Wednesday 11 November 2015

HANYA KAMU JOHANNA KARYA DILLA AHMAD

BAB 1



“Abah tak suka dengar apa yang kamu dah buat kat luar sana, Syed Harraz Hussain!” marah Tuan Syed Amiruddin.

 Syed Harraz cuma buat muka kering apabila abahnya mula nak menyinga. Sambil duduk bersandar di sofa, dia menjeling lelaki itu yang masih menunjukkan muka tak puas hati. Kemudian dia sibukkan diri bermain dengan telefon bimbitnya.

 “Apa yang Harraz dah buat, abah?” tanya Syed Harraz pura-pura tidak tahu. 

Perkara yang dia buat pun adalah perkara yang biasa dilakukan oleh anak-anak muda sepertinya. Kecuali yang satu itu. Dia hampir kena tangkap basah dengan Gina, gadis Cina kacukan mat salih. Bukan salah dia pun. Tapi salah perempuan itu. Sengaja nak perangkap dia. Tak ke pelik bila dia hampir ditangkap di kondonya sendiri sedangkan perempuan itu yang datang menyerah diri? Syed Harraz sudah menggeleng perlahan apabila mengingati perkara tersebut. Nasib baik si Kevin dan Remy ada di tempat kejadian. Kalau tidak, memang kahwin freelah dia. Lepas saja kejadian itu, dia terus balik ke rumah besar ini. Lagi bagus, selesa dan paling penting tidak ada orang lain yang sesuka hati datang ke rumahnya sebab mereka kena berjumpa dengan pengawal terlebih dulu. 

“Hari tu kamu kena tahan sebab bawa kereta macam Formula 1. Lepas tu, kena tahan lagi sebab bergaduh di kelab malam. Yang ni pula hampir kena tangkap basah. Apa lagi lepas ni ya, Harraz?” perli Tuan Syed Amiruddin.

 “Kalau kamu tu gatal sangat nak kahwin, cakap aje kat abah dan mama ni. Boleh kami carikan calon untuk kamu. Tu, si Dania.. Dia memang dah lama tunggu kamu. Cakap aje nak bila. Abah boleh pergi pinangkan anak pak ngah kamu tu!” Suara Tuan Syed Amiruddin sudah naik satu oktaf. Tangan sudah bercekak di pinggang. Mata pula merenung tajam ke arah Syed Harraz.

 “Dania tu sepupulah, abah. Harraz dah anggap macam adik pun…” balas Syed Harraz.

 “Habis, yang kamu usung dia ke hulu ke hilir tu bukan kamu suka kat dia? Kamu jangan main-main dengan anak pak ngah kamu tu, Harraz. Kalau jadi apa-apa, kamu kena bertanggungjawab. Abah tak nak masuk campur!” Tuan Syed Amiruddin sudah mengangkat tangan seolah-olah menyerahkan segala keputusan di tangan Syed Harraz.

 Semakin berkerut dahi Syed Harraz. Dia selalu keluar dengan Dania pun sebab si Dania tu ajak dia jadi peneman. Inilah masalahnya kalau selalu keluar bersama.

 “Bertanggungjawab apanya, abah? Harraz tak akan buat benda tak senonoh dekat Danialah. Yang pasal kes khalwat tu pun bukan salah Harraz. Salah perempuan tak tahu malu tu. Bukan Harraz yang bawa dia ke rumah…” Syed Harraz sudah menjeling Datuk Syed Amiruddin 

Walaupun betul apa yang si anak katakan, Datuk Syed Amiruddin tidak akan mengakuinya. Tidak boleh. Nanti naik kepala pula anaknya.

 “Mama boleh kenalkan Harraz dengan anak-anak kawan mama kalau Harraz mahu.” Suara Datin Dalilah pula mencelah. “Anak-anak kawan mama semuanya cantik-cantik dan tinggi macam model. Taste Harraz kan suka yang macam tu,” sambungnya sambil menjeling anak tirinya itu.

 “Nasib baik si Kevin dan Remy ada kat rumah tu. Kalau tidak, kami bakal dapat menantu Cina. Manalah kami nak letak muka nanti?” Sinis saja Datin Dalilah bersuara. Syed Harraz sudah menjongketkan kening dan merenung tajam perempuan yang telah menggantikan tempat umminya itu. Setiap kali dia melihat wajah sombong dan sinis Datin Dalilah, hatinya jadi sakit.

 “Abah nak kamu berubah, Harraz. Kamu tu bukannya muda lagi. Kalau kahwin, dah ada anak dua. Macam Abang Haziq kamu tu.” Datuk Syed Amiruddin sudah menggeleng perlahan. Di mana silapnya dia mendidik anak keduanya ini, dia pun tidak tahu. Yang pasti, sejak arwah isterinya meninggal beberapa tahun yang lalu, segalanya berubah. Termasuk diri Syed Harraz Hussain. Syed Haziq Amri, anak sulungnya tidak banyak buat hal. Anaknya itu menerima pemergian umminya dengan tenang. Sekali lagi anaknya menerima dugaan yang hebat apabila isterinya pula meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Kini, Syed Haziq Amri bersendirian membesarkan anak-anaknya yang dua orang itu.

 “Abah bagi tempoh masa setahun untuk kamu cari isteri. Kalau tidak, semua saham kamu akan abah serahkan kepada Haziq. Fikir. Bukan abah nak susahkan kamu tapi demi kebaikan kamu semata-mata. Sampai bila kamu nak bersendiri macam ni? Sekurang-kurangnya bila dah kahwin, kamu belajar erti tanggungjawab dan belajar macam mana nak handle your life!” putus Datuk Syed Amiruddin lagi. 

“Abah mana boleh buat macam tu!” bantah Syed Harraz. Dia sudah duduk tegak sambil merenung wajah Datuk Syed Amiruddin.

 “Then get married!” balas Datuk Syed Amiruddin, keras. Kemudian dia terus keluar dari bilik bacaannya itu. Kepala mula terasa sakit apabila memikirkan tentang Syed Harraz. Tak habis-habis beri masalah kepadanya. 
“Betul kata abah tu, Harraz. Kamu tu dah boleh kahwin sekarang. Umur dah tiga puluh dua. Sedang elok untuk mendirikan rumah tangga,” kata Datin Dalilah pula bagai menangguk di air keruh.

 “I boleh cari isteri untuk diri I sendirilah, mak cik. You tak payah nak susah-susahkan diri nak fikirkan pasal diri I. Baik you carikan isteri untuk Abang Haziq tu. Dia masih ada anak-anak yang perlukan kasih sayang ibu. Sebab, ada nenek pun tak guna juga kalau asyik nak menengking cucu saja!” Sinis Syed Harraz bersuara. Bukan dia tak tahu Datin Dalilah tidak sukakan anak-anak saudaranya. Syed Harraz terus bangun lantas meninggalkan bilik itu. Malas nak dengar bebelan perempuan yang tidak diiktiraf sebagai ibunya itu. Bikin sakit hati saja. 

Berubah riak wajah Datin Dalilah. Kemudian dia hanya mencebik mendengar kata-kata Syed Harraz. Kalau nak diikutkan, dia lebih sukakan Syed Haziq yang tidak banyak cakap itu. Anak tirinya itu banyak mendengar kata. Tak macam Syed Harraz yang suka membantah dan membencinya. Siapa yang tak kenal dengan Syed Harraz? Seluruh Syarikat SAS Holdings kenal dengan jejaka kacak berdarah Arab itu. Seorang yang pandai membawa diri ketika bekerja tanpa perlu diajar apa yang perlu dibuat walaupun baru lima bulan bekerja di syarikat itu. Syed Harraz juga menjadi kegilaan para pekerja wanita. Tapi yang peliknya, Syed Harraz langsung tidak ambil kesah dengan wanita-wanita itu. Dulu, Datin Dalilah ada juga terfikir, yang Syed Harraz mungkin lebih minat kepada kaum sejenis. Maklumlah, terlalu lama duduk di luar negara. Hesy, nauzubillah min zalik… Tapi, nasib baiklah Syed Harraz bukan macam tu. Setiap minggu lelaki itu bertukar-tukar pasangan seperti menukar baju lagaknya. Datin Dalilah tahu pun sebab dia mengupah spy di dalam syarikat itu. Hatinya sudah berkenan kepada anak gadis Datin Lydia. Tapi apabila memikirkan yang Syed Harraz itu suka membantah kata-katanya, nampak gaya hanya tinggal angan-angan sajalah nak bermenantukan si Naomi itu. Datin Dalilah menggeleng perlahan. Hai, nampaknya kenalah buat aksi pujuk-memujuk dengan Datuk Syed Amiruddin. Hmmm... 

Syed Harraz mendaki tangga menuju ke biliknya. Selalunya kalau ada makan malam bersama keluarga, dia akan tinggal di bilik ini. Rumahnya hanya bersebelahan dengan rumah Datuk Syed Amiruddin. Abahnya sengaja membina rumahnya bersebelahan dengan alasan ingin tahu apa yang Syed Harraz buat. Cuma abahnya pesan jangan bawa perempuan masuk ke rumah sekiranya dia hendak tinggal lama di situ. Syed Harraz akur dengan peraturan itu. Nampak saja katil, dia terus merebahkan badan. Mata merenung ke siling sambil otak ligat berfikir. Hesy, macam mana nak buat ni? Perempuan mana pula dia nak cekau untuk dijadikan isteri? Tapi, macam seronok aje bunyinya nak main cari isteri ni. Syed Harraz sudah tersenyum sendiri. Bengong. Masalahnya sekarang, dia tidak ada perempuan yang sesuai untuk dijadikan isteri ! Bagai teringatkan sesuatu, tangannya terus menyeluk saku seluar jeannya lalu mengeluarkan telefon bimbit. Nombor telefon seseorang pantas didail. Lama juga talian hendak bersambung. Mana Mak Mah ni? Dah tidur ke orang tua ni? soalnya dalam hati. Baru aje dia nak matikan talian, telinganya terdengar orang memberi salam di hujung sana. Perlahan saja. Macam suara orang baru bangun dari tidur. 

“Mak Mah! Saya ni...” “Ya, Tuan Harraz!” Terus jelas suara Mak Mah. “Macam mana? Mak Mah dah dapat pembantu yang saya suruh cari tu?” tanya Syed Harraz. “Sudah, tuan. Besok budak tu datang. Umi Zakiah yang hantar dan suruh budak tu tolong saya,” kata Mak Mah lagi. Umi Zakiah? Jadi budak itu dari Rumah Akhlak Mulia? Dahi Syed Harraz sudah berkerut. “Okey, Mak Mah. Malam ni saya tidur kat rumah abah. Besok pagi saya balik. Mak Mah suruh dia jumpa saya dulu sebelum saya ke ofis,” arah Syed Harraz pula. “Baik, Tuan Harraz. Terima kasih sebab sudi benarkan Mak Mah cari pembantu untuk Mak Mah…” “Tak apa, Mak Mah. Kita tengok dulu orangnya macam mana. Kalau tak sesuai, kita suruh umi carikan yang lain pula. Okey, Mak Mah. Pergilah tidur,” kata Syed Harraz. Talian dimatikan dan dia masih berbaring. 

Kemudian dia mencapai semula telefon bimbitnya dan terus menghubungi Remy a.k.a Tengku Ryan Hakimi. Kawan baiknya. “Bro, malam ni aku tak jadi keluar. Ada masalah sikit kat rumah. Okey!” Panggilan terus ditamatkan. Kalau sudah berada di rumah abahnya, tak mungkin dia akan keluar malam. Cari pasal namanya. Tak sanggup nak dengar syarahan daripada Datuk Syed Amiruddin itu. Boleh cair tahi telinga. Jadi, dia pilih untuk jadi budak baik malam ini. Otak kembali berfikir untuk mencari bakal isterinya. Dah macam cerita Musang Berjanggut pulak. Hesy…

No comments:

Post a Comment