Saturday 11 October 2014

AGUNGNYA CINTA BY DALILA SOFEA

BAB 2

Esok merupakan hari penting bagi Zara Sofea.  Tarikh keramat 6 September.  Sofea bakal menyambut hari lahirnya yang ke - 20.  Hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap remaja untuk bergembira di samping orang yang tersayang.  Menerima hadiah sempena hari lahir adalah upacara menarik yang ditunggu-tunggu.  Hadiah dari mama tersayang telah diperolehi lama dulu oleh Sofea.  Kini Sofea menanti hadiah dari Iqram.  Sofea semakin tidak mampu menghalang percambahan perasaannya terhadap Iqram, lelaki yang  dibencinya sewaktu Minggu Silaturahim.  Anak  dato’ yang dilihatnya menghitung teman wanita di dalam hidup dan sentiasa menjadi kegilaan ramai.  Tidak ketinggalan asyik menjaja wajah tampannya di sekitar kampus.  Namun lelaki itulah yang menjadi sumber inspirasi Sofea kini.  Terjaga sahaja dari lena, Sofea tidak dapat mengelak dari memikirkan tentang Iqram. 
Ya Allah, adakah benar aku sudah jatuh cinta?
Pertanyaan tersebut hanya mampu berlegar di dalam hati Sofea.
“Assalamualaikum, abang duduk boleh?” 
Amirul menarik kerusi di depan Sofea.  Wajah Sofea merah padam tiba-tiba.   Ayat  selamba Amirul berkenaan pengakuannya tentang bunga ros itu kembali menjelma. 
“Terima kasih,” Sofea gugup. 
“Untuk apa?” Amirul seperti sengaja mahu bergurau dengan Sofea. 
“Bunga tu lah!” 
“Malam ni abang belanja makan sempena hari lahir Fea, ya?” Lembut merdu suara Amirul mengheret Sofea ke daerah yang penuh simpati. 
Aduh, dia tau pulak beday aku.  Naya ni!
“Mana tau birthday Fea?” pantas Sofea bersuara. 
“La, semua mahasiswa  kolej kita tahu birthday Fea.”
Amirul tersenyum manis menampakkan barisan giginya yang cantik.  Tanpa Sofea sedar tangannya bergerak mencubit lengan Amirul.  Amirul memandang Sofea tajam.  Menyedari perbuatannya itu keterlaluan, cepat-cepat Sofea menarik tangannya semula dan menundukkan kepala. 
“Pukul 8.00 malam, abang tunggu kat bawah okey!”
Amirul bangun dan berlalu pergi, meninggalkan Sofea dalam keterpaksaan untuk menerima pelawaannya.
Sofea melihat Amirul berlalu.  Timbul kekusutan yang tidak mampu dihuraikan oleh Sofea.  Mengapa Abang Amirul yang meletakkan bunga di keretanya?  Mengapa?  Jika orang lain mudah untuk Sofea mempergunakannya bagi melihat sejauh mana Iqram menyukai dirinya atau sekadar mahu menambah koleksi teman wanita. 
Sekarang macamana?  Nak keluar makan dengan Abang Amirul ke?  Kang dia lagi suka aku?  Confius betullah!
Sekuntum bunga ros dari lelaki semester akhir, apa lagi yang perlu Sofea persoalkan.  Amirul menyukainya.  Bukankah Amirul telah mengetahui Iqram mengejar dirinya semenjak Minggu Silaturahim, dan mereka juga berkawan.  Sofea masih ingat hari Jumaat yang indah, sewaktu terserempak dengan Amirul menuju ke motosikal, berbaju Melayu biru muda, terlalu lembut warna itu.  Lantas menyerlahkan kejernihan wajah Amirul yang  dianggap abang. 
“Handsomenya, nak pergi solat Jumaat ke?  Nak pergi nikah?” Sofea bertanya nakal.  “Hajat di hati nak pergi nikah lepas solat Jumaat, tapi my bride belum siap lagi.  Masih pakai seluar jeans.” Gurauan Amirul amat Sofea fahami.  Lantas ketawanya berderai. 
“Fea?”  Carilah akak Akademi Pengajian Islam, yang pakai tudung labuh, baru sesuai,” Sofea ketawa. 
“Yang berseluar jeans tu akan abang tukar jadi akak bertudung labuh nanti.  Ha, jaga-jaga.”
