Friday 27 February 2015

KASUT HITAM TOPI PINK KARYA NURIL BAHANUDIN

BAB 1



“Weh nak ke mana? Awal lagi tak akan mau blah dah kut.” Tegurnya bila melihat temannya itu sudah berdiri.
“Banyaklah korang punya awal. Baliklah, boringlah layan kau orang. Aku sibuk ni tau.” Topi berwarna merah jambu yang tadinya diletakkan di atas meja diambil kembali. Terus disarungkan ke kepala.
“Sibukkan apalah kau tu Chom? Rilekslah lepak dulu. Bola tak habis lagi ni. Kau pun bukannya kerja esok nak balik awal. Kaukan masih penganggur terhormat.” Soya atau Sufian cuba memujuk.
“Entahnya kau ni. Tengah-tengah malam sibuk apa. Kau jangan nak ‘kencinglah’ Chom weh.” Sampuk Hatami pula.
“Eh banyak cakap pula kau dua orang ni. Macam mak nenek. Aku tak ada mood malam ni, nak balik awallah. Korang tu lainlah orang lelaki. Aku ni orang perempuan. Anak dara tak elok balik lewat-lewat malam. Kata ayah aku.” Bebelan yang terlalu kerap diberikan oleh ayahnya bila dia pulang lewat.
“Apa kau cakap Chom? Cuba ulang balik?” Soal Soya.
“Err yang mana yang kau nak aku ulang Soya oi?” Soal Chomel lurus.
“Alah yang kau tu orang perempuan, anak dara… Oh perempuan rupanya kau ya Chom, selama ni aku ingat kau anak jantan. Sedar juga diri kau. Hua… hua… hua…” Ketawa lantang bergema di kawasan kedai mamak itu.
“Kurang ajar kau Soya! Kenakan aku rupanya. Aku memang selama ini sedar diri apa yang diri aku ni perempuan tau.” Topi merah jambu di atas kepalanya ditanggalkan terus tangan dipanjangkan untuk mengetuk bahu Soya menggunakan topi itu. Namun lelaki itu pantas mengelak.
“Haha tak kena. Cuba kau cakap tang mana dekat kau yang kau sedar diri tu perempuan?” Soal Soya sinis.
Tang ni apa.” Topi berwarna merah jambu itu disuakan tepat depan muka Soya. Hanya beberapa inci saja mahu mengenai hidung mancung lelaki berkulit sedikit gelap itu.
“Ini kau kata bukti kau perempuan Chom? ALLAH, kau buat lawak tahap antarabangsa ke apa? Tami, Chom buat lawak.” Serentak ketawa mereka bergema lagi. Rina yang sedang menggigit straw tersenyum sumbing.
“Dari dulu lagi saya tak berkenan tau dengan warna merah jambu topi awak ni Chomel. Silau mata saya tau.”
Dia walaupun perempuan melayu sejati, lemah lembut dan masih mengekalkan jati diri sebagai perempuan timur bukanlah peminat warna merah campur putih itu. Siapa kata warna merah jambu sahaja yang menyerlahkan sifat perempuan? Sempat dia melirik kebaya berwarna biru yang tersarung di tubuhnya itu.
“Eh kau ni Rina, bukan nak back up aku, lagi dia tambah panas aku ni adalah. Apa punya kawanlah kau ni.” Chomel mendengus geram.
“Betul apa si Rina cakap tu. Geli aku tengok warna topi kau ni. Tukarlah warna lain. Kasi sesuai sikit dengan perangai rock badak kau tu.” Ujar Tami pula.
“Rock badak? Eh Tami kau kalau tak merosakkan bahasa boleh tak?”
“Itu bukan merosakkanlah Chom. Itu namanya kreatif tau.”
“Banyaklah kau punya kreatif Tami. Dengar dek cikgu BM kau mesti dia menangis sedih. Susah payah orang dahulu cipta bahasa yang cantik-cantik. Kau selamba saja ubah suai ikut suka kau. Cacamarba jadinya.”
“Weh Chom yang kau meleret sampai ke cikgu BM aku pun kau heret sekali kenapa? Sejak bila pula kau kisahkan bahasa ni?” Tami mengerutkan dahi.
“Dahlah malas layan kau orang. Sakit pula hati aku ni.”
“Weh rilekslah, sejak bila pula hati kau jadi lembut ni. Tak rocklah.”
“Dah… dah sambung esok ya. Melayan kau orang mahu sampai ke pagi aku tak balik tau. Weh Rina kau nak balik sekali ke tak? Takkan kau sorang saja nak melangut dengan budak dua ekor ni? Kau tu dahlah perempuan, tak manis orang tengok nanti tau.”
“Amboi mulut kau. Macam tapis koyak rabak ya? Sesedap saja kau ekorkan kami ni ya. Kami walaupun macam ni, tetap budiman apa. Rina kau lepak ah dulu, abaikan si Chom yang mula sedar diri dia perempuan tu.”
“Tak maulah Soya. Rina nak balik dengan Chomellah. Awak berdua lepaklah dulu.” Dia bangun.
“Weh.” Tami cuba menghalang.
“Dahlah Soya, Tami… chow dulu.” Terus berlalu.
“Kita balik dulu ya Tami, Soya… er terima kasih ya berlanja minum.”
“Hah kau ada janji nak belanja Chom dengan Rina ke Soya?”
“Mana adalah, bukan kau ke Tami?”
“Hah terkena sudah kita! Weh Chom!!!” Panggil mereka serentak pada Chomel yang sudah menjauh dengan diekori oleh Rina itu.
Chomel berpusing dengan senyum lebar terukir di wajah. Seronok dapat mengenakan lelaki dua orang itu. Sempat dia menjelirkan lidahnya sambil mengangkat kedua ibu jari tangannya kepada Soya dan Tami yang sedang memandang ke arahnya dengan wajah bengang.
“Tak baiklah awak kenakan mereka tu tau Chomel.”
“Kenapa? Alah bukan selalu. Padanlah muka dia orang. Mengata aku lagi. Rasakan.”
“Awak nilahkan Chomel.”
“Dah Rina, dah sampai rumah kau pun ni. Simpan esok-esok sajalah bebelan kau tu. Selamat malam. Bye.”
“Chomel… err awak marah ke?”
“Weh pernah ke aku marahkan kau Rina? Dah naik cepat. Karang kena kacau dengan Mat Bangla baru kau tau.”
“Oo… ok. Selamat malam Chomel.”
“Aku tak tahulah kenapa kaulah satu-satunya makhluk yang suka panggil nama penuh aku. Chom sudahlah…” Haisyh berapa kali marah pun dia panggil juga nama penuh aku. Taulah nama aku Chomel Mayesa Binti Maarof.
“Suka hati sayalah Chomel nak panggil awak macam mana. Comel apa nama awak tu Chomel. Hihihi…”
“Comel kau kata? Euuwwwwww… meremang bulu roma aku.”
“Dahlah awak ni tadi suruh saya naik cepat lepas tu awak ajak saya berbual pula. Mana satu awak ni Chomel?”
“Dia sebut lagi nama tu… Alahai… Dah-dah pergi naik cepat. Aku mengantuk dah ni.”
Dia menghantar langkah Rina dengan pandangannya. Semenjak berpindah ke sini, di kawasan deretan rumah kedai ini kira-kira 8 tahun lalu, Rinalah satu-satunya kawan yang rapat dengan dirinya. Sudi menerima dia seadanya. Mungkin sebab jurang keluarga antara mereka hampir sama. Mereka sama-sama merantau ke sini. Mencari rezeki di sini.

