Friday 20 March 2015

SETIA MENANTI KARYA LUVIS EIJA

BAB 2




CAHAYA matahari pagi yang membahang mengenai kulit muka Sara terasa sedikit perit, membuatkan dia terjaga dari lena. Cahaya yang masuk melalui jendela kamarnya itu menyilaukan pandangan apabila Sara membuka mata. Dia kembali pejamkan matanya namun dengan sepantas kilat dia bangun daripada katil apabila dia mula teringatkan sesuatu.
 Sara menoleh sekilas ke arah jam yang berada di atas meja lampu tidur di tepi katilnya. Sudah pukul 9.00 pagi. ‘Ya Allah! Lamanya aku tidur.’ Sara beristighfar panjang. Tanpa membuang masa Sara terus berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri dan kemudiannya terus bergegas ke bilik Adam. Dia perlu kejutkan Adam kerana lelaki itu sudah terlambat untuk ke pejabat.
Pernah dulu dia dimarahi oleh Adam kerana tidak mengejutkan Adam dari tidur. Akibatnya, Adam telah terlewat untuk menghadiri satu mesyuarat penting. Disebabkan kesalahan itu jugalah, Adam tidak pulang ke rumah berminggu-minggu lamanya. Sara takut perkara yang sama berulang lagi.

PINTU bilik Adam ditolak perlahan oleh Sara. Kelihatan Adam masih lena di katil sambil memeluk bantal peluknya. Sara kaget! Kalaulah Adam tahu bahawa dia sudah terlewat untuk ke pejabat, tentu teruk Sara kena. Adam memang seorang pekerja yang betul-betul menghargai masa. Walaupun dia menguruskan syarikat miliknya sendiri, dia memang tidak mahu terlewat atau pun masuk ke pejabat sesuka hati sahaja. Bagi Adam, dia perlu menjadi contoh yang baik kepada pekerja-pekerjanya.
Sara berjalan perlahan ke tepi katil, merenung Adam yang masih lagi lena dibuai mimpi. Dia teragak-agak untuk kejutkan Adam dari tidurnya. ‘Hmmm.. Ok Sara! Kau kena kejutkan dia!’ bisik hati Sara. Dia cuba meyakinkan dirinya sendiri. Walau apa pun kemungkinan yang bakal terjadi, Sara sudah bersedia untuk menghadapainya.
“ Awak! Awak, bangun! Dah lewat ni..” Sara goyang bahu Adam perlahan. Tubuh Adam bergerak sedikit, namun matanya masih lagi terpejam rapat.
“Adam! Bangunlah... Awak dah lewat ni.” Sekali lagi Sara memanggil, tetapi pada kali ini dengan nada yang sedikit kuat dan keras. Bahu Adam juga digoyang dengan lebih kuat.
Mata Adam terbuka perlahan. Wajah Sara yang berdiri betul-betul mengadap padanya itu direnung dalam. Satu helaan nafas yang panjang dilepaskan.
“Eemm.. Dah pukul berapa sekarang ni?” Suara Adam sedikit serak. Mata masih tidak lepas daripada merenung Sara. Kenangan malam tadi tiba-tiba saja datang menjentik tangkai hati. Bibir merah basah milik Sara kini menjadi santapan matanya. Liur ditelan berkali-kali. Berderau rasa darah lelakinya.
“Err... emmm... dah dekat pukul sepuluh pagi.” Jawap Sara takut-takut. Suaranya benar-benar dalam tekak. Dia memang betul-betul takut pada Adam. Masih jelas terbayang di matanya apa yang telah terjadi sewaktu dia terlewat kejutkan Adam di awal pernikahan mereka dulu. Adam betul-betul menyinga waktu itu kerana dia sudahpun terlewat untuk menghadiri suatu mesyuarat penting. Sara hampir-hampir ditampar oleh Adam waktu itu. Disebabkan kelewatan itu jugalah, Adam sudah kehilangan satu tender perniagaan yang besar.
“Ehhhemm!!”
Adam berdehem kuat, lantas mengejutkan Sara dari lamunan. Sara terkulat-kulat memandang Adam. Apabila terpandangkan saja renungan mata Adam yang begitu tajam membuatkan jantungnya berdegup kencang. Rasa macam nak pecah dadanya. Dia begitu takut sehinggakan tidak berani sedikitpun untuk bertentang mata dengan Adam. Sara terus tunduk merenung lantai, berharap agar dia tidak diapa-apakan pada kali ini.