Gurauan Abang Amirul sungguh mengerikan Sofea. 
“Jangan harap ya.” Sofea berkata lembut lantas meninggalkan Amirul.  Pada masa itu Sofea langsung tidak menduga yang Amirul menyukainya.  Bagi Sofea, dirinya bukan perempuan idaman Amirul.  Amirul ahli jawatankuasa surau kolej, dan beriman orangnya.  Itu yang Sofea dengar dari warga kolej.  Namun mengapa kini Sofea menjadi tumpuannya.  Sofea, Zara Sofea Hafizuddin, pelajar semester pertama TESL yang berjeans dan bert-shirt ketat, memakai tudung namun masih memakai apa sahaja yang ketat, serta suka bergurau dengan siapa sahaja.  Adalah mustahil Amirul memilihnya.  Agak keliru Sofea memikirkannya.  Sofea tertanya-tanya sendiri mengapakah Amirul menyukainya. 
“Ha, berangan ya?” 
Bella menepuk bahu Sofea.  Bella kemudian menarik kerusi dan duduk di sebelah Sofea. 
“Abang Amirul ajak dinner malam ni,” Sofea bersuara lemah. 
Bella membeliakkan mata. 
“Bukan kau tunggu Iqram ajak kau dinner malam ni?” 
“Ya lah, tapi macamana ni?  Aku tak sampai hati nak kata no kat Abang Amirul,” Sofea memberi penjelasan kepada Bella. 
“Tapi inilah peluang kita menduga kesungguhan Iqram kat kau.” Tiba-tiba Bella bersuara setelah lama mendiamkan diri.  Sofea memandang Bella. 
“Aku tak sampai hatilah .  Tapi nak cakap no pun tak sampai hati.  Nanti Iqram nampak aku keluar dengan Abang Amirul macamana?” Sofea meluahkan rasa hatinya kepada Bella, sekaligus menunjukkan dirinya akan keluar makan malam dengan  Amirul.
Malam itu, Sofea mengenakan make-up agak tebal berbanding hari-hari biasa.  Maklumlah makan malam sempena hari lahir.  Blause merah jambu sedondon dengan tudung singkat berwarna merah jambu juga.  Tetap berseluar jeans ketat, namun blause agak longgar. 
“Amboi, cantiknya!”  Bella menegur Sofea yang asyik memandang cermin. 
“Iqram ada call?”
Pertanyaan Bella merobek kegembiraan Sofea.  Ternyata Iqram tidak menelefonnya sejak peristiwa dia menemui Sofea di fakulti minggu lepas.  Sofea juga bersifat jual mahal dan tidak menghubungi Iqram.  Sofea tidak pasti samada Iqram marah kepadanya, sibuk atau sebenarnya tidak tahu esok adalah hari jadinya. 
“Kau rasa kenapa Abang Amirul suka aku?” 
“Sebab kau cantiklah, seksi, peramah dan bermata sepet,” Bella menjawab panjang lebar.  Sofea lantas mencubit perut Bella.  Bagi Sofea kenyataan Bella berbau gurauan.  Sofea merasakan dirinya tidak secantik mana, namun mungkin agak seksi.  Sofea tersenyum sendiri menyetujui kenyataan Bella yang mengatakan dirinya seksi. 
“Ha, cepatlah, nanti penat AJK surau tu tunggu.” 
“Wei, dia biasa saja lah, bukan abang surau,” Sofea membantah kata-kata Bella. 
“Eloklah tu ada dua orang buah hati,” Bella mengakhiri usikannya dengan tawa riang.  “Aku pergi dulu!”
Sofea menutup pintu bilik perlahan, meninggalkan Bella dengan tawa riangnya.
Sofea tiba di lobi kolej.  Ramai kakak dan abang senior melepak di situ, tidak ketinggalan kakak senior yang digosipkan dengan Iqram , Intan Farhana.  Farhana menjeling ke arah Sofea tajam.  Farhana sengaja tidak meneruskan perjalanannya ke bilik setelah melihat Sofea seperti menanti seseorang.  Farhana menegur beberapa orang kawannya yang melepak di lobi.  Jelas kelihatan Farhana baru pulang dari pusat membeli-belah, dengan beg plastik di tangan. 
“Maaf, abang lewat.”
Sofea menoleh serta merta.  Amirul tersenyum manis memandang Sofea.  Haruman  ‘Aramis’ seperti selalu menusuk hidung Sofea. 
“Kita nak ke mana?” Amirul menyoal Sofea lembut. 
Sofea mengangkat bahu sambil menghulurkan kunci kereta kepada Amirul.  Amirul menyambut kunci kereta yang dihulurkan oleh Sofea, memahami maksud gadis itu yang tidak mahu membonceng motosikal dengannya.  Sofea melihat Farhana berbisik-bisik dengan temannya.  Wajahnya yang kelat kelihatan agak ceria.  Sofea amat pasti tentunya Farhana menyangka dirinya akan keluar dengan Iqram. 
“Jom!” Suara Amirul mengejutkan Sofea yang asyik memerhatikan Farhana.  Sofea dan Amirul bergerak ke tempat letak kereta.  Radio Sinar FM menemani perjalanan makan malam mereka berdua. 
“Fea suka tempat macamana untuk dinner ni?”
 “Tak kisah, Fea suka tempat terbuka, tiada bumbung, ramai orang, boleh tengok orang.” 
“Kalau begitu, kita dinner di Pantai Dalam saja.  Dekat.  Lagipun pukul 10.00 malam, Fea mesti abang hantar balik,” panjang lebar celoteh Amirul. 
Terharu Sofea mendengarnya.  Tiba-tiba telefon bimbit milik Sofea berbunyi.  Sofea menduga ianya pasti dari mama tersayang.  Sudah pasti mamanya ingin mengucapkan ‘happy birthday’ kepada dirinya.  Sangkaan Sofea ternyata  meleset sama sekali.  Nama Iqram tertera di skrin telefon. 
“Hello birthday girl, turun kita pergi dinner.” Suara Iqram lembut di talian. 
Tanpa memandang reaksi Amirul, Sofea meneruskan perbualannya dengan Iqram.  Sofea tidak pasti samada Amirul mengetahui pemanggil itu Iqram atau tidak. 
“Fea dalam kereta, nak keluar dinner, nanti Fea call balik.”
Sofea terpaksa juga meneruskan perbualan dengan Iqram dalam keadaan janggal. 
“Fea keluar dengan siapa ni?” Iqram seakan dapat menghidu sesuatu.
“Fea dinner dengan Abang Amirul,” Sofea menjawab jujur. 
“Okey.” Iqram memutuskan talian. 
“Siapa call?” Amirul bertanya. 
Sofea amat pasti Amirul mendengar namanya disebut sebentar tadi. 
“Kawan baik abang lah,” Sofea menjawab dengan serba-salah.  Sofea memandang ke arah Amirul yang sedang memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai pemandu. 
“Iqram?” 
Sofea mengangguk tanpa memandang apakah reaksi wajah Amirul.
Mereka tiba di Pantai Dalam pada pukul 8.20 malam.  Malam masih terlalu muda dan indah untuk dinikmati.  Gerai-gerai makan mula dikunjungi orang ramai untuk menjamu selera.  Ramai pelajar-pelajar seperti mereka berdua makan di gerai yang mereka pilih.  Ini kerana ramai mahasiswa UM menyewa Flat Bukit Sri Angkasa berhampiran gerai-gerai makan di kawasan Pantai Dalam. 
“Abang duduk di sebelah Fea ya?” Sofea pandang Amirul. 
Sebenarnya Sofea tidak selesa bila duduk bertentangan dengan Amirul.  Keadaan yang sama seperti keluar dengan Iqram tempoh hari.  Sofea menyedari dirinya sememangnya tidak selesa diperhatikan oleh lelaki, lebih-lebih lagi untuk bertentangan mata dengan lelaki.   Amirul bangun dan menarik kerusi ke sebelah sofea.  Amirul duduk sambil mengambil menu yang terletak di atas meja. 
“Fea nak makan apa?” Amirul bertanya lembut. 
Suaranya yang lemah lembut bisa mencairkan ketulan ais pada pendapat Sofea. 
“Fea!” Amirul memanggil nama Sofea kuat setelah gadis itu berdiam diri. 
“Air carrot susu dan bihun goreng boleh?” Sofea berkata manja. 
Sebagai anak tunggal mamanya, Sofea tidak merasai kasih sayang dan kemesraan abang, kakak dan adik.  Sofea terfikir, alangkah indahnya jika Aiman Amirul di depannya itu adalah abang kandungnya.  Lembut budi bahasa dan penyayang. 
“Tak boleh!” Suara Amirul mematikan angan-angan Sofea. 
“Makan ‘chicken chop’ nak?  Kat kedai ni sedap,”Amirul memberi cadangan. 
Sofea  senyum, lantas mengangguk.  Sofea amat yakin Amirul bercakap benar kepadanya. 
“Abang makan apa pula?”
“Sama la.”
Sofea menikmati ‘chicken chop’ yang terhidang dengan begitu berselera sekali.  Hampir  Sofea lupa tentang Iqram, mamanya dan juga Bella.  Kini Sofea cuma menanti panggilan dari mama tersayang.  Sofea amat pasti mamanya akan menelefon untuk mengucapkan selamat hari lahir.  Tiba-tiba Sofea teringat akan Bella teman sebiliknya, merangkap  PA yang tidak bertauliah. 
Bella mesti suka chicken chop ni! 
“Abang, Fea order chiken chop ni untuk Bella boleh?” Sofea beraksi manja terhadap Amirul. 
“Tak boleh!”
Sambil tersenyum Amirul memanggil pekerja gerai untuk memesan ‘chicken chop’ bungkus.  Sofea menolak pinggan ‘chicken chop’ ke tepi.  Cukup kenyang dirasakannya.  Telefon bimbit milik Sofea berlagu lagi.  Kali ini tekaan Sofea amat tepat, mama tersayang yang menelefonnya.  Mama tersayang mengucapkan selamat hari lahir yang ke-20 kepada Sofea.  Tidak lupa Baizura mengingatkan Sofea bahawa hadiahnya telah  diterima.  Sofea terkekeh-kekeh ketawa.  Masakan Sofea lupa kepada hadiah berharga dari mamanya itu.  Namun Sofea terpaksa berbohong dengan mamanya mengatakan dirinya sedang makan di kedai makan  kolej bersama Bella.
“Mengapa bohong dengan mama?”   
“Mama tak suka Fea keluar dengan lelaki, nanti dia salah sangka pula,”agak panjang juga penjelasan Sofea. 
“Mengapa?”Amirul belum puas menyoal siasat Sofea. 
“Fea tak penah keluar dengan lelaki, cuma hari tu…”Sofea terhenti dari meneruskan kata-kata. 
“Dinner dengan Mr. Iqram Haris?” Amirul menyambung ayat Sofea yang terhenti. Sofea senyum dalam keterpaksaan.
Amirul menghulurkan kunci kereta kepada Sofea. 
“Terima kasih kerana sudi dinner dengan abang dan bagi abang bawa kereta Fea,” suara Amirul mesra seperti selalu. 
“Sama-sama kasih abang senior yang baik,” Sofea bergurau dengan Amirul seperti biasa. 
“Fea naik dulu.”
Sofea bergerak pantas.  Tujuannya cuma satu, mahu menelefon Iqram. 
“Fea, nanti dulu!” Amirul bersuara kuat.  Sofea menghentikan langkahnya, dan  menoleh ke arah Amirul. 
“Selamat hari lahir, maaf tak ada hadiah!” 
“Yang belanja makan tadi apa?  Ini apa?”
Sofea menunjukkan bungkusan ‘chicken chop’ untuk Bella ditangan.  Amirul tersenyum manis kepada Sofea.  Sofea membalasnya dan berlalu ke block asrama mahasiswi.
Sofea menghulurkan bungkusan ‘chicken chop’ kepada Bella. 
“La, ingatkan tadi bila dinner dengan buah hati ke-2, lupa roommate,” Bella berjenaka tanpa mengucapkan terima kasih kepada Sofea. 
“Iqram ada telefon?” Bella menyegarkan ingatan Sofea terhadap Iqram. 
“Ada, masa dalam kereta tadi.  Aku cakap aku keluar dengan Abang Amirul.”  
“Kau ni biar betul?”   
“Dah dia call depan Abang Amirul, aku nak cakap apa?  Lagipun aku bukan ada apa-apa dengan Abang Amirul tu.”
Sofea berharap keterangannya mampu menghuraikan kekeliruan Bella tentang dirinya, Iqram dan  Amirul. 
“Cik Tipah oi, dia tak tau kau tak ada apa-apa dengan Mr. Aiman Amirul.  Ada faham?” Bella tetap meneruskan hujahnya. 
“Alamak.  Betul juga!  Mesti Iqram bengang gila kat aku ni.”
Sofea mengerutkan wajahnya, lalu berjalan ke arah pintu.
