Wednesday 24 February 2016

HEY! MR SPOTLIGHT KARYA IZMA QAHIERA

BAB 5



“Hah! Hah! Hah! Aku hembus haba mulut ke cermin bingkai gambar. Kemudian aku lap dengan hujung lengan baju kemeja. Aku ulang berkali-kali sampai puas hati.
            “Kau nak main-main dengan aku? Okey, let the games begin!”
           
Aku letak bingkai gambar itu di sudut meja. Sengaja letak di tempat yang senang Raisya nampak. Aku bersandar di kerusi sambil tersenyum puas. Lagi setengah jam waktu bekerja bermula. Pasti Raisya akan masuk ke bilik untuk mengemaskan meja.
            Aku pandang sekeliling bilik. Perlukah aku menunggu dia di dalam bilik atau memerhatikan dia melalui bilik CCTV? Aku bangun. Tak bestlah kalau tunggu dia di sini. Nanti dia akan berpura-pura tak kenal gambar di dalam bingkai itu adalah gambar dia. Rasanya lebih seronok kalau skodeng di sana
            Terdengar bunyi motor di luar. Dia dah sampai. Cepat-cepat aku berlari ke pintu. Eh! Terlupa sesuatu Kelam-kabut aku ke meja semula. Fail di dalam tray aku sepahkan. Bingkai gambar tadi aku tindih sekali bersama beberapa keping surat yang belum dibaca. Selesai semua, aku pecut sekuat hati ke bilik CCTV. Mujur Munirahh dan staff-staff lain berada di pantri. Ini bermakna tak ada seorang pun yang tahu aku sedang menjalankan operasi mengendap Raisya.
           
“Yuhuu! Assalamualaikum..”
            Ewah! Ewah! Masuk pejabat dah macam masuk rumah orang tengah rewang kenduri. Tak semenggah betul perangai adik Hazri ni. Aku longgarkan tali leher. Panas juga duduk di dalam bilik ni. Suis kipas di tepi dinding aku tekan. Tiba-tiba aku nampak bayang-bayang di bawah pintu. Serta-merta badan aku keras di situ. Nak bernafas pun tak berani.
            “Munirahh, macam ada bunyilah kat dalam bilik ni.”
            Alamak! Raisya terdengar aku tekan suis kipas ke?
            “Jangan masuk bilik tu Raisya. Nanti Encik Azraf marah. Dia dan bos besar aje yang boleh masuk kat situ.”
            “Kalau macam tu kenapa tak dikunci aje pintu ni?” Raisya menggendang pintu.
            Spontan aku menahan badan di situ. Manalah tahu kalau-kalau ditolaknya pintu ni. Tak pasal-pasal kantoi pula nanti.
            Kletak!
           
Bunyi apa tu? Aku tekap telinga di pintu. Suara Raisya sudah tidak kedengaran lagi. Tak lama kemudian aku lihat imej Raisya di dalam bilik. Aku duduk memerhatikan CCTV. Berdebar-debarnya dada ni bila Raisya mula mengemas meja. Come on sayang! Peganglah gambar tu.
            Mula-mula dia tukar air di dalam pasu bunga. Kemudian dia duduk di kerusi aku. Siap dipusing-pusingnya kerusi itu dan dihenyak-henyak beberapa kali. Senyum nakal tersungging dan minda lelaki aku ni dah mula membayangkan sesuatu. Haip! Nyah kau otak kuning. Banyak benda lain lagi kau boleh fikir.
            Tiba-tiba Raisya bangun. Tangannya laju mengemas timbunan surat. Saat yang ditunggu pun tiba. Bingkai gambar sudah berada di tangan. Lepas ni pasti dia ingat aku siapa.
            Eh, dia letak balik? Dia tak kenal gambar sendiri ke? Ala... dia dah keluar bilik!
            Hish! Tak boleh jadi ni. Takkanlah dia dah hilang ingatan. Hazri kata adik bongsu dia ni tak ada masalah penyakit lupa. Tapi aku tengok penyakit Raisya ni bukan setakat lupa. Penyakit hati kering pun dia ada. Aku tutup suis kipas dan pulas tombol pintu. Ah sudah! Kenapa tak boleh tak boleh buka pula ni?
            Aku cuba lagi. Kepala dah berpeluh. Siapa pula yang gatal kunci pintu ni dari luar? Aku teringat sesuatu. Alahai! Ini mesti kerja Raisya. Macam mana aku nak keluar ni? Takkan nak menjerit? Habislah semua orang tahu aku terkunci di dalam ni nanti.
            Aku seluk handphone di dalam poket seluar kemudian dail nombor telefon pejabat. Minta-minta bukan Raisya yang menjawab panggilan.
           
“Selamat pagi. Syarikat Pemadam Api Ghazali Enterprise...”
            “Munirahh, saya ni..Azraf.” Aku tekup mulut di handphone dan cuba bercakap seperlahan mungkin.
            “Ya Encik Azraf. Encik Azraf lambat masuk ke?”
            “Staff-staff yang lain mana?” Sambil bertanya aku cuba memulas tombol pintu sekali lagi. Tapi tak berjaya.
            “Raisya sedang bancuh minuman untuk Encik Azraf. Yang lain-lain tengah briefing di bilik meeting. Encik Azraf, pukul sepuluh nanti Encik Azraf kena pergi ke tapak lokasi pembinaan hospital di Pasir Gudang.”
            “Ya saya tahu. Tapi sebelum tu saya nak minta tolong sikit...” Aku berdeham perlahan. Malunya nak minta tolong Munirahh. Raisya! Kau ni memang nak kena sekeh dengan aku tau!
            “Saya masih mendengar Encik Azraf.” Munirahh mengingatkan aku.
            “Err..tolong bukakan pintu bilik CCTV.”
            “Sekarang ke?”
            “Ya sekarang. Tapi pastikan tak ada sesiapa yang nampak awak buka pintu bilik ni ya.”
            “Baik saya buat sekarang.”
            Aku simpan handphone sambil menunggu Munirahh bukakan pintu. Muka ni dah kebas. Malunya! Minta-minta dia tak gelakkan aku. Apa alasan yang bagus aku nak bagi kalau dia tanya kenapa aku berada di dalam bilik ni?
            Pintu bilik terbuka. Mulut Munirahh terlopong melihat aku. Sebelum dia bertanya aku letak jari telunjuk di mulut sendiri. Munirahh mengangguk faham. Aku cepat-cepat keluar dan masuk ke bilik. Fuh! Lega. Harap-harap Munirahh boleh tutup mulut. Janganlah dia hebohkan yang aku terkunci di bilik CCTV. Haru kena gelak nanti.

