Tuesday 23 September 2014

KAU YANG TAK DIUNDANG BY NURIL BAHANUDIN

BAB 3

http://ceritanuril.blogspot.com/


Dia melangkah santai mendekati meja di pejabatnya. Suasana di ruang pejabat Nova Holding itu agak sunyi. Belum ramai pekerja yang datang. Seperti selalu, dia sering menjadi orang yang terawal sampai di pejabat. Dia tak suka datang pada waktu pejabat sudah mahu bermula. Sebab dia tak suka melakukan perkara last minute dan tergesa-gesa hingga pastinya akan buat dirinya kelam-kabut.

Bekalan makanan yang dibawa bersama diletakkan di atas meja. Mata tertancap pada jambangan bunga mawar merah yang terletak di atas mejanya itu. Eh, bunga untuk siapa ni? Hati bertanya hairan. Ada orang nak kenakan aku ke? Hari ni berapa hari bulan ya? Rasanya bukan April Fool, kan? Tangannya teragak-agak untuk menyentuh jambangan bunga itu.

Dia menarik nafas panjang sebelum tangannya menyentuh jambangan mawar merah itu. Sehelai nota kecil yang terselit di antara kuntuman mawar itu jatuh tepat mengenai muncung kasut tumit tingginya. Dia tunduk, lalu mengambil kad yang terjatuh itu. Teringin juga tahu siapa pengirimnya dan untuk siapa jambangan bunga ini. Pasti untuk diakah? Atau tersalah tempat? Hati teruja, laju jari-jemari runcingnya menyelak isi kad kecil itu.

Leila Suria,

Satu dalam beribu,

Kau buat detak jantungku tak menentu…

R…

Hah, ini saja ke? Dia menggaru-garu dagunya yang tidak gatal itu. Terpinga-pinga mencari makna isi kad itu. Ini betul-betul ke atau ada yang sengaja nak kenakan aku? Hati mula berasa walang. Tidak percaya dengan madah manis di dalam kad kecil itu. Siapa ‘R’ ni? Hari ini dalam sejarah. Selama 6 tahun aku bekerja di sini, inilah pertama kali aku terima jambangan bunga. Siapalah jejaka itu? Jejaka ke? Errr, harap-harap jejakalah.
 
Eh, siapa aje staf di pejabat ni yang namanya bermula dengan huruf ‘R’? Tuan Besar Rolland? Tuan ‘Kecik’ Rio? Regina Ray, Rabiah Abby? Opss, tak akan perempuan kut yang mengirim? Lagilah tak masuk akal. Habis kalau bukan Regina, bukan si Abby tu, tak akan pula antara dua anak-beranak tu? Tuan kecik, besar tu? Lagilah mustahil tak dapat diterima akal waras mahupun tak waras. Apa ada pada aku ni sampai mereka nak pandang? Entah-entah pandang sebelah mata pun mereka tak ingin.

Hai... Sudahlah Leila, tak payahlah susah-susahkan otak tu nak berfikir segala bagai. Suatu masa nanti pengirim tu mesti munculkan diri di depan mata kau. Tak akan selamanya dia ingin sembunyikan diri. Ya tak? Nak tunggu dia munculkan diri tu yang tak tahu bilanya. Jambangan bunga itu akhirnya diletakkan kembali di atas meja. Ah... Dah-dah, jangan duk ralit dengan bunga ni. Hati kecil menegur kurang senang.

Dia akhirnya mengambil keputusan untuk mengabaikan jambangan bunga itu. Tak mahu memikirkan sangat siapa pengirimnya. Ah, baik aku sediakan breakfast, nanti tak sempat pula kalau aku sudah mula menghadap kerja-kerja yang menimbun ni. Dia mula melangkah menuju ke pantri, ingin menyediakan sarapan pagi untuk dirinya seperti kebiasaan.

Wow!”

Leila Suria yang sedang melangkah sambil menatang sebiji muk berisi Nesvita untuk sarapan paginya tersentak.

Alamak, Mak Joyah ni dah ternampaklah pula jambangan bunga tu. Aduh, kenapa aku tak terfikir nak letakkan dekat bawah meja atau atas meja bos tu? Ni karang mesti kecoh satu pejabat ni. Dia menepuk dahi. Kesal dengan kealpaannya sendiri yang mungkin akan menyemarakkan gosip hangat tentang dirinya di pejabat ini nanti.

Macamlah dia tak tahu dengan mulut kepoh tak berbedung si Rabiah itu. Langsung tak boleh menyimpan rahsia. Kalau dah sampai kepada pengetahuannya, pasti rahsia itu akan terburai segala isi perutnya. Agaknya kerana kekepohan mulutnya itulah dia mendapat gelaran Mak Joyah di pejabat mereka ini.

Errr Abby, selamat pagi. Awal kau sampai hari ini?” Dia berbasa-basi dengan setiausaha majikannya itu. Cuba menutup kegugupannya. Menanti penuh debar soalan yang bakal ditembak oleh Rabiah sebentar nanti.

“Pagi, Leila… Eh, awal apanya? Macam biasa juga aku datang ni. Bunga dari siapa tu? Bak sini aku baca sikit apa isi kad itu.”

Tanpa sempat dia berkata apa-apa mahupun menghalang, tangan Rabiah sudah laju mencapai kad kecil itu.

“Wah ayat dia, madah-madah habis. Siapa si ‘R’ ni, Leila?”

“Entah, mana aku tahu. Orang gila kut.” Dia menjawab acuh tak acuh sambil mengangkat kedua-dua belah bahunya.

“Hai, masakan orang gila pandai mengirim bunga, Leila?” Tak berputus asa untuk mencungkil rahsia daripada Leila Suria itu.

“Entahlah… Mat romeo mana entah tersalah kirim bunga agaknya. Mungkin mahu kirim pada orang lain tapi terkirim pada aku ni.”

Dia mula melabuhkan duduk di kerusinya. Jambangan bunga itu diambil dan akhirnya dilemparkan ke dalam tong sampah kecil yang terletak di sisi meja kerjanya itu. Tidak berminat untuk menyimpan bunga mawar itu. Jangan-jangan orang tu dah mandrem bunga ni. Hesssyyy takut aku, karang tak pasal-pasal jadi sewel aku ni. Leila Suria mengerutkan dahi, risau juga kalau agakan hatinya itu betul.

“Lah, apa pasal pula kau buang bunga tu?” Rabiah menegur, terkejut dengan tindakan tidak diduga oleh Leila Suria itu.

“Dah tu aku nak buat apa dengan bunga ni, Abby? Tak akan aku nak framekan pula. Aku manalah pernah ada pengalaman terima bunga-bunga ni. Manalah aku tahu nak dibuatkan apa dengan bunga yang berkuntum-kuntum ini?”

“Bagilah dekat aku ni kalau tak nak. Boleh juga aku buat hiasan di atas meja bos kita yang togel tu.”

“Lah, kau nak ke? Ambillah.” Jambangan bunga itu diambil kembali dari arah tong sampah itu lalu dihulurkan kepada Rabiah.

“Wah, hebat kawan aku ni. Dah ada secret admirer, kalah aku ni. Kelas kau. Glamor tu dalam diam.”



Susahlah macam ni.” Lelaki itu mendengus. Wajah ceria yang ditunjukkan sewaktu awal pertemuan mereka tadi kini sirna. Bertukar mendung.

“I minta maaf. I pun tak jangka benda begini akan berlaku, Zaf.”

Pertemuan antara dia dan keluarga lelaki itu berjalan lancar dua hari lalu dan dia sangka di pihaknya juga akan lancar tapi sebaliknya yang berlaku. Keluarganya meletakkan syarat dan syaratnya pula bukan calang-calang sehingga membuatkan dia terkesima. Tak senang duduk bahkan bakal tak lena tidur.

Aduhai ibu dan ayah, kenapalah diletakkan syarat sebegitu? Bukannya aku buat apa-apa pun, aku cuma mahu buatkan hidupku bahagia dan terjamin. Hidup bersama insan yang aku cinta dengan ikatan yang sah. Itu pun perlu diletakkan syarat ke? Hatinya berbisik sendiri.

Terkilan sungguh perasaannya. Sangka dia, keluarganya akan gembira apabila mendengar perkhabaran yang dibawa, tapi rupa-rupanya tidak.

“Kalau kena tunggu lama sangat, I mungkin terpaksa putuskan hubungan kita,” ungkap lelaki itu.

What???”

“I terpaksa, Erin.” Ungkapan terpaksa itu sengaja ditekankan.

“Terpaksa apa, Zaf? You kata you cintakan I, masakan you tak sanggup tunggu I?” Pelik, tak akan semudah itu lelaki itu mahu putuskan hubungan mereka? Tak akan hanya kerana syarat itu?

“Ya, sebab cintalah I tak sanggup tunggu lama. I tak mampu ambil masa yang lama untuk dapat hidup bersama-sama dengan you. Betul-betul menyeksa perasaan I ni tau,” ucapnya sambil tangan menunjukkan ke arah dadanya.

“You ingat I mampu ke hidup kalau tak ada you di sisi I?” Lily Serina membalas. Sakit kepalanya memikirkan. Apa jalan yang dia ada ada? Semuanya jalan mati. Apa pilihan yang dia miliki? Semuanya pilihan buntu.

Melepaskan lelaki itu, dia memang tak sanggup tapi menurutkan syarat kedua-dua ibu bapanya dia takut! Takut empunya diri menolak usulnya. Dia bimbang nanti dituduh pentingkan diri pula. Macam mana ni?

“Habis you nak buat apa, Erin?”

“Nanti I cuba pujuk dia ya, Zaf.”

“Nanti tu bila, Erin? Kita kesuntukan masa. Mother I tu sudah betul-betul tak sabar nak tengok kita bersatu. You pun tahu macam mana keadaan emak I tu, kan? I tak mahu hampakan dia hanya kerana syarat yang keluarga you letakkan tu tau.”

Lily Serina sedia maklum dengan keadaan emak Meor Zafri itu. Sungguh tak disangka yang emak lelaki itu sedang menderita barah payudara tahap empat. Sangkanya emak lelaki itu sihat-sihat belaka. Yalah, orang kaya biasanya selalu pentingkan penjagaan kesihatan. Orang berduit segalanya boleh, tapi rupa-rupanya anggapannya silap. Duit tak mampu buat apa-apa. Duit tak mampu membeli kesihatan.

“Zaf, I tahu you anak yang baik dan cuba bahagiakan emak you apa adanya. I janji I akan cuba pujuk dia walau apa jua cara pun.” Dia berjanji.

Keadaan emaknya, Wan Zubaidah yang semakin lemah semenjak akhir-akhir ini betul-betul merisaukan. Apatah lagi apabila mengenangkan permintaan dan syarat yang diberikan oleh wanita itu tentang pembahagian harta peninggalan arwah bapanya, memang sudah mencukupkan perasa dalam kerisauannya. Dia tak mahu emaknya pergi tanpa melihat dia berumah tangga. Dia tak mahu emak pergi dalam keadaan dirinya tiada apa-apa.

“Okey, I bagi you masa sebulan untuk pujuk dia, Erin. Kalau tak… jangan salahkan I pula. I terpaksa.”

“Zafri! Sampainya hati you buat I begini? You macam tak hargai hubungan kita selama ini sampai sanggup cakap begini pada I!”

“I bukan sengaja, Erin. I terpaksa sebab I nak tengok kesungguhan you untuk hidup dengan I ni. I terpaksa, sayang… Really sorry.”

Lily Serina menggetap bibir. Bab menuturkan ayat memang dia selalu kalah dengan Zafri. Ayat lelaki itu memang selalu mematahkan marahnya. Agaknya sebab ayat lelaki itulah menyebabkan dia jatuh hati dengan lelaki itu dan ingin hidup di samping lelaki itu.

“Okey, kalau you tak percayakan I... Kalau you tak yakin akan kesungguhan I ni... I akan buktikan kepada you. You tengoklah nanti.” Yakin.

“Bagus, buktikan pada I. Pastikan yang rombongan I akan sampai ke rumah you selepas sebulan ya, Lily Serina.” Dia mengenyitkan mata. Sengaja menambah bahang dalam diri kekasih hatinya itu.

“Okey, you tunggulah ya Zafri. Ini Lily Serinalah. Tak ada apa yang I tak pernah tak dapat kalau I mahu. I akan pastikan kita berkahwin nanti. You tengoklah!”

Memang dirinya tak tahu erti mengalah. Apa yang dia inginkan jarang terlepas dari genggamannya.

Meor Zafri hanya ketawa kecil mendengar bicara Lily Serina itu. Dia tahu dia telah berjaya menghidupkan sumbu semangat gadis itu.

No comments:

Post a Comment