Saturday 27 August 2016

CINTA LELONG KARYA SAKURA RIA

PROLOG



“JANJI jadi kawan aku sampai bila-bila? Kau seorang saja yang faham aku.” Ammara Delisha menghulurkan jari kelengkengnya pada Shafinaz.

 Shafinaz mengangguk. Jari kelengkeng Ammara ditaut ke jari kelengkengnya. 

“Sampai mati pun kau kawan aku. Tak kira apa jadi, aku tetap sayang kau.” Shafinaz berjanji.

 “Aku pun sayang kau. Dunia dan akhirat…” ucap Ammara dengan jujur dan ikhlasnya.

 “Woi! Kau orang ponteng KTT ya?” Tiba-tiba satu suara garau menyergah mereka berdua yang sedang melepak di belakang stor sukan yang menghadap ke arah padang sekolah.

 Mana tak terkejutnya kalau tengah sedap ponteng Kelas Tambahan Terancang (KTT), tiba-tiba disergah begitu. Jantung ini rasa nak melompat keluar!

 Melihat empunya suara garau itu, pantas Ammara bangkit. Tanpa berlengah kaki si jejaka dibentes kasar lantas perut yang agak berotot itu ditumbuk. Tidak kuat. Hanya sekadar tumbukan manja saja.

 “Aduh! Siot la kau, Ara. Sakit kaki aku tau.” Faiz merungut dengan wajah yang cemberut. Perutnya diusapusap perlahan. 

“Aku tumbuk sikit aje kut! Mengada-ada lebih,” balas Ammara sambil menjegilkan mata. Kemudian dia kembali duduk di sebelah Shafinaz. 

“Sikit kau tu sakit tau tak? Aku tahulah kau tu belajar tekwando, tapi tak payahlah tibai aku.” Faiz merungut lagi.

 Shafinaz yang melihat dua orang sepupu itu bertikam lidah hanya tersenyum kecil. Dia sudah lali dengan keadaan seperti ini. Itu baru sikit. Dia selalu nampak Ammara dan Faiz bergusti lagi.

 “Mulut kau tu macam Puaka Tebing Biru. Pergi menjerit tadi buat apa? Kalau Cikgu Zamri nampak macam mana?” soal Ammara kasar. 

Faiz tersengih. Punggung segera dilabuhkan di sebelah Ammara. Mereka bertiga duduk bersila di kaki lima. Faiz hulurkan plastik yang berisi pisang goreng dan keropok lekor kepada Shafinaz. Bahu Ammara disenggol dengan bahunya.

 “Alah, janganlah merajuk. Aku dah beli pisang goreng kesukaan kau ini.” Ammara diam. “Wahai tuan Puteri Gunung Ledang yang cantik rupawan, maafkan hamba yang sengal ini,” gurau Faiz. 

Ammara tersengih. Kepala Faiz ditunjalnya.

 “Bukan setakat sengal, tapi otak kau ada masalah juga!” ucapnya dengan ketawa riang. 

“Hesy, korang ini asyik bergaduh aje. Pening kepala akulah!” Shafinaz menegur. 

“Si sengal inilah yang cari pasal dulu. Buatnya bapak singa tu lalu, tak ke naya nanti? Tak pasal-pasal kena rotan dekat perhimpunan pagi esok.” 

“Aku bergurau aje,” balas Faiz sambil tersengih. 

“Sudahlah, makan cepat.” Shafinaz menyampuk. 

Kalau dibiarkan sampai ke sudahlah Ammara dan Faiz bertegang urat. Mereka bertiga mengunyah makanan yang dibeli Faiz di kantin sambil melihat pasukan hoki sekolah berlatih di turf hoki yang terletak bersebelahan dengan padang sekolah.

 “Ara, lepas ini kau nak sambung belajar dekat mana?” Faiz menyoal dengan mulut yang penuh. 

“Entah. Aku tak pasti lagilah. Kenapa?”

 “Kau nak ikut aku tak? Mama aku suruh aku sambung belajar di London.”

 “Nantilah aku fikir macam mana. Aku tanya papa dulu, ya.” Faiz mengangguk. 

“Kau pula nak ke mana Finaz?” 

“Aku kalau dapat tajaan dapatlah belajar di luar negara. Kalau tidak aku sambung di universiti tempatan aje.” Shafinaz menjawab dengan senyuman kecil. 

Dia bukannya anak orang kaya seperti Ammara dan Faiz. Keluarganya biasa-biasa saja. Ayahnya seorang pekerja kilang dan ibunya pula suri rumah sepenuh masa. Dia mempunyai enam orang adik-beradik dan semuanya masih belajar.

 “Kau mesti dapat punya. Kawan aku seorang inikan pandai. Gerenti dapatlah!” Ammara menepuk bahu Shafinaz perlahan. Memberi semangat. 

“Insya-Allah...” balas Shafinaz lembut.

 “Ingat, walau ke mana sekalipun kaki kita melangkah lepas ini, jangan pernah terputus hubungan. Apaapa yang jadi dalam hidup korang mesti update pada aku tau.” Faiz dan Shafinaz mengangguk serentak.

Itu janji mereka sejak menjadi kawan baik. Mereka tidak pernah melupakan antara satu sama lain walau apapun yang terjadi. Tetapi jika takdir yang tertulis adalah sebaliknya, mampukah janji itu ditepati lagi?