            “Eh, bila sampai?”
            Raisya muncul bersama dulang berisi mug. Fuh! Nyaris-nyaris lagi nak kantoi. Nasib baik aku cepat tadi.
            “Hari ni ikut saya keluar. Kita pergi tengok hospital yang baru nak buka tu. Jangan lupa bawa senarai alat pemadam api yang kita nak pasang kat sana nanti.” Aku tukar topik lain. Tak penting pun untuk aku menjawab soalan dia.
            Raisya mengangguk sambil meletakkan dulang di atas meja. Sengaja aku perhatikan mata Raisya. Dia mengerling sekali gambar itu dan terus berpaling untuk meninggalkan bilik. Ala! Dia tak kenal gambar sendiri ke? Beberapa langkah sebelum dia menghampiri pintu, Raisya menoleh semula.

            “Itu macam gambar saya...”
Dia datang semula ke meja. Dulang yang dipegang dia kepit di celah ketiak. Laju tangannya mengambil bingkai gambar di atas meja. Yes! Perangkap mengena. Menguncup mata Raisya mengamati imej di dalam gambar.
            “Cantik tak gambar tu?” Aku bertanya dengan suara perlahan.
            “Siapa lelaki kat sebelah saya ni?” Mata Raisya masih tidak beralih walaupun mulut sedang bertanya.
            “Cuba tengok betul-betul. Takkan awak tak kenal?” Aku dah senyum. Seronok melihat wajah terkejut Raisya.

            Prang!
            Dulang yang terkepit di celah ketiak terlepas. Kelam-kabut Raisya mengambil dulang yang terjatuh. Tetapi bingkai gambar masih berada di tangan.
            “Ya Allah! Ini Abang Azraf yang ajar saya tiusyen dulu kan?”
            Aku menggangguk. Makin lebar senyum aku. Raisya menekup mulut. Pasti dia sangat terkejut dengan kebetulan ini. Mujurlah aku masih simpan gambar lama itu. Berkali-kali Raisya melihat gambar yang kami ambil lapan tahun lalu. Silih berganti dia melihat aku dan gambar itu.
            “Berbeza betul Abang Azraf.. eh sorry, Encik Azraf. Berbeza betul Encik Azraf sekarang.”
            “Apa yang berbeza?”
            Raisya duduk di bucu meja. Bingkai gambar diletakkan semula ke tempat asal. Dia senyum dan matanya perlahan-lahan terarah ke kepala.
            “Dulu tak macam ni...” Raisya tersenyum nakal.
            “Memanglah. Dulu muda, sekarang dah tua.” Aku gelak sikit. Tua ke? Baru 31, muda lagilah!
            “Tapi peliklah. Yang lain-lain tak nampak sangat perubahannya. Tang kepala tu yang ketara sangat bezanya. Habis semuanya gugur. Tapi tempat lain tak pulak, kan? Tak sangka pula masih ada spesis orang utan kepala botak kat Malaysia ni. Hahahah!”
            Serta-merta senyum di wajah aku lenyap. Kurang asam! Gelaran itu masih melekat pada aku rupanya. Tak apa, dia dah kenal aku. Senanglah aku nak buli dia nanti.
            “Botak ni lambang kekayaan tau. Awak apa tahu?” Aku mengusap perlahan kepala yang tak berambut. Raisya berhenti ketawa sebentar untuk mengambil nafas.
            “Memang kaya pun. Kaya dengan bulu!” Raisya sambung gelak lagi. Amboi! Bila dah tahu aku siapa makin seronok pula dia mengenakan aku. Tak siap kerja aku kalau melayan Budak Lesung ni.
            Aku biarkan dia gelak dahulu sementara menghabiskan minuman yang dibancuh tadi. Mata sempat lagi mengerling dia mengesat mata yang berair. Punyalah seronok mentertawakan aku sampai keluar airmata Raisya. Aku bangun sebaik saja mug sederhana besar itu berjaya aku kosongkan.
           
“Dah puas gelak, kan? Now, back to normal. Sebelum tu saya nak ingatkan. Walaupun saya dah lama kenal awak, saya minta awak bersikap profesional. Waktu kerja, kita kerja. Faham?”
            Raisya memberi tabik hormat dan mengenyitkan mata. Aduh! Kenyitan itu terus menusuk ke tangkai jantung. Walaupun dia tak senyum, dia tetap nampak comel. Kalaulah dia ni masih kanak-kanak, memang aku picit-picit hidung dia. Tapi sekarang dia dah besar. Banyak perkara-perkara yang menjadi batasan. Tak apalah. Biarlah masa yang menentukan. Orang yang sering dirindu sejak dulu sudah berada di depan mata. Apa yang perlu aku lakukan sekarang adalah memastikan hatinya masih belum berpenghuni. Andainya masih kosong maka makin mudahlah kerja aku.
           
“Bos!”
Raisya sedikit melaung. Dia sudah bersedia dengan beg tangan yang diselepang merentang dada. Eh, bila masa pula dia keluar?
            “Dah nak dekat pukul sepuluh. Tadi kata nak pergi Pasir Gudang, kan?” Raisya menunjuk-nunjuk jam di tangan.
            Cepat-cepat aku kemaskan briefcase. Sebelum keluar dari bilik, aku pandang Raisya dari atas ke bawah. Alahai dia ni. Nak pergi tengok tapak projek, tapi pakaiannya macam nak buat presentation di depan bos-bos besar. Memang dia nampak cantik dengan skirt kembang warna kuning cair tu. Tapi, tak apalah.

