Friday 15 January 2016

MAHALNYA CINTA KARYA THEYA NUR

BAB 3



MELAMPAU!! Hati Hazriq menjerit. Mengenangkan betapa beraninya perempuan itu memalukannya di hadapan staf-stafnya. Tak punya harga dirikah? Masuk-masuk sahaja terus membuat aksi yang sungguh….. Argh, tak sanggup nak cakap.
           Mesyuarat tadi terus dibatalkan selepas ‘tragedi’ itu berlaku. Mana dia mahu letak mukanya ini. Jatuh krediabilitinya sebagai seorang majikan. Maya betul-betul melampau!
           Telefonnya yang berada di sisinya dikerling apabila telefon itu mula berkelip-kelip. Ada pemanggil rupanya. Bonda? Pasti mahu berleter kerana dia masih belum pulang. Nafasnya ditarik dalam-dalam sebelum butang hijau ditekan. Bersedia untuk menerima ceramah percuma daripada Puan Mona.
           “Kamu dekat mana ni? Hari ni sepatutnya hari cuti. Apa yang ada dekat pejabat sampai kamu dah tak nak balik rumah ni?” soal Puan Mona sebaik sahaja berbalas salam. Pening kepalanya dengan perangai anak terunanya yang satu ini. Satu tapi perangainya sahaja bisa membuatkan dia migrain!
           “Kejap lagi saya balik,” jawab Hazriq dengan suara yang malas. Rumah? Huh, malas dia mahu pulang. Di rumahnya penuh dengan kuasa wanita! Bonda, Kak Long Haifa , Kak Ngah Hayaa sampailah ke adik perempuannya yang bernama Hana. Perempuan yang memegang takhta.
           Yang lelakinya, hanya dia dan ayahnya, Tuan Hadwan. Ada juga abang iparnya, Abang Long Adib dan Abang Ngah Naufal tetapi mereka jarang ada di rumah kerana masing-masing bekerja di luar negeri.
           Berbicara soal ayahnya itu, dia memang tidak rapat dengan lelaki itu meski pun sepatutnya dia rapat dengan lelaki itu kerana dia satu-satunya anak lelaki di dalam rumah itu. Tetapi, sejak kecil lagi, dia dengan ayahnya tidak pernah satu kepala.
           “Bonda nak kamu balik sekarang. Ayah nak bincang sesuatu dengan kamu,” beritahu Puan Mona. Di hujung talian, dia terdengar keluhan berat daripada mulut anak ketiganya itu sebelum talian terputus.
           Hazriq meraup wajahnya untuk beberapa ketika. Apa yang penting sangat mahu diberitahu oleh ayahnya itu agaknya? Bukankah selama ini ayahnya itu cukup pandai untuk datang ke pejabatnya sekiranya mahu berbincang apa-apa? Kenapa hari ini harus di rumah?
           Otak Hazriq masih ligat berputar mempersoalkan apa yang bakal terjadi sementara tangannya laju mengemas kertas kerja di atas mejanya. Projek makin hari makin bertambah. Sama juga naiknya dengan masalah yang melanda dirinya. Oh, inilah hidupnya yang sungguh ‘indah’.


HAZRIQ mengurut pangkal tengkuknya, mahu menghilangkan rasa tidak selesa yang menghimpit dirinya saat ini. Semua mata sedang merenung ke arahnya kini, sejak tadi. Apa salah yang dah aku buat ni? Hati Hazriq mula bertanya.
           Dan dia perasan sesuatu! Semuanya ada di sini termasuk abang-abang iparnya yang memang susah hendak bertemu. Hana yang sering terperuk  di dalam bilik sewaktu hari cuti begini turut serta dalam perbincangan hari ini. Nampaknya ada sesuatu yang penting hendak dibincangkan.
           Suasana yang agak tegang di ruang tamu itu membuatkan sesiapa sahaja tidak selesa. Apabila menyedari masih tiada siapa yang mahu memulakan bicara, Hazriq sudah berura-ura mahu naik ke biliknya.
           “Siapa benarkan kamu naik?”
           Hazriq melepaskan keluhan kasar. Itu dia! Suara sinis ayahnya sudah mula berbunyi. Dia melangkah ke ruang tamu sebelum melabuhkan duduk di sofa. Keluhan dilepaskan perlahan.
           “Apa yang nak dibincangkan sangat ni? Adik nak kahwin ke?” soal Hazriq. Wajah Hana dikerling. Sememangnya dia sangat gemar mengenakan adik bongsunya itu.
