Friday 2 October 2015

PENGGARI HATI MR EGO KARYA CIC AIDA

BAB 3



                    Datin Zaleha menuruni anak tangga  sambil membetulkan butang baju kurungnya dicantum kemas.  Tiba di tingkat bawah,  wajah pemandu peribadinya sudah kelihatan tersungging dengan senyuman.
“Selamat pagi datin. Jemput minum.” pelawa Pak Sani penuh sopan.
“Selamat pagi. Pak Sani dah makan? Tak nak tambah lagi?” soal Datin Zaleha. Kerusi ditarik lalu duduk sambil melihat makanan yang telah siap di hidang.
Pak Sani yang selesai membasuh tangan, memandang reaksi majikannya sambil mengelap mulutn dengan tisu. Dia bangun.
“Tak pelah datin, terima kasih. Rasanya cukuplah untuk pagi ni. Perut saya ni  bukannya boleh sumbat banyak sangat makanan waktu-waktu macam ni. Silap-silap karang, nak mencari toilet. Datin makanlah, saya nak cuci kereta sekejap.” jawab Pak Sani berseloroh.
Mendengar ayat Pak Sani, Datin Zaleha tersenyum. Faham benar dia dengan sikap lemah lembut dan berbudi bahasa lelaki tua itu. Kebiasaannya Lutfi lebih awal duduk bersarapan di ruang meja makan. Tapi pagi ini, kelibat anaknya tidak kelihatan. Jam dilihat menunjukkan pukul sembilan pagi. Kak Pah yang datang dari arah dapur, tidak pula menjawab. Pinggan kosong diambil lalu menyenduk nasi goreng yang dibawa sebentar tadi.
“Ha Pah, Fi tak turun lagi? Dah lewat nak masuk office ni. Takkan dia buat hal lagi?” soal Datin Zaleha memandang pembantu rumahnya yang baru saja duduk.
“Belum datin.  Nanti saya jenguk dia dekat atas.  Manalah tau entah-entah si Lutfi ni  kesiangan tak bangun  lagi agaknya. Biar saya pergi tengok.” ujar Kak Pah.
Dia bangun. Tapi Baru saja langkah kaki diatur Datin Zaleha terlebih dulu bersuara.
“Eh Pah, tak payah.  Awak makanlah dulu.  Biar saya pergi jenguk dia dekat atas. Jangan-jangan betul cakap awak tu.” tambah  Datin Zaleha pula.
Wanita itu yang masih belum menjamah makanan dalam pinggannya, bangun berlalu mendaki anak tangga. Perasaannya sedikit gusar.
Kak Pah baru saja meneguk kopi dalam cawan, tiba-tiba dikejutkan dengan panggilan Pak Sani.
“Pah.” tegur Pak Sani mencuit bahu secara mengejut.
“Oh pocot mak kau tergolek.” latah Kak Pah spontan.
Dia menoleh pada Pak Sani yang sedang berdiri disebelahnya. Nasib baik kopi dalam cawan tidak disimbah ke muka lelaki itu. Jika tidak merasalah seperti ayam kebasahan.
“Apahal hal ni Pak Sani? Terkejut Pah. Nasib baik tak ada sakit jantung.” rungut Kak Pah sambil mencapai sehelai tisu lalu mengelap sisa air yang tertumpah.
“Maaflah  Pak Sani tak bukan sengaja. Ni, aku nak tanya kamu. Datin ada tanya kamu mana Lutfi pergi?” soal Pak Sani perlahan. Lelaki itu menarik kerusi sebelum duduk.
“Haah, kenapa? Pak Sani tau ke?” jawab Kak Pah seiring dengan pertanyaannya sepatah. Mulutnya mengunyah makanan. Sekilas reaksi Pak Sani di pandang.
“Tidaklah, masa aku keluar nak cuci kereta tadi, baru aku perasan yang kereta Lutfi tak ada dekat luar. Kamu tau mana dia pergi?” tanya lelaki itu lagi.
“Entahlah. Mungkin dia keluar pergi jogging agaknya. Biasakan pagi-pagi macam ni dia selalu pergi jogging. Yang Pak Sani tanya macam orang buat salah ni kenapa? Ada apa-apa yang tak kena?” ujar Kak Pah turut sama mengajukan soalan.
Masing-masing memandang serentak seolah berteka-teki. Kelibat majikannya yang sudah berlalu ke tingkat atas sempat lagi di pandang.
“Fi, dah bangun ke? Cepat siap sayang, nanti terlewat masuk office. Mama tunggu dekata bawah kita sarapan sama-sama.” panggil Datin Zaleha sebaik mengetuk pintu bilik anaknya.
Perasaan bersalah tentang hal semalam mula bertandang tiba-tiba. Namun cuba di kuatkan hati.
“Fi  dengar tak apa mama cakap? Fi dah bangun  atau masih tidur lagi?”
Tidak pula kedengaran sebarang jawapan. Jika waktu begini, pasti Lutfi bergegas siap sehinggakan kadang-kadang tidak sempat untuk bersarapan. Pelik. Datin Zaleha memulas tombol pintu. Perlahan pintu bilik dibuka. Ternyata kelibat anak lelakinya tiada dalam bilik. Hati sayu mengingat kata-katanya  kelmarin.
Mungkin pertengkaran semalam menyebabkan Lutfi membuat keputusan untuk berlalu dari situ. Berkemungkinan juga anaknya mahu  menunjukkan protes terhadap keputusannya semalam. Sempat pula wanita ini berfikir yang tidak-tidak. Semakin berteka-teki Datin Zaleha memikirkan soal anak harapannya itu.
“Datin, ada panggilan untuk datin. Katanya dari pejabat.” beritahu Kak Pah sebaik muncul depan pintu bilik tersebut.
Dia mendekati  lalu menghulurkan telifon pada majikannya. Reaksi sedih wanita itu sedikit kelihatan. Namun Datin Zaleha pantas mengawal supaya tidak diketahui oleh pembantunya.
 “Hello…” Datin Zaleha bersuara.
“Hello datin, maaf saya mengganggu. Saya cuma nak beritahu datin,  borang yang datin minta kelmarin saya dah siap print. Ada apa-apa datin nak tambah?” soal Yati di talian.
“Bagus. Buat masa ni belum ada lagi. Tapi pastikan semuanya tidak lebih dari sepuluh.” Jawab Datin Zaleha ringkas.
“Mm…kalau encik Lutfi tanya, saya nak jawab apa?” sekali lagi pertanyaan dari Yati.
“Itu awak tak perlu risau. Biar saya yang uruskan. Awak buat apa yang saya suruh.” berbunyi tegas arahan dari Datin Zaleha.
Bingkai gambar yang ada di hadapannya di pegang. Wajah Lutfi dalam foto tersebut membuat fikiran wanita itu berfikir sesuatu.
“Kalau macam tu saya akan letak borang ni atas meja encik Lutfi nanti.” beritahu Yati di hujung talian.
“Jangan. Aa..tak maksud saya, letak atas meja dekat bilik saya. Biar saya yang senarai pendek borang tu dulu.” Datin Zaleha pantas menjawab.
“Baik datin.”  ayat akhir Yati di hujung perbualan.
“Morning mama.’ tegur Lutfi dari arah belakang.
Datin Zaleha yang sedikit terkejut pantas menoleh pada suara itu. Dia yang baru saja mematikan talian telifon terlihat anaknya tegak memandang dengan senyuman.
“Morning.”  jawab Datin Zaleha sepatah.
“Mama dah sarapan?” lembut pertanyaan anak lelakinya.
“Belum. Mama ingatkan Fi dah keluar. Jadi terpaksalah mama sarapan sorang-sorang ” berbunyi rajuk jawapan  wanita itu.
Dia tidak memandang reaksi anaknya yang sudah tersenyum. Langkahnya diatur menuju keluar dari bilik.
“Sorry, lupa nak bagitau mama Fi keluar jogging tadi. Lama tak jogging rasa beku otak ni nak berfikir banyak-banyak.”
“Eloklah tu. Sekarang waktu  masuk office. Fi tak call Yati bagitau dia? Jangan nanti macam-macam alasan yang mama dengar. Jangan sampai kerja-kerja dekat office tu tertangguh. Tolong jaga prestasi kerja Fi. Mama tak suka ada anasir lain yang mengganggu.” sinis di penghujung ayat Datin Zaleha mengingatkan anaknya. Namun Lutfi mengagak kata-kata itu sekan menyentuh tentang teman wanitanya Rania.
“Terima kasih ma, sebab ingatkan Fi. Awal pagi lagi Fi dah sms Yati  masuk lewat sikit. Lagipun tak ada meeting hari ni. Mama tak kisah kan?” ujar Lutfi  dengan senyuman. Dia perasan reaksi mamanya seperti acuh tak acuh saja memandang.
“Terpulang pada Fi. Fi dah besar sepatutnya tau buat keputusan sendiri. Mama yakin, lepas ni  Fi boleh buat semuanya walaupun tanpa mama.”
Dahi Lutfi bertemu sebaik mendengar kata-kata itu. Dia perasan, sedari tadi mamanya seperti tidak berminat saja berbual dengannya. Mungkin hal semalam masih lagi membuatkan wanita itu berkeras hati. Lutfi yang tidak mahu perkara itu berpanjangan,cuba memberanikan diri memujuk mamanya kembali. Sebaik langkah wanita diatur, pantas Lutfi menghalang lalu berdiri depan  mamanya.
“Mama, kenapa cakap macam ni? Fi tau mama masih marahkan pasal semalam. Memang Fi mengaku, Fi bukan anak yang baik. Fi selalu buat mama sedih, susah hati, bantah cakap mama, tapi itu tak bermakna Fi tak sayangkan mama. Cuma Fi minta, mama tolong faham perasaan Fi. Fi janji akan ikut dan tak akan bantah cakap mama lagi.” rayu Lutfi memandang sayu wajah mamanya. Tangan kanan Datin Zaleha di gengam.
Hati wanita itu  sudah tersentak mendengar kata-kata anaknya. Tapi tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan oleh Datin Zaleha kerana ego membataskan dirinya untuk berlembut hati saat itu. Lutfi bersuara lagi.
“Kalau papa masih ada, mesti dia kecewa tengok Fi buat mama macam ni. Fi minta maaf ma.” ucap Lutfi redup pandangannya.
Tangan mamanya dikucup penuh hormat seakan meraih simpati. Datin Zaleha terasa sebak tiba-tiba. Perasaannya cuba dikawal.
Tidak tergamak rasa dihati membiarkan anaknya berbuat demikian merayu, meminta maaf semata-mata cuba menjaga perasaanya. Tidak, itu bukan sikapnya. Inilah harapannya yang ada di pandangannya. Mustahil dia akan membiarkan Lutfi begitu saja dengan kehidupan tanpa sokongan dan dorongan seorang ibu sepertinya. Amanah harus dikotakan.
“Sayang, mama cuma boleh jadi penasihat dan tunjuk ajar pada Fi. Hidup tak semudah yang kita sangka. Jadi mama nak  Fi tau ini semua untuk kebaikan dan masa depan Fi. Kebahagiaan Fi kebahagiaan mama. Mama harap Fi faham.” ujar Datin Zaleha lembut.
Airmata bertakung dipelupuk mata. Lutfi yang memandang terharu seketika. Hati Lutfi turut dihambat rasa sebak melihat kesedihan yang terpaksa ditanggung oleh wanita itu.
“Terima kasih ma. Fi janji  tak akan sia-siakan harapan mama dan  keluarga kita. Maafkan Fi.” ucap Lutfi turut sebak. Pantas  dipeluk erat Datin Zaleha saat itu.
Serasa ringan bebanan dikepala, walaupun dia sedar penerimaan wanita itu terhadap teman wanitanya masih dingin. Yang jelas Lutfi tidak akan mengalah, cuba memujuk hati mamanya sekali lagi merestui hubungan cintanya bersama Rania. Jika apa yang difikirkan menjadi kenyataan, Lutfi percaya semuanya akan berubah pada yang lebih baik.


















No comments:

Post a Comment