Monday 18 January 2016

SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU KARYA ANNIS RIZANI

BAB 2



“AWAK, petang tadi awak jumpa siapa?” tanya Sufiyya lembut sebaik saja panggilannya disambut oleh Khairy. Sufiyya tak menunggu lama untuk mendapatkan jawapan, malam itu juga dia menghubungi Khairy.
            “Saya jumpa kawan-kawan sayalah. Minum-minum sebelum balik rumah. Kenapa sayang?” tanya Khairy kembali. Tenang saja dia dengan pertanyaan Sufiyya.
            “Saya tak suka awak bergaul dengan orang-orang macam tu...”
            “Orang-orang yang macam mana?”
            “Phea kata...”
            “Oh, Phea punya kerjalah ni, eh?” Khairy memintas kata-kata Sufiyya. “Phea kata kawan-kawan saya tu orang jahat, kan? Itu lelaki, kalau dia nampak saya keluar minum dengan perempuan lain, apa pulak yang diburukkan saya ni, kan?” Sedikit keras suara Khairy.
Entah kenapa dia merasakan Sophea begitu bencikan dirinya. Kalau tidak, masakan dari dulu sampailah sekarang, Sophea tak pernah memanggilnya abang. Hanya memanggil namanya saja. Langsung tiada rasa hormat kepada diri Khairy yang bakal menjadi abang iparnya. Sophea seolah-olah sengaja mahu mengkucar-kacirkan perhubungan dia dan Sufiyya.
            “Awak, Phea tak salah. Saya ni kakak dia, tentulah dia akan beritahu kalau ada perkara yang dia rasakan tak kena. Saya cuma nak tahu, siapa orang-orang tu?”
Sufiyya membela adiknya kerana dalam banyak-banyak hal, tentulah dia kena utamakan adik sendiri. Khairy hanyalah tunangan dan belum lagi sah ikatannya. Walaupun baik dan buruk Khairy sudah diterima seadanya, namun tak semestinya Khairy boleh berbuat sesuka hati di luar pengetahuan Sufiyya.
“Dia orang tu, kawan-kawan saya yang kerja bengkel, kerja tarik kereta. Badan besar-besar, berminyak pulak tu. Memanglah nampak macam orang jahat, dah itu kerjanya. Okeylah tu, daripada saya keluar dengan perempuan lain. Adik awak tu kan, memang tak suka kat saya...”
“Awak, Phea bukan tak suka kat awaklah. Awak aje yang berperasaan macam tu.” Kali ini giliran Sufiyya pula memintas. Tak tega mendengar lontaran kata yang tidak enak terhadap Sophea.  
“Huh!” Khairy mendengus marah.
“Lepas ni, awak kenalkan semua kawan-kawan awak kat saya, boleh? Tak adalah orang tersalah sangka yang bukan-bukan.” Pinta Sufiyya.
“Nak ajak awak keluar pun payah, banyak sangat alasan. Macam mana nak kenalkan dengan kawan-kawan saya. Saya keluar dengan perempuan lain, baru awak tahu.” Tempelak Khairy dalam nada serius. Mengugut pun ada dan sengaja dia memprovok Sufiyya. Kadang-kadang dia naik bosan untuk mengajak Sufiyya keluar, ada saja alasannya.
“Okeylah awak, saya dah nak tidur.”
“Ha, kan betul. Alasan semata-mata. Saya tahu,  awak tak suka...”
“Awak, saya tak nak gaduh-gaduh. Lebih baik stop kat sini, sebelum berlanjutan. Dan kalau awak nak keluar dengan perempuan lain pun, terpulang pada awak.” Tenang saja Sufiyya menjawab walaupun dia sedikit terguris hati dengan kata-kata Khairy. Kenapa sejak akhir-akhir ini Khairy sering membentak-bentak dan mendengus begini?
“Merajuklah tu? Saya merajuk awak tak peduli pun. Dah berapa lama kita tak jumpa? Saya ni, sanggup tahan perasaan rindu saya kat awak semata-mata ikutkan kehendak awak yang kononnya tak nak selalu sangat jumpa tu. Bukannya kita nak buat benda tak elok, keluar makan aje.” Semakin keras suara Khairy.
“Memanglah kita tak buat perkara yang tak elok, tapi masa bertunang godaan lagi kuat, syaitan tu menari-nari aje antara kita.” Sufiyya masih cuba bersabar, mengawal emosi daripada meletup. Sakit hati mendengarkan kata-kata Khairy.
“Selama kita berkawan ni, ada ke saya buat yang tak elok kat awak?” Khairy semakin meradang.
“Saya tak kata awak buat perkara yang tak elok...”
“Ah, sama saja maksudnya.” Belum pun sempat Sufiyya meneruskan kata, Khairy memintas.
“Sudahlah awak, saya nak tidur. Bye.” Sufiyya mematikan talian. Sakit hati.
Khairy mengetap bibir. Marah yang teramat sangat dengan tindakan Sufiyya yang mematikan talian dengan serta-merta. Dadanya berombak. Kalaulah Sufiyya berada di hadapannya pada ketika ini, mahu saja ditarik tangan Sufiyya kembali kepadanya supaya terluah segala yang terbuku di hati.
Sufiyya benar-benar terasa hati. Fikirannya menerawang lagi. Khairy bertugas sebagai pegawai akaun di sebuah syarikat multinasional, mana pula dia kenal orang-orang yang sebegitu? Ah, mungkin dia mencari kawan yang sebegitu untuk memudahkannya menguruskan keretanya andai kenderaannya mengalami masalah. Atau pun mereka itu merupakan geng kelab kereta yang sekepala dengannya. Geng obses ubah suai kereta. Sufiyya cuba berbaik sangka terhadap tunangannya sehinggalah dia terlelap.










SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU KARYA ANNIS RIZANI

BAB 1


SUFIYYA tergesa-gesa bersiap memandangkan dia terlewat bangun. Bukan tidak dikejut emak, tapi salah dia sendiri. Tertidur semula sehinggalah emak mengejutkannya semula. Berebut pula bilik air dengan Sophea, adiknya.
            “Phea, cepat sikit. Akak dah lambat ni,” jerit Sufiyya kepada adiknya yang bakal menduduki peperiksaan tahun kedua kursus kejururawatan. Dia perlu menghantar Sophea terlebih dahulu ke kolej, sebelum ke pejabatnya.
            “Iyalah, siap dah ni. Eii, bising betul perempuan ni,” gerutu Sophea sambil berlari-lari anak menuju ke pintu.
            “Eh, tak nak minum dulu ke kau orang ni?” tanya Hajah Mariam pula apabila dilihatnya kedua-dua anak daranya tergopoh-gapah menyarungkan kasut.
            “Tak sempat dah mak.” Serentak laungan Sufiyya dan Sophea menerobos gegendang telinga Hajah Mariam.  
            “Bye mak, abah. Doakan orang, ya. Assalamualaikum,” jerit Sophea sambil berlari-lari anak menuju ke arah Sufiyya yang sedang menunggu di dalam kereta.
            “Waalaikumussalam. Baca Bismillah dulu Phea, nak jawab soalan tu,” sempat emak menitipkan pesan. Sufiyya segera memulakan pemanduan sebaik saja Sophea menutup pintu kereta. Mereka berbual kosong sambil bergelak ketawa.
            “Akak, serius ke nak kahwin dengan Khairy tu? Kita ni, muda lagilah akak? Akak tak rasa rugi ke?” Sophea tiba-tiba menukar topik, serius benar bunyinya.
            “Kalau masing-masing dah suka, buat apa tunggu lama-lama. Lagi pun, mak kan tak suka kita berkawan dengan lelaki lama-lama. Tak elok. Akak kalau boleh tak mahu bantah cakap mak, nanti tak berkat.”
Sufiyya tahu Sophea tak setuju dengan keputusan ini. Sophea seorang yang lebih terbuka pemikirannya berbanding Sufiyya yang agak konservatif, polos dan naif.
“Akak, memanglah kita kena ikut cakap mak, tapi kan, akak dah betul-betul bersedia ke nak sehidup semati dengan Khairy tu? Akak tahu tak sekarang ni, statistik perceraian 17 kes dalam satu hari tau. Semua tu lelaki yang menyumbang, semuanya difailkan oleh pihak isteri.”
“Phea, tak ada orang nak bercerai. Dahlah, kau tu, nak exam ni, dah ready ke? Semalam bukan main lagi kau duduk mengadap televisyen.” Sufiyya kembali menukar topik sebaik saja kereta memasuki pintu masuk kolej.
“Ala, rileklah akak. So far so good.” Sophea mengenyitkan mata sambil menunjukkan isyarat bagus kepada Sufiyya.
“Nak riaklah tu. Result teruk nanti baru tau.” Sufiyya mengingatkan adiknya.
“Kalau result orang cantik, akak belanja orang, eh?” Sophea melirik manja ke arah Sufiyya.
“Eh, bukan tiap-tiap hari ke akak belanja kau makan?” Sophea ketawa mengekeh.
Result bagus, belanja yang special sikitlah, eh?”
“Banyaklah kau punya special. Dah, turunlah cepat. Good luck!” Tawa Sophea berterusan. Senang hati benar gayanya, bisik hati Sufiyya sebelum meneruskan pemanduan menuju ke pejabatnya.

“AKAK, akak, tadi kan, orang ternampak Khairy tu, kat restoran mamak.” Tercungap-cungap Sophea mendapatkan Sufiyya yang berada di dapur untuk menyediakan makan malam.
            Sophea yang baru saja balik daripada kolej, terus menyerbu ke dapur. Sangka Sufiyya, adiknya kelaparan.
            “Pelik sangat ke, bandar ni bukanlah besar sangat pun. Tak mustahil kalau dua tiga kali kau terserempak dengan dia. Kau pun kaki merayau juga,” balas Sufiyya sambil membantu Hajah Mariam memotong sayur.
            “Merayau aje kau Phea, bukan nak terus balik ke rumah,” sambung Hajah Mariam. Sufiyya tersenyum mengejek. Padan muka, memek bibir Sufiyya membuatkan Sophea mencubit lengannya.
            “Ala, celebrate dengan kawan-kawan kejap pun tak boleh ke?” Sophea merengek manja. Sufiyya buat-buat tak dengar, begitu juga dengan emak.
“Eii, nak dengar tak ni. Penting ni! Akak wajib dengar apa yang orang nak cakap ni.” Bersungguh-sungguh benar Sophea mahu bercerita.
            “Apa yang pentingnya Phea...” Meleret Sufiyya bertanya. Malas nak layan sebenarnya.
            “Khairy tu tadi, ramai betul kawan-kawan dia. Lepas tu, kawan dia semuanya pelik-pelik, macam geng kongsi gelap. Lepas tu kan, bila dia nampak orang, dia macam terkejut gilalah, lepas tu dia buat-buat tak nampak kat orang. Macam orang yang bersalah nampak polis, haa, macam itulah gayanya si Khairy buah hati akak tu tadi.” Dalam satu nafas Sophea bersyarah sambil berdrama. Panjang lebar penerangannya sampai Sufiyya turut semput mendengarnya.
            “Kau pergi tegur dia tak?” tanya Sufiyya.
            “Taklah, dah dia pun buat-buat tak nampak aje, padahal orang duduk meja depan dia. Mustahil sangat kalau dia tak nampak orang.”
            “Baik kau siasat siapa kawan-kawan dia Sufi. Mak tak nak nanti dah berkahwin, macam-macam pula cerita yang keluar.” Hajah Mariam bersuara membuatkan kedua beradik ini terdiam sejenak.
Hati Hajah Mariam sememangnya tidak begitu tenang sejak Sufiyya bertunang dengan Khairy. Entah mengapa, namun dia terpaksa pendamkan saja demi kebahagiaan Sufiyya.
            “Iyalah mak,” balas Sufiyya lemah. Dia mengerling sekilas ke arah Sophea. Dengan wajah rasa bersalah, Sophea memohon maaf melalui gerak bibirnya.
            Fikiran Sufiyya menerawang walaupun tangannya sedang sibuk membantu emak di dapur. Segala yang berlaku adalah perancangan Tuhan. Telah setahun dia menyulam kasih dengan Khairy sebelum mereka mengambil keputusan untuk bertunang. Telah mengenali hati budi kedua ibu bapa Khairy dan juga abangnya. Kelihatannya mereka daripada golongan yang baik-baik. Sufiyya hanya mampu berdoa agar tiada sesuatu yang buruk akan berlaku antara dia dan Khairy.
            “Akak, orang minta maaf. Orang cuma cerita apa yang orang nampak. Bukan nak reka-reka cerita, tau.” Sophea memujuk kakaknya. Dia tahu kakaknya terasa hati.
            “Tak apalah dik, akak akan cuba siasat.” Lirih Sufiyya membalas. Selebihnya dia mendiamkan diri sehinggalah selesai menyediakan makan malam mereka.




Friday 15 January 2016

HEY! MR SPOTLIGHT KARYA IZMA QAHIERA

BAB 3


“Astaghfirullah hal azim! Kau cari apa ni Azraf Hamidi? Habis bersepah almari album ni kau selongkar.”
            Aku berhenti sekejap. Gatal pula hidung bermain dengan habuk almari ni. Punyalah nak mencari gambar-gambar lama ketika waktu belajar dulu sampai lupa nak tukar baju. Sampai saja ke rumah, almari album itu yang aku kejar dulu.
            “Album-album masa orang belajar dulu mak simpan kat mana?”
            “Semua ada kat dalam almari tu. Kau nak buat apa ni?”
            Mak turut sama bersila di sebelah aku. Album-album yang bersepah di atas lantai dia susun semula. Tapi tangan mak tak selaju tangan aku. Setiap kali satu album diambil, pasti akan diselaknya terlebih dahulu. Kemudian dia akan senyum sendiri. Teringat kisah-kisah lama agaknya. Huh! Suka hati dialah. Baik aku sambung kerja aku.

            “Dulu masa kecik, rambut kau bukan main lebat lagi Azraf. Cuba kau tengok ni...” Mak hulur sekeping gambar yang sudah kekuning-kuningan.
            “Tak sangka pula bila dah makin besar, kau buat padang golf kat atas kepala. Siap ada spotlight pula tu. Hahahah!”
            Mak gelak sampai tepuk-tepuk lantai. Tak cukup dengan itu, kepala aku yang botak licin itu diusap-usap dengan kedua-dua tangan. Kemudian bibir mak mendarat di tengah-tengah kepala. Suka benar dia buat macam tu. Aku ketawa juga walaupun ada sedikit rasa bengang. Cuma mak saja yang berpeluang buat macam tu. Cuba kalau orang lain yang buat.Memang tersandar ke dinding aku sepak nanti.
            “Mak ni...Ini spotlight cari makan tau!”
            “Eleh! Cari makan buat apa? Kalau cari awek barulah betul!”
            Aku terpempan sekejap. Teringat semula tujuan asal, aku sambung menyelongkar album-album lama. Mana pula aku simpan gambar awek berlesung pipit itu?
           
“Dah berapa tahun kau tinggalkan universiti Azraf?” Tiba-tiba mak bertanya.
            “Lapan tahun...”
            “Emm, budak-budak yang kau ajar tiusyen masa tu berapa umurnya?” Mak bertanya lagi.
            “Lima belas. Semua budak-budak PMR.” Sekarang dipanggil PT3. Aku masih sibuk menyelak helaian-helaian album. Nampaknya peluang untuk aku jumpa balik gambar lama dahulu agak tipis. Almari album hampir kosong aku selongkar.
            “Hmm, lima belas tambah lapan. Wah! Maknanya budak-budak tu sekarang dah jadi anak dara sunti. Entah-entah ada yang dah beranak-pinak. Alahai.. anak aku juga yang sudahnya jadi bujang terlajak!” Mak gelak lagi.
            Album di atas ribaan riba diselak lagi. Sekejap-sekejap terdengar dia ketawa, kemudian dia mengeluh. Tak lama selepas itu dia ketawa lagi. Gambar apa yang melucukan sangat tu?

            “Azraf, budak ni yang cakap dada kau macam dada orang utan kan?”
            Tercampak album-album di tangan. Aku segera berpaling dan mengambil album gambar di riba mak. Leganya! Akhirnya aku jumpa juga album ini. Aku selak semula dari depan. Aduh! Rasa macam nak menangis. Tekaan aku sangat tepat. Gadis yang datang ke pejabat aku pagi tadi adalah adik kepada rakan sekuliah dulu.
            Aku bangun dan bawa album gambar itu sekali. Terlupa pula mak sedang memerhatikan aku.
            “Woi pakcik! Siapa nak kemas semua ni?” Mak melaung kuat. Aku dapatkan mak semula dan cepat-cepat masukkan semula album-album gambar yang bersepah-sepah. Aku tahu mak sedang hairan memerhatikan gelagat aku.
            “Siap! Okey, orang nak masuk bilik. Album ni orang nak.”
            “Kau nak buat apa?”
            “Nak tunjuk kat budak yang cakap dada orang macam orang utan tu.”
            Aku tinggalkan mak yang sedang terlopong di situ dan terus masuk ke dalam bilik. Melantun badan aku ketika mendarat di atas katil. Album yang aku ambil tadi aku selak lagi. Eee! Sukanya. Tak sangka. Memang sangat tak sangka aku akan bertemu semula dengan Budak Lesung ni.
Tak banyak beza pun wajah dia lapan tahun dulu dengan yang baru aku lihat pagi tadi. Cuma sekarang nampak lebih cerah. Itu normal. Pasti ada produk kecantikan yang dia gunakan. Orang perempuan dan bahan-bahan kosmetik mana boleh berpisah. Tak kisahlah tu. Apa yang aku perlu buat sekarang adalah meyakinkan Raisya. Dia perlu tengok gambar-gambar ni.
Alamak! Lupa pula nak ambil alamat rumah dia di pejabat tadi. Kalau tidak boleh aku pusing-pusing mencari rumah Raisya lepas Maghrib nanti. Atau, dia masih tinggal di rumah lama? Aku keluarkan handphone dalam poket seluar. Rasanya Munirah boleh membantu dalam hal ni.

“Assalamualaikum Encik Azraf...” Suara Munirah kedengaran.
“Waalaikumsalam. Err.. Munirah. Awak ada alamat budak baru yang nak mula kerja esok tu tak?” Gemuruh punya pasal, habis tunggang langgang bahasa aku.
“Ada...”
Jawapan Munirah buat aku senyum lebar.
“Tapi kat office...
Senyum terus hilang. Ada pula sambungan jawapan Munirah ni. Kurang asam betul!
“Hmm, tak apalah. Bye.
Aku matikan talian. Mandi dululah. Tak perlu tergesa-gesa. Besok pasti Raisya akan datang sebab dia yang beria-ia nak bekerja di situ. Tahrim sudah kedengaran. Aku cepat-cepat mandi dan siap menyarung pakaian untuk mengerjakan solat Maghrib. Nak doa banyak-banyak untuk Raisya. Minta-minta dia boleh ingat kenangan-kenangan lapan tahun dulu.



“AZRAF, besok cawangan kita kat Senai dah mula beroperasi. Kau pergi sana ya?”
Abah ni bagi arahan atau buat permintaan? Aku tengok mak yang sedang mencedukkan lauk untuk abah. Macam mana nak minta mak tolong ni? Aku tak nak ke Senai. Melepaslah peluang nak jumpa Raisya nanti. Tapi apa alasan yang paling munasabah aku nak bagi?
“Saya rasa, elok abang aje yang jaga branch kita kat Senai tu. Budak botak ni bukannya reti nak bangun awal. Harapkan jam loceng aje yang besar gedabak kat dalam bilik tu. Tapi saya juga yang kena kejutkan dia bangun nanti. Cawangan baru, kenalah jaga betul-betul. Kalau dari awal lagi orang bawahan dah tahu bos suka masuk lambat, mesti ada yang jadi pengikut. Kalau tak percaya tengok ajelah nanti.”
Yeah! Supermom sudah beraksi. Aku sembunyikan senyum. Takut kalau-kalau abah tak setuju dengan cadangan mak. Tapi memang jarang abah tolak cadangan mak mentah-mentah. Tanpa sebarang kata, abah menadah tangan untuk membaca doa makan. Sambil menunggu abah membaca doa, sempat lagi mak kenyit mata. Aku tunjuk senyum senget. Faham dengan body language mak. Dia pasti akan pujuk abah sampai berjaya.
“Hmm, kau jangan bangun lambat pula bila jaga cawangan kat sini. Abah tak nak dengar ada customer complaint servis kita lambat atau kurang memuaskan. Kalau ada yang merungut, abah hantar kau jaga office kat Senai.”
Yahuu! Macam nak lompat bintang rasanya. Aku pandang mak sambil menaik-naikkan kening. Mak memang Supermom aku. Sayang dia!


















MAHALNYA CINTA KARYA THEYA NUR

BAB 3



MELAMPAU!! Hati Hazriq menjerit. Mengenangkan betapa beraninya perempuan itu memalukannya di hadapan staf-stafnya. Tak punya harga dirikah? Masuk-masuk sahaja terus membuat aksi yang sungguh….. Argh, tak sanggup nak cakap.
           Mesyuarat tadi terus dibatalkan selepas ‘tragedi’ itu berlaku. Mana dia mahu letak mukanya ini. Jatuh krediabilitinya sebagai seorang majikan. Maya betul-betul melampau!
           Telefonnya yang berada di sisinya dikerling apabila telefon itu mula berkelip-kelip. Ada pemanggil rupanya. Bonda? Pasti mahu berleter kerana dia masih belum pulang. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum butang hijau ditekan. Bersedia untuk menerima ceramah percuma daripada Puan Mona.
           “Kamu dekat mana ni? Hari ni sepatutnya hari cuti. Apa yang ada dekat pejabat sampai kamu dah tak nak balik rumah ni?” soal Puan Mona sebaik sahaja berbalas salam. Pening kepalanya dengan perangai anak terunanya yang satu ini. Satu tapi perangainya sahaja bisa membuatkan dia migrain!
           “Kejap lagi saya balik,” jawab Hazriq dengan suara yang malas. Rumah? Huh, malas dia mahu pulang. Di rumahnya penuh dengan kuasa wanita! Bonda, Kak Long Haifa , Kak Ngah Hayaa sampailah ke adik perempuannya yang bernama Hana. Perempuan yang memegang takhta.
           Yang lelakinya, hanya dia dan ayahnya, Tuan Hadwan. Ada juga abang iparnya, Abang Long Adib dan Abang Ngah Naufal tetapi mereka jarang ada di rumah kerana masing-masing bekerja di luar negeri.
           Berbicara soal ayahnya itu, dia memang tidak rapat dengan lelaki itu meski pun sepatutnya dia rapat dengan lelaki itu kerana dia satu-satunya anak lelaki di dalam rumah itu. Tetapi, sejak kecil lagi, dia dengan ayahnya tidak pernah satu kepala.
           “Bonda nak kamu balik sekarang. Ayah nak bincang sesuatu dengan kamu,” beritahu Puan Mona. Di hujung talian, dia terdengar keluhan berat daripada mulut anak ketiganya itu sebelum talian terputus.
           Hazriq meraup wajahnya untuk beberapa ketika. Apa yang penting sangat mahu diberitahu oleh ayahnya itu agaknya? Bukankah selama ini ayahnya itu cukup pandai untuk datang ke pejabatnya sekiranya mahu berbincang apa-apa? Kenapa hari ini harus di rumah?
           Otak Hazriq masih ligat berputar mempersoalkan apa yang bakal terjadi sementara tangannya laju mengemas kertas kerja di atas mejanya. Projek makin hari makin bertambah. Sama juga naiknya dengan masalah yang melanda dirinya. Oh, inilah hidupnya yang sungguh ‘indah’.


HAZRIQ mengurut pangkal tengkuknya, mahu menghilangkan rasa tidak selesa yang menghimpit dirinya saat ini. Semua mata sedang merenung ke arahnya kini, sejak tadi. Apa salah yang dah aku buat ni? Hati Hazriq mula bertanya.
           Dan dia perasan sesuatu! Semuanya ada di sini termasuk abang-abang iparnya yang memang susah hendak bertemu. Hana yang sering terperuk  di dalam bilik sewaktu hari cuti begini turut serta dalam perbincangan hari ini. Nampaknya ada sesuatu yang penting hendak dibincangkan.
           Suasana yang agak tegang di ruang tamu itu membuatkan sesiapa sahaja tidak selesa. Apabila menyedari masih tiada siapa yang mahu memulakan bicara, Hazriq sudah berura-ura mahu naik ke biliknya.
           “Siapa benarkan kamu naik?”
           Hazriq melepaskan keluhan kasar. Itu dia! Suara sinis ayahnya sudah mula berbunyi. Dia melangkah ke ruang tamu sebelum melabuhkan duduk di sofa. Keluhan dilepaskan perlahan.
           “Apa yang nak dibincangkan sangat ni? Adik nak kahwin ke?” soal Hazriq. Wajah Hana dikerling. Sememangnya dia sangat gemar mengenakan adik bongsunya itu.
           Haifa dan Hayaa ketawa mendengar pertanyaan Hazriq sementara Hana mencebik. Apa tidaknya! Hana yang baru berumur 17 tahun itu hendak kahwin? Setakat ini keluarga mereka belum ada lagi yang menamatkan zaman bujang di usia yang muda begitu. Namun tawa itu segera dimatikan apabila mata Tuan Hadwan mencerlung ke arah mereka berdua.
           “Riq!” tegas sahaja suara Puan Mona menegur satu-satunya anak lelakinya itu. Anaknya ini gemar benar tidak serius apabila semua orang cuba serius.
           Hazriq hanya mendiamkan diri. Menanti apa yang penting benar sehingga satu keluarga perlu berkumpul.
           “Keluarga kita akan masuk meminang anak Dato’ Yusuf, esok,” umum Tuan Hadwan dengan penuh rasa bangga. Bagai mengumumkan pemenang Akademi Fantasia gitu.
           “Untuk siapa?” tanya Hazriq selamba. Dia bagai terlupa bahawa hanya dialah satu-satunya anak teruna di dalam rumah ini.
           “Untuk kamulah.”
           Jawapan daripada bondanya membuatkan Hazriq terkejut. Masakan mahu meminang Maya untuk dirinya. Perempuan yang tak tahu malu tu? No! Perempuan itu baru sahaja memalukan dirinya tadi dan perempuan itu bakal isterinya? Urgh, minta dijauhkan!
           “Riq tak setuju!” protes Hazriq. Rela dia terjun daripada bangunan KLCC daripada menjadi suami kepada perempuan yang bernama Maya itu. Dia terus memanjat tangga menuju ke biliknya. Tidak mahu berbincang lagi soal ini.
           “Ayah tak peduli keputusan kamu. Ayah panggil ni pun sebab nak beritahu semua yang ada, bukan minta keputusan kamu,” ujar Tuan Hadwan lagi.
           Langkah Hazriq terhenti apabila mendengar kata-kata ayahnya itu. Kahwin paksa? Ingat ni zaman dahulu kala ke? Berkahwin atas pilihan keluarga. Mengarut!
           “Ayah memang tak adil! Selama ni ayah tentukan semua apa yang Riq kena buat dan Riq ikut kata ayah. Tapi, ni soal kahwin, masa depan Riq. Takkan sampai isteri Riq pun ayah nak tentukan?”
           Hazriq menghamburkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Dia berlawan pandang dengan ayahnya yang kini kelihatan marah kerana dia meninggikan suara. Mungkin dia berdosa kerana sudah meninggikan suaranya tetapi siapa yang tahan jika masa depan dipertaruhkan hanya kerana wang?
           Ayahnya memang mata duitan! Sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang. Termasuk mengahwinkannya dengan Maya, anak kepada Dato’ Yusuf, rakan perniagaannya. Semuanya kerana mahu mendapatkan tender daripada kerajaan dari luar negara. Bukannya dia tidak tahu segala rancangan ayahnya.
           Apa tidak cukup lagikah dengan syarikat pembinaan yang mereka ada kini? Argh, orang kalau dah bertuhankan duit, apa sahaja sanggup digadaikan. Tidak mahu terus bergaduh dengan ayahnya, Hazriq terus masuk ke dalam biliknya dengan hati yang sebal.
           Briefcasenya dicampakkan ke atas meja kerjanya di sudut bilik. Butang kemejanya dibuka satu persatu sebelum kemeja putih berbelang hitam itu selamat terbang, masuk ke dalam bakul pakaian yang bakal dicuci oleh Sari, pembantu rumah ini.
           Tubuhnya yang terdedah dibiarkan disapa angin pendingin hawa yang sejuk. Dia membaringkan badannya ke atas katil yang empuk itu. Rasa sakit hatinya dengan ayahnya masih belum surut. Dadanya berombak kencang. Matanya dipejamkan lama, mahu melupakan segala yang terjadi.
           Tokk.. Tokk.. Tokk..
           Hazriq memandang pintu biliknya yang diketuk seseorang dari luar. Siapalah agaknya yang nak mengacau aku tenangkan fikiran ni?!
           “Siapa?!” jerit Hazriq tanpa bergerak sedikit pun dari katilnya.
           “Kak Long, Kak Ngah dan adik kesayangan Alang!” jawab satu suara dari luar pintu.
           Hazriq merengus. Dia pasti itu suara Kak Ngahnya. Nak buat rancangan ‘Bersamamu’ agaknya. Melawat dirinya yang bermasalah ni. Dengan langkah yang malas, Hazriq menapak ke arah daun pintu sebelum menguak daun pintu itu.
           Sekelip mata, ketiga-tiga adik-beradiknya itu sudah beraja di atas katilnya. Hazriq menggelengkan kepala melihat mereka bertiga. Apabila dia sedang menghadapi masalah seperti ini dengan ayahnya, pastinya mereka bertiga ini tidak pernah gagal membuatkan fikirannya semakin serabut. Satu kejayaan bagi mereka!
           “Tak malu!” kata Haifa kepada adik lelakinya itu apabila melihat Hazriq yang tidak berbaju. Comforter di atas katil dilemparkan ke arah Hazriq yang berdiri di hadapan katil. Tanpa perlu mengelak, balingan itu lansung tidak mengenai sasaran. Failed!
           “Bilik aku, suka hatilah. Yang menyibuk datang sini, nak apa?” soal Hazriq. Dia terus berbaring di atas sofa yang ada di dalam biliknya itu. Baik tidur daripada melayan perempuan-perempuan yang senget ini.
           “Alang nak terima keputusan ayah tu?” soal Hayaa. Dia pasti Hazriq akan melawan tetapi kenapa dilihatnya adiknya ini masih bersenang-lenang di dalam bilik? Mahu menerima sahaja dengan hati terbuka, kah?
           “Kau tak dengar apa yang ayah cakap tadi? Keputusan aku tak penting dan tak pernah penting,” ujar Hazriq dengan hatinya terbakar.
           “Adik tak rasa Alang patut terima je. Kalau tak suka, cepat-cepat cari orang. Lagi pun, adik tak sukalah kalau Maya tu jadi kakak ipar adik. Oh, tidak! Kak Long dengan Kak Ngah pun tak setuju. Kan?”
           Hana memandang wajah Haifa dan Hayaa silih berganti. Mahu mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua orang kakaknya itu. Dan seperti biasa, sangkaannya tidak meleset apabila kedua-dua orang kakaknya menganggukkan kepala tanda setuju.
           “Ingatkan kau semua suka dengan menantu pilihan ayah,” ujar Hazriq. Mendengar kata-kata adiknya meyakinkan bahawa adik-beradiknya berada di pihaknya.
           Melihat keadaan Hazriq membuatkan Haifa menguntum senyum. Fikirannya kembali teringat apa yang terjadi dua tahun yang lalu.
           Ayahnya pernah mahu menjodohkan dia dengan anak rakan perniaagaannya. Syukur, Adib yang waktu itu kekasihnya, sedia mengambil dia sebagai isteri dalam kadar segera. Dan syukur juga ayah mahu menerima Adib kerana keluarga Adib boleh memberikan kepentingan terhadapnya.
           Sememangnya ayah tidak berputus asa untuk menjadi agen ‘pencari jodoh’ untuk anak sendiri dan mangsa seterusnya, Hayaa. Mujur yang dipilih ialah Naufal. Seorang jejaka yang bijak, ada rupa dan ada iman. Jadi dia bersetuju sahaja.
           Tetapi dalam kes adik lelakinya ini, dia tidak setuju kerana yang menjadi pilihan ayah ialah Maya. Dia kenal benar dengan perangai gadis yang agak ‘nakal’ itu. Bukannya dia tidak pernah terserempak dengan Maya di pasar raya. Berkepit dengan lelaki macam laki bini.
           “Kak Ngah ada cadangan. Tak payah ikutlah kalau Alang nak kahwin dengan si Maya tu,” kata Hayaa tiba-tiba setelah berfikir lama. Harapnya bolehlah membantu serba sedikit.
           “Apanya? Tapi amaran keras! Jangan bagi idea yang merapik eh?!” Hazriq terlebih dahulu mengingatkan Hayaa agar memberikan idea yang bernas. Otak Kak Ngah ni bukan boleh percaya sangat.
           “Guess what?” Hayaa sengaja menerbitkan mood saspen. Ternyata mood itu hanya timbul untuk Haifa dan Hana sahaja. Pastinya tidak pada Hazriq.
           Hazriq menjongketkan keningnya beberapa kali. Mendesak agar Hayaa tidak berteka-teki lagi.
           “Cari pilihan hati sendiri,” putus Hayaa. Kata-katanya sekali lagi disambut baik oleh Haifa dan Hana. Tetapi tidak pada Hazriq yang melepaskan keluhan kasar.
           “Ek eleh! Kalau itu, aku pun tahu. Masalahnya, pilihan sendiri tu siapa? Lagi pun, rombongan tu pergi esok. Mana sempat!”
           “Baru bertunangkan? Bukan kahwin. Alang ni kira okeylah ditunangkan dulu. Kak Ngah dulu terus kahwin tau. Tau-tau dah jadi isteri orang. Nasib dapat Abang Ngah Naufal kau yang kacak lagi bergaya. Selamat hidup,” jawab Hayaa.
           “Ehsan mana, Kak Long? Tadi tak nampak pun dekat ruang tamu,” tanya Hazriq kepada Haifa soal anak buahnya yang seorang itu.
           “Ada. Dia dah tidur dekat dalam bilik. Lagi pun, agak-agaklah nak bawak dia sekali tengok kau dengan ayah berdrama. Budaya negatif. Tak sesuai ditonton oleh kanak-kanak,” balas Haifa.
           Ehsan. Anak Haifa yang sulung dan baru sahaja berumur setahun. Teramat rapat dengan pak langnya yakni Hazriq.
           Hazriq hanya diam. Tiba-tiba, biliknya terasa sunyi. Dia memandang ke arah katilnya yang sudah bersepah. Sungguh tidak manis hendak dipandang. Pandai menyepahkan tapi tak reti kemas. Tak boleh pakai punya, sisters!
           Pintu gelangsar  ke balkoni dibuka. Pandangannya dihalakan ke langit yang gelap. Gelap tetapi masih disinari dengan kehadiran cahaya bulan dan kilauan bintang-bintang. Idea Kak Ngah tadi kembali menerpa ruang ingatannya. Pilihan sendiri?
           Dia mula mencongak kenalan perempuannya. Macam tak ada je. Sejak zaman sekolah, dia tidak bergaul rapat dengan pelajar perempuan. Pada pendapatnya, perempuan ini merimaskan, manja dan …. Entahlah.
           Semenjak dia melangkah ke alam pekerjaan sebagai seorang arkitek, lagilah dia tidak punya masa untuk memikirkan soal perempuan. Banyak benda yang harus diuruskan sehingga benda yang penting sebegini diabaikan.
           “Riq!”
           Kedengaran suara Puan Mona dari luar bilik. Tanpa berlengah, Hazriq terus membuka pintu supaya bondanya dapat masuk.
           “Riq okey?” soal Puan Mona. Walaupun dia sudah maklum akan keadaan anak terunanya ini, tetapi dia masih mahu bertanya. Biasalah, emak..
           Hazriq mengangguk perlahan. Ah, menipu sungguh kau, Riq! Luar kata okey, tapi dalam? Huh!
           “Bonda dah cuba halang ayah daripada buat keputusan ni tapi…”
           “Tapi bonda tetap tak dapat lawan ayah yang keras kepala tu, kan?” Hazriq menyambung ayat bondanya. Dia tahu, bondanya telah sedaya upaya membantah tetapi sebagai isteri, bondanya terpaksa akur. Bonda memang isteri yang baik!
            Puan Mona tersenyum tawar mendengar kata-kata Hazriq. Walaupun Hazriq mengangguk mengatakan dirinya tidak apa-apa tetapi dia tahu anaknya terluka. Entah apa yang merasuk suaminya untuk membuat keputusan gila seperti ini.
           “Bonda minta Riq bersabar. Semua yang berlaku, ada hikmahnya. Bonda selalu doakan yang terbaik untuk anak-anak bonda. Mungkin ini yang terbaik,” ujar Puan Mona.
           “Memang betul apa yang bonda cakap tu. Cuma satu yang Riq tak setuju. Maya! Dia bukan yang terbaik untuk Riq. Riq tak nak dia. Bonda macam tak tahu perangai dia macam mana,” kata Hazriq pula dengan nada yang tidak puas hati.
           “Tak apalah. Riq doa pada Allah, datangkan jodoh yang terbaik. Allah itu Maha Mendengar, Riq. Allah tahu mana yang baik, mana yang buruk untuk hamba-Nya. Nampak tak baik pada kita sebab kita tak nampak kebaikannya pada kita. Allah Maha Mengetahui. Doa banyak-banyak,” nasihat Puan Mona sambil mengusap rambut anaknya itu.
           Sekali lagi Hazriq ditinggalkan bersendirian. Tanpa berlengah, dia mengambil wudu’. Solat fardhu Maghribnya segera ditunaikan. Hari ini, dia berwirid agak lama selepas solat. Dia menyedari bahawa sejak belakangan ini dia sering mengabaikan wirid selepas solat.
           Kekangan waktu yang sering dijadikan alasan. Argh, khilafnya aku sebagai hamba Allah yang tidak punya apa-apa. Sesungguhnya, manusia itu tidak lari daripada melakukan kesilapan kerana kesilapan itu akan menjadikan kita sebagai orang yang lebih baik.

MAHALNYA CINTA KARYA THEYA NUR

BAB 2





HAJAH FAUZIAH memandang anak gadisnya yang duduk di ruang tamu. Sekali pandang, dia mengagak anaknya sedang menonton televisyen. Namun dia perasan, mata Tif lansung tidak melekat pada kaca televisyen. Sibuk termenung.
           Itulah yang sering Tif lakukan sejak kejadian yang berlaku dua bulan yang lalu. Hatinya turut terluka melihat keadaan anaknya itu. Selepas kejadian itu, hati Tif cepat membara apabila berbicara soal lelaki. Ya, anaknya itu tidak percaya dengan entiti yang berjantina lelaki lagi. Firdaus! Lihatlah, kau telah menghancurkan hati Tif!
           “Sampai bila?”
           Tif tersentak apabila terdengar suara uminya. Dia tidak mendengar apa butir percakapan umi terhadapnya. Dia memandang umi supaya umi mengulangnya sekali lagi.
           “Sampai bila Tif nak jadi macam ni? Cakap dengan umi. Termenung siang malam. Teringatkan suami orang. Tak baik, Tif!” tegas Hajah Fauziah menasihat. Sesungguhnya, dia penat melihat keadaan Tif sekarang.
           “Suami orang? Oh, dia. Taklah, Tif tak fikir pasal dia,” jawab Tif. Cuba menafikan kebenaran yang sudah tidak boleh diselindungkan lagi. Satu tindakan yang sangat bod..erm, kurang bijak.
           “Tipulah semua orang. Tapi Tif kena ingat, Tif takkan boleh tipu umi. Umi yang jaga Tif sejak Tif dalam rahim umi sampai besar panjang macam ni. Berhenti fikirkan dia, Tif,” marah Hajah Fauziah. Geram dengan puterinya ini. Masih mahu menidakkan kebenaran.
           “Bagi Tif masa untuk terima semua ni, umi. Hati Tif hancur dengan semua yang dah jadi. Tif tak kuat,” kata Tif perlahan.
           Meski sejuta kali dia berjanji dengan dirinya untuk melupakan lelaki yang tidak perlu disebut nama itu, dia tetap gagal menepati janjinya sendiri. Kadang-kadang dia berasa keliru dengan dirinya. Dia sendiri tidak percaya bahawa dia masih ada hati dengan lelaki yang telah berkahwin dengan sahabatnya itu. Sungguh un-be-live-able!
           “Berapa lama lagi yang Tif nak umi tunggu? Dah dua bulan. Atau Tif nak tunggu sampai sepuluh tahun lagi?”
           Tif hanya diam. Dia tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan sisi uminya yang ini. Uminya memang seorang yang lembut orangnya tetapi apabila datang angin marahnya, urgh! Johan debat sedunia pun boleh diam jadinya.
           Hajah Fauziah melepaskan keluhan yang cukup berat pada pendengaran Tif. Tif hanya memandang uminya yang sudah naik ke tingkat atas. Mungkin mahu membiarkan dia keseorangan supaya dapat memikirkan sendiri kebenaran kata-katanya tadi.
           Fikirannya kembali teringatkan hubungannya dengan Firdaus yang sudah putus tali pertunangan yang pernah diikat antara dia dan lelaki itu. Sebaik sahaja umi mengetahui berita hangat itu, umi tidak melatah. Tetapi terus dengan caranya yang steady tetapi kesannya, boooom!! Cincin pertunangan antara aku dan Firdaus dipulangkan kembali kepada Puan Juli, ibu kepada Firdaus. Dan segalanya berakhir begitu sahaja.
           Semalam, Tania bertandang ke rumah dan membawa khabar yang menyebabkan hati yang semakin pulih daripada luka, kembali berderai. Oh, sesiapa tolong kutip!
           Ina dan Firdaus akan menimang cahaya mata lagi tujuh bulan. Mereka menjalankan hidup mereka dengan bahagia dan aku? Masih berada di dalam lopak lama. Tidak sekali pun cuba untuk keluar daripada lopak yang makin lama, makin dalam dan akan tenggelamkah aku?
           Tif sedar dia harus bergerak ke hadapan dan dia sedang mengumpul kekuatan saat ini untuk meneruskan kehidupanku seperti biasa dengan bahagia. Kedengarannya mudah tetapi bagi melaksanakannya, sungguh payah. Itulah apa yang dia menungkan tadi sehingga umi tersalah anggap.
           Mengenangkan diri ini sudah lama tidak terdedah dengan situasi berada di lautan manusia, Tif mengambil keputusan untuk keluar mengambil angin. Sudah cukup rasanya tempoh untuk dia berkabung atas pemergian orang yang tersayang. Oh, sayang lagikah?
           Usai bersiap ala kadar, Tif memberitahu uminya akan pemergiannya. Masuk sahaja ke dalam Savvy hitamnya, dia mendail nombor Tania. Dia perlukan Tania untuk meluahkan rasa yang bermastautin di dalam hati. Sudah terlampau lama, jadi hari ini dia akan merelakan semuanya pergi. Semoga ada kekuatan untuk aku melakukan itu, Tif berdoa di dalam hati.
           Mujur sahaja Tania sudah selesai mesyuarat, jika tidak, keseoranganlah Tif jadinya. Tif terus memandu ke sebuah kafe yang berdekatan dengan tempat kerja Tania. Tania baru sahaja pulang daripada tempat kerjanya kerana ada mesyurat mengejut di pejabat.
           Almaklumlah, Taniakan setiausaha kepada seorang arkitek yang berjaya. Jadi, hari Sabtu pun ada sahaja kerjanya di pejabat. Urgh, nampak sangat bos si Tania tu tak reti nak buat kerja sendiri. Harapkan setiausaha je.
           Selesai membuat pesanan untuk dirinya dan Tania, Tif membuang pandang ke luar kafe. Menanti Tania yang masih belum nampak bayangnya. Tania sampai sewaktu pelayan tadi menghidangkan minuman yang dipesan oleh Tif.
           “What’s up?” sapa Tania sebaik sahaja duduk dan menyisip jus oren yang dipesan Tif untuknya. Hurm, Tif sememangnya tahu akan kegemarannya yang satu ini. Dulu, kini dan selamanya. Mungkinlah jika dia tidak berubah kepada jus lain.
           Tif berfikir sejenak. Wajah temannya yang sentiasa ada sewaktu dia susah dan senang itu, ditatap lama. Otaknya cuba menyusun ayat untuk memberitahu Tania. Nanti Tania tidak faham pula bila dia menerangkan dengan ayatnya yang tunggang-langgang.
           “Umi dah mula fed-up dengan aku.” Tif memulakan bicara sebelum menyisip sedikit jus epal. Mahu membasahkan tekaknya yang kering. Ah, kau ni Tif. Baru cakap satu ayat, tekak dah kering! Akalnya memperlekehkan dirinya.
           “Dah agak. Normallah tu. Umi cuma nak kau bahagia, Tif. Aku dengan umi cuba buat something supaya kau berhenti daripada macam ni, tapi kau sendiri tak nak tolong diri kau. Kami tak boleh buat apa dah,” ujar Tania yang mula tegang.
           Tif terkebil-kebil untuk beberapa saat. Nampaknya dia mengadu pada tempat yang salah. Tania juga telah sakit hati dengan perangainya. Oh, tidak! Teruk benarkah aku?
           “Move on! Itu yang kau perlu buat sekarang, my lovely Zatifa Adelia bt Radzhar. Susah ke? Past is past,” ujar Tania lagi. Nampaknya dia belum puas memberi khidmat nasihat percuma untuk seorang manusia yang masih hidup dalam kenangan.
           “Ya, aku sedar aku perlu bergerak sekarang. Tapi, how? Aku tak tahu. Kau bagilah aku kompas atau apa sahaja, aku tetap tak tahu arah mana aku nak pergi.” Keluhan dilepaskan perlahan. Terasa berat semua ini di atas bahunya. Tolong sesiapa alihkan beban ni!
           Tania mengetuk bibirnya menggunakan jari telunjuknya yang runcing. Berfikir apa yang boleh dijadikan ubat untuk ‘pesakit’ yang bermasalah di hadapannya ini.
           “Sibukkan diri. Maksud aku, kerja. Ya, kerja! Macam aku, see! Aku sibuk dan aku tak sempat nak fikir apa-apa selain pergi kerja, makan, solat, balik kerja dan tidur. Kau perlu kerja, Tif. Make your life busy with important thing not the unimportant silly thing,” Tania melontarkan ideanya yang kedengaran agak bernas pada fikiran Tif.
           Sejak tamat menjadi seorang graduasi empat bulan lalu, dia hanya duduk di rumah. Dia lebih suka menguruskan perniagaan butik  atas talian. Itu bukan kerja, kah? Adakah Tania sedang memperlekehkan kerjanya sebagai usahawan online. Sesuatu yang tidak baik rasanya apabila Tania mula memandang rendah kesibukannya selama ini.
           “Kau sedang memandang rendah pada aku?” Tif sengaja membuatkan muka tidak percayanya di hadapan Tania. Biar tahu rasa bersalah sedikit kerana telah sesuka hatinya membuatkan dirinya yang tidak berdosa ini terasa sangat terhina.
           “Nope! Aku tak kata macam tu. Aku cuma maksudkan yang butik kau tak berapa berkembang dan kau tidak terlampau sibuk untuk melupakan apa yang dah terjadi. Masa untuk kau termenung lebih banyak daripada masa kau bekerja, faham?”
           Tania cuba membuka tali yang kusut ikatannya di dalam fikiran temannya itu. Oh, sungguh tidak bagus untuk perkembangan otak yang sihat. Penuh dengan tanggapan negatif di dalam otak engkau ni, Tif. Tolong install anti-buruk sangka ya. A.S.A.P!
           Tif mengangguk faham. Dia tidak menyalahkan Tania kerana apa yang Tania katakan cukup benar. Jadi, kerja apa yang aku boleh lakukan agaknya? Pergi ke sana ke mari untuk menghadiri temu duga? Itu yang harus aku lakukan atau bekerja di kedai gubahan hantaran milik umi sahaja? Yang mana ya?
           Lebih dua ratus  tiga puluh lima kali umi mempelawanya untuk bekerja dengan umi. Inikah masanya untuk aku menerima pelawaan daripada umi itu? Hurm, harus dipertimbangkan.
           Seperti biasa, apabila kami berdua bertemu, Tania pasti tidak akan lupa membuka al-kisah bosnya yang menyakitkan hati. Sesungguhnya, Tif tidak pernah berjumpa dengan bos Tania itu. Menurut Tania, tidak perlu berjumpa kerana mendengar cerita sahaja sudah terasa aura yang kuat. Apabila ditanya aura apa, Tania dengan selamba menjawab, aura membuatkan hati orang parah dan masuk dalam ICU dan takkan keluar untuk selama-lama-lama-lamanya.
           Lucu juga apabila mendengar cerita Tania yang jelas-jelas tidak berpuas hati dengan bosnya itu. Malanglah nasibmu, wahai encik bos! Dibenci oleh setiausaha sendiri.
           “Hari ni dia tak cari pasal dengan aku sangat. Jadi, kondisi hati aku agak stabil hari ni. Cuma yang kelakarnya bila ada seorang minah yang boleh tahan seksi, datang masuk bilik mesyuarat masa kami semua tengah sibuk perah otak. Kau cuba teka apa minah tu buat?”
           Tif cuba berfikir. Argh, Tania ni nak suruh dia berimaginasi pula. Manalah aku tahu apa yang minah tu buat. Diriku ini hanyalah seorang manusia biasa yang tidak tahu apa yang berlaku sekiranya aku tidak berada di tempat itu. Mungkin dia akan tahu jika kisah minah seksi dan bos yang menjengkelkan itu terpampang di dada akhbar atau masuk buletin utama. Tapi, mustahillah masuk, kan?
           “Dia terus peluk and kiss bos aku yang tengah bentangkan kertas kerja. Berani betul minah tu. Nasib yang ada just staf office. Cuba kalau ada klien, uisy.. Apa akan jadi agaknya?”
           Mendengar cerita sahaja membuatkan persepsi Tif mula membayangkan bagaimana perangai sebenar bos Tania. Tetapi, tetap gagal. Uh, imaginasiku tidak pernah tak gagal dalam berimaginasi. Agak payah nak faham aku ni, kan?
           “Habis apa yang jadi dalam bilik mesyurat tu?” soal Tif. Jika tidak bertanya sebarang soalan apabila Tania bercerita, Tania akan membuat andaian bahawa dia tidak mengambil serius soal al-kisah 1001 malamnya itu.
           “Of course, satu bilik mesyuarat tu, tertunduk-tunduk macam nak cium meja. Yalah, takkan nak tengok pasangan bercinta bermadu kasih pulak. But, surprisely, minah tu kena tempik dengan bos aku yang sememangnya tak pernah tak berangin dalam sehari. Aku tak rasa itu makwe dia,” cerita Tania lagi.
           Kejadian di dalam bilik mesyuarat tadi masih segar di dalam fikirannya. Tempikan bosnya bak halilintar itu membuatkan gegendang beduk dekat masjid pun boleh pecah apatah lagi gegendang telinga. Mujur gegendang telinganya mempunyai daya tahan yang agak kuat.
           “Mana kau tahu tu bukan makwe dia? Pandai-pandai je. Kau assistant je. Belum naik pangkat jadi personal assistant, kan?” seloroh Tif. Cuba bayangkan, Tania yang beria tidak suka akan bosnya itu, terjatuh cinta pula pada bosnya itu. Uhuhu, haru-haru.
           “Hesy, kau ni. Aku yakin tu bukan makwe dia sebab sepanjang aku bekerja dengan dia, dia tak pernah tunjukkan sikap yang dia merupakan boyfriend kepada mana-mana perempuan. Semua perempuan dia layan sama. Tak kisahlah, lawa macam Angelina Jolie sekali pun. Dia tu macam anti-perempuan sikit. Maybe dia pernah patah hati or something, tapi dia tu memang pelik.”
           Tidak perlu diberitahu bahawa lelaki yang merupakan bos kepada Tania itu pelik kerana memang pelik. Ada ke lelaki tak suka perempuan? Lagi-lagi yang lawa. Tipulah. Tetapi kalau dah kata pun pelik, mestilah berperangai bertentangan dengan jantina sejeniskan. Jadi, bos Tania tu…..
           “Dia bukan gay! Dia cuma suka bersendirian. Rasa macam dia tu tak ada kawan pun ada. Aku rasa hidup dia cuma pergi kerja dan balik kerja sebab dia tak pernah balik awal. Kalau paling awal, dalam pukul 11 malam,” beritahu Tania lagi.
           Ayat pertama Tania membuatkan Tif tersentak. Itulah yang berada di fikirannya. Gay! Teruk sungguh fikirannya ini. Berani-beraninya dia melabel orang lain sebegitu.
           “Wait! Kenapa kita cakap pasal bos aku yang pelik tu?” soal Tania tiba-tiba. Dia cuba mengingat kembali apa yang menyebabkan perbualan mereka terpesong begitu jauh sebegini. Namun, dia lupa. Memori jangka masa pendek betullah!
           “Engkau yang mulakan dulu tadi pasal minah yang daring tu. By the way, dah lambat ni. Jomlah,” ajak Tif.
           Tania yang mendengar segera menghabiskan air yang masih berbaki di dalam gelas. Dia juga sudah berhajat mahu pulang segera ke rumah. Rancangan juga sudah disusun. Apa yang hendak dilakukan ialah mandi dan tidur. Uh, penat betul.