CINTA 3 RASA KARYA WARDINA AISYAH

BAB 3



“ABANG… pagi ni Qisya ke rumah bonda ya?” Qisya meminta izin daripada suaminya. Selepas subuh tadi dia mendapat SMS daripada bonda menyuruh dia ke sana pagi ini. Ada hal penting mahu dibincangkan.
Tengku Danish yang sedang menghirup air coklat meletakkan cawan di atas meja. Wajah sang isteri yang masih basah rambutnya dipandang. Cintanya pada Qisya tak pernah berubah. Tetap sama seperti di awal rumahtangga mereka dulu. Apatah lagi wanita itu telah memberinya ‘tiga harta’ yang cukup bernilai. Harta dunia dan akhirat!
“Kan semalam sayang dah pergi rumah bonda. Nak pergi lagi buat apa?”
“Tadi lepas solat subuh bonda hantar SMS suruh Qisya pergi sana hari ni. Katanya ada hal penting. Lagipun bang, bosan la asyik terperuk kat rumah. Takde teman pun nak bersembang. Kalau pergi rumah bonda, dapat juga sembang dengan bonda, Kak Cem dan Bunga. Sambil-sambil tu dapat la Qisya belajar resepi baru dari Kak Cem. Kebetulan hari tu Kak Cem dah janji nak ajar Qisya buat pizza homemade.” Panjang berjela Qisya memberi alasan. Tujuannya agar si suami memberi kebenaran.
Ye la nak belajar memasak sangat. Datang rumah bonda bukan belajar memasak aje yang dia buat. Ajar Abang Mamat cara mengurat Bunga pun dibuat sekali. Menjadi pulak tu. Isteri la isteri…. Macam-macam!’ Hati kecil Tengku Danish berkata-kata.
“Susah-susah, Qisya ajak ajelah auntie Kwan sebelah rumah kita ni berbual. Tak payah pergi rumah bonda semata-mata nak cari teman bersembang. Kat sebelah rumah ka nada jiran.” Cadang Tengku Danish pada isterinya.
Qisya mengecilkan matanya. Geram mendengar jawapan selamba badak jantan suaminya itu. Anak kembar mereka pula sudah mengekek-ngekek ketawa mendengar jawapan papa mereka. Kelakar sangatlah tu! Anak-anak dengan papa, sama saja!
“Apa abang ni? Abang kan tahu Auntie Kwan tu pekak dan bisu. Dia mana reti nak bersembang segala.” Gerutu Qisya.
Semakin galak Ku Alisha dan Ku Anisya ketawa. Dapat dibayangkan muka blur Auntie Kwan jika mama mereka bersembang tanpa henti. Kesian Auntie Kwan, tentu dia pening tak faham apa yang mama mereka cakapkan. Kah… kah… kah….
Tersembunyi senyuman kecil Tengku Danish. Geli hati mendengar jawapan isterinya. Sebenarnya dia sengaja hendak menyakat isterinya pagi-pagi begini.
“Baguslah kalau Auntie Kwan tak reti bercakap dan tak dapat mendengar. Sayang boleh bercakap sorang diri, Auntie Kwan tengok aje la.”
Merah padam muka Qisya. Geram tahap petala. Dia serius, suaminya pula main-main.
“Amboi abang… bukan main lagi abang ya. Tunggu la nanti malam, abang tidur dekat luar. Jangan berani tidur dalam!” ugut Qisya dengan tangan sudah dibawa ke pinggang. Lagak tak ubah seperti mak tiri garang.
Si kembar berdua ketawa suka bila melihat wajah papa mereka mula terkebil-kebil diugut dengan mama. Papa memang takut sangat diugut tidur luar. ‘Kesian….’ Hati keduanya mendesis.
Iye la. Iye la. Pergi la cinta hati abang. Abang izinkan. Abang baru gurau sikit pun nak marah.”
Qisya tayang muka selamba. Terasa kemenangan berpihak padanya. ‘Tahu takut….’ Hatinya ketawa suka.
Okey… let’s go girl’s. We need to move now!” arah si papa kepada anak-anak gadisnya.
Terkocoh-kocoh Ku Alisha dan Ku Anisya bangun dari kerusi. Tangan mama mereka disalam sebelum sebuah ciuman dihadiahkan ke pipi mama tersayang. Setelah itu mereka bergerak mendapatkan si adik yang berada di dalam baby walker. Digomol-gomol adik mereka itu sehingga si adik naik rimas dengan tingkah kakak-kakaknya.
Qisya dan Tengku Danish hanya menggeleng-geleng kepala melihat telatah anak-anak mereka.
“Okey la. Abang pergi dulu. Sayang nanti pergi rumah bonda tu memandu elok-elok. Jangan nak merempit pulak.” pesan Tengku Danish kepada isterinya.
Qisya tersenyum manis. Tangan si suami di salam sebelum sebuah ciuman diberikan ke pipi suaminya itu. Sebagai balasan, Tengku Danish mencium ubun-ubun isteri tercinta. Inilah salah satu resepi kebahagiaan rumah tangga mereka berdua. Resepi turun-temurun daripada kedua belah keluarga.

Thursday 26 February 2015

BAB 1 - PENGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS KARYA AULIA IMAN





“Kris, ada surat untuk Kris!” suara Puan Suraya memecah hening pagi. Kris Al-Hadi memisat kelopak mata. Kantuk yang menggila masih belum hilang, seawal lapan pagi lagi suara si ibu sudah mula mengganggu lena. Ah, bingit rasanya!
“Kris... bangunlah! Matahari sudah terpacak, dia masih berlingkar. Bangun, teman ibu ke pasar!” Laung Puan Suraya lagi. Kris yang masih bermalas-malasan mendengus kasar. Asyik dia sahaja yang harus ke pasar. Macamlah tiada lelaki lain selain dia di dalam rumah batu seluas ini.
“Kris!” kali ini jeritan suara Suraya semakin deras. Tahulah Kris, ibunya sudah tercegat di depan pintu bilik. Dengan segera, selimut ditolak dan dia bangkit dari pembaringan. Duduk dibirai katil sambil memerhatikan gerak-geri si ibu yang sedang menapak masuk ke dalam kamarnya.
“Ni, ada surat untuk Kris!” Puan Suraya menghulurkan sepucuk surat. Dengan lambat-lambat, dia menyambut huluran itu lalu membuka sampul bewarna merah jambu itu perlahan-lahan. Namun belum sempat sampul dibuka sepenuhnya, sekali lagi Suraya memberi peringatan mesra.
“Cepat mandi ya Kris, lepas tu bolehlah temankan ibu ke pasar!” tukas wanita berusia awal 50-an itu menyapa gegendang telinga.  Kris mengangguk, tiada kudrat untuk dia menolak kehendak puan besar. Kalau menolak, pasti ada sahaja kerja lain yang menanti dirinya. Dia tak sanggup!
“Ibu ke bilik sekejap, tukar pakaian. Nanti tunggu ibu dekat bawah!” tukas Suraya sebaik sahaja melihat anak bujangnya mengangguk lemah.
“Yelah, bu!” sahut Kris ringkas. Sejurus itu Suraya memberi isyarat untuk berlalu dan Kris pula sekadar memerhati kelibat ibunya hingga lenyap dari pandangan mata.
Beberapa saat kemudian, Kris kembali memandang sepucuk surat di tapak tangan. Anak mata bewarna hitam pekat bingkas menancap sebaris nama. Suri! Kekasih paling dicinta. Tanpa berlengah, sampul itu dikoyak lalu lembaran itu dikeluarkan.

Kehadapan kekasihku, mulai saat surat ini dibaca olehmu, bermakna hubungan kita terputus berkuatkuasa serta merta. Dibawah merupakan surat tunjuk sebab dan punca-punca hubungan kita terhenti di sini:

1. Awak lelaki yang membosankan.
2. Sifat kedekut awak, memang menjadi kebencian saya. Sedangkan awak  tahu, saya suka membeli belah dan berhibur
3. Paling penting, awak lelaki tak punya perasaan. Tiada rasa cemburu walaupun saya keluar dengan lelaki lain. Kalau sekali dua tidak mengapa lagi, ini sudah berkali-kali hingga saya merasa bahawasanya saya bercinta dengan tunggul kayu. Awak lelaki tak berperasaan!
4. Akhir sekali saya tak suka fesyen jeans koyak yang awak agung-agungkan selama ini. Selekeh, tak bergaya & busuk! Tentang rambut, itu pun saya tak berkenan! Tolonglah jadi pembersih dan segak, bukan selekeh tidak terurus!
Dengan ini, berakhirlah hubungan kita! Selamat tinggal romeoku. Jangan cuba merayu diriku lagi.
Ikhlas dari Suri buat Kris al-Hadi