Adam pula, tiba-tiba saja hatinya rasa tercuit melihat keadaan Sara begitu. Dia ketawa besar di dalam hati.‘Ha.. ha.. ha... Tahu pun takut! Garang sangatkah muka aku ni kalau tengah marah?’ desis Adam sendiri dalam hati. Tapi, riak mukanya masih serius tanpa segaris senyuman.
Adam bangun, perlahan dia melangkah menghampiri Sara yang masih lagi tunduk merenung lantai. Jantung Adam tiba-tiba berdegup kencang. Berdepan dengan Sara pada kali ini, jantungnya memang benar-benar sakit. ‘Aikk! Kenapa dengan jantung aku ni? Lain macam pulak rasanya.’ getus Adam sendiri. Matanya tidak lepas-lepas dari memandang wajah Sara yang begitu ayu namun kelihatan sedikit pucat.‘Sampai macam tu sekali dia takut pada aku..’ bisik Adam lagi.
Sara sedikit menggigil. Adam semakin menghampirinya dan kini betul-betul berada di sebelahnya. Dengan sedikit kasar Adam mengangkat wajah Sara yang masih tunduk merenung lantai. Seketika kemudian merapatkan mulutnya ke telinga Sara sambil berbisik halus..
“Kau tahu tak apa hukuman untuk kau kali ni sebab lambat kejutkan aku?” Adam berbisik perlahan di tepi telinga Sara. Cepat-cepat Sara geleng kepala. Jantungnya sudah melompat-lompat. Takut ada, seram pun ada. Bulu roma tiba-tiba rasa tegak.
“Aku nak kau layan aku, boleh?” Adam tersenyum sinis. Hujung rambut Sara dimainkan dengan hujung jarinya.
“Hah?”
Sara bingung. Dahinya berkerut, cuba mencerna maksud disebalik kata-kata Adam yang terasa begitu pelik dipendengarannya. ‘Layan? Layan yang macam mana?’ Sara sikitpun tidak dapat menangkap maksud kata-kata Adam itu. Dahi makin berkerut rapat.
“Kau ni memang betul-betul lembab ataupun sengaja buat-buat lembab?!” Sara direnungnya tajam. Geram pula melihat Sara seperti orang bodoh. Adam dengan rakus menarik tubuh Sara rapat kepadanya, terus berada di dalam pelukannya.
Sara kaget! Mukanya terus berubah menjadi merah kerana menahan perasaan malu. Seumur  hidupnya, inilah pertama kali dia berada begitu rapat dengan lelaki. Pertama kali juga berada di dalam pelukan seorang lelaki. Dia rasa macam nak pengsan dekat situ juga.
“Aku nak kau layan aku dekat atas katil, boleh?” Adam semakin galak mengusik Sara. Seronok melihat pipi Sara yang merah menyala itu. Dia dapat rasakan tubuh Sara yang sudah mula menggigil ketakutan.
“Hah?”
Sara terjerit kecil. Matanya terbeliak, betul-betul terkejut mendengar permintaan daripada Adam itu. Badannya mula terasa seram sejuk. ‘Ya Allah... apa kena dengan laki aku ni?’ Sara sudah pejamkan matanya rapat-rapat. Tidak berani mahu membalas renungan mata Adam yang menikam tepat pada anak matanya. Sungguh, dia rasa macam nak gila saat itu.
Tangan kasar Adam terus merayap perlahan ke pipi Sara, mengusap-usap pipi Sara dengan lembut. Kemudian perlahan-lahan turun ke leher. Sara terpaku. Degupan jantungnya semakin kencang. ‘Ya Allah, selamatkan aku..’ Sara tidak putus-putus berdoa di dalam hatinya.
Sementara Adam pula, bagaikan sudah terpukau dengan kecantikan Sara. Niat yang pada mulanya cuma mahu mengenakan Sara kini telah menjerat dirinya sendiri. Adam mula hanyut dalam perbuatannya. Baru sahaja dia mahu mencium bibir basah milik isterinya itu, tiba-tiba iphone miliknya yang berada di atas meja solek berbunyi nyaring. ‘Hishh... kacau jer lah!’ Adam mendengus kasar di dalam hati.
