Thursday 26 February 2015

BAB 1-SETIA MENANTI KARYA LUVIS IEJA



 
HUJAN yang turun mencurah-curah semenjak petang tadi masih belum ada tanda- tanda mahu berhenti. Rintik hujan yang turun mengenai bumbung rumah bagaikan sebuah irama lagu yang begitu mengasyikkan. Sara masih setia berdiri di jendela sambil merenung titik- titik hujan yang turun. Sesekali angin yang bertiup kencang menerobos jendela dan menjamah tubuhnya, dingin. Dia memeluk tubuhnya dengan erat cuba melawan kedinginan yang dibawa oleh angin. Sesekali tangannya naik menyelak rambut hadapannya yang jatuh menutupi mata akibat disapa angin.
“Bosannya..”
Sara mengeluh kecil. Keluhan yang hanya didengari oleh dirinya sendiri kerana hanya dia yang berada di banglo besar itu, tika ini. Walaupun berkali-kali Sara mengeluh, keadaan pasti akan tetap sama. Kebosanan tetap juga mencengkam jiwa.
Tiba-tiba saja matanya terasa pedih. Rasa macam nak menangis, tapi air matanya seakan sudah kering. ‘Ya Allah, kenapa harus begini? Tidak layakkah aku untuk bahagia?’ Setitis mutiara jernih jatuh jua akhirnya. Sebak, pilu.. semua datang bertamu di kalbu.
Perlahan tangan menarik jendela dan terus dirapatkan. Kakinya sudah naik kebas kerana berdiri terlalu lama di situ. Dengan longlai dia melangkah ke sofa empuk di ruang tamu. Mata melirik sejenak pada jam dinding yang tergantung kemas. Pukul 12.00 tengah malam. Nampaknya, malam ini juga Adam tidak akan tunjukkan mukanya di banglo itu. Benci sangatkah dia?
Peti televisyen dipasang. Dokumentari berkisarkan panorama alam sedang bersiaran. Sara berbaring di sofa. Mata terarah tepat pada kaca TV tetapi fikiran melayang jauh teringatkan kampung kelahirannya. Rindu! Itulah yang mengasak di jiwa saat itu.
Apa khabar agaknya Makcik zainab? Masih ingatkah dia pada Sara. Tak semena-mena air mata yang tadinya seakan kering, gugur lagi. Bayang wanita berusia lewat 50-an itu menari di ruang mata.
Meskipun hidup bersama Makcik Zainab banyak pahit dari manisnya. Dia tetap sayangkan wanita itu. Ini kerana, semenjak arwah ibu dan ayahnya meninggal.. Makcik Zainab lah yang telah menjaganya. Biarpun dia terpaksa memerah keringat untuk sesuap nasi, dia tetap juga bersyukur. Sekurangnya dia masih lagi ada tempat untuk berteduh.
Dia juga terpaksa membanting tulung empat keratnya untuk mencari duit bagi menampung yuran persekolahannya. Semenjak kecil dia memang sudah berkerja di sawah, mengambil upah menyulam dan bermacam jenis kerja lagi pernah dia buat untuk mendapatkan duit. Ini kerana Makcik Zainab bukanlah seorang yang berduit.
Hidup mereka ibarat kais pagi, makan pagi. Dan kais petang, makan petang. Suami makciknya itu pula malas bekerja. Kaki judi dan arak. Kadang-kala Sara kesiankan makciknya. Hanya Makcik Zainab seorang yang berkerja membanting tulang untuk menyara mereka. Kerana itulah dia tidak pernah salahkan makciknya andai kata wanita tua itu kadang-kala menjadi terlalu bengis. Dia faham apa yang sedang dilalui oleh makciknya.
  Sekarang, semuanya bagaikan tinggal angan-angan. Bolehkah dia kembali menyambung pelajarannya setelah terkurung di dalam sangkar emas milik Adam ini? Walaupun mulut lelaki itu mengatakan tidak pernah kisah dengan dirinya, tetapi dia tetap juga berasa ragu. Memang Sara berharap sangat dapat menjejakkan kakinya ke menara gading. Itulah impiannya selama ini.
Adam Hakimi! Lelaki yang telah membeli Sara daripada suami makciknya iaitu, Pak Samad. Lelaki yang telah menyelamatkan Sara daripada terjatuh ke tangan Tauke Ah Chong, sekaligus menyelamatkan dia daripada terjerumus kelembah pelacuran. Lelaki yang secara tidak sengaja telah menjadi suami kepadanya tanpa rela. Lelaki yang telah mengikat tali pernikahan dengannya bersama syarat. Ya Allah, sungguh Sara tidak kuat.
Teringatkan kembali peristiwa lalu membuatkan hatinya makin disapa pilu. Bercucuran lagi air mata Sara. Kali ini makin lebat sehinggakan dia teresak-esak. Sampai hati Pak Samad buat dia macam ni? Tidak adakah sedikitpun perasaan kasihan di hati Pak Samad buat dirinya? Kenapa Pak Samad tegar untuk menjual dirinya kepada Adam?
Sekarang, Sara semakin tertekan. Kenapa bayangan Adam selalu saja datang menyapa ruang ingatannya sejak akhir-akhir ini. Adakah dia sudah mula menyayangi lelaki itu? Lelaki yang bergelar suami hanya pada nama. Lelaki yang terang-terangan mengaku bernikah dengannya kerana kasihan. Lelaki yang mengaku sudah berteman dan tersangat mencintai teman wanitanya..
Lalu, apakah kesudahannya dengan Sara?
ADAM merenung jam di dashboard kereta BMW miliknya. Satu keluhan berat dilepaskan. Terasa sesak nafasnya saat itu. Tepat jam 2.30 pagi!
 Lama dia termenung di kereta. Bermacam rasa mula bersarang di jiwanya. Sara! Sejak akhir-akhir ini, hanya nama itu yang selalu bermain di mindanya. Membuatkan hati lelakinya menjadi sesak dan resah.
Sara Dhia.. Perempuan kampung yang dinikahi olehnya tanpa dirancang. Adam langsung tidak menduga kepulangannya ke kampung halaman mamanya tiga bulan yang lalu membawa perubahan besar di dalam hidupnya. Masih jelas terbayang di ruang matanya segala apa yang telah berlaku.
“Encik! Tolong saya.”
Perempuan muda yang tiba-tiba saja muncul di laman banglo milik keluarganya yang terletak di kaki bukit itu mengejutkan Adam. Tubuh Adam telah dipeluk kejap. Adam dapat rasakan getaran kuat daripada tubuh perempuan itu. Wajahnya benar-benar ketakutan.
Adam nampak ada dua orang lelaki yang bermuka bengis sedang mengejar perempuan muda itu daripada belakang. Seorang lelaki berbangsa melayu dan seorang lagi lelaki cina. Dahi Adam naik berkerut.
“Hei, perempuan sial! Kau mari sini.”
Tubuh perempuan muda itu telah ditarik kasar oleh lelaki melayu yang bermuka bengis itu. Manakala lelaki cina tadi hanya tersenyum lebar. Pelukan perempuan itu yang begitu kejap ditubuh Adam membuatkan Adam terheret sama.
“Encik, tolong saya encik!” Teresak-esak perempuan muda itu menangis di dada Adam. Wajahnya benar-benar ketakutan. Hati Adam tiba-tiba disapa rasa kasihan.
“Kenapa ni?” Tanya Adam. Matanya memandang tepat pada lelaki melayu tadi. Tubuh perempuan muda itu masih melekat kejap ditubuhnya.
“Serahkan perempuan tu pada aku!” Jawap lelaki melayu tadi. Tangan perempuan itu ditarik kasar.
“Pakcik.. Tolonglah pakcik. Jangan buat Sara macam ni..” Mendayu-dayu perempuan itu merayu.
“Encik! Saya tak nak ikut dia orang..”
“Aku dah jual kau pada Ah Chong. Sekarang kau kena ikut dia..” Tengking lelaki bengis tadi.
“Pakcik, Sara tak nak!” Makin kuat tangisannya. Hati Adam makin sesak melihat adegan yang berlangsung di hadapan matanya.
“Berapa kau jual dia? Aku beli!” Dengan yakin Adam menutur kata. Matanya terarah tepat pada lelaki melayu tadi.
“Itu amoi waa punya loo..” Lelaki cina yang berperut buncit itu tiba-tiba bersuara.
“Berapa lu beli dia? Aku bayar dua kali ganda!” Tanya Adam dengan yakin. Tubuh perempuan bernama Sara itu masih melekat kejap pada tubuhnya. Dia benar-benar nampak ketakutan.
Adam nampak dua lelaki itu berbincang sesama sendiri buat seketika.
“Okey, sepuluh ribu.”
Sara terduduk kaku. Apalah nasibnya. Terlepas dari mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya. Air mata terus laju. Ya Allah, murahnya harga dirinya..
“Okey! Aku beli ini perempuan. Lagi satu, tolong uruskan pernikahan aku dengan perempuan ni! Kalau boleh hari ini jugak.”
“Encik! Saya tak nak kahwin.”
“Kau berhutang dengan aku!” Mata Adam menikam tajam ke dalam anak mata Sara yang redup. Sara terkedu.
Selepas itu, dia telah membawa Sara pulang bersamanya ke Kuantan. Walaupun tinggal di bawah satu bumbung, tetapi meraka tidak hidup seperti pasangan suami isteri yang lain. Adam tidak mahu rahsia mereka terbongkar. Dia juga merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan kedua orang tuanya. Mama dan Papa Adam sudah lama menetap di Kuala Lumpur. Papanya telah melebarkan perniagaan mereka disana, manakala Adam pula masih menetap di Kuantan untuk menguruskan perniagaan mereka disini.
Adam berkahwin dengan Sara cuma atas dasar kasihan. Kasihnya pada Amira, kekasih hatinya tidak pernah berbelah bagi. Kerana itulah dia jarang mahu pulang ke rumah. Dia takut kalau-kalau hatinya berubah. Dia sendiri telah meletakkan syarat di dalam perkahwinan mereka. Sara diberi kebebasan oleh Adam untuk pergi ke mana sahaja dan berkawan dengan sesiapa sahaja asalkan pandai menjaga maruah diri sebagai seorang isteri. Namun, Sara tidak dibenarkan bercerita kepada sesiapapun tentang perkahwinan mereka. Sara juga tidak dibenarkan untuk masuk campur di dalam urusan peribadinya.
Tapi semenjak kebelakangan ini, wajah Sara sering saja menyapa ruang ingatannya. Semua itu menyesakkan perasaan Adam. Kenapa dia selalu teringatkan Sara? Kenapa bayang Sara sering datang mengganggu hidupnya sejak akhir-akhir ini? Dan kerana itulah dia berada di sini sekarang. Perasaan ingin bertemu dengan Sara membuak-buak.
PINTU utama ditolak perlahan. Adam berdiri di muka pintu dengan wajah sugul dan kepenatan. Dia berasa pelik melihat lampu masih terpasang, manakala televisyen juga masih bersiaran. Tetapi dia tidak pula nampak kelibat Sara di mana-mana. Adam membelek jam tangan berjenama Rolex di lengannya. ‘Dah pukul 2.30 pagi, tak kan dia kat dapur kut..!’ desis hati kecil Adam. Perasaan hairan mula menyapa.
 Dia berjalan perlahan menghampiri sofa untuk merehatkan diri seketika sebelum masuk ke bilik tidurnya. Namun begitu, langkah Adam terus kaku tatkala matanya terpandangkan sekujur tubuh ramping milik Sara yang sedang nyenyak terbaring di sofa. Dia  berdiri betul-betul di hadapan Sara, merenung isterinya yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Hati Adam menjadi hiba dengan tiba-tiba melihat wajah mulus Sara.
“Kau memang cantik Sara. Sopan, lemah-lembut, penyabar... maafkan aku sebab tak pernah menghargai kau. Aku tak mampu!!” luah Adam perlahan. Terasa seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya kala itu. Matanya juga terasa pedih.
 Adam akui, Sara memang cantik! Kecantikan yang asli, yang belum pernah ditemui pada mana-mana perempuan yang dikenalinya sebelum ini, termasuklah pada Amira kekasih hatinya. Sara memiliki kulit yang putih bersih, gebu, bermuka bujur sirih, kening yang halus dan lebat, mata yang jernih bercahaya dan bundar, bibir yang merah bak delima tanpa secalit gincu pun. Dia akui juga setiap lelaki yang terpandangkan Sara, pasti bergetar jantung mereka. Termasuklah dia sendiri.
Adam sendiri saat pertama kali terpandangkan Sara, lidahnya menjadi kelu dan langkahnya menjadi kaku. Saat dia dipeluk erat oleh Sara, berderau rasa darah lelakinya. Sungguh! Sara memiliki aura memikat yang tersendiri. Perkahwinan yang pada mulanya atas dasar kasihan, kini seakan menjerat dirinya sendiri.
Nafas Adam mula tidak teratur. Jantungnya berdegup kencang. Semakin dia merenung Sara, nafasnya semakin sesak. Suatu perasaan aneh mula timbul dihatinya. Fikiran nakal lelakinya mula menjentik tangkai hati. Membangkitkan naluri kelakiannya. Adam terasa mahu mendakap tubuh Sara saat itu juga. Tetapi dia takut! Takut kalau-kalau Sara tersedar dan dia dituduh cuba mengambil kesempatan.  
Walaupun dia ada hak untuk berbuat begitu, dia tidak mahu menyentuh Sara hanya kerana desakan nafsu. Atas sebab itulah, sampai sekarang dia masih belum menyentuh Sara. Dia masih menjaga kesucian Sara. Dia bukanlah seorang lelaki yang bertuankan nafsu. Bagi Adam, wanita adalah untuk dilindungi.
Namun, kadang-kala dia bagaikan tertewas dek keayuan Sara. Disebabkan itulah dia jarang mahu pulang ke rumah. Dia takut andainya dia tiba-tiba terjatuh cinta pada Sara, sedangkan hatinya sekarang cuma milik Amira seorang. Dia bukan jenis lelaki yang suka berfoya-foya dengan ramai perempuan. Baginya cinta amat berharga untuk dijadikan bahan mainan. Dan sekarang cintanya memang milik Amira seorang.
 Adam mula takut apabila teringatkan Amira. Takut andainya Amira mendapat tahu tentang Sara. Dia begitu yakin, Amira tidak akan dapat menerimanya. Dia tidak sanggup kehilangan Amira. Namun, untuk melepaskan Sara pergi.. memang tidak akan sesekalinya. Bukan sikit duit yang dia laburkan untuk memiliki Sara. Tidak mungkin dia mahu melepaskan Sara pergi macam itu saja. Tapi, apa yang nyatanya.. bukan kerana duit semata-mata. Dia tidak mahu melepaskan Sara kerana hatinya begitu berat untuk berbuat begitu. Adam mahu Sara terus menjadi isterinya. Atas alasan apa, dia sendiri tidak tahu.
 Buat masa sekarang rahsia mereka memang tersimpan rapi. Tetapi Adam gusar, sampai bila rahsia ini akan bertahan. Dia sendiri keliru dan buntu memikirkan itu semua.
Adam berjalan perlahan menghampiri Sara. Dia berdiri betul-betul di hadapan Sara, merenung lama wajah isterinya yang masih lena dibuai mimpi. Kepala Adam terasa begitu  berat dan sarat. Dia tidak tahu mengapa dia masih mahu Sara menjadi isterinya sedangkan dia tidak pernah mencintai Sara. Tetapi saat dia menyambut tangan imam pada hari mereka dinikahkan itu, satu peraasaan yang begitu sukar untuk dimengertikan hadir dalam hatinya saat Sara sah bergelar isteri kepadanya. Perasaan yang begitu halus dari dasar hatinya yang paling dalam.  
Tiba-tiba Sara memusingkan tubuhnya ke kanan, betul-betul mengadap Adam. Adam sedikit kaget, kemudiannya dia menarik nafas lega apabila melihat Sara kembali lena disitu. Mungkin Sara berkalih untuk mencari posisi yang lebih selesa ataupun dia kesejukan. Timbul perasaan simpati di hati Adam melihat keadaan Sara begitu. ‘Dia tunggu aku balik ker?’ desis Adam penuh tanda tanya. Ingin sekali rasanya dia memeluk Sara saat itu agar Sara tidak kesejukan lagi. Hati kata mahu.. tapi, tangannya terus kaku.
Perlahan-lahan bahu Sara cuba disentuh oleh Adam. Dia mahu kejutkan Sara supaya masuk tidur di biliknya. Tetapi lain yang dihajat, lain pula yang telah terjadi. Dia tidak dapat menahan desakan perasaannya. Tanpa sedar bibirnya sudah selamat mendarat di ubun-ubun kepala Sara. Mengucup lembut ubun-ubun isterinya itu. Adam terus hanyut, dibuai perasaan yang indah. Dalam tak sedar juga, Adam sudah melampaui batas. Dari ubun-ubun terus turun ke bibir merah basah milik Sara. Bibir Sara yang merah basah itu dicium lama. Hangat dan membara.
Dengan spontan Sara terjaga dari lenanya dan bingkas bangun. Dia mengurut dadanya, betul-betul terperanjat dengan kelakuan Adam sebentar tadi. Jantungnya berdetak kencang, bagaikan tidak berhenti berlari. Dengan dahi yang berkerut dan diri yang masih mamai-mamai, dia merenung Adam.
“Ya Allah!! Terkejut saya. Awak buat apa pada saya ni?” Mata Adam ditentang lama bersama kerutan yang semakin berlapis di dahi. Dia kebingungan. Dadanya berombak kencang. Masih terasa hangatnya bibir Adam yang melekat kejap di bibirnya sebentar tadi.
 Adam ketawa dalam hati sambil mengutuk dirinya sendiri. Dia sedaya-upaya cuba mengawal emosinya dan cuba berlagak biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku sebentar tadi. Lama juga mata mereka bertemu. Allah saja yang tahu perasaan Adam tika itu.
“Aku buat apa? Aku cuma nak kejutkan kau!! Yang kau tidur dekat sini kenapa? Itu, nasib baik aku yang masuk! Kalau perompak atau perogol yang masuk macam mana?” bentak Adam sedikit keras, konon-kononya marah. Padahal semua itu adalah lakonan untuk menutup perasaan malunya pada Sara. Dia yakin Sara tahu apa yang sudah terjadi. Adam tebalkan saja mukanya. 
“Err, Emm..” Sara sudah kehilangan kata-kata. Melihat wajah Adam yang serius dan kelat itu sudah cukup untuk membuatkan hatinya berasa kecut. Mana tak kecut! Suaminya itu tidak pernah mahu senyum padanya. Garangnya mengalahkan singa jantan tengah mengawan.
“Kalau aku buat apa-apa pun kau nak cakap apa? Bukannya haram pun! Lagipun aku ada hak tau..” Adam berbisik perlahan di tepi telinga Sara. Dia kemudiannya ketawa kecil dan terus meninggalkan Sara yang masih terpinga-pinga seorang diri disitu.
DI dalam biliknya, Adam tidak dapat hendak melelapkan matanya walau sepicing pun. Dia keresahan! Satu perasaan yang aneh lagi indah mula hadir dalam hatinya terhadap Sara. Sedikit demi sedikit rasa itu telah merobekkan ketenangan di jiwanya. Apa yang berlaku sebentar tadi masih setia menari-nari di benak fikirannya, membuatkan senyuman nakal terukir mekar di bibir lelakinya.
Masih terasa hangatnya bibir Sara. Naluri lelakinya berkocak lagi. Perasaan ingin mendampingi Sara membuak-buak. Sungguh! Dia masih tergilakan bibir merah Sara. Rasanya belum puas.
MANAKALA Sara pula masih terduduk kaku di sofa. Kata-kata Adam masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. Tiba-tiba dia berasa seram dan takut. Takut andainya dia dikecewakan dan dipermainkan. Sara keliru dengan perasaannya sendiri. Perasaannya yang begitu mendalam terhadap Adam semenjak akhir-akhir ini seringkali meresahkan jiwanya. Memang dia mengaku, kadang-kala dia berasa begitu rindukan Adam. Rindu untuk menatap wajah kacak suaminya, rindu untuk melihat jelingan tajam Adam kepadanya. Dia rindu segala-galanya tentang Adam. ‘Apakah ini di namakan cinta?’ Sara semakin buntu. Walaupun terasa sakit, tetapi masih tetap mahu mengingati!
Malam itu Sara tidak dapat untuk melelapkan matanya sampai ke pagi. Masih terbayang-bayang di ingatannya tentang perbuatan Adam tadi. Masih terasa hangatnya bibir milik Adam, melekat lama di bibirnya. Buat pertama kalinya Adam melakukan perkara itu. Dia dapat merasakan kemesraannya walaupun secara curi-curi. Terasa olehnya, seolah-olah perasaan kasih dan sayang mengalir deras.. meresap masuk ke tubuhnya bagaikan aliran arus elektrik.
Namun, Sara cepat-cepat menyedarkan dirinya dan mengusir perasaan itu agar menjauh. Jauh dari hatinya. Adam bukan miliknya yang mutlak. Cinta dan kasih sayang Adam bukan untuk dirinya. Takdir mereka cuma diketemukan sebagai sepasang suami isteri, tetapi bukan untuk saling menyayangi dan mencintai.
 Semua itu telah diakui sendiri oleh Adam pada hari mereka dinikahkan. Akhirnya air mata Sara tumpah jua. Jiwanya terasa kosong dan kesunyian. Kini dia tahu, dia cuma seorang diri di atas bumi Allah ini tanpa ibu dan ayah, tanpa adik-beradik dan saudara mara. Dia cuma bersama seorang lelaki yang begitu asing baginya sekarang.
 Lelaki yang bergelar suami atas pada nama. Tiada kemesraan, tiada cinta dan kasih sayang. Dia mula terkenangkan arwah ibu dan ayahnya. Kalaulah mereka masih ada.. tentu semua nasib malang ini tidak menimpa dirinya. Dia cuma mampu berdoa agar diberi sedikit kekuatan oleh Allah, supaya dia terus kuat untuk menghadapi semua ujian ini. Semoga masih ada sinar bahagia buatnya pada hari esok. Dia tidak pernah akan berputus asa. Sara yakin, di sebalik derita, pastikanada terselitnya bahagia..

No comments:

Post a Comment