Thursday 16 October 2014

CINTA MANIAK BY CT AZHAR

BAB 2




Weizhe masih termenung di kerusi. Jarinya digigit-gigit manakala batang pen diselit di cuping telinganya. Dia masih terkenang-kenang akan gadis itu. Tiga minggu berlalu begitu saja, tanpa satu lagi pertemuan seperti yang diharap-harapkannya. Mungkin Tuhan belum menunaikan hajatnya itu.
Batang tubuhnya dibetulkan kepada kedudukan yang lebih selesa. Pen berpindah ke jari sebelah kanan pula. Kertas kosong ditoreh-toreh dengan pen tersebut. Fikirannya ternyata kosong, seperti lagu anak muda sekarang ni, kosong... kosong... kosong!
Sudahlah nama gadis itu pun dia tidak tahu, bagaimana pula dia ingin mencari tempat tinggal gadis itu? Aduhai! Sudahnya dia menggaru kepala saja.
“Hei, Wei!” laung Ah Tiong dari luar pintu pejabat. Weizhe juga tidak perasan yang pintu pejabatnya ternganga sejak tadi. Dengan lemah longlai dia turut melambai kepada Ah Tiong.
 “Hei, lemah aje ni. Jangan risau kawan, aku dah jumpa budak tu,” ujar Ah Tiong sambil melabuhkan punggung di kerusi.
Weizhe seperti orang mengantuk disorongkan bantal lagaknya. Mata yang sepet terbuka luas. Wajah mendung bertukar ceria. Dada pula berdebar-debar. Terasa mahu runtuh dinding dadanya ketika itu juga.
“Betul ke ni? Tak tipu?” soal Weizhe sambil berhadapan dengan Ah Tiong.
Bibir Ah Tiong mengukir senyuman. Dia suka melihat wajah ceria rakan baiknya itu. Hurm... Dasar buaya darat!
“Hei, aku dah berubahlah. Aku nak jadi budak baik,” kata Weizhe sambil matanya mengerling tajam ke arah Ah Tiong. Suka-suka hati aje kata aku buaya darat!
“Yalah, sangat...” ejek Ah Tiong sambil tersenyum sinis.
Hahaha... Pecah tawa mereka berdua di pejabat milik Weizhe. Mereka berdua berkawan rapat sejak kecil lagi. Malah, semakin dewasa, keakraban mereka bertambah menyerlah dan erat. Mereka juga telah berpadu tenaga dalam membina karier bersama-sama. Itu memang cita-cita mereka sejak dahulu. Mereka juga ingin cepat kaya. Bagi mereka, untuk hidup di dunia ini, poket kena penuh sentiasa. Jika tidak, mereka akan diinjak-injak dengan rakus, menjadi hamba duit.
Paling utama, mereka bersaudara. Sepupu.
“Oh, sebelum terlupa. Mana alamat tu? Bak sini!” jerit Weizhe kepada Ah Tiong.
“Kejaplah,” jawabnya sambil menyeluk saku baju kemeja dan menghulurkan sekeping kertas ke tangan Weizhe. Mata Weizhe merenung kertas tersebut. Inilah alamat gadis tempoh hari. Kertas itu dikibas-kibas. Bola mata masih merenung kertas yang tertera alamat di sebuah penempatan di pinggir KL.
Erm... Aku tahu tempat ni,” katanya setelah lama berdiam diri. Sebuah senyuman nakal terukir di tubir bibir Weizhe. Kertas itu diketuk-ketuk di telapak tangan, betapa girangnya dia dengan penemuan ini. Mungkin Tuhan telah melorongkan mereka untuk pertemuan kedua kali pula.
“Ada peluang lagi nampaknya,” sambungnya lagi.
Ah Tiong tersengih-sengih bagai kerang busuk.
“Suka sangatlah tu,” ejek Ah Tiong pula.
Hahaha! Weizhe, Ah Tiong tertawa bagai nak rak. Malah, Ah Tiong tahu sangat akan niat rakan baik merangkap sepupunya itu. Mereka berdua terlalu akrab dan kedua-duanya menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar sehari-hari. Hal ini disebabkan mereka berdua telah diasuh oleh Mak Mah, seorang pengasuh Melayu. Sehingga kini, Mak Mah masih lagi hidup dan tinggal dengan mereka. Dan Mak Mah juga masih sudi menjaga keperluan mereka, walaupun mereka sudah meningkat usia.
“Memanglah suka. Okeylah, aku nak keluar. Ada hal. Kau jaga syarikat, ya?” Weizhe bangkit lalu membetulkan pakaian kemejanya. Weizhe segera mengorak langkah menuju ke pintu tanpa menunggu balasan daripada Ah Tiong.
“Weh, balik nanti... tapaukan makanan!” jerit
Ah Tiong sambil memandang belakang tubuh sepupunya itu. Kelihatan tubuh Weizhe lebih tegap berbanding Ah Tiong yang agak kurus dan tinggi manakala wajah mereka jauh berbeza walaupun mereka sepupu.
“Okey, tunggu aku balik!” laung Weizhe sebelum mengunci pintu. Banyak bahaya di luar sana jika mereka tidak berhati-hati. Apabila Weizhe berada di ruang menunggu syarikat miliknya, pekerja ataupun lebih layak dipanggil sebagai bodyguard, berpusu-pusu menghampirinya.
Morning, boss!” ucap mereka serentak. Weizhe cuma angkat sebelah tangan sambil mengukir senyuman.
“Tinggal di mana?” soal Weizhe dengan wajah serius. Tulang rahangnya bergerak-gerak, kecut perut bodyguardnya. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.
“Di KL, bos!” jerit mereka serentak.
“Orang Malaysia cakap bahasa apa?” soal Weizhe buat kali kedua.
“Bahasa Melayu, bos!” Laungan mereka yang berpadu bergema di ruangan menunggu tersebut. Bibir Weizhe menyungging suka.
“Tahu pun. Jangan sesekali cakap dengan saya menggunakan bahasa lain, selain daripada bahasa Malaysia. Ingat tu!” arah Weizhe sambil mengugut. Dia tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang melanggar perintahnya. Jika mereka melanggar juga, mereka akan dihukum mengikut peraturan syarikat.
“Baik, bos!” jerit mereka serentak.
Mereka tahu yang bos mereka itu seorang yang tegas dan sangat komited pasal kerja. Oleh itu, mereka tidak boleh ingkar akan arahan daripada bos yang masih muda itu. Dan mereka sangat beruntung diterima bekerja di bawah syarikat milik Weizhe, pemuda Cina yang terlalu muda usianya yang telah berjaya menubuhkan syarikat miliknya dengan usaha sama sepupunya. Mereka terlalu kagum dengan kedua-dua pemuda ini.
Weizhe memandang mereka satu persatu. Setelah itu dia berlalu ke tempat parkir kenderaan. Alat penggera ditekan dari jauh lantas bodyguard segera meluru ke kereta sambil membuka pintu kereta sport mewah berwarna merah saga milik bos mereka itu.
“Oh, jangan ikut saya. Ini bukan urusan kerja. Lepas ni, naik ke pejabat. Cek sama Ah Tiong pasal kerja kau orang untuk hari ini,” arah Weizhe sebaik bodyguardnya mahu mengekorinya. Ini adalah urusan peribadi, biar sahaja dia uruskan sendiri. Hesy!
Bodyguardnya berpandangan sesama sendiri sambil menjongketkan bahu.
“Baik, bos. Hati-hati, bos!” laung mereka sambil memandang kereta sport mewah yang membelok di persimpangan jalan menuju ke lebuh raya. Mengaum bunyi enjin kereta sport mewah membelah cerah cuaca pada hari itu.
“Hei, jomlah naik ke pejabat. Mana tahu, lokasi yang best hari ini,” ajak salah seorang bodyguard tersebut kepada bodyguard yang lain. Mereka mengangguk-angguk sambil beriringan menuju ke tangga untuk ke pejabat. Hampir setiap hari, itulah rutin mereka.
SEJAM kemudian, deruman kereta sport mewah mula mengendur. Sejak 10 minit, kereta sport berwarna merah terparkir gah di bahu jalan di pinggir KL. Kelihatan sebuah warung kecil yang agak usang sedang sibuk berniaga. Jarinya diketuk-ketuk pada stereng sambil bersiul-siul senang. Hatinya gembira, mungkin sekejap lagi dia akan berjumpa dengan buah hati pengarang jantungnya. Alahai, gadisku.
Hampir sejam menunggu, dia masih belum ketemu dengan gadis tempoh hari.
Erm... Tak boleh jadi ni,” gerutunya.