           Haifa dan Hayaa ketawa mendengar pertanyaan Hazriq sementara Hana mencebik. Apa tidaknya! Hana yang baru berumur 17 tahun itu hendak kahwin? Setakat ini keluarga mereka belum ada lagi yang menamatkan zaman bujang di usia yang muda begitu. Namun tawa itu segera dimatikan apabila mata Tuan Hadwan mencerlung ke arah mereka berdua.
           “Riq!” tegas sahaja suara Puan Mona menegur satu-satunya anak lelakinya itu. Anaknya ini gemar benar tidak serius apabila semua orang cuba serius.
           Hazriq hanya mendiamkan diri. Menanti apa yang penting benar sehingga satu keluarga perlu berkumpul.
           “Keluarga kita akan masuk meminang anak Dato’ Yusuf, esok,” umum Tuan Hadwan dengan penuh rasa bangga. Bagai mengumumkan pemenang Akademi Fantasia gitu.
           “Untuk siapa?” tanya Hazriq selamba. Dia bagai terlupa bahawa hanya dialah satu-satunya anak teruna di dalam rumah ini.
           “Untuk kamulah.”
           Jawapan daripada bondanya membuatkan Hazriq terkejut. Masakan mahu meminang Maya untuk dirinya. Perempuan yang tak tahu malu tu? No! Perempuan itu baru sahaja memalukan dirinya tadi dan perempuan itu bakal isterinya? Urgh, minta dijauhkan!
           “Riq tak setuju!” protes Hazriq. Rela dia terjun daripada bangunan KLCC daripada menjadi suami kepada perempuan yang bernama Maya itu. Dia terus memanjat tangga menuju ke biliknya. Tidak mahu berbincang lagi soal ini.
           “Ayah tak peduli keputusan kamu. Ayah panggil ni pun sebab nak beritahu semua yang ada, bukan minta keputusan kamu,” ujar Tuan Hadwan lagi.
           Langkah Hazriq terhenti apabila mendengar kata-kata ayahnya itu. Kahwin paksa? Ingat ni zaman dahulu kala ke? Berkahwin atas pilihan keluarga. Mengarut!
           “Ayah memang tak adil! Selama ni ayah tentukan semua apa yang Riq kena buat dan Riq ikut kata ayah. Tapi, ni soal kahwin, masa depan Riq. Takkan sampai isteri Riq pun ayah nak tentukan?”
           Hazriq menghamburkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Dia berlawan pandang dengan ayahnya yang kini kelihatan marah kerana dia meninggikan suara. Mungkin dia berdosa kerana sudah meninggikan suaranya tetapi siapa yang tahan jika masa depan dipertaruhkan hanya kerana wang?
           Ayahnya memang mata duitan! Sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang. Termasuk mengahwinkannya dengan Maya, anak kepada Dato’ Yusuf, rakan perniagaannya. Semuanya kerana mahu mendapatkan tender daripada kerajaan dari luar negara. Bukannya dia tidak tahu segala rancangan ayahnya.
           Apa tidak cukup lagikah dengan syarikat pembinaan yang mereka ada kini? Argh, orang kalau dah bertuhankan duit, apa sahaja sanggup digadaikan. Tidak mahu terus bergaduh dengan ayahnya, Hazriq terus masuk ke dalam biliknya dengan hati yang sebal.
           Briefcasenya dicampakkan ke atas meja kerjanya di sudut bilik. Butang kemejanya dibuka satu persatu sebelum kemeja putih berbelang hitam itu selamat terbang, masuk ke dalam bakul pakaian yang bakal dicuci oleh Sari, pembantu rumah ini.
           Tubuhnya yang terdedah dibiarkan disapa angin pendingin hawa yang sejuk. Dia membaringkan badannya ke atas katil yang empuk itu. Rasa sakit hatinya dengan ayahnya masih belum surut. Dadanya berombak kencang. Matanya dipejamkan lama, mahu melupakan segala yang terjadi.
           Tokk.. Tokk.. Tokk..
           Hazriq memandang pintu biliknya yang diketuk seseorang dari luar. Siapalah agaknya yang nak mengacau aku tenangkan fikiran ni?!
           “Siapa?!” jerit Hazriq tanpa bergerak sedikit pun dari katilnya.
           “Kak Long, Kak Ngah dan adik kesayangan Alang!” jawab satu suara dari luar pintu.
           Hazriq merengus. Dia pasti itu suara Kak Ngahnya. Nak buat rancangan ‘Bersamamu’ agaknya. Melawat dirinya yang bermasalah ni. Dengan langkah yang malas, Hazriq menapak ke arah daun pintu sebelum menguak daun pintu itu.
