Thursday 9 April 2015

SETIAKU MILIKMU KARYA LUVIS EIJA

BAB 3



JAM sudah menunjukkan ke angka 11.00 pagi. Sara sudah bersiap-siap untuk keluar pada pagi itu. Dia membetulkan sedikit lilitan tudung di kepalanya. Baju kurung moden berwarna merah hati yang dipakainya itu juga dibetulkan. Dia tampak begitu ayu walaupun tidak mengenakan sebarang alat solek. Hanya dengan sedikit bedak muka dan secalit gincu dibibir, sudah cukup membuatkan dia kelihatan begitu ayu persis perempuan melayu terakhir.
Kunci kereta yang tersangkut kemas di dinding rumah dicapai laju. Kereta itu dibelikan oleh Adam untuknya dengan alasan supaya dia senang hendak bergerak ke mana-mana. Sebuah kereta Viva berwarna hitam itu begitu bermakna pada Sara. Walaupun cuma sebuah kereta kecil, namun dia bersyukur kerana inilah pertama kali dalam hidupnya, dia mendapat hadiah daripada seseorang. Hadiah mahal pula tu!
Dia sangat bersyukur dengan nikmat yang telah Allah berikan padanya. Sara percaya apa yang telah terjadi selama ini ada hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. Lihat sajalah dia sekarang. Dulu dia hanya seorang gadis kampung yang hidup dalam serba kedaifan. Ibarat kata, kais pagi makannya pagi dan kais petang.. makannya petang.
 Tetapi sekarang, dia sudah tidak perlu bekerja keras lagi untuk mendapatkan sesuap nasi. Semua keperluannya telah disediakan oleh Adam. Dia terima dengan redha takdir yang telah ditetapkan oleh Allah untuknya. Andai benar Adam adalah jodoh yang terbaik, yang telah dipilihkan oleh Allah untuknya.. dia berlapang dada untuk menerima.
Tetapi Sara tidak tahu sejauh mana kekuatan yang dimiliki olehnya. Mampukah dia untuk terus bertahan dan pertahankan rumah tangganya bersama Adam. Kadang-kala Sara berasa takut untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Apakah selamanya hanya akan ada perasaan kasihan di hati Adam untuk dirinya? Tidak akan wujudkah secebis cinta di hati Adam buatnya?
Sara mengeluh kecil. Terasa begitu berat beban perasaan yang terpaksa ditanggung olehnya. Dalam diam dia sudah mula menyukai Adam. Itulah yang menjadi masalah padanya kini. Dia takut andainya semakin lama dia berada di situ semakin kuat pula perasaannya terhadap Adam. Dia takut untuk membayangkan segala kemungkinan yang mendatang. Walaupun Adam terang-terangan mengakui bahawa dia sedikitpun tidak mempunyai perasaan pada Sara, tetapi hati Sara seakan sudah terpaut dengan sikap Adam yang bertanggungjawap itu. ‘Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dan ketabahan.’ Hanya doa itu yang sentiasa terdetik di hati Sara.

PEDAL minyak ditekan perlahan oleh Sara. Kereta dipandu dengan cermat. Maklumlah, Sara bukan cekap sangat memandu. Lesen pun baru saja dapat. Sesekali ada juga perasaan takut yang bertandang apabila berselisih dengan kenderaan yang lebih besar. Namun, dicekalkan juga hatinya.
Tidak lama kemudian dia sudah selamat sampai ke tempat yang dituju. Setelah kereta diparkir dengan elok, dia melangkah perlahan menuju ke siber cafe. Perasaannya bercampur baur antara takut dan mengharap. ‘Semoga Engkau tunaikan impianku Ya Allah..’ Doa Sara tidak putus-putus.
Langkah dihayun dengan penuh debaran.
Terasa seperti mahu melompat kesukaan. Sara benar-benar teruja tatkala melihat namanya tersenarai di dalam senarai nama pelajar ambilan pertama UPU. Rasa nak menangis, nak ketawa.. semua ada. Syukur sangat-sangat kerana impiannya tercapai. Dia diterima masuk ke Universiti Malaysia pahang.
Dalam diam, sempat juga Sara menarik nafas lega. Sekurangnya tak adalah dia terpisah jauh sangat dengan Adam. UMP masih lagi berada di dalam negeri Pahang. Bila-bila saja dia boleh menjenguk Adam. ‘Hishh.. kenapa pulak aku fikirkan dia ni?’ Sara garu kepala. Nama Adam juga yang dia ingat! ‘Arghhh, baik aku pusing-pusing dekat bandar kuantan ni dulu. Balik rumah pun bukan ada apa nak buat!’ Omel Sara sendiri.

ORANG agak sesak di pusat membeli belah Megamall pada hari itu. Sara menjengah seketika ke arah jam tangannya. Sudah masuk waktu makan tengah hari. Patutlah ramai sangat orang.
Sara mempercepatkan langkahnya. Perutnya juga sudah mula menyanyikan lagu keroncong, minta diisi. Sampai sahaja di hadapan restoran ‘De Daun’.. sebuah restoran masakan melayu, Sara cepat-cepat melangkah masuk. Dia tidak mahu berlengah-lengah lagi. Mungkin sekejap lagi keadaan akan menjadi semakin sesak apabila semua orang sudah keluar untuk rehat dan makan tengah hari.
Namun begitu, belum pun sempat dia melabuhkan duduk, pergerakannya terus terkunci. Kakinya terasa berat untuk terus melangkah. Macam ada sebongkah batu besar yang melekat di kakinya. Di meja hadapannya kini kelihatan sepasang kekasih sedang asyik dibuai asmara. Mereka begitu mesra, makan bersuapan. Tiba-tiba tubuh Sara berasa panas dan gementar. Wajahnya yang tadinya tenang, sudah berubah riak menjadi tegang. Hati pula, terasa sakit yang amat. Bagaikan disiat-siat dengan belati.
“Adam?”
Spontan nama itu terpancul di bibir Sara. Namun tersangat perlahan, cuma dapat didengari oleh dirinya sendiri sahaja. Sandiwara itu terus ditonton oleh Sara tanpa disedari oleh pasangan yang sedang asyik memadu cinta itu.
Ada air jernih yang jatuh perlahan di pipinya. Terasa sakit dan sebak yang teramat sangat. ‘Kenapa aku rasa macam ni? Kenapa ait mata ini tumpah? Kenapa sakit begini, Ya Allah? Aku tidak mengerti.!’ Air mata semakin laju merembes keluar. Sara terus menjadi penonton yang setia.
Sesekali tangan Adam bergerak lembut, membetulkan anak rambut yang jatuh berjuntai menutupi wajah kekasihnya itu. Mereka kelihatan sungguh bahagia, seolah-olah dunia ini cuma milik mereka berdua. ‘Apa lagi yang kau tunggu Sara! Memang wajar dia melayan kau begitu.. Dia memang benar-benar sudah mempunyai kekasih hati. Cuma kau yang bodoh Sara! Mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.’
Sara tidak sanggup lagi untuk terus menjadi penonton kepada babak percintaan itu. Dengan tergopoh-gapah dia berjalan meninggalkan restoran itu tanpa menoleh ke kanan dan ke kiri lagi. Sara bimbang kalau-kalau Adam perasan dia berada di situ. Dia tidak mahu dituduh menjadi pengintip pula.
Dalam keadaan kelam kabut itu.. tiba-tiba,
“Dubb!”
Sara terlanggar seseorang dan hampir-hampir dia terjatuh di situ. Sara memejamkan matanya bersedia untuk jatuh pada bila-bila masa sahaja. Dan pada saat itu juga dia dapat rasakan ada sepasang tangan yang gagah merangkul erat pinggangnya sekaligus menyelamatkan dia daripada jatuh tergolek.
 Sara cepat-cepat buka mata. Saat itu juga, debaran sudah mengila di dadanya. Terlopong mulut Sara! Dia sekarang berada di dalam pelukan seorang lelaki kacak. Dan yang membuatkan Sara semakin kaget, dia langsung tidak mengenali siapakah gerangan lelaki kacak itu. Lama Sara kaku dalam pelukan lelaki kacak itu. Dia benar-benar terkejut.
“Cik okey ker?” Soal lelaki itu lembut dan perlahan. Matanya tidak lepas dari merenung wajah Sara. Seolah telah terpukau dengan keayuan Sara.
“Eh, Okey!” Cepat-cepat Sara menolak tubuh lelaki yang memeluk erat pinggangnya itu. Dia bagaikan baru tersedar keadaan mereka begitu. Muka Sara berubah menjadi merah. Malu berpelukan begitu dengan lelaki asing. Di tempat yang terbuka pula tu. Apalah agaknya pandangan orang sekeliling.
Baju kurung yang tersarung kemas di tubuhnya itu dibetulkan, cuba mencari keselesaan. Jantung Sara masih berlari laju. Malu betul dia pada lelaki yang sedang berdiri di hadapannya sekarang. Kalau boleh, Sara rasa nak sorokkan muka dia dalam kain tudung saat tu juga.
“Maaf Cik! Saya tak ada niat nak ambil kesempatan tadi.” Lelaki itu mula disapa perasaan bersalah apabila melihat Sara yang sudah tidak tentu arah. Wajah merah Sara yang tunduk merenung lantai itu sudah jelas mengambarkan perasaannya tika itu. Dia tahu Sara malu.
“Eh, saya yang sepatutnya mintak maaf sebab terlanggar awak tadi. Terima kasih sebab awak dah selamatkan saya dari terjatuh.” Sara cuba bertenang. Cuba untuk senyum. Tapi bibirnya seakan berat untuk mengukir senyum. Jantung Sara juga, langsung tidak mahu berkerjasama dengannya. Dari tadi asyik berdetak laju! Tambah laju bila Sara perasan sepasang  mata milik lelaki kacak itu tidak lepas-lepas daripada merenung dirinya. ‘Aduh! Kenapa tengok aku macam nak telan ni?’ Hati Sara berbisik sendiri.
“Eh, tak apa! Kalau orang lain berada di tempat awak tadi pun saya tolong jugak.” Lelaki kacak tadi melemparkan senyuman manisnya pada Sara. Mata tak lepas-lepas daripada merenung Sara. Rasa sayang mahu mengalihkan pandangannya ke tempat lain.
“Err, saya pergi dulu!” Sara terus berlalu tanpa menantikan jawapan daripada lelaki itu. Rasa kurang selesa pula dia mahu berlama dengan lelaki yang langsung tidak dikenalinya itu.
“Cik, tunggu dulu!” Panggil lelaki itu kuat.
Sara terus menonong pergi tanpa menghiraukan panggilan daripada lelaki kacak itu. Sudahnya, lelaki tadi menghela nafas panjang. Rasa kecewa pula melihat Sara terus berlalu tanpa menyahut panggilannya.
Sementara itu, Adam rasa seperti ada sepasang mata yang sedang merenungnya daripada jauh. Dia terus menoleh untuk memastikan keadaan itu. Matanya menyorot liar kesegenap ruang di dalam restoran itu dan agak terperanjat apabila matanya menangkap pandang imej seorang perempuan muda yang sedang tergesa-gesa pergi meninggalkan restoran tersebut.
 Tiba-tiba dia nampak tubuh perempuan itu telah dirangkul erat oleh seorang lelaki. ‘Eh, itukan..?’ Darah Adam berderau. Bibir diketap kuat tanda geram. Tanpa sedar tangannya sudah menggenggam penumbuk. Sakit hati! Itu yang Adam rasa sekarang.

JAM sudah menunjuk ke angka 8.30 malam. Sara baru sahaja selesai mandi dan sedang mencari-cari baju tidur untuk dipakai. Tiba-tiba pintu biliknya ditolak kasar dari luar. Terperanjat Sara apabila Adam dengan laju merempuh masuk ke biliknya. Wajah Adam yang mencuka itu sudah jelas menampakan ketidakpuasan hatinya. ‘Apa kena pulak mamat ni? Tak ada angin, tak ada ribut.. tiba-tiba taufan!’ Sara mula cuak. Perasaan malu mula bermukim di hati. Malu bila Adam tiba-tiba saja merempuh masuk ke biliknya dan melihat dia dalam keadaan berkemban begitu.
“Kenapa nak masuk tak ketuk pintu ni?!” Bentak Sara kasar. Mukanya sudah merona merah, cuba berselindung di balik pintu almari pakaian.
Adam masih tetap mencuka. Matanya tidak lepas merenung Sara daripada atas sampai kebawah. Sara mula rasa tidak selesa dan takut. ‘Apa dah jadi ni?’ Hati makin bingung.
Jantung Sara berdegup kencang. Perasaan takut mula menguasai dirinya apabila melihat Adam berjalan perlahan menghampirinya dengan panahan mata yang tajam, menikam terus ke tangkai jantung Sara.
 Tangan Sara ditarik kasar oleh Adam sehinggakan tubuh Sara terdorong ke depan dan terus berlaga dengan tubuhnya. Cepat-cepat Sara mengundur semula ke belakang. Tapi, pegangan tangan Adam masih kejap di lengannya. Sara rasa nak menangis. Takut, seram.. semua ada. Pandangan mata Adam yang tajam itu seakan mahu menelan dia hidup-hidup di situ.
Hati lelaki Adam mula bergetar. Saat tubuh hangat Sara berlaga dengan tubuhnya sebentar tadi, naluri lelakinya terus berkocak. Jantungnya berdetak sama laju dengan jantung Sara.
Sara gementar. Dia meronta kuat, cuba untuk merungkaikan cengkaman tangan Adam yang begitu kejap di lengannya. Tapi, Adam semakin mencengakam.. membuatkan dahi Sara berkerut menahan rasa sakit.
“Sakitlah!” Sara mengadu kuat. Peluh kecil sudah mula memercik di dahinya. Dia betul-betul malu dan takut berhadapan dengan Adam dalam keadaan begitu. Kenapa dengan Adam ni? Kena rasuk dengan iblis mana ni? Ataupun bergaduh dengan kekasih dan sekarang melepaskan segala kemarahannya pada Sara?
Adam tetap sama. Wajahnya masih lagi mencuka, merenung Sara dengan tajam dari atas sampai ke bawah. Liur diteguk berkali-kali. Iman di dada semakin menipis. Tetapi perasaan marah lebih menguasai dirinya berbanding keinginan batinnya kala itu.
Please Am.. lepaskan tangan saya.”
Sara merayu dengan suara bergetar. Mata mula berkaca. Dia berharap sangat Adam mahu mendengar rayuannya. Tapi malangnya. Rayuan Sara semakin mencambahkan api kemarahan di dalam diri Adam.
“Ooo.. Kalau aku pegang tangan kau tak boleh! Tapi kalau jantan lain peluk kau, kau suka!!” bentak Adam keras. Dia terus merangkul Sara ke dalam pelukannya, begitu kuat dan kejap. Sara meronta-ronta untuk melepaskan diri. Perasaan takut semakin menguasai diri tatkala melihat Adam seakan sudah hilang pertimbangan.
Tindakan Adam semakin meliar. Rayuan Sara sedikitpun tidak terkesan di hatinya. Dia telah dikuasai perasaan marah dan keinginan batin seorang lelaki. Kehangatan tubuh Sara telah membangkitkan naluri kelelakiannya.
Sara mengigil ketakutan. Air mata turun tanpa dipinta. Matanya dipejam rapat-rapat. Takut nak membayangkan apa yang bakal berlaku selepasnya.
Tiba-tiba pelukan Adam terlerai. Dia berlalu menuju ke arah pintu bilik Sara yang terbuka luas. Laju Sara membuka mata. Dia sudah terduduk kaku di penjuru katil, menarik nafas lega. Disangkakan Adam sudah mahu keluar, namun sangkaannya terus meleset. Dari ekor matanya dia dapat melihat Adam menutup daun pintu biliknya dari dalam dan terus  dikunci rapat. Dada Sara kembali sesak apabila melihat Adam sudah menghampirinya semula. Mata mereka bertembung lama.
Dengan perlahan Adam datang menghampiri isterinya, mengambil tempat duduk di sebelah Sara. Perlahan-lahan Adam menyentuh tangan Sara dan menggenggam serta membelai jari jemarinya dengan lembut.
Sara keliru.
“Kau milik aku! Aku tak suka kalau hak aku dikacau oleh orang lain. Aku tak akan lepaskan kau Sara. Aku akan pastikan kau cuma menjadi milik aku..” bisikan Adam yang perlahan di telinga Sara itu membuatkan Sara semakin kebingungan dan tidak mengerti.
Bertambah keliru apabila jari-jemari suaminya beralih pada wajahnya pula. Sara kaku dan tidak faham dengan sikap Adam pada malam itu. Dia cuba mencerna apa yang telah berlaku namun masih kabur. Akhirnya Sara kalah jua apabila Adam mencium pipinya dengan begitu mesra. Kenapa Adam begini?
“Sara... aku mahu kau jadi milik aku sepenuhnya.” Pinta Adam lembut. Sara diam, fikirannya sungguh berkecamuk saat itu. ‘ Kenapa dia bersikap macam ni, apa sebenarnya ni? Kenapa dengan tiba-tiba sahaja? Ya Allah, berdosakah aku jika menolak?’ Fikiran Sara semakin kusut.
Sekali lagi Adam mencium pipi Sara dan meramas jari-jemarinya. Sara terpana seketika, tidak pernah seumur hidupnya dibelai sebegitu oleh seorang lelaki.
Adam merenung lembut ke dalam anak mata Sara.
“Aku mahukan kau..”
Pinta Adam sekali lagi. Air jernih sekali lagi tanpa segan silu jatuh ke pipi Sara. ‘Andainya ini memang sudah Engkau aturkan untukku, aku redha dengan segala perancangan Mu, Ya Allah.’ Hati Sara berbisik yakin.
 Akhirnya pada malam itu, buat pertama kalinya Adam meniduri Sara. Mereka berkongsi apa yang sepatutnya mereka kongsikan selama ini. Malam itu segala-galanya menjadi indah, seolah-olah tidak pernah ada sengketa di antara mereka selama ini.










2 comments:

  1. Harap2 adam akan menyinta sara nanti

    ReplyDelete
  2. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    FadoExpress là một trong những top công ty chuyển phát nhanh quốc tế hàng đầu chuyên vận chuyển, chuyển phát nhanh siêu tốc đi khắp thế giới, nổi bật là dịch vụ gửi hàng đi nhậtgửi hàng đi pháp uy tín, giá rẻ

    ReplyDelete