BAB 3
TELINGAKU diganggu bunyi yang membingitkan. Kalut
aku mencari puncanya. Tanganku menggagau di bawah bantal. Tersentuh benda
keras, jari kutekan. Bunyi itu hilang. Lega. Baru hendak menutup semula mata
yang terpisat-pisat, pendengaranku diganggu lagi. Ketukan bertalu-talu di pintu
bilik pula.
"Siapa pula ni? Sekejap!" Kacau
daun betul namun aku gagahkan juga bangkit dari katil. Sempat aku kerling jam
di dinding. 5.45 pagi.
"Hmmm..." tanya aku malas
tanpa memandang orang di depan sebaik pintu aku kuak dari dalam. Sebaliknya aku
ralit menenyeh mata yang masih sukar untuk dibuka. Berat betul kelopak mataku
pagi ini. Entah berapa ratus ekor syaitan agaknya yang bergayut.
“Apa nak jadi dengan kamu ni?”
“Papa…” Meleret suaraku bernada malas.
Tak sangka papa sanggup mencemar duli datang ke tingkat atas semata-mata mahu
mengejut aku.
"Masuk pejabat hari ni." Satu
arahan muntah dari mulut papa.
"Huh?" Terlopong mulutku. Dan
dan mataku terbeliak. Terkedip-kedip menatap wajah papa. Patutlah papa rela
hati mengejutkan aku. Itu sebenarnya tujuan papa ke sini.
"Jangan nak buat muka terkejut.
Selepas solat, turun sarapan. Kita pergi pejabat sama-sama," arah papa
lagi.
"Kalau tak pergi?" Aku cuba
tawar menawar. Bukan tak biasa berurusniaga dengan papa. Sudah selalu dan
selalunya papa menerima tawaran aku.
"Semua kemudahan papa tarik balik.
Perintah berkurung akan berkuatkuasa." ugut papa.
"Benci." Terus kututup pintu
tanpa pedulikan papa yang masih berdiri di situ. Kaki aku hentak-hentak tika
berjalan ke katil. Tanda memprotes atas arahan papa tadi.
Entah apa angin papa agaknya hari ini.
Memaksa aku menurut perintahnya. Mungkinkah sebab semalam? Takkan lah. Aku tahu
papa tahu aku selalu keluar rumah setiap malam. Tak mungkin papa tahu apa yang
berlaku melainkan Hazim bercerita. Ya, melainkan Hazim bercerita.
"Jangan lambat." Papa beri
amaran bersama satu ketukan kuat pada pintu bilikku.
"Arghhh!" Aku menjerit sekuat
hati. Ingatkan papa sudah tiada. Rupa-rupanya setia berdiri di depan pintu
bilikku. Lagi satu papa ni macam tahu-tahu aje aku nak beradu semula. Pasal
kerja tu bukan ke papa tahu aku belum bersedia hendak bekerja. Belum puas enjoy.
AKU bersandar lemah. Kenapalah aku tiada
adik-beradik? Kalau ada bolehlah aku mengelat. Tidaklah aku ada di dalam kereta
dengan papa sekarang ini. Aku menggeleng. Banyakkan beristighfar, Ernie.
Percaya kepada qadak dan qadar Allah.
"Nak tunggu sampai bila?" Papa
pandang muka aku.
Masa ini aku rasa macam nak cekik-cekik
Pak Samad. Kenapalah dia pandu kereta ni perlahan sangat. Skema betul. Kalau
bawa dengan kelajuan ala-ala budak baru lepas dapat lessen, pukul berapanya nak
sampai ke pejabat. Selalunya tidak sampai setengah jam sudah sampai. Itu pada
firasat akulah sebab papa selalu akan hantar laporan pada mama. Ini mesti papa
berpakat dengan Pak Samad, dugaku.
"Kalaulah papa ada anak
lelaki..." Papa merenung ke luar tingkap.
"Pa..." Tangan papa aku raih.
Malas mahu mendengar melankolik papa di pagi hari. Suka sangat menduga hati aku
dengan kata-kata syahdu.
Papa menoleh. Tersenyum memandangku.
Tanganku ditepuk lembut.
Itu kelemahan aku. Tidak sampai hati
melukakan hati papa. Sementelah dia yang menjaga aku selama ini selain mama.
"Ernie akan seronok, sayang. Trust me." Papa gosok kepalaku.
Tona suara papa juga lembut. Mendalam hingga mampu menusuk ke dalam hatiku yang
tebal ini.
Aku renung wajah papa. Cuba kuikhlaskan
riak di wajah. Tidak mahu papa terasa hati dengan sikapku tadi. Akhirnya aku menadah
telinga bersama senyuman di bibir sambil mendengar cerita papa.
"We're are here. Come." Papa menggamit. Sabar menunggu aku di
luar kereta.
Aku terpinga-pinga. Sudah sampai
rupa-rupanya. Khusyuk mendengar cerita papa hingga tidak sedar kami sudah tiba.
Badan aku tegakkan. Ada debaran di dada. Seolah-olah ada sesuatu yang menanti
aku di dalam sana.
"Selamat pagi, dato'." Itu
sahajalah ayat yang aku tangkap sepanjang berjalan menuju ke bilik kerja papa.
