BAB 2
AKHIRNYA
kami sampai juga di atas jalan raya. Hatiku berasa sedikit lega. Tiada lagi
yang mengejar. Hazim pula kulihat turut menghela nafas. Aku rasa tadi kami
berlari sekuat hati. Selagi ada tanah, semuanya kami pijak. Kalaulah kami
dikurniakan kepak, pastinya dah bertebaran terbang di awang-awangan.
Ernie,
stop it! Jauh sangat kau
berimaginasi.
Aku
berdiri tegak. Mataku pincing ke arah sorotan lampu yang mula mendekat. Cahaya
yang menyuluh sangat banyak. Tika ini, aku sudah tidak mampu untuk bergerak.
Tiada lagi dayaku. Kudratku sudah semakin lemah. Apa saja yang mendatang aku
berserah kepada Tuhan.
Aku
menoleh Hazim di sebelah. Dia juga aku lihat memandang ke arah yang sama. Riak
wajahnya tidak dapat kubaca. Entah apa yang dia fikirkan, aku tak tahu. Hello,
Ernie! Memanglah kau tak tahu. Apa ingat kau ada sixth sense ke.
“Assalammualaikum.”
Ada suara yang menegur.
“Waalaikumussalam.”
Aku dan Hazim menjawab serentak.
Kami
hanya memandang. Sebaik kumpulan itu berlalu, pandangan aku dan Hazim bertaut.
Hazim tersenyum. Begitu juga aku. Lama-lama tawa kami meletus.
Perut
kutekan sedalam-dalamnya. Penat berlari belum hilang, kini ditambah dengan
penat ketawa. Hazim aku lihat juga begitu. Masih lagi ketawa.
Manakan
tidak, ingatkan sorotan cahaya tadi dari lelaki-lelaki durjana yang mengejarku.
Rupa-rupanya orang kampung yang baru pulang dari masjid. Pada perkiraan akulah
bersandarkan pemakaian setiap dari mereka.
"Aku
kena balik." Mulutku berbunyi bila aku sudah boleh bernafas secara normal.
Kali ini aku betul-betul serius. Lebih lama aku di sini, entah apa-apa lagi
bakal terjadi. Cukuplah tadi kami berlari tak cukup tanah.
"Aku
hantarkan?" pelawa Hazim memandang tepat wajahku.
"Tak
perlu. Aku tak kenal kau dan kau tak kenal aku." Aku menggeleng membantah
cadangan Hazim.
Aku
nampak Hazim ketawa. Apa yang lucu dengan kata-kataku tadi? Bukan aku buat
lawak antarabangsa pun. Ada urat kat kepala yang putus ke apa mamat ni?
"Ernie
Hairani Ehsan. Utm. Bandar Baru Uda." Hazim tersenyum-senyum memandang
aku.
Serius,
lelaki ini sungguh menakutkan. Membuat aku kagum atau dalam perkataan lain
terpaku bila dia menyebut namaku. Dia kenal aku? Lelaki ini kenal aku? Siapa
dia?
“Cukup
tak tu?” Hazim angkat kening. Berdiri santai dengan gaya berlagak memandang
aku.
Lidahku
kelu. Suara seolah-olah tersekat. Mahu membalas tetapi apa yang dikatakan Hazim
tadi bagaikan dia sudah lama mengenali aku. Otak kukerah bekerja keras. Cuba
berfikir andai aku dan dia pernah berjumpa. Tiada. Tidak pernah. Tidak
sekalipun lelaki ini pernah muncul di depan mataku.
“Hari
dah semakin lewat. Kau tentu nak balik cepat, kan.” Hazim terangguk-angguk.
Gayanya bagaikan sengaja menakut-nakutkan aku.
“Aku
naik teksi.” Aku membalas. Cukuplah tadi dia sudah membantu. Tidak mahu
termakan budi lagi. Silap-silap boleh tergadai body. Ernie! Kenapa kau suka merepek ni?
“Jangan
degil. Lagi bahaya naik teksi malam-malam ni.” Hazim membidas.
“Bukan
lagi bahaya ke naik dengan kau?” Aku memprotes.
“Sekurang-kurangnya
untuk beberapa jam ini, kau dah kenal aku.” Hazim tersengih.
Aku
mengeluh. Hazim betul. Memang bahaya untuk seorang gadis menaiki teksi seorang
diri pada waktu begini. Lagilah telinga aku selalu disogok dengan pelbagai
cerita kurang enak tentang pemandu teksi. Bukan maksudku pemandu teksi ini
jahat tetapi disebabkan sikap segelintir mereka yang menyebabkan masyarakat
berpandangan begitu termasuklah aku.
“Jom.”
Hazim tarik tanganku tanpa sempat aku memberi kata putus dan aku tanpa rela
terpaksa menurut. Itu pun sebab aku rasa sakit pada pergelangan tangan.
Punat
kunci ditekan. Pintu sebelah penumpang kereta Honda CRZ berwarna merah dibuka
Hazim. Dia menolak badanku agar masuk ke dalam.
“Hishhh…”
Aku merengus. Menepis tangannya.
Hazim
mengalah. Kedua-dua belah tangannya diangkat separas bahu.
Elok
sahaja aku melabuhkan punggung, Hazim pantas menutup pintu dan berlari ke
sebelah pemandu.
“Balik
BBU, kan?” Hazim memandangku bersama kenyitan mata. Dia melemparkan senyuman kacaknya.
Wajahnya kembali memandang ke jalan raya. Kereta dipandu selepas enjin
dihidupkan.
Sakit
mata aku tengok dia tersenyum. Dia faham tak banyak tanda soal dalam kepala aku
ni. Serabut otak aku jadinya.
"Betullah
muka aku ni hensem. Ralit betul kau, kan?" Hazim menoleh padaku sekilas.
Pakej kenyit mata sekali lagi.
"Perasan."
Aku jelir lidah panjang-panjang. Itulah Ernie. Kenapa suka sangat renung anak
teruna orang? Tak pasal-pasal sampai dua kali kantoi.
"Tanyalah.
Jangan simpan-simpan. Nanti makan dalam." Hazim bercakap macam dia boleh
baca apa yang ada dalam benakku.
"Errr..."
Lidahku kelu tiba-tiba. Mungkin banyak sangat persoalan yang berlegar dalam
kepala. Sampai tak tahu mana satu nak ditanya dahulu. Kalau boleh semuanya nak
dihamburkan serentak.
"Mana
aku tahu nama kau? Itu soalan pertama yang kau perlu tanya." Hazim
membantuku.
Aku
angguk laju-laju. Serius. Lelaki di sebelahku ini sudah membuat aku berasa
kagum dengan kelebihan dia membaca fikiranku. Mataku tidak lepas memandang dia.
Berharap sangat ada jawapan yang jelas keluar dari bibir merah milik dia. Errr…
aku puji dia? Oh, my!
"Rahsia."
Hazim gelak.
Nak
aje aku sepuk kepala dia. Memang bajet bagus betul. Tepat sekali aku gelar dia
macam tu. Buang karan aje aku kagum
bagai dengan dia ni. Balik-balik aku juga yang terkena.
"Damn!" Tiba-tiba ketawa Hazim mati.
Stereng kereta diketuk. Dia menukar gear. Kelajuan kereta ditambah.
"Hazim!"
Aku menjerit kuat. Panik dan terkejut. Tanganku kejap memegang pemegang pintu.
Kecut perutku usah dicerita. Apahal pula dia ni nak pandu laju-laju? Dapat
kurasakan kelajuan kereta ini hingga mampu buat hatiku mengecut.
"Sorry. Just hold on!" Serentak
Hazim bersuara bersama halaju pemanduan yang ditambah. Matanya pula kulihat
sekejap-sekejap memandang cermin pandang belakang.
Dalam
takut-takut aku turut sama menoleh ke belakang juga. Berderau dadaku apabila
ternampak ada sebuah kereta mengekori rapat kereta kami. Siapa pula kali ini?
Hazim
pandu selaju yang boleh. Menyusup bagai lipas kudung. Memotong setiap kenderaan
tanpa gentar tetapi aku yang kecut melihat cara pemanduan dia. Tolonglah,
Hazim. Aku belum kahwin lagi. Kalau kau nak mati, matilah sorang-sorang. Janganlah heret aku sama.
"We're clear." Hazim pandang cermin
pandang belakang. Kelajuan kereta perlahan-lahan dikurangkan sehingga kembali kepada
kelajuan normal.
Aku
menarik nafas lega. Kalaulah apa-apa terjadi tadi, memang Hazim aku
persalahkan.
Setelah
setengah jam perjalanan, akhirnya kereta yang dipandu Hazim berhenti. Brek
tangan ditarik. Enjin kereta dibiarkan terpasang. Lampu dipadamkan.
"Okey,
kali ini aku tak tipu. You're safe now."
Hazim memandangku bersama senyuman lebar.
"Rumah
aku." Terketar-ketar jari telunjukku menuding kepada sebuah banglo.
Bagaimana Hazim tahu rumah aku? Berbual pun tidak apatah lagi bertanyakan
alamat rumahku. Tahu-tahu aje kereta yang dipandu dia sudah berhenti di depan
rumah keluarga aku.
"Mestilah
rumah kau. Takkanlah rumah aku pula." Kening Hazim terangkat bersama
renungan yang tak lepas pada wajahku.
"Kau
siapa sebenarnya?" Sungguh apa yang Hazim lakukan buat aku takut. Siapa Hazim?
Mengapa dia tahu semuanya pasal aku? Untuk sekian kalinya aku paksa otakku
bekerja keras mengingati lelaki ini. Manalah tahu aku pernah amnesia.
"Manusia
macam kau. Bukan Ultraman, Superman, Batman atau apa-apa karakter superhero
khayalan tu." Hazim ketawa.
"Aku
tahulah. Aku bukan bodoh nak diomokkan dengan semua superhero tu." Aku
hadiahkan satu jelingan tajam kepada Hazim.
"One fine day kau akan tahu juga, Ernie.
Sekarang lebih baik kau masuk dalam rumah sebab aku rasa sekejap lagi mama dan
papa kau akan pulang." Hazim menari-narikan keningnya.
Dia
betul-betul tahu pasal aku. Orang upahan papa ke? Bodyguard? Mataku mengitari wajahnya sebelum turun ke bahagian
bawah tubuh lelaki ini. Tak ada ciri-ciri seorang bodyguard. Tak mungkin.
"Ernie..."
Hazim menunjukkan jam tangannya.
"Hmmm...
terima kasih." Dengan berat hati kupegang pembuka pintu walaupun kepala
aku sarat dengan pelbagai persoalan.
"Lain
kali jangan berani-berani berlawan dengan lelaki macam malaun-malaun yang kejar
kau tadi." Hazim sempat berpesan.
"Hei!
Aku..."
"Walaupun
kau ada talipinggang hitam." Kata-kataku dipintas Hazim sebelum sempat
kuhabiskan.
Memang
bajet bagus. Ku hempas kuat pintu keretanya. Sebal.
Hazim
membunyikan hon dan berlalu pergi.
Aku
hanya mencebik. Berpaling pada rumah sambil jemariku menggagau dalam beg
selempangku. Mencari kunci pintu pagar. Kalau tidak aku tak boleh masuk.
"Mana
pula benda alah ni. Masa inilah kau nak hilang. Semalam-semalam elok aje ada
kat dalam ni."
Sumpah.
Memang aku letak dalam kocek beg ni selepas keluar petang tadi. Masak aku.
Pagar tinggi macam ni mana boleh panjat. Kalau bibik ada, boleh juga dia
bukakan. Ini dia balik kampung 2 minggu.
Penyudahnya
aku hanya pandang pagar rumah. Mengharapkan keajaiban pagar itu terbuka
sendiri. Ernie, kau ingat ini cerita dongeng! Aku mengalah. Mahu atau tidak
terpaksalah tunggu mama dengan papa balik.
"Looking for this?" Segugus kunci
disuakan betul-betul di depan wajahku.
"Hei!"
Aku menoleh.
Hazim
tersengih nakal sambil menggoncang kunci di tangannya.
Dari
mana dia muncul, aku malas nak ambil tahu. Apa yang aku mahukan sekarang ialah
kunci itu. Tanganku cuba merampas gugusan kunci dalam genggaman tangannya.
Namun
Hazim sengaja mengangkat tinggi untuk tidak membolehkan aku menggapainya.
Seronok dia mentertawakan aku yang terjengket-jengket cuba mencapai kunci
tersebut.
Leka
berebutkan kunci. Tidak sedar entah bila pintu pagar terbuka. Ada lampu
menyoroti kami berdua.
Masing-masing
tergamam. Kaku berdiri tidak bergerak. Terkebil-kebil memandang kereta yang
masuk ke dalam rumah.
Selang
seminit, aku hanya mampu menelan liur melihatkan susuk tubuh yang merenung aku
dan Hazim.
"Dato'."
Hazim menunduk hormat pada empunya wajah serius yang memandang kami berdua.
Aku
pandang Hazim. Aku pandang papa. Arghhh…! Kepala aku semakin sakit. Persoalan
siapa Hazim dan bagaimana dia tahu serba-serbi tentang diriku belum hilang.
Kini timbul pula persoalan baru. Kalau Hazim tahu namaku dan tempat tinggalku.
Tak mustahil mamat bajet bagus ini kenal papa.
"Hmmm...
buat apa malam-malam dekat luar ni?" Papa merenung aku dan Hazim bersilih
ganti. Gaya papa seperti seorang warden menyoal pelajar yang cabut dari asrama.
Lembut tetapi tegas.
Aneh.
Papa tak marah. Kalau tidak melengking satu oktaf suara papa memarahi aku.
Mungkinkah kerana ada Hazim? Perlu ke aku berterima kasih dengan mamat bajet
bagus ini?
“Ernie…”
“Saya
terserempak dengan dia tadi. Itu yang tumpangkan dia sampai ke rumah.” Hazim
memangkas kata-kataku. Sekali lagi. Hobi lelaki ini agaknya suka mematikan
kata-kata orang lain sebelum orang itu menghabiskannya.
“Betul?”
Papa pandang aku.
Aku
teragak-agak ingin mengangguk tetapi kuangguk juga sambil mata memandang Hazim
yang selesa dengan senyuman senget tersungging di bibirnya. Nampak gayanya semakin
banyaklah hutang aku pada mamat bajet bagus ni.
“Dah
pergi masuk. Tak elok anak dara berembun malam-malam ni,” arah papa kepadaku.
Aku
hanya mampu mengangguk lagi. Berjalan lurus masuk ke dalam rumah. Membiarkan
papa dan Hazim berdua di luar. Lantaklah kau, Hazim. Kalau kau pandai bercakap,
mesti kau pandai menjawab soalan-soalan papa.
Sebaik
kaki melangkah masuk ke dalam rumah, aku mengintai di balik langsir. Aku lihat
Hazim dan papa ketawa-ketawa. Macam ada sesuatu. Musykil betul.
Apa
semua ni? Tak apa. Esok aku akan tanya sendiri dengan papa. Segarang-garang
papa, kalau aku bertanya papa tidak pernah tidak menjawab. Sekarang baik aku
naik ke bilik, bersihkan diri dan tidur. Hal Hazim, esok baru aku fikirkan.
No comments:
Post a Comment