Friday 17 October 2014

KALAU SAYANG JANGAN MARAH BY EZDIANI ABD RAHMAN

BAB 2
https://www.facebook.com/groups/509815085736669/permalink/815847701800071/
AKU menghelakan nafas lega bila berjaya meloloskan diri daripada mamat sengal yang mengganggu jiwa. Lega rasanya, bila dia terus hilang dari pandangan mata. Lelah berlari tadi, kian kurang terasa. Jiwaku pula terasa tenang.
Perlahan langkahku ini longlai berjalan ke pasaraya The Store. Kaki ini ringan berjalan ke arah pakaian dalam yang tersusun kemas. Pelbagai saiz dan corak.
“Hai, sayang.”sudah tersengih dia di sebelahku.
Berketap bibirku bila lihat dia sudah tercegat di sebelah dengan mata meliar ke arah pakaian dalam yang tergantung. Mukanya lagilah. Bukan main tersenyum galak.
Kenapalah perlu berjumpa dengan dia lagi di sini? Mengganggu je. Baru nak pilih, ada yang menyapa. Menyampah betul, mamat ni. Dia ikut aku sampai ke sini ke? Eeee... menyampah!
"Yang ini, rasanya padan dengan kau. Cantik design ni. Nampak seksi."
Hah! Apa yang dia buat ni? Eee...malunya aku. Siap di tekapkan ke badan aku. Dia ingat aku model pakaian dalam ke apa? Malunya. Laju aku aturkan langkah keluar dari ruangan pusat membeli-belah dengan segera. Muka ni, dah tebal tak tahu nak disorok di mana lagi.
"Eh, bukan kau nak beli ke semua sotong-sotong tu?"dia sudah berjalan seiring dengan ku disebelah.
Rasanya, memang ada orang yang nak kena hempuk. Tak malu betul mamat ni. Muka selamba je. Aku ni, dah tebal muka takkan dia tak tahu?
"Saya tak mahulah! Kalau awak nak, awak belilah!"balasku geram.
"Eleh, itu pun nak marah. Lagipun kau tu, bukannya orang lain dengan aku nanti. Saiz apa, design macam mana, mestilah aku kena tolong pilihkan. Sedap sikit mata aku nak memandang."
Hah! Dia ni, memang dah melampau! Sesak sahaja nafas aku.
“Design yang kau pegang tadi pun okey. Kat atas tu, nampak jarang-jarang.”
Langkah yang tadi laju kuhentikan. Berdiri aku, betul-betul berdepan dengan dia yang masih galak bercerita. Tanganku sudah mencekak ke pinggang. Bila diam, hati ini rasa sakit pula.
“Awak ni gatallah! Awak tak malu ke, berbual tentang orang perempuan punya barang peribadi?”soalku geram.
Dia menjuihkan bibir. “Peribadi ke?”soalnya kembali.
“Peribadilah! Sibuk je!”
“Eh, bagi aku semua tu biasa tau. Setakat tolong pilihkan sotong-sotong tu, dah biasa sangat.”
“Kalau awak nak beli kat kekasih awak, dipersilakan. Saya tak halang pun.”
“Rasanya, mereka pun dah muaklah dapat hadiah macam tu.”
Terjegil biji mataku ini. Mereka? Amboi, berapa orang kekasih mamat ni ada? Kalau sepuluh orang kekasih dia ada, ke semuanya pasti dapat. Eee...gatallah dia. Dalam banyak-banyak barang, ada ke patut pakaian dalam wanita yang menjai pilihan sebagai hadiah. Dah lain macam mamat ni.
“Gatal!”dadanya kutolak, dan terus kembali mengatur langkah.
“Gatal tu, tak selalu sangat. Kadang-kadang je.”balasan jawapan yang sangat menyakitkan hati. Dasar lelaki miang!
“Eh, kau nak tak? Aku boleh belikan. Kau cakap je, size apa kau pakai?”langkahnya seiring denganku. Tapi, yang tidak menyenangkan hati, aku rasa bagaikan matanya melekap ke arah dadaku.
“Hoi! Awak pandang apa?”
“Aku nak agak, size apa yang kau pakai. Aku tanya, kau tak jawab.”jawabnya acuh tidak acuh.
“Baik awak pergi jumpa pakar sakit jiwa. Saya rasa, jiwa awak dah tak berapa nak betul. Minta doktor centerkan kembali otak awak yang dah mereng tu. Buang otak-otak kuning, biru yang ada dalam kepala otak tu.”
