Thursday, 12 November 2015

MISI MENANTU MR BAD GUY KARYA AILAH DIELA

BAB 1



GERAKAN  di sebelahnya memaksa Anggerik membuka mata. Buka saja mata dia nampak Ahqaf yang sedang memunggah Narita dari dalam almari. Ini sejak bila pulak Umar Ahqaf rajin sangat mengemas malam buta ni.
“Sayang. Buat apa dengan Narita tu?” Soal Anggerik dengan suara seraknya. Mata digenyeh perlahan. Mengantuk. Tapi suami pulak buat tidur dia terganggu.
Sorry. Aku ganggu kau ye?” Ahqaf mendekati katil kemudian mengambil bantalnya. Kemudian disusun elok ke atas Narita yang dah elok terbentang di atas lantai. Rasanya tadi dia dah buat seperlahan mungkin. Tapi kenapa pulak Anggerik boleh juga terjaga. Telinga kalau dah besar, memang cepat je dengar.
“Tak lah. Buat apa ni?” Soal Anggerik lagi bila soalannya tidak berbalas. Pergerakan Ahqaf dia perhatikan dengan dahi berkerut. Betul ke tidak apa yang dia tengah nampak ni? Ataupun dia tengah mengigau.
“Kita tidur bawah, jom.”
Belum sempat dia nak hadam dengan apa yang diucapkan oleh Ahqaf tubuhnya sudah diangkat oleh lelaki itu. Kemudian perlahan-lahan Ahqaf membaringkan dirinya di atas lantai yang beralaskan Narita. Mujur tak main campak-campak. Reti pulak berlembut, mesti kes ingat yang dia tengah mengandung.
Rasa mengantuk yang masih bersisa tadi hilang serta merta. Mendadak dia bangun dan bersila di sebelah suaminya. Pandangan dilemparkan ke atas Narita yang didudukinya. Pink? Biar betul suami dia pilih warna ni untuk tidur. Kan banyak lagi corak lain.
“Ahhh... syoknya..” Ahqaf buat aksi kuak lentang. Suara itu bukan main bahagia lagi.
“Ini yang kenapa tiba-tiba tidur bawah. Atas Narita ni?” Soal Anggerik tidak percaya. Ahqaf tidur atas Narita yang nipis macam ni? Sungguhlah mustahil. Itu tak apa lagi, yang paling dia tak boleh terima bila lelaki itu wangi semacam.
Ahqaf pakai losyen dia ke? Buang tabiat agaknya.
Sah suami dia ni tengah mengigau!
“Aku tak sedap badan lah tidur atas katil tu. Bawah ni best. Barulah aku boleh buat gaya bebas.” Reaksi Anggerik dia buat tak nampak. Macamlah dia tak nampak mata tu pandang dia seolah dia ni beruang kutub. Dia jadi beruang kutub betul-betul nanti baru tahu.
Memang dia sendiri yang rasa menyampah tengok katil besar gedabak tu. Dia lagi suka tidur atas Narita dengan corak bunga-bunga warna pink ni. Rasa macam nyaman dan selesa sangat. Suruh baring dekat sini sepanjang hari pun dia sanggup. Terasa seperti berada di taman bunga yang dipenuhi bunga tulip.
“Bos pakai apa ni? Wangi.” Soal Anggerik tanpa mempedulikan riak muka Ahqaf yang ceria semacam. Puncak hidung dia picit sedikit. Wanginya bukan main lagi. Malam buta pulak tu. Buat bulu tengkuk dia meremang aje la.
“Losyen kau. Wangi ek? Ha kan. Aku pun suka. Dah nak habis tu. Esok aku beli baru.”
Jawapan Ahqaf membuatkan mulut Anggerik terbuka. Melopong. Ahqaf dengan losyen jenama Garnier? Losyen yang pernah lelaki itu kategorikan sebagai kapur barus. Apa yang dah jadi ni?
“Kenapa bos pelik sangat?”
“Eh? Aku pulak yang pelik. Kau tu yang pelik. Yang tengok suami sendiri macam tengok beruang kutub tu kenapa?” Ahqaf buat muka selamba. Tangan Anggerik ditarik supaya berbaring. Kemudian mata dipejamkan dengan senyuman.
“Memanglah. Dah bos ni pelik sangat. Ke bos dah tersampuk hantu kubur?” Tangan Ahqaf ditepis perlahan. Dah buat mata dia segar, sekarang boleh pulak nak paksa dia ikut baring.
“Alah! Kalau kena sampuk hantu kubur pun. Aku tetap lelaki paling handsome. So kau jangan takut.”
Geram dengan jawapan itu. Tangan Anggerik naik mencubit lengan yang terdedah itu. Ahqaf tak pernah nak bagi jawapan yang serius. Memanjang nak main-main. Tak padan dengan diri tu yang dah nak jadi ayah.
“Dengki cakaplah dengki. Jangan nak main cubit-cubit.” Cubitan Anggerik itu Ahqaf balas semula dengan mencubit peha itu. Itu mujur Anggerik cubit. Kalau isteri dia tu bagi penyepak tadi, dah tak pasal pulak mereka berdua bergusti malam ni.
“Nak tidur atas!” Anggerik tarik muncung. Menyampah betul! Tak pernah nak mengalah. Sakit betul jiwa raga dia ni.
Ahqaf jeling isteri yang dah merangkak naik atas katil. Bibir dicebikkan. Sikit-sikit nak merajuk. Eleh! Sekejap lagi mesti Anggerik akan merangkak cari dia semula. Dia gerenti!
Sepuluh minit berlalu. Dia jeling lagi Anggerik yang diam tak berkutik di atas katil nun di hujung sana. Kenapa mata dia degil sangat nak lelap ni. Aduhai..
“Anggerik.” Panggilnya.
Nampaknya dia memang tak boleh kalau tak ada Anggerik. Tambah lagi dah terbiasa saban malam tidur berkongsi haba dari tubuh wanita itu. Kalau tak bersentuh kulit dengan Anggerik, mata dia memang tak nak lelap.
“Sayang...” Serunya lagi bila tengok Anggerik diam tak menjawab. Kali ini dia bangun dan mendekati tubuh itu. Dia tahu Anggerik belum tidur.
“Maaf.. Ye, aku tersampuk hantu kubur. Tak kisah lah hantu apa pun. But please... Teman aku tidur bawah. Jom.” Katanya sambil menarik bahu itu supaya menghadapnya. Dan ternyata tekaannya benar apabila melihat mata itu masih membulat.
Sengih ditarik. Sengih bersalah sebab sombong sangat tadi. Kononnya Anggerik akan datang merangkak cari dia. Tapi akhirnya dia juga yang merayap cari Anggerik.
“Em okey.” Anggerik jawab hendak tak hendak. Saja je nak menguji hati seorang suami.
“Jom. Tidur bawah..” Ahqaf bangun dan berdiri di tepi katil.
Anggerik buat-buat menguap dan selimut ditarik. Alahai hati! Sejak bila entah dia jadi mengada sangat. Seronok pulak bila sekarang Ahqaf dah pandai mencemar duli memujuk.
“Tidur bawah lah. Biar katil kita ni rehat malam ni.” Melihat mata Anggerik yang dah terpejam. Cepat Ahqaf sauk tubuh itu perlahan-lahan. Tak kira! Anggerik kena tidur sebelah dia juga malam ni.
Sementara itu Anggerik dah sembunyi senyum di sebalik dada Ahqaf. Yes! Merasa kena dukung dua kali malam ni.
Come, baby.” Kata Ahqaf sebaik sahaja dia baringkan tubuh itu sebelum dia sendiri berbaring.
Anggerik lemparkan senyuman. Tubuhnya didekatkan ke arah Ahqaf. Tak tunggu lama terasa tangan itu sudah membelit tubuhnya. Suka dia bila Ahqaf jadi sesopan itu. Tak adalah nak terjerit terpekik macam selalu.
Thanks sebab sudi jadi wife yang baik. And thanks sebab sudi kandungkan anak aku. I love you, baby.”
Makin lebar senyuman dia apabila terdengar bisikan itu di telinganya. Ahqaf memang jarang ungkapkan kata sayang. Memang payah nak dengar perkataan ‘I love you’ keluar dari bibir tu. Tapi kalau lelaki tu cakap, itu bermakna hati seorang Umar Ahqaf sedang berbahagia.
Dan dia juga turut berbahagia dan berasa bangga kerana berjaya mengandungkan benih dari lelaki itu. Diharap agar anak yang bakal lahir nanti boleh menjadi pengikat kasih sayang antara mereka.

No comments:

Post a Comment