Wednesday 13 January 2016

MAHALNYA CINTA KARYA THEYA NUR

BAB 1


URGENT! Kau datang sini sekarang jugak!” Jeritan Tania menyapa gegendang telinga Tif yang baru sahaja keluar dari bilik air. Apa kena pula dengan kawan aku ni?
           “Datang sana? Ada apa ni? Kau ni, tak bagi salam apa, tiba-tiba suruh datang. Datang mana?” Serius tak mengerti. Jawab telefon terus kena serbu. Mana nak faham. Pangkalnya tidak tahu, dah nak ke hujung. Haisy!
           “Aku dekat area rumah Ina. Jangan banyak cakap, aku cakap datang, datang jelah,” marah Tania. Hendak diberitahu perkara sebenar, nanti pasti akan ditanya dengan pelbagai soalan. Jadi lebih baik tuan punya diri yang melihat apa yang terjadi sebenarnya.
           “Kau dekat rumah Ina? Buat apa? Oh ya, kau memang sepatutnya jemput dia pagi ni dan korang nak pergi spa, kan? Jadi kenapa?” tanya Tif.
           Sepatutnya dia yang menemani Tania ke spa hari ini namun disebabkan pagi ini dia ada temujanji bersama encik tunang, terpaksalah dia membatalkan janjinya dengan Tania. Mujur Tania tidak marah kerana Ina sudi menemaninya.
           Dan pagi ini, dia sedang sibuk bersiap untuk keluar bersama tunangnya, Firdaus. Tania telefon dengan berita yang kurang sedap. Mungkin.
           “Sekarang ni, kau tak perlu cakap apa-apa. Ambil kunci kereta kau, drive kereta kau sampai dekat rumah si Ina ni. Bila kau sampai nanti, kau akan sedar betapa pentingnya apa yang aku nak sampaikan ni.”
           Tutt.. tutt.. tutt..
           Tif sudah membuka mulut untuk membalas kata-kata Tania namun talian sudah dimatikan. Isy, janganlah buat aku saspen!
           Jam pada dinding dipandang sekilas. 9 pagi. Okey, masih sempat sebelum Firdaus datang jemput. Kata tunangnya, dia akan datang jam 10 pagi. Bermakna masih ada satu jam. Kunci kereta di atas meja solek dicapai sebelum melangkah keluar dari bilik.
           “Ha, Tif! Nak ke mana tu? Kata nak keluar dengan Firdaus. Umi tak nampak pun kereta dia,” sapa Hajah Fauziah. Pelik pula melihat anak gadisnya itu terkocoh-kocoh keluar rumah.
           Terkejut Tif mendengar sapaan mengejut daripada uminya. Dia memandang uminya yang sedang menyiram pokok bunga yang ada di halaman rumah. Rajin sungguh uminya ini. Pagi-pagi sudah menyiram pokok bunga. Kalau dia yang jaga pokok tu, tak sampai seminggu, pokok tu dah mati kekeringan. Dia ini bukanlah orang yang minat dengan bunga-bunga ni. Too feminine!
           “Nak pergi rumah Ina. Ada hal sikit dengan Tania,” jawab Tif sebelum berlalu pergi meninggalkan Hajah Fauziah yang masih bingung.
           ‘Pergi rumah Ina tapi ada hal dengan Tania. Pelik benar bunyinya! Tania sudah berpindah ke rumah Ina, kah?’ Hati tuanya mula mempersoalkan jawapan anaknya tadi. Tidak lama kemudian, kereta Savvy hitam milik anak gadisnya itu hilang daripada pandangannya.
           Tif memandu dengan otak yang sarat dengan tanda tanya. Pedal minyak ditekan kuat. Tidak sabar pula mahu mengetahui apa yang penting benar, seperti kata Tania. Sepuluh minit kemudian, dia memasuki taman perumahan Ina.
           Matanya meliar mencari Myvi merah milik Tania. Kereta itu kelihatan jauh sedikit daripada rumah Ina. Dia memberhentikan keretanya di belakang kereta Tania.