Berbuih aku bercakap, langsung tidak diendahkannya. Matanya terus memandang ke dadaku. Pantas kepalanya kutempelang. Terasa cuak, bila berhadapan dengan lelaki seperti dia.
“Sakitlah! Mummy aku pun, tak pernah tolak kepala aku ni.”tempelaknya marah.
“Mata kau tu jahat! Macam dah tak ada tempat lain, kau nak pandang.”bidasku. Lalu dialihkan posisi.
“Aku ada mata, suka hatilah aku nak pandang apa pun. Mata aku, bukannya mata kau pun.”balasnya.
“Awak jangan tanya, kenapa saya cungkil mata awak nanti.”terus aku aturkan langkahku laju. Sudah malas hendak melayan mamat gila yang penuh dengan sikap yang memualkan.
Kakiku cepat-cepat diaturkan. Sudah tidak sanggup berhadapan dengan lelaki yang menyesakkan jiwa.
MENGEKEK Wawa ketawakan aku. Bukan main lagi, dia gelakkan aku bila aku ceritakan kepadanya. Saat-saat aku geram begini pun dia masih nak ketawa.
“Aku ingat, kau dah mereng. Aku call, tiba-tiba cakap lain macam.”
“Eh, mujur kau call aku. Kalau tak, aku tak tahu macam mana nak berhadapan dengan mamat gila tu. Kalau tak, tak pasal-pasal nak berdepan dengan mummynya tu. Ya Allah... minta-mintalah aku tak jumpa dia lagi.”tangan kutadah dan diraup ke wajah.
“Mamat mana yang kau maksudkan ni Yani? Aku kenal dia tak?”Wawa menunjukkan minatnya, bila aku bericerita perihal mamat yang aku sendiri tidak tahu namanya.
“Kau tak kenal. Aku pun, kalau boleh tak mahu kenal dengan dia. Kalau boleh je undurkan masa, aku langsung tak mahu terserempak dengan dia tu. Ya Allah, lain macam. Macam laki gila seks pun ada.”ceritaku terang-terang kepada Wawa. Pandangan matanya tu, buatkan aku naik seram.
“Kau ni Yani. Mana kau tahu dia macam tu? Kau sendiri cakap, tak kenal dia.”
Aku bangun dari duduk. Air botol mineral yang ada di kaunter aku capai. Terus aku teguk laju. Dahaga. Kering anak tekak, bila banyak berbual. Apatah lagi dalam keadaan cuaca yang panas terik begini.
“Memang aku tak kenal. Tapi, mata dia tu...kalau pandang... macam nak terkeluar biji mata. Macam tengah scan ke dalam otak je apa yang dipandang.”
“Biasalah, kalau dah cantik. Lelaki pandang, memanglah terbeliak biji mata.”jawab Wawa.
“Masalahnya dia bukannya pandang muka aku yang ayu ni. Tapi, dia pandang kat tempat lain.”
“Kat mana?”
“Argh! Malaslah aku nak cakap. Abaikanlah!”kaki aku kembali diaturkan ke sofa lembut yang berada di hadapan kaunter.
“Eh, cakaplah dia pandang apa?”
Aku menjuihkan bibir. Sibuk sahaja nak tahu. Kenapalah aku boleh terlepas cakap kepada Wawa. Aku kenal sangat dengan Wawa. Selagi apa yang aku cakapkan ini tidak jelas, selagi itulah dia akan bertanya.
“Baik kau cakap kat aku Yani. Ceritalah... Dengan aku pun, kau nak berahsia.”
“Bukan nak berahsia, tetapi peribadi.”tangkas jawapannya kujawab.
“Eleh... peribadilah sangat. Sebelum ni, ada hal peribadai... akulah orang pertama kau cerita. Ini nak berahsia bagai pulak.” Wawa mula menarik muka. Kakinya diaturkan ke arah patung badan yang masih belum berpakaian.
Aku hanya melirik pandang sahaja apa yang dilakukan Wawa. Badan patung itu, diletaknya pakaian yang ada di butiknya. Pakaian pilihannya sahaja, yang akan dipakaikan dengan patung yang ada.
“Yani, ada pakwelah kat luar.”
Mataku juga turut melirik ke arah lelaki yang Wawa maksudkan. Duduknya bersandar di kereta miliknya. Berketap rapat bibirku ini, di saat wajah itu yang aku pandang.
“Kacak kan?”puji Wawa.
“Kacak, kalau otak tak center pun tak guna.”bidasku laju.
“Kalau kau nak marahkan mamat yang kau jumpa tu, tak payahlah sampai terbawa-bawa macam tu.”
“Eh, kau nak tahu... Mamat gila yang aku maksudkan dari tadi, mamat tu la.”perasaan aku yang tadi sedikit kembali tenang mula berasa sesak. Seakan mahu semput sahaja nafasku ini. Kenapalah dia ada di luar butik Wawa pula.
Wawa tidak berkelip memandang wajah yang tenang itu. Pandangannya itu berganti-ganti. Selepas wajah pemuda itu dipandang, akan beralih kepadaku pula.
“Kau ni, kenapalah pula Wawa?”
“Muka kau dengan dia nak iraslah. Confirmlah, ada jodoh ni.”sempat lagi dia berseloroh denganku. Muka macam tu, dikatakan seiras dengan aku? Tak mahulah aku. Muncung bibir aku juihkan.
Dalam waktu yang sama, wajah itu aku perhatikan lama. Tidak berkelip mataku ini memandangnya. Mujur dia tak nampak aku pandangnya, kalau tidak sumpah jangan harap aku nak pandang sampai macam tu.
“Sama kan?”
“Kat mana yang sama tu? Tak ada iras pun.”tangan mula meraba-raba keseluruh muka.
“Kat hidung dan mata. Kalau kau tak mahu, biar aku je yang rembat.”
“Kau nak ambil, ambillah! Aku langsung tak hairan.”
“Betul ni, tak tak kisah?”
Aku menganggukkan kepala. Langsung aku ta kisah, jika Wawa nak ambil mamat senget yang tak berapa betul tu. Siap Wawa kot yang takut nanti, bila berdepan dengan mamat gila macam tu. Nanti tahulah langit tinggi atau rendah. Berlari tak sempat pijak tanah.
Belum sempat aku nak membuka mulut, Wawa dah jauh melangkah. Cepat sahaja kakinya di aturkan ke arah mamat gila di luar tu. Ya Allah...Kau selamatkanlah kawanku Wawa.
TERCEGAT Wawa berdiri di depan aku. Tersenyum senget sambil dijongketkan keningnya kepadaku berkali-kali.
“Hah. Ini kenapa pulak. Dah angau?”
Wawa menggelengkan kepalanya. Tersengih sahaja. Dah jadi macam kerang busuk. Entah badi apa yang terkena pada kawan aku seorang ni. Lain macam je.
“Kau cakap dia gila. Aku jumpa tadi, okey je. Takda pula dia macam laki gila seks yang kau katakan tu. Cakap dengan aku pun, pandang kat tempat lain. Muka aku ni, pandang pun tak berani.”terang Wawa kepadaku.
Aku hanya menjuih. Boleh percaya ke? Takkanlah sedikit tak pandang? Tambah-tambah lagi dengan pakaian Wawa yang membuatkan setiap lelaki jadi sesak sahaja bila memandang. Jika nampak lurah, jangan di ceritalah. Kakinya pula, dah nampak macam batang pokok kelapa je.
“Aku tak percaya.”aku terus menggeleng kepala.
“Iyalah, apa yang aku cakap ni.”
“Habis tu, kau berbual apa dengan dia? Dia bertenggek depan tu, buat apa?”soalku ingin tahu.
“Dia tunggu kau. Pergilah jumpa!”
“Eh, tak mahulah aku jumpa orang gila.”pantas aku gelengkan kepala. Tak mahulah aku berjumpa dengan dia lagi. Buat sakit hati sahaja. Nanti tak pasal-pasal lain pula yang dipandangnya. Mengjengkelkan.
“Pergilah! Dia ada hadiah nak bagi kat kau.”
“Mana kau tahu? Serkap jarang je kan?”
“Dia cakap kat aku. Eh, kau tak cakap kat aku pun, dia lamar kau. Berahsia sangatlah kau dengan aku.”pipiku lembut sahaja Wawa cuit. Matanya galak memandang dia yang setia menantiku di luar butik.
“Dia cakap kat kau macam tu?”
Wawa anggukkan kepalanya. Senang sekali, bila dapat tahu aku dilamar. Kalau dia berada di tempat aku, rasanya dia juga akan buat keputusan yang sama. Lainlah jika Wawa tak kisah jika bersuamikan lelaki miang seperti mamat tu.
“Terimalah, Yani. Aku tengok dia pun, bukan calang-calang orang.”