“He ekleh dia ni! Kau ingat aku kisah? Budget cun.. cermin dulu diri kau tu Suri. Kau tu fat, sepadanlah dengan aku yang selekeh ni. Huh!” tidak semena-mena surat yang baru habis di khatam direnyuk lalu dilempar ke hujung katil.
Menyampah pada Suri sudah tidak kira. Selama ini dia berkorban apa sahaja, namun akhirnya dia dihina dan diperkotak katikkan sebegini. Sia-sia sahaja masa dan tenaga yang dicurahkan. Alih-alih, dia juga yang ditinggalkan! Malang sungguh!
“Ah Suri, siaplah kau! Fat, tak sedar diri!” Kris menghambur segala rasa yang bermain di sanubarinya. Pagi-pagi lagi dikejutkan dengan berita sebegini, siapa yang boleh tersenyum bahagia? Spoil mood di awal permulaan hari.
‘Ah, stress!’ hati berdesis dan sudah pasti riak wajahnya sudah bertukar tegang.
“Ha, Kris kenapa tak siap-siap lagi ni?” Suraya muncul di muka pintu. Kris yang sedang terkumat kamit menyumpah seranah bekas kekasih hatinya segera memanggung wajah. Ibunya sudah siap menukar pakaian.
“Kris.. ibu tanya ni, dia boleh keras macam tugu negara? Kris sihat ke tidak?” Suraya melangkah masuk ke dalam kamar anak bujang yang baru sahaja menyambut usia 24 tahun. Keadaan bilik yang cukup berselerak, sama seperti keadaan anaknya juga!
“Err.. Kris sihat bu!” cepat-cepat Kris menjawab.
“Habis tu, senyap je ibu tengok!”
“Kris baru putus cinta!” lambat-lambat bibir meluahkan perkara yang baru berlaku. Termasuk Suri, sudah tiga orang gadis memutuskan hubungan dengan dirinya. Bermakna, mereka sengaja menolak tuah!
“Serius?” Suraya menyoal dengan nada tegas.
Kris mengangguk perlahan lalu anggukan itu disambut dengan senyuman Suraya.
“Baguslah Kris... lega ibu dengar!” ujar Suraya seraya menepuk bahu anaknya berulang kali. Dia bangga dengan keadaan Kris ketika ini. Terselamat anak terunanya dari dosa kering!
Kris yang mendengar kata-kata ibunya pula, segera memandang hairan. Ibunya tidak bersimpati, bahkan bergembira di atas kesedihan yang dialami. Ah, kesianya hidup kau Kris Al-Hadi.
“Bu... Kris putus cinta kut! Ibu boleh tersenyum-senyum macam ni? Langsung tak kesiankan Kris! Apa, Kris ni tak patut bercinta ke apa?” dengan nada berkecil hati, Kris menyoal ibunya.
Puan Suraya yang mengesan kelainan si anak, segera bertindak untuk memujuk. Kali ini, bahu si anak diusap lembut, tiada lagi tepukan bravo untuk si bujang. Dia tahu Kris pasti terluka namun sesungguhnya dia berasa amat gembira apabila mengetahui berita baik seperti ini. Lega sungguh hati tuanya!
“Ya, ibu tahu tu Kris! Tapi syukur alhamdulillah.. selamat anak ibu dari melakukan dosa kering! Tak adalah sakit mata ibu dok tengok Kris angkut si Suri tu ke hulu ke hilir! Berdosa tau!”
“Berdosa?” Ulang Kris bagai tercekik ketul ais di saluran kerongkong. Perit! Ah, mengangkut Suri ke hulu ke hilir dikatakan berdosa? Mustahillah! Dia bukannya melakukan perkara yang tak elok ataupun tidak senonoh. Cuma keluar bertemu janji dan bersiar-siar, itu sahaja! Takkanlah berdosa!
“Ya, berdosa! Bukan muhrim, tak elok keluar berdua-duaan! Kalau sudah berdua, pasti ada yang ketiga.” Ujar Suraya menerangkan perkara sebenar.
Baginya, tindakan Kris sudah dikira berdosa di sisi agama, dan kurang manis jika dipandang oleh masyarakat setempat. Tambahan pula, mereka golongan yang dikenali. Apa yang akan terjadi kepada mereka sekiranya sesuatu yang tidak elok berlaku dikemudian hari? Nauzubillahiminzalik!
“Kris tak buat apa-apa pun bu.. kami hanya keluar berjalan-jalan! Itu pun salah ke?” rungut Kris bersama wajah kelat. Suraya yang mendengar kenyataan si anak, segera menggeleng. Perkara yang disebut oleh bibir itu, harus segera diperbetulkan.
“Kris..  kita dilarang mendekati zina apatah lagi melakukannya. Kalau Kris dekati zina, tak mustahil anak ibu ni mudah terjerumus. Lagipun, ibu tak mahu Kris bergelumang dengan dosa! Cukuplah stok kekasih Kris yang bersepah-sepah tu. Ibu rimas! Cukup ya, nak! Jangan bazirkan masa dengan sesuatu yang tak pasti dan tak berfaedah.” pinta Suraya membuatkan Kris terdiam seribu bahasa.
Sebaik sahaja melihat si anak tidak melawan katanya, Suraya segera bangkit dan mula menoleh jam di pergelangan tangan. “Eh, kita dah lambat ni Kris! Jom ke pasar, petang ni ibu ada buat makan-makan.”
“Awal lagi bu!” hambur Kris pendek. Dia masih menguap menahan kantuk.
 “Astaghfirullahhalazim, dah pukul 8.30 pagi ni Kris! Matahari sudah terpacak!
“Awal lagi bu.. kejap lagilah kita pergi! Jalan jam, malas nak drive…” leret suara si anak tetap tidak mematahkan kehendak Suraya. Dengan suara tegas, dia nyatakan kemahuannya.
 No.. Kita dah lewat! Ibu nak ke pasar nak beli barang untuk majlis makan-makan petang nanti!”
“Makan apa pulak ni bu…. Malam tadi, kan kita dah makan?” sekali lagi Kris merungut sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
 “Makan-makan sempena menantikan pengumuman penting dari babah!” ujar Suraya menjawab pertanyaan itu. Dia kuntum senyum sambil menanti reaksi si anak yang paling dekat dengan dirinya.
“Pengumuman? Pengumuman apa pulak ni? Ibu dengan babah, kalau tak buat sesuatu yang suspen tak boleh ke?” Dahi yang tegang kini sudah berkerut seribu. Cuak rasanya!
 Senyuman Suraya terlakar di bibir. Dengan bersahaja, dia ungkapkan sesuatu. “Adalah kejutan yang babah nak buat... semua anak bujang ibu kena ada! Termasuk Kris!”
“Wajib?” kening terjongket tinggi.
“Ya, wajib!” angguk Suraya masih lagi dalam senyuman mesra.
“Okey, tapi pukul berapa ya bu? Kris ada hal…”
“Lepas asar, lebih kurang pukul 5.30 petang! Tak ambil masa yang lama pun, ibu jamin!”
“Kalau macam tu, okeylah! Pukul enam, Kris nak lepak dengan member!”
“Ha yelah! Ni, apa tunggu lagi.. cepat bersiap! Kita ke pasar, lepas tu tolong ibu masak!”
“Kris lagi?” sengaja jari telunjuk di hala ke arah batang tubuh sendiri. Asyik-asyik dia.. balik-balik dia. Sah, tiada orang lain yang lebih berkaliber dan patuh selain dirinya, Kris Al-Hadi.

PROLOG - BUKAN KEKASIH TETAPI ISTERI KARYA AILAH DIELA




PESAWAT yang sedang terbang naik ke udara Rizza perhatikan sehingga hilang dari pandangan. Walaupun bunyi itu membingitkan telinga, namun itulah yang sering kali menaikkan semangatnya.
Bergelar kapten dan menjadi juruterbang pesawat pejuang TUDM, bukanlah sesuatu yang mudah tetapi itulah impiannya sejak dulu.
“Kerut-kerut kening apahal? Kau dah la tak berapa nak kacak. Berkedut dahi tu, lagi la bertambah tak kacak.” Tegur seseorang dan serentak dengan itu satu tumbukan perlahan singgah dibahunya.
Rizza sengetkan bibir. Tak perlu nak berpaling kerana dia tahu hanya ada seorang manusia yang tak boleh tengok dia bersenang lenang.
“Kau kalau tak kacau ketenangan aku, tak boleh ke?” Marah Rizza turut membalas kembali satu tumbukan di atas bahu lelaki yang kini sedang menayang sengih ke arahnya.
Zarif Ihsan, insan yang sering muncul dalam hidup dia tak kira siang atau malam. Lelaki itulah sahabat baik, teman suka dan duka dia sedari dulu.
“Ketenangan apanya kalau tempat bingit macam ni? Kau kalau nak tenang, pergi balik rumah. Berdengkur. Ataupun makan nasi. Wah! Heaven!!” Kepala dengan rambut separa botak itu terdongak ke atas. Memandang langit dengan mata terpejam. Heaven la sangat kononnya!
Rizza mencebik.
“Kau jadi ke nak balik jenguk papa kau hujung minggu ni?” Zarif tiba-tiba ubah topik
Rizza angguk sekali.
“Jadi. Kak Long aku bersungguh sangat. Alang-alang balik, bolehlah aku pergi jumpa perempuan yang kononnya papa aku cinta mati sangat tu.”
“Kau yakin ke memang perempuan tu jadi penyebab semua ni?”
I don’t know. Tapi kawan aku ada cakap, sekarang ni memang perempuan itulah yang papa aku usung ke mana-mana.” Rizza angkat bahu.
Dia sendiri tak pasti sama ada perempuan itu adalah perempuan yang sama menghancurkan kebahagian keluarga dia ataupun tidak. Apa yang dia pasti, itulah perempuan yang paling rapat dengan papanya sekarang ini.
Selama ini dia langsung tak pernah berminat untuk ambik tahu siapa perempuan simpanan papa. Tetapi bila dia dapat berita yang papa jatuh sakit disebabkan perempuan tu, dia tak boleh berdiam diri. Sampai begitu sekali papa sayangkan perempuan tu, sehingga sanggup menyeksa diri sendiri sebab ditinggalkan kekasih hati.
Agaknya perempuan tu dah jumpa mangsa baru yang lebih kaya, sebab tu la perempuan tu tinggalkan papa. Nur El Zara, itulah nama yang disampaikan kepada dia sebagai kekasih hati papanya.
Nur El Zara... kau tunggu aku pulang. Tahu la nasib kau nanti.
Ya! Dia akan pulang. Setelah hampir setahun dia tidak menjenguk Tan Sri Rahman Syah, dia terpaksa kembali. Kembali hanya kerana satu nama, Nur El Zara.