           Tif keluar daripada kereta sebelum melangkah ke arah kereta Tania. Nampaknya Tania masih bertapa di dalam keretanya. Tanpa memberi apa-apa isyarat, Tif terus masuk ke dalam kereta itu.
           “Ha! Apa yang kononnya penting sangat tu? Alien dari planet Pluto baru terjun ke planet Marikh ke?” soal Tif, agak sarkastik. Dia memandang temannya yang masih memakukan pandangannya pada satu arah. Tidak lansung memberi apa-apa reaksi untuk soalannya yang sengal itu.
           Tif menampar perlahan bahu Tania. Tadi beria menyuruh dia datang. Bila dah sampai, tak cakap apa-apa pulak. Waduh, mimpi apa kawan aku ni malam tadi? Pagi-pagi dah sawan.
           “Cuba kau pandang sana. Aku sure kau takkan mampu bercakap lagi lepas ni. I’m too sorry to say this. That’s your fiance with our beloved friend. Mereka baru lepas akad nikah,” beritahu Tania dengan suara yang perlahan. Namun segalanya begitu jelas pada telinga Tif.
          Dua perkataan terakhir Tania bagaikan dirakam oleh suatu pita perakam dan kini sedang dimainkan berulang kali di dalam otaknya. Akad nikah?
          Tif cuba memfokuskan pandangannya. Ya, benar sekali. Itu Firdaus dan Ina. Mereka berpakaian sedondon berwarna krim. Firdaus memakai baju melayu bersamping dan Ina kelihatan manis dengan baju kurung moden yang membaluti tubuhnya. Ya Allah, dugaan apakah ini?
           “Tapi aku tunang Firdaus,” ujar Tif dengan mata yang sudah berlinangan dengan air mata. Firdaus Naiem! Itu lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya ketika di universiti lima tahun dulu. Pastinya dia sangat menyayangi lelaki itu. Mereka berdua telah merancang untuk berkahwin 5 bulan lagi. Tetapi kenapa Ina yang berada di sisi Firdaus sekarang?
           “Bekas tunang! Dia dah jadi suami orang, Tif. Kau sedar tak? Nak buat apa fikir pasal lelaki tak guna macam dia tu? Sia-sia!” kata Tania dengan nada yang tegas. Sesungguhnya dia mahu melenyek Firdaus dan Ina menggunakan kereta kebal saat ini. Dan Ina, tegarnya dia merampas Firdaus daripada Tif.
           Tif sudah menangis teresak-esak. Mukanya ditekup dengan kedua-dua belah tangannya. Hancur hatinya melihat semua ini. Firdaus! Sanggup awak buat saya macam ni! Apa salah saya?
           Tania menarik Tif ke dalam pelukannya. Sebak hatinya melihat keadaan Tif kala ini. Dia mengusap perlahan belakang badan temannya yang masih menangis. Dia tahu bagaimana perasaan Tif terhadap Firdaus. Tif sangat sayang akan Firdaus dan siapa sangka Firdaus sanggup curang. Tak guna kau, Firdaus!
           “Sabar, Tif. Lupakan dia, Tif. Mula hidup baru. Lelaki macam dia tak patut dapat cinta kau,” Tania cuba memujuk.
           Saat ini, Tif buntu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia bagaikan hilang arah saat ini. Mujur ada Tania yang sudi menemaninya. Sakit. Itu yang dirasa oleh hatinya sekarang. Tahniah kepada Ina dan Firdaus yang berjaya menghancurkan hatinya pagi ini.
           Matanya merenung Firdaus dan Ina yang berpegangan tangan masuk ke dalam rumah. Memang aku akan lupakan kau berdua. Kau berdua takkan ada lagi dalam kamus hidup aku. Tapi, sebelum tu, aku takkan biarkan penutup kisah kita bertiga berakhir macam ni. Puaskan hati sebelum melupakan!
           Keberanian tiba-tiba timbul dalam dirinya. Dia keluar daripada kereta. Kakinya laju melangkah ke arah rumah Ina. Serang? Mungkin itu perkataan yang sesuai untuk apa yang dilakukan kini.
           Panggilan Tania tidak dipedulikan. Apa yang terbuku di dalam hati harus diluahkan sebelum dilepaskan untuk selama-lamanya. Kau fikir aku ni apa yang boleh dibuat main? Rasa marah semakin membara.
           “Firdaus! Ina!” jerit Tif. Dia tidak peduli jika tetamu yang ada memandangnya sebagai seorang gila, meroyan, sawan, sasau atau apa sahaja yang seangkatan dengannya. Katalah apa sahaja, kau semua bukan kenal aku. Yang pastinya, aku takkan jejak lagi kaki di rumah ini.
           Firdaus dan Ina segera keluar dari rumah sebaik sahaja terdengar nama mereka dijerit oleh suara yang mereka berdua sangat kenali. Zatifa Adelia?
           “Tif!” Mereka berdua terkejut dengan kehadiran seseorang yang sepatutnya tidak tahu akan pernikahan mereka yang mengejut ini.
           Tanpa disangka-sangka, Tif maju beberapa langkah sebelum menghadiahkan penampar buat si pengantin perempuan yang kelihatan terkejut dengan kehadirannya di sini.
           Beberapa saat berlalu dengan kedengaran suara-suara yang berbisik. Mungkin sudah mula membuat pelbagai jenis andaian.
           Pengantin perempuan ditampar kerana merampas suami orang. Pengantin perempuan ditampar kerana itu dan ini. Dan mungkin banyak lagi. Biasalah, manusia. Suka benar membuat sebarang andaian walaupun secara dasarnya tak tahu apa pokok pangkal cerita.
           “Aku betul-betul tak sangka kau sanggup buat aku macam ni. Kawan jenis apa kau ni, ha? Suka dilabel perampas? Dia tunang aku!” marah Tif dengan suara yang serak. Air matanya berjuraian di pipi.
           “Tif, kau baliklah. Dia dah jadi suami aku dan dia bukan lagi tunang kau. Harap kau boleh terima kenyataan yang Firdaus milik aku. Bukan milik kau,” ujar Ina dengan rasa tidak bersalah. Bagi dia, bukan salah dirinya jika Firdaus yang memilih untuk bernikah dengannya pagi ini.
           Tania yang berada di belakang Tif merenung tajam Ina yang lansung tidak punya rasa bersalah. Apa tidak cukup tamparan Tif tadi? Mahu ditambah dengan karate aku agaknya, getus hati Tania.
           “Tif, ini keputusan saya. Ina pilihan saya, bukannya Tif. Harap Tif faham,” kata Firdaus yang sedari tadi hanya membatu seperti lelaki pengecut.
           “Apa salah saya? Cakaplah! Sia-sia saya sayangkan awak, cintakan awak tapi ini yang awak balas?” Mendengar kata-kata Firdaus tadi membuatkan hati Tif semakin hancur.
           Sia-sia dia bercinta dengan Firdaus selama lima tahun. Ini pengakhiran kisah mereka. Berakhir dengan kecurangan Firdaus terhadapnya.
           “Kau berdua ni memang tak guna. Eloklah, kawan makan kawan. Yang kau ni Firdaus, mata kau tu dah buta agaknya. Dah ada tunang, kau cari lain. Kawan baik tunang kau pula tu. Macam tak ada orang lain. Kot ye pun dah muak dengan si Tif ni, carilah orang lain. Dah jom kita balik Tif.”
           Tania melepaskan amarahnya. Dia menarik tangan Tif yang sudah diam. Dia faham apa yang dirasakan oleh temannya itu.
           “Selamat berbahagialah walaupun orang yang nak berbahagia atas penderitaan orang lain ni, susah nak nampak cahaya bahagia tu. By the way, lepas ni kau berdua tak payahlah susah-susah nak jumpa kami berdua sebab kau berdua dah tak wujud dalam hidup kami berdua!”
           Tania memapah Tif yang sudah tidak larat hendak berjalan. Pagi yang teruk bagi kawannya ini. Dikhianati oleh teman rapat dan tunang yang tercinta, sungguh perit.
           Siapa sangka Ina yang selama ini menyokong segala pilihan Tif kini merampas Firdaus. Masih wujud rupanya manusia sebegini di dalam dunia ini. Hati Tania bertambah sakit mengenangkan cara Ina tadi. Bukan mahu meminta maaf tetapi semakin lancang mulutnya berkata-kata. Firdaus pula? Hanya diam. Dasar dayus dan pengecut!
