Monday 18 January 2016

SEIKAT CINTA TERSIMPUL RINDU KARYA ANNIS RIZANI

BAB 2



“AWAK, petang tadi awak jumpa siapa?” tanya Sufiyya lembut sebaik saja panggilannya disambut oleh Khairy. Sufiyya tak menunggu lama untuk mendapatkan jawapan, malam itu juga dia menghubungi Khairy.
            “Saya jumpa kawan-kawan sayalah. Minum-minum sebelum balik rumah. Kenapa sayang?” tanya Khairy kembali. Tenang saja dia dengan pertanyaan Sufiyya.
            “Saya tak suka awak bergaul dengan orang-orang macam tu...”
            “Orang-orang yang macam mana?”
            “Phea kata...”
            “Oh, Phea punya kerjalah ni, eh?” Khairy memintas kata-kata Sufiyya. “Phea kata kawan-kawan saya tu orang jahat, kan? Itu lelaki, kalau dia nampak saya keluar minum dengan perempuan lain, apa pulak yang diburukkan saya ni, kan?” Sedikit keras suara Khairy.
Entah kenapa dia merasakan Sophea begitu bencikan dirinya. Kalau tidak, masakan dari dulu sampailah sekarang, Sophea tak pernah memanggilnya abang. Hanya memanggil namanya saja. Langsung tiada rasa hormat kepada diri Khairy yang bakal menjadi abang iparnya. Sophea seolah-olah sengaja mahu mengkucar-kacirkan perhubungan dia dan Sufiyya.
            “Awak, Phea tak salah. Saya ni kakak dia, tentulah dia akan beritahu kalau ada perkara yang dia rasakan tak kena. Saya cuma nak tahu, siapa orang-orang tu?”
Sufiyya membela adiknya kerana dalam banyak-banyak hal, tentulah dia kena utamakan adik sendiri. Khairy hanyalah tunangan dan belum lagi sah ikatannya. Walaupun baik dan buruk Khairy sudah diterima seadanya, namun tak semestinya Khairy boleh berbuat sesuka hati di luar pengetahuan Sufiyya.
“Dia orang tu, kawan-kawan saya yang kerja bengkel, kerja tarik kereta. Badan besar-besar, berminyak pulak tu. Memanglah nampak macam orang jahat, dah itu kerjanya. Okeylah tu, daripada saya keluar dengan perempuan lain. Adik awak tu kan, memang tak suka kat saya...”
“Awak, Phea bukan tak suka kat awaklah. Awak aje yang berperasaan macam tu.” Kali ini giliran Sufiyya pula memintas. Tak tega mendengar lontaran kata yang tidak enak terhadap Sophea.  
“Huh!” Khairy mendengus marah.
“Lepas ni, awak kenalkan semua kawan-kawan awak kat saya, boleh? Tak adalah orang tersalah sangka yang bukan-bukan.” Pinta Sufiyya.
“Nak ajak awak keluar pun payah, banyak sangat alasan. Macam mana nak kenalkan dengan kawan-kawan saya. Saya keluar dengan perempuan lain, baru awak tahu.” Tempelak Khairy dalam nada serius. Mengugut pun ada dan sengaja dia memprovok Sufiyya. Kadang-kadang dia naik bosan untuk mengajak Sufiyya keluar, ada saja alasannya.
“Okeylah awak, saya dah nak tidur.”
“Ha, kan betul. Alasan semata-mata. Saya tahu,  awak tak suka...”
“Awak, saya tak nak gaduh-gaduh. Lebih baik stop kat sini, sebelum berlanjutan. Dan kalau awak nak keluar dengan perempuan lain pun, terpulang pada awak.” Tenang saja Sufiyya menjawab walaupun dia sedikit terguris hati dengan kata-kata Khairy. Kenapa sejak akhir-akhir ini Khairy sering membentak-bentak dan mendengus begini?
“Merajuklah tu? Saya merajuk awak tak peduli pun. Dah berapa lama kita tak jumpa? Saya ni, sanggup tahan perasaan rindu saya kat awak semata-mata ikutkan kehendak awak yang kononnya tak nak selalu sangat jumpa tu. Bukannya kita nak buat benda tak elok, keluar makan aje.” Semakin keras suara Khairy.
“Memanglah kita tak buat perkara yang tak elok, tapi masa bertunang godaan lagi kuat, syaitan tu menari-nari aje antara kita.” Sufiyya masih cuba bersabar, mengawal emosi daripada meletup. Sakit hati mendengarkan kata-kata Khairy.
“Selama kita berkawan ni, ada ke saya buat yang tak elok kat awak?” Khairy semakin meradang.
“Saya tak kata awak buat perkara yang tak elok...”
“Ah, sama saja maksudnya.” Belum pun sempat Sufiyya meneruskan kata, Khairy memintas.
“Sudahlah awak, saya nak tidur. Bye.” Sufiyya mematikan talian. Sakit hati.
Khairy mengetap bibir. Marah yang teramat sangat dengan tindakan Sufiyya yang mematikan talian dengan serta-merta. Dadanya berombak. Kalaulah Sufiyya berada di hadapannya pada ketika ini, mahu saja ditarik tangan Sufiyya kembali kepadanya supaya terluah segala yang terbuku di hati.
Sufiyya benar-benar terasa hati. Fikirannya menerawang lagi. Khairy bertugas sebagai pegawai akaun di sebuah syarikat multinasional, mana pula dia kenal orang-orang yang sebegitu? Ah, mungkin dia mencari kawan yang sebegitu untuk memudahkannya menguruskan keretanya andai kenderaannya mengalami masalah. Atau pun mereka itu merupakan geng kelab kereta yang sekepala dengannya. Geng obses ubah suai kereta. Sufiyya cuba berbaik sangka terhadap tunangannya sehinggalah dia terlelap.










No comments:

Post a Comment