“Baik aku keluar. Makan dekat warung tu lagi bagus. Mana tahu sedap pula nasi lemak tu, bolehlah tapau untuk Ah Tiong,” katanya lagi. Pantas sahaja dia melangkah setelah menekan alat penggera kereta. Dia berjalan dengan perlahan-lahan menghampiri warung tersebut. Orang yang berkerumun sebentar tadi mula berkurangan.
Weizhe mengambil tempat duduk di satu sudut warung itu. Angin yang sepoi-sepoi bahasa begitu nyaman sekali. Dia menghirup udara segar pada hari itu. Kebetulan pula perutnya belum diisi lagi walau dengan secebis makanan. Boleh juga makan nasi lemak kukus hari ini, getusnya sambil tersenyum lebar kepada seorang mak cik empunya warung tersebut.
“Nak makan apa?” tanya mak cik itu sambil memandang kepadanya.
“Nasi lemak kukus ada, mak cik?” soal Weizhe pula.
“Ada, nak lauk apa?”
“Lauk apa yang ada?”
 “Banyak... Ada ayam goreng, ayam masak merah, rendang ayam. Daging, sambal telur, hati goreng, limpa daging goreng,” terang mak cik empunya warung itu dengan laju sekali sehingga dia keliru pula. Weizhe menggaru kepala sambil menyeringai.
Weizhe cuma mengangguk-angguk sahaja. Sungguh banyak lauk mak cik ini, getusnya sambil berfikir mahu makan apa.
“Oh, bagi saya nasi lemak biasa aje, mak cik. Telur mata goreng ada, mak cik?”
“Ada, ada. Nak minum air apa?”
“Teh tarik, mak cik. Kurang manis, ya?”
“Baiklah.” Usai mengambil pesanan, Mak Cik Jenab segera ke dapur semula.
Weizhe mengakui keenakan nasi lemak kukus buatan mak cik empunya warung ini. Memang tidak dinafikan lagi. Dia makan tanpa menoleh lagi sehingga pinggannya kosong.
Err... Mak cik, nasi lemak bungkus satu, kasi telur mata juga!” laung Weizhe sambil mengelap bibir dengan tisu. Matanya melingas ke arah jalan raya, manalah tahu yang gadis itu melalui jalan sama di tempat dia berada. Jika mengikut alamat yang diberikan, inilah tempat yang selalu dilawati oleh gadis tersebut. Weizhe menggaru kepala.
Dia keliru sama ada perlu bertanyakan perihal gadis ini kepada mak cik tersebut atau tidak. Ataupun, dia perlu berusaha sendiri. Hesy!
Err... Mak cik, boleh saya tanya?” Akhirnya, dek desakan hati, Weizhe menyoal juga mak cik empunya warung tersebut.
“Bb.. boleh, tanyalah,” jawab Mak Cik Jenab dengan suara terketar-ketar setelah anak matanya mengintai tatu di pangkal lengan pemuda Cina itu. Tangannya menggigil sebaik meletak bungkusan nasi lemak yang dipesan sebentar tadi di atas meja. Kepala lututnya mula goyah. Peluh mula memercik di kening dan dahinya. Serta-merta tubuhnya terasa sejuk pula. Aduh! Matanya mula melingas ke sekelilingnya. Jika ada orang yang melalui jalan di warung tempat dia berniaga, bolehlah diajak singgah supaya boleh menemaninya pada saat ini. Ketakutan mula menghantui diri. Seram sejuk mula terasa. Mana nak lari ni, getusnya sambil mengetap bibir.
Hrum... Mana pula budak bertuah ni?! Jeritan Mak Cik Jenab cuma bergema dalam hati sahaja.
“Ada tak seorang gadis tinggal di sini, namanya saya tak tahu. Dia tu, berwajah manis, berkulit hitam manis juga. Tak tinggi tak rendah, sedang-sedang sahaja?” Soalan daripada Weizhe menyentak lamunan Mak Cik Jenab. Matanya menyorot pada dasar mata pemuda Cina itu dengan renungan yang tajam. Dia mencari sinaran keikhlasan pada wajah anak muda itu.
“Oh ya, budak itu suka berbasikal,” sambung Weizhe lagi.
Gulp! Mak Cik Jenab tertelan air liur. Itu macam Khay... getusnya.
