Friday 3 June 2016

KERANA INDAHNYA SENYUMANMU SAYANG (KISS) KARYA AILAH DIELA

BAB 1

MATA meneliti biasan imej diri dari dalam cermin. Nafas ditarik dalam dan dilepaskan panjang bila melihat perubahan dirinya ketika ini. Tiada lagi kain batik dan juga baju kurung yang tersarung di tubuh. Tiada lagi wajah polos dengan rambut yang sentiasa disanggul tinggi. Kini, yang dilihat adalah seorang gadis moden yang bergaya dengan skirt singkat paras paha dan juga baju tanpa lengan. Rambut panjang mengurai yang dibiarkan lepas menutup sebahagian atas tubuh yang terdedah. Dia, Maria Jane binti Adam Audrey yang baru. Jika sebelum ini dia gadis biasa-biasa yang banyak kekurangannya, kini dia nekad untuk mengubah semua itu menjadi luar biasa. Apa saja yang dia lakukan hari ini adalah demi satu niat. Mengubah nasib diri menjadi yang lebih baik.

 “Maria.” Kepala pantas berpaling ke arah pintu yang sememangnya tidak bertutup. Tegak berdirinya Nita dengan senyuman bergayut di bibir.

“Ready?” soal Nita sambil melangkah masuk. Maria mengangguk lambat. Kepala kembali dipusingkan ke hadapan. Sekali lagi imbasan diri diteliti. Betulkah dia sudah bersedia? Hati dia pula bagaimana?

 “Kalau kau nak ubah fikiran, masih belum terlambat. Ini soal masa depan kau,” kata Nita yang juga turut meneliti gaya baru sahabatnya itu. Sebagai sahabat, dia cukup tahu apa yang bermain di fikiran wanita berkenaan. Dia cukup kenal siapa Maria Jane. Wanita sopan santun yang cukup terpelihara akhlaknya. Namun kini wanita itu terpaksa mengorbankan sesuatu demi sesuatu yang lebih berharga.

 “Tak. Aku tak akan patah belakang.” Sekali lagi Maria menggeleng. Tas tangan di atas kerusi dia capai. Sudah bersedia untuk meneruskan langkah yang seterusnya. Keyakinan cuba dikumpulkan sebanyak yang mungkin. Move on!

 “Maria.” Lengan itu Nita paut. Pandangan penuh bermakna dia hantar. Tidak kiralah setegas mana pun jawapan Maria. Tapi dia tahu yang hati gadis tersebut berlainan dengan apa yang terserlah di luaran. 
Maria gigit tepi bibir dengan riak muka yang cuba disorokkan. Dia gementar! Keliru! Takut! Semua perasaan membanjiri hatinya tika itu. Namun selagi dia mampu, dia akan cuba bertabah. Bukan mudah untuk dia sampai ke tahap ini. Alang-alang dia akan teruskan saja niat asalnya. Tak mungkin dia akan balik dengan tangan kosong. 

“Sebagai sahabat, aku cuma nak cakap yang kau masih ada masa untuk ubah fikiran. Dan apa yang kau nak buat ini bukannya hal kecik. Aku sebenarnya lebih banyak tak setuju dari setuju,” nasihat Nita sambil merenung mata itu  dalam-dalam. Cuba menghantar maksud yang dia begitu sayangkan sahabatnya itu. 
Maria lepaskan nafas perlahan. Kepala ditunduk memandang diri sendiri. Mata dipejam rapat cuba membayangkan masa depan. Namun, hanya wajah-wajah derita yang terlayar di mata. Derita! Itu sudah sebati dengannya.

 “Teruskan atau tidak, hidup aku tetap dah tak ada apa-apa makna. Kalau aku tak buat, aku mungkin akan lebih sakit dari sekarang ni,” katanya dengan senyuman yang jelas dipaksa. Dia dah puas menangis selama ini. Jadi dia memang dah tak peduli dengan masa depan. Apa yang dia tahu, hanya ini saja jalan yang dia ada untuk memberikan senyuman kepada orang-orang yang dia sayang. Ibu, kakak minta maaf sebab terpaksa jadi manusia yang lupa apa itu dosa. Fatma, Amirul, kakak minta maaf sebab terlalu lambat bertindak untuk lihat kamu berdua bahagia.

 “Kau sendiri pun tahu, kan. Ini bukan jalan yang terbaik.” Masih tidak berputus asa Nita terus memujuk. 

“Tapi ini saja jalan yang aku nampak. Enam bulan, tempoh tu terlalu singkat.” Jemari sahabatnya itu Maria paut. Dia tahu yang Nita mengerti kenapa dia menjadi begitu terdesak seperti ini. Duit! Dan dia lakukan ini hanya kerana satu perkataan itu. Walaupun hanya satu perkataan sahaja, namun cukup memberikan kesan yang besar kepadanya. Buat ataupun tidak dia tetap akan dapat kesan buruk.

 Lambat-lambat Nita mengangguk. Dia sudah cukup  hafal kisah perjalanan hidup Maria. Gadis itu sudah terlalu banyak melalui episod duka dari suka. Tidak disangka episod duka itu berlarutan sehingga membabitkan maruah dan masa depan Maria sendiri. 

“Okey. Jom, aku bawak kau jumpa Madam Lin.” Akur dengan keputusan Maria, akhirnya Nita mengalah. Jangan kata dia tidak pandai menasihati sahabat sendiri. Dia sayangkan wanita itu. Dan kerana itu jugalah dia tidak sanggup lagi melihat air mata Maria mengalir. Mungkin ini adalah jalan yang terbaik. Tempoh enam bulan akan berlalu dan semuanya akan berakhir. Semoga selepas itu dia akan melihat senyuman mahal milik wanita bernama Maria Jane. 
Hampir 45 minit perjalanan, akhirnya mereka tiba di hadapan sebuah bangunan. Terpapar dengan nama Zone ZF yang megah berkilau. Maria telan liur, degup jantung sudah mula hilang rentak. Dengan keyakinan yang semakin tipis, dia memaksa diri mengikuti langkah Nita ke pintu utama. 

“Aku takut,” katanya sedikit kuat sebaik sahaja mereka berada di dalam kelab malam tersebut. Bunyi muzik yang membingitkan, membataskan suaranya. Tadi memanglah dia tak rasa apa-apa. Tapi bila dah masuk dan melihat keadaan sebenar, keyakinan mula ditarik pergi. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Kemudian dia disajikan pula dengan keadaan seperti ini. Perempuan dan lelaki yang bebas bercampur. Wanita yang tidak cukup pakaian. Aksi tari-menari umpama dunia ini mereka yang punya. Semua itu buat dia gentar.

 “Kau jangan buat aku serba salah.” Nita turut terjerit. Maria ditarik rapat ke arahnya.  Baru sahaja masuk sudah ada mata yang cuba menjeling. Apa nak hairan, Maria memang ada daya pemikat yang tinggi. Darah kacukan yang mengalir di dalam tubuh itu membuatkan Maria cukup jelita. Dengan susuk tubuh ramping, rambut keperangan serta mata yang bundar itu mampu menarik sesiapa saja yang memandang.

 “Mana Madam Lin?” soal Maria sudah mula berasa tidak selesa. Mata-mata yang memandang ke arahnya itu membuatkan bulu romanya tegak berdiri. Tanpa menjawab pertanyaan Maria, tangan itu Nita tarik supaya mengikutinya ke tingkat atas. Kemudian melalui pula lorong-lorong yang menempatkan banyak bilik. Akhirnya mereka tiba di sebuah bilik bertutup di hujung koridor. 
“Hello. Hai... I memang dah lama tunggu both of you.” Mereka disambut mesra sebaik sahaja memasuki bilik tersebut. Madam Lin seperti biasa bersikap ramah dengan memeluk dan mencium kedua belah pipi Maria dan Nita. Maria ukir senyum kelat. Ini kali kedua dia bertemu dengan Madam Lin. Kali pertama adalah dua hari lepas di sebuah restoran mewah. Itupun Nita juga yang memperkenalkan dia hanya untuk pekerjaan yang ditawarkan. 

“Have a seat. Sekejap lagi turn you tau Maria. I ingatkan you tak jadi datang.” Dengan ramahnya Madam Lin mempersilakan tetamunya. Dia memang cukup suka apabila Nita memberitahu yang Maria ingin bekerja dengannya. Gadis itu cukup eksotik dan unik. Kalau Maria berjaya duduk di bawahnya sudah tentu big boss akan bagi dia bonus yang lumayan. Itu yang dia suka.