           Sekelip mata, ketiga-tiga adik-beradiknya itu sudah beraja di atas katilnya. Hazriq menggelengkan kepala melihat mereka bertiga. Apabila dia sedang menghadapi masalah seperti ini dengan ayahnya, pastinya mereka bertiga ini tidak pernah gagal membuatkan fikirannya semakin serabut. Satu kejayaan bagi mereka!
           “Tak malu!” kata Haifa kepada adik lelakinya itu apabila melihat Hazriq yang tidak berbaju. Comforter di atas katil dilemparkan ke arah Hazriq yang berdiri di hadapan katil. Tanpa perlu mengelak, balingan itu lansung tidak mengenai sasaran. Failed!
           “Bilik aku, suka hatilah. Yang menyibuk datang sini, nak apa?” soal Hazriq. Dia terus berbaring di atas sofa yang ada di dalam biliknya itu. Baik tidur daripada melayan perempuan-perempuan yang senget ini.
           “Alang nak terima keputusan ayah tu?” soal Hayaa. Dia pasti Hazriq akan melawan tetapi kenapa dilihatnya adiknya ini masih bersenang-lenang di dalam bilik? Mahu menerima sahaja dengan hati terbuka, kah?
           “Kau tak dengar apa yang ayah cakap tadi? Keputusan aku tak penting dan tak pernah penting,” ujar Hazriq dengan hatinya terbakar.
           “Adik tak rasa Alang patut terima je. Kalau tak suka, cepat-cepat cari orang. Lagi pun, adik tak sukalah kalau Maya tu jadi kakak ipar adik. Oh, tidak! Kak Long dengan Kak Ngah pun tak setuju. Kan?”
           Hana memandang wajah Haifa dan Hayaa silih berganti. Mahu mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua orang kakaknya itu. Dan seperti biasa, sangkaannya tidak meleset apabila kedua-dua orang kakaknya menganggukkan kepala tanda setuju.
           “Ingatkan kau semua suka dengan menantu pilihan ayah,” ujar Hazriq. Mendengar kata-kata adiknya meyakinkan bahawa adik-beradiknya berada di pihaknya.
           Melihat keadaan Hazriq membuatkan Haifa menguntum senyum. Fikirannya kembali teringat apa yang terjadi dua tahun yang lalu.
           Ayahnya pernah mahu menjodohkan dia dengan anak rakan perniaagaannya. Syukur, Adib yang waktu itu kekasihnya, sedia mengambil dia sebagai isteri dalam kadar segera. Dan syukur juga ayah mahu menerima Adib kerana keluarga Adib boleh memberikan kepentingan terhadapnya.
           Sememangnya ayah tidak berputus asa untuk menjadi agen ‘pencari jodoh’ untuk anak sendiri dan mangsa seterusnya, Hayaa. Mujur yang dipilih ialah Naufal. Seorang jejaka yang bijak, ada rupa dan ada iman. Jadi dia bersetuju sahaja.
           Tetapi dalam kes adik lelakinya ini, dia tidak setuju kerana yang menjadi pilihan ayah ialah Maya. Dia kenal benar dengan perangai gadis yang agak ‘nakal’ itu. Bukannya dia tidak pernah terserempak dengan Maya di pasar raya. Berkepit dengan lelaki macam laki bini.
           “Kak Ngah ada cadangan. Tak payah ikutlah kalau Alang nak kahwin dengan si Maya tu,” kata Hayaa tiba-tiba setelah berfikir lama. Harapnya bolehlah membantu serba sedikit.
           “Apanya? Tapi amaran keras! Jangan bagi idea yang merapik eh?!” Hazriq terlebih dahulu mengingatkan Hayaa agar memberikan idea yang bernas. Otak Kak Ngah ni bukan boleh percaya sangat.
           “Guess what?” Hayaa sengaja menerbitkan mood saspen. Ternyata mood itu hanya timbul untuk Haifa dan Hana sahaja. Pastinya tidak pada Hazriq.
           Hazriq menjongketkan keningnya beberapa kali. Mendesak agar Hayaa tidak berteka-teki lagi.
           “Cari pilihan hati sendiri,” putus Hayaa. Kata-katanya sekali lagi disambut baik oleh Haifa dan Hana. Tetapi tidak pada Hazriq yang melepaskan keluhan kasar.
           “Ek eleh! Kalau itu, aku pun tahu. Masalahnya, pilihan sendiri tu siapa? Lagi pun, rombongan tu pergi esok. Mana sempat!”
