Sunday, 5 April 2015

PENGANTIN LELAKI UNTUK CIK GADIS KARYA AULIA IMAN

BAB 5



“Kamu pekerja yang telefon nak datang tadi?” seorang lelaki menyergah dari belakang. Kris yang baru turun dari teksi berpaling kebelakang. Ada seorang lelaki menyoal dirinya di tengah-tengah panas.
“Encik tanya saya ke?” Kris yang tak faham apa-apa menyoal semula.
“Yelah, dengan siapa  lagi kalau bukan dengan kamu?”
Kris mengangguk berkali-kali. Tahulah dia, lelaki lingkungan 40-an ini pasti penyelia yang bernama Abu Bakar. Insan yang paling disayangi babahnya.
“Kamu datang dari mana? Lambok? Atau Madura?”
Erkk…. Kris pandang diri sendiri. Dia yang berjeans koyak dilutut dan ber-tshirt lengan pendek serta jaket lusuh dikatakan warga asing. Seiras sangatkah?
“Ada bawa visa bekerja dengan passport?” sekali lagi Kris ditebak dengan soalan sebegitu. Sabar sajalah Kris!
“Ada encik!” Kris layankan sahaja pertanyaan penyelia Abu. Malas menafikan! Ketika ini dia masih penat dengan perjalanan yang panjang, tambahan pula ini pengalaman pertamanya menaiki KTM.  Sungguh memenatkan hingga tiada kuasa hendak berbalas cakap.
“Baguslah… oh ya, kamu punya bahasa bagus! Tak bunyi macam orang Indon!” puji penyelia Abu. Sudah tentulah, kerana dia memang orang tempatan. Celah mana pula harus dia bertutur dalam bahasa dan loghat Indonesia.
“Ya, memang bagus.” Angguk Kris bersama wajah cemberut.
“Pergi letak beg dalam stor, kejap lagi saya tunjukkan kerja-kerja yang harus kamu buat! Mungkin petang nanti atau esok, anak bos akan datang. Jadi, kamu kena pandai buat kerja! Dengar cerita anak bos seorang yang garang dan tegas.”
Kris mengangguk, barulah dia faham! Rupa-rupanya penyelia Abu sudah tersalah orang. Dialah anak bos, bukan orang lain. Lain yang ditunggu, lain pula yang tiba. Lelaki itu tersalah maklumat agaknya!
“Sudah makan?” tebak Pak Abu bersama pandangan serius.
“Belum!” pendek sahaja Kris menyahut.
“Kalau belum, pergilah makan! Dekat kantin sana ada gulai itik, bos korbankan sepuluh ekor itik untuk kenduri kesyukuran sempena kedatangan anak bos!” tukas penyelia Abu buat kerongkong Kris terasa kembang.
“Gulai itik… uweekkk tak lalu aku nak makan! Ishh… geli!” hati Kris berdesis. Walaupun babahnya mengusahakan penternakan itik daging, namun dia masih belum tergamak menjamah daging haiwan berbulu putih itu. Baginya itik seekor haiwan yang comel namun berbaur sedikit hanyir. Tak sampai hati nak makan haiwan secomel itik.
“Sebelum saya terlupa, apa nama kamu?” Penyelia Abu baru terfikir untuk bertanyakan nama lelaki berpakaian agak selekeh ini. Dan Kris yang disoal terus sahaja menguntum senyuman nipis.
“Nama saya Kris Al-Hadi, panggil saja Kris!” tukas Kris ringkas.
“Nama macam orang arab!” Penyelia Abu mengomel perlahan namun masih sempat dia menjeling ke arah susuk tubuh Kris. Pada pendapatnya, nama dan penampilan lelaki itu tidak selari!
“Ha, pergilah letak beg kamu!”
“Yelah, sekejap ya!”
Dengan pantas Kris bergerak ke tengah-tengah ladang ternakan seluas empat hektar. Ditengah-tengah ladang, terdapat sebuah bangunan yang menempatkan pejabat kecil dan juga deretan rumah pekerja. Disebelah kiri bangunan batu itu, kolam-kolam ikan keli dan juga ikan air tawar yang lain menyapa pandangan mata. Manakala di sebelah kanan pula terdapat lombong yang menempatkan itik-itik daging. Luas juga ladang ternak milik babahnya ini!
“Perghh… busuknya tempat ni!” bibir mengomel tidak senang namun kaki tetap dihayun hingga ke dalam bangunan. Sebaik sahaja pintu dikuak, pandangan matanya menangkap beberapa orang pekerja sedang tidur lena.
Dia geleng kepala! Patutlah penternakan yang diusahakan tidak menepati perolehan yang dijangkakan. Rupa-rupanya, ini yang terjadi. Pekerja malas, tidur pada waktu kerja dan tidak efisen! Selama ini, dia fikir dia yang paling malas. Rupa-rupanya masih ada yang lebih malas dari dirinya.

No comments:

Post a Comment