Thursday 26 February 2015

CERITA TENTANG KITA KARYA DHILA RAZALI

BAB 1


FAIRA mencelikkan mata. Dia bingkas bangun dari pembaringannya. Pintu bilik dikuaknya perlahan. Dia melangkah keluar ke arah dapur, hanya dia seorang diri. Dia kembali teringat bahawa Syed Dameer keluar malam tadi, pasti tidak pulang lagi.
            Belakang tengkuknya diurut perlahan-lahan. Wap udara yang keluar dari muncung cerek elektrik dipandangnya bersahaja. Cawan yang berada di hadapannya dipegang seketika, fikirannya mencongak beberapa perkara. Yang paling membuat dia bingung, ke mana hala tuju Syed Dameer selama dia keluar lewat malam tadi? Bukan sekali tetapi kerap kali. Dia tidak bertanya, Syed Dameer pula tidak bercerita.
            Kepala yang terasa berat dipicit-picitnya perlahan, dia tidak jadi untuk membancuh minuman panas. Dibiarkan sahaja cawan itu kosong. Kakinya dibawa melangkah ke arah ruang tengah. Kedengaran pintu hadapan dibuka perlahan. Faira kaku. Langkahnya terhenti seketika, wajah Syed Dameer muncul di depan matanya.
            “Aku keluar semula nanti.” Syed Dameer membetulkan kolar kemejanya yang tidak dibutang dengan baiknya. Faira menundukkan wajah, dia sebenarnya tidak faham dengan sikap Syed Dameer selama ini. Bagi dirinya, semakin dia cuba memahami suaminya itu semakin dia tenggelam dengan kekeliruan.
            Syed Dameer melangkah ke arah peti sejuk. Dibuka pintu peti sejuk berkenaan lalu sebotol air mineral dikeluarkan. Tangannya membuka penutup botol tetapi matanya memandang tepat ke arah isterinya itu.
            “Tak bersiap lagi?” soalnya. Faira mengetap bibir, sebenarnya memang dia berniat untuk masuk ke bilik semula tetapi apabila dia melihat kelibat suaminya itu dia tidak jadi. Ada perkara yang dia mahu Syed Dameer tahu.
            Faira mengetap bibir bawah. Kelu lidahnya pula apabila pandangan mereka saling bersatu. Tidak sampai seminit, Syed Dameer berpaling semula lalu membelakangkan Faira.
            “Ada apa?” soal Syed Dameer yang membelakanginya. Faira terkedu, pasti raut wajahnya dapat dibaca oleh suaminya tadi.
            “Aku keluar dulu. Malam ni mungkin aku balik lewat. Kau tak payah tunggu,” ujar Syed Dameer. Faira mengalih pandangan ke arah lain apabila menyedari Syed Dameer mencuri lihatnya seketika.
            “Meer... Fai...”
            “Kita cakap nanti. Aku dah lewat.” Faira senyap. Dia tidak tahu, mahu berterus terang dengan Syed Dameer atau dia patut pendamkan sahaja? Buntu, itu yang melanda dirinya selama ini.
            Bayangan Syed Dameer hilang di matanya. Jam dinding dikerlingkan seketika, tepat pukul lapan pagi. Petang nanti dia perlu bertemu dengan orang penting keluarga Tuan Syed Bakhrudin, Bonda Dahlia. Ada perkara yang mahu mereka bincangkan, tanpa pengetahuan Syed Dameer.
            Syed Dameer mengeluarkan telefon Lenovo miliknya, satu nombor didailnya sebelum menghidupkan enjin kereta.
            “Helo Syam! Aku lewat sikit... ada hal lain.”
            “Kau nak ke mana?” suara Syamrul di hujung panggilan.
            “Aku nak jumpa Nita.” Syed Dameer jujur.
            “Kau biar betul... kan dah ada Faira, kenapa nak jumpa dia lagi?”
            “Aku lewat dah ni.” Syed Dameer mematikan panggilan. Nitasha, seseorang yang dia terpaksa lukakan hatinya dahulu. Oleh sebab desakan Bonda Dahlia, dia terpaksa menerima Faira dan dia juga pasti Faira terpaksa menerimanya sebagai suami.
            Kereta Ford Mondeo miliknya diparkirkan berhampiran laluan pintu pagar kediaman Haji Zainul, ayah kepada Nitasha. Syed Dameer melangkah ke arah pintu masuk, kepalanya terjungkit-jungkit memerhatikan jika ada kelibat Nitasha di halaman rumah berkenaan.
            “Ya encik, cari siapa?” soal seorang lelaki berusia yang sedang memegang plastik sampah, pasti Pak Rasul yang merupakan pekerja ladang Tuan Zainul.
            “Nitasha ada?” soal Syed Dameer. Pak Rasul cuba mengecam wajah lelaki yang berdiri di balik pintu pagar berkenaan.
            “Dameer ke?” soal Pak Rasul. Syed Dameer angguk mengiyakan.
            “Siapa tu Rasul?” kedengaran suara Haji Zainul dari arah halaman kiri. Syed Dameer gugup seketika, dahulu hubungan keluarga mereka begitu rapat tetapi oleh sebab keputusan melulu yang dibuat oleh Bonda Dahlia sudah ada jurang yang memisahkan mereka.
            “Uncle Zainul,” senyuman dihulurkan buat Haji Zainul. Pintu pagar yang tidak berkunci ditolak perlahan oleh Pak Rasul, Syed Dameer melangkah masuk. Tangan mereka saling bertaut, mesra. Pak Rasul menyambung tugasannya, Haji Zainul melangkah ke arah anjung halaman sebelah kanan. Syed Dameer mengekori dari belakang.
            “Papa dan mama kamu sihat?” soal Haji Zainul yang sudah merebahkan punggung di atas kerusi kayu jati. Dia mempelawa Syed Dameer yang masih berdiri kaku itu.
            “Alhamdulillah, sihat.” Syed Dameer membetulkan dudukannya seketika. Haji Zainul mengangguk faham, matanya menyoroti ke arah pemuda yang pernah berjanji mahu sehidup semati dengan anak tunggalnya dahulu.
            Syed Dameer sekali-sekala mencuri pandang ke arah ruang dalam kediaman Haji Zainul berkenaan. Bukan lelaki yang berusia 50 tahun itu tidak perasan tetapi dia sendiri tidak pernah ambil tahu sebab Syed Dameer selalu ke rumahnya kebelakangan ini.
            Pintu gelangsar yang sedikit terbuka itu ditolak perlahan oleh Nitasha. Kakinya terhenti melangkah saat matanya tertumpu ke arah wajah lelaki di hadapannya.
            “Uncle masuk dulu.” Haji Zainul mengundur diri. Nitasha yang masih berdiri di pintu gelangsar langsung tidak berganjak. Sebelum ini dia mampu untuk melarikan diri tetapi kali ini dia perlu berdepan dengan Syed Dameer.
            Mata Nitasha hanya mengekori langkah ayahnya. Syed Dameer bangun dari dudukan, dia sendiri tidak pasti bagaimana mahu memulakan perbualan mereka. Setelah dua tahun dia berkahwin, tidak pernah sekali Nitasha bertegur sapa dengannya walaupun mereka bertemu di mana-mana.
            “Sihat?” soalan Syed Dameer memecahkan kesunyian mereka berdua. Nitasha hanya memeluk tubuh, dia masih berdiri di pintu gelangsar berkenaan.
            “Isteri mana? Dia sihat?” soalan berbalas soalan. Nitasha langsung tidak memandang wajah Syed Dameer.
            “Ini hal kita. Janganlah bawa masuk hal...”
            “Dameer, awak dah kahwin. Faira, dia isteri awak yang sah. Kenapa nak libatkan hal kita? Awak dengan saya... dah berakhir!” bentak Nitasha. Syed Dameer terkedu. Nampak wajah wanita berkenaan menahan seribu amarah. Suasana tenang pagi ini tidak mampu menyejukkan situasi mereka.
            “Nita...”
            “Dulu awak yang paksa saya lupakan semua ini. Sekarang, kenapa awak yang datang semula? Dameer... tolong diri awak. Faira yang terbaik buat awak.” Nitasha cuba memujuk.
            “Dia...”
            “Jangan cari kelemahan dia. Awak lengkapkan diri dia, saya tak jadi orang ketiga. Saya dah anggap awak sebagai kawan. Baliklah Dameer,” pinta Nitasha lagi. Syed Dameer mengurut perlahan dahinya. Lain yang dia harapkan, lain yang jadi pula. Entah kenapa dia bagaikan terpukul dengan kata-kata Nitasha tadi.
            “Nita...” Syed Dameer memujuk. Nitasha menggeleng seketika sebelum dia melangkah masuk. Syed Dameer kelu lidah. Hanya bayangan kelam Nitasha yang dapat dilihatnya dari pintu gelangsar berkenaan.

BUTIK BUSANA Dahlia, di sinilah kali pertama Faira mengenali Puan Syafirah Zailea dan di sini jugalah kali pertama dia bertemu mata dengan Syed Dameer. Segalanya berubah, tidak pernah kekal sama. Dia hanya menghitung masa, mengira hari tanpa mengetahui di mana silapnya. Faira termenung, sudah menjadi kebiasaannya kala tiada pelanggan.
            “Fai,” bahunya dicuit perlahan. Matanya mencari arah suara berkenaan. Ardina, sahabat yang selalu menjadi telinga kepada masalahnya. Senyuman di bibir sahabatnya itu tidak mampu dibalas dengan mesra.
            “Kenapa ni?” soal Ardina sambil membelek beberapa buku katalog yang bersusun di atas meja berkenaan. Faira menggeleng seketika. Ardina cuba merenung wajah Faira tetapi cepat sahaja sahabatnya itu mengalihkan mata.
            “Macam ada yang tak kena je,” luah Ardina.
            “Betul apa yang Dina kata dulu.” Ardina meletak semula katalog yang berada di pegangannya. Dia merapatkan tubuhnya ke arah Faira. Apa yang dia rasa tidak kena tadi, memang benar. Faira ada menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.
            “Apa yang aku kata dulu?” soal Ardina tidak mengerti.
            “Syed Dameer.”
            “Kenapa dengan dia?” Ardina mengerutkan wajah.
            “Macam langit dengan bumi.” Faira mengetap bibir bawahnya. Kali ini dia membalas pandangan mata sahabatnya itu.
            “Fai... aku tak faham. Apa sebenarnya?” kali ini Ardina mengusap perlahan bahu Faira. Cuba memberi dia kekuatan walaupun Ardina tidak pasti apa sebenarnya yang mahu diluahkan oleh Faira.
            “Fai okey tak ni?” soal Ardina apabila menyedari Faira masih membisu. Faira mengangguk perlahan.
            “Penat Dina. Saya penat dengan perasaan saya sendiri. Saya rasa apa yang saya fikir sebelum ni semuanya hilang. Saya dah tak tahu apa yang patut saya lakukan lepas ni. dia...” Ardina terdiam. Dia sangkakan perkahwinan Faira dengan Syed Dameer bahagia tetapi melihat wajah sugul Faira kebelakangan ini, dia sudah mula berteka-teki.
            “Fia rehatlah... biar aku jaga bahagian sini. Pergilah balik,” arah Ardina dengan nada tegas. Faira menggeleng.
            “Tak nak. Kat sana Fai seorang, kat sini ada Dina,” balas Faira lemah. Ardina mengeluh seketika.
            “Maaf Fai. Aku tak tahu semua ni akan jadi. Aku ingat kalau kau terima Meer dulu, kau akan bahagia sebab aku cukup yakin yang Meer ada perasaan pada kau. Fai, anggap ini dugaan. Dugaan lima tahun pertama perkahwinan. Jangan bimbang, aku ada. Allah ada. Fai kena banyak sabar. Sabar ya sayang,” pujuk Ardina.
            “Puas mama call, kenapa tak angkat?” kehadiran Syarifah Zailea membuat Ardina gelabah seketika. Dia segera bangun, Faira yang masih duduk mendongak ke arah ibu mentuanya dengan senyuman nipis di bibir.
            “Fai tertinggal phone tadi. Ada apa ma?” Faira bangun. Ardina sudah bergerak ke bahagian lain, Faira hanya mencuri lihat kelibat sahabatnya yang mula hilang dari pandangan.
            “Petang nanti, mama nak ajak kamu ke kilang. Ada beberapa perkara yang mama nak kamu tahu. Tak lama lagi, butik ni akan jadi milik kamu.” Faira tidak faham dengan kata-kata Puan Syarifah Zailea tadi. Dia mengerutkan wajahnya, tergelak kecil Puan Syarifah Zailea pula.
            “Nanti mama jelaskan. Jadi, boleh?” soal Puan Syarifah Zailea lagi. Faira teragak-agak mahu menjawab. Dia perlu bertemu Bonda Dahlia dan sekarang ibu mentuanya meminta dia menemaninya.
            “Mama, Fai sebenarnya ada hal dengan Abang Meer nanti.” Faira membohong.
            “Dating dengan suami ke?” usik Puan Syarifah Zailea. Faira senyum kelat.
            “Mama tak paksa. Utamakan suami, dia yang berhak kepada kamu. Lagi kerap kamu bersama, lagi cepat mama dengan papa ada cucu nanti.” Faira tersentap. Hal itulah yang menjadi topik terhangat keluarga Tuan Syed Bakhrudin sekarang. Puan Syarifah Zailea tersenyum riang, Faira kelu lidah. Dia tidak mahu berlakon lagi di hadapan kedua orang tuanya, Syed Dameer langsung tidak pernah menyentuhnya dahulu. Dia fikirkan bahawa suaminya masih mahu mengenalinya tetapi dia tidak pernah sekali menerima sebarang bentuk sentuhan daripada lelaki berkenaan.
            Faira memandang kelibat Puan Syarifah Zailea yang masuk ke ruang belakang. Dia terduduk semula, tidak sampai seminit Ardina menerpa ke arahnya. Dilihat wajah runsing Faira itu, Ardina mengeratkan genggaman tangannya di lengan Faira.
            “Aku teman kau nanti,” ucap Ardina. Faira menggeleng.
            “Aku dah janji dulukan? Kalau ada apa-apa yang memaksa kau selepas kahwin dengan Meer, aku akan jadi benteng kau. Jangan risau ya?” Faira membetulkan lipatan tudungnya seketika. Dia cuba menguatkan diri, perkara mengenai Bonda Dahlia hanya dikongsi bersama Ardina. Hanya perkara itu yang dia berani luahkan tetapi mengenai Syed Dameer, hanya dia sendiri yang pendam.
            “Dina tolong hantarkan saya nanti tapi janji jangan beritahu Mama Meer,” pinta Faira. Ardina angguk setuju. Faira senyum nipis, dia sebenarnya tidak sangka Ardina sanggup membantunya. Dia anggap Ardina akan membiarkan dia sendirian setelah dia bercerita mengenai  Bonda Dahlia kepadanya.

BONDA DAHLIA berdiri di hujung ruang tamu. Matanya melingkar ke seluruh tubuh kerdil yang duduk di hadapannya. Faira memegang jemarinya kemas, dia pasti pertemuan kali ini bukanlah kerana perkara biasa. Jika tidak, kenapa Bonda Dahlia tidak mahu Syed Dameer mengetahui perkara ini.
            “Berapa lama lagi bonda nak tunggu? Fai langsung tak dapat ubah Meer. Dia tetap sama, masih bertemu dengan Nitasha!” tegas suara Bonda Dahlia. Di ruang tamu berkenaan hanya ada dia dengan cucu menantunya itu.
            “Meer...”
            “Bonda tak nak dengar alasan. Bonda pilih kamu sebab bonda rasa kamu dapat baiki perangai cucu bonda tapi... kamu gagal.” Berdesir telinga Faira mendengar ayat sebegitu daripada Bonda Dahlia. Dia tahu ketegasan Bonda Dahlia bagaimana kerana itu dia tidak mahu mengecewakan hasrat Bonda Dahlia dahulu. Kerana hutang budi Bonda Dahlia kepada keluarganya, dia perlu balas dengan cara sebegini.
            “Satu cara.” Bonda Dahlia berjalan ke arah sofa bersebelahan Faira. Kepala tongkat digenggam padu dengan tangan kirinya. Faira memalingkan wajah melihat ke arah Bonda Dahlia.
            “Ikat Meer dengan anak. Itu saja,” luah Bonda Dahlia. Faira terkedu. Dia bagai hilang kata-kata, lidahnya kelu membeku. Perkataan anak itu sudah menjadi sumpahan bagi pernikahan mereka. Faira tidak dapat duduk diam. Fikirannya berputar mengingatkan perihal Syed Dameer, wajah Bonda Dahlia dipandangnya seketika.
            “Bonda tahu perangai Meer bagaimana, bonda bukan nak seksakan kamu. Bonda tak nak pernikahan kamu hanya sekadar untuk menyedapkan hati bonda. Fai dah lupa apa yang kamu janji pada bonda dulu?” duga Bonda Dahlia. Faira tunduk wajah.
            Bonda Dahlia melabuhkan punggungnya di sebelah Faira. Dia memeluk seketika tubuh cucu menantunya itu. Satu-satunya cucu menantu yang dia pilih, bukan pilihan anaknya tetapi pilihan dirinya.
            “Kamu dengan Meer tak pernah bersama?” soalan bonda Dahlia kali ini membuatkan Faira benar-benar terperangkap. Dia mengetap bibirnya. Matanya mencuri lihat wajah Bonda Dahlia, wanita yang berusia 70 tahun itu masih lagi menatapnya.
            “Dia selalu bermalam di sini,” jelas Bonda Dahlia lagi. Faira mengerutkan wajahnya. Bonda Dahlia tahu mengenai Syed Dameer yang selalu keluar malam? Fikirnya seketika.
            “Bonda sengaja tak hebohkan, bonda ingat kamu tahu. Tapi, lepas apa yang bonda perhatikan selama ini. Meer pasti ada sebab dia buat macam tu,” kata-kata Bonda Dahlia benar-benar tidak masuk akal. Membulat mata Faira mendengar penjelasan berkenaan.
            “Meer dengan Fai... kami jarang bertemu muka, apa lagi kalau mahu berbual bersama. Fai rasa kami hidup bagai orang asing. Dia ke utara, Fai ke selatan. Selama ni, Fai ingat Meer tak sukakan Fai. Rasanya, ada betul apa yang Fai fikir,” balas Faira.
            “Meer pula ingat kamu yang tak suka dia. Iyalah, perkahwinan ni pun dibuat sebab dia. Kamu yang jadi mangsa, perkahwinan bukan perkara main-main. Ada sebab kenapa Meer setuju memilih kamu, dan ada sebab kenapa kamu dipilih oleh bonda.” Bonda Dahlia meleraikan pelukan di tubuh Faira. Wajah keliru Faira itu membuatkan hati Bonda Dahlia tercuit seketika.
            “Hubungan kamu tak akan sempurna kalau dua-dua saling membisu. Tiada komunikasi,” pesan Bonda Dahlia. Farlia terkebil-kebil seketika. Pipi merahnya diusap perlahan oleh bonda Dahlia.
            “Berbaiklah dengan Meer. Dia memang begitu tapi hati dia baik, bonda tahu. Bonda cukup faham dengan dia.” Bonda Dahlia menguntum senyuman. Faira masih memikirkan kata-kata bonda Dahlia tadi, dia sendiri tidak tahu kenapa Syed Dameer tidak pernah berterus-terang dengannya selama ini.
            “Fai akan cuba.” Farlia balas dengan senyuman nipis. Bonda Dahlia bangkit dari dudukan. Faira bangkit dari dudukan kebetulan Syarifah Darwini muncul di laluan ke ruang tamu. Syarifah Darwini, sepupu suaminya. Dia pernah diserang oleh gadis ini dahulu tetapi Faira langsung tidak menyimpan dendam. Semua yang terjadi dahulu, hanyalah salah faham baginya.
            “Fai buat apa di sini? Abang Meer mana?” soal Syarifah Darwini. Bonda Dahlia melangkah perlahan ke arah Syarifah Darwini.
            “Melawat bonda.” Faira memimpin tangan Bonda Dahlia untuk melangkah.
            “Abang Meer?” soal Syarifah Darwini lagi. Bonda Dahlia mula merenung tajam ke arah cucunya yang seorang ini. Faira mengetap bibir, bukan dia tidak tahu Syarifah Darwini pernah menyimpan perasaan kepada suaminya dahulu.
            “Ala bonda ni... Wini tanya mengenai Abang Meer je. Bukan ada apapun,” bentak gadis yang berumur 20 tahun ini. Masih muda tetapi penampilannya melangkau umur sebenar, menggeleng Bonda Dahlia melihat gelagat cucunya ini. Nasib Faira ini bukan jenis yang cemburu buta, kalau tidak makin tegang pula situasi mereka berdua nanti.
            “Fai minta diri dulu bonda. Jumpa lagi Wini,” ucap Faira setelah menyalam tangan Bonda Dahlia. Syarifah Darwini hanya senyum bersahaja, dia mengekori langkah Faira yang berlalu ke ruang hadapan.
            “Kamu jangan mengada-ngada. Lupakan Meer, dia dah berkahwin. Bonda tak nak kamu sengaja buat Faira cemburu,” pesan Bonda Dahlia dengan suara yang tegas sebelum melangkah ke arah tingkat atas.
            “Alah, nak tanya je... itupun salah,” bebel Syarifah Darwini sebelum melangkah ke halaman belakang kediaman berkenaan.

ARDINA menunggu di dalam keretanya, kelibat Faira masih belum muncul lagi. Dia memandang ke arah cermin pandang belakang, matanya kaku seketika apabila melihat kehadiran Syed Dameer di laluan berkenaan. Dia sudah menunggu di jarak yang selamat tetapi anggarannya salah kerana Syed Dameer muncul pula di situ.
            “Matilah aku... mana Fai ni? Janganlah dia keluar lagi. Telefon? Ha... telefon dia,” tangan Ardina meraba ke dalam beg galasnya, mencari telefon Samsung Galaxy S3 miliknya. Nombor Faira didailnya serta merta.
            “Alamak! Macam mana boleh lupa ni... dia tertinggal phone tadi.” Ardina mengetap bibir. Kali ini dia memandang ke arah cermin sisi, jelas kelihatan jarak Syed Dameer begitu dekat dengan keretanya.
            “Harap-harap dia tak cam kereta aku ni,” bisik Ardina. Dia terdiam seketika apabila menyedari Syed Dameer bukan seorang tetapi dengan Syamrul, sahabat sejatinya itu. Lagilah Ardina mengelabah kerana dia pernah terlanggar belakang kereta lelaki berkenaan. Pasti Syamrul masih mengingatinya.
            Faira yang baru sahaja melangkah ke arah pintu pagar masuk terpaksa mengundur beberapa langkah apabila menyedari kehadiran suaminya. Dia cuba mencari akal tetapi fikirannya buntu, pasti kali ini dia akan disoal oleh Syed Dameer. Syed Dameer yang mula menjengah ke pagar masuk, tergamam melihat kehadiran Faira di situ. Syamrul yang mengekori Syed Dameer dari arah belakang turut terhenti langkah.
            “Faira.” Syamrul menegurnya. Faira gugup, sebenarnya dia tidak pasti apa yang sedang difikirkan oleh lelaki yang betul-betul berdiri di hadapannya itu.
            “Aku masuk dululah Meer. Nak jumpa bonda.” Syamrul meninggalkan mereka berdua. Dia tahu situasi sahabatnya itu bagaimana. Berikan mereka ruang, itu yang selalu dia lakukan apabila menyedari bukan mudah Syed Dameer untuk meluahkan apa yang berselirat di mindanya itu.
            “Buat apa ke sini?” soal Syed Dameer. Wajahnya sedikit curiga. Faira tidak tenang berdiri, berusaha sebaik mungkin mencari sebab yang musabab buat Syed Dameer.
            “Fia!” laungan suara Ardina menyelamatkan Faira. Dia lega melihat kehadiran Ardina di situ.
            “Hai Meer!” ucap Ardina sambil menarik lengan Faira, berganjak tubuhnya dari arah hadapan Syed Dameer.
            “Kamu buat apa sini?” kali ini soalan yang sama disoal kepada Ardina pula. Dia mengetap bibir, matanya mencuri pandang Faira yang masih bisu berbicara itu.
            “Temankan isteri kau,” jelas Ardina. Syed Dameer gelak kecil. Faira menelan air liur, kesat terasa di kerongkongnya.
            “Tolong hantar dia pulang nanti.” Syed Dameer berlalu pergi. Ardina menyiku lengan Faira, terjungkit kening dia apabila memandang wajah Ardina.
            “Sharing is caring,” bisik Ardina, bertambah berkerut dahi Faira. Dia mengekori di belakang Ardina.
            “Apa yang sharing? Caring?” soal Faira tidak puas hati. Ardina yang berjalan melulu ke arah keretanya ketawa seketika.
            “Cuba kau kongsi hati dengan dia tu, tak nampak dia ‘jaga’ kau tadi?” balas Ardina sambil menekankan perkataan ‘jaga’ itu. Faira yang sedang membuka pintu penumpang hanya menjungkitkan bahu. Dia masih keliru dengan apa yang cuba disampaikan oleh sahabatnya itu.
            “Apa Dina ni? Fai tak faham.” Faira mengeluh sambil menarik tali pinggang keselamatan.
            “Kau nilah... kenapa susah nak faham ni? Encik suami tu siap suruh aku hantar kau balik. Maknanya dia ambil beratlah tu,” terjuih mulut Ardina seketika. Faira mencebik.
            “Itu lakonan semata-mata,” bisik Faira perlahan.
            “Apa Fai?” soal Ardina yang sedang khusyuk memandu.
            “Dian temankan Fai nanti, boleh?” pinta Faira.
            “Teman apa?” soal Ardina tidak faham.
            “Ada perkara lagi yang Fai nak kongsi.” Ardina cukup faham dengan Faira. Dahulu ayat yang sama Faira luahkan, pasti ada perkara yang telah menganggu fikiran sahabatnya tadi.
            Syed Dameer melangkah masuk ke dalam ruang tamu. Dari jauh dia sudah nampak kelibat sepupunya itu, Syarifah Darwini. Dia mengalihkan pandangan ke arah Syamrul yang sedang rancak berbual dengan Bonda Dahlia. Pintu gelangsar ditolaknya perlahan, kehadirannya disedari oleh Syarifah Darwini. Tersenyum lebar sepupunya itu.
            “Tadi isteri datang, dah balik pun. Sekarang Abang Meer pula, haluan lain-lain ke?’ soal Syarifah Darwini yang sedikit mencetuskan perasaan tidak puas hati Syed Dameer. Dia menutup kembali pintu gelangsar berkenaan, tergamam Syarifah Darwini tetapi dia lebih suka melihat wajah cemberut Syed Dameer itu. Jika jodoh mereka tidak panjang nanti, dia yakin Syed Dameer akan pilih dia.
            Syed Dameer melangkah ke arah sofa ruang tamu, dia memandang Syamrul seketika. Pandangan matanya itu cukup difahami Syamrul. Dia memohon diri terlebih dahulu, sempat Syed Dameer berbisik kepada sahabatnya itu.
            “Kau tolong layan sepupu aku tu. Jangan bagi dia masuk lagi,” arah Syed Dameer. Bonda Dahlia membetulkan lipatan lengan jubahnya itu. Syamrul mengangguk faham.
            “Bonda sihat?” Syed Dameer merapatkan tubuhnya ke arah Bonda Dahlia.
            “Alhamdulillah, lebih-lebih lagi kamu berdua datang ke sini.” Bonda Dahlia tersenyum lebar.
            “Meer dengan Syam?” soal Syed Dameer.
            “Meer dengan Fai,” balas bonda Dahlia. Syed Dameer membetulkan kedudukannya, apabila Bonda Dahlia menyebut nama Faira tadi dia jadi tidak selesa.
            “Bonda beritahu rahsia Meer pada dia?” soal Syed Dameer. Bonda Dahlia gelak kecil.
            “Rahsia kamu, bonda tak pernah beritahu sesiapa. Walaupun papa dan mama kamu, bonda akan tetap berahsia,” ujar Bonda Dahlia padahal dia sudah memberitahu Faira tentang Syed Dameer tadi.
            “Erm... apa yang Fai buat kat sini tadi?” soal Syed Dameer. Bonda Dahlia merenung lama wajah cucunya itu, nampak kesungguhan dia mahu tahu mengenai kedatangan Faira tadi.
            “Kamu tanya dia sendiri,” balas Bonda Dahlia. Syed Dameer terkedu seketika. Boleh pula neneknya meminta dia bertanya kepada Faira. Hendak menatap mata sekalipun susah, ini pula hendak bertanya hal sebegini.
            Syarifah Darwini melangkah masuk ke ruang tamu, dia masih tersenyum mesra ke arah Syed Dameer. Syamrul yang berdiri di belakang gadis itu terus menjungkitkan kening ke arah Syed Dameer.
            “Dah settle. Jom Syam, kita balik!” arah Syed Dameer sambil bangun, cemberut wajah Syarifah Darwini apabila senyumannya itu langsung tidak menangkap perhatian sepupunya. Bonda Dahlia yang berdiri di sebelah cucunya itu hanya menggeleng.

No comments:

Post a Comment