           “Baru bertunangkan? Bukan kahwin. Alang ni kira okeylah ditunangkan dulu. Kak Ngah dulu terus kahwin tau. Tau-tau dah jadi isteri orang. Nasib dapat Abang Ngah Naufal kau yang kacak lagi bergaya. Selamat hidup,” jawab Hayaa.
           “Ehsan mana, Kak Long? Tadi tak nampak pun dekat ruang tamu,” tanya Hazriq kepada Haifa soal anak buahnya yang seorang itu.
           “Ada. Dia dah tidur dekat dalam bilik. Lagi pun, agak-agaklah nak bawak dia sekali tengok kau dengan ayah berdrama. Budaya negatif. Tak sesuai ditonton oleh kanak-kanak,” balas Haifa.
           Ehsan. Anak Haifa yang sulung dan baru sahaja berumur setahun. Teramat rapat dengan pak langnya yakni Hazriq.
           Hazriq hanya diam. Tiba-tiba, biliknya terasa sunyi. Dia memandang ke arah katilnya yang sudah bersepah. Sungguh tidak manis hendak dipandang. Pandai menyepahkan tapi tak reti kemas. Tak boleh pakai punya, sisters!
           Pintu gelangsar  ke balkoni dibuka. Pandangannya dihalakan ke langit yang gelap. Gelap tetapi masih disinari dengan kehadiran cahaya bulan dan kilauan bintang-bintang. Idea Kak Ngah tadi kembali menerpa ruang ingatannya. Pilihan sendiri?
           Dia mula mencongak kenalan perempuannya. Macam tak ada je. Sejak zaman sekolah, dia tidak bergaul rapat dengan pelajar perempuan. Pada pendapatnya, perempuan ini merimaskan, manja dan …. Entahlah.
           Semenjak dia melangkah ke alam pekerjaan sebagai seorang arkitek, lagilah dia tidak punya masa untuk memikirkan soal perempuan. Banyak benda yang harus diuruskan sehingga benda yang penting sebegini diabaikan.
           “Riq!”
           Kedengaran suara Puan Mona dari luar bilik. Tanpa berlengah, Hazriq terus membuka pintu supaya bondanya dapat masuk.
           “Riq okey?” soal Puan Mona. Walaupun dia sudah maklum akan keadaan anak terunanya ini, tetapi dia masih mahu bertanya. Biasalah, emak..
           Hazriq mengangguk perlahan. Ah, menipu sungguh kau, Riq! Luar kata okey, tapi dalam? Huh!
           “Bonda dah cuba halang ayah daripada buat keputusan ni tapi…”
           “Tapi bonda tetap tak dapat lawan ayah yang keras kepala tu, kan?” Hazriq menyambung ayat bondanya. Dia tahu, bondanya telah sedaya upaya membantah tetapi sebagai isteri, bondanya terpaksa akur. Bonda memang isteri yang baik!
            Puan Mona tersenyum tawar mendengar kata-kata Hazriq. Walaupun Hazriq mengangguk mengatakan dirinya tidak apa-apa tetapi dia tahu anaknya terluka. Entah apa yang merasuk suaminya untuk membuat keputusan gila seperti ini.
           “Bonda minta Riq bersabar. Semua yang berlaku, ada hikmahnya. Bonda selalu doakan yang terbaik untuk anak-anak bonda. Mungkin ini yang terbaik,” ujar Puan Mona.
           “Memang betul apa yang bonda cakap tu. Cuma satu yang Riq tak setuju. Maya! Dia bukan yang terbaik untuk Riq. Riq tak nak dia. Bonda macam tak tahu perangai dia macam mana,” kata Hazriq pula dengan nada yang tidak puas hati.
           “Tak apalah. Riq doa pada Allah, datangkan jodoh yang terbaik. Allah itu Maha Mendengar, Riq. Allah tahu mana yang baik, mana yang buruk untuk hamba-Nya. Nampak tak baik pada kita sebab kita tak nampak kebaikannya pada kita. Allah Maha Mengetahui. Doa banyak-banyak,” nasihat Puan Mona sambil mengusap rambut anaknya itu.
           Sekali lagi Hazriq ditinggalkan bersendirian. Tanpa berlengah, dia mengambil wudu’. Solat fardhu Maghribnya segera ditunaikan. Hari ini, dia berwirid agak lama selepas solat. Dia menyedari bahawa sejak belakangan ini dia sering mengabaikan wirid selepas solat.
           Kekangan waktu yang sering dijadikan alasan. Argh, khilafnya aku sebagai hamba Allah yang tidak punya apa-apa. Sesungguhnya, manusia itu tidak lari daripada melakukan kesilapan kerana kesilapan itu akan menjadikan kita sebagai orang yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment