BAB 2
Johanna berdiri tegak sambil
memandang pagar yang tersergam
di hadapannya kini. Ini ke rumah
yang Umi Zakiah suruh pergi? Headphone di telinga
ditanggalkan. Papan luncur yang berada di kaki terus diinjak
lalu dipeluk di celah ketiak. Kemudian kaki segera melangkah
ke pondok pengawal yang berada di tepi pagar itu.
“Nak cari siapa?” tanya Pak Mail yang bertugas
sebagai pengawal keselamatan. Matanya tunak memandang
gadis di hadapannya. Dari baju, seluar jean sampai ke kasut
All America berwana hitam. Matanya naik semula ke wajah
gadis itu. Mata hitam itu pula bercelak tebal. Pening kepala
Pak Mail apabila memikirkan gaya budak-budak zaman
sekarang.
“Nak jumpa Tuan Syed Harraz… Errr… Mak
Mah…” kata Johanna. Pak Mail mengangguk kemudian terus
membuat panggilan. Beberapa minit kemudian, dia keluar
semula.
“Cik Johanna?” tanya Pak Mail. Johanna tersenyum
dan mengangguk. “Sila bagi kad pengenalan,” kata Pak Mail.
Johanna terus mengeluarkan dompetnya dari kocek
belakang seluar kemudian segera menyerahkan kepada
pengawal di hadapannya. Lama juga dia kena tunggu
pengawal mencatat namanya di dalam buku kedatangan.
“Okey, boleh masuk,” ujar Pak Mail ketika
menyerahkan semula kad pengenalan Johanna. Mata pula tak
lepas dari memandang Johanna yang mula melangkah masuk
ke dalam kawasan rumah itu.
“Awak ni dah tak ada baju warna lain ke nak pakai?
Semua hitam. Macam berkabung dah!” tegur Pak Mail.
Johanna menoleh kemudian dia meletakkan papan
luncurnya ke kaki.
“Asalkan saya tak bogel, pak cik! Have a nice day!”
ucap Johanna selamba.
Pak Mail hanya menggeleng.
Johanna meluncur masuk ke kawasan rumah yang
tersergam indah itu. Nampak macam ada dua buah rumah
banglo di dalam kawasan ni. Pokok-pokok ru yang ditanam di
kiri dan kanan jalan membuatkan suasana nampak redup dan
nyaman. Dari jauh dia sudah ternampak pokok bunga
pelbagai warna. Nampak cantik dan menarik. Dia menghela
nafas panjang. Boleh ke dia hidup di dalam rumah besar ini
dalam masa satu bulan? Hmmm... Rasa macam hukuman
mandatori pula.
Ini semua gara-gara dia bergaduh dengan Hanim.
Sebab itu dia kena hukum dengan Umi Zakiah. Tapi apabila
difikirkan balik, memang patut si Hanim itu kena belasah.
Mulut tak ada insurans dan suka tuduh dia yang bukanbukan!
Johanna sudah tersenyum jahat. Puas hati dia dapat
tampar mulut si Hanim itu semalam. Tapi itulah... Sekarang
dia terpaksa terima hukumannya.
Setelah Johanna menghampiri rumah, matanya
ternampak seseorang menyusup masuk dari pagar bahagian
belakang. Tubuh macam seorang lelaki. Tinggi dan tegap.
Kemudian lelaki itu terus menghilang di sebalik dinding.
Malas Johanna nak fikir siapa lelaki itu. Dia terus
berhenti di hadapan pintu utama. Sunyi saja. Mana Mak Mah
ni? Terus papan luncur itu diangkat lalu dia menuju ke
bahagian belakang dapur.
“Assalamualaikum, Mak Mah!” Tak sampai lima
minit, Mak Mah sudah tersembul di depan pintu dapur.
“La, Johanna. Kenapa sampai belakang ni?” tegur
Mak Mah, mesra. Dia kenal dengan budak Johanna ni. Dia
pernah terserempak beberapa kali di Rumah Akhlak Mulia.
Baik budaknya.
“Jo lalu kat depan sana. Sunyi aje. Jadi Jo datang
sini. Dah agak dah. Mak Mah mesti ada kat dapur.” Johanna
tersenyum seraya menyandarkan papan luncurnya ke
dinding.
“Haah. Mak Mak tengah siapkan sarapan untuk
tuan rumah. Jom masuk dulu, Johanna,” ajak Mak Mah.
“Panggil Jo aje, Mak Mah. Macam pelik pula bila
Mak Mah panggil nama saya macam tu. Saya ni rock, Mak
Mah. Mana layan yang ayu-ayu ni!” kata Johanna sambil
membuka kasut hitamnya.
“Nama Jo tu macam nama lelaki, Johanna. Kamu
kan perempuan,” kata Mak Mah lagi. Dia terus menyambung
memasak mihun goreng.
“Tak apa, Mak Mah. Mak Mah panggil Jo aje. Lebih
mesra.” Johanna sudah menyeringai. Bau masakan Mak Mah
buat perutnya berbunyi. Lagipun dia tidak sempat sarapan
tadi.
“Jo dah sarapan?” tanya Mak Mah. Macam tahutahu
aje apa yang dia fikirkan.
“Belum, Mak Mah. Lapar ni. Bangun aje pagi tadi
terus naik bas ke sini. Tak fikir apa dah,” ujar Johanna. Dia
memerhatikan perempuan yang bertubuh sedikit gempal itu
mengacau mihun di dalam kuali.
