Tuesday 24 March 2015

ARJUNA JELITA KARYA INTAN YUMERZA

BAB 2




Seperti kebiasaan, aku akan meletakkan basikal kesayanganku di perdu pokok mempelam di halaman hadapan rumah Mak Cik Odah. Aku akan berjalan kaki melintasi garaj yang memuatkan dua buah kereta itu untuk sampai ke pintu bahagian belakang rumah Mak Cik Odah.
Aku pandang ruang garaj yang kelihatan kukuh dengan bertiangkan simen. Ada dua buah kereta terparkir elok di dalamnya. Sebuah kereta Toyota Vios keluaran terbaru kelihatan begitu comel dipenglihatanku. Eham! Kereta baru, memanglah nampak comel kan? Sudah pasti kereta itu milik anak lelaki Mak Cik Odah yang baru pindah dari Kuala Lumpur itu. Dia ada pulang rupanya.
Aku memerhati pula kereta  Proton Saga keluaran pertama Malaysia milik arwah suami Mak Cik Odah. Usia kereta itu hampir sama dengan kereta Pak Long yang selalu aku gunakan. Akan tetapi, kereta ini kelihatan jauh lebih baru. Maklumlah setahu aku, Mak Cik Odah dan arwah suaminya sayang sangat kereta ni. Katanya, inilah kereta pertama mereka.
Dahulu, Mak Cik Odah memang boleh memandu. Tetapi sejak dia mengalami kemalangan bersama arwah suaminya, dia langsung tidak mahu memandu lagi. Sejak setahun yang lalu, akulah yang akan disuruh untuk memanaskan enjen kereta itu. Aku juga yang selalu memandunya jika Mak Cik Odah ingin pergi ke mana-mana. Ringkas cerita, aku bukan sahaja menjadi pembantu di rumah itu, malah merangkap pemandu peribadi kepada Mak Cik Odah. Heh. Hebat gitu!
Sebenarnya, aku kesian dengan Mak Cik Odah ni. Dia ada empat orang anak. Kesemua anak-anaknya berjaya dalam hidup. Tapi sayang, tiada seorang pun daripada mereka yang tinggal dengan Mak Cik Odah. Biasalah kan, orang yang terpelajar dan berpangkat besar, pasti rezeki mereka lebih murah di bandar-bandar besar.
Cuma anak lelaki Mak Cik Odah, pemilik kereta Vios itu saja yang sudah berpindah ke bandar di daerah ini. Dengarnya selepas suami Mak Cik Odah meninggal, dia terus berpindah. Kiranya, jika Mak Cik Odah sakit pening, senanglah anaknya yang seorang tu datang melawat. Emm… bagus juga kan?
“Mak kesian tengok dia tu Wan. Dahlah anak yatim piatu, hidup pulak menumpang. Kalau orang tu ikhlas nak jaga tak apalah… ni dah dibuat bibik budak tu. Sedih mak tengok.” Suara Mak Cik Odah jelas kedengaran di bahagian dapur rumah berdinding separuh batu itu.
“Kita nak buat macam mana mak? Kita orang luar. Yang mak buat untuk dia sekarang ni pun dah kira cukup bagus,” sahut satu suara yang agak garau. Sudah semestinya itu suara anak lelaki Mak Cik Odah.
 “Kalau mak ni ada hak, dah lama mak ajak dia tinggal dengan mak.” Suara Mak Cik Odah jelas kedengaran di bahagian dapur rumahnya. Serius benar bunyi suaranya.
Walaupun sudah hampir setahun aku asyik berulang alik ke rumah ini. Juga telah hidup berjiran berselang lima buah rumah sejak aku di tingkatan dua lagi, aku belum pernah bersemuka dengan anak Mak Cik Odah yang seorang ni. Maklumlah, dulu dengarnya dia belajar di luar negara. Balik Malaysia, dapat pula kerja di Kuala Lumpur. Biasanya aku jumpa dengan kereta dia ajelah. Setiap kali aku bertanya, mesti Mak Cik Odah kata anaknya tidur. Ishk… Ishk… Ishk. Kuat tidur betul!
“Mak ambil ajelah dia jadi anak angkat,” usul si pemilik suara gaurau itu lagi.
Mak Cik Odah nak ambil anak angkat ke? Macam mana dengan aku nanti? Mesti Mak Cik Odah dah tak layan aku macam sekarang ni. Paling menakutkan jika khidmat aku dah tak diperlukan di sini lagi nanti. Alahai Lita… kesiannya kau.
“Kau jangan terkejut Wan. Mak dah minta kat si Tina tu cara baik. Mak ikhlas nak jaga budak Lita tu. Mak sanggup tanggung kos pengajian dia. Kau tahu apa si Tina tu buat? Dia halau mak dengan penyapu! Dia ingat, mak ni kucing ke apa? Sakit betul hati mak ni tau!”
Langkah yang aku atur perlahan sedari tadi tiba-tiba terhenti. Macam aku je yang Mak Cik Odah sedang umpat tu? Tapi betul ke? Mak Cik Odah pernah berniat mahu menjaga aku? Mahu menanggung kos pengajian aku? Ya Allah… baiknya hati Mak Cik Odah.
Tiba-tiba saja mata aku terasa berpasir. Kalaulah Mak Long juga seperti Mak Cik Odah…
“Mak, kalau dah orang tak bagi, nak buat macam mana lagi? Kita doakan ajelah budak tu,” tingkah si pemilik suara garau lagi.
“Ha! Apa kata Wan ambik aje dia jadi isteri Wan? Mak jamin Lita mampu jadi isteri yang baik. Percayalah.”
Oitt! Hampir saja aku terduduk bila ayat Mak Cik Odah yang satu ini. Cop! Cop! Bukan ke anak Mak Cik Odah semua dah kawin? Gila nak jadikan aku bini nombor dua. Tahulah Mak Cik Odah tu sayang aku. Tak nak lah! Sumpah aku tak mahu!
“Budak sangatlah mak. Mana dia pandai jaga anak-anak Wan tu nanti.”
“Jangankan jaga anak-anak Wan yang dua orang tu, jaga mak yang dah uzur ni pun dia pandai Wan. Sejak dia tak sambung belajar ni, dialah yang hantar ambil mak pergi hospital. Dialah yang selalu urut-urut kaki mak yang selalu lenguh ni.” Nada teruja Mak Cik Odah sebentar tadi, kini bertukar sendu.
Aku pun hairan kenapa Mak Long tiada bantahan bila Mak Cik Odah meminta aku menemankannya. Yang pasti, aku rasa bebas bila berada di luar rumah Mak Long. Yang penting sekali, duit tabungan aku pasti bertambah setiap kali aku dipanggil datang ke rumah ini.
“Susahlah mak. Lagipun, Wan masih mampu jaga anak-anak Wan tu sendiri.”
“Mampu jaga kau kata? Yang si Kak Long tu mengadu terpaksa menunggu dua jam di luar kelas sebab kau tak ingat jemput tu apa kes? Baby tu pulak, dah semakin kurus mak tengok. Budak seusia dia tu kena minum susu lagi, Wan. Yang kau hentam bagi dia minum air soya kotak tu buat apa?”
Ooo… Dah jadi duda rupanya. Apa punya bapaklah sampai buat susu anak pun malas. Inilah namanya buat anak saja terror. Tang jaga, hempeh! Ishh… ishh… ishhh. Alamak! Ini sudah dikira kes menskodeng hal rumah tangga orang. Berdosa Lita… berdosa tu!
