Friday 15 January 2016

HEY! MR SPOTLIGHT KARYA IZMA QAHIERA

BAB 3


“Astaghfirullah hal azim! Kau cari apa ni Azraf Hamidi? Habis bersepah almari album ni kau selongkar.”
            Aku berhenti sekejap. Gatal pula hidung bermain dengan habuk almari ni. Punyalah nak mencari gambar-gambar lama ketika waktu belajar dulu sampai lupa nak tukar baju. Sampai saja ke rumah, almari album itu yang aku kejar dulu.
            “Album-album masa orang belajar dulu mak simpan kat mana?”
            “Semua ada kat dalam almari tu. Kau nak buat apa ni?”
            Mak turut sama bersila di sebelah aku. Album-album yang bersepah di atas lantai dia susun semula. Tapi tangan mak tak selaju tangan aku. Setiap kali satu album diambil, pasti akan diselaknya terlebih dahulu. Kemudian dia akan senyum sendiri. Teringat kisah-kisah lama agaknya. Huh! Suka hati dialah. Baik aku sambung kerja aku.

            “Dulu masa kecik, rambut kau bukan main lebat lagi Azraf. Cuba kau tengok ni...” Mak hulur sekeping gambar yang sudah kekuning-kuningan.
            “Tak sangka pula bila dah makin besar, kau buat padang golf kat atas kepala. Siap ada spotlight pula tu. Hahahah!”
            Mak gelak sampai tepuk-tepuk lantai. Tak cukup dengan itu, kepala aku yang botak licin itu diusap-usap dengan kedua-dua tangan. Kemudian bibir mak mendarat di tengah-tengah kepala. Suka benar dia buat macam tu. Aku ketawa juga walaupun ada sedikit rasa bengang. Cuma mak saja yang berpeluang buat macam tu. Cuba kalau orang lain yang buat.Memang tersandar ke dinding aku sepak nanti.
            “Mak ni...Ini spotlight cari makan tau!”
            “Eleh! Cari makan buat apa? Kalau cari awek barulah betul!”
            Aku terpempan sekejap. Teringat semula tujuan asal, aku sambung menyelongkar album-album lama. Mana pula aku simpan gambar awek berlesung pipit itu?
           
“Dah berapa tahun kau tinggalkan universiti Azraf?” Tiba-tiba mak bertanya.
            “Lapan tahun...”
            “Emm, budak-budak yang kau ajar tiusyen masa tu berapa umurnya?” Mak bertanya lagi.
            “Lima belas. Semua budak-budak PMR.” Sekarang dipanggil PT3. Aku masih sibuk menyelak helaian-helaian album. Nampaknya peluang untuk aku jumpa balik gambar lama dahulu agak tipis. Almari album hampir kosong aku selongkar.
            “Hmm, lima belas tambah lapan. Wah! Maknanya budak-budak tu sekarang dah jadi anak dara sunti. Entah-entah ada yang dah beranak-pinak. Alahai.. anak aku juga yang sudahnya jadi bujang terlajak!” Mak gelak lagi.
            Album di atas ribaan riba diselak lagi. Sekejap-sekejap terdengar dia ketawa, kemudian dia mengeluh. Tak lama selepas itu dia ketawa lagi. Gambar apa yang melucukan sangat tu?