Bosan. Tak pasal-pasal aku juga terpalit
sama. Terpaksa lemparkan senyuman plastik. Itu pun selepas mendengar leteran
papa. Papa kata kita kena kenal dan mesra dengan semua staff. Tanpa mereka kita
tak akan jadi seperti apa yang kita ada hari ini.
"Pa, toilet?" Aku berpura-pura tidak senang berdiri apabila sampai
di depan pintu bilik papa.
"Nervous?" Papa menyoalku.
Aku mengangguk kemudian menggeleng.
Papa ketawa tapi diberitahu juga arah ke
tandas.
Kelam-kabut aku berjalan. Betul kata
papa. Mungkin aku gementar. Jam 9.00 nanti papa akan memperkenalkan aku kepada
semua staff. Aku akan diletakkan di bahagian kewangan untuk permulaan. Papa
mahu aku tahu kedudukan kewangan syarikat. Papa kata akauntan syarikat ini
adalah yang terbaik setakat ini. Bila masa aku dapat info semua ni? Dalam
kereta tadilah.
"Opsss... maaf." Satu suara
garau menerjah gegendang telingaku.
Serentak itu tanganku menekan dinding
mengelak diriku dari tersembam ke lantai. Mana tidaknya. Badanku dilanggar kasar
hingga hampir terjatuh. Nasib tangan aku cekap. Kalau tidak memang aku buat
wayang percuma dekat sini. Orang yang melanggar aku ini pun matanya letak dekat
manalah. Agaknya balasan Tuhan kerana aku tidak ikhlas menerima arahan papa.
Aku mendengus. Kepala aku dongakkan.
"Kau?" Terkejut aku melihat pemilik
suara garau yang meminta maaf.
Penampilan dia berbeza dari semalam.
Kalau semalam dia nampak segak dengan hanya berbaju t, denim biru dan sneakers. Hari ini dia bertambah segak
dengan kemeja lengan panjang biru gelap, bertali leher biru lembut dan
berseluar panjang hitam serta berkasut hitam berkilat.
"Memang betullah aku hensem."
Hazim ketawa.
"Perasan." Aku berpaling. Cuba
menyorokkan wajah.
Oh, Ernie! Kenapa kau suka tunjukkan
kebodohan depan dia? Aku tak bersalah. Siapa suruh dia menjadi makhluk Allah
yang paling indah untuk dilihat? Kalau perempuan lain yang memandang pasti akan
bereaksi sama seperti aku.
Kepala aku dah ting tong agaknya. Sibuk
bercakaran pasal mamat bajet bagus ini dalam otak. Wait, apa dia buat dekat sini?
"Akhirnya." Hazim bersuara.
Bersandar santai di dinding dengan sebelah tangan di dalam kocek seluar.
Aku memandangnya semula. Dahi aku
kerutkan. Tidak faham.
Hazim tersenyum nakal. Mata dikenyitkan
sebelum dengan selamba dia berlalu dari situ.
Haish...mmamat bajet bagus ini, memang
menduga iman aku betul. Suka sangat meninggalkan aku dengan teka-teki. Ingat
aku ni mahir sangat meneka dalam kesamaran.
"Ernie!"
Laungan kuat suara papa mematikan
lamunanku. Nampaknya aku tidak dapat melepaskan 'hajat'. Semuanya gara-gara
mamat bajet bagus tadi.
"Sudah?" Papa tersenyum.
Bertanya sebaik aku berdiri di hadapan dia.
Aku hanya mampu mengangguk. Malu dengan
soalan papa. Boleh pula bertanya soalan serupa itu di depan orang.
Pembantu peribadi papa yang bersama-sama
menunggu aku turut tersenyum memandang aku. Dia menghulurkan sebuah daily planner dan sebatang pen kepada
aku.
"Semua dah masuk, Yana?" Papa
menoleh kepada pembantu peribadinya.
"Sudah, dato'. Tunggu dato' dan Cik
Ernie saja," jawab Yana yakin.
Berdebar-debar dada aku bila mendengar
jawapan Yana. Mesti semua staf hadir. Mampukah aku berdepan dengan mereka
semua? Come on, Ernie. You can do it, girl.
"Kalau macam tu, kita pergi
sekarang. Saya pun ada hal lain selepas ni." Papa sudah melangkah terlebih
dahulu.
Yana menurut.
Aku? Sengaja melengah-lengahkan
langkahku. Macamlah aku tak perlu masuk ke dalam bilik mesyuarat itu kan.
"Assalamualaikum." Papa
memberi salam sebaik pintu bilik mesyuarat dibukanya.
Salam papa dijawab serentak oleh semua
yang ada di dalam.
Aku kaku. Mata meliar memerhati
sekeliling. Pandangan aku terhenti pada satu susuk tubuh yang sedang leka
berbual di sudut bilik.
Dia? Dia pun ada di sini? Bermakna aku
akan berjumpa dengan dia setiap hari. Tuhan, rencanaMu sangat hebat tetapi mampukah
aku?
"Ernie!"
Saat nama aku dipanggil, mata berlaga
dengan pandangan Hazim. Aku termalu sendiri. Perasan ada senyuman sinis di
bibirnya. Untuk kesekian kali, aku tertangkap ketika ralit memandang dia.
No comments:
Post a Comment