“Pergi mana pulak tu?” 
“Toilet lah,” Sofea membohongi Bella. 
Sofea berharap agar Bela tidak menyedari telefon bimbitnya yang berada di poket seluar.  Sofea menekan nombor telefon Iqram perlahan.  Jam menunjukkan pukul 10.30 malam.  Sofea amat yakin Iqram masih belum tidur.  Talian bersambut, namun tiada suara. 
“Hello, Iqram nak jumpa Fea ke?” Sofea bertanya dengan nada gementar. 
“Tak!” Iqram memutuskan talian.  Sofea tergamam dengan perbuatan Iqram.
Malam makin larut.  Bella telah lena di katil.  Sofea menekan telefon bimbitnya. Hampir pukul 12.00 tengah malam.  Tepat pukul 12.00 malam pasti semua insan yang  menyambut hari lahir akan menerima panggilan ucapan hari lahir dari orang tersayang.  Itulah yang selalu Sofea lihat di dalam filem-filem cinta dan yang dibaca di novel-novel cinta. 
Aku macamana pulak?  Siapalah yang akan call nanti?  Eh, ada ke?
Satu WhatsApp tiba.  Sofea mencapainya dengan ghairah. 
“Yes!” Sofea ketawa. 
Menyedari perbuatannya mungkin akan menyebabkan Bella terjaga, Sofea menekup mulut.  Ramalan Sofea malam itu ternyata tepat.
“Putera tunggu di lobi, plz turun kejap.”
 Sofea senyum lebar.  Sofea membuka pintu bilik dengan penuh berhati-hati, tidak mahu Bella yang sedang lena diulit intan menyedari akan dirinya yang keluar dari bilik sedangkan malam semakin larut.
Sekuntum mawar merah di tangan Iqram.  Sofea melihatnya dengan jelas dalam kesamaran lampu lobi.  Di dalam hati Sofea tertanya-tanya, adakah Iqram akan bertanya perihal dirinya yang  makan malam dengan Amirul sebentar tadi. 
“Untuk puteri!” Iqram menghulurkan mawar merah itu kepada Sofea.  Sofea mengambilnya lantas mencium mesra, menghidu harum bunga mawar yang tiada baunya itu.  Sudah pasti penjual bunga meletakkkan ubat terlalu banyak, menjadikan bunga ros  tahan lama, namun harumannya telah tiada. 
“Tak wangi!” Sofea menarik perhatian Iqram. 
“Tapi putera yang memberi dan puteri yang menerimanya wangi kan?”
Gurauan Iqram benar-benar membuat Sofea ketawa. 
“Terima kasih, Fea naik dulu, dah lewat sangat ni.”
“Nanti dulu!”
Iqram lantas mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya.  Kotak kecil diserahkan kepada Sofea. 
“Apa ni?” Sofea bertanya dengan nada gembira. 
“Boleh buka sekarang?”
Sofea menunjukkan keghairahannya menerima hadiah Iqram. 
“Bukan ada orang tu nak naik cepat tadi?” 
“Naiklah, dah lewat ni, selamat hari lahir,” kata-kata Iqram umpama hembusan angin petang yang begitu mengasyikkan di telinga Sofea. 
“Ok, Fea naik dulu.  Selamat malam putera busuk!”
Sofea bergerak pantas, tidak menghiraukan Iqram yang ketawa berdekah-dekah seorang diri.
Sofea menutup pintu bilik dengan perlahan.  Ternyata Bella masih nyenyak tidur tanpa menyedari Sofea yang keluar dan masuk bilik.  Dengan rakus Sofea  membuka kotak pemberian Iqram.  Seutas rantai tangan silver berada di dalam kotak tersebut. 
Suka!  Suka! 
Sofea lantas memakai  rantai tangan tersebut,  membaringkan badan di katil dan meletakkan tangan di dahi.  Aksi Sofea seperti Si Angau merindu orang yang dipujanya di dalam filem cinta.  Sofea mencari telefon bimbitnya.  Terdapat satu panggilan yang tidak dijawab.  Amirul menelefonnya.    
Aduh!  Makin jelas perasaan Abang Amirul pada aku!”
Sofea melihat kedua-dua lelaki di dalam hidupnya memberi mawar merah, mengucapkan selamat hari lahir, dan mengambil berat kepadanya.  Tiba-tiba datang perasaan aneh di hati Sofea, perasaan mempersoalkan mengapakah Amirul bukan Iqram Haris.  Sofea cukup mengagumi tutur kata dan bicara Amirul.  Namun hatinya terlalu menggilai Iqram Haris.  Tamakkah Sofea sekiranya  menyayangi keduanya?  Sofea sedar pemilihan harus dibuat, cuma cepat atau lambat akan menentukannya.  Sofea berfikir lagi.  Jika dirinya mengikut hati dengan memilih Iqram, kenyataan pasti harus diterima, kehilangan seorang yang dianggap abang itu.  Masakan Amirul masih seperti hari ini melayan dirinya apabila ternyata Sofea memilih Iqram.  Adalah menyeksakan apabila melihat dirinya dengan Iqram.  Sofea pasti Amirul akan menjauhi dirinya.  Jika Sofea melawan hatinya dengan memilih Amirul kesayangannya, mampukah hatinya mencintai Amirul, sekaligus menguburkan ingatannya terhadap Iqram?  Mampukah?
            ****
Berita Sofea keluar makan malam dengan Amirul menjadi bahan cerita yang penuh sensasi di Kolej Janda.  Apa yang lebih membuat Sofea terkelu dan malu, cerita mengenai pertemuan lima minit dirinya dan Iqram Haris juga menjadi sebutan.  Sofea tidak tahu apakah reaksi Iqram  di dalam hal ini.  Sofea juga pening memikirkan  Amirul.  Bagaimanakah agaknya Amirul menghadapi keadaan itu. 
“Tuk!  Tuk!  Tuk!” 
Cermin kereta Sofea diketuk.  Sofea memandang ke arah cermin kereta.  Farhana tersenyum sinis di luar kereta.  Sofea lantas mematikan enjin kereta dan keluar dari kereta. 
“Boleh kita bercakap kejap?” 
Sofea mengangguk perlahan, seperti seorang pesalah yang menantikan hukuman. 
“Siapa yang kau nak sebenarnya?” Soalan Farhana mengejutkan Sofea yang asyik bermain dengan perasaan sendiri. 
“Amirul?  Iqram?  Kau tahu aku gilakan  Iqram.  Kami pernah keluar sama sebelum kau datang.  Rosak semuanya.” Pertanyaan dan keterangan Farhana yang panjang lebar membuat Sofea semakin serabut.  Mana mungkin Sofea mampu menjawab pertanyaan Farhana, sedangkan dirinya sendiri tidak tahu akan jawapan yang sebenar. 
“Jawablah!” Farhana seakan mendesak Sofea yang mendiamkan diri.
“Fea, sorry lambat!”
Amirul tiba entah dari mana.  Amirul senyum meleret sambil tangannya dihulur kepada Sofea meminta sesuatu.  Sofea lantas menyerahkan kunci keretanya kepada Amirul. 
“Jom, kita dah lambat ni.  Farhana, sorry, kami nak ke Mid Valley!”
Kata-kata Amirul bagaikan satu paksaan yang menyelamatkan keadaan.  Sofea memasuki kereta dengan wajah penuh tanda tanya.  Namun, jauh di sudut hatinya masih bersyukur kerana terselamat dari Farhana.  Kereta bergerak perlahan, meninggalkan perkarangan Kolej Janda.  Sofea memandang Amirul yang tenang memandu.  Amirul yang pasti perasan dengan perbuatan Sofea tidak mengendahkan pandangan Sofea itu. 
“Abang!” Sofea bersuara menarik perhatian Amirul.  Amirul menoleh kepada Sofea, lantas tersenyum. 
“Abang marah Fea ke?”
“Tak!”
Amirul memberhentikan kereta di kawasan tasik Amcorp Mall.  Lelaki tersebut melangkah turun tanpa mempedulikan Sofea di dalam kereta.  Sofea turun dari kereta dan mengekorinya yang menuju ke sebuah kerusi. 
“Fea dah solat Asar?”
Tiba-tiba Amirul bertanya mengejutkan Sofea. 
“Dah di fakulti tadi.”
Sofea lantas berbohong sedangkan dirinya bercuti umum untuk seminggu dalam beribadat. 
“Kalau orang nampak kita di sini, mesti lagi kecoh,” Sofea bersuara menagih reaksi Amirul. 
“Sofea takut Mr. Iqram tau?” Amirul membalas kata-kata Sofea. 
“Abanggg,..” kata-kata Sofea terputus di situ.  Sofea pun tidak tahu mengapa dirinya memanggil Amirul dengan nada memujuk begitu. 
Aku dah saying lelaki persis Aaron Aziz versi kampung ini ke?  Apa aku merapu ni! 
“Fea nak tanya sesuatu kat abang,” Sofea memberanikan diri meneruskan bicara.  “Silakan Fea sayang.” Amirul seakan-akan berjenaka kepada Sofea. 
“Abang janganlah main-main.  Abang suka Fea ke?” Entah dari mana Sofea mendapat kekuatan untuk bertanya begitu.  Amirul bangun, bergerak semakin dekat ke tasik, meninggalkan Sofea agak jauh. 
“Abang cuba menghalang perasaan ini, tetapi gagal.” Jawapan yang telah diduga oleh Sofea itu jelas kedengaran walaupun Amirul berada agak jauh dari dirinya.  Sofea seperti mendengar dialog Slot Samarinda di TV3 apabila Amirul berkata begitu.
Sofea tetap kaku berdiri tanpa sebarang tindak balas terhadap jawapan  Amirul.  Amirul bergerak perlahan menuju ke arah Sofea. 
“Fea sukakan Iqram bukan?” Pertanyaan Amirul sesuatu yang memilukan bagi Sofea, melukakan hati Amirul sebenarnya. 
“Kita balik, dah 6.30 petang ni.”
Amirul mencapai tangan Sofea.  Sofea yang terkejut dengan tindakan Amirul menepis kasar. 
“Maaf  Fea!”
Amirul kembali mendamaikan suasana. 
“Mengapa abang pegang tangan Fea tadi?” Sofea bertanya kasar setelah Amirul mula memandu. 
“Tak sengaja Fea, abang minta maaf.  Abang janji tak buat lagi.” Entah mengapa kata-kata Amirul seolah-olah penuh keikhlasan, membuat Sofea membuang perasaan  marahnya kepada Amirul sebentar tadi.
Telefon bimbit Sofea berlagu riang.  Sofea teraba-raba mencarinya di dalam beg.  Nama Iqram tertera di skrin telefon.  Sofea resah dan membiarkannya sahaja. 
“Fea laparlah!” Sofea bersuara manja cuba mengalihkan perhatian Amirul terhadap telefon bimbitnya yang berlagu. 
“Jawablah call tu.  Nanti hilang lapar,”Amirul menyindir Sofea mesra.  Sofea pantas mencubit lengan Amirul.  Tiba-tiba Amirul memegang tangan Sofea yang mencubitnya.  Hati Sofea berdebar kencang, lantas menarik tangannya. 
“Terima kasih kerana menyelamatkan Fea dari Farhana tadi.  Keluar dengan abang ni, siapa pula serang Fea?” Sofea bertanya nakal. 
“Tunggulah kakak tudung labuh Fakulti Akademi Pengajian Islam serang Fea,” Amirul menjawab pertanyaan nakal Sofea dengan senyuman.  Makin kerap Sofea bersama Amirul, semakin timbul perasaan sayang di hati Sofea. 
Aku suka Abang Amirul macam aku suka Iqram ke ni?  Aduh!
Hampir pukul 7.00 petang kereta yang dipandu oleh Amirul tiba di kolej. 
“Nak dinner dengan abang malam ni?”
Amirul menghulurkan kunci kereta kepada Sofea. 
“Tak nak,” jawab Sofea selamba. 
“Fea naik dulu, jangan lupa wasap Fea tau!”
Sofea bergerak perlahan meninggalkan  Amirul.  Kedengaran tawa kecil Amirul mengiringi perpisahan mereka senja itu.  Sepanjang malam Sofea lalui dengan penuh kegelisahan, namun Sofea merasa ada kegembiraan di sudut hatinya.  Sofea tidak tahu mengapa dirinya merasa begitu.  Sepatutnya Sofea berserabut memikirkan Amirul dan Iqram, tetapi kini ada unsur-unsur bahagia pula sejak mula didekati oleh  Amirul.   Sofea membaca WhatsApp yang baru tiba.
Abang nak tahu perasaan Fea..”
 Sofea membiarkan WhatsApp dari Amirul sayu tanpa balasan.  Tiba-tiba Sofea mendapat idea.  Telefon bimbit segera  dicapainya.  WhatsApp dari Amirul dibalas.   
