Thursday 7 January 2016

HEY! MR SPOTLIGHT KARYA IZMA QAHIERA

BAB 2


Munirah mengekori aku masuk ke dalam pejabat sebaik. Di tangannya sudah tersedia buku nota dan beberapa keping surat yang belum dibuka.
“Pukul sepuluh nanti Encik Azraf ada meeting dengan pegawai bomba dari cawangan Larkin.” Munirah membacakan jadual kerja yang perlu aku buat hari ini.
“Itu saja?”
“Ada satu lagi. Ni, ada orang datang nak minta kerja. Orang tu pergi sarapan kejap. Nanti dia datang balik.” Munirah, setiausaha aku yang agak pendiam orangnya menghulur sampul surat berwarna putih bersaiz A4.
“Uik, kita ada buat iklan jawatan kosong ke?”
“Rasa-rasanya tak ada. Tapi dia kata nak sangat kerja kat sini.”
Amboi, beria-ia benar orang tu. Tapi mana ada jawatan kosong buat masa ini. Kalau nak digajikan sebagai pekerja sementara pun masih belum ada yang nak cuti bersalin. Rasa-rasanya hujung tahun nanti akauntan aku yang bernama Alia tu akan cuti bersalin. Kalau dia sanggup tunggu, bolehlah gantikan Alia masa tu nanti.
            “Hmm, kalau tak ada apa-apa lagi awak boleh keluar.”
            Munirah mengangguk dan akur dengan arahan yang aku berikan. Tapi tak lama kemudian interkom pula berbunyi. Entah apa lagi yang Munirah ni mahu?
            “Encik Azraf, orang yang nak minta kerja tadi dah sampai,” ujar Munirah.
“Awak suruh dia balik ajelah. Kalau ada kekosongan nanti kita akan panggil dia.”
 Laju mulut aku memberi kata putus. Sudah tidak kedengaran lagi suara Munirah selepas itu. Senang bekerja dengan orang yang tak banyak mulut ni. Okey, mari kita mulakan kerja. Apa nak buat dulu ni?
            Aku pandang tray tiga tingkat di sudut meja. Ada beberapa dokumen di bahagian KIV, termasuklah sampul surat yang Munirah beri tadi. Sampul surat itu seolah-olah ‘menyeru’ aku untuk membacanya. Okey, kita buka sampul surat itu dulu. Dokumen-dokumen yang lain aku akan baca selepas meeting selesai nanti.
           
“Eh! Macam kenal...”
            Gambar yang tersemat di sudut resume itu aku ambil. Butir diri yang tertulis di dada kertas itu aku baca berkali-kali. Tak semena-mena dada berdebar kencang. Aku pegang dada sendiri seakan cuba memperlahankan rentaknya. Tak tahu bagaimana nak aku gambarkan apa yang aku rasa ketika ini.
            “Aku kenal dia!”
Kelam-kabut aku keluar dari bilik. Dia dah pergi ke? Alahai! Menyesal pula suruh dia balik tadi. Tak puas hati, aku menjenguk ke luar pejabat. mana tahu kalau-kalau dia masih berada di sekitar kawan ini.
            “Encik Azraf cari siapa?” tanya Munirah. Hairan agaknya melihat aku terduduk di sofa tetamu.
            Aku mengeluh keras sambil meraup muka berkali-kali. “Orang yang minta kerja tadi dah balik ya?”
            “Belum, dia pergi toilet sekejap.”
            Aku terus bangun dan membetulkan tali leher. Macam dah dapat kembali semangat yang hilang tadi. Okey Azraf, back to the character. Aku kembali kepada watak bos.
            “Kenapa dia tak pergi lagi? Saya dah suruh dia balik, kan?” Sengaja gatal mulut bertanya. Padahal dalam hati punyalah suka. Suka sebab orang yang nak minta kerja tu belum keluar lagi dari pejabat ini.
            “Err...saya memang dah suruh dia balik. Tapi dia nak tunggu sampai Encik Azraf keluar dari bilik. Dia nak pujuk Encik Azraf supaya terima dia bekerja di sini.” Munirah bercakap dengan suara perlahan. Sesekali dia mengerling ke pintu tandas yang terletak bersebelahan dengan pantri.
            “Okey, kalau macam tu awak suruh dia jumpa saya. Saya tunggu kat dalam.”
            Lebar langkah aku masuk semula ke dalam pejabat. Cepat-cepat aku duduk di kerusi. Tetapi badan aku hadapkan ke dinding. Sengaja nak bagi kejutan pada dia. Pasti dia pun terkejut bila melihat aku nanti.
           