“Oh... Tak ada, tak ada. Kat sini tak ada budak macam tu.” Laju sahaja Mak Cik Jenab menjawab. Gadis yang disebut-sebut oleh pemuda itu ialah Khayla Zahra. Mana ada gadis kat tempat ni yang berbasikal kecuali
Khayla Zahra. Mereka semua agak moden untuk mengayuh basikal seperti si budak dungu Khayla Zahra. Khayla Zahra tidak menggemari perubahan. Dia seorang gadis klasik, penuh simbolik dan agak naif.
Weizhe bingkas bangkit dari kerusi. Masih sempat dikerling pada lengan untuk melihat pukul berapa sekarang ini. Banyak hal ingin diuruskannya pada pagi ini. Jika berkesempatan dia akan kembali ke sini, demi gadis pilihan hatinya itu.
“Tak apalah mak cik. Berapa jumlah semua ni?”
“Oh, tak mahal. Kesemua sekali, RM5.20 aje.”
Uit? Murahnya?”
Bibir Mak Cik Jenab tersungging.
“Tak boleh tekan mahal-mahal. Penduduk di sini miskin. Kami tak kaya macam orang-orang kat luar sana tu,” jawabnya dengan sinis.
Weizhe cuma mengangguk-angguk. Kebenaran daripada kata-kata empunya warung tersebut ada benarnya.
Jika Weizhe ketemu lagi dengan gadis itu, dia takkan melepaskannya lagi kerana hatinya telah terpaut pada gadis itu.
“Yalah, mak cik. Saya balik dulu, ada peluang saya datang lagi.”
“Haah... Baik-baik jalan tu!” laung Mak Cik Jenab sambil mengelap meja. Weizhe segera berpaling, lantas bibirnya menguntum senyuman kepada empunya warung tersebut. Setelah deruman kereta sport milik pemuda Cina itu menghilang, Mak Cik Jenab segera duduk di kerusi. Lelahnya kian mencengkam diri.
Tubuhnya bagai dipatuk ular. Terasa sengal dan berbisa-bisa. Demi sesuap nasi, dia terpaksa bangun awal pagi untuk memulakan perniagaan di warung ini. Warung inilah tempat dia mencari rezeki, sepeninggalan arwah suaminya. Hanya ini sahaja harta daripada arwah si suami untuknya.
Matanya merenung jauh, kelihatan basikal Khayla Zahra sedang menuju ke sini. Namun, mindanya kosong. Fikirannya melayang-layang. Kenapa samseng Cina itu bertanyakan hal Khayla Zahra, ya? Budak itu melakukan kesalahan apa? Fikirannya kian sendat.
ASSALAMUALAIKUM!” Ucapan salam daripada Khayla Zahra menyedarkan Mak Cik Jenab. Pantas sahaja Mak Cik Jenab bangkit dari kerusi itu. Pandangannya tajam menujah wajah Khayla Zahra. Juga sepasang matanya melekat pada susuk tubuh Khayla Zahra. Dia tidak berpuas hati dengan pemuda Cina tadi.
“Kenapa mak cik ni? Dahlah salam Khayla tak berjawab,” kritik Khayla Zahra.
Muncung Mak Cik Jenab mula memanjang. Herot bibirnya, geram.
“Apa kau dah buat?!” tengking Mak Cik Jenab.
Dahi Khayla Zahra berkerut seribu.
“Khayla buat apa?” Dia bertanya balik dengan seribu persoalan.
“Tadi, ada orang Cina tanyakan kau. Nasib baik hati aku baik hari ini. Kalau tidak, masak kau kena gulai dengan budak Cina tu.”
Khayla Zahra tertelan air liur. Bila masa pula dia berjumpa dengan orang Cina? Hari ini dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun, kecuali kawan-kawan di tempat kerja. Hesy! Kepala yang tidak gatal digaru-garu dengan kasar.
“Entah. Khayla tak kenal dengan orang Cina,” katanya sambil menjongketkan kedua-dua belah bahu. Tak payah takutlah, getusnya sambil berlalu ke dapur. Perut yang berirama klasik perlu diisi dengan kadar segera. Tangannya menampar-nampar perutnya yang menjerit-jerit minta diisi secepat mungkin.
“Hoi, sabarlah!” jerit Khayla Zahra sambil mengusap-usap perutnya, seolah-olah memujuk agar bersabar.
“Dah kebulur sangatlah tu!” laung Mak Cik Jenab, geramnya masih bersisa.
Khayla Zahra mengetap bibir dengan kuat. Dia turut menyimpan perasaan geram terhadap mak ciknya. Tanpa usul periksa dia telah dituduh sesuka hati saja. Siasatlah dulu, betul ke tidak fakta itu? Ah, lantaklah! Yang penting perut aku kena isi dulu, gerutunya sambil menjenguk ke dapur. Untung sahaja nasi lemak masih berbaki. Rezeki akulah ni, getusnya lagi sambil tersenyum lebar.
Erm... Hari-hari makan nasi lemak, kejap lagi badan pun berlemak,” bisiknya sambil terkekek dalam hati. Nasib baik juga berat badannya tetap maintain. Jika tidak, tentu tubuhnya gempal seperti Mak Cik Jenab. Hehehe... Dia tersengih-sengih sambil menyenduk nasi ke atas pinggan. Dibubuh juga sambal telur rebus, kesukaannya sambil menjilat bibir.
“Makan... Makan... Makan, lain kerja tak ada?” sindir Mak Cik Jenab.
Khayla Zahra tidak menghiraukan Mak Cik Jenab. Dia makan tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan lagi. Perut yang kosong belum lagi senak. Mak Cik Jenab hanya memerhatikan gelagat Khayla Zahra dari belakang. Hatinya belum puas. Dia ingin memanjangkan debatnya.
“Hei, Khayla! Kau jangan cari pasal dengan budak Cina tu. Karang dibakarnya kedai ni, susah aku nak cari duit lagi,” ugut Mak Cik Jenab.
Khayla Zahra cuma melambai-lambai menggunakan sebelah tangan sahaja. Dia belum habis makan lagi. Dia mengambil masa yang lama untuk menghabiskan kesemua makanan yang dia ambil tadi. Lantaklah mak cik nak cakap apa. Aku kena pekakkan telinga saja. Keenakan nasi lemak kukus dengan sambal ikan bilis buatan tangannya ternyata sangat lazat. Erm... Sehingga menjilat bibir!
Mak ciknya cuma tinggal kukus nasi sahaja. Segala-galanya dari tangannya yang bertuah ini. Ternyata makanan yang dihasilkannya sangat laku dan diminati ramai. Nama mak ciknya telah dikenali ramai kerananya. Ah, tak mengapalah. Mak cik dia juga. Lagi pula, ini saja yang mampu dia lakukan untuk membalas jasa Mak Cik Jenab.
“Mak cik, percayalah dengan Khayla. Mana ada Khayla buat hal kat luar,” jawab Khayla Zahra setelah mencuci tangan.
“Habis tu, kenapa budak Cina tu tanyakan kau!” jerit Mak Cik Jenab.
“Entah, mana tahu!” pekik Khayla Zahra pula. Puas dia menahan sabar dengan kerenah Mak Cik Jenab. Sengaja menguji kesabarannya. Hesy!
“Aku nak ingatkan kau, ya. Aku tak nak budak tu tanyakan hal kau lagi. Jika tidak, nahas kau!” ugut Mak Cik Jenab. Khayla Zahra mencebik.
“Suka hati mak ciklah. Khayla nak balik kejap, nak solat.” Dia berdalih untuk tidak memanjangkan lagi pertelingkahan ini.
Apabila hati tengah marah, perasaannya mula kucar-kacir. Biarlah dia aman seketika mengharungi hidup ini. Hidup hanya sekali, jadi dia harus menghargai masa dengan sewajar-wajarnya. Insan adalah hak milik mutlak Allah S.W.T. Oleh itu, dia harus melakukan yang terbaik untuk dirinya, perkara yang remeh-temeh harus dinyahkan dari hidupnya.
“Huh!” Mak Cik Jenab berdengus sambil mencebik.
“Baik sangatlah tu, sembahyang tak berhenti.” Sindiran daripada Mak Cik Jenab itu tidak diambil pusing. Dia melakukan solat untuk diri sendiri dan juga dia turut mendoakan kesejahteraan Mak Cik Jenab serta perniagaannya agar maju. Hanya doa sahaja mampu dia hadiahkan sebagai anak saudara. Lebih daripada itu, dia tidak mampu.
Khayla Zahra teguhkan hati. Dia berharap agar dirinya tabah bagi menangani kehidupan ini. Jika kesabaran mulai menipis, bukan salah dia jika suatu hari nanti dia bertukar rupa. Itu pun kerana Mak Cik Jenab ialah darah dagingnya, jika tidak... entahlah!

No comments:

Post a Comment