BAB 1
Fatin
senyum-senyum sendiri melihat rakan-rakan sekolahnya terlentok lena di kerusi
masing-masing. Perjalanan masih jauh. Fatin tidak dapat melelapkan mata. Rasa
terujanya menghalang rasa mengantuk yang mahu bertandang. Fatin melihat sekali
lagi senarai nama rakan-rakannya yang turut serta dalam percutian ke Pulau
Tioman. Senyumnya masih tidak lekang. Bangga dengan diri sendiri. Akhirnya
usahanya selama tiga bulan merancang percutian ke Pulau Tioman berjaya direalisasikan.
“Harap semuanya berjalan lancar,”
doa Fatin perlahan.
Dikerling
sahabat baiknya Ayu yang tersandar dengan mulut ternganga di sebelah. Di tangan
Ayu masih terpegang bungkusan makanan ringan. Di mana ada Ayu di situ ada
makanan. Ayu dan makanan memang tidak boleh dipisahkan. Kelajuan bas tiba-tiba
menjadi perlahan. Fatin menginjak punggung untuk melihat keadaan di depan. Matanya
masih belum dapat menangkap situasi sebenar yang berlaku. Tidak puas hati, Fatin
bangun dan pergi ke bahagian depan.
“Kenapa kita berhenti cikgu?”
Cikgu Shazatul, selaku guru
penasihat Kelab Bahasa Malaysia memandang Fatin. Mukanya nampak sembab. Nampak
sangat baru bangun dari tidur.
“Kita berhenti sekejap kat sini. Kalau
ada yang nak buang air atau nak makan, saya bagi masa sejam. Awak tolong
maklumkan pada Lina.”
Arahan diterima dengan senang hati. Sebelum
Fatin turun dan keluar dari perut bas, Cikgu Shazatul memaklumkan tentang empat
orang lagi penumpang tambahan yang baru sahaja menyertai mereka.
“Cikgu Shahrul pun ikut?”
Ayu tiba-tiba mencelah. Cikgu
Shazatul hanya mengangguk. Dia maklum dengan kerenah pelajar-pelajar
perempuannya. Cikgu Shahrul merupakan
salah seorang cikgu yang menjadi perhatian mereka di sekolah. Selesai
menulis, Fatin menarik tangan Ayu untuk turun bersama.
“Aku
nak pergi tandas dululah Fatin. Nanti kita jumpa kat kedai makan.”
Ayu mengusap perut yang agak buncit.
Gadis gempal itu terus pergi meninggal Fatin dengan tugas yang masih belum
selesai. Fatin pergi mendapatkan Lina di dalam sebuah lagi bas yang turut
berhenti di belakang bas yang dia naiki. Arahan yang diberikan oleh Cikgu
Shazatul tadi diulang semula pada Lina, Naib Presiden Kelab Bahasa Malaysia. Kehadiran
Cikgu Shahrul dan rakan-rakannya juga dimaklumkan pada Lina.
“Aku dah tahu. Kereta dia ada kat
belakang sejak dari sekolah tadi,” ujar
Lina acuh tak acuh.
Fatin turun semula dari bas. Ditunggunya
semua rakan-rakan keluar dari perut bas, barulah Fatin menyusul. Dia berjalan
sendirian menyusuri gerai-gerai makanan dan minuman. Tidak ada satu pun yang
menarik perhatiannya. Leka dia memerhatikan menu yang tergantung di setiap
dinding gerai. Suasana yang agak bising dan panas membantutkan seleranya untuk
mengalas perut.
“Aduh, alamak! Habis basah baju aku. Macamana
awak jalan ni?”
Fatin terjerit apabila tubuhnya
dilanggar oleh seseorang. Tak cukup dengan itu, dia dihadiahkan dengan tumpahan
air milo. Dia menyapu-nyapu baju yang
basah.
“Maafkan saya, awak yang langgar saya
dulu. Nah ambil tisu ni.”
Lelaki yang menumpahkan air ke baju
Fatin cuba membela diri. Tangan Fatin masih lincah mengibas sisa air Milo yang
tumpah di baju. Tanpa memandang, Fatin mengambil tisu yang dihulur dan bergegas
ke tandas. Geram betul hatinya.
"Jalan tak pandang orang. Habis melekit
badan aku!"
