Monday, 2 March 2015

CINTA 3 RASA KARYA WARDINA AISYAH

BAB 4


SEKEMBALINYA Tengku Danish dari pejabat tepat pukul 6.00 petang, dia disambut mesra oleh isterinya di muka pintu utama. Bukan main menggoda lagi senyuman sang isteri. Bisa menggegarkan iman nipisnya.
Namun dalam senyuman penuh menggoda itu, terselit juga rasa curiga melihat di hati Tengku Danish. Jika sudah begini senyuman isterinya menyambut kepulangannya, tentu ada sesuatu yang dimahukan. Percayalah! Dia cukup kenal perangai isterinya yang seorang itu. Hampir tujuh tahun mendirikan rumah tangga, dia sudah cukup ‘masak’ dengan sikap isteri tercinta.
“Assalammualaikum.” Ucap Tengku Danish kala sampai ke pintu utama.
Waalaikumusalam.” Qisya menjawab mesra seraya menyalam tangan suaminya. Briefcase dicapai lalu lengan sasa suaminya itu dipaut. Mesra kemain!
Beririgan mereka menuju ke sofa. Anak-anak kelihatan sibuk menonton rancangan kartun Disney kegemaran mereka. Tengku Aisy yang masih kecil itu pun bagaikan mengerti dengan cerita kartun yang ditayangkan petang ini. Tak berkedip-kedip matanya memandang setiap gerak-geri kartun Princess Sofia dan rakan-rakannya itu. Ku Alisha dan Ku Anisya jangan cakaplah, memang kartun menjadi pilihan utama mereka.
“Abang… minum.” Qisya menghulurkan secawan jus oren kepada suaminya.
Terkejut Tengku Danish. Ralit sangat melihat anak-anak sampaikan dia tak sedar isterinya menghilang ke dapur mengambil secawan jus untuknya. Pantas cawan bertukar tangan. Perlahan dia meneguk jus oren sejuk setelah menyebut bismillah di dalam hati. Lega rasa tekaknya. Alhamdulillah….
Qisya tersenyum-senyum. Seronok melihat wajah suami tercinta.
“Abang… hari ni Qisya masak makanan kegemaran abang tau. Nanti lepas abang mandi kita makan sama-sama ya.”
Hmmm… ya la.” Sepatah saja jawapan Tengku Danish.
“Banyak kerja ke dekat ofis hari ni?” rancak pula Qisya bertanya.
“Macam biasalah sayang. Kerja dekat ofis tu mana pernah nak habis. Lepas habis satu kerja, masuk pula satu kerja baru.”
Hmmmye tak ye jugak kan. Abang kan bos besar. Kenalah kerja lebih sikit kalau nak majukan Istana Kristal. Kena tunjuk sikap yang positif pada semua pekerja bawahan baru boleh jadi bos yang baik dan diteladani.”
Sejak Tengku Danish menggantikan walidnya sebagai Pengarah Urusan Istana Kristal Holding, kerjanya memang bertambah. Dia tak boleh memberi sepenuh tugasan kepada pegawai bawahan. Setiap kerja perlu diteliti seperti yang selalu walid lakukan dulu. Mujur juga ada Tengku Rayyan yang selalu membantu. Adiknya itu memang cemerlang melakukan kerja-kerjanya. Melancarkan segala kerja yang ada.
“Okey la sayang. Abang naik atas dulu. Badan ni dah lekit. Abang nak mandi.” Tengku Danish bergerak untuk naik ke atas.
Hmmmye la. Abang pergilah mandi. Qisya nak panaskan lauk makan malam kita.” Qisya juga sudah bangun. Langkah dibawa ke ruang dapur.
“Sayang dah mandi ke?” tanya Tengku Danish apabila mindanya teringatkan sesuatu.
“Dah. Kenapa?”
“Rugi la. Ikutkan hati abang nak ajak sayang mandi bersama abang tadi.” Bersama sengihan Tengku Danish mengenyit mata nakal.
Merah padam wajah Qisya dibuatnya. Matanya dibulatnya. Geram dengan sikap suami yang suka lepas cakap. Depan anak-anak pula tu. Tak senonoh!
“Abang ni… cakap tak pandang kiri kanan langsung! Tak malu ke anak-anak dengar. Dah! Dah! Abang pergi mandi. Qisya nak siapkan makan malam.” Tanpa menghiraukan suami yang nakalnya semakin menjadi-jadi, dia terus berlalu ke ruang dapur.
Lauk-pauk yang sudah dimasak sedari awal lagi hanya perlu dipanaskan sahaja. Sudah menjadi kebiasaannya masak awal. Tepat pukul 4.00 petang, segala kerja dapurnya telah selesai. Kemudian barulah dia bergegas menyediakan anak-anak pula. Menyuruh mereka mandi dan berpakaian. Sementara menunggu makan malam, anak-anak akan diberi dessert mengisi perut. Biasanya buah-buahan segar. Jarang dia memberi anak-anaknya makanan ringan. Bagi Qisya, makanan ringan bukanlah makanan yang berkhasiat buat kanak-kanak. Sekali-sekala itu tak mengapalah.
Selesai mengurus anak-anak, barulah Qisya menyiapkan dirinya sendiri. Mandi dan berhias cantik-cantik untuk menyambut kepulangan suaminya. Jangan fikir sudah berkahwin hampir tujuh tahun, dia tak jaga penampilan diri. Biar dia sekadar suri rumah, tetapi penampilannya bila berdepan dengan suami mengalahkan supermodel buat peragaan fesyen. Namun takdelah over sangat. Dia model muslimah. Kihkihkih….
Hmmm… sedapnya bau. Dari atas abang dah terhidu. Tak sabar nak makan.” Tengku Danish yang muncul di ruang dapur mengejutkan Qisya. Mujur rohnya tak bercerai dari badan. Jika tidak… menduda awal la suaminya itu.
“Abang ni. Buat orang terkejut aje!” marah Qisya. Dadanya diurut perlahan.
Tersengih Tengku Danish mendengar teguran sang isteri. “Sorry la sayang. Tak sengaja. Excited sangat hidu aroma masakan sayang.”
“Abang panggil anak-anak. Ajak dia orang makan sekali.”
Okey madam!” Tengku Danish buat tabik spring. Langkah dibawa keluar mendapatkan anak-anaknya yang ralit menonton TV.
Makan malam berlangsung dalam suasana yang aman. Masing-masing makan dengan penuh berselera. Pasangan kembar Ku Alisha dan Ku Anisya memang gemar ikan keli masak lemak cili api mama mereka. Biar pedas tahap telinga berasap, namun mereka tetap suka. Disebabkan malam itu mama mereka masak makanan kegemaran, si kembar siap tambah nasi dua kali. Begitu juga dengan papa mereka. Bukan main berselera lagi makannya. Senang hati Qisya melihat wajah penuh selera insan-insan tersayang. Terasa penat lelahnya tak sia-sia.
Selesai makan malam, Tengku Danish membasuh pinggan. Memang menjadi kebiasaannya membantu isterinya melakukan kerja-kerja dapur. Kasihan membiarkan sang isteri melakukan kerja seorang diri. Waktu begini, biarlah isterinya itu beristirehat. Dia tak mahu terlalu membebankan isterinya setelah apa yang dilakukan untuk keselesaan mereka sekeluarga. Dia amat bersyukur kerana Allah menganugerahkan seorang isteri seperti Qisya Nur Alifa kepadanya. Wanita terbaik dalam hidupnya dan anak-anak.
Di ruang tamu, Qisya sedang memberi susu badan kepada Tengku Aisy. Sambil menyusu, punggung Tengku Aisy ditepuk-tepuk agar anak kecil itu terlena. Tak susah menidurkan Tengku Aisy. Beri susu badan saja, pasti anaknya itu akan tidur dengan nyenyak.
Tersenyum senang Tengku Danish melihat isteri dan anak-anaknya di ruang tamu. Dia yang baru selesai menyudahkan kerja di dapur segera menyertai mereka. Esok sabtu. Hari cuti. Disebabkan itulah dua puteri kembarnya itu masih belum tidur lagi. Jika waktu sekolah, pukul 9.00 malam sahaja rumah ini sudah sunyi kerana anak-anak telah masuk tidur.
“Along buat apa ni?” tanya Tengku Danish pada anak sulungnya, Ku Alisha. Walau Ku Alisha dan Ku Anisya kembar seiras, namun disebabkan masa dua minit yang membezakan keduanya menjadikan Tengku Nur Qaireen Dalisha ini sebagai along.
“Along tengah lukis gambar papa, mama, along, angah dengan adik.” Satu demi satu nama itu meniti pada bibir comel Ku Alisha. Gambar orang yang dilukis ditunjukkan kepada papanya.
“Wah… cantik la. Pandai anak papa melukis.” Puji Tengku Danish. Kepala anaknya digosok-gosok. Menyebabkan si kecil itu ketawa gembira.
“Nanti dah besar… along nak buka kedai melukis macam Uncle Rezza.” Petah sekali Ku Alisha menutur kata. Dia pernah ke galeri seni lukis sepupu papanya itu bulan lepas. Kagum sungguh dia melihat hasil seni Uncle Rezza. Mulai hari itu, Ku Alisha menyimpan cita-cita mahu menjadi seorang pelukis seperti Uncle Rezzanya.
Mendengar bicara anaknya, Tengku Danish tersenyum. Setiap kali berjumpa Raja Rezza di galeri seninya itu, dia pasti teringat kenangan silam. Bermula dari situlah terciptanya hubungan dia dengan Qisya. Jika bukan kerana perasmian pembukaan galeri itu, tentu dia tak akan melamar Qisya di hadapan semua orang. Baginya kenangan itu cukup manis untuk dikenang.
“Kalau nak buka kedai macam Uncle Rezza, along kena belajar rajin-rajin. Jangan asyik main aje. Faham?”
Ku Alisha mengangguk. Tumpuan kembali ditala pada lukisan di hadapannya. Manakala Ku Anisya sibuk sungguh bermain dengan patung Barbie dan rumah kecil barunya. Anak seorang itu memang gemar bermain rumah-rumah. Koleksi patung Barbie yang dimilikinya dah tak terbilang dengan jari.
“Aisy dah tidur ke?” tumpuan Tengku Danish beralih pada sang isteri. Punggung dilabuhkan di sebelah Qisya yang sedang menyusukan Tengku Aisy. Dia suka melihat isterinya itu menyusukan anak-anak mereka. Dulu waktu si kembar kesayangan seusia Tengku Aisy, isterinya menyusukan mereka dengan susu badan sehingga berusia dua tahun.
Qisya memberi isyarat dengan meletakkan jari telunjuk ke bibir. Tengku Aisy baru saja terlena. Dia tak mahu si kecil itu terjaga hanya kerana suara papanya.
Tengku Danish mengangguk. Comel benar anak lelakinya itu terlena dalam dakapan mamanya. Kemudian mata di hala ke skrin televisyen. Isterinya itu tak habis-habis dengan drama korea channel 393.
“Apa hal yang penting sangat bonda nak jumpa sayang pagi tadi?” tanya Tengku Danish dengan nada perlahan. Baru dia teringat akan perjumpaan awal pagi antara isteri dan bondanya. Teringin juga dia mahu tahu apa pakatan dua wanita itu.
“Oooo… takde apa. Bonda cuma cakap hal Ryan.”
Teringatkan Tengku Rayyan, senyuman Qisya melebar. Baru dia teringat akan rancangan bersama ibu mentuanya itu. Pantas dia berpaling pada sang suami.
“Kenapa ni?” soal Tengku Danish pelik melihat senyuman isterinya. Senyuman penuh makna tersirat.
Hmmm… Qisya nak tanya abang ni. Staf abang yang nama Mawar tu masih solo lagi tak? Qisya berkenan la dengan staf abang yang sorang tu. Manis aje orangnya. Sesuai jadi ahli keluarga” berbasa-basi Qisya dengan suaminya sebelum pergi kepada tujuan asal.
“Hai… sayang nak jodohkan Mawar tu dengan Qayyum atau Qayyim ke sampai berkenan nak jadikan ahli keluarga?”
Hisy… abang ni. Adakah patut nak dijodohkan dengan budak berdua tak cukup umur tu?! Belajar belum habis, takyah nak gatal-gatal fikir pasal kahwin. Ini bukan untuk Qayyum atau Qayyim, tapi ini untuk Tengku Rayyan tu ha. Adik kita yang sorang tu memang dah selayak-layaknya untuk berkahwin.” Qisya dah tak larat nak berteka-teki. Lebih baik dia berterus-terang sahaja.
“Oooo… untuk Ryan. Ingatkan untuk Qayyum atau Qayyim tadi.”
A’ha la. Untuk Ryan la. Abang tak fikir ke pasal Ryan tu. Umur dia dah tiga puluh tahun. Sepatutnya dalam umur macam tu, Ryan dah fikir pasal kahwin. Ini tidak… asyik menghadap kerja dua puluh empat jam. Nak keluar bersosial dengan rakan-rakan pun takde masa. Itu yang bonda risaukan. Lagipun bang… dah tiga tahun arwah Sofea tinggalkan kita semua. Sepatutnya Ryan kena bangun dari masa silam. Bukannya terus-menerus macam ni.”
Tengku Danish sekadar berdiam. Malas hendak bersuara. Hal berkaitan dengan Tengku Rayyan, dia malas nak masuk campur. Bukan kerana dia tak prihatin. Namun baginya bagilah masa kepada Tengku Rayyan untuk menenangkan fikiran. Soal kehilangan orang tersayang bukan boleh diukur dengan masa. Itu yang isteri dan bondanya tak faham.
“Lagipun Qisya dah janji dengan bonda. Nak tolong bonda carikan calon isteri yang terbaik untuk Ryan.” Sambung Qisya lagi.
“Aik? Sejak bila pula sayang jadi ajen mencari jodoh ni?”
Panjang muncung Qisya. Dia tahu suaminya sedang menyindir.
“Sejak bonda lantik orang kerja dengan dia la.” Kemudian selamba sahaja dia menjawab. Tak mahu mengalah langsung!
Melihat muncung si isteri yang tak ubah seperti itik betina, Tengku Danish menghela nafas. Dia tahu niat baik isterinya itu. Namun dia tak mahulah Qisya berlebih-lebih pula dalam hal mencari calon isteri buat Tengku Rayyan ini. Biarlah jodoh adiknya itu datang sendiri. Bukan diatur oleh keluarga.
Bahu isteri yang sedang memuncung dipeluk erat.
“Sayang… dengar sini. Abang tahu niat baik sayang nak tolong bonda dapatkan jodoh yang baik untuk Ryan. Tapi… dalam soal ni kita tak boleh nak paksa Ryan. Kita serahkan pada Allah dan kehendak Ryan sendiri. Kalau dah tertulis ada seorang perempuan untuk Ryan, tak payah sayang dengan bonda bersusah-payah. Ryan pasti akan berkahwin. Cuma buat masa ni, kita beri masa pada Ryan. Biar dia bertenang dulu.” Penuh berhati-hati Tengku Danish menutur kata.
“Tapi sampai bila bang? Dah tiga tahun berlalu. Ryan tetap macam tu. Ryan seolah-olah tak boleh lupakan arwah Sofea.”
“Masa bukan la ukuran untuk kita melupakan orang tersayang. Kita semua tahu betapa dalamnya cinta Ryan pada Sofea. Sayang sendiri, tahu macam mana Ryan bersusah-payah nak dapatkan cinta Sofea. Bukan mudah untuk Ryan nak lupakan Sofea, sayang. Sofea dah sebati dalam hidup Ryan. Apatah lagi Ryan kehilangan Sofea tiga hari sebelum majlis pernikahan dia orang berlangsung. Itu satu tamparan hebat buat Ryan.”
Qisya diam tak berkutik. Mendengar saja bicara suaminya. Sesekali suaminya itu menutur kata, bicaranya memang bernas dan ‘makan dalam’.
“Kita beri Ryan masa. Insya-Allah abang yakin suatu hari nanti ada perempuan yang berjaya membawa Ryan kembali menjadi Ryan yang dulu. Cuma kita perlu bersabar dan banyak berdoa.” Tengku Danish amat berharap agar isterinya itu sedar akan tindakannya. Tak salah membantu bonda, tetapi mereka perlu memikirkan hati dan perasaan Tengku Rayyan juga.












No comments:

Post a Comment