Tuesday 23 September 2014

ALASAN UNTUK SETIA BY ADZRA SUE

BAB 5
https://www.facebook.com/eizan.ezan.3?fref=nf

PAK MAT pemandu ibu membawa kami ke jalan tanah merah yang aku tunjukkan. Aku tunjukkan bangunan kuarters yang usang kepada pak Mat dan menyuruh dia berhenti di situ.
“Kat sini ke rumahnya Lilis?”
“Haah ibu. Kat sinilah tempatnya” Aku dulu buka pintu kereta dan mendahului ibu ke pintu nombor tiga deretan bangunan usang itu.
“Assalamualaikum.. Nasrul!!...” Aku ketuk juga pintu uzur itu walaupun amat pasti yang daun pintu itu sememangnya tidak berkunci. Aku dengar suara Nasrul menjawab salam dan tak lama selepas tiu daun pintu terselak.
“Kak Liss??” Berkerut dahinya melihat aku sedang berdiri di hadapan pintu dengan seplastik bekas makanan di tanganku.
“Haah... kak Liss datang lagi, boleh kak Liss masuk?”
“Er... maaf... Nasrul lupa nak pelawa. Masuklah kak Liss” Suara Nasrul kedengaran menggeletar bila menyedari di belakangku ada seorang perempuan lain yang menemaniku. Ianya tak lain tak bukan wanita yang telah diragut beg tangannya siang tadi.
“Kak Liss bawak ibu kak Liss. Jangan takut... dia bukan datang nak marah Nasrul. Ibu.. inilah Nasrul. Yang kecik ni... Wawa dan Nasuha. Salam nenek, sayang?” Aku minta kedua-dua anak kecil itu menyalami ibu dan segera mereka mematuhinya. Tangan ibu dicium penuh tertib.
“Wawa dan Nasuha dah makan?” Kedua-duanya mengeleng.
“Ni.... Kak Liss ada bawak nasi dan lauk.. Wawa nak makan sekarang? Pergi ambil pinggan..” Bagai lipas kudung kedua-duanya menghilang ke belakang.
“Mak cik.... Ma...afkan Nasrul... Nasrul yang curi beg makcik pagi tadi” Perlahan sahaja dia meminta maaf dari ibu. Pastinya dia tidak mahu suaranya kedengaran hingga ke dalam bilik di mana emaknya berada”
“Tak apa..... makcik dah dengar semua cerita tentang Nasrul dari kak Liss. Mak Nasrul macam mana? Dah kebah ke demamnya?” Aku yang sedang melayani Wawa dan Nasuha tersenyum mendengar ibu juga membahasakan aku kak Liss, tak sama dengan kebiasaanya memanggilku.
Nasrul diam dan kemudiannya mengeleng perlahan. Bermaksud, emaknya masih lagi demam. Aku segera hulurkan pinggan kepada Nasrul menyuruh dia makan. Kemudiannya, aku bangun dan menyelak langsir pintu bilik emaknya.
“Makcik.....!” Aku sentuh bahu emak Nasrul. Bahang dari tubuhnya terus mengalir ke tanganku.
“Makcik....” Aku panggilnya sekali lagi dengan rasa cemas. Dia bergerak sedikit. Alhamdulillah! Emak Nasrul ynag belum lagi aku ketahui namanya, masih lagi dapat berinteraksi denganku walaupun di dalam keadaan lemah. Aku sentuh dahinya dan cepat-cepat alihkan badannya. MasyaAllah, panasnya! Terus aku bergegas keluar.
“Ibu.... Liss rasa, kita kena bawak emak Nasrul pergi hospital sekarang!. Panas betul badannya! Nasrul.. cepat habiskan makan. Tolong kak Liss cari kad pengenalan emak Nasrul” Nasrul cepat-cepat menghabiskan suapan terakhirnya dan tergesa-gesa mengutip pinggan adik-adiknya dibawa ke dapur. Dia keluar semula mendapatkan aku di muka pintu bilik emaknya.
“Tapi kak Liss, Nasrul tak ada duit. Kalau kena bayar mahal, Nasrul nak bayar dengan apa?” Nasrul renung wajahku meminta simpati. Aduhai, kesian sungguh Nasrul. Dalam keadaan begini, dia masih memikirkan perbelanjaan di hospital nanti.
“Jangan banyak fikir. Yang tu, biar kak Liss uruskan. Kejap lagi, siapkan Wawa dan Nasuha sekali. Biar kak Liss panggil pak Mat”
“Ibu.... Liss nak panggil pak Mat. Ibu tunggu kat sini kejap ya?” Ibu mengangguk dan aku meluru keluar dari teratak sempit ini. Berlari anak aku mendapatkan Volvo ibu dan mengetuk cermin kereta.
“Pak Mat.. tolong Lilis! Lilis nak bawak emak Nasrul pergi hospital” Dengan satu nafas, aku berkata-kata pada pak Mat yang baru membuka pintu kereta.
“Kat mana?”
“Ikut Lilis, pak Mat... sini!” Pak Mat menekan remote kereta menguncinya dan bergegas mengikutiku dari belakang.
Aku terus masuk ke bilik emak Nasrul selepas menggamitnya untuk membantuku memapah tubuh kurus emaknya yang begitu lemah. Bau hapak pakaianya yang menerpa hidungku tidak aku pedulikan. Apa yang lebih penting sekarang, emak Nasrul harus dibawa ke hospital dengan kadar segera.
“Pak mat... tolong!” Aku berteriak memanggil pak Mat yang masih berada di luar rumah. Melihat aku dan Nasrul terkial-kial menampung tubuh emak Nasrul segera dia melangkah masuk. Tanpa berlengah, tubuh kurus itu dicempungnya dan ibu meminpin Wawa dan Nasrul.
“Pak Mat, kita terus ke hospital.” Angguk pak Mat setelah enjin kereta dihidupkan. Aku duduk di hadapan meriba Nasuha dan Wawa duduk dipangkuan ibu. Emak Nasrul diapit ibu dan anak lelakinya. Volvo ibu memecut laju ke arah bandaraya Kuala Lumpur.
@@@@@@@
“Ibu……” Ibu yang sudah tersandar keletihan menoleh kepadaku dan dia tersenyum hambar. Wawa dan Nasuha juga sudah tersengguk-sengguk di kerusi. Hanya Nasrul yang masih kelihatan segar duduk di sisi emaknya yang terlantar di katil wad nombor 901 ini.
“Ibu nampak penat. Mari ibu… kita balik dulu. Makcik Salbiah dah tidur tu. Nasrul…., Kak Liss bawak Nasrul dan adik-adik Nasrul balik rumah Kak Liss, mahu?” Aku pandang ibu sekali lagi seolah meminta persetujuan ibu dan ibu mengangguk. Alhamdulillah!
“Nasrul nak tunggu mak…”
“Nasrul…. Jangan risaukan mak. Insya-Allah, misi dan doktor boleh pantau. Kalau ada apa-apa kecemasan, doktor akan telefon kak Liss. Jom kita balik dulu. Sebelum tu, kita singgah rumah Nasrul ambil sikit baju-baju Nasrul dan adik-adik” Aku terharu dengan pujukan ibu. Terima kasih Tuhan kerana mengurniakan aku seorang ibu yang begitu bertimbang-rasa.
Nasrul cium belakang tapak tangan dan pipi emaknya yang lena dengan bantuan serkup oksigen di hidungnya. Sebak hatiku melihat adik-adiknya Wawa dan Nasuha juga mengikut apa yang abangnya lakukan. Demi Allah!, aku tidak pernah sesebak ini semenjak peristiwa perceraian abah dan ibu. Serasa bagaikan aku sedang menonton telemovie di kaca TV sekarang ini.
Di dalam kereta, aku nampak Nasrul mengesat air matanya setiap kali aku mengerling ke arahnya. Bukan senang mahu melihat anak lelaki seusianya menangis tetapi aku sedar, Nasrul bimbangkan emaknya.
“Nasrul…. jangan menangis. Insya-Allah mak Nasrul akan sembuh..” Aku cuba memujuknya. Emak yang duduk di bahagian depan menoleh ke arah kami.
“Memang Nasrul risau pasal mak. Tapi yang lebih Nasrul sedih, kak Liss sangup tolong kami walau Nasrul dah buat salah. Nasrul berdosa pada kak Liss, pada makcik…” Nasrul teresak-esak.
“Nasrul…. Sudahlah tu. Kak Liss tahu dan faham apa sebabnya Nasul mencuri. Ada hikmahnya kita kenal cara begitu. Kalau bukan kerana Nasrul ragut beg ibu kak Liss, tentu nasib mak Nasrul lebih buruk, kan? Tuhan temukan kita supaya kak Liss dapat tolong mak Nasrul dan adik-adik” Aku tepuk badan Wawa yang berkalih tidurnya dipangkuanku.

No comments:

Post a Comment