“Kalau macam tu, Jo tolong Mak Mah siapkan meja
kat depan tu. Sekejap lagi Tuan Harraz turun nak bersarapan
sebelum pergi kerja. Hah, baru Mak Mah teringat. Dia nak
jumpa Jo dulu,” kata Mak Mah. Kemudian dia menutup api
dapur dan mencapai mangkuk besar pula.
“Dia nak jumpa saya? Nak buat apa?” tanya Johanna
sambil menyusun kuih-muih yang telah Mak Mah sediakan
ke atas dulang.
“Nak interviewlah tu… Senang hati Mak Mah sebab
ada yang tolong. Jo cakap aje nak makan apa.
Mak Mah boleh
masakkan. Itu ajelah yang boleh Mak Mah buat. Nak bagi duit
kat kamu, Kak Umi tak kasi.”
“Tak apa, Mak Mah. Saya okey aje. Saya bawa
makanan ni ke depan ya, Mak Mah.” Johanna sudah
mengangkat dulang.
“Yalah. Kamu susun sekali makanan tu di atas
meja, ya.”
“Baik,” sahut Johanna. Kaki segera melangkah
menuju ke meja makan. Tangannya cekap menyusun piring
yang berisi kuih-muih. Ramai ke orang kat dalam rumah ni?
Macam-macam hidangan yang Mak Mah sediakan, soal
Johanna dalam hati. Dia melangkah ke dapur semula untuk
mengambil minuman dan piring.
“Errr... Mak Mah!” panggil Johanna.
“Ada apa, Jo?” tanya Mak Mah ketika meletakkan mangkuk mihun itu ke atas dulang.
“Berapa orang yang tinggal dalam rumah ni?” tanya
Johanna.
“Tuan Harraz ajelah. Kenapa?” tanya Mak Mah.
Johanna pantas menggeleng. Kemudian dia
menuju ke meja makan sambil membawa hidangan. Sorang
aje tapi sarapan macam ada lima orang! Johanna tersengih
sinis.
Syed Harraz menuruni tangga untuk bersarapan sebelum
ke tempat kerja. Langkahnya bertukar perlahan apabila
ternampak seseorang di meja makan. Budak lelaki mana pula
ni? Setahunya, Mak Mah tak ada anak lelaki. Kak Fairus itu
sajalah anaknya.
Tiba-tiba Johanna menoleh ke belakang dan
terpandang ke arah Syed Harraz. Masing-masing terpegun
untuk beberapa ketika. Mata Syed Harraz tajam merenung
budak perempuan kurus di hadapannya itu.
“Siapa ni, Mak Mah?” tanya Syed Harraz. Kaki mula
melangkah mendekati meja makan. Beg bimbit hitam dan
baju kotnya diletakkan di atas kerusi sebelah.
“Ini Johanna, pembantu yang Mak Mah cakapkan
semalam, tuan,” terang Mak Mah.
Syed Harraz diam tapi matanya masih meneliti
budak itu atas bawah. Semua serba hitam. Dari baju T
gambar sebelah tengkorak, sebelah muka perempuan
cantik... hingga ke seluar jean hitam. Gelang di kedua-dua
belah tangan juga berwarna hitam. Mata bulat yang bercelak
hitam buat kening Syed Harraz terjongket sebelah macam beruang panda. Style macam budak Gothic. Rambut
pula pendek tapi gaya kusut-masai tak bersikat. Syed Harraz
menggeleng perlahan. Mulut kecil itu pula tak berhenti
mengunyah gula-gula getah.
Budak macam ni yang Umi
Zakiah hantar? Biar betul!
Johanna melirik ke wajah lelaki di hadapannya. Gila
kacak! Dengan jambang yang dicukur kemas dan raut wajah
ala-ala model terkenal David gandy, pasti lelaki itu seorang
yang berlagak. Mulut sudah mencebik.
“Siapa namanya tadi?” tanya Syed Harraz.
“Johanna…” balas Johanna bersahaja. Dia berdiri
tegak sambil tangan menyeluk poket jean.
Syed Harraz menghirup air kopi. Nama sedap,
Johanna. Nama perempuan. Tapi bila tengok personaliti...
Huh, langsung tak sesuai dengan nama!
“Cik Johanna, awak dari Rumah Akhlak Mulia ke?”
tanya Syed Harraz. Johanna mengangguk.
“Awak tahu ke buat kerja rumah?” Mata Syed
Harraz sudah mengecil merenung Johanna. Johanna pula
sudah menjulingkan mata ke atas.
“Pasti ada sesuatu perkara yang awak buat sampai
umi hantar awak ke mari, kan??” Syed Harraz merenung
tajam ke arah wajah yang bersahaja itu.
“Saya dah bunuh seseorang!” ucap Johanna dengan
wajah yang serius.
Kening Syed Harraz hampir bercantum. Mulut Mak
Mah pula sudah melopong. Pasti orang tua itu terkejut. Hati
Johanna sudah ketawa.
Mata Syed Harraz meneliti wajah gadis di
hadapannya itu. Nampak macam budak liar saja. Dari gaya
pun Syed Harraz dah tahu. Hmmm..
Johanna terus ketawa geli hati
apabila melihat wajah Mak Mah
yang nampak sungguh terkejut
itu. Terus dipeluk bahu Mak Mah. Kesian, Mak Mah. Pucat
sungguh muka orang tua itu!
No comments:
Post a Comment