“Assalamualaikummm...”
            Aku tekup mulut menahan gelak. Dah macam nak masuk rumah orang pula gaya dia. Salam kedengaran lagi. Kali ini lebih kuat disertai dengan ketukan di pintu.
            “Waalaikumsalam. Masuklah, pintu tak kunci...” Aku mengekek perlahan. Dah macam makcik-makcik kepoh pula rasanya. Aku kembali mendiamkan diri apabila mendengar bunyi pintu ditutup. Pasti dia sudah berada di depan meja aku sekarang.
            “Selamat pagi Encik Azraf. Boleh tak saya kerja kat sini?”
            Adoi! Polosnya budak ni. Aku belum tanya apa-apa, tapi dia dah menyoal aku dulu. Pada mulanya aku nak tunjuk lagak sombong. Tapi tak sampai hati pula nak main-mainkan dia. Sudahnya aku berpaling ke depan. Tak sabar nak berikan dia kejutan.
            “Jeng jeng jeng!!!”
            Aku mendepang tangan. Terlopong mulut gadis itu melihat aku. Alamak! Kejutan tak menjadi pula. Malunya!
            “Err...Encik okey ke tak ni?” Dia mengundur satu tapak ke belakang.
            “Oo..Okey...saya okey. Awak Raisya Azzahra kan?”
            “Ya, panggil Raisya aje.” Dia menghulur tangan. Hmm, dia memang masih seperti dulu. Main langgar saja segala peraturan dalam bersosial.
            “Tak payahlah bersalam. Awak baru keluar dari tandas tadi,kan?” Sengaja aku bagi alasan itu. Tak naklah jatuhkan air muka dia. Buatnya dia meraung kat sini nanti satu kerja pula aku nak memujuk.
            “Encik Azraf. Boleh tak saya nak kerja kat sini. Tak kisahlah kerja apa pun. Jadi tukang angkat beg Encik Azraf pun boleh. Saya...”
            “Eh kejap! Raisya, awak tak kenal saya ke?”
            Dengan mulut yang separuh ternganga sebab tak sempat nak habiskan ayat dia yang tergantung tadi, Raisya menggeleng perlahan.
            “Ini sayalah, Azraf. Takkan tak kenal?”
            “Oo..okey...kenal.”
            “Yes!” Akhirnya dia mengaku juga.
            “Encik Azraf ni bos Syarikat Pemadam Api Ghazali Enterprise ni kan?”
            Aku tepuk dahi. Bukan itu jawapan yang aku nak dengar. Dia ni memang betul-betul tak kenal aku atau sedang berlakon? Apa cara nak bagi dia ingat ni? Oh, ada!
            Aku longgarkan ikatan tali leher dan membuka dua butang baju yang paling atas. Aku selak baju sehingga menampakkan dada yang berbulu halus. Aku yakin, kalau dia melihat parut di dada sebelah kiri ini pasti dia akan ingat siapa aku.
           
“Encik, ampun! Saya minta ampun! Saya memang nak sangat kerja kat sini. Tapi bukan dengan cara begini. Tak apalah Encik. Saya balik dulu. Raisya menekup muka dan berundur setapak demi setapak ke belakang. Alahai! Aku bukannya nak jadikan dia ‘anak ayam’. Nampaknya dia memang betul-betul tak ingat aku siapa.
            “Nanti! Okey saya minta maaf. Saya salah orang. Ingatkan awak ni kawan lama saya.” Cepat-cepat aku butang semula baju yang terdedah.
            Raisya tak jadi keluar. Tapi dia masih berdiri di tepi pintu. Wajahnya masih cuak. Aku duduk semula dan membaca kembali resume Raisya. Sambil membaca aku kerling-kerling juga dia yang masih menjarakkan diri. Aku senyum sikit. Dia balas dengan anggukan. Aku gamit dia datang dekat. Tak semena-mena dia buka pintu bilik.
            “Nak ke mana tu?” Aku tanya dia.
            “Saja aje buka pintu. Senang nak lari kalau jadi apa-apa.”
            Dia tunjuk sengih kambing. Aduh! Lesung pipitnya masih jelas kelihatan seperti dulu. Raisya, ini Azraflah. Pelik betul. Takkanlah dia tak ingat langsung?
            “Bila saya boleh mula kerja?” Raisya mengingatkan aku tujuan dia ke mari.
            “Hmm...betul ke awak tak kisah buat kerja apa pun? Kelulusan awak ni boleh tahan juga. Takkan saya nak bagi awak kerja yang tak setaraf dengan kelulusan?” Karakter bos sudah masuk semula ke dalam diri.
            Raisya menghampiri meja. “ Boleh duduk?” tanya Raisya.
            Kurang asam sungguh budak ni. Dah duduk baru bertanya. Aku cuma menjongket kening sambil menahan hati untuk menatap wajah Raisya dengan lebih lama. Takut dia menggelabah lagi seperti tadi.
            “Saya nak cari pengalaman dulu. Tak kisahlah kalau kena mula dari bawah sekali pun. Kalau ikutkan memang boleh cari kerja kat tempat yang lebih elok. Tapi cuma syarikat Encik Azraf aje yang paling dekat dengan rumah. Sebab itu saya nak sangat kerja kat sini. Senang sikit nak balik rumah waktu makan tengahari nanti.”
            Nyaris-nyaris lagi aku tersedak air liur sendiri mendengar penerangan Raisya. Itu saja alasan dia? Tak ada ke alasan yang lebih sesuai? Macamlah tak ada kedai makan. Dia ni memang suka berjimat atau pun kedekut? Berapalah sangat harga makanan untuk dia seorang?
            “Hmm, kalau macam tu esok awak datang lagi. Hari ni saya belum sediakan apa-apa kerja lagi untuk awak.”
            Raisya bangun. Lebar betul senyumnya. “Saya dah boleh kerja kat sini?”
            Aku mengangguk sekali. “Welcome to Syarikat Pemadam Api Ghazali Enterprise.”
            Raisya bersorak riang. Dengan selambanya dia menarik tangan kanan aku dan digoncang kuat. Mak ai! Kenapa agresif sangat dia ni?
            “Terima kasih Encik Azraf. Terima kasih banyak-banyak. besok saya datang lagi. Bye!”
            Raisya menonong keluar. Eh, aku belum habis cakap lagi.

“Raisya!”
            Dia menoleh. Sambil menjongket bahu, tangan kanan memintal hujung rambutnya yang bertocang. Aku hampiri Raisya dan mengelilinginya sebentar. Keadaannya aku telek dari atas sampai ke bawah.
            “Besok pakai baju yang lebih sesuai. Skirt lusuh ni kalau digantikan dengan pakaian kasual lebih cantik rasanya.”
            Aku menegurnya dengan cara yang paling berhemah. Dia cuma tersengih menampakkan barisan gigi yang tersusun rapi. Aduh! Sekali lagi lesung pipit terserlah. Sah! Dia memang Raisya yang aku kenal dulu. Tak apa. Kau tak ingat aku ya. Nanti aku akan buat kau ingat kembali.
           
“Okey bos! Saya balik dululah. Esok kita jumpa lagi. Bye!”
             Aku perhatikan dia berjalan ke arah pintu. Memang masih macam dulu. Terkengkang-kengkang macam orang baru lepas bersunat. Tiba-tiba datang idea nakal nak menyakat dia.
            “Raisya!”
            Dia menoleh.
            “Zip seluar terbuka.”
            Kelam-kabut dia memandang ke bawah. Aku dah berdekah-dekah ketawa. Mana nak jumpa zip seluarnya kalau dia pakai skirt?
            “Acah aje! Dah, pergi balik. Besok jumpa lagi.”






No comments:

Post a Comment