Saturday 29 November 2014

MIMPI KITA SAMA BY WAWA AKIL

BAB 6

http://wawaakil.blogspot.com/2014/11/mimpi-kita-sama-bab-6.html

Airis menekan butang merah pada handphonenya. Beberapa kali dia memandang Samsung galaxy Meganya. Entah apa yang bermain dibenak fikirannya tika ini. Tetapi yang dia pasti, hatinya begitu gundah.
Dia tarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghembusnya kembali. Fikirannya menerawang mengingatkan perbualan dengan Khaled Zidan tadi. Keluhannya dilepaskan lagi.
Khaled Zidan memang sudah betul-betul gila. Bukan setakat gila tetapi sudah tahap meroyan.
Dia bangun. Hasratnya mahu ke pantry untuk membancuh milo panas. Hajatnya mahu bersarapan di café bersama Balkis terpaksa dibatalkan. Dia sudah hilang keinginan untuk makan. Seleranya mati. Tertutup  rapat.
Dia berselisih dengan bapa saudaranya yang juga mahu ke pantry. Pelik! Jarang Imran ke pantry. Biasanya hanya kakitangan yang malas sepertinya saja yang menggunakan kemudahan di pantry berkenaan.
“Paksu tak keluar ke?” soalnya. Mereka beriringan masuk ke pantry. Imran geleng. Tengahari ni dia mahu keluar lunch bersama Datuk Salim, jadi sementara menunggu waktu tengahari, dia mahu mengalas perutnya dengan benda-benda ringan.
“Mmm.. paksu nak keluar lunch kejap lagi. Tapi perut ni lapar pulak. Kat rumah tadi tak sempat nak sarapan. Si kecil tu meragam, Maksu tak sempat nak sediakan sarapan pagi,” dia bercerita.
Biskut dalam tin dibukanya. Dia bangun untuk memanaskan air. Dua cawan milo dibawa ke meja. Satu diserahkan kepada Airis.
“Kakak pula kenapa? Kakak belum sarapan lagi ke?” soalnya pula. Hairan juga dia, selama ini Airis sentiasa menjaga pemakanannya. Sarapan pagi tidak pernah diabaikan.
“Tak kot. Rasa malas pula nak turun ke café,” katanya. Tetapi dalam hatinya lain pula berkata, tak ada selera kerana seleranya hilang sebaik saja Khaled Zidan dapat menjejaki dirinya melalui Anita.
“Mmm.. jangan skip sarapan,” dia bawa air yang sudah siap dibancuh. Satu untuk dirinya dan satu untuk Airis. Sesekali buat air untuk anak saudara tak ada salahnya. Dari dulu dia kerap memanjakan Airis.
“Kakak masuk dulu. Nak sambung buat kerja. Deadline sudah dekat,” Airis bangun.Deadline hanya sekadar alasan saja, sebenarnya dia tiada mood. Semua gara-gara lelaki tak cukup sifat itu.
Dia tahu pasti Imran sudah mengetahui mengenai Harian Kota yang disaman dan dia pasti surat saman itu sudah berada diatas meja paksu dan mungkin salinannya sudah difax kepada waliq, sebagai pemilik Harian Kota.
Beberapa kali dia menggeleng kepala mengingatkan saman berkenaan. Sepanjang dekat 10 tahun bekerja dia tidak pernah disaman. Rekodnya bersih tetapi hari ini bukan saja rekodnya tercemar, rekod bersih Harian Kota juga turut musnah.
Dia menuju ke sinki untuk membasuh cawan yang digunakan tadi.
“Mmm.. tengahari turun makan. Nanti kosong pula perut tu. Kakak ada gastrik nanti tak pasal-pasal kakak pengsan kat office,” dia mengingatkan Airis. Kalau tidak diingatkan pasti anak saudaranya itu lupa untuk makan.
‘Okey..”
“Kejap kakak,” panggilnya. Airis yang mahu melangkah keluar tidak jadi berbuat demikian. Dia masuk dan kembali berlabuh disisi Imran.
“Paksu dengar mama carikan kakak calon suami?  Betul ke?” soalnya. Dia tahu pun melalui abang iparnya semalam yang bercerita kakak sulungnya itu mengatur dinner untuk Airis berkenalan dengan anak Datin Juwairiah.
Dia tarik nafas lega. Ingatkan Paksu mahu bertanyakan pasal saman.
“Siapa cakap dengan paksu? Mama atau Aida?” soalnya. Serkapnya. Bukan dia tak tahu perangai si adik dan dia lebih kenal siapa mamanya. Benda-benda macam ni gerenti mama akan berkongsi dengan adik kesayangannya itu.
Imran geleng. Serkap jarang Airis tidak mengena.
“Habis? Kalau tak mama dan Aida, siapa lagi,” soalnya. 
“Waliq,” pendek saja dia berkata.
“Waliq? Biar betul…” beberapa kali Airis menggelengkan kepalanya. Macam tak percaya,”
“Apa lagi walidq cakap?” dia ingin tahu. Manalah tahu waliq ada bercerita sesuatu kepada bapa saudaranya itu.
“Mmm.. takde apa pun. Semalam kebetulan waliq kakak telefon, tanya kakak dah balik ke belum. Bila dah sembang-sembang tu terkeluarkan cerita mama sibuk mahu mengkenenkan kakak dengan Darius tu,”
“Kenapa kakak tak cakap dengan paksu,” soal Imran. Pelik juga dia selama ini anak saudaranya tidak pernah merahsiakan apa-apa daripadanya. Jadi apabila abang iparnya bercerita semalam dia sedikit terkejut.
Airis terdiam. Dia bukan mahu  menyembunyikan cerita itu daripada Imran tetapi segam bila melihat kesungguhan mama mahu mencari calon suami untuknya.
 Kenapa? Kakak tak berkenan ke dengan Darius tu?” dia cuba menebak hati anak saudaranya. Memanglah dia tahu selama ini Airis tidak berkenan dengan Darius tetapi siapa tahu benci akan bertukar menjadi sayang.
“Gila apa paksu ni…” dia tampar bahu Imran. Paksu ni agak-agaklah kalau nak bergurau pun. Jika diberi Darius tu secara percuma kepadanya belum tentu dia mahu menerimanya.
“Paksu nak tengok kakak merana?” soalnya. Mulutnya diherok. Wajah Imran dipandangnya. Bukan Imran tidak tahu sejarah hidup Darius sebelum ini tetapi bapa saudaranya itu masih lagi bertanya soalan tidak berapa logik.
“Saja je paksu nak uji kakak. Mmm.. entah apa yang kakak benci sangat dengan Darius tu. Dia ada pernah buat sesuatu pada kakak?” dia bertanya.
Manalah tahu diluar pengetahuannya Darius melakukan sesuatu sehingga membuatkan anak saudaranya itu agak ketara membenci temannya itu.
Cepat saja Airis menggeleng. Hish mana ada. Nak dekat dengan Darius pun dia takut apatah lagi mahu berbaik-baik dengan lelaki itu. Darius saja setiap kali datang ke rumahnya bertemu Imran cuba untuk mendekati dirinya.
“Hish mana ada… kakak bukan benci dia tetapi kakak tidak suka sikapnya. Dia playboy, wanita keliling pinggang, kelab malam jadi rumah keduanya dah tentu bertemankan minuman keras,”
Imran diam. Dia bersetuju sepenuhnya dengan apa yang diperkatakan Airis tadi. Dia bukannya tidak pernah bertembung dengan Darius yang mengunjungi kelab-kelab malam. Mengangkut wanita hingga ke bilik hotel.
Dia pun bukannya baik sangat kerana dia juga pernah mengunjungi kelab malam atas urusan bisness tetapi tidaklah sampai minum dan mabuk-mabuk. Kalau boleh dielak, dia akan elak untuk tidak berurusan dengan orang-orang seperti ini.
 “Jadi pandai-pandailah kakak berbincang dengan mama. Jangan sampai Datin Umi Kalthumyang anggun lagi jelita kita berjauh hati dengan kakak nanti. Kita sebagai anak ni janganlah keras hati sangat, mama tu hanya seorang saja di dunia ini. Tiada galang gantinya,”
 Imran memberi nasihat. Kadangkala menasihati Ery lebih senang daripada menasihati Airis. Nampak luaran Ery lebih degil tetapi hakikatnya si kakak, Airis dua kali ganda degilnya.
Lambat-lambat dia mengangguk. Kalau dibiarkan Imran berleter, tak mustahil akan menjadi seperti mamanya. Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dia sudah tersenyum, geli hati mengingatkan persamaan antara bapa saudaranya dengan mamanya.
“Senyum…senyum.. macamana kes saman hari tu?” Airis tersedak. Akhirnya! Soalan yang ditakuti muncul juga.
Hish paksu ni orang baru nak melupakan pasal surat saman itu, dia pula yang membangkitkan semula  ingatan itu.
“Dah jumpa lawyer kita pasal saman tu?” soalnya. Dia melihat anak saudaranya sedikit terganggu. Seingat dia sejak dia mengambil alih Harian Kota daripada Datuk Hassani syarikat itu tidak pernah disaman.
Ini boleh dikira mencipta sejarah dan dicipta   oleh Airis Ilmani. Anak gadis kepada pemilik Harian Kota. 20 tahun Harian Kota diwujudkan dan dalam tempoh itu syarikat akhbar mereka clean dari kes saman menyaman.
Airis geleng. Dia tidak berkesempatan untuk berurusan dengan Encik Bakri pasal surat saman berkenaan. Dia pasti peguam syarikatnya juga sudah menerima notis saman daripada Khaled Zidan.
“Kalau boleh berbincang dengan Khaled Zidan tu akak pergilah berbincang dengan dia. Mana tahu dia melihat akak hatinya jadi lembut,” entah mengapa dia dapat merasakan lelaki itu seperti sengaja mencari masalah dengan Airis.
Airis mendengus. Buat apa nak berurusan dengan mamat tu. Lebih baik dia direct kepada lawyer syarikat Kenchana Holdings. Kalau dengan Khaled Zidan kerja mudah akan menjadi sukar. Belum tentu masalah dapat diselesaikan.
Imran teringat surat laywer yang sampai dimejanya seminggu lepas. Dalam beringat-ingat itu terkena juga. Kalau babit kes saman malu memang susah mahu menang. Itu yang dirisaunya.
Melihat jumlah yang dituntut, dia hanya mampu mengurut dadanya. RM2 juta bukan satu jumlah yang kecil. Dengan jumlah sebanyak itu boleh menampung gaji pekerja sehingga setahun.
Kalau kalah gamaknya tahun ini kakitangan tidak merasalah bonus seperti tahun-tahun sebelumnya. Kalau dulu bonus dua bulan gaji akan diagihkan kepada kakitangan berdasarkan keuntungan syarikat tetapi sekarang dia tidak pasti boleh atau tidak untuk memberikan bonus.
“Hari tu paksu dah cakap hati-hati apabila menulis. Jangan sentuh peribadi orang terlalu mendalam. Dia boleh saman malu kalau dia rasa benda yang kita tulis tu menjatuhkan maruah dia,”
Airis diam. Mengiyakan kata-kata Imran. Tetapi sekarang ini dia dapat merasakan Khaled Zidan lebih kepada sikap mengada-ngada. Kalau tidak, tiadalah syarat yang mengarut diberikan kepadanya.
Walaupun  dalam artikelnya ada disebut pasal wanita dalam hidup lelaki itu tetapi dia rasa tidaklah sampai menjatuhkan maruah Khaled Zidan. Dia masih tahu batas-batas yang perlu dia hormati. Salah satunya adalah maruah orang.
“Nanti kakak call lawyer dia tu. Tapi paksu jangan bimbanglah. Kakak akan settle semuanya. Insyallah kita tidak perlu turun naik mahkamah. Macam paksu cakap dulu, benda kecil kalau masuk mahkamah tak berbaloi,” dia member jaminan lisan. Selepas ini dia akan membuat percaturan dengan lelaki bernama Khaled Zidan.
“Paksu serah pada kakak. Apa-apa perkembangan beritahu paksu nanti. Kalau tak boleh handle kakak serah pada laywer kita saja,” dia bersuara. Imran menilik jam di pergelangan tangannya.
“Lambat pula Datuk Salim ni. Janji pukul 12 tengahari sekarang ni dah dekat 12.30 belum call lagi,” katanya.  Cawan yang diminum tadi dibawa ke sinki.
Airis tidak membalas kata-kata itu, dia bersedia untuk keluar dari pantry. Begitu juga dengan Imran yang tergesa-gesa keluar sebaik saja menerima panggilan telefon. Sempat Imran mengangkat tangannya kepada Airis.
Airis menuju ke mejanya kembali. Cukuplah buat masa ini makan biskut kering dan milo panas. Kalau dia lapar petang nanti, pandai-pandailah dia turun ke café mencari makanan.
“Akak..” panggil Baizura. Gadis itu yang tadinyasibuk menjawab panggilan memanggilnya. Gagang telefon ditekup dengan tangannya.  Gadis yang agak pendiam di Harian Kota. Susah mahu mendengar suaranya.
“Ye Zura.. ada apa?” soalnya.  Tempat gadis itu dihampirinya.  Baizura penyambut tetamu, merangkap telefonis di Harian Kota tersenyum melihat dia menghampiri meja kerjanya. Manis! Orang yang jarang tersenyum bila tersenyum, manis sekali, desisnya.
“Ada orang nak jumpa akak. Dia tunggu kat bilik menunggu. Lelaki kak, handsome tapi muka macam tapai basi. Tak reti senyum langsung,” Baizura mengeluarkan pandangannya.
Aik sesekali bersuara boleh tahan juga Baizura ni. Tak adalah pendiam mana. Mulut pun boleh dikategorikan  berbisa juga, Desisnya. Dia tergelak mendengar kata-kata terakhir  Baizura tadi.
Tapai basi?Kasihan pula diakepada lelaki itu.
“Dia ada cakap siapa?” risiknya.  Baizura geleng. Bukan dia tak tanya tadi tetapi lelaki itu nampak macam karek saja. Langsung tidak senyum atau beramah mesra. Muka macam tegang semacam saja.
“Lelaki kak… wajah dia dah handsome tapi muka tak senyum langsung. Takut saya nak tanya banyak-banyak,” ujar Baizura.

“Mmm.. akak pergi sana kejap,” katanya. Kakinya melangkah kearah bilik mesyuarat yang terletak berdekatan pintu utama. Dalam kepalanya bersarang seribu pertanyaan. Siapa yang mahu berjumpa dengannya? Setahu dia, dia tiada langsung temu janji hari ini.

SEINDAH JACARANDA BY ROSE EZADORA

BAB 1

Rose Ezadora



“Excuse me, Excuse me….”Hani bersuara perlahan meminta laluan sambil dia berlari-lari anak. “Thank you…” ucapannya lagi, antara dengar dengan tidak. Seperti tidak ikhlas sahaja hendak menyebut, tapi apalah gunanya bersuara kuat kerana orang yang dia ingin ucapkan terima kasihpun sudah lesap entah kemana. Bukan dia kenalpun insan-insan itu.Hani masih meneruskan perjalanannya pantas dengan menjinjing 2 beg kertas berwarna brown.Berjalan di celah-celah orang ramai, menuju ke Waterfront Cape Town, Mega Mall. Mall yang terletak bersebelahan dengan Hotel Victoria and Alfred. Hotel yang begitu gah tersergam menghadap Victoria Wharf yang terkenal di negara kelahiran Nelson Mandela ini. Hotel Viktoria and Alfred, hotel bertaraf 5 bintang yang masih mengekalkan ciri-ciri kolonial. Disinilah tempat pertemuan yang telah di aturnya bertemu Roseina.

Cuaca dingin musim luruh pagi itu memaksa Hani mengenakan seluar panjang dengan kot labuh menutup punggung coklat. Sarong tangan dan mufler corak berkotak-kotak campuran warna merah hati dan coklat cantik tersarung di tangan dan lehernya yang jinjang. Warna-warna pastel itu memang sesuai dengan kulitnya yang puteh. Hani nampak bergaya apabila warna mufler berkotaknya berlawanan dengan warna tudung puteh dikepalanya. Berkasut but menutup buku lali bertumit, menampakkan lagi kelangsingan badannya yang tinggi lampai. Kot yang tidak dibutang, dibiarkannya terliang liuk di tiup angin dingin apabila pergerakan Hani melangkah deras.

“Aduh sempat ke aku ni.., kenapalah aku pakai kasut ini” bisik hati kecil Hani sendirian, memarahi pada kasut yang dipakainya. Kasut pula yang disalahkan kerana membuatkan pergerakannya agak terbatas. Kasihan kau kasut, tak pasal-pasal jadi bahan untuk dipersalahkan.
Janjinya bertemu Rosiena, 8.45 pagi, kini jam sudah menunjukkan 8.50 pagi.Hisy…
“Masih jauh ni.. aduh!! Mahu ambil masa 5, silap-silap 6 minit lagi baru sampai, Seina kau tunggu, jangan tak tunggu!..” mengomel sendirian dalam bahasa melayu pulak tu di bumi asing ini.
Dia tahu jika dia bercakap kuat manapun bukan ada sesiapa yang faham, walaupun ramai penduduk Cape Malay di sini asalnya dari rumpun melayu, tetapi mereka sudah tidak mengerti bahasa Melayu. Ungkapan Laksamana Hang Tuan “Tak kan Melayu hilang didunia” tidak boleh dipakai di sini, kerana sudah tidak boleh di panggil melayu lagi. Sudah hilang segala-galanya.
Hanya atas nama Melayu Cape, tetapi bahasa mahupun tatasusila sudah hilang, hilang sama sekali. Hilang ditelan masa dan ditelan keadaan sekeliling. Mereka sudah mempunyai bahasa dan cara tatacara hidup yang berbeza sama sekali dengan asal usul mereka. Penjajahan di zaman Aparthied sudah membuang jauh identity asal mereka.

Apa hal pulak hendak memikirkan masalah bahasa, bukannya Hani pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ni.. yang dah lambat nak berjumpa Seina yang patut di risaukan..
Matanya kerap singgah melihat jam tangan di pergelangan tangan kirinya. Walaupun dia baru sahaja melihatnya beberapa saat yang lalu. Dia tahu berapa kalipun dia melihat jam tangannya, waktu yang di harapkan tidak akan undur, walaupun sesaat, malah akan terus maju bergerak kehadapan.
Kerana kepantasan pergerakkannya, dia hampir membuat seorang wanita separuh umur tersunggur, nasib baik hanya berlaga bahu.
“Sorry madam..” Hani memohon maaf kepada wanita itu sambil membungkukkan sedikit badannya kearah wanita itu.
Sudah rupa minah Jepun pulak.
“Be careful my dear” jawab wanita itu lembut semasa memalingkan sedikit badannya walaupun perjalanan mereka diteruskan ke destinasi masing-masing.
Hani perlu berjumpa Rosiena untuk menyampaikan bungkusan yang sedia ditangannya kini. Kedinginan pagi tidak dipedulikan, niatnya untuk sampai segera bertemu Rosiena membuatkan dirinya tidak terasa kedingian tersebut. Malah panas, seperti orang baru lepas lari marathon.

Rosiena akan berlepas dengan penerbangan MAS terus tanpa henti dari Cape Town ke KLIA. Penerbangan yang sebelumnya telah mengambil penumpang dari Buenos Aires. Satu-satunya Penerbangan terus dari negara ASEAN ke Negara Amerika Latin, Buenos Aires, Brasil. Penerbangan yang sangat popular dikalangan ahli perniagaan dan korporat, kerana mereka tidak perlu membuang masa untuk transit. Tambahan pula bagi mereka time is money! Di sebabkan transit beberapa jam, sudah pasti akan merugikan syarikat beribu-ribu ringgit, malah mungkin mencapai angka juta.

Lapang hati Hani, apabila kelihatan dari jauh tubuh batang Roseina berdiri. Roseina sedang menunggunya. Dilihatnya Seina meramas-ramas tangannya sendiri dan mata melilau mencari sesuatu. Seina resah atau sejuk, wallahualam.. tetapi berat kepada resah. Resah menunggu dirinya, agaknya. Langkah di hayun lagi deras, agar dia cepat sampai ketempat Seina menunggu.
“Assalamualikum, Siena, how are you” ucapnya sebaik sampai dengan nafas yang termengah-mengah.

Beg kertas brown diletakkan diatas bangku kayu bersebelahan Roseina. Hani terus menghulur tangannya dan mencium kedua belah pipi Roseina, lagak seperti dua gadis arab yang baru berjumpa. Adik iparnya yang memang cantik, pagi ini nampak lebih berseri-seri.Darah kacukan Cape Malay yang mengalir ditubuhnya membuat wajah Seina seperti gadis Pan Asia.
“Sorry, sorry, I’m late…no parking” ujar Hani.

Seketika tadi menyalahkan kasut, sekarang menyalahkan ketiadaan tempat parker. Tangannya mencapai beg kertas brown yang diletaknya diatas bangku kayu, terus dihulurnya kepada Roseina. Tetapi Seina tidak menyambutnya, malah memberi isyarat agar beg kertas itu dibiarkan sahaja buat sementara diatas bangku. Seina menjengok beg brown dan dilihatnya satu bungkusan tersebut jelas telah dibungkus dengan rapi. Kelihatan bungkusan telah tertulis nama, alamat nombor telefon orang yang seharusnya Seina dihubungi.

“It’s ok sis… is it heavy?” tanyanya ringkas sambil mata disorotkan kearah dua beg kertas yang dibiarkan diatas bangku.
No, not heavy, not at all. Ssomething for my mum.What time is your flight?” rasa ingin tahu Hani.
12.00 noon, I better take a move now. We talk later ah!, Emb is waiting for me there”sambil tangannya menunjukkan kereta Volksvagen beetle hijau pucuk pisang kepunyaan Embrahim, tunangnya yang nampak sedang menunggunya di tepi jalan.
Sebelum di saman polis, baiklah Seina bergerak segera kerana di situ tidak di benarkan memakir kereta, walaupun ada pemandu atau orang menunggu kerana perbuatan ini akan menghalang pergerakan kenderaan lain.
“Call me when you reach there huh! And have a safe journey, darling…salamulaikum” tanpa mahu melenggah-lengahkan lagi pemergian Roseina ke Lapangan Terbang. Jika terlepas penerbangan, dia juga yang susah nanti.
Rosiena bersalam dan berpelukan, terus tanpa berlenggah meninggalkan Hani. Beberapa langkah kemudian Siena memalingkan badannya dicelah-celah manusia yang sentiasa ramai lalu lalang. Hani kerut mukanya, kenapa pula Seina berpaling belakang, ada barang yang tertinggalkah? Bisik hatinya.
Sis…Don’t forget to look after the office and Umm, while I’m away! only 2 weeks ya!not two years” jeritnya dan tenggelam di celah-celah pengunjung yang sentiasa ramai. Hendak menyampaikan pesan rupanya.
Seina..Seina..
Ada juga beberapa orang pengunjung yang memaling kearah perempuan yang meninggikan suara. Pasti difikirkannya mabuk atau kurang siuman. Menjerit tidak tentu pasal. Nasib baik ada pendengarnya, jika tidak sah sudah kurgan skrew dikepala.
“I will, I will.. safe journey si!s” jerit Hani membalas permintaan adiknya, dengan harapan Seina mendengarnya. Entah didengar atau tidak kerana Seina sudah meneruskan perjalanannya ke kereta tanpa menoleh. Lantak.. pastinya mereka memikirkan ada dua orang yang mabuk atau hilang ingatan, terjerit-jerit di tempat orang lalu lalang.
Dari jauh kelihatan Roseina melambaikan tangannya di sisi Ebrahim. Hani masih tercegat sambil membalas lambaian dan memerhatikan sahaja kereta Volkwagen beetle hijau pucuk pisang Ebrahim mula bergerak perlahan dan kemudian meluncur laju meninggalkannya. Hani masih tercegat memerhatikan kereta Ebrahim sehingga bayang kereta hilang dari pandangannya, kemudian dia terus bergegas berjalan ke pakir terbuka di mana keretanya dipakirkan tadi.
“Nasib baik sempat” tersenyum puas.
“Kalau aku bergerak dari ofis tadi, tentu nak sempat sampai airport, nasib baik jumpa kat sini..” bisik hati kecilnya lagi.
Bersetuju dengan cadangan Siena tempoh hari untuk bertemu di Waterfront sahaja dan tidak di pejabat memandangkan Waterfront sudah hampir dengan Lapanganterbang Cape Town. Jika dari pejabat memerlukan 30 minit pemanduan, sudah pasti akan melewatkan lagi perjalanannya.
Sesampai Hani di keretanya, tiba-tiba hatinya sebak, gembira bercampur sedih, Satu perasaan yang susah hendak diuraikan. Memang tidak dapat di pastikannya. Gembira atau sedih bercampur-campur. Gembira kerana Rosiena dapat juga akhirnya ke Malaysia seperti yang selalu di impikannya. Ditaja oleh Kerajaan Malaysia mengikuti Program Famalization Trip. Kali ini syarikat pelancongan See The World Travelterpilih, Roseina salah seorang daripada 7 orang peserta dari kategori Syarikat Pelancongan. Sekarang puaslah hatinya boleh melihat sendiri keindahan Malaysia, bukan hanya sekadar cerita dari mulut Hani atau dari mulut Khasif, abangnya.
Perasaan sedih pula, Hani memikirkan kenapa dia masih di sini, bukan di Malaysia, tempat yang sepatutnya dia berada sekarang ini!!.
Perasaan Rindu kepada keluarga di tanah air tercinta tiba-tiba mula menyelubungi hatinya. Namun di nafikannya kerinduan yang sedang membuak-buak, terus memandu ke pejabat. Perasaan rindu kepada tanah air perlu ditepisnya.Jika sudah empat tahun dia boleh bertahan, kenapa tidak hari ini.Biarkanlah masa berlalu bersama perasaan rindunya. Nafas dihela panjang, kemudian dilepaskannya perlahan.
“Malaysia kau memang dekat dihati, walaupun dimana aku berada” bisik hati Hani. Tetapi diri ini masih belum bersedia untuk menjejak tanah tumpah darah itu. Berilah Hani masa, mungkin hanya masa yang dapat merubah kedegilan hatinya tatkala ini. Bukannya dia merajuk, tetapi ada sesuatu yang menghalang, dirinya sendiripun tidak dapat memastikan, apakah halangan itu.
“Wahai hati, sampai bilalah agaknya akan terbuka untuk kembali kesana…”Hani cuba memujuk hatinya sendiri.
Mata sudah bergenang dengan air mata yang tidak sempat keluar. Cepat-cepat disapunya dengan belakang tangan kerana sudah sampai dihadapan pejabat. Nanti ada sessi bersoal jawab pula, jika pekerjanya perasan, matanya sudah memerah. Suh! Pergi kau air mata. Sekarang bukan waktunya hendak menjadi drama queen, si ratu air mata. Hani cepat-cepat berlakun, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Konon, namun didalam hati sedih bagai nak giler. Perasaan masih bercampur baur, masih mencari-cari, adakah apa yang dilakukannya adalah tindakan yang betul! Di keraskannya hati dengan memilih jawapan “Betul!”.

