Monday 29 September 2014

KAU YANG TAK DIUNDANG BY NURIL BAHANUDIN

BAB 4



 
“Hai, semenjak bila pula ofis kita ni dah jadi kedai bunga ni, Abby? Sana sini bunga saja saya nampak. Atas meja saya ada bunga, atas meja papa ada bunga, atas meja dekat pantri ni pun ada bunga, atas meja meeting pun ada bunga juga, pendek kata semua meja yang terdapat dalam ofis ni semua terhias dengan bunga.” Rio bertanya. Pelik melihat suasana yang luar biasa di pejabat itu.
Hari ini hari kedua dia perasan yang pejabat ini penuh dengan bunga. Semalam dia sudah perasan yang pejabat mereka dipenuhi bunga tapi tidak sebanyak hari ini. Semalam dia diamkan saja sebab sangkanya setiausaha papanya itu mahu menukar mood. Itu yang diletakkan bunga segar sebagai hiasan di mejanya.
Rabiah tersenyum lebar mendengar pertanyaan anak majikannya itu.
“Hai bos, you tak akan tak tahu? Tak ada dengar-dengar cerita?”
“Tahu apa? Dengar cerita apanya, Abby?”
“Tak adalah… Ada seorang kawan kita ni dah ada peminat. Hari-hari peminatnya kirim bunga pada dia. Dia tak tahu nak buat apa dengan bunga tu. Jadi dia bagilah pada I ni, lagipun sayang tau kalau dibuang begitu saja, jadi I ambil keputusan untuk agihkan pada setiap sudut ofis ni. Nampaklah segar sikit. Sedap juga mata yang memandang.”
“Kawan kita? Siapa?”
“Siapa lagi kalau bukan si Leila Suria tu, bos oii! Eee, untungnya dia ada peminat macam tu. Jealous I tau.” Kepoh mulutnya bercerita. Sungguh, terbit sedikit rasa iri hati dia kepada gadis itu. Dia yang hidup dikelilingi lelaki pun belum pernah dikirimkan bunga setiap hari. Hailah… Tuah orang.
“Hah, Leila Suria?” Sedikit terkejut.
Uikh, siapalah lelaki buta mata nakkan minah stone tu? Macam tak percaya pula bila mendengar cerita Rabiah itu.
“Haahlah bos, kenapa? You tak percaya? Ke you cemburu? Eh, you ada hati sekali ya dengan si Leila tu?” Sengaja mengusik bos keciknya itu.
“Huh, mengarutlah you ni, Abby. Apa you ingat taste I ni untuk si Leila tu ke? Hesy, bagi percuma pun belum tentu I mau tau. Dingin beku mengalahkan ais saja bila dengan lelaki.”
“Alah bos, bos tak rapat dengan dia beranilah bos cakap macam tu. Dia tu okey apa. Baik hati, selalu membantu I ni kalau I dalam kesempitan.”
“Eh, apa-apalah… Malaslah I mahu layan you,
Abby.”
“I tak suruh pun you layan I ni, bos oi.”
“Amboi, meriahnya dari luar lagi saya dah dengar suara kamu. Apa benda yang kalian berdua bualkan ni Rio, Abby?” Rolland Fiqry yang baru saja muncul di sebalik pintu menegur perbualan mereka.
“Amboi, smartnya papa hari ini?” Rio Alami Raqly menegur kehairanan, sedikit pun tidak membalas pertanyaan papanya itu.
Errr, morning, tuan. Semakin hari tuan ni semakin kacak bergayalah. Eh, ada apa-apa ke ni?” Rabiah turut menegur penampilan majikannya itu. Hurm, bau minyak wanginya sebatu sudah boleh dihidu.
“Wah Abby, you puji-puji I ni, I tak ada duit keciklah nak bagi pada you,” balasnya bersahaja.
Lebih 30 tahun berada di bumi Malaysia, membuatkan lidahnya sudah lancar menuturkan bahasa kebangsaan ini. Selalu orang akan memandangnya dengan pandangan yang agak luar biasa terutama para pekerjanya sewaktu pertama kali mereka bersua muka. Teragak-agak ingin menggunakan bahasa Melayu bila berbicara dengannya atau bahasa lainnya bimbang dia tidak faham. Tengok saja pada raut wajahnya, mudah saja untuk orang meneka yang dia bukannya orang tempatan.
“Haha tuan ni, pandai buat lawak pula dia.” Rabiah ketawa besar mendengar gurauan majikannya itu.

Rio tersenyum sumbing. Cuba membaca makna di sebalik perubahan papanya itu. Papa ni mesti ada apa-apa ni. Hesy tak boleh tidak, aku kena cari apa sebab papa sudah berubah sangat ni. Tak akan sebab teguran pasal kedutan di wajahnya hari tu sampai papa sanggup buat perubahan sedrastik ini?
“Hah Rio, awal kamu hari ni? Biasa tu, selagi matahari tak tegak di atas kepala selagi itulah batang hidung kamu tu susah nak nampak dekat ofis ni,” sindirnya sinis.
“Alah papa ni, Rio datang lewat papa bising, ni Rio datang awal pun papa bising juga. Ha, karang kalau Rio tak datang langsung baru papa tau,” ujarnya bersulam nada tak puas hati.
“Hah, cubalah kamu tak datang kalau kamu rasa nak nama kamu tu tiada dalam senarai wasiat harta-harta papa ni nanti.”
Uik papa, apa ni sampai libat wasiat harta sekali. Bukannya Rio buat kesalahan besar pun tau.”
“Ha, tau pun gentar hati tu ya?”
“Alah, Rio yakin papa tak akan sanggup buat Rio macam ni. Lagipun Rio ni satu-satunya waris papa tau. Kalau harta tu tak jatuh pada Rio, pada siapa lagi, kan?”
Dia yakin yang papanya itu hanya mengugut. Masakan harta yang menimbun begitu ingin dibiarkan tanpa diwasiatkan kepadanya. Tak masuk akallah tu kalau papa sanggup buat macam tu.
“Heh, yakinnya kamu ni, Rio? Kamu pandang rendah pada papa ya? Yakin ke kamu tu satu-satunya anak papa?”
“Eh, apa maksud papa? Masakan papa ada anak selain daripada Rio? Papa ada bini lain ke selain dari arwah mama?” soalnya hairan. Selama ini papanya itu tak pernah cerita pun kepada dirinya yang dia ada adik-beradik yang lain.
“Buat masa sekarang memang kamulah satu-satunya anak papa, tapi masa akan datang siapa tau, kan? Papa ni masih mampu lagi tau kalau nak menambah anak.”
“Hah? Rio tak fahamlah papa cakap apa ni?”
“Alahai bos, maksud tuan tu, bos mungkin akan dapat mak baru dan dapat adik daripada mak baru tuan tu.” Rabiah yang sekian lama menjadi pendengar setia pada perbualan dua beranak itu akhirnya menyampuk. Tak tahan melihat kebengapan tuan keciknya itu.
“Hah? Bi… biar betul, papa?”
“Ya, mungkin betul, Rio. Jadi baik kamu jaga kelakuan kamu tu ya. Jangan asyik nak buat papa marah dan pening kepala saja.” Sempat dia memberi amaran kepada anak bujangnya itu supaya mengubah kelakuannya itu.
“Baik papa…” balasnya lemah.
Aduh, kalau betul apa yang papa kata, habislah aku. Tak dapatlah aku berfoya-foya lagi lepas ni. Tak boleh tidak, aku kena siasat siapa perempuan tu. Aku kena halang perkahwinan papa dengan apa cara sekalipun, tekad hatinya.
Patutlah penampilan papa mula berubah semenjak dua tiga menjak ni. Rupa-rupanya dia sedang dilamun cinta. Dia menggeleng-gelengkan kepala. Rasa tak percaya dengan perubahan papanya itu. Papa, papa... Makin berumur ni makin ligat pula perangai dia.
“Sudah, yang kamu termenung tu kenapa Rio?” tegur Rolland Fiqry apabila melihat anaknya itu mula termenung melayan perasaan. Masakan anak itu terasa dengan kata-katanya? Ah biarkan, hanya dengan cara ini saja akan membantu menyedarkan anaknya itu yang sedang ‘lena’ dalam dunianya.
Err, tak ada apa-apa, papa.”
“Ha, kalau tak ada apa-apa, pergi siapkan kerja kamu. Abby siapkan I Milo panas ya?” Sempat Rolland Fiqry memberi arahan kepada Rabiah sebelum berlalu ke bilik pejabatnya.

No comments:

Post a Comment