BAB 1-SETIA MENANTI KARYA LUVIS IEJA



 
HUJAN yang turun mencurah-curah semenjak petang tadi masih belum ada tanda- tanda mahu berhenti. Rintik hujan yang turun mengenai bumbung rumah bagaikan sebuah irama lagu yang begitu mengasyikkan. Sara masih setia berdiri di jendela sambil merenung titik- titik hujan yang turun. Sesekali angin yang bertiup kencang menerobos jendela dan menjamah tubuhnya, dingin. Dia memeluk tubuhnya dengan erat cuba melawan kedinginan yang dibawa oleh angin. Sesekali tangannya naik menyelak rambut hadapannya yang jatuh menutupi mata akibat disapa angin.
“Bosannya..”
Sara mengeluh kecil. Keluhan yang hanya didengari oleh dirinya sendiri kerana hanya dia yang berada di banglo besar itu, tika ini. Walaupun berkali-kali Sara mengeluh, keadaan pasti akan tetap sama. Kebosanan tetap juga mencengkam jiwa.
Tiba-tiba saja matanya terasa pedih. Rasa macam nak menangis, tapi air matanya seakan sudah kering. ‘Ya Allah, kenapa harus begini? Tidak layakkah aku untuk bahagia?’ Setitis mutiara jernih jatuh jua akhirnya. Sebak, pilu.. semua datang bertamu di kalbu.
Perlahan tangan menarik jendela dan terus dirapatkan. Kakinya sudah naik kebas kerana berdiri terlalu lama di situ. Dengan longlai dia melangkah ke sofa empuk di ruang tamu. Mata melirik sejenak pada jam dinding yang tergantung kemas. Pukul 12.00 tengah malam. Nampaknya, malam ini juga Adam tidak akan tunjukkan mukanya di banglo itu. Benci sangatkah dia?
Peti televisyen dipasang. Dokumentari berkisarkan panorama alam sedang bersiaran. Sara berbaring di sofa. Mata terarah tepat pada kaca TV tetapi fikiran melayang jauh teringatkan kampung kelahirannya. Rindu! Itulah yang mengasak di jiwa saat itu.
Apa khabar agaknya Makcik zainab? Masih ingatkah dia pada Sara. Tak semena-mena air mata yang tadinya seakan kering, gugur lagi. Bayang wanita berusia lewat 50-an itu menari di ruang mata.
Meskipun hidup bersama Makcik Zainab banyak pahit dari manisnya. Dia tetap sayangkan wanita itu. Ini kerana, semenjak arwah ibu dan ayahnya meninggal.. Makcik Zainab lah yang telah menjaganya. Biarpun dia terpaksa memerah keringat untuk sesuap nasi, dia tetap juga bersyukur. Sekurangnya dia masih lagi ada tempat untuk berteduh.
Dia juga terpaksa membanting tulung empat keratnya untuk mencari duit bagi menampung yuran persekolahannya. Semenjak kecil dia memang sudah berkerja di sawah, mengambil upah menyulam dan bermacam jenis kerja lagi pernah dia buat untuk mendapatkan duit. Ini kerana Makcik Zainab bukanlah seorang yang berduit.
Hidup mereka ibarat kais pagi, makan pagi. Dan kais petang, makan petang. Suami makciknya itu pula malas bekerja. Kaki judi dan arak. Kadang-kala Sara kesiankan makciknya. Hanya Makcik Zainab seorang yang berkerja membanting tulang untuk menyara mereka. Kerana itulah dia tidak pernah salahkan makciknya andai kata wanita tua itu kadang-kala menjadi terlalu bengis. Dia faham apa yang sedang dilalui oleh makciknya.
  Sekarang, semuanya bagaikan tinggal angan-angan. Bolehkah dia kembali menyambung pelajarannya setelah terkurung di dalam sangkar emas milik Adam ini? Walaupun mulut lelaki itu mengatakan tidak pernah kisah dengan dirinya, tetapi dia tetap juga berasa ragu. Memang Sara berharap sangat dapat menjejakkan kakinya ke menara gading. Itulah impiannya selama ini.
Adam Hakimi! Lelaki yang telah membeli Sara daripada suami makciknya iaitu, Pak Samad. Lelaki yang telah menyelamatkan Sara daripada terjatuh ke tangan Tauke Ah Chong, sekaligus menyelamatkan dia daripada terjerumus kelembah pelacuran. Lelaki yang secara tidak sengaja telah menjadi suami kepadanya tanpa rela. Lelaki yang telah mengikat tali pernikahan dengannya bersama syarat. Ya Allah, sungguh Sara tidak kuat.
Teringatkan kembali peristiwa lalu membuatkan hatinya makin disapa pilu. Bercucuran lagi air mata Sara. Kali ini makin lebat sehinggakan dia teresak-esak. Sampai hati Pak Samad buat dia macam ni? Tidak adakah sedikitpun perasaan kasihan di hati Pak Samad buat dirinya? Kenapa Pak Samad tegar untuk menjual dirinya kepada Adam?
Sekarang, Sara semakin tertekan. Kenapa bayangan Adam selalu saja datang menyapa ruang ingatannya sejak akhir-akhir ini. Adakah dia sudah mula menyayangi lelaki itu? Lelaki yang bergelar suami hanya pada nama. Lelaki yang terang-terangan mengaku bernikah dengannya kerana kasihan. Lelaki yang mengaku sudah berteman dan tersangat mencintai teman wanitanya..
Lalu, apakah kesudahannya dengan Sara?
ADAM merenung jam di dashboard kereta BMW miliknya. Satu keluhan berat dilepaskan. Terasa sesak nafasnya saat itu. Tepat jam 2.30 pagi!
 Lama dia termenung di kereta. Bermacam rasa mula bersarang di jiwanya. Sara! Sejak akhir-akhir ini, hanya nama itu yang selalu bermain di mindanya. Membuatkan hati lelakinya menjadi sesak dan resah.
Sara Dhia.. Perempuan kampung yang dinikahi olehnya tanpa dirancang. Adam langsung tidak menduga kepulangannya ke kampung halaman mamanya tiga bulan yang lalu membawa perubahan besar di dalam hidupnya. Masih jelas terbayang di ruang matanya segala apa yang telah berlaku.
“Encik! Tolong saya.”
Perempuan muda yang tiba-tiba saja muncul di laman banglo milik keluarganya yang terletak di kaki bukit itu mengejutkan Adam. Tubuh Adam telah dipeluk kejap. Adam dapat rasakan getaran kuat daripada tubuh perempuan itu. Wajahnya benar-benar ketakutan.
Adam nampak ada dua orang lelaki yang bermuka bengis sedang mengejar perempuan muda itu daripada belakang. Seorang lelaki berbangsa melayu dan seorang lagi lelaki cina. Dahi Adam naik berkerut.
“Hei, perempuan sial! Kau mari sini.”
Tubuh perempuan muda itu telah ditarik kasar oleh lelaki melayu yang bermuka bengis itu. Manakala lelaki cina tadi hanya tersenyum lebar. Pelukan perempuan itu yang begitu kejap ditubuh Adam membuatkan Adam terheret sama.
“Encik, tolong saya encik!” Teresak-esak perempuan muda itu menangis di dada Adam. Wajahnya benar-benar ketakutan. Hati Adam tiba-tiba disapa rasa kasihan.
“Kenapa ni?” Tanya Adam. Matanya memandang tepat pada lelaki melayu tadi. Tubuh perempuan muda itu masih melekat kejap ditubuhnya.
“Serahkan perempuan tu pada aku!” Jawap lelaki melayu tadi. Tangan perempuan itu ditarik kasar.