Bebelnya sambil memandang ke arah
cermin. Ada kesan tompokan berwarna koko di bajunya yang berwarna kuning cair
itu. Fatin mengetap bibir. Dia melihat jam di tangan. Ada lagi 30 minit sebelum
perjalanan diteruskan. Fatin keluar dari
tandas dan berkejar menuju ke bas. Malangnya pintu bas berkunci.
"Argh!"
Fatin menjerit geram. Dia sepaknya tayar
bas tanda protes. Tidak selesa berkeadaan begitu. Bukan saja melekit, lengkap
dengan haruman berbau milo.
“Makcik, kau pergi mana? Puas aku tunggu
kau dari tadi. Tak nak minum ke?”
Ayu menepuk bahu Fatin. Dia berpaling
memandang Ayu dengan wajah yang mencuka.
“Apsal baju kau basah ni? Kau mandi laut
ke?” tanya Ayu.
Sebotol air mineral dihulurkan pada Fatin.
“Ada mamat dah tumpahkan air kat baju
aku. Aku ingat nak ambil baju ganti. Tapi bas ni berkunci pulak, bengang
betullah!” terang Fatin. Suaranya kedengaran sengau di hidung
“Okey, kau tunggu sini kejap. Aku cuba
cari pakcik yang bawa bas ni.”
Ayu bergegas pergi. Selang beberapa
minit kemudian,dia datang semula dengan kunci bas. Fatin berlari semula ke
tandas selepas baju ganti berjaya diambil. Ketenteramannya terganggu lagi
apabila telinganya menangkap bunyi hon bas.
"Alamak! Janganlah tinggalkan aku.”
Fatin keluar dari tandas tanpa sempat
melihat cermin. Baju kotor yang baru diganti juga tidak sempat dilipat. Fatin
berlari sambil memeluk baju kotor.
“Ops, maaf.”
Fatin hanya angkat sebelah tangan tanda
mohon maaf. Dia berlaga bahu pula dengan seorang lelaki yang juga baru keluar
dari tandas sebelah. Lelaki itu hanya memandang Fatin yang sedang kalut
mengejar bas.
~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Kelesuan berada terlalu lama di dalam
bas terubat apabila mereka tiba di Terminal Jeti Tanjung Gemuk. Keterujaan
jelas terpancar di wajah masing-masing. Angin yang berhembus lembut seakan mengalu-alukan kedatangan mereka. Bot yang teroleng-oleng
sudah bersedia untuk membawa mereka menikmati keindahan samudera menuju ke
Pulau Tioman. Fatin masih meneruskan tugasnya. Semua peserta rombongan
dipastikan telah selamat berada di dalam bot.
“Lina, kau dah periksa kawan-kawan yang
berada dalam senarai kau?”
Fatin bertanya ketika masing-masing
sedang mengenakan jaket keselamatan.
“Aku tengok macam dah ada semuanya.Tapi
kalau kau tak puas hati, kau periksalah sekali lagi.Aku tak boleh berdiri
lama-lama dalam bot ni. Peninglah. Nanti aku muntah.”
Fatin cuma tersenyum kelat mendengar
jawapan Lina. Tidak mahu mengeruhkan keadaan, Fatin berjalan hingga ke belakang
bot sambil matanya memerhati wajah seorang demi seorang.
“Adoi!”
Leka memerhatikan penumpang hingga Fatin
tidak perasan kakinya terpijak kaki
seseorang. Mangsa pijakan kakinya terjerit kecil. Dia tunduk menggosok hujung
kaki yang perit.
“Alamak! Maaf, saya tak sengaja.”
Fatin turut tunduk untuk melihat. Tapi
dalam masa yang sama lelaki itu menegakkan badan. Kepala mereka pula
berhantukan sesama sendiri.
“Adoi!”
Fatin pula menggosok dahinya yang
sedikit merah. Bola matanya mengecil menahan sakit.
“Fatin, awak tak apa-apa?”
Tangan Fatin terhenti, mulutnya sedikit ternganga.
“Laaa..Cikgu Shahrul. Maafkan saya
cikgu.”
Sekali lagi Fatin mohon maaf. Tanpa
Fatin sedari ada seseorang yang sedang memerhatikannya.
“Awak tak mabuk ke berjalan-jalan dalam
bot ni?” tanya Cikgu Shahrul.
“Pening sikitlah cikgu. Saya nak pastikan
kawan-kawan yang lain ada dalam bot ni cikgu. Takut ada yang tertinggal
nanti,haru pulak.” seloroh Fatin.
Selesai memeriksa penumpang, Fatin
kembali ke tempat duduk.
“Berapa umur budak tu Shahrul?”
“Tujuh belas.”
Cikgu Shahrul menjawab pertanyaan Kamal,
salah seorang rakannya yang turut serta dalam rombongan itu.
“Kenapa kau tanya? Jangan berani-berani
cuba Kamal. Budak tu ada ada tali pinggang hitam tau.” Cikgu Shahrul
mengingatkan.
“Eleh, baru tali pinggang hitam. Aku
tali pinggang kulit tak bising pun!”
Seloroh Kamal disambut hilai tawa Cikgu Shahrul dan seorang lagi
rakan mereka, Hairi. Kamal masih memandang
ke arah Fatin yang berada di dalam bot. Tangan kanannya yang menyeluk
poket seluar seakan sedang menggenggam sesuatu. Bergerak-gerak rahangnya melihat
susuk tubuh Fatin yang berayun-ayun mengikut pergerakan bot yang membelah
ombak.
“Selamat datang ke Pulau Tioman!” ucap
seorang lelaki yang bertindak sebagai pemandu pelancong.
Empat puluh lima minit membelah ombak, akhirnya
destinasi yang dituju telah pun berada di depan mata. Pasir yang memutih dengan
ribuan anak-anak ikan berenang riang di dalam air laut yang jernih membuat
masing-masing seperti tidak sabar untuk meneruskan program hari itu.
“Ketua kumpulan yang saya lantik kat sekolah tadi boleh datang ambil kunci bilik
masing-masing.” Fatin memberi arahan.
Gugusan kunci yang diperolehi dari
pengurus resort diberikan pada setiap
ketua kumpulan yang telah dilantik.
“Fatin, aku nak tukar ahli kumpulanlah.
Aku tak nak sebilik dengan Ayu. Badan dia berbaulah, aku tak tahan.” Lina
berbisik pada Fatin.
Berkerut dahi Fatin melihat Lina. Sampai
hati Lina mengutuk kawan baiknya tanpa perasaan bersalah. Ayu yang sedang
berbual dengan Cikgu Shahrul dipandang sekilas.
“Kau nak tukar dengan siapa? Kat sekolah
tadi kau dah setuju nak satu kumpulan
dengan aku.” ujar Fatin. Pening dia
melayan karenah Lina.
Lina tarik muka masam. Belum sempat dia
membidas kata-kata Fatin, Cikgu Shazatul datang menghampiri mereka.
“Fatin, pastikan bilik awak dekat dengan
bilik guru-guru ya. Senang nanti kalau ada apa-apa hal.”
Fatin mengangguk faham. Sekali Lina cuba
untuk buka mulut, tapi Ayu pula datang sambil tersengih-sengih.
“Fatin, kau tak payah tukar bilikdengan
siapa-siapa lagi tau. Bilik kita tengah-tengah. Sebelah bilik Cikgu Shazatul,
sebelah lagi Cikgu Shahrul.”
Ayu menyeringai keseronokan.
“Betul ke bilik kita tengah-tengah Ayu?
Kalau macam tu Fatin, lupakan ajelah apa yang aku cakap tadi.”
Kunci di tangan Ayu terus direntap oleh
Lina. Fatin dan Ayu berpandangan.Tanpa banyak soal, mereka mengangkat bagasi
masing-masing menuju ke bilik.
“Boleh saya tolong?”
Fatin dan Ayu menoleh serentak. Shahrul
dan Kamal berjalan menyaingi mereka. Ayu
memperlahankan langkah. Dia cuba jalan beriringan dengan Hairi yang berada di
belakang. Fatin cuma tersenyum dan menggeleng. Dia melajukan langkah,tidak
selesa diapit oleh dua lelaki itu.
"Apa program kita lepas ni
Fatin?"
Shahrul bertanya. Mereka sudah berada di
hadapan pintu bilik masing-masing.
"Lepas ni kita siap-siap untuk makan
malam. Nanti lepas makan saya akan maklumkan lagi aktiviti-aktiviti
seterusnya."
Shahrul dan rakan-rakannya mengangguk
faham. Sebagai penumpang tambahan, mereka hanya mengikut sahaja. Mereka sudah
berjaya memboloskan diri ke dalam bilik masing-masing. Fatin terus merebahkan
diri di atas katil. Terasa lenguh segala sendi-sendi tulangnya.
“Malam ni lepas makan, aktiviti bebas. Korang
ada program lain tak?”
Fatin bertanya pada Ayu dan Lina.
Manalah tahu kalau-kalau mereka ada rancangan lain. Malam ini adalah peluang
mereka untuk memulihkan tenaga selepas seharian di dalam bas.
“Aku nak tidur awal malam ni. Penat
duduk dalam bas tadi pun tak hilang lagi.” kata Ayu sambil mencapai tuala dan
menuju ke bilik air.
"Huh! Kau ni kalau
tak makan, mesti nak membuta. Tak ada lah kerja lain.”
Gerutu
Lina. Dia juga sudah berbaring-baring malas di sebelah Fatin.
“Aku tengok keadaan dulu. Kalau tak
penat aku rasa macam nak jalan-jalan aje kat tepi pantai. Kau ada rancangan
lain ke Fatin?” tanya Lina .
“Belum lagi. Tengoklah malam nanti. Aku nak
lelap sekejap. Nanti kalau dah selesai mandi kejutkan aku, ya." pinta
Fatin.
Dia sudah terpejam, ingin menghilangkan
rasa pening yang masih bersisa. Lina mendengus halus, tidak puas hati dengan
jawapan Fatin.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Enak betul menikmati air batu campur
selepas makan. Hidangan yang disediakan oleh pihak resort amat menyelerakan. Fatin
tersenyum puas hati. Dia memerhatikan keadaan sekeliling restoran yang hampir
dipenuhi dengan rakan-rakan sekolahnya.
“Percubaan satu, dua, tiga…testing one..two….three…”
Suara petugas
di restoran itu memancing tumpuan. Semua mata terarah ke pentas utama.
“Selamat datang ke Pulau Tioman. Harap
anda puas hati dengan hidangan makan malam anda.
Jika ada sesiapa yang berminat untuk
berkaraoke dipersilakan ke pentas. Jangan risau. Segala – galanya adalah
percuma!”
Mereka bersorak riang. Ada yang bertepuk
tangan.
“Fatin, pergilah. Kau kan suka nyanyi.”
Lina cuba menyogok Fatin ke pentas untuk
berkaraoke.
“Ish, malulah. Tunggulah dulu.”
Fatin
jual mahal. Dia masih menyuap ABC
ke mulut.
“Ayu, jom nyanyi nak? Suka-suka aje. Kita
balunlah lagu apa pun.”
Lina menarik tangan Ayu. Fatin
tersenyum melihat Lina dan Ayu yang sudah pun berada di tepi
pentas utama. Mereka sibuk menyelak album CD. Tercari-cari lagu yang sesuai.
Fatin cuma menjadi pemerhati dari jauh.
“Assalamualaikum ...”
Fatin menoleh ke arah suara garau yang
memberi salam. Hampir tersembur ABC yang baru disuap. Kamal tersenyum lebar. Fatin
mengamati wajah Kamal. Dia teringatkan sesuatu.
Dia ke yang langgar aku kat Air Hitam
tadi?
Fatin berkata-kata di dalam hati.
"Janganlah tenung saya macam tu.”
Kamal tersengih sambil menghulurkan
sesuatu yang sudah puas dicari Fatin
sejak sampai di pulau ini petang tadi.
“Ni jam tangan awak kan? Awak tercicir
masa kita ‘accident’ di depan tandas
kat Air Hitam petang tadi.”
Fatin masih terkesima. Sejak petang tadi
dia memang sudah melihat Kamal. Tetapi malam ini baru dia perasaan, itulah
lelaki yang mengotorkan bajunya di Air Hitam. Tanpa dipelawa, Kamal menarik
kerusi di sebelah Fatin. Fatin cuma memerhatikan gerak geri Kamal. Dia masih
belum mampu berkata-kata. Mengingatkan insiden yang telah berlaku antara mereka
berdua membuatkan Fatin tidak senang duduk. Sememangnya dia tidak ambil tahu
tentang kewujudan kawan-kawan Cikgu Shahrul.
"Kenapa pandang aje jam tangan tu? Nak
saya pakaikan ke?" tanya Kamal.
Dia menahan rasa lucu apabila melihat
Fatin kelam kabut mencapai jam tangan di atas meja. Dia tahu gadis itu tidak
selesa. Fatin terburu-buru mengenakan jam tangannya semula dan menolak kerusi
untuk bangun.
"Nak pergi mana?" tanya Kamal
kehairanan.
Fatin memberanikan diri untuk melihat
wajah Kamal melalui kesamaran lampu restoran.Tapi hanya sekilas. Matanya tidak
mampu melawan tenungan Kamal .
"Saya nak pergi jumpa Cikgu
Shazatul. Terima kasih sebab pulangkan jam tangan saya dan maaf sebab
terlanggar awak tadi." ucap Fatin laju.
Kaki Fatin pantas melangkah menuju ke
meja Cikgu Shazatul. Dia rasa lebih selamat berada di situ. Peluh dingin
memercik di mukanya apabila dia melihat Kamal masih merenungnya dari jauh.
"Are you okay Fatin?"
Cikgu Shazatul kehairanan. Fatin seolah-olah
cuba bersembunyi. Dia duduk agak rapat dengan Cikgu Shazatul.
"Saya okey cikgu."
Fatin tersenyum kelat. Jantungnya masih
berdegup kencang. Fatin mengalihkan pandangannya ke pentas utama. Ayu dan Lina
masih sibuk menyelak album CD. Setelah beberapa ketika, Fatin menoleh ke
belakang. Kamal sudah tidak kelihatan. Fatin menarik nafas lega. Dia mula
menumpukan perhatian ke pentas utama.
“Selamat malam semua, kami ingin
menyampaikan sebuah lagu dari kumpulan Feminin yang berjudul ‘Hanya Sekali’. Tapi
sebelum tu, kami ingin menjemput sorang lagi kawan kami untuk menyanyi bersama.
Dipersilakan Fatin Syuhada untuk naik ke pentas!”
“Uhuk..uhuk..”
Fatin tersedak. Matanya tepat merenung
Ayu yang ketawa keriangan di atas pentas. Lina melambai-lambai tangan, mengajak
Fatin ke pentas.
Gila betullah budak berdua ni!
Fatin mengomel sendiri. Tepukan sudah
bergema di seluruh restoran terapung itu. Fatin masih tidak menunjukkan tanda-tanda
untuk bangun. Sungguh, dia sangat malu ketika itu. Bibirnya diketap erat.
"Come on Fatin. Sportinglah
sikit".
Suara Cikgu Shazatul kedengaran agak jelas di
tepi cuping telinga Fatin. Dia menepuk- nepuk lembut lengan Fatin. Dengan berat
hati Fatin pun melangkah perlahan ke pentas. Ayu menarik tangan Fatin dan
menyerahkan mikrofon pada gadis itu. Fatin memaksa diri untuk tersenyum. Apabila
muzik mula berkumandang, semua yang ada di restoran itu memberi tepukan
semangat buat mereka.
Tepukan bergema lagi di seluruh restoran
itu sebaik sahaja mereka selesai mendendangkan lagu. Fatin, Ayu dan Lina
tersenyum. Mereka turun dari pentas dan kembali semula ke tempat duduk.
"Kau berdua ni memang suka
mengenakan aku ya."
Fatin sambil mencubit lengan Ayu.
“Aw! Apa cubit-cubit ni."
Ayu terjerit sambil menggosok-gosok
lengannya yang pedih.
“Eh Fatin, apa abang Kamal buat dengan
kau tadi? Aku nampak kau macam takut aje tengok dia.”
Pertanyaan Ayu membuatkan Fatin
tersentak. Rupa- rupanya Ayu sudah
melihat segala-galanya.
"Dia pulangkan jam aku.” jawab
Fatin acuh tak acuh.
“Pulangkan jam kau? Macam mana jam kau
boleh ada kat dia.”
Lina pula bertanya.Wajahnya nampak
kurang senang. Dia mengerlingjam tangan yang melilit tangan rakannya yang
tinggi lampai itu.
“Tercicir tadi.”
“Tercicir? Macam mana boleh tercicir?
Lina masih tidak puas menyoal Fatin. Fatin
mula rimas dengan perangai Lina.
“Manalah aku perasan Lina, benda nak
tercicir. Kalau kau nak tahu sangat kau tanyalah sendiri kat kawan Cikgu
Shahrul tu.”
Suara Fatin sudah meninggi. Dia menarik
tangan Ayu untuk meninggalkan Lina.