            “Kenapa mengeluh ni Encik Azraf?” Raisya bertanya.
            “Tak ada apa-apalah. Jom!”
            Dia persilakan aku keluar dulu. Ketika melintas di depan Raisya, sekali lagi aku mengeluh. Kali ini lengkap dengan gelengan yang perlahan. Aku bukan jenis suka bercakap berulang-kali. Kalau orang lain memang dah kena sembur ni. Tapi ini Raisya. Seingat aku dia ni cengeng orangnya. Nanti tak pasal-pasal ada drama airmata pula nanti.
            “Encik Azraf ada masalah ke?” Raisya masih menyoal sebaik sahaja kami masuk ke dalam kereta.
            “Dah berapa kali saya pesan. Pakai baju biasa aje kalau kerja luar.”
            Raisya membelek baju sendiri dengan bibir terjuih. Geram pula aku tengok dia buat macam tu. Kalaulah dia masih anak kecil seperti dulu, memang dah lama aku tepuk mulut tu. Tak bolehlah ditegur sikit, mulalah nak tarik muka.
            “Kalau tak suka saya pakai macm ni, Encik Azraf hantar saya balik rumah kejap. Saya tukar baju lain.”
            “Amboi sedapnya awak mengarah saya. Awak ingat awak tu mak datin ke? Pakai ajelah macam tu. Lain kali pakai jubah labuh pula. memang sesuai sangatlah kalau nak pergi melawat tapak pembinaan”
            Dari terjuih, muka Raisya pula berubah warna. Aku hidupkan enjin kereta. Tapi tak terus tutup pintu. Aku keluar sekejap dan masuk semula ke pejabat. Ada barang yang tertinggal di dalam bilik. Tergerak pula hati nak mengintai Raisya di balik bidai tingkap sebelum keluar semula dari bilik.

            “Dia buat apa tu?”

            Aku amati betul-betul. Lama kemudian baru aku perasan. Raisya sedang menumbuk-numbuk dashboard. Ganasnya muka dia. Puas menumbuk, aku nampak mulut dia ternganga luas seperti orang sedang menjerit. Nasib baiklah cermin tingkap semuanya bertutup rapat. Entah apalah yang dibebelkan sorang-sorang kat dalam kereta tu?
            Aku keluar dari pejabat. Sebelum pergi ke tempat pemandu, aku lihat Raisya kelam-kabut merapikan rambutnya yang agak kusut-masai. Agaknya dia mengamuk sebab aku tegur pakaian dia tadi kot?
            “Boleh kita gerak sekarang?” Aku tanya dia sebaik saja masuk ke dalam kereta.
            “Encik Azraf, jomlah hantar saya balik sekejap. Saya betul-betul terlupa hari ni kita buat kerja luar.” Suara Raisya dah macam orang nak menangis, sengau di hidung.
            Aku buat tak tahu saja. Kereta bergerak meninggalkan pejabat. Raisya mendengus kasar apabila kereta terus melepasi simpang masuk ke rumahnya. Aku berdeham perlahan. Dia menjeling tajam. Aku cuma jongket kening. Apahal pula aku yang kena dengar cakap dia? Aku bos ke dia yang bos?
           
“Teruklah Encik Azraf ni. Bukannya lama pun saya tukar baju. Kalau singgah sekejap tadi dah boleh sangat.” Suaranya dah makin sengau.
            Aku diam. Kalau dilayan memang boleh banjir kereta ni. Kurang sepuluh minit lagi tibalah kami di Pasir Gudang. Raisya masih seperti tadi. Malah makin menjadi-jadi perangai cengengnya. Lengan blaus kembangnya disinsing sehingga ke siku. Dia duduk bersila dan memangku dagu. Amboi! Bukan main santai lagi dia duduk. Dah macam duduk atas pangkin pula gayanya.
            “Takkanlah pasal baju pun nak berseteru dengan saya...”Aku mulakan operasi memujuk.
            “Tak selesalah pakai baju ni. Macam mana nak panjat tangga yang tinggi-tinggi tu?” Raisya bersuara. Agak tinggi juga nada suaranya.
            “Hari ni tak payah panjat. Saya takut orang lain pun tak jadi kerja kalau awak panjat tangga tu karang.”
            “Apa maksud Encik Azraf?”
            Aku pandang dia. Dia ni memang betul-betul tak tahu atau sengaja nak dengar jawapan dari mulut aku? Dia menjongket kening, menunggu jawapan.
            “Selalunya kalau kita kena periksa lokasi di tingkat atas, siapa yang panjat tangga dulu?” Aku mula menyoal.
            “Saya.”
            “Okey, bayangkan kalau hari ini awak yang panjat tangga.” Aku cuba bagi bayangan.
            “Memang saya yang kena naik dulu nanti, kan?”
Raisya masih kurang faham. Aku geleng perlahan. Bongoknya budak ni. Aku pegang sedikit skirt kembang paras bawah lutut Raisya.
           
Raisya, kat sana nanti awak sorang aje perempuan. Kalau awak yang naik tangga dulu dengan skirt kembang ni, saya bimbang ada ‘benda’ lain yang naik nanti bila lelaki-lelaki kat sana tu skodeng awak dari bawah. Faham tak?”
            Aku hentak stereng kereta. Kalau dia tak faham juga memang sengajalah dia minta luku nanti. Aku pandang dia semula. Dia pandang aku tanpa kerdipan. Muka dia nampak pucat. Apahal pula ni?
            “Nak balik!” Raisya menjerit. Badannya rapat ke dinding.
            “Awak jangan macam-macam ya. Kita dah nak sampai ni.”
           