“Masalahnya, aku tak kenal dia. Kalau ada lelaki yang kau tak kenal, ajak kahwin serta merta, kau mahu ke?”
Wawa menjuihkan bibirnya. “Tapi, kalau lelaki macam tu, aku mahu je. Aku tak fikir panjang dah. Janji...rupa ada, duit ada... semuanya on je.”jawab Wawa beria-ia. Hah, memang kawan aku ni mata duitan. Dari dulu sampai sekarang, semua itu yang menjadi keutamaan. Jika setakat ada rupa, tapi tak berduit, memang tak akan dilayannya. Memang tak akan dipandangnya.
“Galak kau ni kan? Nak yang ada rupa dan berduit je.”
“Mestilah! Hari-hari nak pandang, mestilah nak yang sedap mata memandang. Kalau rupa langsung tak ada, tak lalu kau nak pandang nanti. Bukan setakat rupa, poket pun kena tengok juga. Biar suami yang tanggung kita lepas kahwin nanti, bukannya si isteri yang nak tanggung suaminya pulak.”sinis sahaja kata-kata Wawa tujukan kepada aku. Kisah lama, tak perlulah nak diungkit-ungkit lagi. Main sindir-sindir pula minah ni.
“Janji, hati dia baik.”
“Hoi, cik kak. Kalau lelaki tu baik, dia takkan susahkan kita. Takkan minta satu sen dari kita untuk perbelanjaan hari-hari.”balas Wawa sinis.
Hah, dia ni kalau bercakap, memang menyakitkan hati juga. Tahulah salah aku, kerana salah terjatuh cinta. Kalau dah cinta, susah senang hidup aku sanggup. Butakah cinta? Atau aku yang buta?
“AWAK ikut saya sampai ke sini. Awak tak ada kerja lain?”malas melayan bebelan Wawa, aku ringankan juga langkah keluar dari butiknya untuk bertemu dengan mamat di depanku ini.
Dia anggukkan kepala. Bungkusan dihulurkan kepadaku. Namun, aku tidak endahkan hulurannya.
“Ambillah. Aku ikhlas bagi kau ni.”hulurnya lagi.
“Saya tak perlukan apa-apa daripada awak.”
“Ambil je la. Susah-susah aku belikan kat kau. Ambil!”dia terus menghulurkan bungkusan ke arahku.
Teragak-agak juga aku ingin meyambutnya. Apa yang ada di dalam bungkusan itu? Ia sudah siap berbalut bagai. Hadiah apa yang di berikan kepada aku? Tiba-tiba aku tertatnya-tanya.
“Terima kasih.”akhirnya aku akur. Bungkusan itu kini berganti tangan.
“Tak mahu buka ke?”soalnya, sebaik bungkusan itu aku terus pegang.
“Nantilah kat rumah.”balasku acuh tidak acuh.
“Apa kata, kita pergi makan.”ajaknya.
Aku menggelengkan kepala. Bibirku juih. “Saya puasa hari ni.”sengaja aku ciptakan alasan. Tidak mahu berikan ruang waktu untuk bersama berdua.
“Iya? Puasa apa? Puasa mata? Puasa tekak?”
Ek, eleh. Dia ni, banyak pula soal. Puasalah! Takkan puasa pun tak tahu. Sabar ajelah, Yani.
“Tadi, aku nampak kau minum. Kau puasa macam mana? Setahu aku, kalau puasa, tak makan, tak minum. Tadi bukan main lagi kau teguk minum air mineral.”terjahnya. Dia nampak ke, apa yang aku buat kat dalam butik tu? Argh, malasnya nak layan dia ni. Apa yang aku buat, ada je dia tahu.
“Terima kasihlah, awak bagi hadiah ni. Saya nak kena balik dah ni. Mak saya tunggu kat rumah. Nanti lewat, dia risau pula.”mata aku dari jauh dah menangkap bayangan teksi. Nampak sahaja teksi lalu, aku terus angkat tangan. Terus badan aku loloskan masuk ke dalam perut teksi, dan minta cepat-cepat berlalu. Lega... Bila dia dah jauh aku tinggalkan.
SENANG hati aku bila sudah sampai ke taman perumahan. Berlenggang aku jalan kaki untuk pulang ke rumah, memandangkan jalan untuk ke rumah telah di sekat dengan beberapa kanopi. Mahu tidak mahu, terpaksa juga aku berjalan kaki untuk sampai ke rumah.
Tiba-tiba sahaja, hati aku rasa berdebar-debar. Terasa langkahku seolah ada yang mengekori dari belakang. Kaki yang kuatur perlahan, makin cepat aku aturkan. Sesekali aku memandang ke belakang. Tetapi tiada pula kelibat.
Argh! Apakah ini cuma perasaanku sahaja. Sampai sahaja ke depan pagar rumah, tiba-tiba ada yang menyentuh bahuku lembut. Cepat-cepat aku menepis dan menolak badan itu dari terus menyentuhku.
“Ouch! Aduhhh!”meraungnya kuat.
Tertelan liurku ini, bila tanpa sengaja, aku tertolak seseorang hingga terjatuh ke dalam longkang. Terkangkang dia di dalam longkang sambil meraung kesakitan.
“Yani... Yani...”sayup-sayup namaku dipanggil. Diamati suaranya. Langkah yang cuba aku aturkan ke dalam kembali terhenti. Kembali aku melangkah beberapa langkah ke belakang.
“Yani... tolong aku. Sakit ni.”
Dia? Jadi, dia yang aku tolak tadi. Cepat-cepat tanganku hulurkan kepadanya. Berjaya juga dia keluar dari longkang yang berbau hanyir. Tengit pula hidung aku bau busuk itu melekat ke badannya.
“Sampai hati, kau tolak aku sampai jatuh dalam longkang.”aduh, nada suara dia. Sayulah pula, aku dengar. Sedih semacam je.
“Sorry! Saya tak sengaja.”
“Sakit, tahu tak.”belakang kepalanya yang melekat lumut longkang diraba-raba.
"Macam mana awak rasa sekarang."soalku. Terselit sedikit rasa bersalah bila melihat keadaan dia yang basah kuyup.
"Puaslah kau, tolak aku dalam longkang? Busuk tahu tak?"dijegilkan biji matanya bulat.
"Saya ingat awak nak apa-apakan saya. Jadi saya cuma mempertahankan diri. Bukan salah saya tertolak awak dalam longkang."balasku sambil tersengih sumbing.
"Kau ingat aku ni bodoh sangat, nak apa-apakan kau depan khalayak ramai. Kalau aku nak apa-apakan kau, aku bawa kau ke satu tempat yang tak ada orang. Masa tu kau nak menjerit...meraung... Takda siapa yang dengar. Masa tu, tahulah kau langit tinggi ke rendah."sempat lagi dia tersenyum galak sambil mata merenungku dari atas ke bawah.
“Mata tu, awak jaga sikit. Saya tolak awak sekali lagi, baru tahu!”ugutku.
“Eeee... macam mana ni? Takkan aku nak balik rumah, dengan keadaan macam ni?”
Lama aku perhatikan dia. Kesianlah pula, tengok keadaan dia yang berserabut dengan lumpur dan air longkang hitam.
“Kalau macam tu, awak tunggu sekejap.”aku terus berlalu masuk ke dalam perut rumah. Meninggalkan dia yang masih berkeadaan comot dan busuk. Beberapa ketika kemudian, aku kembali keluar. Kali ini, tidak bersendiri, tetapi bersama emak.
“Ya Allah... kenapa ni? Anak ni siapa?”soal emak sebaik memandang dia yang masih tercegat di depan rumah.
“Mak... ni kawan Yani.”
“Kenapa jadi macam ni?”
“Tadi, Yani ingat ada orang jahat ikut, jadi Yani nak selamatkan diri. Tertolak dia, sampai jatuh dalam longkang.”bibirku gigit. Tepi cuping telinga aku garu-garu. Tak tentu arah sebenarnya.
“Ya Allah... sampai macam tu sekali. Masuklah ke dalam, pergi bersihkan diri. Nanti makcik berikan baju ganti.”
Lega rasanya, bila emak sendiri yang mempelawanya masuk. Sekurang-kurangnya, bukan aku sendiri yang mengajaknya ke dalam rumah. Biarlah dia bersihkan diri, dan boleh cepat-cepat pulang.
Sementara dia berada di bilik mandi, aku masuk ke dalam bilik. Hati ini, sudah tertanya-tanya dan beria-ia ingin melihat bungkusan yang dia berikan kepada aku tadi. Nafas aku tarik sedalam-dalamnya, sebelum bungkusan yang berbalut itu kubuka. Hati-hati balutan itu ku buka.
“Arghhh!”bungkusan yang berada di dalam tangan semuanya kubaling ke bawah. Kurang ajar mamat ni. Sesak sahaja nafasku ni di buatnya. Jaga kau, mamat sengal!

No comments:

Post a Comment