Pelukan di pingggang Sara terus terlepas. Sebaik sahaja Adam meleraikan pelukannya, Sara terus berlari laju meloloskan dirinya daripada Adam. Dia berlari menuju ke dapur, duduk terpaku di kerusi meja makan. Wajahnya pucat, seolah langsung tidak berdarah. Dia betul-betul takut membayangkan apa yang telah terjadi sebentar tadi. ‘Ya Allah, syukur pada-Mu.’ bisik Sara di dalam hati.

USAI bercakap di telefon, Adam terus ke bilik air untuk bersihkan diri. Fikirannya melayang jauh, teringat kembali apa yang telah terjadi di antara dia dengan Sara sebentar tadi. Perasaannya bahagia tiba-tiba saja datang bertamu. Rasa seronok pula dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Dia sendiri tidak faham dengan perasaannya sekarang. Kenapa sejak akhir-akhir ini dia selalu sahaja teringatkan Sara. Jangan-jangan dia sudah jatuh cinta pada Sara tak? ‘Ahh, tak mungkinlah Adam!’ Hati Adam terus menyangkal sekerasnya. Dia begitu yakin bahawa perasaan sayang, cinta dan kasihnya hanyalah untuk kekasih hatinya iaitu Amira.
Sementara Sara pula resah di dapur, menanti Adam di meja makan untuk bersarapan. Dia tidak tahu bagaimana mahu berdepan dengan Adam sekejap lagi. Dirinya masih diselubungi perasaan malu yang teramat sangat. Kalau boleh, dia nak jadi halimunan. Biar Adam tidak nampak dia di situ.
 Tidak lama kemudian Adam sudah berada di meja makan, siap berpakaian kemas.

SUASANA di meja makan masih sunyi sepi. Yang jelas kedengaran hanyalah bunyi sudu dan garfu yang berlaga sesama sendiri. Adam dengan muka selamba saja, seolah-olah tidak pernah berlaku apa-apa di antara mereka.
 Adam ralit menjamah makanan. Dia akui Sara memang pandai memasak. Kebetulan pula pada hari itu dia tidak ada urusan penting untuk dikerjakan, jadi bolehlah dia berlengah-lengah sedikit untuk ke pejabat. Memang dia tidak akan melepaskan peluang untuk menjamah makanan yang dimasak oleh Sara.
Sara merenung Adam yang begitu leka menjamu selera tanpa berkelip. Dalam diam dia akui, Adam memang kacak. Kekacakan yang boleh menggetarkan hati setiap perempuan yang memandangnya. Namun Sara tidak faham dengan sikap Adam terhadapnya. Sekejap-sekejap mesra, sekajap pula dingin. Sampai bilakah Sara mampu bertahan dengan keadaan mereka begitu.. dia sendiri tidak tahu. ‘Amboi, sedap sangat ker aku masak, sampaikan aku yang duduk kat depan ni langsung tak dipandang!!’ Desis Sara tidak puas hati. Tadi, bukan main lagi mesranya. Sekarang dah jadi batu balik!
Iphone milik Adam tiba-tiba menjerit nyaring, memecahkan kebisuan di antara mereka. Terus lamunan Sara tersentak. Matanya melirik laju pada telefon yang berada di atas meja makan di hadapan Adam.
 Adam menyorot sekilas ke arah telefon bimbitnya. Serta merta senyuman lebar terukir di bibir. Laju saja tangannya menekan punat hijau dan menjawap panggilan itu dengan mesra. Kerlingan Sara yang berada di sebelahnya dibuat tak nampak saja.
“Hello, sayang!”
Sapa Adam ceria tanpa mempedulikan Sara yang berada di sebelahnya saat itu.
Zup! Tiba-tiba darah merah terasa menyerbu laju ke muka Sara. Entah kenapa tangkai hatinya terasa pedih dengan tiba-tiba. ‘Sayang?’
“Hari ni Am tak jadi masuk office, nanti Am jemput sayang yer? Kita keluar jalan-jalan.” Adam tersenyum senang. Talian terus dimatikan. Sudah lama tidak keluar berjalan dengan kekasih hatinya membuatkan Adam berasa sedikit teruja. Sesaat dia melirik kepada Sara. Saja mahu melihat reaksi Sara.
Wajah Sara berubah menjadi merah secara tiba-tiba. Dadanya terasa ketat seolah hendak pecah. Sakitnya! ‘Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku rasa macam ni?’ Sara mula rasa keliru dengan perasaan sendiri. Dia rasa sakit hati yang teramat sangat. Rasa marah yang membuak-buak. Namun, semua kemarah itu cuma terpendam dan terluah di dalam hatinya.
Apalah gunanya jika diluahkan. Antara dia dan Adam memang sudah termetri satu perjanjian. Dia tidak boleh mencampuri urusan peribadi Adam dan begitu jugalah sebaliknya. Tambahan pula mereka memang tidak pernah bercinta dan tidak mungkin akan bercinta. Tiada gunanya Sara melepaskan semua perasaan marah itu kepada Adam.
Sara tahu memang agak mustahil untuk Adam jatuh cinta padanya. Dia cuma seorang gadis kampung yang kolot dan naif. Memang tidak ada satu pun yang dapat menarik minat Adam terhadapnya. Dia juga cuba mengawal dirinya. Mengawal hati dan perasaannya.. supaya tidak mengharapkan apa-apa daripada Adam.
 Namun begitu, perasaan kecewa dan sedih tetap jua bertamu di hatinya. Hidup Sara sentiasa dilingkari dengan cerita duka. Apakah memang tiada sinar harapan dan kebahagiaan untuk dirinya? Atau, apakah dia memang tidak layak untuk hidup bahagia seperti orang lain?
“Kau kenapa, tak sihat ker?” Wajah Sara yang tampak kemerahan itu direnung lama oleh Adam. ‘Apa kena dengan minah ni? Hish, tak kan cemburu kut?’ otak Adam berputar ligat, cuba menafsir apa sebenarnya yang terjadi. Wajah Sara masih direnung lama dengan dahi yang berkerut seribu.
“Hah? Eh, err... tak.. tak adalah! Okey, saya okey!!” Tergagap-gagap Sara menjawap. Dia cuba untuk senyum, tapi nampak sangat senyuman yang dibuat-buat.
“Kau ni dah kenapa? Tergagap-gagap pulak! Kalau kau rasa tak sihat pergilah cepat-cepat jumpa doktor. Nanti, kalau dah sakit teruk aku jugak yang susah.” Selamba Adam membalas sambil menghirup air milo suam yang masih berbaki di cawannya. Muka Adam nampak kelat.
Sara terkedu. Sekali lagi hati keciknya tersentap. Dia betul-betul berkecil hati dengan kata-kata Adam sebentar tadi. ‘Kalau dah tahu aku ni menyusahkan, kenapa tak lepaskan saja aku. Ini tidak, yang kau beria nak aku jadi bini kau tu kenapa?!’ Sara menjerit dalam hati. Geram betul dia dengan sikap sinis Adam. Mentanglah dia tidak reti nak melawan, sesedap rasa saja Adam membuli dia.
Melihat Sara masih tetap membisu dengan muka yang keruh, Adam kembali bertanya.
“Hari ni kau ada nak ke mana-mana ker?”
Sara masih juga membisu. ‘Tadi cakap aku ni menyusahkan.. Ini ada hati pulak nak tahu aku nak ke mana!’ Bentak Sara dalam hati. Dia tunduk pandang sarapan di pinggan yang langsung tidak disentuhnya.
“Kau ni dengar ke tak?!” Suara Adam sedikit tinggi. Dia sudah mula hilang sabar dengan kebisuan Sara. Wajah Sara yang keruh itu direnung tajam. Kalau ikutkan hatinya yang tengah panas tu, mahu saja ditengkingnya Sara kuat-kuat.
“Hmm.. saya ingat nak keluar kejap pergi siber cafe.”  balas Sara lemah, acuh tak acuh sahaja.
“Aikk... kau nak buat apa pergi sana?” tanya Adam hairan. Matanya tidak lepas dari merenung wajah Sara. ‘Dia ni, makin direnung makin cantik pulak!’ Adam telan liur. Tiba-tiba ada debaran di dada.
“Nak pergi semak keputusan permohonan untuk ke Universiti secara online” Jawap Sara sepatah. Kemudian, diam lagi. Sakit hati masih lagi bersisa.