“Pakcik.. Tolonglah pakcik. Jangan buat Sara macam ni..” Mendayu-dayu perempuan itu merayu.
“Encik! Saya tak nak ikut dia orang..”
“Aku dah jual kau pada Ah Chong. Sekarang kau kena ikut dia..” Tengking lelaki bengis tadi.
“Pakcik, Sara tak nak!” Makin kuat tangisannya. Hati Adam makin sesak melihat adegan yang berlangsung di hadapan matanya.
“Berapa kau jual dia? Aku beli!” Dengan yakin Adam menutur kata. Matanya terarah tepat pada lelaki melayu tadi.
“Itu amoi waa punya loo..” Lelaki cina yang berperut buncit itu tiba-tiba bersuara.
“Berapa lu beli dia? Aku bayar dua kali ganda!” Tanya Adam dengan yakin. Tubuh perempuan bernama Sara itu masih melekat kejap pada tubuhnya. Dia benar-benar nampak ketakutan.
Adam nampak dua lelaki itu berbincang sesama sendiri buat seketika.
“Okey, sepuluh ribu.”
Sara terduduk kaku. Apalah nasibnya. Terlepas dari mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya. Air mata terus laju. Ya Allah, murahnya harga dirinya..
“Okey! Aku beli ini perempuan. Lagi satu, tolong uruskan pernikahan aku dengan perempuan ni! Kalau boleh hari ini jugak.”
“Encik! Saya tak nak kahwin.”
“Kau berhutang dengan aku!” Mata Adam menikam tajam ke dalam anak mata Sara yang redup. Sara terkedu.
Selepas itu, dia telah membawa Sara pulang bersamanya ke Kuantan. Walaupun tinggal di bawah satu bumbung, tetapi meraka tidak hidup seperti pasangan suami isteri yang lain. Adam tidak mahu rahsia mereka terbongkar. Dia juga merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan kedua orang tuanya. Mama dan Papa Adam sudah lama menetap di Kuala Lumpur. Papanya telah melebarkan perniagaan mereka disana, manakala Adam pula masih menetap di Kuantan untuk menguruskan perniagaan mereka disini.
Adam berkahwin dengan Sara cuma atas dasar kasihan. Kasihnya pada Amira, kekasih hatinya tidak pernah berbelah bagi. Kerana itulah dia jarang mahu pulang ke rumah. Dia takut kalau-kalau hatinya berubah. Dia sendiri telah meletakkan syarat di dalam perkahwinan mereka. Sara diberi kebebasan oleh Adam untuk pergi ke mana sahaja dan berkawan dengan sesiapa sahaja asalkan pandai menjaga maruah diri sebagai seorang isteri. Namun, Sara tidak dibenarkan bercerita kepada sesiapapun tentang perkahwinan mereka. Sara juga tidak dibenarkan untuk masuk campur di dalam urusan peribadinya.
Tapi semenjak kebelakangan ini, wajah Sara sering saja menyapa ruang ingatannya. Semua itu menyesakkan perasaan Adam. Kenapa dia selalu teringatkan Sara? Kenapa bayang Sara sering datang mengganggu hidupnya sejak akhir-akhir ini? Dan kerana itulah dia berada di sini sekarang. Perasaan ingin bertemu dengan Sara membuak-buak.
PINTU utama ditolak perlahan. Adam berdiri di muka pintu dengan wajah sugul dan kepenatan. Dia berasa pelik melihat lampu masih terpasang, manakala televisyen juga masih bersiaran. Tetapi dia tidak pula nampak kelibat Sara di mana-mana. Adam membelek jam tangan berjenama Rolex di lengannya. ‘Dah pukul 2.30 pagi, tak kan dia kat dapur kut..!’ desis hati kecil Adam. Perasaan hairan mula menyapa.
 Dia berjalan perlahan menghampiri sofa untuk merehatkan diri seketika sebelum masuk ke bilik tidurnya. Namun begitu, langkah Adam terus kaku tatkala matanya terpandangkan sekujur tubuh ramping milik Sara yang sedang nyenyak terbaring di sofa. Dia  berdiri betul-betul di hadapan Sara, merenung isterinya yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Hati Adam menjadi hiba dengan tiba-tiba melihat wajah mulus Sara.
“Kau memang cantik Sara. Sopan, lemah-lembut, penyabar... maafkan aku sebab tak pernah menghargai kau. Aku tak mampu!!” luah Adam perlahan. Terasa seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya kala itu. Matanya juga terasa pedih.
 Adam akui, Sara memang cantik! Kecantikan yang asli, yang belum pernah ditemui pada mana-mana perempuan yang dikenalinya sebelum ini, termasuklah pada Amira kekasih hatinya. Sara memiliki kulit yang putih bersih, gebu, bermuka bujur sirih, kening yang halus dan lebat, mata yang jernih bercahaya dan bundar, bibir yang merah bak delima tanpa secalit gincu pun. Dia akui juga setiap lelaki yang terpandangkan Sara, pasti bergetar jantung mereka. Termasuklah dia sendiri.
Adam sendiri saat pertama kali terpandangkan Sara, lidahnya menjadi kelu dan langkahnya menjadi kaku. Saat dia dipeluk erat oleh Sara, berderau rasa darah lelakinya. Sungguh! Sara memiliki aura memikat yang tersendiri. Perkahwinan yang pada mulanya atas dasar kasihan, kini seakan menjerat dirinya sendiri.
Nafas Adam mula tidak teratur. Jantungnya berdegup kencang. Semakin dia merenung Sara, nafasnya semakin sesak. Suatu perasaan aneh mula timbul dihatinya. Fikiran nakal lelakinya mula menjentik tangkai hati. Membangkitkan naluri kelakiannya. Adam terasa mahu mendakap tubuh Sara saat itu juga. Tetapi dia takut! Takut kalau-kalau Sara tersedar dan dia dituduh cuba mengambil kesempatan.  
Walaupun dia ada hak untuk berbuat begitu, dia tidak mahu menyentuh Sara hanya kerana desakan nafsu. Atas sebab itulah, sampai sekarang dia masih belum menyentuh Sara. Dia masih menjaga kesucian Sara. Dia bukanlah seorang lelaki yang bertuankan nafsu. Bagi Adam, wanita adalah untuk dilindungi.
Namun, kadang-kala dia bagaikan tertewas dek keayuan Sara. Disebabkan itulah dia jarang mahu pulang ke rumah. Dia takut andainya dia tiba-tiba terjatuh cinta pada Sara, sedangkan hatinya sekarang cuma milik Amira seorang. Dia bukan jenis lelaki yang suka berfoya-foya dengan ramai perempuan. Baginya cinta amat berharga untuk dijadikan bahan mainan. Dan sekarang cintanya memang milik Amira seorang.
 Adam mula takut apabila teringatkan Amira. Takut andainya Amira mendapat tahu tentang Sara. Dia begitu yakin, Amira tidak akan dapat menerimanya. Dia tidak sanggup kehilangan Amira. Namun, untuk melepaskan Sara pergi.. memang tidak akan sesekalinya. Bukan sikit duit yang dia laburkan untuk memiliki Sara. Tidak mungkin dia mahu melepaskan Sara pergi macam itu saja. Tapi, apa yang nyatanya.. bukan kerana duit semata-mata. Dia tidak mahu melepaskan Sara kerana hatinya begitu berat untuk berbuat begitu. Adam mahu Sara terus menjadi isterinya. Atas alasan apa, dia sendiri tidak tahu.