            “Azraf, budak ni yang cakap dada kau macam dada orang utan kan?”
            Tercampak album-album di tangan. Aku segera berpaling dan mengambil album gambar di riba mak. Leganya! Akhirnya aku jumpa juga album ini. Aku selak semula dari depan. Aduh! Rasa macam nak menangis. Tekaan aku sangat tepat. Gadis yang datang ke pejabat aku pagi tadi adalah adik kepada rakan sekuliah dulu.
            Aku bangun dan bawa album gambar itu sekali. Terlupa pula mak sedang memerhatikan aku.
            “Woi pakcik! Siapa nak kemas semua ni?” Mak melaung kuat. Aku dapatkan mak semula dan cepat-cepat masukkan semula album-album gambar yang bersepah-sepah. Aku tahu mak sedang hairan memerhatikan gelagat aku.
            “Siap! Okey, orang nak masuk bilik. Album ni orang nak.”
            “Kau nak buat apa?”
            “Nak tunjuk kat budak yang cakap dada orang macam orang utan tu.”
            Aku tinggalkan mak yang sedang terlopong di situ dan terus masuk ke dalam bilik. Melantun badan aku ketika mendarat di atas katil. Album yang aku ambil tadi aku selak lagi. Eee! Sukanya. Tak sangka. Memang sangat tak sangka aku akan bertemu semula dengan Budak Lesung ni.
Tak banyak beza pun wajah dia lapan tahun dulu dengan yang baru aku lihat pagi tadi. Cuma sekarang nampak lebih cerah. Itu normal. Pasti ada produk kecantikan yang dia gunakan. Orang perempuan dan bahan-bahan kosmetik mana boleh berpisah. Tak kisahlah tu. Apa yang aku perlu buat sekarang adalah meyakinkan Raisya. Dia perlu tengok gambar-gambar ni.
Alamak! Lupa pula nak ambil alamat rumah dia di pejabat tadi. Kalau tidak boleh aku pusing-pusing mencari rumah Raisya lepas Maghrib nanti. Atau, dia masih tinggal di rumah lama? Aku keluarkan handphone dalam poket seluar. Rasanya Munirah boleh membantu dalam hal ni.

“Assalamualaikum Encik Azraf...” Suara Munirah kedengaran.
“Waalaikumsalam. Err.. Munirah. Awak ada alamat budak baru yang nak mula kerja esok tu tak?” Gemuruh punya pasal, habis tunggang langgang bahasa aku.
“Ada...”
Jawapan Munirah buat aku senyum lebar.
“Tapi kat office...
Senyum terus hilang. Ada pula sambungan jawapan Munirah ni. Kurang asam betul!
“Hmm, tak apalah. Bye.
Aku matikan talian. Mandi dululah. Tak perlu tergesa-gesa. Besok pasti Raisya akan datang sebab dia yang beria-ia nak bekerja di situ. Tahrim sudah kedengaran. Aku cepat-cepat mandi dan siap menyarung pakaian untuk mengerjakan solat Maghrib. Nak doa banyak-banyak untuk Raisya. Minta-minta dia boleh ingat kenangan-kenangan lapan tahun dulu.



“AZRAF, besok cawangan kita kat Senai dah mula beroperasi. Kau pergi sana ya?”
Abah ni bagi arahan atau buat permintaan? Aku tengok mak yang sedang mencedukkan lauk untuk abah. Macam mana nak minta mak tolong ni? Aku tak nak ke Senai. Melepaslah peluang nak jumpa Raisya nanti. Tapi apa alasan yang paling munasabah aku nak bagi?
“Saya rasa, elok abang aje yang jaga branch kita kat Senai tu. Budak botak ni bukannya reti nak bangun awal. Harapkan jam loceng aje yang besar gedabak kat dalam bilik tu. Tapi saya juga yang kena kejutkan dia bangun nanti. Cawangan baru, kenalah jaga betul-betul. Kalau dari awal lagi orang bawahan dah tahu bos suka masuk lambat, mesti ada yang jadi pengikut. Kalau tak percaya tengok ajelah nanti.”
Yeah! Supermom sudah beraksi. Aku sembunyikan senyum. Takut kalau-kalau abah tak setuju dengan cadangan mak. Tapi memang jarang abah tolak cadangan mak mentah-mentah. Tanpa sebarang kata, abah menadah tangan untuk membaca doa makan. Sambil menunggu abah membaca doa, sempat lagi mak kenyit mata. Aku tunjuk senyum senget. Faham dengan body language mak. Dia pasti akan pujuk abah sampai berjaya.
“Hmm, kau jangan bangun lambat pula bila jaga cawangan kat sini. Abah tak nak dengar ada customer complaint servis kita lambat atau kurang memuaskan. Kalau ada yang merungut, abah hantar kau jaga office kat Senai.”
Yahuu! Macam nak lompat bintang rasanya. Aku pandang mak sambil menaik-naikkan kening. Mak memang Supermom aku. Sayang dia!


















No comments:

Post a Comment