“Ohh.. kau nak sambung study? Tapi, bila masa pulak kau isi borang tu?”
“Masa dekat kampung. Awak tak kisah kan?” Matanya bertemu tepat dengan anak mata Adam. Dalam hati berharap sanagt Adam memberi keizinan.
“Hmm, bagus jugak tu! Daripada kau duduk kat dalam rumah ni tanpa buat apa-apa, elok jugaklah sambung belajar. Takperlah, nanti aku belikan kau Laptop. Lain kali tak payah susah-susah nak pergi siber cafe.”
“Ehh, tak payah! Tak payah susah-susah sebab saya.” Laju Sara menolak. Tergeleng-geleng kepalanya.
“Kau ni kenapa? Apa yang susah sangat? Aku mampulah.. Kau ingat aku ni sengket sangat ker?” Bentak Adam keras. Sakit hati betul dia dengan sikap Sara yang suka sangat menolak setiap pemberiannya. Sikap Sara memang jauh berbeza dengan Amira.
 Kalau Amira, tidak pernah mahu menolak apa saja pemberiaannya. Malah, meminta-minta. Manakala Sara pula, sentiasa menolak sampaikan dia rasa terhina. Macam lah dia tak mampu!
Sara menikus, tunduk merenung lantai. Kecut perutnya mendengar suara Adam yang keras itu. Nak angkat muka pun rasa tak berani.
“Hmm, nanti kalau dah dapat belajar tu jangan nak menggatal pulak. Ingat sikit status kau tu! Jangan nak menggatal dengan lelaki lain. Kau tu milik aku. Banyak dah aku berhabis duit untuk kau! Jaga sikit maruah aku sebagai suami kau. Lagi satu, jangan pandai-pandai pulak cakap dekat orang yang kau tu dah kahwin!” panjang lebar pula syarahan Adam.
 Sara masih sama, diam tak berkutik. Mukanya masih tunduk merenung lantai. Sekali lagi hatinya tercalar. Sampai bila Adam mahu mengungkit? Sampai bila dia mesti rasa terhutang budi? Kolam mata terasa panas. Sedayanya ditahan agar tidak limpah.
“ Hishh.. kau ni! Dengar tak apa yang aku cakap ni?” Adam menengking kuat.
Terangkat bahu Sara kerana terkejut. Kepalanya diangguk laju. Bimbang kalau-kalau Adam semakin marah.
 Sementara Adam pula sudah berlalu keluar. Bimbang jika dia masih berlama di situ, dia tidak mampu mengawal amarahnya. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi enjin kereta BMW miliknya menderum laju, meninggalkan rumah rumah banglo dua tingkat itu..
Sara masih membatu di kerusi makan. Nasi goreng yang dimasak olehnya tadi langsung tidak dijamah. Kata-kata Adam tadi masih berbekam di hati. Sauara Adam bagaikan terngiang-ngiang di telinga, bagaikan rakaman suara yang diulang pasang
. Perlahan air mata gugur di pipi Sara setitis demi setitis. Air mata yang cuba ditahan dari tadi akhirnya tumpah jua. Sara teresak-esak. Sakit hati, kecewa, sedih, pilu... semua hadir saat yang sama, membuatkan hatinya remuk berkecai. ‘Ya Allah.. kenapa aku yang dipilih oleh-Mu untuk mengharungi semua ujian ini? Aku tak kuat, aku takut aku rebah dalam perjuangan ini..’ Sendu Sara makin kuat.
 Dia benar-benar tidak kuat untuk menampung segala perasaan sedih dan sebak yang bersarang dihatinya. Apalah dayanya untuk menghalang Adam daripada mendekati perempuan lain. Kalaulah dapat dia luahkan segala rasa yang sedang bersarang di hatinya kini, mahu saja dia hamburkan semuanya pada Adam. Kenapa Adam mesti menyakiti hati dan perasaannya? Kenapa mesti dia diperlakukan sebegitu rupa oleh Adam? Seolah-olah dia boneka yang tidak bernyawa! Apakah kerana Adam sudah membeli dirinya, maka Adam boleh berbuat sesuka hati sahaja? Sara makin sebak. Air mata tidak henti-henti menghujani pipi.






No comments:

Post a Comment