Thursday 27 November 2014

MIMPI KITA SAMA BY WAWA AKIL


BAB 5

https://www.faceboo45135655



Khaled Zidan tersengih-sengih. Terasa lapang dadanya saat ini  sebaik saja melangkah keluar dari Wisma Harian Kota. Dia bukan setakat tersengih-sengih tetapi siap dengan pakej menyanyi lagi.  Senang hati ooiii….  
Alunan lagu Selamat Malam Sayang nyanyian Faizal Tahir dinyanyikan dengan penuh jiwa. Lagu yang kebelakangan ini kerap mewarnai hidupnya. Lagu yang memberi nafas kepadannya.
Kan ku menjadi arjuna dalam mimpi-mimpimu
Kan ku panah tepat ke jiwamu atas nama cintaku
Pari-pari ku utus bawa kau ke sini lagi
Terhapus semua air mata dengan senyuman
Selamat malam sayang Selamat malam kasih
Selamat malam sayang
Woooo...
Selamat malam sayang, Selamat malam kasih
Selamat malam sayang….
            Kakinya melangkah menghampiri keretanya jenis  Audi A5 yang dibeli dengan hasil titik peluhnya, sebaik saja pulang ke tanahair dua tahun lalu. Walaupun dia mampu membeli kereta mewah yang lain tetapi setakat ini dia merasaikan hanya Audi A5 mampu memenuhi citarasa jiwa mudanya.

            Pintu kereta dibukanya. Cepat saja dia berlabuh dikusyen.  Tangannya membuka penghawa dingin untuk menyejukkan badannya. Bahang panas diluar sana membuatkan kemeja yang dipakainya sedikit basah dengan peluh.

            “Huh lega..” desisnya.  Beberapa minit kemudian enjin kereta dihidupkan dan menghala ke officenya di Jalan Bangsar.

            Radio dibuka. Channel Hot FM dicarinya. Sesekali dia tersenyum mendengar celoteh DJ Leya dan AG yang mengendalikan HOT FM JAM dari jam 4 petang hingga 8 malam  itu.

Memang betul kata orang, coleteh mereka boleh membuatkan pendengar tidak kering gusi. Hilang stress kerana mendengar lawak dan sesekali adegan usik mengusik antara mereka.

Pemanduannya agak lancar kerana Jalan Bangsar  yang menempatkan office Harian Kota ke  Jalan Telawi tidak begitu sesak sekarang ini. Dia memberhentikan keretanya di lampu isyarat di Jalan Maarof. Dia memberi senyuman kepada pemandu wanita disebelah kanannya.

Nanti kata dia lelaki sombong pula. Sebelum berlalu sempat dia mengangkat tangan kepada wanita berkenaan. Cantk! Desisnya. Walaupun cantik hatinya langsung tidak bergetar. Tidak seperti kali pertama bersua dengan Airis tiga minggu lepas.

Airis lagi! Hidupnya kini diwarnai oleh Airis. Di mana-mana wajah gadis itu yang terpamer di ruang matanya. Kau sudah teruk Khaled Zidan! Hajat mahu balik ke office dibatalkan. Dia memberi isyarat lampu ke kiri.

Cepat saja dia mengambil handphone dan mencari sesuatu dalam contact nombornya. Berjumpa dengan apa yang dicarinya, cepat saja didailnya.

Beberapa minit kemudian kedengaran suara wanita dihujung talian.

“Nita I tak balik office petang ni. Apa-apa call penting ambil pesanan dan call I balik,” beritahunya.  Entah mengapa dia malas mahu masuk kembali ke office sedangkan kerja yang menunggunya bertimbun.

Mungkin disebabkan hatinya gembira maka dia mahu meraikan kegembiraan dengan caranya yang tersendiri. Audi A5 dipandunya dan memasuki susur  Jalan Maarof sebelum memasuki Jalan Kaloi menuju ke kondominiumnya, Suasana Bangsar.

Dia berhenti di pondok guard. Kad akses memasuki kondominiumnya ditouch. Pengawal keselamatan berusia lewat 50-an itu mengangkat tangan apabila melihat Audi A5 milik Khaled Zidan berada di situ.

“Selamat petang Encik Zidan,” sapanya.

“Petang Pak Mat…dah makan?” soalnya ramah. Biasanya dia main angguk-angguk saja dengan Pak Mat tetapi petang ini anginnya baik. Mungkin juga hatinya sedang bergembira membuatkan semua orang mahu ditegurnya.

“Sudah encik.. mmm.. Pak Mat ke sana dulu ye,” katanya. Lelaki itu nampak segan untuk berbual panjang dengan Khaled Zidan. Iyalah selama ini lelaki muda itu jarang mahu menegurnya. Sekadar hanya angguk-angguk dan tersenyum apabila bertembung.

Sekarang ni Khaled Zidan terlebih ramah pula. Dia pula yang segan untuk berbual panjang.   Khaled Zidan angguk. Dia hanya memerhati Pak Mat berlalu dari situ. Cermin kereta yang diturunkan tadi dinaikkan kembali. Audi A5 meluncur menuju parker  blok kandominiumnya.

Selepas mengunci keretanya, pantas dia menuju ke pintu lif. Baru saja dia mahu menekan butang lif, handphone dalam poket seluarnya bergegar.

“Hello..” iPhone 5 dilekapkan ditelinganya.

“Ye mummy… baru nak naik lif kondo ni. Kenapa?” soalnya apabila mendengar pertanyaan mummy kesayangannya.

“Taknak lah. Orang penatlah mummy,” tolak Khaled Zidan apabila mendengar mummy aka Datin Seri Kamariah meminta dia pulang ke rumah keluarga mereka di Bukit Tunku. Petang-petang macam ni Jalan Mahameru sesak woii… tak kuasa dia mahu meredah jem.

“Orang penatlah mummy. Esok saja orang balik sana. Sekarang ni orang nak berehat puas-puas,” katanya.

“Mana ada..mummy ni kan. Orang balik awal bukannya sebab nak dating. Orang nak balik rehatlah. Mummy ni kalau tak paksa-paksa orang tak boleh ke?” soalnya geram. Mummy macam tu, kalau tak memaksa bukanlah Datin Seri Hajah Kamariah namanya.

Dalam-dalam kata tak nak itu kakinya tetap melangkah semula ke parker keretanya.  Mummy punya pasal kenalah reda. Nanti tak berbau syurga. Desisnya.

“Iyalah..iyalah orang geraklah ni. Mummy ni suka ugut-ugut orang. Yelah, orang sayang mummy kan, mestilah kena ikut,” kedengaran tawa dihujung talian. Suka agaknya mummy apabila anak bujangnya berkata begitu.

 Pintu kereta dibuka dan enjin Audi A5 dihidupkan. Beberapa minit kemudian keretanya menderum keluar dari kondominiumnya.

Hampir setengah jam dia tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Ketika dia berada di Jalan Bangsar jam menunjukkan angka lima lebih. Pastinya ramai pengguna jalan raya baru keluar dari office masing-masing.

Masuk ke Lebuhraya Mahameru, jalan raya sudah semakin clear dan 15 minit kemudian dia sudah sampai di kediaman keluarganya di  Bukit Tunku. Entah apa yang mahu dibincangkan daddy dan mummynya itu, sampaikan tidak sempat tunggu esok hari.

“Baru sampai ke?” tiba-tiba satu suara menegur dari arah belakang. Mengurut dada  dibuatnya. Dia  baru saja mahu menutup pintu kereta apabila ditegur si adik. Kelihatan adiknya,  Alana tersengih melihat si abang sedikit terperanjat dengan sapaannya sebentar tadi.

 “Buat orang terkejut saja dia ni. Dari mana Maghrib  macam ni  masih ada kat luar lagi,” soal Khaled Zidan. Alana gadis berusia 15 tahun itu kelihatan santai dengan t shirt lengan panjang dan track suit colour hitam.

“Jogging kat taman,” jawabnya. Pintu rumah dibuka, kelihatan  Datin Seri Hajah Kamariah muncul dari arah dapur.

“Hah baru balik. Dari tadi mummy pesan balik awal. Ni dah dekat maghrib baru nampak batang hidung,”  marah Datin Seri Kamariah. Alana diam. Dia tahu silapnya kerana sebelum keluar rumah tadi mummynya sudah pesan balik rumah sebelum Maghrib.

“Sorry mummy… masa kat taman tadi adik jumpa member. Dia pun jogging di situ juga. Borak punya borak tak sedar dah masuk Maghrib,” perlahan saja nada suaranya. Terasa bersalah kerana ingkar arahan mummynya sebelum keluar rumah petang tadi.

“Mmm… mummy bukan marah adik nak ke taman tetapi dah masuk senja tak elok anak dara ada di luar time-time macam ni,” Dia pandang wajah Alana dan baru dia menyedari si bujang juga berada di situ.

“Mummy tak perasan pula Iddan ada, bila sampainya,” soal Datin Seri Kamariah. Wajah si bujang trang tang-tangnya dipandang.

“Baru saja. Orang ingat nak balik esok saja tapi mummy dah desak-desak, orang terpaksa baliklah hari ni. Ada apa mummy sampai tak menyempat-nyempat  tunggu esok,” Khaled Zidan bersuara.

“Kalau tak disuruh balik Iddan tak balik kan? Jadi ini antara strategi mummy nak buat Iddan balik rumah. Entah ada apa kat kondo tu sampai liat betul nak balik rumah. Ke Iddan…” tiba-tiba Khaled Zidan menyampuk.

“Mummy ni kan… tak pernah nak fikir baik-baik untuk orang. Mana ada orang simpan perempuan kat kondo tu,” dia berjauh hati dengan kata-kata mummynya sebentar tadi. Jauh benar Datin Seri Kamariah berfikir.

“Sejahat-jahat orang.. orang tak pernah bawa perempuan balik kondo. Orang ingat lagi pesan daddy dengan mummy. Tapi mummy buat orang rasa sedih sangat,” sayu saja nada suaranya. Sungguh! Dia terasa hati dengan kata-kata Datin Seri Hajah Kamariah sebentar tadi.

“Iyalah..iyalah… mummy minta maaf. Mummy salah kerana syak wasangka macam tu dengan Iddan,” katanya.  

Padan muka kau Datin Seri Kamariah, suka betul kau nak menuduh anak sendiri. Ni semua gara-gara mendengar kata-kata Datin Muni la ni, agar mengawasi anak sendiri dan sudahnya si bujangnya sudah berjauh hati.

 “Ala anak mummy… buruk benar Iddan merajuk, sebiji macam Lana,” Datin Seri Hajah Kamariah bergurau.

Kakinya turut melangkah mengekori dua anaknya menuju ke ruang tamu. Dari tadi asyik bersembang di muka pintu. Dah macam tak ada tempat mahu bersembang. Depan pintu pun jadi.

“Jangan pulak nak balik kondo malam ni. Tidur sini saja. Sesekali balik apa salahnya tidur di rumah saja. Daddy pun asyik merungut nak jumpa Iddan memang susah sangat sekarang,”  Datin Seri Kamariah berkata.

Khaled Zidan angguk. Kalau bukan arahan mummy pun dia memang berhajat untuk tidur di rumah keluarganya malam ini. Malas mahu balik semula ke kondonya.

Dua tiga minggu kebelakangan ini Datuk Seri Shahriman asyik bersungut. Katanya sukar untuk berjumpa anak bujangnya di office.

 Setiap kali ke bilik si anak,  jarang Khaled Zidan ada. Meetinglah, appointmentlah, cuma belum terdengar lagi perkataan dating daripada mulut pembantu peribadi anaknya.

“Eh mana pulak perginya daddy kamu ni. Tak turun-turun lagi ke? Lana naik atas panggilkan daddy turun. Abang Khalif dan Abang Adli panggil mereka sama. Lagi tak dipanggil tak turun,” arahnya pada Alana. Selain Khaled Zidan dan Alana, dua lagi anak bujangnya iaitu Khalif Arshad dan Izham Adli.

Dia berlalu menuju ke ruang dapur untuk membantu Makcik Shima menyediakan makan malam. Seperti dijanjikan sekejap lagi tetamu istimewa akan tiba di rumah mereka. Anak-anak langsung tidak mengetahui siapa yang akan datang sebentar nanti.

Khaled Zidan sedikit pelik. Dia ingatkan Datin Seri Hajah Kamariah hanya mengarahkan dia saja yang balik ke rumah, rupa-rupanya dua adiknya juga diarahkan balik. Hish, bertambah musykil dia! Pasti mummynya ada agenda tersembunyi.

Mahu ditanya Alana tetapi si adik sudah berdesup berlari naik ke tingkat atas. Sekejap lagi kalau dia tidak bergerak pasti mummynya akan memetir. Tugas memanggil kedua-dua abangnya kerap menjadi tugasan tak rasminya jika  abang-abangnya itu ada di rumah.

“Done kerja memanggil,” tiba-tiba Alana bersuara. Khaled Zidan langsung tidak perasan bila masanya si adik turun dari tingkat atas. Kelihatan dua adik lelakinya turut melangkah ke ruang tamu. Nampak segar saja, mungkin baru lepas mandi.

Daddy pula terus saja menonong ke ruang dapur. Sempat Datuk Seri Shahriman mengangkat tangan kepada anak-anaknya yang berlonggok di ruang tamu. Malas dia mahu menyertai mereka, sesekali biarlah anak-anak dengan aktiviti mereka.

“Bro dah lama sampai ke?” Khalif Arshad yang membahasakan dirinya Acap menyapa. Tangan mereka bertaut. Si adik Izham Adli hanya tersengih. Dia ni tak banyak cakap, tapi bila kena topik yang dibincangkan, mulutnya boleh bertukar menjadi bertih goreng.

Dia duduk bersebelahan abang sulungnya manakala Alana dan Izham Adli tidak jauh dari situ.

“Kau pun balik juga? Ingatkan abang seorang saja dikerah balik oleh mummy. Rupa-rupanya kau orang pun sama. Nasib..nasib,” Khaled Zidan bersuara. Dia pandang kearah Alana. Mahu bertanya si adik tetapi sebaliknya si adik pula yang menyoalnya.

“Apa citer mummy suruh abang balik rumah?” soal Alana. Tengahari tadi dia agak terperanjat melihat abang kedua dan ketiganya tiba-tiba saja muncul di rumah dan petang tadi dia makin terkejut melihat kelibat abang sulungnya, Khaled Zidan pula didepan matanya.

Khaled Zidan menggeleng kepalanya. Menandakan dia sendiri tidak tahu mengenainya.

“Mmm..entah. Mana abang tahu. Lana yang ada di rumah ni sepatutnya Lana tahu apa yang berlaku,” balasnya. Alana mencebek. Abangnya ingat dia ni sudah dewasa ke sehingga mummy dan daddy akan berkongsi setiap masalah dengannya.

“Hish abang ni.. manalah Lana tahu. Entah… entah…” tiba-tiba dia tersengih. Teringat dia terdengar perbualan mummy dengan Makcik Shima semalam tentang abangnya. Waktu itu dia baru saja mahu melangkah ke dapur tetapi tidak jadi apabila mendengar perbualan mereka.

Terus saja dia berpatah balik. Tidak jadi dia masuk ke dapur. Tidak mahu mummy dan makcik Shima tahu dia mendengar perbualan itu.

“Apa?” cepat saja Khaled Zidan bertanya.  Dua adiknya juga turut excited mendengar kata-kata si bongsu.Tangan si adik ditarik. Sedikit menjerit Alana dibuatnya. Brutal betul abang-abangnya itu.

“Apa abang ni.. sakit tau tarik-tarik macam ni,” marah Alana. Pergelangan tangannya digosok.  Berbekas.

“Abang ni memang brutal. Nasib baik Lana ada tiga abang saja. Ni pun Lana rasa sudah terseksa sangat,” dia buat-buat muka sedih.

Khalif Arshad dan Izham Adli tersengih. Khaled Zidan?  Tak habis-habis dengan wajah bengangnya.

“Cerita ni babitkan siapa Lana? Abang Acap, Abang Adli atau Abang Iddan?” soal Khalif Arshad serius. Alana tidak menjawab. Matanya dihalakan kepada Khaled Zidan.

Khalif Arshad menarik nafas lega. Nampaknya dia dan adiknya Izham Adli mala mini tidak lebih sebagai pemerhati saja. Itu dia pasti sekarang kerana subjek utama mummy pada dinner nanti pastilah abang sulung mereka.