 “Saya tak ada pengalaman,” kata Maria takut-takut. Namun Madam Lin yang berbaju singlet sendat dengan kain yang terbelah hingga ke paha itu hanya ketawa. Maria gigit bibir. Dia bersungguh bila mengatakan semua itu. Dia memang tak ada pengalaman langsung tentang pekerjaan yang dia akan buat. Jangan nanti kata dia tak pandai buat kerja pula. Berterus terang dari awal itu lagi baik.

 “It’s okay, darling. Benda ni tak payah belajar. Semuanya akan datang naturally. Disebabkan you tak ada pengalamanlah, maka malam ni you akan layan customer penting kita. Lubuk emas, intan berlian you. Dia akan beri you pengalaman.” Madam Lin senyum penuh makna. Tidak tahu di mana silapnya sehingga gadis sepolos Maria sanggup menceburkan diri di dalam bidang ini. Tambah lagi bila gadis tersebut mengatakan tidak ada pengalaman. Memang dia sendiri pun terkejut. Tapi itulah bonus terbaik untuk dia. Lagipun ini bukannya paksaan. Gadis itu sendiri yang menyerah diri.

 “Saya.. Err... Saya tak tahu nak buat apa.” Sekali lagi Maria mengaku jujur. Apa yang dia nak buat? Kenapa semua ni tak ada praktikal. Takkan hari pertama dah kena buat kerja kut.

 “Don’t worry. Dia yang akan ajar you. You hanya perlu follow aje. Kalau you ikut cara dia, semuanya akan jadi mudah.” Madam Lin larikan jemari di pipi Maria. Hanya dua kali pertemuan namun dia cukup suka dengan sikap merendah diri Maria. Kalau big boss tahu ni, mesti dia akan dipuji sebagai pekerja cemerlang. Bukan mudah ada gadis seperti ini yang boleh terlepas masuk ke Zone ZF.

“Okey, Nita. Masa dah tamat. Jom.” Madam Lin capai tas tangan di atas meja. Melihat Nita bangun, Maria turut bingkas bangun. Dia tak nak duduk seorang diri dalam bilik yang suram ni.

“No, Maria. You kena tunggu sini. Sekejap lagi lubuk emas you datang. Ingat lagikan apa yang I cakap. You tahukan apa kerja you?” Terhenti langkah Maria sebaik sahaja mendengar kata-kata Madam Lin. Punggung kembali dilabuhkan. Mata memandang Nita mengharapkan supaya sahabatnya itu tidak akan meninggalkannya.

“Madam Lin, tapi saya takut duduk sorang.”

“Oh... Sweet of you, darling. Jangan takut, nanti dia datang, adalah teman you. First time memanglah takut sikit. Tapi, one day you akan ketagih.” Habis sahaja ayat terakhir Madam Lin, pintu diketuk. Tanpa kata Madam Lin membuka pintu dan berdiri tegak seorang lelaki berbangsa Cina. Maria telan liur. Tengok tatu yang berada di leher itu saja sudah buat dia nak lari terjun tingkap. Mata lelaki itu yang memandangnya penuh nafsu, membuatkan dia semakin takut.

 “I pass dia kat you. Be gentle, okey,” kata Madam Lin sambil melurut lembut lengan lelaki tersebut. Tangan Nita kemudian ditarik dan pintu ditutup rapat. Maria rapatkan diri ke tepi sofa. Mata memandang keliling bilik jika ada manusia lain yang berada bersamanya. Namun hampa. Kini hanya tinggal dia dan lelaki itu saja. Peluh sudah mula terbit di dahi.

“Mathew Ying.” Lelaki itu hulur tangan. Maria hanya melihat tanpa ada langsung niat untuk menyambut. Bibir sudah terketar sendiri. Dan saat lelaki itu duduk rapat di sebelahnya, automatik dia menjerit kecil. Mendadak bangun melarikan diri.

 “Hey... Cool, lady. I bukan nak sakitkan you.” Mathew kulum senyum. Memang sedari awal lagi dia sudah dijelaskan yang pelanggannya kali ini bukan sebarangan gadis. Gadis segar dari kampung. Mestilah dia nak. Itulah salah satu sebab kenapa dia sanggup bayar mahal. Dan itu jugalah salah satu sebab kenapa dia suka Zone ZF, khidmat yang ditawarkan tak pernah menghampakan.

 “Maaf. Saya tak biasa.” Maria peluk rapat tas tangan ke dada.

“Come.” Mathew tepuk sofa yang kosong di sebelahnya. Maria geleng. Jika bukan kerana terdesak, memang jangan harap dia nak buat semua ni. Tapi sekarang dia mesti teruskan. Dia dah tak sanggup menderita. Diri sendiri menangis dia tak kisah. Tapi untuk melihat air mata ibu menitis buat kesekian kalinya, dia sudah tidak kuat. Dia pertaruhkan masa depannya hanya untuk senyuman orang-orang yang dia sayang. Itulah pengorbanan terbesar yang dia pernah buat.

 “It’s okay. I tahu ini your first time. Okey, I tak akan berkasar. Come, hanya untuk sembang-sembang aje,” kata Mathew lagi dalam pelat Cinanya. Berhadapan dengan gadis seperti Maria memang dia kena bersabar. Dia dah bayar puluhan ribu, takkanlah dia nak rugikan macam itu saja.

 “Come.” Sekali lagi Mathew mempelawa. Mendengarkan nada lembut itu, lambat-lambat Maria melangkah. Kakinya berpusing jauh dari Mathew. Punggung dilabuhkan ke atas sofa yang paling hujung. Mata mengawasi segala tindak-tanduk lelaki tersebut.

“You tak bagi tahu lagi nama you.” Sengaja Mathew memancing soalan. Padahal memang dari awal lagi dia dah tahu nama dan dah tengok gambar pun. Kalau tak tengok tuannya, takkanlah dia berani nak bayar mahal.

 “Maria.” Hampir tidak terkeluar suara Maria. Bilik yang dingin itu tetap tidak mampu menghilangkan peluh yang mula terbit. “Nice name. Sesuai dengan you.” Perlahan-lahan Mathew mendekatkan tubuhnya. Senyuman diukir. Mungkin ini adalah senjata dia. Sebelum ini tidak pernah ada manamana wanita yang tidak jatuh ke kakinya. Maria pula hanya membiarkan. Melihat cara dan tingkah laku Mathew membuatkan dirinya yakin, lelaki depan dia ni tak gelojoh mana. Bukan jenis main terkam.

 “Dah lama kenal dengan Lin?” soalnya lagi bila mendapati Maria memberikan respons positif.

“Tak.” Sepatah Maria menjawab. Mata menjeling pintu dan sekitar bilik. Tangan sudah saling bersulam. Apa yang perlu dia buat? Duduk berdekatan dengan Maria membuatkan Mathew hilang kawalan. Bau yang terbit dari tubuh itu saja sudah cukup menggodanya. Sepantas kilat dia menyambar tubuh itu. Tangan menjalar pantas tanpa sempat memikirkan dengan siapa dia berdepan.

Maria yang tidak bersedia terhenyak ke belakang pemegang sofa. Melihat wajah yang sudah terbenam di lehernya membuatkan dia terjerit kuat. Dengan sepenuh tenaga dia menolak tubuh itu dan pantas bangun. Semuanya terjadi dalam sekelip mata. Belum pun sempat dia menyesuaikan diri, tiba-tiba diserang sebegitu sekali.

 “Hey!” Mathew sambar pergelangan tangan itu. Merasakan dirinya dalam bahaya, tanpa disedari Maria mengayunkan tas tangan miliknya ke muka itu. Tidak cukup sekali malah berkali-kali. Rasanya sesiapa sahaja yang berada di tempat dia pasti akan berbuat perkara yang sama.

SEMENTARA itu di satu ruangan bilik yang lain, seorang lelaki sudah menjerit marah. Tayangan yang berada di hadapan mata cukup membuatkan darahnya membuak-buak. Inilah perkara yang paling dia pantang!

“Darren!” jeritnya nyaring. Sepantas itu juga kot di atas kerusi dicapai. Tidak sampai beberapa saat Darren muncul di muka pintu.

“Panggil budak bilik black tag, no 6. My room, now!” Arahan diberikan tegas sebelum langkah diatur keluar. Siapa yang berani ambil budak mentah macam itu? Baru hari pertama kerja sudah berani buat hal dengan pelanggan tetap dia. Memang cari nahas!


No comments:

Post a Comment