           “Takkan kau nak drive balik sendiri? Aku hantar kau! Jangan nak mengada.” Jawabnya apabila Tif  memberitahu dia mahu pulang sendiri. Dengan keadaan Tif sebegitu, mampukah dia menumpukan perhatian? Tidak! Dia tidak mampu!
           “Aku okey,” ujar Tif dengan suara yang hampir tidak kedengaran. Tenggelam dalam esakannya yang masih bersisa. Dia terus berjalan ke arah keretanya tanpa mempedulikan Tania atau apa-apa lagi. Sekali pun ada bom dari Amerika meletup di sini, dia sudah tidak peduli.
           “Tapi nanti… kau..” Kata-kata Tania terhenti begitu sahaja kerana temannya itu sudah masuk ke dalam kereta. Keluhan berat dilepaskan. Aku simpati dengan kau, Tif! Semoga kau kuat!
           Tif yang baru masuk ke dalam kereta terus menghidupkan enjin sebelum memandu keretanya menghala ke lebuh raya. Saat ini, dia tidak tahu arah mana yang hendak dituju. Mustahil untuk dia pulang ke rumah dalam keadaannya sebegini. Pasti umi akan mengajukan pelbagai jenis soalan nanti. Pastinya dia belum cukup kuat untuk menjawab apa-apa soalan buat masa sekarang.
           Dan hari itu berlalu tanpa tujuan untuk seorang gadis bernama Zatifa Adelia. Tiada kompas yang menentukan ke mana harus dia tuju. Keretanya dipandu mengikut kehendak hatinya. Jika mahu masuk simpang kiri, dia membelok ke kiri, begitu juga sebaliknya.
           Akhirnya, dia memberhentikan keretanya di tepi sebuah tasik. Apa nama tasik ini? Dia tidak tahu kerana dia sendiri tidak tahu di mana dia sekarang. Nampaknya dia perlu mengambil masa untuk mencari jalan pulang nanti.
           Tif mengambil tempat di sebuah bangku kayu yang ada di tepi tasik itu. Dia melemparkan pandangannya ke tengah-tengah tasik. Dengan harapan, hatinya akan menjadi setenang air tasik itu. Air matanya sudah berhenti mengalir. Mungkin sudah penat menangis. Segalanya hanyalah sia-sia.
           Tif menanam tekad. Firdaus harus dibuang secara kekal daripada hidupnya. Tania benar. Apa gunanya mengingati lelaki yang jelas-jelas tidak guna. Biarlah hari ini menjadi hari yang terakhir untuk dia mengingati lelaki bernama Firdaus Naiem itu. Dan Ina?
           Buat temannya itu, oh masih pantaskah Ina digelar teman selepas apa yang dia lakukan? Rasanya tidak. Tergamak kau, Ina. Hati Tif perit apabila teringatkan segala cacian dan makian yang Ina hambur padanya tadi. Dalam kes ini, bukankah sepatutnya dia yang marah dan bukannya Ina? Aneh sungguh perempuan tu!
           Telefon bimbit di dalam tas tangannya dikeluarkan. Skrin yang gelap itu ditatap. Ya, memang dia sengaja mematikan telefonnya. Tania pasti akan memberitahu umi dan umi pasti akan cuba menghubunginya. Kala ini, dia mahu bersendirian sahaja.
           Otaknya yang sudah lari daripada tahap kewarasan harus dipulihkan sebelum membuatkan orang lain turut sama hilang kewarasan apabila berhadapan dengan dirinya yang tidak waras. Wah, banyak sungguh ‘waras’nya.
           Tanpa melihat jam, Tif sudah dapat mengagak bahawa hari sudah lewat petang. Dia mengambil keputusan untuk pulang selepas dirinya tenang sedikit selepas melihat kebesaran Allah. Burung-burung juga sudah bising berkicau mahu pulang ke sarang. Masakan dia mahu duduk di situ lebih lama. Burung pun pandai balik rumah.






1 comment: