Thursday 12 November 2015

BAHAGIA MENGETUK HATI KARYA AMANDA ZEE

BAB 4



AKU hanya memandang papa yang bergegas keluar dari biliknya. Sebaik mesyuarat tadi selesai kami sama-sama kembali ke sini. Entah ada apa agaknya papa terpaksa keluar pejabat. Mungkin ada janji temu dengan pelanggan syarikat.
Termangu-mangu aku sendirian di dalam bilik papa yang maha luas ini. Tidak tahu nak buat apa walaupun sebelum keluar tadi papa sempat tinggalkan pesanan penaja. Mengingatkan aku untuk segera pergi ke bahagian kewangan. Jangan nak melangut lama-lama di dalam bilik kerja dia. Banyak yang perlu aku pelajari di sana nanti katanya.
Ya Allah, malasnya. Sungguh aku tak main-main. Huruf M memang selalu mengekori aku kalau dipaksa membuat sesuatu yang aku tidak suka. Kenapalah aku mesti tahu pasal kewangan syarikat. Kata dah ada akauntan terbaik. Jadi apa perlunya aku tahu semua tu. Menyesal betul ikut cakap papa.
Perlahan-lahan aku menapak keluar dari bilik kerja papa. Mendekati Kak Yana yang ralit menghadap komputer.
“Kak Yana…” Aku merengek di depan meja Kak Yana. Pen di tangan aku ketuk-ketuk di atas meja. Sengaja menarik perhatian Kak Yana. Harap-harap Kak Yana tak memaksa aku.
Kak Yana mendongak. Merenung aku dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
“Dah sedia nak ke sana?” Kak Yana tersenyum.
Aku tahu senyuman Kak Yana ikhlas tapi kenapa hati aku terasa seperti senyuman mengusik.
“Kalau duduk dekat sini aje tak boleh ke?” Aku kerdip-kerdipkan mata. Manalah tahu Kak Yana terpancing dengan muka comel aku ni.
Ruang pejabat papa ni luas. Tak salah kalau disediakan satu meja untuk aku. Lagipun memudahkan papa untuk memantau aku. Aduh, Ernie! Banyaknya alasan kau.
“Banyak cantik muka kau.” Ada satu suara yang menyampuk dari belakangku.
Pantas aku menoleh. Dia? Mamat bajet bagus? Apa mahunya di sini? Aku tak seru pun nama dia. Apahal pula menyibuk dekat sini.
“Kenapa kau nak sibuk-sibuk pula? Kalau dah driver tu buatlah cara seorang driver.”
Terbatuk-batuk Hazim kala mendengar kata-kataku.
Aku menjeling dia tajam. Sesedap mulut aku aje kan cakap dia ni seorang pemandu. Walhal tiada seorang pun yang perkenalkan siapa dan apa jawatan Hazim kepada aku. Tapi rasanya memang profesion itu sesuai dengan dia.
“Cik Ernie, En…”
Aku memandang Kak Yana yang seperti ingin memberitahu sesuatu tetapi termati kata-katanya. Hanya gelengan yang diberikan kepada aku.
Aku memandang Hazim pula. Yalah tadi dia terbatuk-batuk tetapi sekarang merenung Kak Yana pula. Mereka berdua ini seolah-olah berbicara tanpa suara. Sakit pula hati aku. Tidak mengumpamakan aku yang ada di ruang yang sama.
“Apa, Kak Yana?” Kening aku jongketkan. Menuntut Kak Yana menghabiskan kata-katanya. Pelik dengan sikap Kak Yana yang berubah tiba-tiba. Sedari tadi asyik gugup aje nak bercakap. Hazim ni bukan siapa-siapa pun yang dia nak takutkan. Kalau Hazim lebih-lebih, tahulah aku nak mengadu dengan papa.
“Errr…” Kak Yana memandang aku sebelum memandang Hazim pula.
“Lebih baik kau ke sana cepat. Tak ingat apa Dato’ Ehsan cakap dalam mesyuarat tadi?” Hazim memotong.
“Alah itu semua aku boleh uruskan. Aku anak dia tahulah aku nak cakap dengan dia macam mana.” Aku membidas kata-kata Hazim bersama satu jelingan maut. Cukup aku tak suka bila ada yang pandai-pandai nak menentukan apa yang aku boleh dan tidak boleh buat. Lagilah dari orang yang aku tak kenali.
“Cuba jadi orang yang matang sikit, Ernie. Jangan campur adukkan hal rumah dengan pejabat.” Hazim berkeras. Sikit pun tidak takut dengan jelingan aku tadi.
“Eee… jangan sibukkan hal aku, boleh tak?” Aku besarkan mata memandang dia.
“Aku memang suka jadi penyibuk. Terpulang kau nak cakap apa. Amanah orang aku kena pegang. Tolonglah, Ernie. Banyak yang perlu kau pelajari. Dato’ Ehsan pun cakap macam itu juga, kan.” Hazim merayu. Wajahnya nampak sayu ketika memandang aku.
Wah! Mamat bajet bagus pandai pujuk. Seronoknya. Serius aku suka tapi kalau perangai dia seperti lelaki yang aku idamkan, sungguh aku patuh pada segala kata-katanya.
Okey, Ernie. Tolong jangan cepat cair. Tetapkan hati. Kau kena kuat. Aku memujuk hatiku sendiri. Biasalah hati aku ni. Suka sangat menderhaka.
“Penting ke aku kena ke sana? Apa guna syarikat gajikan akauntan hebat?” Aku membangkang. Menyindir dalam diam. Pada masa yang sama sengaja mahu bermain tarik tali dengan kedua-dua orang di hadapan aku ini. Dah papa yang canang macam tu. Jadi aku tak nampak apa kepentingan aku perlu ke sana.
“Kalaulah aku ni Dato’ Ehsan, dah lama aku tangankan kau. Tahu tak?” Hazim berdecit bersama mata yang membuntang. Menggeleng melihat kedegilan aku.
“Sebab itu kau bukan papa.” Aku mencemik.
Tak suka dengan kata-kata Hazim. Mamat bajet bagus ini seolah-olah memperlekehkan papa. Apa yang dia muntahkan dari mulutnya itu seolah-olah menyatakan papa tidak pandai mengajar anak. Papa tak bersalah. Aku ini yang degil. Mewarisi sikap mama. Membantah jika ada peluang.
Errr… maknanya betullah kata-kata dia tu? Aku merenung wajahnya. Sedaya-upaya wajahku dibiarkan beriak sedih. Mengharapkan dia dan Kak Yana tidak mendesak aku lagi. Strategi perlu ditukar. Kekerasan bukan jawapan terbaik buat masa ini.
“Jangan nak buat muka sedih macam tu. Tak jalan dengan aku.” Hazim jegilkan matanya. Tangan sudah mencekak pinggang. Memandang aku tanpa perasaan belas.
“Kak Yana…” Aku berpaling pada Kak Yana. Suaraku sudah tidak sekeras tadi. Lembut dan manja.
Aku mendekati Kak Yana. Tangan Kak Yana aku paut. Kak Yana aku lihat tersenyum-senyum. Entah apa agaknya yang bermain dalam kepala otak Kak Yana tu agaknya. Mesti mengata aku macam-macam bila melihat aku dan Hazim bertekak. Tapi aku tak salahkan Kak Yana kalau dia berfikiran macam tu. Cara aku dan Hazim menegakkan pendapat masing-masing macam sudah kenal lama.
“Cik Ernie, apa yang dikatakan Encik Hazim tadi tu ada betulnya. Cik Ernie kan satu-satunya anak Dato’ Ehsan. Cik Ernie perlu tahu selok-belok kewangan syarikat. Di situlah mulanya sumber bagi sesebuah syarikat.” Kak Yana memujuk.
“Kena pergilah ni?” Bibirku sudah muncung ke depan.
Kak Yana mengangguk.
“Wajib.” Hazim menyampuk.
 “Sibuk.” Aku jelirkan lidah pada dia.
“Tak comellah.” Hazim mencebik.
Aku menjeling. Tak boleh agaknya zip mulut tu. Bukan aku nak suruh dia puji comel pun.
Kak Yana ketawa.
“Nak kena bawak apa-apa tak, Kak Yana?” Tangan Kak Yana masih aku pegang.
“Bawak badan kau ajelah.” Hazim menjawab lagi bagi pihak Kak Yana.
“Eee… aku tanya Kak Yanalah.” Sekali lagi satu jelingan tajam aku lemparkan. Tak suka betul aku bila Hazim sibuk menyampuk. Ada aje kata-kata sarkastik yang keluar dari mulut dia.
“Betul kan, Yana?” Hazim menyoal Kak Yana.
“Macam-macamlah korang ni.” Kak Yana masih lagi ketawa sebelum menyambung kata-katanya.
“Encik Hazim, baik bawa Cik Ernie ni ke sana sekarang. Saya ada banyak lagi surat-surat nak kena siapkan. Karang kalau Dato’ Ehsan dah balik pejabat, satu benda pun tak siap lagi. Saya juga yang kena marah.”
“Kak Yana halau Ernie?” Tangan Kak Yana aku lepaskan. Merajuklah konon-kononnya. Drama kena lebih. Lakonan kena mantap.
“Bukan macam tu, Cik Ernie.” Aku lihat Kak Yana dah kalut. Kini giliran tangan aku pula dipautnya.
Senyuman yang mahu terbit aku kulum sedalam-dalamnya. Takut Kak Yana tangkap tipu helah aku.
“Dah. Jangan nak berdrama sangat dekat sini. Meluat aku.” Hazim yang sudah duduk santai di sofa memandang aku dan Kak Yana.
“Kak Yana, dekat kewangan tu ada yang hot-hot tak?” Aku kalih topik. Malas nak melayan cakap-cakap Hazim. Baik aku cuba cari sumber ilham menarik dekat sana. Dapatlah juga mengubat hati yang lara ni sambil cuci mata.
“Ramai. Ada dalam 3 ke 4 orang macam tu. Termasuklah akauntan dia. Itu yang paling hot.” Kak Yana mula bergosip.
Really?” Aku sudah mula teruja.
Gadis mana yang tak suka bila dengar ada lelaki kacak dan tampan di depan mata. Mesti hari-hari aku seronok dekat situ. Tak adalah jemu sangat menghadap angka-angka. Sudahlah masa belajar dulu puas melihat nombor. Bekerja pun kena tengok angka.
Hello, Ernie! Lupa ke kau memang ambil jurusan perakaunan. Haruslah kena menghadap semuanya tu.
Ketika itulah Hazim terbatuk-batuk. Siap berdeham bagai.
Aku mengerling dengan ekor mata. Hish… apahal pula mamat bajet bagus ni. Macamlah orang mengata dia.
Kak Yana ketawa kuat.
“Kalau akauntan tu lalu, semua mata-mata anak dara tak lepas memandang. Mak-mak dara pun sama juga.” Kak Yana menyambung lagi.
“Sayanglah dia tak ada tadi. Kalau tak mesti Ernie dah jumpa dia, kan Kak Yana.” Aku mengeluh.
“Rasanya Cik Ernie dah jumpa dia.” Kak Yana tersenyum.
“Ya ke?” Berkerut dahi aku. Masalahnya papa tak ada pun kenalkan siapa akauntan syarikat masa mesyuarat tadi. Ke ada tapi aku tak perasan?
“Dah boleh pergi sekarang?” Hazim menyampuk. Sudah berdiri di muka pintu.
“Hish… tak boleh tengok orang senang.” Aku menjeling.
“Dah pergilah. Kata nak jumpa akauntan hot.” Kak Yana mengumpan.
“Okeylah.” Aku membalas lemah. Bersetuju sebab akauntan hot tu walau aku tak tahu siapa.
Aku berjalan setapak demi setapak mendekati Hazim.
“Belajar bukan menggatal.” Hazim terus berlalu.
“Ek eleh.” Aku mencebik. Suka hati akulah.
Good luck, Cik Ernie!” Kak Yana melaung padaku sebelum pintu aku tutup.

No comments:

Post a Comment