Apa aku nak buat sekarang? Nak balik atau tunggu saja sampai mesyuarat dua beranak itu selesai? Kalau aku balik, sudah sah melayang lima belas ringgit. Banyak tu! Kalau tunggu, macam mahu menjaga tepi kain orang pula nanti. Tapi, isu yang mereka bualkan ini ada kait mengait juga dengan aku. Apa yang perlu aku  buat sekarang? Fikir Lita. Fikir.
Perlahan aku undurkan langkah. Mungkin benar ada hal tentang aku yang mereka bincangkan. Tapi yang lebihnya ialah tentang kebajikan cucu-cucu Mak Cik Odah. Lebih baik aku kembali ke tempat basikal aku. Buat bising sikit. Konon-konon baru sampai. Bijak tak?
“Lita, baru sampai nak?”
Alamak! Belum pun sempat berpaling dari jalan berundur, nama aku sudah diseru Mak Cik Odah. Kantoi sudah.
“Baru je sampai mak cik. Riuh je bunyi kat dalam tu. Ada tetamu ke?” Aku tegur ramah sambil panjangkan leher melihat ke dalam rumah melalui pintu yang terbuka. Konon-konon tak tahu apa yang mereka bualkan. Tangan wanita tua itu aku salami seperti biasa.
“Anak mak cik yang nama Adwan tu ada balik. Jomlah masuk. Mak cik ada buat cucur cempedak tadi.” Mak Cik Odah menarik tangan aku untuk segera masuk.
Ruang makan di bahagian dapur itu, seorang lelaki duduk sedikit membongkok mengadap juadah di atas meja. Sebelah kaki dilipat dan dinaikkan ke atas kerusi yang diduduki manakala sebelah lagi dilunjurkan ke atas kerusi di hadapannya. Huh! Macam tuan besar. Elok sangat lah tu. Sesekali balik, jadi bos kepada mak sendiri. Patutlah muda-muda dah jadi duda. Huh!
            “Ha, Wan. Inilah Ain Jelita yang mak cerita tu.” Mak Cik Odah panggil anaknya. Genggaman tangan Mak Cik Odah di pergelangan tanganku makin dieratkan. Macam tahu-tahu saja orang tua ni aku sedang pasang niat nak lari balik.
            Anak Mak Cik Odah menoleh ke arah kami berdua. Kedua belah kaki yang santai di atas kerusi diturunkan. Wah! Boleh tahan juga. Ada iras-iras Zulhuzaimi pelakon kegemaran Mak Long aku tu. Cuma yang ini versi rambut ketak-ketak. Mujur rambut dia pendek dan terjaga rapi. Kalau tidak, ada harapan jadi rambut awan nano!
            “Duduk Lita.” Mak Cik Odah tarik sebuah kerusi makan betul-betul di hadapan anak lelakinya.
            “Err… Lita dah makan tadi kat rumah. Kenyang lagi ni…” Aku bagi alasan sambil usap perut. Aku sudah berkira-kira hendak pergi ke sinki untuk membuat apa-apa kerja yang patut. Segan pula nak duduk berdepan dengan anak Mak Cik Odah tu.
            “Tak payah menipu. Mak cik dengar tadi perut Lita berbunyi.” Anak Mak Cik Odah sudah mengangkat muka memandang aku. Tiba-tiba saja terasa darah panas menyebu ke wajahku. Walaweh! Mak Cik Odah pun… Cakap langsung tak pandang ada orang lain. Tahulah yang di hadapan aku sekarang ni anak dia. Malu siot aku weh!
            Sebenarnya, aku memang belum makan nasi hari ni. Hukuman sebab aku lambat siapkan juadah makan tengah hari keluarga Mak Long. Jadinya, aku cuma meratah mi segera di dalam bilik. Mujur juga aku ni bijak. Selalu menyediakan payung sebelum hujan. Atau lebih tepat lagi, menyediakan stok makanan sebelum kelaparan.
Jika dulu, selalu saja aku kelaparan kerana hukuman sebegini. Tetapi, bila sudah selalu terkena, pandai-pandailah nak hidup. Makan mi segera mentah pun sudah mampu mengenyangkan perut. Betul tak?
            “Makanlah. Tak payah malu-malu.” Lelaki di hadapanku menolak piring berisi cucur cempedak yang masih berbaki separuh itu. Langsung tiada senyuman di bibirnya. Tetapi tetap sempurna di mata aku. Ishh Lita! Sejak bila kau pandai menilai lelaki ni? Duda beranak dua pula tu. Jangan cari penyakit Lita. Jangan!
            “Errr… Lita ambil cawan.” Aku terus bingkas berdiri. Rasa gugup pula bila berdepan dengan lelaki kacak ni. Bertenang Lita… Bertenang.
            “Kalau Lita nak tahu, cucur cempedak ni lah makanan kegemaran Abang Wan. Sejak kecil, kalau musim cempedak, memang tiap-tiap hari mak cik buat,” cerita Mak Cik Odah dengan wajah yang berseri-seri. Lelaki di hadapan aku ini sekadar mengangguk sambil mengunyah. Pandangannya langsung tidak beralih dari memandang juadah di atas meja.
            Aku beranikan diri memandang tepat ke wajahnya. Kening yang hitam pekat walaupun tidak terlalu tebal. Hidungnya seperti Mak Cik Odah. Kecil dan terletak elok walaupun tidak mancung sangat. Janggut dua tiga helai di dagunya itu membuatkan wajahnya begitu matang di pandanganku. Walaupun sedikit berserabut dengan jambang yang mula tumbuh meliar, wajah tenangnya itu mampu menutupi keserabutan itu.
            “Nanti, Lita tolong gosokkan baju Abang Wan ye. Hari ni tak payah sapu daun kering. Biar abang Wan yang buat nanti.” Mak Cik Odah memandang aku dengan senyuman.
            Alamak! Agak-agak, Mak Cik Odah perasan tak aku menelek wajah anak dia tadi? Rasa berbahang di wajah segera aku kawal bila wanita itu tunak memandang wajahku. Aku segera mengangguk sebagai jawapan. Laju aku capai cucur cempadak lalu suap ke mulut. Kunyah laju-laju supaya cepat dapat ditelan. Sebelum aku terkantoi lagi, lebih baik aku cepat beredar buat kerja. Setakat menggosok baju, apalah susahnya. Baju-baju anak Mak Long pun memang aku yang gosokkan setiap hari.
            Aku pandang ruang hadapan rumah. Sunyi. Di mana cucu-cucu Mak Cik Odah? Katanya tadi ada dua orang. Mungkin mereka bersama ibu mereka agaknya. Tapi kan, jika mengikut wajah Abang Wan, mesti anak-anak Abang Wan ni comel-comel.
Melihat wajah Abang Wan, aku rasa dia masih muda. Jika dia mengaku bujang pun, mesti orang akan percaya. Jangan-jangan Abang Wan ni jenis mata keranjang tak? Sebab tu isteri lari tinggalkan dia. Emm… kesian pula anak-anak menjadi mangsa. Kecil-kecil lagi dah terpaksa ada dua rumah.
Nampaknya sesi berangan aku semakin menjadi-jadi. Sebelum aku melalut menyangka yang bukan-bukan, lebih baik aku beredar dan membuat kerja yang Mak Cik Odah suruh tadi. Perlahan aku tolak kerusi ke belakang. Cawan Mak Cik Odah yang sudah kosong aku letakkan ke atas dulang bersama cawan yang aku gunakan sebentar tadi.
“Dah kenyang ke? Tak nak tambah air?” Mak Cik Odah memegang bahuku sebelum aku sempat bangun.
“Dah kenyang mak cik. Sedap cucur tu.” Sempat lagi aku memuji. Tapi masakan Mak Cik Odah memang sedap. Biasanya aku memang akan makan bertambah setiap kali Mak Cik Odah ajak makan di sini.
Usai membasuh cawan dan piring di sinki, aku terus berlalu ke ruang hadapan rumah Mak Cik Odah. Bakul pakaian Abang Wan yang dimaksudkan Mak Cik Odah tadi aku hampiri. Wah Banyak juga! Sebakul penuh. Nak kena gosok semua ke? Singlet dan seluar kecik pun?
“Lita tolong gosok kemeja dengan seluar slek tu aje. Yang lain tu, Lita tolong lipat dan masukkan ke dalam beg. Esok Abang Wan dah nak balik,” ujar Mak Cik Odah seakan faham apa yang aku fikirkan. Wanita itu mengekori aku rupanya. Mujur aku ni jenis bercakap dalam hati. Kalau jenis yang membebel, masak aku ditangkap mengutuk!
“Abang Wan Lita tu memang macam tu. Suka tinggal pakaian kat sini. Bila dah susut kat sana, barulah terhegeh-hegeh nak kutip balik.” Mak Cik Odah cerita tentang Abang Wan dengan bersemangat sekali. Yang tak bagi menambah semangat bagi aku ialah, ayat Mak Cik Odah sebentar tadi tu. ‘Abang Wan Lita’… macam anak dia tu abang aku seorang saja pula bunyinya.
Tanpa menunggu jawapan dari aku, Mak Cik Odah terus berlalu ke dapur. Mesti dia nak berbual-bual dengan anaknya. Maklumlah, sesekali berjumpa, mesti banyak yang nak diceritakan. Betul tak?
Pakaian Abang Wan yang hendak aku gosok tidaklah banyak sangat. Cuma ada lima pasang. Selebihnya hanya perlu dilipat dan dimasukkan ke dalam beg yang sudah Mak Cik Odah sediakan tadi.
Usai membereskan tugasan pertama, aku berlalu ke ruang dapur semula mencari kelibat Mak Cik Odah. Lupa pula aku bertanya apa lagi kerja yang harus aku buat petang ni.
Di ruang dapur, kelibat dua beranak itu langsung tidak kelihatan. Aku menjengah ke luar pintu. Ooo… Dua beranak tu sedang menyapu daun-daun kering di halaman rupanya. Baru saja aku ingin menyauk selipar untuk mendapatkan Mak Cik Odah, cupingku tiba-tiba disapa dengan suara Mak Cik Odah.
“Mak berkenan sangat dengan Ain Jelita tu Wan. Mak rasa dia sesuai sangat menjadi pengganti arwah Sue.” Perlahan saja suara Mak Cik Odah berbicara.
Apa Mak Cik Odah sebut tadi? Arwah Sue? Jadi isteri Abang Wan bernama Sue dan sekarang Sue itu sudah meninggal dunia? Macam itu ke maksud kata-kata Mak Cik Odah tadi?
“Mak, kan Wan dah kata, hati Wan belum terbuka nak cari pengganti arwah…”
“Sampai bila Wan? Dah tiga tahun Wan… Dah tiga tahun juga usia Baby. Tiga tahun tu juga Baby tak merasa macam mana kasih sayang seorang ibu,” Sendu pula kedengarannya suara Mak Cik Odah. Kesiannya cucu-cucu Mak Cik Odah. Dapat aku bayangkan bagaimana perasaan kehilangan ibu. Kalaulah budak-budak tu ada di hadapan aku sekarang ni, sudah tentu aku peluk kuat-kuat.
Apa yang dapat aku tangkap dari perbualan itu ialah, Abang Wan sudah kehilangan isteri sejak tiga tahun yang lalu. Sama lamanya dengan usia anak Abang Wan yang dipanggil Baby. Selama itu, hati Abang Wan tidak pernah terbuka untuk mencari pengganti arwah isterinya. Oh! Rupanya tanggapan aku semasa mula-mula tadi salah sama sekali.
“Wan tahu kan, selama ni, mak tak pernah meminta apa-apa pada anak-anak mak. Cuma kali ini Wan. Cuma kali ini, mak minta Wan dengar cakap mak. Anggap saja permintaan terakhir sebelum mak menutup mata.”
“Mak… Wan tak…”
“Syyy!”
“Mak…”
“Kira jadilah ye? Esok sebelum Wan balik ke bandar, kita pergi rumah Mak Long Lita. Mak nak cop Ain Jelita tu jadi menantu mak!” Uiskk! Macam itu ke? Aku macam mana? Tak kan Mak Cik Odah langsung tak tanya pendapat aku?
“Mak juga yang kata tadi, Mak Long Lita tu tak bagi mak jaga dia. Inikan pula nak jadi menantu mak,” bidas Abang Wan pantas. Opss! Terr  abang pulak!
“Yang itu Wan jangan risau. Si Tina tu memang nak carikan jodoh untuk Ain Jelita. Janji sanggup bagi tiga puluh ribu, dia lepas! Kalau Wan tak sanggup keluarkan tiga puluh ribu tu, biar mak yang usahakan…” Merayu betul cara Mak Cik Odah berbicara. Separuh memaksa pun ada. Sampai sanggup keluarkan tiga puluh ribu lagi tu!
“Wan peninglah mak. Mendadak sangat ni.”
“Alah, tak payah pening-pening. Wan fikir nak genggam tangan tok kadi je. Yang lain, biar mak yang uruskan.” Titik Mak Cik Odah. Nampaknya hati Mak Cik Odah sudah benar-benar bulat mahukan aku jadi menantunya. Tapi, macam mana dengan aku? Err… Ini kira kawin paksa juga ke?
                                                *****
Petang itu, usai melakukan kerja di rumah Mak Cik Odah, aku tidak terus pulang ke rumah. Aku kayuh basikal ke pantai yang tidak sampai satu kilometer dari rumah Mak Long. Aku harus memujuk hati sendiri terlebih dahulu.
Sampainya hati Mak Long. Aku bagai barang lelongan di mata Mak Long. Memang aku terhutang budi dan harta dengan dia. Sejak lapan tahun yang lalu, aku terpaksa menumpang makan dan tidur di rumahnya. Aku memang tidak pernah mengeluarkan belanja. Bil air dan elektrik pun aku tak pernah masuk campur. Malah cukai tanah tapak rumah itu juga aku tak pernah ambil tahu. Tapi sebab itukah Mak Long tegar meletakkan harga setinggi itu untuk menghalau aku dari rumah dia?
Tanpa aku sedari, air mataku panas menuruni pipi. Kalaulah mama dan papa masih hidup, sudah tentu nasibku tidak seteruk ini. Mama… Lita rindukan mama. Wajah mama, susuk tubuh mama, senyuman dan suara mama, tetap jelas di ingatanku. Tanpa melihat gambar pun, ciri-ciri arwah mama tetap melekat di mindaku.
Cuma arwah papa, aku tidak sempat mengenalinya. Arwah papa meninggalkan aku dan mama ketika aku berusia tiga tahun. Kenangan bersama arwah papa terlalu samar dan berbalam-balam. Cuma yang aku tahu, arwah papa terlalu sayangkan aku.
Banyak perancangan yang telah arwah rancang untuk masa depan aku. Cuma sayangnya, perancangan itu hanya tinggal perancangan. Arwah terlalu cepat diambil dari aku. Tidak cukup dengan itu, mama pula menyusul papa ketika aku baru saja meningkat remaja. Aku terumbang ambing saat melangkah menjadi seorang remaja. Saat aku perlukan bimbingan dari orang dewasa yang dipanggil ibu dan bapa.
Ah! Aku melalui zaman remajaku dengan ilmu yang dikutip dari penglihatan dan pendengaran. Mahu mengharapkan Mak Long, cuma arahan yang sering keluar dari bibirnya. Mujur juga Allah mentitipkan kepadaku orang-orang yang baik. Seperti Mak Cik Odah, Auntie Rozy dan Abang Padam. Aku bersyukur sangat kerana aku tidak terjebak dengan kehidupan hanyut sesetengah remaja. Alhamdulillah. 