            Dari duduk bersila Raisya merapatkan kaki. Kedua-dua belah tangan dikepit di celah peha. Tenang sebentar keadaan di dalam kereta. Tapi sebaik saja tiba di tapak projek, Raisya buat hal lagi.
            “Kalau saya tak turun boleh tak Encik Azraf?” Perlahan suara Raisya menyoal.
            “Turun ajelah. Tak payah naik tingkat atas aje kot.”
            “Habis tu takkan saya nak tinggal sorang-sorang kat tingkat bawah. Cuba tengok tu...” Raisya menuding pada beberapa orang pekerja binaan yang sedang berehat. Kebanyakannya terdiri daripada warga asing.
“Saya duduk dalam kereta ajelah Encik Azraf. Nah, ni senarai peralatan yang perlu diperiksa.”
            Tak kuasa aku nak berbahas lagi dengan dia. Fail yang Raisya hulur aku ambil dan cepat-cepat selesaikan kerja di situ. Risau juga tinggalkan dia lama sangat di dalam kereta. Mati kepanasan pula anak dara orang tu nanti.
            “Enjin kereta ni memang tak tutup sejak saya turun tadi ke?”
            Aku kerling meter minyak yang sudah tinggal satu takuk.
            “Saya kan ada kat dalam kereta. Takkan nak matikan enjin? Panas tau.”
            Ewah-ewah! Tak ada rasa bersalah betul cara dia bagi alasan. Apa dia fikir dia ada kongsi duit minyak ke? Aku diam saja sepanjang perjalanan. Tengah berfikir macam mana cara nak mengenakan Minah Loyar Buruk ni. Fikir punya fikir sudahnya aku halakan kereta masuk ke stesen minyak.
            “Pergi bayar duit minyak. Saya tunggu kat sini.”
            Raisya pandang aku. Macam tak dengar arahan yang aku beri.
            “Saya pergi bayar? Guna duit siapa?” tanya Raisya.
            “Guna duit awaklah. Ganti balik minyak yang awak dah guna masa duduk dalam kereta tadi.”
            “Encik Azraf! Bos jenis apa ni. Dengan saya pun nak berkira?”
            Buntang mata Raisya merenung aku. Tapi aku hadiahkan dia dengan sekuntum senyum manis. Seronok tengok muka orang tengah marah ni.
            “Boleh bayar ke tak? Kalau tak boleh tak apa. Tapi nanti saya akan potong gaji awak ikut duit minyak yang saya isi. Rasa-rasanya macam nak kena isi penuh ni.”
Aku buat-buat nak keluar kereta. Tapi Raisya lebih pantas menanggalkan tali pinggang keledar dan membuka pintu kereta. Bersepah-sepah gaya dia berjalan menuju ke kaunter pembayaran. Tahu sangat dia tengah menahan bengang. Yes! Berjaya juga aku kenakan dia.

Wednesday 10 February 2016

SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU KARYA ANNIS RIZANI

BAB 3



“SUFI, boleh tak tolong pergi jumpa klien Kak Rina ni?” Arah Puan Marina kepada Sufiyya.
Aduhh, keluh Sufiyya di dalam hati. Semakin hari, semakin kerap pula Kak Rina mengarahkan aku untuk berjumpa dengan kliennya. Padahal, itu bukanlah sebahagian daripada tugas-tugas Sufiyya. Dia bungkam. Di dalam  hatinya masih merungut-rungut sendirian.
            Sufiyya hanyalah pembantu peribadi Puan Marina yang berjawatan Pengurus Unit di sebuah syarikat insurans terkemuka negara. Gaji pun bukanlah sebesar mana walaupun dia mempunyai segulung ijazah. Tugas hakiki Sufiyya adalah membantu urusan-urusan dokumentasi antara pejabat cawangan dengan ibu pejabat di Kuala Lumpur, dan bukannya pergi bertemu dengan klien-klien Puan Marina.
            Dengan langkah longlai Sufiyya menghampiri meja Puan Marina yang terletak bersebelahan dengan mejanya. Puan Marina sedang membelek-belek kertas sambil membebel sendirian.
            “Klien ni, tandatangan dia susah sangat nak tiru, Sufi. Dia kena sign borang revival ni, kalau tak, polisi dia lapsed nanti. Kalau sign dia senang, Kak Rina boleh tiru aje, tak payah susah-susah jumpa dia.” Puan Marina menghulurkan borang tersebut kepada Sufiyya. Borang yang berada di tangan, diperhati sedalam-dalamnya oleh Sufiyya. Hanya nombor polisi yang ditulis oleh Puan Marina.
            “Nanti Kak Rina call dia untuk buat appointment. Sufi tolong pergi jumpa dia, boleh?” Puan Marina mendongak memandangku yang sedang berdiri di sebelahnya. Hmm, apa pilihan yang aku ada Kak Rina oii... Antara ikhlas dengan tidak Sufiyya mengangguk.
            “Dia ni, kat mana Kak Rina?” tanya Sufiyya dalam keadaaan terpaksa.
            “Dia kat Petronas, kat Gebeng.” What? Hampir saja suara Sufiyya terlantun keluar mendengar tempat yang disebutkan itu. Agak jauh dari pejabat yang terletak di tengah-tengah pusat bandar.
Sufiyya hanya memerhatikan Puan Marina membelek-belek telefon Blackberry miliknya. Mungkin sedang mencari nombor telefon klien tersebut. Sufiyya kembali ke tempatnya bersama borang di tangan.
            “Helo Riz, apa khabar?” Kedengaran suara Kak Rina mesra menyapa kliennya. Aduhh, lelaki ke? Hati Sufiyya merintih lagi. Matilah aku kalau Khairy tahu, monolog Sufiyya berterusan mengenangkan lelaki yang baru saja tiga bulan menjadi tunangannya.
Hati Sufiyya mulai berbolak-balik. Bimbang Khairy akan berfikir yang tidak-tidak. Bukan Sufiyya tak tahu dengan sikap cemburu Khairy yang semakin menjadi-jadi selepas mereka bertunang. Semasa di alam percintaan tidaklah seteruk sekarang.
            Perbualan Puan Marina dengan kliennya sudah tidak  Sufiyya hiraukan. Hatinya sedang sibuk  berbicara sendiri sambil berharap agar Puan Marina membatalkan arahannya sebentar tadi.
Sedang Sufiyya memerhatikan surat lampiran daripada ibu pejabat yang dikepilkan bersama borang revival, matanya tertancap kepada nama yang tertera. Muhammad Mukhriz bin Sulaiman. Sufiyya cuba mengingat sesuatu. Klien ini belum pernah culas membayar premium kerana dia membuat potongan gaji melalui bank. Kenapa pula boleh tertunggak selama tiga bulan?
            Pantas Sufiyya membuka sistem untuk melihat status pembayaran klien itu. Setelah memasukkan nombor polisi, tertera maklumat klien pada skrin komputer. Berusia 35 tahun dan telah berkahwin.
Eh, kenapa tiada nama untuk pewaris? Biasanya orang yang telah berkahwin akan mewariskan polisi kepada isteri atau pun anak. Sempat Sufiyya meneliti maklumat lelaki itu. Kemudian dia meneliti pula maklumat pembayaran premiumnya. Ya, tertunggak kerana status autodebit yang tertera,  failed.
            “Sufi,” panggil Puan Marina setelah dia menamatkan panggilan telefonnya. Sufiyya berpaling ke arah Puan Marina.
            “Nasib baik, tak payah ke Gebeng. Petang ni dia ke Megamall sebab dia ada latihan boling. Tapi, Kak Rina memang tak sempat nak jumpa dia  sebab dah lambat nak hantar anak tuisyen pulak ni. Sufi pergi jumpa dia kejap, ya?” Untung juga pejabat ini letaknya berhampiran dengan Megamall.
            “Pukul berapa nak jumpa tu?” tanya Sufiyya inginkan kepastian.
            “Kak Rina forward nombor telefon dia, nanti Sufi call dia sebelum Sufi balik, boleh?” Sufiyya hanya membalas dengan anggukan lemah.
            “Jangan lupa, minta bayaran premium daripada dia, ya. Kak Rina dah beritahu tadi, dia kena bayar sehingga bulan terkini dan sampaikan salam Kak Rina kepada dia, ya?” Sufiyya mengangguk lagi sambil berdoa di dalam hati agar klien ini tak jadi datang.
            “Kak Rina pergi dulu ya Sufi. Jangan lupa tau, jumpa dia.” Sufiyya hanya memerhatikan Puan Marina tergesa-gesa meninggalkan pejabat. Dah lewat sangatlah agaknya tu. Sufiyya kembali meneliti skrin komputer.
            “Hai, bos dah balik pun moyok ke?” Teguran Fakizah yang sedang melintasi meja untuk ke tandas, meleraikan lamunan Sufiyya.
            “Dia balik pun, tak senang juga. Nak kena jumpa klien dia pulak petang ni,” adu Sufiyya kepada Fakizah.
            “Hmm, nasib baik bos aku tak pernah nak suruh aku buat kerja luar. Kalau tak, aku pun jadi macam kau. Moyok memanjang,” balas Fakizah sambil tertawa kecil. Ya, dia beruntung kerana mendapat Pengurus Unit yang memahami skop kerja sebenar seorang pembantu peribadi yang tugasnya hanya di pejabat.
            “Aku bukannya apa, takut juga kalau-kalau Khairy bising. Sudahlah di luar waktu pejabat, jumpa lelaki pulak tu. Marah cemburu satu hal, marah kerja lebih masa secara percuma satu hal. Yang sini bos, yang sana tunang. Dua-dua nak kena jaga,” rungut Sufiyya lagi.
            “Lain kali cakap aje dekat Kak Rina, ada hal. Lainlah kalau dalam waktu pejabat. Siapa tak marah, nak suruh kerja luar, kerja lebih masa sampai malam, tapi tak pernah nak bayar claim dengan overtime.” Sufiyya mengangguk lemah usai cadangan Fakizah itu. 
            Sufiyya menanti detik tibanya jam 5.30 petang dengan perasaan yang bercampur-baur. Berat benar rasa hati kali ini. Kenapa ya? Sebelum ini, pernah juga dia bertemu dengan klien lelaki tapi tak adalah berperasaan sebegini. Macam ada yang tak kena saja. Janganlah ada perkara buruk berlaku ke atasku, doa Sufiyya di dalam hati. Dia menyibukkan diri dengan mengemas meja dan menyediakan dokumen untuk ditandatangani oleh klien ini.
            Tepat jam 5.30 petang, seperti yang dijanji, Sufiyya menunggu klien itu di kopitiam berhampiran pejabat. Setelah sepuluh minit menunggu, Sufiyya dihampiri oleh seorang lelaki.
            “Sufiyya, kan?” tanya lelaki itu. Suffiya mendongak. Wow, maskulin betul. Kalau Sophea tengok, tentu tak berkelip matanya, bisik Sufiyya lagi merujuk kepada adiknya. Bukan dia tak tahu selera adiknya itu yang gemar mencuci mata melihat lelaki bertubuh tegap dan tinggi.
            “Ya saya. Err, Encik Mukhriz ke?” tanya Sufiyya kembali sambil memerhatikan lelaki itu yang sedang tersenyum dan melabuhkan punggung di hadapannya.
            “Nasib baik tak salah orang. Panggil saya Riz aje.” Sufiyya mengangguk ketika Mukhriz melambai tangan ke arah pelayan.
            “Panggil saya Sufi aje,” arah Sufiyya pula dibalas senyuman Mukhriz.  
            Untuk seketika Sufiyya membiarkan Mukhriz membuat pesanan untuk dirinya. Sufiyya sendiri telah pun menghabiskan satu set roti bakar. White coffee yang dipesan tadi masih lagi bersisa.
            “Berapa bulan ya outstanding?” tanya Mukhriz setelah pesanannya tiba.
            “Tiga bulan.” Sufiyya membalas ringkas.
            “Jadi saya kena bayar penuh ke?”
            “Ya, sebab takut lapsed polisi Encik Mukhriz kalau tak bayar penuh.” Terang Sufiyya lagi.  
            “Err, Riz, please.” Suara Mukhriz tegas. Mungkin tidak selesa berencik-encik begitu.
            “Err, maaf. Riz.” Sufiyya menyebut nama panggilan itu. Lalu terukir senyuman di wajah Mukhriz.
            “Sebenarnya macam ni, saya nak stop polisi ni sebab saya dah ada insurans nyawa syarikat. Boleh ke nak stop? Awak rasa Kak Rina setuju ke?” Sufiyya menelan liur. Kenapa tak tanya dengan Kak Rina, pertanyaan yang hanya terluah di dalam hati Sufiyya. Sudah tentulah Puan Marina tak setuju kerana ini akan menjejaskan komisyennya.
            “Saya rasa boleh.” Kalau Kak Rina tahu, begini jawapan yang diberikan kepada kliennya, mati aku.
            “Tapi, awak kena fikir, berapa banyak yang awak rugi kalau awak stop. Lagi pun, polisi yang syarikat tu, kalau awak berhenti kerja, awak tak akan dapat apa-apa. Sedangkan yang ini, akan berterusan dan awak akan dapat hasil daripada akaun pelaburan awak tu. Belum lagi kira duit poket yang awak dapat kalau awak masuk hospital.” Selamba saja Sufiyya menggunakan perkataan awak, macam dah lama kenal lagaknya.
            “Iya juga eh? Saya dah bayar polisi ni, lebih dua tahun dah rasanya. Darab dengan RM200 saya bayar tiap-tiap bulan, dah berapa kat situ?” Mukhriz mencongak-congak sendirian.
Hmm, berjaya juga aku menyelamatkan satu akaun Kak Rina, Sufiyya tersenyum di dalam hati sambil  memerhatikan Mukhriz yang sedang terkumat-kamit mengira. Ah, kenapa aku risaukan akaun klien Kak Rina, sedangkan dia semakin kaya tapi kebajikan aku langsung tidak dijaganya, satu suara berbisik ke telinga Sufiyya. Isy, tapi Kak Rina baik, cuma dia agak berkira, satu suara lagi menekan suara yang pertama tadi.
            “Eh, tak jadilah stop kalau macam tu.” Sufiyya bagaikan tersedar daripada mimpi, lalu mengukir senyum. Ternyata Mukhriz termakan psikologi yang dimainkannya.
            “Kalau macam tu, awak sign kat sini. Bayaran premium tiga bulan, ya?” Sufiyya segera menghulurkan borang revival untuk ditandatangani bagi menghidupkan kembali polisinya.
            “Amboi, laju aje mintak duit.” Mereka berdua tertawa. Orang-orang syarikat insurans memang mata duitan, hati Mukhriz berbicara sendiri.
            “Err, kenapa awak tak letak beneficiary? Kena letak tau.” Busy body pula Sufiyya kali ini.
            “Memang nak letak penama, tapi nantilah. Saya belum terfikir nak letak nama siapa.” Ramai benar senarai pewarisnya, letak nama aku boleh juga, hahaha... Sufiyya bermonolog lagi.
            “Eh, saya dah lambat ni, ada latihan boling. Ada apa-apa lagi tak?” tanya Mukhriz sambil mengeluarkan sejumlah wang lalu dihulurkan kepada Sufiyya.
            “Tak ada apa-apa dah. Resit nanti awak minta pada Kak Rina, ya?” Mukhriz mengangguk dan bingkas berdiri.
“Minggu depan ada tournament boling, datanglah tengok. Tapi kalau saya kalah jangan gelakkan saya pulak, ya.” Mukhriz tersenyum. Sufiyya tertawa sambil memerhati. Senyuman Mukhriz cukup menawan. Pandangan matanya menenangkan jiwa.
Sufi, tak ingatkah kau pada status diri? Dia pula telah beristeri. Satu suara mengingatkan. Spontan, Sufiyya termalu sendiri.
“Insya-Allah,” balas Sufiyya ringkas sambil memerhatikan Mukhriz menuju ke kaunter pembayaran.
“Saya dah bayarkan. Sebagai balasan, kena datang tengok saya main boling minggu depan,” ujar Mukhriz ketika melintasi meja yang mereka duduki. Aik? Minta balasanlah pulak dia. Huh, tak ikhlas.
Sufiyya memandang sehinggalah kelibat Mukhriz hilang ketika dia melintas jalan menuju ke Megamall. Sufiyya tersenyum lagi. Ah, itu hanyalah gurauan nakal seorang lelaki.


HEY! MR SPOTLIGHT KARYA IZMA QAHIERA

BAB 4



“Wanginya office. Cleaner dah sampai ke Munirah?"
Dia tak menjawab. Cuma ibu jari kanannya ditunjukkan ke arah pantri. Aku menjongket kening, nak tahu siapa yang ada di sana. Tapi Munirah membalas dengan mengangkat bahu. Hish! Berat mulut betullah dia ni.
Aku letak briefcase di atas meja Munirah. Teragak-agak juga aku nak ke pantri. Siapa pula yang rajin sangat mengemas pejabat pagi-pagi ni? Aku menyorok sikit di tepi pintu. Ada seorang gadis berbaju kurung sedang membancuh air. Figure dari belakang boleh tahan juga. Tapi siapa ni?
"Ehem!"
Aku berdiri di tengah-tengah pintu sambil berpeluk tubuh. Muka sengaja aku garangkan sedikit. Bukan nak marah betul-betul. Cuma nak menakut-nakutkan saja.
Gadis itu berpaling. Cara dia menoleh dah macam ala-ala ratu cantik tahun 2016. Rambut yang melepasi bahu dielus perlahan. Uik! Betul ke apa yang tengok ni? Berbeza sangat penampilannya dari semalam. Dia senyum. Okey, lesung pipit tu memang trademark dia. Tak jadilah nak marah. Tak sampai hati sebenarnya nak buat-buat garang.

"Good morning bos. I made a cup of coffee for you. Let's have a sip.
Amboi! Bukan main lagi dia. Aku kemam bibir kuat-kuat. Nak senyum sebenarnya. Tapi sengaja aku tahan. Dia tatang dulang berisi satu mug yang masih berasap kemudian melintas di depan aku.
"Nak letak kat mana ni?"
"Err, minum kat sini ajelah. Saya tak suka minum kat dalam bilik. Takut tumpah, habis fail-fail yang bersepah kat atas meja tu nanti."
Dia tenung aku, kemudian bagi isyarat supaya ikut dia masuk ke bilik. Aku bukakan pintu untuk dia, tapi aku tak ikut dia masuk sekali. Ini bilik aku ke? Alahai! Siapa yang rajin sangat kemaskan bilik aku ni?
"Mulai hari ni saya akan kemas bilik Encik Azraf dan seluruh pejabat. Tak kisahlah berapa Encik Azraf nak bayar saya. Selain dari kemas pejabat, saya akan bancuhkan minuman untuk semua orang termasuk Encik...eh, kenapa tercegat aje kat luar tu? Masuklah."
Dia tarik kerusi di tempat aku dan mempersilakan aku duduk. Tapi kaki aku macam dah terpaku di situ. Apa yang perlu aku katakan pada dia? Sabar Azraf. Mungkin dia dah lupa, kau tak suka orang usik barang-barang kau. Aku tarik nafas dalam-dalam, cuba menghalau rasa marah.

"Encik Azraf..."
Aku buka mata.
"Encik marah ke saya kemas bilik ni?"
"Siapa yang suruh awak buat semua ni?"
"Alamak! Encik tak suka ya?Tak apa, biar saya sepahkan balik macam tadi. Maaflah. Saya ingatkan nak buat kejutan macam dalam novel tu. I'm so sorry. Sorry tau. Lepas ni saya takkan sentuh apa-apa barang dalam..."
"Raisya..."
Dia pandang aku dengan muka sedihnya. Kedua-dua tangan dia menarik cuping telinga sendiri. Alolo, comelnya dia buat macam tu. Aku berdeham beberapa kali, cuba kembali kepada watak bos. Tapi tak semena-mena Raisya menyelerakkan kembali surat-surat yang telah disusun di dalam bekas. Fail-fail di meja sisi dilambakkan semula di atas meja kerja aku.

"Awak buat apa ni?" Aku masuk ke dalam dan terus tutup pintu. Tak syoklah kalau Munirah dan staf-staf lain terdengar nanti.
Raisya menjauhkan diri dari meja yang sudah bersepah. Tangannya kembali memegang cuping telinga.
"Saya mengaku saya pandai-pandai sendiri. Saya cuma nak tunjukkan kesungguhan saya. Serius ni Encik Azraf. Saya nak kerja kat sini..."
"Kalau ya pun nak sangat kerja kat sini tak payahlah sampai nak menangis. Saya tak pandai pujuk perempuan menangis ni. Lainlah kalau awak tu buah hati saya."
Tangan yang memegang telinga terus terlepas. Wajah Raisya merona merah. Dia tunduk memandang lantai. Aku datang dekat dan duduk di bucu meja. Dari atas sampai ke bawah aku perhatikan. Sampai ke hujung kain baju kurungnya, aku ketawa perlahan. Raisya tak berani angkat muka. Mungkin dia fikir aku masih marah agaknya.
"Cantik baju hari ni."
Aku buat suara tegas, Tapi tangan menekup mulut. Tak sabar nak gelak kuat-kuat sebenarnya.
"Pinjam baju mak. Saya tak ada baju kurung. Jeans banyaklah." Raisya berkata jujur.
"Hmm, patutlah..."
Aku berjalan ke arah pintu. Tombol pintu aku pegang dan aku pulas perlahan. Raisya mendongak. Mukanya kembali keruh. Ketika aku menolak daun pintu, dia datang dekat dan terus digoncang-goncangnya lengan aku.
"Encik Azraf, saya nak kerja kat sini. Saya janji takkan usik barang Encik Azraf. huuu..."
"Tolong keluar..." Aku cuba lepaskan pegangan tangannya.
"Tak nak! Saya nak kerja kat sini. Ampun Encik... ampun!!!"
Alamak, dia dah meraung. Aduh! Perangai lama dia dah makin terserlah. Cepat-cepat aku tutup pintu semula dan menyuruh Raisya duduk di sofa.
"Awak ni emosional sangatlah. Saya belum habis cakap lagi." Aku mundar-mandir di depan Raisya.
"Encik Azraf..."
"Diam!"
Terhenjut badan Raisya. Diam pun. Kalau lagi sekali dia buka mulut memang aku sumbat mulut dia.
"Saya nak awak keluar dan ambil briefcase saya di meja Munirah." Aku berikan arahan pertama.
"Itu saja?" Dia bertanya tapi masih tidak berganjak dari situ.
"Hmm, saya nak awak kemas semula bilik ni. Dah siap kemas nanti saya nak awak balik dan..."
"Ala..saya nak kerja sini!"
"Raisya Azzahra!"
Spontan aku terkam bahu dan badannya aku tolak hingga dia tersandar ke sofa. Terlopong mulut Raisya dengan tindakan mengejut aku. Cepat-cepat aku seluk sapu tangan di kocek baju dan aku sumbat ke dalam mulutnya. Aku pegang kedua-dua tangannya dengan kuat kerana tak mahu dia meronta-ronta.
"Padan muka! Mulut awak ni macam popcorn tau tak? Pot pet pot pet! Now listen! Aku genggam buku lima dan aku tayang di depan muka Raisya. Aku angkat jari kelingking dan buat seperti sedang mengira.
"First, ambil briefcase saya. Second, kemas bilik ni semula. Third, pergi balik dan tukar baju awak ni. Awak ingat awak ni masih student lagi ke? Saya tak nak tengok baju kurung yang gedoboh dan kasut sukan ni. Macam ni nak kerja dengan saya? Pergi balik. Pakai ajelah apa-apa yang awak rasa selesa. Faham?"
Raisya mengangguk laju. Tangannya terlepas dari pegangan Azraf. Dia menarik keluar sapu tangan yang menutup mulutnya. Sebaik sahaja, sapu tangan di tarik, Raisya terus berlari keluar. Aku tahu dia sedang terperanjat. Tapi aku dah ketawa berdekah-dekah.
Eh, macam mana kalau dia tak datang-datang lagi selepas ni. Atau dia bawa abang dia untuk belasah aku. Seingat aku dia ni kaki mengadu. Pantang silap sikit mesti dia jadikan abang dia sebagai pelindung. Aku meninjau ke tingkap. Dia sedang memakai topi keledar.
Sepantas mungkin aku berlari keluar. Hairan Munirah melihat aku kelam-kabut macam tu. Tak kisahlah tu. Apa yang penting aku tak boleh biarkan dia hilang lagi. Cukuplah lapan tahun. Puas aku ajar hati ni untuk berkawan dengan perempuan lain. Tapi citarasa hati ni hanya pada Budak Lesung.
Laju juga Raisya ni bawa motor. Mentang-mentanglah badan tu kecil. Aku pula yang seriau tengok dia mencelah-celah di tepi kenderaan beroda empat. Sengaja aku jauhkan jarak. Takut dia perasan yang aku follow dia balik ke rumah. Betullah dia cakap. Tak jauh mana pun rumah dia dengan tempat kerja. Memang sempat sangat kalau dia balik makan tengahari.

Sampai di sebuah taman perumahan, Raisya berhenti di kedai runcit. Tak lama kemudian dia keluar dengan sebuah plastik sederhana besar. Tak pasti pula aku barang apa yang dia beli. Sambung ikut dia lagi hinggalah dia berhenti di sebuah rumah yang bercat warna kuning air. Tapi dia tak terus masuk ke dalam rumah. Selepas menongkat motor, dia pergi ke seberang sana. Ada sebuah rumah kecil di situ.
Helmet masih di kepala, Raisya menyangkung di depan pondok kecil itu. Pintu pondok dibuka, keluarlah beberapa ekor kucing pelbagai warna. Raisya menggigit hujung plastik yang dibeli tadi kemudian menuang isi plastik itu ke dalam sebuah bekas. Oh, dia beli makanan kucing rupanya tadi.
Melihat perlakuan Raisya, spontan saja tangan kanan meraba dada di sebelah kiri. Teringat parut yang berbekas di situ. Kenangan yang tak mungkin aku lupakan selagi otak ni masih boleh berfikir dengan waras.
Tok! Tok! Tok!
Tingkap kereta diketuk. Seorang lelaki yang berpakaian sukan tanpa lengan sedang merenung dengan seribu kerutan di dahi. Wajahnya nampak tak puas hati. Tapi aku tak takut pun. Aku matikan enjin dan keluar dari kereta.

"Apsal kau ikut adik aku? Kau nak culik dia ya?"
Hek eleh mamat ni. Apa dia fikir badan dia berketak-ketak aku takut ke? Sekali aku tarik bulu ketiak yang tak bercukur tu nanti baru dia tahu. Handsome sangat ke muka aku sampai dia tak perasan kawan lama dia ni?
"Adik abang tu lawalah. Nak pinang buat bini boleh tak?" Sengaja aku menyakat. Aku berdiri jauh sikit. Risau juga sebenarnya. Kalau dihayunnya buku lima tu nanti, tak pasal-pasal ke hospital pula perginya.
"Baik kau berambus kalau nak hidup lama."
"Kau Hazri kan?"
"Macam mana kau tahu nama aku?"
Aku garu kulit kepala yang sudah berpeluh. Senyum sinis aku hadiahkan pada dia. Adik-beradik ni memang ada penyakit susah nak cam orang agaknya.
"Nak tanya sikitlah. Mak kau masih pandai buat serawa durian tak? Aku dah lama tak makan. Kalau minta dia buatkan sikit untuk aku, boleh tak?"
Hazri pandang aku dari bawah ke atas. Lama dia perhatikan kepala aku yang berkilat ni. Aku ambil sapu tangan dan lap kepala yang berpeluh. Ketika aku menyimpan semula sapu tangan dikocek seluar, Hazri sudah ketawa terbahak-bahak.
"Kau pernah jadi cikgu tiusyen adik aku kan? Siapa nama kau eh? Ala..." Hazri menepuk-nepuk dahi sendiri. Cuba nak ingat semula nama aku.
"Azraf..." Aku tolong dia. Lambat sangat nak tunggu memori lamanya timbul semula.
"Ha! Ya betul, Azraf. Ya Allah! Tak sangka boleh jumpa kau kat sini."
Adegan peluk-memeluk pun berlaku. Bermula sesi mengimbau kenangan lama di situ. Sambil recall semula kisah-kisah lama, aku curi-curi pandang Raisya yang masih leka melayan kucing-kucingnya. Tak nak ke Hazri jemput aku ke rumah? Aku dah penat berdiri ni.
"Eh, kau belum jawab soalan tadi. Kenapa kau ikut adik aku?"
"Saja. Aku nak tahu dia tinggal kat mana. Tak salah rasanya kalau majikan ambil tahu pasal pekerja, kan?"
"Uik! Dia bekerja kat tempat kau ke? Patutlah..."
Hazri gelak. Matanya tak lepas melihat kepala aku. Puas gelak dia tepuk-tepuk bahu aku. Tak apa, bagi dia gelak dulu. Kejap lagi baru tanya.
"Aduhai...Raisya...Raisya..." Hazri menghabiskan sisa tawa.
"Kenapa?" Dah tak sabar nak tahu apa yang membuatkan Hazri ketawa sampai tak cukup nafas.
"Patutlah Raisya minta aku duit pagi tadi. Katanya balik nanti nak cari cermin mata hitam kat pasar malam. Tak tahan bekerja kat tempat silau!"
Ceh! Abang dengan adik sama aje sengal!