Thursday 7 January 2016

HEY! MR SPOTLIGHT KARYA IZMA QAHIERA

BAB 1



Aku perhatikan mak yang sedang berbual dengan jiran sebelah rumah. Huh! Tadi kata nak menyapu halaman rumah. Menyapunya tak seberapa pun, sembang aje lebih. Alahai, aku dah lambat ni. Nak panggil ke tak? Kalau tak panggil kebulurlah aku ke tempat kerja nanti. Tapi takkan nak main panggil aje? Kacau daun pula orang tua tu nak bergosip.
            Aku masuk semula ke ruang tamu, mencari sesuatu yang boleh dijadikan sebab untuk memanggil mak. Yes! Dah dapat. Aku seluk handphone di dalam poket seluar kemudian aku dail nombor telefon rumah. Beberapa saat kemudian telefon rumah berdering nyaring. Aku duduk di tempat yang agak tersorok sedikit di ruang tamu. Sengaja aku biarkan telefon itu menjerit kuat.
            “Azraf! Kenapa tak tolong mak angkat telefon tu?” Terkedek-kedek mak masuk ke dalam rumah. Aku cuma membalas jelingan mak dengan senyum sinis.
            “Helo rumah Lady Diana . Nak bercakap dengan siapa?”
            “Helo Puan Diana, sila hantar sarapan ke bilik 007 sekarang. Anak James Bond dah lapar ni.”
            Panjang leher mak meninjau aku di ruang tamu. Aku buat-buat main game di handphone. Dia letak telefon dan berjalan ke ruang tamu. Siaplah kau Azraf. Lady Diana dah datang bersama tangan yang dicekak ke pinggang. Elok saja dia berdiri di depan aku, telinga sebelah kiri terus menjadi sasaran. Aku dah gelak melambak. Walaupun sakit, aku tahu mak bukannya marah betul-betul. Aku ikut mak ke dapur bersama telinga yang masih dipiat.
            “Anak James Bond ya? Banyaklah kau punya James Bond. Mak nak mendapatkan berita terkini dari jiran-jiran pun kau kacau ya? Tak bolehlah nak tengok mak kau ni senang sikit.” Piatan di telinga dilepaskan sebaik saja kami duduk di meja makan.
            “Kot ya pun nak mendapatkan berita terkini, kasi setel dululah anak bujang mak yang seorang ni. Mak tak kesian ke tengok orang breakfast sorang-sorang?” Aku tunjuk muka kesian.
            Mak ketawa sambil mengusap kepala aku. Suka sangat tangannya landing di situ. Diceduknya sedikit nasi goreng ke pinggan dan meletakkan dua batang sosej rebus di sisi pinggan. Suapan pertama wajib dimulakan oleh mak. Memang dah jadi tugas rutin mak setiap pagi. Aku memang suka dimanjakan begitu. Sebab itulah aku tak boleh bersarapan sorang-sorang kalau mak tak ada. Melainkan kalau terpaksa bertugas di luar daerah dan bermalam di hotel, itu sudah cerita lain.
            “Kepala tu dah togel habis pun masih nak menempel dengan mak.” Dia mengomel sambil menyudu suapan kedua ke mulut sendiri.
            Telinga ni dah kebal dengan rungutan mak. Biarlah mak nak cakap apa pun. Dia pun suka sebenarnya belai aku macam tu. Kami berdua memang tak boleh jauh. Sebab itulah aku ambil keputusan untuk belajar di dalam negara dahulu. Itu pun di dalam negeri sendiri. Semua tawaran belajar di luar negara aku tolak mentah-mentah. Tak sanggup berjauhan dengan keluarga terutamanya mak.
“Tengahari ni orang balik makan tau.”
            Mak letak sudu di tepi pinggan. Dia bangun dan terus ke peti sejuk. Pintu peti sejuk dibuka, dia melihat barang-barang basah yang terdapat di dalam peti sejuk. Memandangkan mak dah bangun, terpaksalah aku menyuap sendiri nasi goreng yang tinggal separuh. Tak bestlah kalau makan suap sendiri. Feelnya lain betul. Sedap lagi kalau mak yang suapkan.`
            “Kau nak makan lauk apa? Abah nak makan masak lemak terung. campur dengan ikan masin talang.” Mak bercakap, tapi dia membelakangkan aku. Dia masih mengadap peti sejuk. Belum jumpa dengan bahan masakan yang sesuai agaknya.
            “Abah tu asyik nak masakan bersantan aje. Semalam dah kari kepala ikan. Hari ni masak lemak terung pula?” Aku pun dah klon perangai mak, suka membebel.
            “Dia bos besar, kan? Mak menurut perintah aje. Tapi semalam mak buat kari mamak, mana ada guna santan. Eh! Cepatlah cakap nak makan apa?”
            Pintu peti sejuk ditutup dan mak duduk semula di depan aku. Mug yang berisi air teh o yang sudah tinggal separuh dia ambil. “Nak lagi tak?” tanya mak. Belum bagi jawapan lagi sudah kosong mug itu dia kerjakan. Huh! Baik tak payah tanya!
           
“Dah fikir belum nak makan apa?” Mak mengulang soalan.
            “Emm, mak buat telur rebus masak sambal ajelah.”
            Mak menggendang meja apabila mendengar menu yang aku bagi. Okey Azraf, siap sedia. Pasti ada benda yang nak dia bebelkan sebentar nanti.
            “Tak muak ke makan lauk yang sama? Minggu ni aje selang sehari kau minta telur sambal. Patutlah kentut busuk!”
            Aku gelak saja. Tak perlu sebarang penjelasan. Biarlah cuma aku saja yang tahu kenapa menu itu sangat melekat di tekak aku. Bila makan nasi panas-panas berlaukkan telur rebus masak sambal, serta-merta aku akan terbayangkan seseorang. Pertama kali merasa air tangannya, hingga sekarang buat aku teringat. Bagaimanalah rupa dia sekarang. Sudah lapan tahun. Kali terakhir aku melihat dia ketika dia nak berangkat ke Pahang. Dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh di sana. Kalaulah terserempak sekarang, agak-agaknya dia masih ingat aku tak?




No comments:

Post a Comment