Thursday 26 February 2015

PROLOG- LABUHKAN TIRAI SEMALAM KARYA ADNIL ZAFF

http://adnilzaff1981.blogspot.com/2014/12/prolog-labuhkan-tirai-semalam.html


Gelagat gadis itu terus direnung Sandra. Saat seutas rantai berada di tangan Adrina, renungan Sandra kian mengecil."Mana Ari dapat rantai tu?" Tegur wanita berusia 30 tahun itu dengan kerutan di kening.
"Abang Ben hadiahkan pada Ari semalam," jawab remaja itu sambil mengalung rantai emas itu ke lehernya.
Sandra terdiam saat nama itu terlepas dari ulas bibir Adrina. Makin dihalang makin tak reti bahasa pulak lelaki itu. Siap bagi hadiah! Tak guna betul.. Desis hati Sandra sendiri.
"Cantik tak, Kak Sandra?" Pertanyaan Adrina memecah menungan Sandra.
"Makan cepat! Bas datang sekejap lagi," ujar Sandra sekadar mengerling sekilas adiknya itu.
Spontan mulut Adrina termuncung. "Abang Ben tu asyik tanya pasal akak. Akak pulak asyik sombong aja dengan dia. Kesian dia. Abang Ben tu suka dengan akak. Tak baik tau akak buat dia macam tu!" gerutu Adrina perlahan.
"Ewah.. Dah jadi tukang support pulak sekarang ni. Nak kesian apanya?" Sandra menjeling tidak senang.
"Ari suka akak kahwin dengan Abang Ben. Dia baik."
"Akak kata makan cepat. Jangan fikir pasal dia lagi. Fikir pasal pelajaran Ari lagi ada faedah," jawab Sandra agak serious.
"Boring dengan akak ni. Asyik nak marah Abang Ben aja," bebel gadis 16 tahun itu sambil mencebikkan bibirnya.
"Akak tak mahu dengar nama Ben dalam rumah ni lagi. Ari jangan selalu sangat jumpa dia. Akak tak suka!"
Adrina diam. Ringan mulutnya mahu menjawab. Tetapi sedar akan kedudukan wanita di hadapanya itu di sisinya, akhirnya bicaranya terkulum begitu saja.

"Kita sama-sama dah dewasa. Sepatutnya awak faham bila saya kata saya tak suka awak dekati adik saya. Ada sebab kenapa saya tak suka.." Wanita berpaling seketika. Wajah lelaki yang sedang menunduk itu dipandang sekilas.
"Saya tahu awak baik, ikhlas pada saya. Kalau saya ceritakan kisah hidup saya dulu.. Alamatnya dunia ni akan gegak gempita, Ben.."
"Andai saya ceritakan siapa pula saya dulu, kita takkan dapat teruskan hidup ni, Sandra." Lelaki bernama Ben itu segera menyambut.
Sandra diam. Pandangan segera dilarikan daripada renungan lelaki itu.
"Kita semua ada kisah kita. Tapi tak seharusnya kita terus hidup dalam rantaian sejarah lalu. Hari ni dan hari depan lebih penting!" Ucap Ben lagi.
Sandra menggeleng perlahan. "Tak semudah itu. Hidup saya tak sama macam orang lain. Tak seperti yang awak bayangkan. Kenapa masih nak menunggu di sini, Ben."
"Sebab saya sayangkan awak dan Adrina. Saya nak hidup dengan awak!"
Sandra menggeleng lagi. Kelat perasaannya sehingga matanya terpejam dengan sendirinya. Hakikatnya Ben tidak pernah tahu siapa Adrina. Adrina bukan adik kandungnya walaupun gadis itu darah dagingnya. Bukan juga adik tiri atau adik angkat. Sama sekali bukan! Kerana Adrina dia memilih untuk menyendiri sehingga kini.
"Awak kena jauhkan diri dari dia.." Pinta Sandra agak perlahan.
Makin tebal keresahan di hati lelaki itu mendengar permintaan Sandra. Mengapa susah benar untuk dia mengerti hati wanita ini? Mengapa ketat benar Sandra menutup pintu hatinya kepada seorang lelaki? Sehingga susah benar untuk dibuka. Sekurang-kurangnya dia ingin mendengar alasan mengapa Sandra bersikap begini.
"Adrina takde ayah.. Takde abang kandung. Dia hanya ada saya dalam hidup dia."
"Itu saya dah lama tahu, Sandra. Takkan sampai bila-bila awak nak jauhkan diri daripada orang lain kerana Adrina?"
"Awak tak faham. Ada sesetengah perkara yang tak dapat saya hilangkan sedangkan dia selalu ada dengan saya. Saya lebih rela begini saja, Ben. Saya tak mahu kisah lalu saya merubah apa yang dah saya bina hari ni. Awak kata kita tak hidup dengan rantaian kisah semalam. Itu mungkin untuk awak. Tapi saya.. Saya akan terus dirantai kisah lalu sampai mati! Saya tak boleh lari."
"Apa maksud awak?"
Sandra kembali memandang lelaki itu. "Adrina amanah buat saya. Saya akan terus menjaga dia selagi ada nyawa saya. Tapi.. Saya takkan biarkan kisah hidup dia mencacatkan kehidupan dia hari ni. Saya tak mahu dia menangis kalau dia tahu siapa diri dia yang sebenarnya!"
"Adrina anak luar nikah?" Ben pantas meneka. Kalau benar begitu, tiada apa yang hendak dimalukan. Dia mahu mengahwini Sandra. Bukan Adrina. Apa yang hendak dimalukan kalau benar Sandra dan Adrina bukan adik beradik kandung atau tidak sama ayah. Dia sedia menerima kenyataan itu.
"Ada kenyataan yang lebih menyakitkan dari itu, Ben. Kalau saya berterus terang, boleh awak tinggalkan saya dan Adrina untuk selama-lamanya? Jangan cari saya lagi dan saya tak mahu awak dekati Adrina lagi."
"Jangan mintak sesuatu yang saya tak boleh beri, Sandra. Tolonglah!"
"Hakikat yang saya pegang selama ni takkan mampu awak terima, Ben! Tolonglah faham!" Tegas Sandra sedikit meninggi.
"Awak nak saya faham.. Tapi macam mana?"
"Adrina memang anak luar nikah. Tapi bukan dari rahim arwah ibu saya. Sebaliknya wanita lain," ujar Sandra agak perlahan. Masih teragak-agak mahu membiarkan cerita sebenar terbuka. Wajahnya diraup perlahan. Hati kian resah entah kenapa.
"Hanya sebab itu awak menolak saya selama ni? Sebab adik awak anak luar nikah.. Awak menolak semua lelaki dalam hidup awak?" Tekan Ben dengan pandangan mencerun tajam.
"Kalau itu yang mampu awak faham.. Jawapan saya, ya!" Sandra membalas serius.
Ben terdiam. Alasan itu tidak mampu diterimanya. Sama sekali tidak!

3 comments: