bawak Nasrul dan adik-adik Nasrul balik rumah Kak Liss, mahu?” Aku pandang ibu sekali lagi seolah meminta persetujuan ibu dan ibu mengangguk. Alhamdulillah!
“Nasrul nak tunggu mak…”
“Nasrul…. Jangan risaukan mak. Insya-Allah, misi dan doktor boleh pantau. Kalau ada apa-apa kecemasan, doktor akan telefon kak Liss. Jom kita balik dulu. Sebelum tu, kita singgah rumah Nasrul ambil sikit baju-baju Nasrul dan adik-adik” Aku terharu dengan pujukan ibu. Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan aku seorang ibu yang begitu bertimbang-rasa.
Nasrul cium belakang tapak tangan dan pipi emaknya yang lena dengan bantuan serkup oksigen di hidungnya. Sebak hatiku melihat adik-adiknya Wawa dan Nasuha juga mengikut apa yang abangnya lakukan. Demi Allah!, aku tidak pernah sesebak ini semenjak peristiwa perceraian abah dan ibu. Serasa bagaikan aku sedang menonton telemovie di kaca TV sekarang ini.
Di dalam kereta, aku nampak Nasrul mengesat air matanya setiap kali aku mengerling ke arahnya. Bukan senang mahu melihat anak lelaki seusianya menangis tetapi aku sedar, Nasrul bimbangkan emaknya.
“Nasrul…. jangan menangis. Insya-Allah mak Nasrul akan sembuh..” Aku cuba memujuknya. Emak yang duduk di bahagian depan menoleh ke arah kami.
“Memang Nasrul risau pasal mak. Tapi yang lebih Nasrul sedih, kak Liss sangup tolong kami walau Nasrul dah buat salah. Nasrul berdosa pada kak Liss, pada makcik…” Nasrul teresak-esak.
“Nasrul…. Sudahlah tu. Kak Liss tahu dan faham apa sebabnya Nasul mencuri. Ada hikmahnya kita kenal cara begitu. Kalau bukan kerana Nasrul ragut beg ibu kak Liss, tentu nasib mak Nasrul lebih buruk, kan? Tuhan temukan kita supaya kak Liss dapat tolong mak Nasrul dan adik-adik” Aku tepuk badan Wawa yang berkalih tidurnya dipangkuanku.

KAU YANG TAK DIUNDANG BY NURIL BAHANUDIN

BAB 3

http://ceritanuril.blogspot.com/


Dia melangkah santai mendekati meja di pejabatnya. Suasana di ruang pejabat Nova Holding itu agak sunyi. Belum ramai pekerja yang datang. Seperti selalu, dia sering menjadi orang yang terawal sampai di pejabat. Dia tak suka datang pada waktu pejabat sudah mahu bermula. Sebab dia tak suka melakukan perkara last minute dan tergesa-gesa hingga pastinya akan buat dirinya kelam-kabut.

Bekalan makanan yang dibawa bersama diletakkan di atas meja. Mata tertancap pada jambangan bunga mawar merah yang terletak di atas mejanya itu. Eh, bunga untuk siapa ni? Hati bertanya hairan. Ada orang nak kenakan aku ke? Hari ni berapa hari bulan ya? Rasanya bukan April Fool, kan? Tangannya teragak-agak untuk menyentuh jambangan bunga itu.

Dia menarik nafas panjang sebelum tangannya menyentuh jambangan mawar merah itu. Sehelai nota kecil yang terselit di antara kuntuman mawar itu jatuh tepat mengenai muncung kasut tumit tingginya. Dia tunduk, lalu mengambil kad yang terjatuh itu. Teringin juga tahu siapa pengirimnya dan untuk siapa jambangan bunga ini. Pasti untuk diakah? Atau tersalah tempat? Hati teruja, laju jari-jemari runcingnya menyelak isi kad kecil itu.

Leila Suria,

Satu dalam beribu,

Kau buat detak jantungku tak menentu…

R…

Hah, ini saja ke? Dia menggaru-garu dagunya yang tidak gatal itu. Terpinga-pinga mencari makna isi kad itu. Ini betul-betul ke atau ada yang sengaja nak kenakan aku? Hati mula berasa walang. Tidak percaya dengan madah manis di dalam kad kecil itu. Siapa ‘R’ ni? Hari ini dalam sejarah. Selama 6 tahun aku bekerja di sini, inilah pertama kali aku terima jambangan bunga. Siapalah jejaka itu? Jejaka ke? Errr, harap-harap jejakalah.
 
Eh, siapa aje staf di pejabat ni yang namanya bermula dengan huruf ‘R’? Tuan Besar Rolland? Tuan ‘Kecik’ Rio? Regina Ray, Rabiah Abby? Opss, tak akan perempuan kut yang mengirim? Lagilah tak masuk akal. Habis kalau bukan Regina, bukan si Abby tu, tak akan pula antara dua anak-beranak tu? Tuan kecik, besar tu? Lagilah mustahil tak dapat diterima akal waras mahupun tak waras. Apa ada pada aku ni sampai mereka nak pandang? Entah-entah pandang sebelah mata pun mereka tak ingin.

Hai... Sudahlah Leila, tak payahlah susah-susahkan otak tu nak berfikir segala bagai. Suatu masa nanti pengirim tu mesti munculkan diri di depan mata kau. Tak akan selamanya dia ingin sembunyikan diri. Ya tak? Nak tunggu dia munculkan diri tu yang tak tahu bilanya. Jambangan bunga itu akhirnya diletakkan kembali di atas meja. Ah... Dah-dah, jangan duk ralit dengan bunga ni. Hati kecil menegur kurang senang.

Dia akhirnya mengambil keputusan untuk mengabaikan jambangan bunga itu. Tak mahu memikirkan sangat siapa pengirimnya. Ah, baik aku sediakan breakfast, nanti tak sempat pula kalau aku sudah mula menghadap kerja-kerja yang menimbun ni. Dia mula melangkah menuju ke pantri, ingin menyediakan sarapan pagi untuk dirinya seperti kebiasaan.

Wow!”

Leila Suria yang sedang melangkah sambil menatang sebiji muk berisi Nesvita untuk sarapan paginya tersentak.

Alamak, Mak Joyah ni dah ternampaklah pula jambangan bunga tu. Aduh, kenapa aku tak terfikir nak letakkan dekat bawah meja atau atas meja bos tu? Ni karang mesti kecoh satu pejabat ni. Dia menepuk dahi. Kesal dengan kealpaannya sendiri yang mungkin akan menyemarakkan gosip hangat tentang dirinya di pejabat ini nanti.

Macamlah dia tak tahu dengan mulut kepoh tak berbedung si Rabiah itu. Langsung tak boleh menyimpan rahsia. Kalau dah sampai kepada pengetahuannya, pasti rahsia itu akan terburai segala isi perutnya. Agaknya kerana kekepohan mulutnya itulah dia mendapat gelaran Mak Joyah di pejabat mereka ini.

Errr Abby, selamat pagi. Awal kau sampai hari ini?” Dia berbasa-basi dengan setiausaha majikannya itu. Cuba menutup kegugupannya. Menanti penuh debar soalan yang bakal ditembak oleh Rabiah sebentar nanti.

“Pagi, Leila… Eh, awal apanya? Macam biasa juga aku datang ni. Bunga dari siapa tu? Bak sini aku baca sikit apa isi kad itu.”

Tanpa sempat dia berkata apa-apa mahupun menghalang, tangan Rabiah sudah laju mencapai kad kecil itu.

“Wah ayat dia, madah-madah habis. Siapa si ‘R’ ni, Leila?”

“Entah, mana aku tahu. Orang gila kut.” Dia menjawab acuh tak acuh sambil mengangkat kedua-dua belah bahunya.

“Hai, masakan orang gila pandai mengirim bunga, Leila?” Tak berputus asa untuk mencungkil rahsia daripada Leila Suria itu.

“Entahlah… Mat romeo mana entah tersalah kirim bunga agaknya. Mungkin mahu kirim pada orang lain tapi terkirim pada aku ni.”

Dia mula melabuhkan duduk di kerusinya. Jambangan bunga itu diambil dan akhirnya dilemparkan ke dalam tong sampah kecil yang terletak di sisi meja kerjanya itu. Tidak berminat untuk menyimpan bunga mawar itu. Jangan-jangan orang tu dah mandrem bunga ni. Hesssyyy takut aku, karang tak pasal-pasal jadi sewel aku ni. Leila Suria mengerutkan dahi, risau juga kalau agakan hatinya itu betul.

“Lah, apa pasal pula kau buang bunga tu?” Rabiah menegur, terkejut dengan tindakan tidak diduga oleh Leila Suria itu.

“Dah tu aku nak buat apa dengan bunga ni, Abby? Tak akan aku nak framekan pula. Aku manalah pernah ada pengalaman terima bunga-bunga ni. Manalah aku tahu nak dibuatkan apa dengan bunga yang berkuntum-kuntum ini?”

“Bagilah dekat aku ni kalau tak nak. Boleh juga aku buat hiasan di atas meja bos kita yang togel tu.”

“Lah, kau nak ke? Ambillah.” Jambangan bunga itu diambil kembali dari arah tong sampah itu lalu dihulurkan kepada Rabiah.

“Wah, hebat kawan aku ni. Dah ada secret admirer, kalah aku ni. Kelas kau. Glamor tu dalam diam.”



Susahlah macam ni.” Lelaki itu mendengus. Wajah ceria yang ditunjukkan sewaktu awal pertemuan mereka tadi kini sirna. Bertukar mendung.

“I minta maaf. I pun tak jangka benda begini akan berlaku, Zaf.”

Pertemuan antara dia dan keluarga lelaki itu berjalan lancar dua hari lalu dan dia sangka di pihaknya juga akan lancar tapi sebaliknya yang berlaku. Keluarganya meletakkan syarat dan syaratnya pula bukan calang-calang sehingga membuatkan dia terkesima. Tak senang duduk bahkan bakal tak lena tidur.

Aduhai ibu dan ayah, kenapalah diletakkan syarat sebegitu? Bukannya aku buat apa-apa pun, aku cuma mahu buatkan hidupku bahagia dan terjamin. Hidup bersama insan yang aku cinta dengan ikatan yang sah. Itu pun perlu diletakkan syarat ke? Hatinya berbisik sendiri.

Terkilan sungguh perasaannya. Sangka dia, keluarganya akan gembira apabila mendengar perkhabaran yang dibawa, tapi rupa-rupanya tidak.

“Kalau kena tunggu lama sangat, I mungkin terpaksa putuskan hubungan kita,” ungkap lelaki itu.

What???”

“I terpaksa, Erin.” Ungkapan terpaksa itu sengaja ditekankan.

“Terpaksa apa, Zaf? You kata you cintakan I, masakan you tak sanggup tunggu I?” Pelik, tak akan semudah itu lelaki itu mahu putuskan hubungan mereka? Tak akan hanya kerana syarat itu?

“Ya, sebab cintalah I tak sanggup tunggu lama. I tak mampu ambil masa yang lama untuk dapat hidup bersama-sama dengan you. Betul-betul menyeksa perasaan I ni tau,” ucapnya sambil tangan menunjukkan ke arah dadanya.

“You ingat I mampu ke hidup kalau tak ada you di sisi I?” Lily Serina membalas. Sakit kepalanya memikirkan. Apa jalan yang dia ada ada? Semuanya jalan mati. Apa pilihan yang dia miliki? Semuanya pilihan buntu.

Melepaskan lelaki itu, dia memang tak sanggup tapi menurutkan syarat kedua-dua ibu bapanya dia takut! Takut empunya diri menolak usulnya. Dia bimbang nanti dituduh pentingkan diri pula. Macam mana ni?

“Habis you nak buat apa, Erin?”

“Nanti I cuba pujuk dia ya, Zaf.”

“Nanti tu bila, Erin? Kita kesuntukan masa. Mother I tu sudah betul-betul tak sabar nak tengok kita bersatu. You pun tahu macam mana keadaan emak I tu, kan? I tak mahu hampakan dia hanya kerana syarat yang keluarga you letakkan tu tau.”

Lily Serina sedia maklum dengan keadaan emak Meor Zafri itu. Sungguh tak disangka yang emak lelaki itu sedang menderita barah payudara tahap empat. Sangkanya emak lelaki itu sihat-sihat belaka. Yalah, orang kaya biasanya selalu pentingkan penjagaan kesihatan. Orang berduit segalanya boleh, tapi rupa-rupanya anggapannya silap. Duit tak mampu buat apa-apa. Duit tak mampu membeli kesihatan.

“Zaf, I tahu you anak yang baik dan cuba bahagiakan emak you apa adanya. I janji I akan cuba pujuk dia walau apa jua cara pun.” Dia berjanji.

Keadaan emaknya, Wan Zubaidah yang semakin lemah semenjak akhir-akhir ini betul-betul merisaukan. Apatah lagi apabila mengenangkan permintaan dan syarat yang diberikan oleh wanita itu tentang pembahagian harta peninggalan arwah bapanya, memang sudah mencukupkan perasa dalam kerisauannya. Dia tak mahu emaknya pergi tanpa melihat dia berumah tangga. Dia tak mahu emak pergi dalam keadaan dirinya tiada apa-apa.

“Okey, I bagi you masa sebulan untuk pujuk dia, Erin. Kalau tak… jangan salahkan I pula. I terpaksa.”

“Zafri! Sampainya hati you buat I begini? You macam tak hargai hubungan kita selama ini sampai sanggup cakap begini pada I!”

“I bukan sengaja, Erin. I terpaksa sebab I nak tengok kesungguhan you untuk hidup dengan I ni. I terpaksa, sayang… Really sorry.”

Lily Serina menggetap bibir. Bab menuturkan ayat memang dia selalu kalah dengan Zafri. Ayat lelaki itu memang selalu mematahkan marahnya. Agaknya sebab ayat lelaki itulah menyebabkan dia jatuh hati dengan lelaki itu dan ingin hidup di samping lelaki itu.

“Okey, kalau you tak percayakan I... Kalau you tak yakin akan kesungguhan I ni... I akan buktikan kepada you. You tengoklah nanti.” Yakin.

“Bagus, buktikan pada I. Pastikan yang rombongan I akan sampai ke rumah you selepas sebulan ya, Lily Serina.” Dia mengenyitkan mata. Sengaja menambah bahang dalam diri kekasih hatinya itu.

“Okey, you tunggulah ya Zafri. Ini Lily Serinalah. Tak ada apa yang I tak pernah tak dapat kalau I mahu. I akan pastikan kita berkahwin nanti. You tengoklah!”

Memang dirinya tak tahu erti mengalah. Apa yang dia inginkan jarang terlepas dari genggamannya.

Meor Zafri hanya ketawa kecil mendengar bicara Lily Serina itu. Dia tahu dia telah berjaya menghidupkan sumbu semangat gadis itu.