 Buat masa sekarang rahsia mereka memang tersimpan rapi. Tetapi Adam gusar, sampai bila rahsia ini akan bertahan. Dia sendiri keliru dan buntu memikirkan itu semua.
Adam berjalan perlahan menghampiri Sara. Dia berdiri betul-betul di hadapan Sara, merenung lama wajah isterinya yang masih lena dibuai mimpi. Kepala Adam terasa begitu  berat dan sarat. Dia tidak tahu mengapa dia masih mahu Sara menjadi isterinya sedangkan dia tidak pernah mencintai Sara. Tetapi saat dia menyambut tangan imam pada hari mereka dinikahkan itu, satu peraasaan yang begitu sukar untuk dimengertikan hadir dalam hatinya saat Sara sah bergelar isteri kepadanya. Perasaan yang begitu halus dari dasar hatinya yang paling dalam.  
Tiba-tiba Sara memusingkan tubuhnya ke kanan, betul-betul mengadap Adam. Adam sedikit kaget, kemudiannya dia menarik nafas lega apabila melihat Sara kembali lena disitu. Mungkin Sara berkalih untuk mencari posisi yang lebih selesa ataupun dia kesejukan. Timbul perasaan simpati di hati Adam melihat keadaan Sara begitu. ‘Dia tunggu aku balik ker?’ desis Adam penuh tanda tanya. Ingin sekali rasanya dia memeluk Sara saat itu agar Sara tidak kesejukan lagi. Hati kata mahu.. tapi, tangannya terus kaku.
Perlahan-lahan bahu Sara cuba disentuh oleh Adam. Dia mahu kejutkan Sara supaya masuk tidur di biliknya. Tetapi lain yang dihajat, lain pula yang telah terjadi. Dia tidak dapat menahan desakan perasaannya. Tanpa sedar bibirnya sudah selamat mendarat di ubun-ubun kepala Sara. Mengucup lembut ubun-ubun isterinya itu. Adam terus hanyut, dibuai perasaan yang indah. Dalam tak sedar juga, Adam sudah melampaui batas. Dari ubun-ubun terus turun ke bibir merah basah milik Sara. Bibir Sara yang merah basah itu dicium lama. Hangat dan membara.
Dengan spontan Sara terjaga dari lenanya dan bingkas bangun. Dia mengurut dadanya, betul-betul terperanjat dengan kelakuan Adam sebentar tadi. Jantungnya berdetak kencang, bagaikan tidak berhenti berlari. Dengan dahi yang berkerut dan diri yang masih mamai-mamai, dia merenung Adam.
“Ya Allah!! Terkejut saya. Awak buat apa pada saya ni?” Mata Adam ditentang lama bersama kerutan yang semakin berlapis di dahi. Dia kebingungan. Dadanya berombak kencang. Masih terasa hangatnya bibir Adam yang melekat kejap di bibirnya sebentar tadi.
 Adam ketawa dalam hati sambil mengutuk dirinya sendiri. Dia sedaya-upaya cuba mengawal emosinya dan cuba berlagak biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku sebentar tadi. Lama juga mata mereka bertemu. Allah saja yang tahu perasaan Adam tika itu.
“Aku buat apa? Aku cuma nak kejutkan kau!! Yang kau tidur dekat sini kenapa? Itu, nasib baik aku yang masuk! Kalau perompak atau perogol yang masuk macam mana?” bentak Adam sedikit keras, konon-kononya marah. Padahal semua itu adalah lakonan untuk menutup perasaan malunya pada Sara. Dia yakin Sara tahu apa yang sudah terjadi. Adam tebalkan saja mukanya. 
“Err, Emm..” Sara sudah kehilangan kata-kata. Melihat wajah Adam yang serius dan kelat itu sudah cukup untuk membuatkan hatinya berasa kecut. Mana tak kecut! Suaminya itu tidak pernah mahu senyum padanya. Garangnya mengalahkan singa jantan tengah mengawan.
“Kalau aku buat apa-apa pun kau nak cakap apa? Bukannya haram pun! Lagipun aku ada hak tau..” Adam berbisik perlahan di tepi telinga Sara. Dia kemudiannya ketawa kecil dan terus meninggalkan Sara yang masih terpinga-pinga seorang diri disitu.
DI dalam biliknya, Adam tidak dapat hendak melelapkan matanya walau sepicing pun. Dia keresahan! Satu perasaan yang aneh lagi indah mula hadir dalam hatinya terhadap Sara. Sedikit demi sedikit rasa itu telah merobekkan ketenangan di jiwanya. Apa yang berlaku sebentar tadi masih setia menari-nari di benak fikirannya, membuatkan senyuman nakal terukir mekar di bibir lelakinya.
Masih terasa hangatnya bibir Sara. Naluri lelakinya berkocak lagi. Perasaan ingin mendampingi Sara membuak-buak. Sungguh! Dia masih tergilakan bibir merah Sara. Rasanya belum puas.
MANAKALA Sara pula masih terduduk kaku di sofa. Kata-kata Adam masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. Tiba-tiba dia berasa seram dan takut. Takut andainya dia dikecewakan dan dipermainkan. Sara keliru dengan perasaannya sendiri. Perasaannya yang begitu mendalam terhadap Adam semenjak akhir-akhir ini seringkali meresahkan jiwanya. Memang dia mengaku, kadang-kala dia berasa begitu rindukan Adam. Rindu untuk menatap wajah kacak suaminya, rindu untuk melihat jelingan tajam Adam kepadanya. Dia rindu segala-galanya tentang Adam. ‘Apakah ini di namakan cinta?’ Sara semakin buntu. Walaupun terasa sakit, tetapi masih tetap mahu mengingati!
Malam itu Sara tidak dapat untuk melelapkan matanya sampai ke pagi. Masih terbayang-bayang di ingatannya tentang perbuatan Adam tadi. Masih terasa hangatnya bibir milik Adam, melekat lama di bibirnya. Buat pertama kalinya Adam melakukan perkara itu. Dia dapat merasakan kemesraannya walaupun secara curi-curi. Terasa olehnya, seolah-olah perasaan kasih dan sayang mengalir deras.. meresap masuk ke tubuhnya bagaikan aliran arus elektrik.
Namun, Sara cepat-cepat menyedarkan dirinya dan mengusir perasaan itu agar menjauh. Jauh dari hatinya. Adam bukan miliknya yang mutlak. Cinta dan kasih sayang Adam bukan untuk dirinya. Takdir mereka cuma diketemukan sebagai sepasang suami isteri, tetapi bukan untuk saling menyayangi dan mencintai.
 Semua itu telah diakui sendiri oleh Adam pada hari mereka dinikahkan. Akhirnya air mata Sara tumpah jua. Jiwanya terasa kosong dan kesunyian. Kini dia tahu, dia cuma seorang diri di atas bumi Allah ini tanpa ibu dan ayah, tanpa adik-beradik dan saudara mara. Dia cuma bersama seorang lelaki yang begitu asing baginya sekarang.
 Lelaki yang bergelar suami atas pada nama. Tiada kemesraan, tiada cinta dan kasih sayang. Dia mula terkenangkan arwah ibu dan ayahnya. Kalaulah mereka masih ada.. tentu semua nasib malang ini tidak menimpa dirinya. Dia cuma mampu berdoa agar diberi sedikit kekuatan oleh Allah, supaya dia terus kuat untuk menghadapi semua ujian ini. Semoga masih ada sinar bahagia buatnya pada hari esok. Dia tidak pernah akan berputus asa. Sara yakin, di sebalik derita, pastikanada terselitnya bahagia..