BAB 2
Seperti
kebiasaan, aku akan meletakkan basikal kesayanganku di perdu pokok mempelam di
halaman hadapan rumah Mak Cik Odah. Aku akan berjalan kaki melintasi garaj yang
memuatkan dua buah kereta itu untuk sampai ke pintu bahagian belakang rumah Mak
Cik Odah.
Aku
pandang ruang garaj yang kelihatan kukuh dengan bertiangkan simen. Ada dua buah
kereta terparkir elok di dalamnya. Sebuah kereta Toyota Vios keluaran terbaru
kelihatan begitu comel dipenglihatanku. Eham! Kereta baru, memanglah nampak
comel kan? Sudah pasti kereta itu milik anak lelaki Mak Cik Odah yang baru
pindah dari Kuala Lumpur itu. Dia ada pulang rupanya.
Aku
memerhati pula kereta Proton Saga
keluaran pertama Malaysia milik arwah suami Mak Cik Odah. Usia kereta itu
hampir sama dengan kereta Pak Long yang selalu aku gunakan. Akan tetapi, kereta
ini kelihatan jauh lebih baru. Maklumlah setahu aku, Mak Cik Odah dan arwah suaminya
sayang sangat kereta ni. Katanya, inilah kereta pertama mereka.
Dahulu,
Mak Cik Odah memang boleh memandu. Tetapi sejak dia mengalami kemalangan
bersama arwah suaminya, dia langsung tidak mahu memandu lagi. Sejak setahun
yang lalu, akulah yang akan disuruh untuk memanaskan enjen kereta itu. Aku juga
yang selalu memandunya jika Mak Cik Odah ingin pergi ke mana-mana. Ringkas
cerita, aku bukan sahaja menjadi pembantu di rumah itu, malah merangkap pemandu
peribadi kepada Mak Cik Odah. Heh. Hebat gitu!
Sebenarnya,
aku kesian dengan Mak Cik Odah ni. Dia ada empat orang anak. Kesemua
anak-anaknya berjaya dalam hidup. Tapi sayang, tiada seorang pun daripada
mereka yang tinggal dengan Mak Cik Odah. Biasalah kan, orang yang terpelajar
dan berpangkat besar, pasti rezeki mereka lebih murah di bandar-bandar besar.
Cuma
anak lelaki Mak Cik Odah, pemilik kereta Vios itu saja yang sudah berpindah ke
bandar di daerah ini. Dengarnya selepas suami Mak Cik Odah meninggal, dia terus
berpindah. Kiranya, jika Mak Cik Odah sakit pening, senanglah anaknya yang
seorang tu datang melawat. Emm… bagus juga kan?
“Mak
kesian tengok dia tu Wan. Dahlah anak yatim piatu, hidup pulak menumpang. Kalau
orang tu ikhlas nak jaga tak apalah… ni dah dibuat bibik budak tu. Sedih mak
tengok.” Suara Mak Cik Odah jelas kedengaran di bahagian dapur rumah berdinding
separuh batu itu.
“Kita
nak buat macam mana mak? Kita orang luar. Yang mak buat untuk dia sekarang ni
pun dah kira cukup bagus,” sahut satu suara yang agak garau. Sudah semestinya
itu suara anak lelaki Mak Cik Odah.
“Kalau mak ni ada hak, dah lama mak ajak dia
tinggal dengan mak.” Suara Mak Cik Odah jelas kedengaran di bahagian dapur
rumahnya. Serius benar bunyi suaranya.
Walaupun
sudah hampir setahun aku asyik berulang alik ke rumah ini. Juga telah hidup
berjiran berselang lima buah rumah sejak aku di tingkatan dua lagi, aku belum
pernah bersemuka dengan anak Mak Cik Odah yang seorang ni. Maklumlah, dulu
dengarnya dia belajar di luar negara. Balik Malaysia, dapat pula kerja di Kuala
Lumpur. Biasanya aku jumpa dengan kereta dia ajelah. Setiap kali aku bertanya,
mesti Mak Cik Odah kata anaknya tidur. Ishk… Ishk… Ishk. Kuat tidur betul!
“Mak
ambil ajelah dia jadi anak angkat,” usul si pemilik suara gaurau itu lagi.
Mak
Cik Odah nak ambil anak angkat ke? Macam mana dengan aku nanti? Mesti Mak Cik
Odah dah tak layan aku macam sekarang ni. Paling menakutkan jika khidmat aku
dah tak diperlukan di sini lagi nanti. Alahai Lita… kesiannya kau.
“Kau
jangan terkejut Wan. Mak dah minta kat si Tina tu cara baik. Mak ikhlas nak
jaga budak Lita tu. Mak sanggup tanggung kos pengajian dia. Kau tahu apa si
Tina tu buat? Dia halau mak dengan penyapu! Dia ingat, mak ni kucing ke apa?
Sakit betul hati mak ni tau!”
Langkah
yang aku atur perlahan sedari tadi tiba-tiba terhenti. Macam aku je yang Mak
Cik Odah sedang umpat tu? Tapi betul ke? Mak Cik Odah pernah berniat mahu
menjaga aku? Mahu menanggung kos pengajian aku? Ya Allah… baiknya hati Mak Cik
Odah.
Tiba-tiba
saja mata aku terasa berpasir. Kalaulah Mak Long juga seperti Mak Cik Odah…
“Mak,
kalau dah orang tak bagi, nak buat macam mana lagi? Kita doakan ajelah budak
tu,” tingkah si pemilik suara garau lagi.
“Ha!
Apa kata Wan ambik aje dia jadi isteri Wan? Mak jamin Lita mampu jadi isteri
yang baik. Percayalah.”
Oitt!
Hampir saja aku terduduk bila ayat Mak Cik Odah yang satu ini. Cop! Cop! Bukan
ke anak Mak Cik Odah semua dah kawin? Gila nak jadikan aku bini nombor dua.
Tahulah Mak Cik Odah tu sayang aku. Tak nak lah! Sumpah aku tak mahu!
“Budak
sangatlah mak. Mana dia pandai jaga anak-anak Wan tu nanti.”
“Jangankan
jaga anak-anak Wan yang dua orang tu, jaga mak yang dah uzur ni pun dia pandai
Wan. Sejak dia tak sambung belajar ni, dialah yang hantar ambil mak pergi
hospital. Dialah yang selalu urut-urut kaki mak yang selalu lenguh ni.” Nada
teruja Mak Cik Odah sebentar tadi, kini bertukar sendu.
Aku
pun hairan kenapa Mak Long tiada bantahan bila Mak Cik Odah meminta aku
menemankannya. Yang pasti, aku rasa bebas bila berada di luar rumah Mak Long.
Yang penting sekali, duit tabungan aku pasti bertambah setiap kali aku
dipanggil datang ke rumah ini.
“Susahlah
mak. Lagipun, Wan masih mampu jaga anak-anak Wan tu sendiri.”
“Mampu
jaga kau kata? Yang si Kak Long tu mengadu terpaksa menunggu dua jam di luar
kelas sebab kau tak ingat jemput tu apa kes? Baby tu pulak, dah semakin kurus
mak tengok. Budak seusia dia tu kena minum susu lagi, Wan. Yang kau hentam bagi
dia minum air soya kotak tu buat apa?”
Ooo…
Dah jadi duda rupanya. Apa punya bapaklah sampai buat susu anak pun malas.
Inilah namanya buat anak saja terror. Tang jaga, hempeh! Ishh… ishh… ishhh.
Alamak! Ini sudah dikira kes menskodeng
hal rumah tangga orang. Berdosa Lita… berdosa tu!
Apa
aku nak buat sekarang? Nak balik atau tunggu saja sampai mesyuarat dua beranak
itu selesai? Kalau aku balik, sudah sah melayang lima belas ringgit. Banyak tu!
Kalau tunggu, macam mahu menjaga tepi kain orang pula nanti. Tapi, isu yang
mereka bualkan ini ada kait mengait juga dengan aku. Apa yang perlu aku buat sekarang? Fikir Lita. Fikir.
Perlahan
aku undurkan langkah. Mungkin benar ada hal tentang aku yang mereka bincangkan.
Tapi yang lebihnya ialah tentang kebajikan cucu-cucu Mak Cik Odah. Lebih baik
aku kembali ke tempat basikal aku. Buat bising sikit. Konon-konon baru sampai.
Bijak tak?
“Lita,
baru sampai nak?”
Alamak!
Belum pun sempat berpaling dari jalan berundur, nama aku sudah diseru Mak Cik
Odah. Kantoi sudah.
“Baru
je sampai mak cik. Riuh je bunyi kat dalam tu. Ada tetamu ke?” Aku tegur ramah
sambil panjangkan leher melihat ke dalam rumah melalui pintu yang terbuka.
Konon-konon tak tahu apa yang mereka bualkan. Tangan wanita tua itu aku salami
seperti biasa.
“Anak
mak cik yang nama Adwan tu ada balik. Jomlah masuk. Mak cik ada buat cucur
cempedak tadi.” Mak Cik Odah menarik tangan aku untuk segera masuk.
Ruang
makan di bahagian dapur itu, seorang lelaki duduk sedikit membongkok mengadap
juadah di atas meja. Sebelah kaki dilipat dan dinaikkan ke atas kerusi yang
diduduki manakala sebelah lagi dilunjurkan ke atas kerusi di hadapannya. Huh!
Macam tuan besar. Elok sangat lah tu. Sesekali balik, jadi bos kepada mak
sendiri. Patutlah muda-muda dah jadi duda. Huh!
“Ha, Wan. Inilah Ain Jelita yang mak
cerita tu.” Mak Cik Odah panggil anaknya. Genggaman tangan Mak Cik Odah di pergelangan
tanganku makin dieratkan. Macam tahu-tahu saja orang tua ni aku sedang pasang
niat nak lari balik.
Anak Mak Cik Odah menoleh ke arah
kami berdua. Kedua belah kaki yang santai di atas kerusi diturunkan. Wah! Boleh
tahan juga. Ada iras-iras Zulhuzaimi pelakon kegemaran Mak Long aku tu. Cuma
yang ini versi rambut ketak-ketak. Mujur rambut dia pendek dan terjaga rapi.
Kalau tidak, ada harapan jadi rambut awan nano!
“Duduk Lita.” Mak Cik Odah tarik
sebuah kerusi makan betul-betul di hadapan anak lelakinya.
“Err… Lita dah makan tadi kat rumah.
Kenyang lagi ni…” Aku bagi alasan sambil usap perut. Aku sudah berkira-kira
hendak pergi ke sinki untuk membuat apa-apa kerja yang patut. Segan pula nak
duduk berdepan dengan anak Mak Cik Odah tu.
“Tak payah menipu. Mak cik dengar
tadi perut Lita berbunyi.” Anak Mak Cik Odah sudah mengangkat muka memandang
aku. Tiba-tiba saja terasa darah panas menyebu ke wajahku. Walaweh! Mak Cik
Odah pun… Cakap langsung tak pandang ada orang lain. Tahulah yang di hadapan aku
sekarang ni anak dia. Malu siot aku weh!
Sebenarnya, aku memang belum makan
nasi hari ni. Hukuman sebab aku lambat siapkan juadah makan tengah hari
keluarga Mak Long. Jadinya, aku cuma meratah mi segera di dalam bilik. Mujur
juga aku ni bijak. Selalu menyediakan payung sebelum hujan. Atau lebih tepat
lagi, menyediakan stok makanan sebelum kelaparan.
Jika
dulu, selalu saja aku kelaparan kerana hukuman sebegini. Tetapi, bila sudah
selalu terkena, pandai-pandailah nak hidup. Makan mi segera mentah pun sudah
mampu mengenyangkan perut. Betul tak?
“Makanlah. Tak payah malu-malu.”
Lelaki di hadapanku menolak piring berisi cucur cempedak yang masih berbaki
separuh itu. Langsung tiada senyuman di bibirnya. Tetapi tetap sempurna di mata
aku. Ishh Lita! Sejak bila kau pandai menilai lelaki ni? Duda beranak dua pula
tu. Jangan cari penyakit Lita. Jangan!
“Errr… Lita ambil cawan.” Aku terus
bingkas berdiri. Rasa gugup pula bila berdepan dengan lelaki kacak ni.
Bertenang Lita… Bertenang.
“Kalau Lita nak tahu, cucur cempedak
ni lah makanan kegemaran Abang Wan. Sejak kecil, kalau musim cempedak, memang
tiap-tiap hari mak cik buat,” cerita Mak Cik Odah dengan wajah yang
berseri-seri. Lelaki di hadapan aku ini sekadar mengangguk sambil mengunyah.
Pandangannya langsung tidak beralih dari memandang juadah di atas meja.
Aku beranikan diri memandang tepat
ke wajahnya. Kening yang hitam pekat walaupun tidak terlalu tebal. Hidungnya
seperti Mak Cik Odah. Kecil dan terletak elok walaupun tidak mancung sangat.
Janggut dua tiga helai di dagunya itu membuatkan wajahnya begitu matang di
pandanganku. Walaupun sedikit berserabut dengan jambang yang mula tumbuh
meliar, wajah tenangnya itu mampu menutupi keserabutan itu.
“Nanti, Lita tolong gosokkan baju
Abang Wan ye. Hari ni tak payah sapu daun kering. Biar abang Wan yang buat
nanti.” Mak Cik Odah memandang aku dengan senyuman.
Alamak! Agak-agak, Mak Cik Odah
perasan tak aku menelek wajah anak dia tadi? Rasa berbahang di wajah segera aku
kawal bila wanita itu tunak memandang wajahku. Aku segera mengangguk sebagai
jawapan. Laju aku capai cucur cempadak lalu suap ke mulut. Kunyah laju-laju
supaya cepat dapat ditelan. Sebelum aku terkantoi lagi, lebih baik aku cepat
beredar buat kerja. Setakat menggosok baju, apalah susahnya. Baju-baju anak Mak
Long pun memang aku yang gosokkan setiap hari.
Aku pandang ruang hadapan rumah.
Sunyi. Di mana cucu-cucu Mak Cik Odah? Katanya tadi ada dua orang. Mungkin
mereka bersama ibu mereka agaknya. Tapi kan, jika mengikut wajah Abang Wan,
mesti anak-anak Abang Wan ni comel-comel.
Melihat
wajah Abang Wan, aku rasa dia masih muda. Jika dia mengaku bujang pun, mesti
orang akan percaya. Jangan-jangan Abang Wan ni jenis mata keranjang tak? Sebab
tu isteri lari tinggalkan dia. Emm… kesian pula anak-anak menjadi mangsa.
Kecil-kecil lagi dah terpaksa ada dua rumah.
Nampaknya
sesi berangan aku semakin menjadi-jadi. Sebelum aku melalut menyangka yang
bukan-bukan, lebih baik aku beredar dan membuat kerja yang Mak Cik Odah suruh
tadi. Perlahan aku tolak kerusi ke belakang. Cawan Mak Cik Odah yang sudah
kosong aku letakkan ke atas dulang bersama cawan yang aku gunakan sebentar
tadi.
“Dah
kenyang ke? Tak nak tambah air?” Mak Cik Odah memegang bahuku sebelum aku
sempat bangun.
“Dah
kenyang mak cik. Sedap cucur tu.” Sempat lagi aku memuji. Tapi masakan Mak Cik
Odah memang sedap. Biasanya aku memang akan makan bertambah setiap kali Mak Cik
Odah ajak makan di sini.
Usai
membasuh cawan dan piring di sinki, aku terus berlalu ke ruang hadapan rumah
Mak Cik Odah. Bakul pakaian Abang Wan yang dimaksudkan Mak Cik Odah tadi aku
hampiri. Wah Banyak juga! Sebakul penuh. Nak kena gosok semua ke? Singlet dan
seluar kecik pun?
“Lita
tolong gosok kemeja dengan seluar slek tu aje. Yang lain tu, Lita tolong lipat
dan masukkan ke dalam beg. Esok Abang Wan dah nak balik,” ujar Mak Cik Odah
seakan faham apa yang aku fikirkan. Wanita itu mengekori aku rupanya. Mujur aku
ni jenis bercakap dalam hati. Kalau jenis yang membebel, masak aku ditangkap
mengutuk!
“Abang
Wan Lita tu memang macam tu. Suka tinggal pakaian kat sini. Bila dah susut kat
sana, barulah terhegeh-hegeh nak kutip balik.” Mak Cik Odah cerita tentang
Abang Wan dengan bersemangat sekali. Yang tak bagi menambah semangat bagi aku
ialah, ayat Mak Cik Odah sebentar tadi tu. ‘Abang Wan Lita’… macam anak dia tu
abang aku seorang saja pula bunyinya.
Tanpa
menunggu jawapan dari aku, Mak Cik Odah terus berlalu ke dapur. Mesti dia nak
berbual-bual dengan anaknya. Maklumlah, sesekali berjumpa, mesti banyak yang
nak diceritakan. Betul tak?
Pakaian
Abang Wan yang hendak aku gosok tidaklah banyak sangat. Cuma ada lima pasang.
Selebihnya hanya perlu dilipat dan dimasukkan ke dalam beg yang sudah Mak Cik
Odah sediakan tadi.
Usai
membereskan tugasan pertama, aku berlalu ke ruang dapur semula mencari kelibat
Mak Cik Odah. Lupa pula aku bertanya apa lagi kerja yang harus aku buat petang
ni.
Di
ruang dapur, kelibat dua beranak itu langsung tidak kelihatan. Aku menjengah ke
luar pintu. Ooo… Dua beranak tu sedang menyapu daun-daun kering di halaman rupanya.
Baru saja aku ingin menyauk selipar untuk mendapatkan Mak Cik Odah, cupingku
tiba-tiba disapa dengan suara Mak Cik Odah.
“Mak
berkenan sangat dengan Ain Jelita tu Wan. Mak rasa dia sesuai sangat menjadi
pengganti arwah Sue.” Perlahan saja suara Mak Cik Odah berbicara.
Apa
Mak Cik Odah sebut tadi? Arwah Sue? Jadi isteri Abang Wan bernama Sue dan
sekarang Sue itu sudah meninggal dunia? Macam itu ke maksud kata-kata Mak Cik
Odah tadi?
“Mak,
kan Wan dah kata, hati Wan belum terbuka nak cari pengganti arwah…”
“Sampai
bila Wan? Dah tiga tahun Wan… Dah tiga tahun juga usia Baby. Tiga tahun tu juga
Baby tak merasa macam mana kasih sayang seorang ibu,” Sendu pula kedengarannya
suara Mak Cik Odah. Kesiannya cucu-cucu Mak Cik Odah. Dapat aku bayangkan
bagaimana perasaan kehilangan ibu. Kalaulah budak-budak tu ada di hadapan aku
sekarang ni, sudah tentu aku peluk kuat-kuat.
Apa
yang dapat aku tangkap dari perbualan itu ialah, Abang Wan sudah kehilangan
isteri sejak tiga tahun yang lalu. Sama lamanya dengan usia anak Abang Wan yang
dipanggil Baby. Selama itu, hati Abang Wan tidak pernah terbuka untuk mencari
pengganti arwah isterinya. Oh! Rupanya tanggapan aku semasa mula-mula tadi
salah sama sekali.
“Wan
tahu kan, selama ni, mak tak pernah meminta apa-apa pada anak-anak mak. Cuma
kali ini Wan. Cuma kali ini, mak minta Wan dengar cakap mak. Anggap saja
permintaan terakhir sebelum mak menutup mata.”
“Mak…
Wan tak…”
“Syyy!”
“Mak…”
“Kira
jadilah ye? Esok sebelum Wan balik ke bandar, kita pergi rumah Mak Long Lita.
Mak nak cop Ain Jelita tu jadi menantu mak!” Uiskk! Macam itu ke? Aku macam
mana? Tak kan Mak Cik Odah langsung tak tanya pendapat aku?
“Mak
juga yang kata tadi, Mak Long Lita tu tak bagi mak jaga dia. Inikan pula nak
jadi menantu mak,” bidas Abang Wan pantas. Opss! Terr abang pulak!
“Yang
itu Wan jangan risau. Si Tina tu memang nak carikan jodoh untuk Ain Jelita.
Janji sanggup bagi tiga puluh ribu, dia lepas! Kalau Wan tak sanggup keluarkan
tiga puluh ribu tu, biar mak yang usahakan…” Merayu betul cara Mak Cik Odah
berbicara. Separuh memaksa pun ada. Sampai sanggup keluarkan tiga puluh ribu
lagi tu!
“Wan
peninglah mak. Mendadak sangat ni.”
“Alah,
tak payah pening-pening. Wan fikir nak genggam tangan tok kadi je. Yang lain,
biar mak yang uruskan.” Titik Mak Cik Odah. Nampaknya hati Mak Cik Odah sudah
benar-benar bulat mahukan aku jadi menantunya. Tapi, macam mana dengan aku?
Err… Ini kira kawin paksa juga ke?
*****
Petang
itu, usai melakukan kerja di rumah Mak Cik Odah, aku tidak terus pulang ke
rumah. Aku kayuh basikal ke pantai yang tidak sampai satu kilometer dari rumah
Mak Long. Aku harus memujuk hati sendiri terlebih dahulu.
Sampainya
hati Mak Long. Aku bagai barang lelongan di mata Mak Long. Memang aku terhutang
budi dan harta dengan dia. Sejak lapan tahun yang lalu, aku terpaksa menumpang
makan dan tidur di rumahnya. Aku memang tidak pernah mengeluarkan belanja. Bil
air dan elektrik pun aku tak pernah masuk campur. Malah cukai tanah tapak rumah
itu juga aku tak pernah ambil tahu. Tapi sebab itukah Mak Long tegar meletakkan
harga setinggi itu untuk menghalau aku dari rumah dia?
Tanpa
aku sedari, air mataku panas menuruni pipi. Kalaulah mama dan papa masih hidup,
sudah tentu nasibku tidak seteruk ini. Mama… Lita rindukan mama. Wajah mama,
susuk tubuh mama, senyuman dan suara mama, tetap jelas di ingatanku. Tanpa
melihat gambar pun, ciri-ciri arwah mama tetap melekat di mindaku.
Cuma
arwah papa, aku tidak sempat mengenalinya. Arwah papa meninggalkan aku dan mama
ketika aku berusia tiga tahun. Kenangan bersama arwah papa terlalu samar dan
berbalam-balam. Cuma yang aku tahu, arwah papa terlalu sayangkan aku.
Banyak
perancangan yang telah arwah rancang untuk masa depan aku. Cuma sayangnya,
perancangan itu hanya tinggal perancangan. Arwah terlalu cepat diambil dari
aku. Tidak cukup dengan itu, mama pula menyusul papa ketika aku baru saja
meningkat remaja. Aku terumbang ambing saat melangkah menjadi seorang remaja.
Saat aku perlukan bimbingan dari orang dewasa yang dipanggil ibu dan bapa.
Ah!
Aku melalui zaman remajaku dengan ilmu yang dikutip dari penglihatan dan
pendengaran. Mahu mengharapkan Mak Long, cuma arahan yang sering keluar dari
bibirnya. Mujur juga Allah mentitipkan kepadaku orang-orang yang baik. Seperti
Mak Cik Odah, Auntie Rozy dan Abang Padam. Aku bersyukur sangat kerana aku
tidak terjebak dengan kehidupan hanyut sesetengah remaja. Alhamdulillah.
Mengingatkan
Abang Padam, keresahan hatiku sedikit terubat. Dulu Abang Padam selalu
menghadiahkan aku buku-buku berkaitan fardhu ain. Majalah khas untuk remaja
perempuan juga tidak ketinggalan. Tidak dinafikan, Abang Padam memberikan ilmu
kehidupan kepadaku dengan caranya yang tersendiri. Abang Padam... Lita rindu
abang…
Tanpa
aku sedari, hari sudah menginjak ke waktu maghrib. Lamanya aku duduk termenung
menghadap Laut Cina Selatan. Apa yang aku dapat simpulkankan, buih-buih di
permukaan lautan itu jauh lebih bertuah dari aku. Walaupun di mana buih-buih
itu berada, ia tetap bercantum dengan air lautan. Mereka bagaikan sehati dan
sejiwa sehinggalah buih-buih itu hilang sedikit demi sedikit.
Jauh
bezanya dengan aku dan Mak Long. Walaupun kami punya darah yang sama, tinggal
di rumah yang sama, jasad dan roh kami terlalu jauh jaraknya. Ah! Lita.
Sudahlah. Anggap saja semuanya qada dan qadar serta ujian bagi dirimu…
*****
“Kenapa
lambat?” Melengking suara Mak Long menyapa aku yang baru saja meletakkan
basikal di tepi dinding sebelah luar garaj kereta.
“Banyak
sikit kerja di rumah Mak Cik Odah.” Ya Allah. Ampunkan hambamu ini kerana
berbohong.
Sinaran
mata Mak Long jelas bukan sinaran kegembiraan. Yang ada di situ hanyalah
sinaran kebencian dan sakit hati.
“Asyik
menyusahkan saja kerja kau kan? Mana duitnya?” Tangan di hulur betul-betul di
hadapan mukaku.
“Ada…”
Aku menyeluk poket seluar trekku. Kepingan merah yang bergulung itu aku
keluarkan. Belum sempat aku meleraikan tiga kepingan kertas bernilai sepuluh
ringgit setiap satu itu, Mak Long sudah merampasnya dari genggamanku.
“Sebab
kau lambat, upah hari ni, semua aku ambil. Ganti rugi sebab aku terpaksa beli
lauk di kedai!” Apa yang mampu aku lakukan lagi selain dari mengenggam angin
yang langsung tidak terasa keberadaanya di telapak tanganku. Sekali lagi, tubir
mataku menjadi pedih.
No comments:
Post a Comment