Isu? Pastilah soal jodoh.  Iyalah, Khaled Zidan sudah berusia 30 tahun. Sudah tua okey! Dia baru masuk 25 tahun manakala Izham Adli berusia 22 tahun. Kalau nak disuruh kahwin dia on saja tetapi masalahnya tiada pula yang memberikan tawaran seumpama itu kepadanya.

“Habis Lana tu, lembab betul nak bercerita. Apa yang Lana tahu?” soalnya. Nasib baik kau tu adik abang Lana oiiii… kalau member-member sudah lama abang luku kepala kau tu, desisnya.  Melihat Alana tersengih, membuatkan hatinya makin geram.

“Cepat Lana abang Adli pun tak sabar dengar ni. Hish.. kalau babitkan Abang Iddan memang kami bahagia sangat,” Khaled Zidan meluku kepala adik ketiganya.

“Hish, kalau tak suka abang sulung kau ni pun janganlah tunjuk sangat. Terasa hati abang ni,” gurau Khaled Zidan. Dalam susah hati itu sempat lagi dia bergurau. Dia pandang wajah si bongsu.

“Okey..okey… Lana cakap ni. Hish abang ni tak menyempat-nyempat,” dia bangun dan duduk bersebelahan abangnya. Mana boleh cakap jauh-jauh, nanti tak pasal-pasal mummy dengar. Tak pasal-pasal dia pula yang kena luku dengan mummy.

Begitu serius empat beradik itu bercerita.

“Itulah kisahnya,” Alana menutup ceritanya. Dia pandang wajah Khaled Zidan.

“Abang kisah ke kalau mummy carikan abang isteri?” soalnya. Abangnya sejak dia selesai bercerita tadi sudah jadi lain macam. Termenung panjang, macam memikirkan sesuatu yang berat. Takkan abangnya ambil serius ceritanya tadi? Itu kan hanya cadangan semata-mata. 

Bahu si abang ditepuk kuat. Geram, sudah beberapa kali dia memanggil abangnya buat muka seposen. Tak ada  perasaan langsung manakala dua lagi abangnya sejak tadi mulut mereka asyik terlopong. Tak percaya agaknya mummy mereka membuat cadangan seumpama itu.

“Abang…” panggilnya.

“A’ah…pasal pe?” soalnya. Lemah saja suaranya. Semua ni disebabkan cerita Alana sebentar tadi. Nak salahkan Alana pun tidak boleh kerana dia yang mendesak si adik untuk bercerita tadi dan apabila sudah tahu dia pula yang terasa mahu demam.

Mummy…mummy… apa yang difikirkan mummynya, Datin Seri Hajah Kamariah ketika menyuarakan cadangan itu kepada Makcik Shima. Bimbang sangat ke mummynya hanya kerana dia belum menemui calon isteri?

“Abang   ke kak Dahlia tu?” selidik Alana. Kalau Kak Lia jadi kakak iparnya pun dia tidak kisah sangat kerana dia sudah mengenali gadis itu sejak dia kecil lagi. Cuma yang dia tidak berkenan sikap tinggi diri sepupunya itu.

Khaled Zidan pandang adiknya.

Ini pun satu, Alana tak tahu ke dia sudah cukup susah hati sekarang ni. Sanggup lagi adiknya itu bertanya soalan maut macam tu. Dahlia tu sudah dianggap adiknya sendiri macam juga Alana apatah lagi mereka bergelar sepupu. Pastinya hubungan mereka agak rapat.

Patutlah mummy memintanya dia balik petang ini. Rupa-rupanya mummy sudah ada perancangan sendiri. Mahu menemukan dia dengan Dahlia yang sudah bertahun tidak dijumpainya.  

Kalau dia tahu tentunya dia gembira melihat Dahlia tetapi sekarang selepas dia mengetahui perancangan mummy masih adakah perasaan teruja dihatinya. Dia sendiri tidak tahu. Beberapa kali dia menggelengkan kepalanya.

“Abang ni kenapa? Abang tak gembira ke bila dengar mummy nak satukan abang dengan Kak Lia? Lana rasa okey apa!. Abang handsome, kak Lia pula jelita,”

Khaled Zidan mengeluh. Tang dengar abang handsome tu dia setuju sangat sebabnya dia tahu dia ni memang handsome tetapi time Kak Lia jelita tu dia macam tak boleh terima. Tang mana Alana tengok Dahlia tu jelita.

“Jadi malam ni dinner kita turut disertai Dahlia bersama Pak Long dan Mak Long? Begitu? Soal Izham Adli. Alana mengangguk. Itulah yang didengarnya malam semalam.

“Kalau tiada perubahanlah. Itu yang Lana dengar semalam. Err.. Abang Iddan okey ke tak ni? Lana tengok muka abang dah pucat semacam ni,” soal Alana. Baru dia perasan wajah Khaled Zidan sudah bertukar colour.

“Err… abang okey tetapi mummy tu yang tak okey,” selamba saja kata-katanya. Dia bangun dan mendaki satu persatu anak tangga menuju ke tingkat atas. Kalau boleh dia tidak mahu diganggu pada saat ini. Beberapa minit kemudian berdentum bunyi pintu bilik dihempas.

Alana pandang kedua-dua abangnya.

“Abang rasa abang Iddan okey ke tak?” soalnya kepada  Khalif Arshad. Kemudian matanya dialih kepada Izham Adli.

“Lama-lama Abang Iddan okeylah tu,” putusnya. Dia turut bangun dan mendaki anak tangga menuju ke bilik tidurnya. Begitu juga adik keduanya. Masing-masing sudah tiada mood untuk bersembang lagi.

“Pergi tolong mummy dan Makcik Shima. Jangan malas-malas nanti takde orang nak buat bini,” laung Khalif Arshad  dari tangga. Alana menjerit mendengar kata-kata abangnya. Mahu dia mengejar tetapi mencicip abangnya masuk ke dalam kamar tidurnya.

Lambat-lambat dia mengatur langkahnya ke ruang dapur. Di situ dia melihat daddy ralit melihat mummy dan makcik shima membuat kerja. Hish daddy memang takde kerja gamaknya diruang dapur juga dia menyelit. Hatinya berbunga bahagia.

Moga-moga mummy dan daddy sentiasa menjadi loving couple. Doanya.