~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Tangan Fatin ligat menulis sesuatu. Dia
mencatatkan aktiviti yang telah mereka jalankan pada malam itu. Lina sudah lama
melelapkan mata. Hanya dia dan Ayu sahaja yang masih belum tidur. Ayu membuka
pintu bilik. Dia memerhatikan keadaan di luar chalet yang berangin.
"Fatin, jom lepak kat luar kejap
nak?"
Ajak Ayu. Dia sudah menyarung selipar.
"Dah malam ni, kau nak ke mana
pulak?" tanya Fatin. Dia membetulkan duduknya di hujung katil.
"Alah, bukannya nak jalan-jalan. Kita
duduk kat beranda ni aje. Ambil angin malam." balas Ayu. Dia masuk semula
ke dalam bilik dan menarik tangan Fatin. Kemudian dia menutup pintu bilik
perlahan-lahan. Tidak mahu mengejutkan Lina yang sedang lena. Mereka berdua
duduk di atas kerusi rotan. Disimbahi cahaya malap lampu beranda. Suasana sepi
seketika. Masing-masing sedang melayan perasaan sendiri.
"Eh! Kau dengar tak?"
Fatin bertanya sambil memasang telinga .
"Dengar apa? Kau jangan main - main
Fatin.
Dah malam ni."
Suara Ayu seolah berbisik. Wajahnya
kelihatan risau. Fatin sudah mula bangun. Ayu menuruti Fatin. Tangannya
memegang tangan Fatin. Dia kelihatan takut.
"Ish, kau ni kenapa? Cuba dengar
betul -betul. Macam bunyi gitar dan suara orang menyanyi kan?"
Fatin memandang Ayu dalam kesamaran cahaya. Dia
memasang telinga.
"Jom kita jalan-jalan kat tepi
pantai nak? "
Fatin menarik keras tangan Ayu. Dia
ingin mencari tuan punya suara itu.
"Eh, tak naklah Fatin. Entah-entah..."
Ayu tidak berani menghabiskan ayatnya.
"Kau tak nak pergi sudah. Aku pergi
sorang."
Balas Fatin yang sudah turun ke
tanah.Laju saja langkahnya menuju ke pantai. Ayu mengejar Fatin. Risau pula
dibiarkan rakannya berseorangan. Mereka sudah hampir ke arah suara itu. Tapi
tiba-tiba suara itu hilang. Ayu dan Fatin berdiri tegak.Fatin memandang
sekeliling yang agak gelap. Cuma kelihatan samar-samar cahaya dari lampu-lampu
beranda di deretan bilik di sepanjang pantai .
"Tak tidur lagi?"
"Makkk!"
Fatin dan Ayu berpelukan. Wajah kedua-duanya
pucat lesi. Pelukan terlerai apabila orang yang menegur tadi mereka kenali. Ayu
mengurut dada. Fatin menyapu wajahnya. Jantungnya bagai terhenti sebentar.
"Aduh, abang Kamal ni. Nasib baik kitaorang tak pengsan tau."
Ayu membebel sambil memandang Fatin yang
tersenyum tawar.
“Awak berdua tu yang keluar merayau
malam-malam ni kenapa? Bahaya tau."
Kamal mengingatkan. Di lehernya
tergantung sebuah gitar tong. Kini barulah Fatin tahu tuan punya suara yang
dicari sebentar tadi.Ayu juga baru perasan benda yang tergantung di leher
Kamal. Tiba - tiba terlintas fikiran nakalnya.
"Fatin ni, dia tengah cari suara
Putera Duyung yang main gitar tadi. "
Ayu bersuara sambil menolak lembut bahu Fatin.
Kamal tersengih. Dia memandang Fatin yang sudah memalingkan muka.
"Jom masuk tidur Ayu."
Fatin menarik tangan Ayu. Ayu menurut
dalam paksa. Tapi sempat lagi dia mengusik Fatin.
"Good night abang Kamal. Puteri Duyung nak beradu. Ayu nak balik temankan dia tidur.
See you tomorrow. Kirim salam kat abang
Hairi ya."
Sempat juga Ayu berkirim salam. Kamal
ketawa kuat sambil melambai-lambaikan tangannya.
"Good night my little mermaid. Have a nice dream."
Suara Kamal kedengaran sayup-sayup tapi masih
jelas kedengaran di telinga Fatin. Dia mengetap bibir.
No comments:
Post a Comment