Mengingatkan Abang Padam, keresahan hatiku sedikit terubat. Dulu Abang Padam selalu menghadiahkan aku buku-buku berkaitan fardhu ain. Majalah khas untuk remaja perempuan juga tidak ketinggalan. Tidak dinafikan, Abang Padam memberikan ilmu kehidupan kepadaku dengan caranya yang tersendiri. Abang Padam... Lita rindu abang…
Tanpa aku sedari, hari sudah menginjak ke waktu maghrib. Lamanya aku duduk termenung menghadap Laut Cina Selatan. Apa yang aku dapat simpulkankan, buih-buih di permukaan lautan itu jauh lebih bertuah dari aku. Walaupun di mana buih-buih itu berada, ia tetap bercantum dengan air lautan. Mereka bagaikan sehati dan sejiwa sehinggalah buih-buih itu hilang sedikit demi sedikit.
Jauh bezanya dengan aku dan Mak Long. Walaupun kami punya darah yang sama, tinggal di rumah yang sama, jasad dan roh kami terlalu jauh jaraknya. Ah! Lita. Sudahlah. Anggap saja semuanya qada dan qadar serta ujian bagi dirimu…
                                                *****
“Kenapa lambat?” Melengking suara Mak Long menyapa aku yang baru saja meletakkan basikal di tepi dinding sebelah luar garaj kereta.
“Banyak sikit kerja di rumah Mak Cik Odah.” Ya Allah. Ampunkan hambamu ini kerana berbohong.
Sinaran mata Mak Long jelas bukan sinaran kegembiraan. Yang ada di situ hanyalah sinaran kebencian dan sakit hati.
“Asyik menyusahkan saja kerja kau kan? Mana duitnya?” Tangan di hulur betul-betul di hadapan mukaku.
“Ada…” Aku menyeluk poket seluar trekku. Kepingan merah yang bergulung itu aku keluarkan. Belum sempat aku meleraikan tiga kepingan kertas bernilai sepuluh ringgit setiap satu itu, Mak Long sudah merampasnya dari genggamanku.
“Sebab kau lambat, upah hari ni, semua aku ambil. Ganti rugi sebab aku terpaksa beli lauk di kedai!” Apa yang mampu aku lakukan lagi selain dari mengenggam angin yang langsung tidak terasa keberadaanya di telapak tanganku. Sekali lagi, tubir mataku menjadi pedih.

BAHAGIA MENGETUK HATI KARYA AMANDA ZEE

BAB 2



AKHIRNYA kami sampai juga di atas jalan raya. Hatiku berasa sedikit lega. Tiada lagi yang mengejar. Hazim pula kulihat turut menghela nafas. Aku rasa tadi kami berlari sekuat hati. Selagi ada tanah, semuanya kami pijak. Kalaulah kami dikurniakan kepak, pastinya dah bertebaran terbang di awang-awangan.
Ernie, stop it! Jauh sangat kau berimaginasi.
Aku berdiri tegak. Mataku pincing ke arah sorotan lampu yang mula mendekat. Cahaya yang menyuluh sangat banyak. Tika ini, aku sudah tidak mampu untuk bergerak. Tiada lagi dayaku. Kudratku sudah semakin lemah. Apa saja yang mendatang aku berserah kepada Tuhan.
Aku menoleh Hazim di sebelah. Dia juga aku lihat memandang ke arah yang sama. Riak wajahnya tidak dapat kubaca. Entah apa yang dia fikirkan, aku tak tahu. Hello, Ernie! Memanglah kau tak tahu. Apa ingat kau ada sixth sense ke. 
“Assalammualaikum.” Ada suara yang menegur.
“Waalaikumussalam.” Aku dan Hazim menjawab serentak.
Kami hanya memandang. Sebaik kumpulan itu berlalu, pandangan aku dan Hazim bertaut. Hazim tersenyum. Begitu juga aku. Lama-lama tawa kami meletus.
Perut kutekan sedalam-dalamnya. Penat berlari belum hilang, kini ditambah dengan penat ketawa. Hazim aku lihat juga begitu. Masih lagi ketawa.
Manakan tidak, ingatkan sorotan cahaya tadi dari lelaki-lelaki durjana yang mengejarku. Rupa-rupanya orang kampung yang baru pulang dari masjid. Pada perkiraan akulah bersandarkan pemakaian setiap dari mereka.
"Aku kena balik." Mulutku berbunyi bila aku sudah boleh bernafas secara normal. Kali ini aku betul-betul serius. Lebih lama aku di sini, entah apa-apa lagi bakal terjadi. Cukuplah tadi kami berlari tak cukup tanah.
"Aku hantarkan?" pelawa Hazim memandang tepat wajahku.
"Tak perlu. Aku tak kenal kau dan kau tak kenal aku." Aku menggeleng membantah cadangan Hazim.
Aku nampak Hazim ketawa. Apa yang lucu dengan kata-kataku tadi? Bukan aku buat lawak antarabangsa pun. Ada urat kat kepala yang putus ke apa mamat ni?
"Ernie Hairani Ehsan. Utm. Bandar Baru Uda." Hazim tersenyum-senyum memandang aku.
Serius, lelaki ini sungguh menakutkan. Membuat aku kagum atau dalam perkataan lain terpaku bila dia menyebut namaku. Dia kenal aku? Lelaki ini kenal aku? Siapa dia?
“Cukup tak tu?” Hazim angkat kening. Berdiri santai dengan gaya berlagak memandang aku.
Lidahku kelu. Suara seolah-olah tersekat. Mahu membalas tetapi apa yang dikatakan Hazim tadi bagaikan dia sudah lama mengenali aku. Otak kukerah bekerja keras. Cuba berfikir andai aku dan dia pernah berjumpa. Tiada. Tidak pernah. Tidak sekalipun lelaki ini pernah muncul di depan mataku.
“Hari dah semakin lewat. Kau tentu nak balik cepat, kan.” Hazim terangguk-angguk. Gayanya bagaikan sengaja menakut-nakutkan aku.
“Aku naik teksi.” Aku membalas. Cukuplah tadi dia sudah membantu. Tidak mahu termakan budi lagi. Silap-silap boleh tergadai body. Ernie! Kenapa kau suka merepek ni?
“Jangan degil. Lagi bahaya naik teksi malam-malam ni.” Hazim membidas.
“Bukan lagi bahaya ke naik dengan kau?” Aku memprotes.
“Sekurang-kurangnya untuk beberapa jam ini, kau dah kenal aku.” Hazim tersengih.
Aku mengeluh. Hazim betul. Memang bahaya untuk seorang gadis menaiki teksi seorang diri pada waktu begini. Lagilah telinga aku selalu disogok dengan pelbagai cerita kurang enak tentang pemandu teksi. Bukan maksudku pemandu teksi ini jahat tetapi disebabkan sikap segelintir mereka yang menyebabkan masyarakat berpandangan begitu termasuklah aku.
“Jom.” Hazim tarik tanganku tanpa sempat aku memberi kata putus dan aku tanpa rela terpaksa menurut. Itu pun sebab aku rasa sakit pada pergelangan tangan.
Punat kunci ditekan. Pintu sebelah penumpang kereta Honda CRZ berwarna merah dibuka Hazim. Dia menolak badanku agar masuk ke dalam.
“Hishhh…” Aku merengus. Menepis tangannya.
Hazim mengalah. Kedua-dua belah tangannya diangkat separas bahu.
Elok sahaja aku melabuhkan punggung, Hazim pantas menutup pintu dan berlari ke sebelah pemandu.
“Balik BBU, kan?” Hazim memandangku bersama kenyitan mata. Dia melemparkan senyuman kacaknya. Wajahnya kembali memandang ke jalan raya. Kereta dipandu selepas enjin dihidupkan.
Sakit mata aku tengok dia tersenyum. Dia faham tak banyak tanda soal dalam kepala aku ni. Serabut otak aku jadinya.
"Betullah muka aku ni hensem. Ralit betul kau, kan?" Hazim menoleh padaku sekilas. Pakej kenyit mata sekali lagi.
"Perasan." Aku jelir lidah panjang-panjang. Itulah Ernie. Kenapa suka sangat renung anak teruna orang? Tak pasal-pasal sampai dua kali kantoi.
"Tanyalah. Jangan simpan-simpan. Nanti makan dalam." Hazim bercakap macam dia boleh baca apa yang ada dalam benakku.
"Errr..." Lidahku kelu tiba-tiba. Mungkin banyak sangat persoalan yang berlegar dalam kepala. Sampai tak tahu mana satu nak ditanya dahulu. Kalau boleh semuanya nak dihamburkan serentak.
"Mana aku tahu nama kau? Itu soalan pertama yang kau perlu tanya." Hazim membantuku.
Aku angguk laju-laju. Serius. Lelaki di sebelahku ini sudah membuat aku berasa kagum dengan kelebihan dia membaca fikiranku. Mataku tidak lepas memandang dia. Berharap sangat ada jawapan yang jelas keluar dari bibir merah milik dia. Errr… aku puji dia? Oh, my!
"Rahsia." Hazim gelak.
Nak aje aku sepuk kepala dia. Memang bajet bagus betul. Tepat sekali aku gelar dia macam tu. Buang karan aje aku kagum bagai dengan dia ni. Balik-balik aku juga yang terkena.
"Damn!" Tiba-tiba ketawa Hazim mati. Stereng kereta diketuk. Dia menukar gear. Kelajuan kereta ditambah.
"Hazim!" Aku menjerit kuat. Panik dan terkejut. Tanganku kejap memegang pemegang pintu. Kecut perutku usah dicerita. Apahal pula dia ni nak pandu laju-laju? Dapat kurasakan kelajuan kereta ini hingga mampu buat hatiku mengecut.
"Sorry. Just hold on!" Serentak Hazim bersuara bersama halaju pemanduan yang ditambah. Matanya pula kulihat sekejap-sekejap memandang cermin pandang belakang.
Dalam takut-takut aku turut sama menoleh ke belakang juga. Berderau dadaku apabila ternampak ada sebuah kereta mengekori rapat kereta kami. Siapa pula kali ini?
Hazim pandu selaju yang boleh. Menyusup bagai lipas kudung. Memotong setiap kenderaan tanpa gentar tetapi aku yang kecut melihat cara pemanduan dia. Tolonglah, Hazim. Aku belum kahwin lagi. Kalau kau nak mati, matilah sorang-sorang. Janganlah heret aku sama.
"We're clear." Hazim pandang cermin pandang belakang. Kelajuan kereta perlahan-lahan dikurangkan sehingga kembali kepada kelajuan normal.
Aku menarik nafas lega. Kalaulah apa-apa terjadi tadi, memang Hazim aku persalahkan.
Setelah setengah jam perjalanan, akhirnya kereta yang dipandu Hazim berhenti. Brek tangan ditarik. Enjin kereta dibiarkan terpasang. Lampu dipadamkan.
"Okey, kali ini aku tak tipu. You're safe now." Hazim memandangku bersama senyuman lebar.
"Rumah aku." Terketar-ketar jari telunjukku menuding kepada sebuah banglo. Bagaimana Hazim tahu rumah aku? Berbual pun tidak apatah lagi bertanyakan alamat rumahku. Tahu-tahu aje kereta yang dipandu dia sudah berhenti di depan rumah keluarga aku.
"Mestilah rumah kau. Takkanlah rumah aku pula." Kening Hazim terangkat bersama renungan yang tak lepas pada wajahku.
"Kau siapa sebenarnya?" Sungguh apa yang Hazim lakukan buat aku takut. Siapa Hazim? Mengapa dia tahu semuanya pasal aku? Untuk sekian kalinya aku paksa otakku bekerja keras mengingati lelaki ini. Manalah tahu aku pernah amnesia.
"Manusia macam kau. Bukan Ultraman, Superman, Batman atau apa-apa karakter superhero khayalan tu." Hazim ketawa.
"Aku tahulah. Aku bukan bodoh nak diomokkan dengan semua superhero tu." Aku hadiahkan satu jelingan tajam kepada Hazim.
"One fine day kau akan tahu juga, Ernie. Sekarang lebih baik kau masuk dalam rumah sebab aku rasa sekejap lagi mama dan papa kau akan pulang." Hazim menari-narikan keningnya.
Dia betul-betul tahu pasal aku. Orang upahan papa ke? Bodyguard? Mataku mengitari wajahnya sebelum turun ke bahagian bawah tubuh lelaki ini. Tak ada ciri-ciri seorang bodyguard. Tak mungkin.
"Ernie..." Hazim menunjukkan jam tangannya.
"Hmmm... terima kasih." Dengan berat hati kupegang pembuka pintu walaupun kepala aku sarat dengan pelbagai persoalan.
"Lain kali jangan berani-berani berlawan dengan lelaki macam malaun-malaun yang kejar kau tadi." Hazim sempat berpesan.
"Hei! Aku..."
"Walaupun kau ada talipinggang hitam." Kata-kataku dipintas Hazim sebelum sempat kuhabiskan.
Memang bajet bagus. Ku hempas kuat pintu keretanya. Sebal.
Hazim membunyikan hon dan berlalu pergi.
Aku hanya mencebik. Berpaling pada rumah sambil jemariku menggagau dalam beg selempangku. Mencari kunci pintu pagar. Kalau tidak aku tak boleh masuk.
"Mana pula benda alah ni. Masa inilah kau nak hilang. Semalam-semalam elok aje ada kat dalam ni."
Sumpah. Memang aku letak dalam kocek beg ni selepas keluar petang tadi. Masak aku. Pagar tinggi macam ni mana boleh panjat. Kalau bibik ada, boleh juga dia bukakan. Ini dia balik kampung 2 minggu.
Penyudahnya aku hanya pandang pagar rumah. Mengharapkan keajaiban pagar itu terbuka sendiri. Ernie, kau ingat ini cerita dongeng! Aku mengalah. Mahu atau tidak terpaksalah tunggu mama dengan papa balik.
"Looking for this?" Segugus kunci disuakan betul-betul di depan wajahku.
"Hei!" Aku menoleh.
Hazim tersengih nakal sambil menggoncang kunci di tangannya.
Dari mana dia muncul, aku malas nak ambil tahu. Apa yang aku mahukan sekarang ialah kunci itu. Tanganku cuba merampas gugusan kunci dalam genggaman tangannya.
Namun Hazim sengaja mengangkat tinggi untuk tidak membolehkan aku menggapainya. Seronok dia mentertawakan aku yang terjengket-jengket cuba mencapai kunci tersebut.
Leka berebutkan kunci. Tidak sedar entah bila pintu pagar terbuka. Ada lampu menyoroti kami berdua.
Masing-masing tergamam. Kaku berdiri tidak bergerak. Terkebil-kebil memandang kereta yang masuk ke dalam rumah.
Selang seminit, aku hanya mampu menelan liur melihatkan susuk tubuh yang merenung aku dan Hazim.
"Dato'." Hazim menunduk hormat pada empunya wajah serius yang memandang kami berdua.
Aku pandang Hazim. Aku pandang papa. Arghhh…! Kepala aku semakin sakit. Persoalan siapa Hazim dan bagaimana dia tahu serba-serbi tentang diriku belum hilang. Kini timbul pula persoalan baru. Kalau Hazim tahu namaku dan tempat tinggalku. Tak mustahil mamat bajet bagus ini kenal papa.
"Hmmm... buat apa malam-malam dekat luar ni?" Papa merenung aku dan Hazim bersilih ganti. Gaya papa seperti seorang warden menyoal pelajar yang cabut dari asrama. Lembut tetapi tegas.
Aneh. Papa tak marah. Kalau tidak melengking satu oktaf suara papa memarahi aku. Mungkinkah kerana ada Hazim? Perlu ke aku berterima kasih dengan mamat bajet bagus ini?
“Ernie…”
“Saya terserempak dengan dia tadi. Itu yang tumpangkan dia sampai ke rumah.” Hazim memangkas kata-kataku. Sekali lagi. Hobi lelaki ini agaknya suka mematikan kata-kata orang lain sebelum orang itu menghabiskannya.
“Betul?” Papa pandang aku.
Aku teragak-agak ingin mengangguk tetapi kuangguk juga sambil mata memandang Hazim yang selesa dengan senyuman senget tersungging di bibirnya. Nampak gayanya semakin banyaklah hutang aku pada mamat bajet bagus ni.
“Dah pergi masuk. Tak elok anak dara berembun malam-malam ni,” arah papa kepadaku.
Aku hanya mampu mengangguk lagi. Berjalan lurus masuk ke dalam rumah. Membiarkan papa dan Hazim berdua di luar. Lantaklah kau, Hazim. Kalau kau pandai bercakap, mesti kau pandai menjawab soalan-soalan papa.
Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam rumah, aku mengintai di balik langsir. Aku lihat Hazim dan papa ketawa-ketawa. Macam ada sesuatu. Musykil betul.
Apa semua ni? Tak apa. Esok aku akan tanya sendiri dengan papa. Segarang-garang papa, kalau aku bertanya papa tidak pernah tidak menjawab. Sekarang baik aku naik ke bilik, bersihkan diri dan tidur. Hal Hazim, esok baru aku fikirkan.

Friday 20 March 2015

SETIA MENANTI KARYA LUVIS EIJA

BAB 2




CAHAYA matahari pagi yang membahang mengenai kulit muka Sara terasa sedikit perit, membuatkan dia terjaga dari lena. Cahaya yang masuk melalui jendela kamarnya itu menyilaukan pandangan apabila Sara membuka mata. Dia kembali pejamkan matanya namun dengan sepantas kilat dia bangun daripada katil apabila dia mula teringatkan sesuatu.
 Sara menoleh sekilas ke arah jam yang berada di atas meja lampu tidur di tepi katilnya. Sudah pukul 9.00 pagi. ‘Ya Allah! Lamanya aku tidur.’ Sara beristighfar panjang. Tanpa membuang masa Sara terus berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri dan kemudiannya terus bergegas ke bilik Adam. Dia perlu kejutkan Adam kerana lelaki itu sudah terlambat untuk ke pejabat.
Pernah dulu dia dimarahi oleh Adam kerana tidak mengejutkan Adam dari tidur. Akibatnya, Adam telah terlewat untuk menghadiri satu mesyuarat penting. Disebabkan kesalahan itu jugalah, Adam tidak pulang ke rumah berminggu-minggu lamanya. Sara takut perkara yang sama berulang lagi.

PINTU bilik Adam ditolak perlahan oleh Sara. Kelihatan Adam masih lena di katil sambil memeluk bantal peluknya. Sara kaget! Kalaulah Adam tahu bahawa dia sudah terlewat untuk ke pejabat, tentu teruk Sara kena. Adam memang seorang pekerja yang betul-betul menghargai masa. Walaupun dia menguruskan syarikat miliknya sendiri, dia memang tidak mahu terlewat atau pun masuk ke pejabat sesuka hati sahaja. Bagi Adam, dia perlu menjadi contoh yang baik kepada pekerja-pekerjanya.
Sara berjalan perlahan ke tepi katil, merenung Adam yang masih lagi lena dibuai mimpi. Dia teragak-agak untuk kejutkan Adam dari tidurnya. ‘Hmmm.. Ok Sara! Kau kena kejutkan dia!’ bisik hati Sara. Dia cuba meyakinkan dirinya sendiri. Walau apa pun kemungkinan yang bakal terjadi, Sara sudah bersedia untuk menghadapainya.
“ Awak! Awak, bangun! Dah lewat ni..” Sara goyang bahu Adam perlahan. Tubuh Adam bergerak sedikit, namun matanya masih lagi terpejam rapat.
“Adam! Bangunlah... Awak dah lewat ni.” Sekali lagi Sara memanggil, tetapi pada kali ini dengan nada yang sedikit kuat dan keras. Bahu Adam juga digoyang dengan lebih kuat.
Mata Adam terbuka perlahan. Wajah Sara yang berdiri betul-betul mengadap padanya itu direnung dalam. Satu helaan nafas yang panjang dilepaskan.
“Eemm.. Dah pukul berapa sekarang ni?” Suara Adam sedikit serak. Mata masih tidak lepas daripada merenung Sara. Kenangan malam tadi tiba-tiba saja datang menjentik tangkai hati. Bibir merah basah milik Sara kini menjadi santapan matanya. Liur ditelan berkali-kali. Berderau rasa darah lelakinya.
“Err... emmm... dah dekat pukul sepuluh pagi.” Jawap Sara takut-takut. Suaranya benar-benar dalam tekak. Dia memang betul-betul takut pada Adam. Masih jelas terbayang di matanya apa yang telah terjadi sewaktu dia terlewat kejutkan Adam di awal pernikahan mereka dulu. Adam betul-betul menyinga waktu itu kerana dia sudahpun terlewat untuk menghadiri suatu mesyuarat penting. Sara hampir-hampir ditampar oleh Adam waktu itu. Disebabkan kelewatan itu jugalah, Adam sudah kehilangan satu tender perniagaan yang besar.
“Ehhhemm!!”
Adam berdehem kuat, lantas mengejutkan Sara dari lamunan. Sara terkulat-kulat memandang Adam. Apabila terpandangkan saja renungan mata Adam yang begitu tajam membuatkan jantungnya berdegup kencang. Rasa macam nak pecah dadanya. Dia begitu takut sehinggakan tidak berani sedikitpun untuk bertentang mata dengan Adam. Sara terus tunduk merenung lantai, berharap agar dia tidak diapa-apakan pada kali ini.
Adam pula, tiba-tiba saja hatinya rasa tercuit melihat keadaan Sara begitu. Dia ketawa besar di dalam hati.‘Ha.. ha.. ha... Tahu pun takut! Garang sangatkah muka aku ni kalau tengah marah?’ desis Adam sendiri dalam hati. Tapi, riak mukanya masih serius tanpa segaris senyuman.
Adam bangun, perlahan dia melangkah menghampiri Sara yang masih lagi tunduk merenung lantai. Jantung Adam tiba-tiba berdegup kencang. Berdepan dengan Sara pada kali ini, jantungnya memang benar-benar sakit. ‘Aikk! Kenapa dengan jantung aku ni? Lain macam pulak rasanya.’ getus Adam sendiri. Matanya tidak lepas-lepas dari memandang wajah Sara yang begitu ayu namun kelihatan sedikit pucat.‘Sampai macam tu sekali dia takut pada aku..’ bisik Adam lagi.
Sara sedikit menggigil. Adam semakin menghampirinya dan kini betul-betul berada di sebelahnya. Dengan sedikit kasar Adam mengangkat wajah Sara yang masih tunduk merenung lantai. Seketika kemudian merapatkan mulutnya ke telinga Sara sambil berbisik halus..
“Kau tahu tak apa hukuman untuk kau kali ni sebab lambat kejutkan aku?” Adam berbisik perlahan di tepi telinga Sara. Cepat-cepat Sara geleng kepala. Jantungnya sudah melompat-lompat. Takut ada, seram pun ada. Bulu roma tiba-tiba rasa tegak.
“Aku nak kau layan aku, boleh?” Adam tersenyum sinis. Hujung rambut Sara dimainkan dengan hujung jarinya.
“Hah?”
Sara bingung. Dahinya berkerut, cuba mencerna maksud disebalik kata-kata Adam yang terasa begitu pelik dipendengarannya. ‘Layan? Layan yang macam mana?’ Sara sikitpun tidak dapat menangkap maksud kata-kata Adam itu. Dahi makin berkerut rapat.
“Kau ni memang betul-betul lembab ataupun sengaja buat-buat lembab?!” Sara direnungnya tajam. Geram pula melihat Sara seperti orang bodoh. Adam dengan rakus menarik tubuh Sara rapat kepadanya, terus berada di dalam pelukannya.
Sara kaget! Mukanya terus berubah menjadi merah kerana menahan perasaan malu. Seumur  hidupnya, inilah pertama kali dia berada begitu rapat dengan lelaki. Pertama kali juga berada di dalam pelukan seorang lelaki. Dia rasa macam nak pengsan dekat situ juga.
“Aku nak kau layan aku dekat atas katil, boleh?” Adam semakin galak mengusik Sara. Seronok melihat pipi Sara yang merah menyala itu. Dia dapat rasakan tubuh Sara yang sudah mula menggigil ketakutan.
“Hah?”
Sara terjerit kecil. Matanya terbeliak, betul-betul terkejut mendengar permintaan daripada Adam itu. Badannya mula terasa seram sejuk. ‘Ya Allah... apa kena dengan laki aku ni?’ Sara sudah pejamkan matanya rapat-rapat. Tidak berani mahu membalas renungan mata Adam yang menikam tepat pada anak matanya. Sungguh, dia rasa macam nak gila saat itu.
Tangan kasar Adam terus merayap perlahan ke pipi Sara, mengusap-usap pipi Sara dengan lembut. Kemudian perlahan-lahan turun ke leher. Sara terpaku. Degupan jantungnya semakin kencang. ‘Ya Allah, selamatkan aku..’ Sara tidak putus-putus berdoa di dalam hatinya.
Sementara Adam pula, bagaikan sudah terpukau dengan kecantikan Sara. Niat yang pada mulanya cuma mahu mengenakan Sara kini telah menjerat dirinya sendiri. Adam mula hanyut dalam perbuatannya. Baru sahaja dia mahu mencium bibir basah milik isterinya itu, tiba-tiba iphone miliknya yang berada di atas meja solek berbunyi nyaring. ‘Hishh... kacau jer lah!’ Adam mendengus kasar di dalam hati.
Pelukan di pingggang Sara terus terlepas. Sebaik sahaja Adam meleraikan pelukannya, Sara terus berlari laju meloloskan dirinya daripada Adam. Dia berlari menuju ke dapur, duduk terpaku di kerusi meja makan. Wajahnya pucat, seolah langsung tidak berdarah. Dia betul-betul takut membayangkan apa yang telah terjadi sebentar tadi. ‘Ya Allah, syukur pada-Mu.’ bisik Sara di dalam hati.

USAI bercakap di telefon, Adam terus ke bilik air untuk bersihkan diri. Fikirannya melayang jauh, teringat kembali apa yang telah terjadi di antara dia dengan Sara sebentar tadi. Perasaannya bahagia tiba-tiba saja datang bertamu. Rasa seronok pula dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Dia sendiri tidak faham dengan perasaannya sekarang. Kenapa sejak akhir-akhir ini dia selalu sahaja teringatkan Sara. Jangan-jangan dia sudah jatuh cinta pada Sara tak? ‘Ahh, tak mungkinlah Adam!’ Hati Adam terus menyangkal sekerasnya. Dia begitu yakin bahawa perasaan sayang, cinta dan kasihnya hanyalah untuk kekasih hatinya iaitu Amira.
Sementara Sara pula resah di dapur, menanti Adam di meja makan untuk bersarapan. Dia tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan Adam sekejap lagi. Dirinya masih diselubungi perasaan malu yang teramat sangat. Kalau boleh, dia nak jadi halimunan. Biar Adam tidak nampak dia di situ.
 Tidak lama kemudian Adam sudah berada di meja makan, siap berpakaian kemas.

SUASANA di meja makan masih sunyi sepi. Yang jelas kedengaran hanyalah bunyi sudu dan garfu yang berlaga sesama sendiri. Adam dengan muka selamba saja, seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa di antara mereka.
 Adam ralit menjamah makanan. Dia akui Sara memang pandai memasak. Kebetulan pula pada hari itu dia tidak ada urusan penting untuk dikerjakan, jadi bolehlah dia berlengah-lengah sedikit untuk ke pejabat. Memang dia tidak akan melepaskan peluang untuk menjamah makanan yang dimasak oleh Sara.
Sara merenung Adam yang begitu leka menjamu selera tanpa berkelip. Dalam diam dia akui, Adam memang kacak. Kekacakan yang boleh menggetarkan hati setiap perempuan yang memandangnya. Namun Sara tidak faham dengan sikap Adam terhadapnya. Sekejap-sekejap mesra, sekajap pula dingin. Sampai bilakah Sara mampu bertahan dengan keadaan mereka begitu.. dia sendiri tidak tahu. ‘Amboi, sedap sangat ker aku masak, sampaikan aku yang duduk kat depan ni langsung tak dipandang!!’ Desis Sara tidak puas hati. Tadi, bukan main lagi mesranya. Sekarang dah jadi batu balik!
Iphone milik Adam tiba-tiba menjerit nyaring, memecahkan kebisuan di antara mereka. Terus lamunan Sara tersentak. Matanya melirik laju pada telefon yang berada di atas meja makan di hadapan Adam.
 Adam menyorot sekilas ke arah telefon bimbitnya. Serta merta senyuman lebar terukir di bibir. Laju saja tangannya menekan punat hijau dan menjawap panggilan itu dengan mesra. Kerlingan Sara yang berada di sebelahnya dibuat tak nampak saja.
“Hello, sayang!”
Sapa Adam ceria tanpa mempedulikan Sara yang berada di sebelahnya saat itu.
Zup! Tiba-tiba darah merah terasa menyerbu laju ke muka Sara. Entah kenapa tangkai hatinya terasa pedih dengan tiba-tiba. ‘Sayang?’
“Hari ni Am tak jadi masuk office, nanti Am jemput sayang yer? Kita keluar jalan-jalan.” Adam tersenyum senang. Talian terus dimatikan. Sudah lama tidak keluar berjalan dengan kekasih hatinya membuatkan Adam berasa sedikit teruja. Sesaat dia melirik kepada Sara. Saja mahu melihat reaksi Sara.
Wajah Sara berubah menjadi merah secara tiba-tiba. Dadanya terasa ketat seolah hendak pecah. Sakitnya! ‘Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku rasa macam ni?’ Sara mula rasa keliru dengan perasaan sendiri. Dia rasa sakit hati yang teramat sangat. Rasa marah yang membuak-buak. Namun, semua kemarah itu cuma terpendam dan terluah di dalam hatinya.
Apalah gunanya jika diluahkan. Antara dia dan Adam memang sudah termetri satu perjanjian. Dia tidak boleh mencampuri urusan peribadi Adam dan begitu jugalah sebaliknya. Tambahan pula mereka memang tidak pernah bercinta dan tidak mungkin akan bercinta. Tiada gunanya Sara melepaskan semua perasaan marah itu kepada Adam.
Sara tahu memang agak mustahil untuk Adam jatuh cinta padanya. Dia cuma seorang gadis kampung yang kolot dan naif. Memang tidak ada satu pun yang dapat menarik minat Adam terhadapnya. Dia juga cuba mengawal dirinya. Mengawal hati dan perasaannya.. supaya tidak mengharapkan apa-apa daripada Adam.
 Namun begitu, perasaan kecewa dan sedih tetap jua bertamu di hatinya. Hidup Sara sentiasa dilingkari dengan cerita duka. Apakah memang tiada sinar harapan dan kebahagiaan untuk dirinya? Atau, apakah dia memang tidak layak untuk hidup bahagia seperti orang lain?
“Kau kenapa, tak sihat ker?” Wajah Sara yang tampak kemerahan itu direnung lama oleh Adam. ‘Apa kena dengan minah ni? Hish, tak kan cemburu kut?’ otak Adam berputar ligat, cuba menafsir apa sebenarnya yang terjadi. Wajah Sara masih direnung lama dengan dahi yang berkerut seribu.
“Hah? Eh, err... tak.. tak adalah! Okey, saya okey!!” Tergagap-gagap Sara menjawap. Dia cuba untuk senyum, tapi nampak sangat senyuman yang dibuat-buat.
“Kau ni dah kenapa? Tergagap-gagap pulak! Kalau kau rasa tak sihat pergilah cepat-cepat jumpa doktor. Nanti, kalau dah sakit teruk aku jugak yang susah.” Selamba Adam membalas sambil menghirup air milo suam yang masih berbaki di cawannya. Muka Adam nampak kelat.
Sara terkedu. Sekali lagi hati keciknya tersentap. Dia betul-betul berkecil hati dengan kata-kata Adam sebentar tadi. ‘Kalau dah tahu aku ni menyusahkan, kenapa tak lepaskan saja aku. Ini tidak, yang kau beria nak aku jadi bini kau tu kenapa?!’ Sara menjerit dalam hati. Geram betul dia dengan sikap sinis Adam. Mentanglah dia tidak reti nak melawan, sesedap rasa saja Adam membuli dia.
Melihat Sara masih tetap membisu dengan muka yang keruh, Adam kembali bertanya.
“Hari ni kau ada nak ke mana-mana ker?”
Sara masih juga membisu. ‘Tadi cakap aku ni menyusahkan.. Ini ada hati pulak nak tahu aku nak ke mana!’ Bentak Sara dalam hati. Dia tunduk pandang sarapan di pinggan yang langsung tidak disentuhnya.
“Kau ni dengar ke tak?!” Suara Adam sedikit tinggi. Dia sudah mula hilang sabar dengan kebisuan Sara. Wajah Sara yang keruh itu direnung tajam. Kalau ikutkan hatinya yang tengah panas tu, mahu saja ditengkingnya Sara kuat-kuat.
“Hmm.. saya ingat nak keluar kejap pergi siber cafe.”  balas Sara lemah, acuh tak acuh sahaja.
“Aikk... kau nak buat apa pergi sana?” tanya Adam hairan. Matanya tidak lepas dari merenung wajah Sara. ‘Dia ni, makin direnung makin cantik pulak!’ Adam telan liur. Tiba-tiba ada debaran di dada.
“Nak pergi semak keputusan permohonan untuk ke Universiti secara online” Jawap Sara sepatah. Kemudian, diam lagi. Sakit hati masih lagi bersisa.
“Ohh.. kau nak sambung study? Tapi, bila masa pulak kau isi borang tu?”
“Masa dekat kampung. Awak tak kisah kan?” Matanya bertemu tepat dengan anak mata Adam. Dalam hati berharap sanagt Adam memberi keizinan.
“Hmm, bagus jugak tu! Daripada kau duduk kat dalam rumah ni tanpa buat apa-apa, elok jugaklah sambung belajar. Takperlah, nanti aku belikan kau Laptop. Lain kali tak payah susah-susah nak pergi siber cafe.”
“Ehh, tak payah! Tak payah susah-susah sebab saya.” Laju Sara menolak. Tergeleng-geleng kepalanya.
“Kau ni kenapa? Apa yang susah sangat? Aku mampulah.. Kau ingat aku ni sengket sangat ker?” Bentak Adam keras. Sakit hati betul dia dengan sikap Sara yang suka sangat menolak setiap pemberiannya. Sikap Sara memang jauh berbeza dengan Amira.
 Kalau Amira, tidak pernah mahu menolak apa saja pemberiaannya. Malah, meminta-minta. Manakala Sara pula, sentiasa menolak sampaikan dia rasa terhina. Macam lah dia tak mampu!
Sara menikus, tunduk merenung lantai. Kecut perutnya mendengar suara Adam yang keras itu. Nak angkat muka pun rasa tak berani.
“Hmm, nanti kalau dah dapat belajar tu jangan nak menggatal pulak. Ingat sikit status kau tu! Jangan nak menggatal dengan lelaki lain. Kau tu milik aku. Banyak dah aku berhabis duit untuk kau! Jaga sikit maruah aku sebagai suami kau. Lagi satu, jangan pandai-pandai pulak cakap dekat orang yang kau tu dah kahwin!” panjang lebar pula syarahan Adam.
 Sara masih sama, diam tak berkutik. Mukanya masih tunduk merenung lantai. Sekali lagi hatinya tercalar. Sampai bila Adam mahu mengungkit? Sampai bila dia mesti rasa terhutang budi? Kolam mata terasa panas. Sedayanya ditahan agar tidak limpah.
“ Hishh.. kau ni! Dengar tak apa yang aku cakap ni?” Adam menengking kuat.
Terangkat bahu Sara kerana terkejut. Kepalanya diangguk laju. Bimbang kalau-kalau Adam semakin marah.
 Sementara Adam pula sudah berlalu keluar. Bimbang jika dia masih berlama di situ, dia tidak mampu mengawal amarahnya. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi enjin kereta BMW miliknya menderum laju, meninggalkan rumah rumah banglo dua tingkat itu..
Sara masih membatu di kerusi makan. Nasi goreng yang dimasak olehnya tadi langsung tidak dijamah. Kata-kata Adam tadi masih berbekam di hati. Sauara Adam bagaikan terngiang-ngiang di telinga, bagaikan rakaman suara yang diulang pasang
. Perlahan air mata gugur di pipi Sara setitis demi setitis. Air mata yang cuba ditahan dari tadi akhirnya tumpah jua. Sara teresak-esak. Sakit hati, kecewa, sedih, pilu... semua hadir saat yang sama, membuatkan hatinya remuk berkecai. ‘Ya Allah.. kenapa aku yang dipilih oleh-Mu untuk mengharungi semua ujian ini? Aku tak kuat, aku takut aku rebah dalam perjuangan ini..’ Sendu Sara makin kuat.
 Dia benar-benar tidak kuat untuk menampung segala perasaan sedih dan sebak yang bersarang dihatinya. Apalah dayanya untuk menghalang Adam daripada mendekati perempuan lain. Kalaulah dapat dia luahkan segala rasa yang sedang bersarang di hatinya kini, mahu saja dia hamburkan semuanya pada Adam. Kenapa Adam mesti menyakiti hati dan perasaannya? Kenapa mesti dia diperlakukan sebegitu rupa oleh Adam? Seolah-olah dia boneka yang tidak bernyawa! Apakah kerana Adam sudah membeli dirinya, maka Adam boleh berbuat sesuka hati sahaja? Sara makin sebak. Air mata tidak henti-henti menghujani pipi.