“Perasaan Fea merindui mama,…hehe.”
Telefon bimbit Sofea berlagu nyaring, mengejutkan Sofea yang mengingati Amirul. 
“Hello, Fea dah tidur?” Iqram di talian. 
“Belum, ada apa call?” Sengaja Sofea menduga Iqram. 
“Check tuan puteri, takut masih dinner dengan abang kesayangan.” Penuh dengan sindiran bermakna kata-kata Iqram.  Namun tiada nada kemarahan yang dikesan oleh Sofea. 
Ai, dia tak cemburu aku keluar dengan Abang Amirul?  Pelik mamat ni!” 
“Tak marah Fea dinner dengan Abang Amirul?” Sofea bertanya nakal menarik perhatian Iqram. 
“Marah gak, belum tahap kritikal lagi.” Nada suara Iqram cukup bersahaja. 
“If Fea jatuh cinta dengan dia?” Sofea semakin agresif bertanya. 
“Punah lah impian putera.” Nada suara Iqram tetap bersahaja, membuat Sofea merasa tawar hati.  Tiada yang menarik dengan panggilan Iqram sebentar tadi.  Sofea gagal menduga dengan tepat ketulusan hati Iqram terhadap dirinya.  Semuanya kini semakin kelam.  Tiba-tiba timbul keinginan Sofea untuk mengacau Amirul.  Segera Sofea menelefon abang kesayangannya itu. 
“Assalamualaikum abang.” 
“Walaikumussalam, rindu abang ekh?” Amirul semakin berani bermain dengan kata-kata. 
“If the answer yes macamana?” Sofea juga semakin berani menduga sejauh mana perasaan Amirul terhadap dirinya. 
“Bolehlah kita tunang,” kata-kata Amirul begitu menakutkan Sofea. 
“Hahaha…” Sofea cuma ketawa kecil menutupi ketakutannya terhadap kata-kata Amirul.
****
Dua minggu lagi peperiksaan semester pertama bermula, Sofea banyak menghabiskan masa di perpustakaan utama bersama Bella, Sarah dan Tini.  Cerita sensasinya bersama dua orang abang popular di Kolej Khursiah juga seakan reda.  Mungkin masing-masing sibuk belajar bagi menghadapi peperiksaan, tidak mempunyai masa untuk bergosip.  Lebih-lebih lagi bergosip tentang Sofea.  Sofea juga lebih gemar tidak dikenali dari menjadi perhatian sebenarnya.  Apa yang ketara dua orang jejaka di hati Sofea juga sibuk bagi menghadapi peperiksaan mereka.  Hanya sekali sekala WhatsApp dari mereka tiba.  WhatsApp berbau rindu kerana tidak dapat berjumpa dengan Sofea.  Betulkah keduanya menyayangi Sofea?  Sofea amat pasti hanya Allah yang maha mengetahui kebenarannya.
 
Hari yang ditunggu-tunggu oleh Sofea akhirnya tiba juga.  Hari terakhir peperiksaan semester pertama.  Awal-awal lagi Bella telah merancang akan ke Suria KLCC selepas habis peperiksaan petang tersebut.  Sudah pasti Sofea akan menjadi pemandunya.  Sofea dan Bella berjalan menuruni bukit dari Bangunan Peperiksaan dengan tawa riang.  Sofea pasti mampu memperolehi A+ bagi kertas ‘Thinking And Communication Skills’ oleh Dr.Nor Hisham.  Ternyata dua minggu menumpukan perhatian ketika mengulangkaji tidak sia-sia.  Sofea tersenyum sendirian. 
“Perasan akan dapat A+ paper Dr. Hisham lah tu.”
Bella mengejutkan lamunan Sofea. 
“Ye lah, dengki ke?” 
“Tak ada maknanya dengki, aku pun akan dapat A+.”
Bella meriuhkan suasana sambil menarik tangan Sofea menyeberangi jalan menuju kereta. 
“Kita balik solat Asar dulu, lepas tu, kita pergi KLCC ya?”
Bella mengulangi rancangan mereka berdua.  Sofea mengangguk.
Kereta yang dipandu oleh Sofea memasuki perkarangan Kolej Janda dengan perlahan.  Dari jauh Sofea melihat Iqram berdiri di tepi keretanya, gelisah menanti seseorang.  Sofea tersenyum penuh makna, sudah pasti Iqram menanti puteri, iaitu dirinya. 
“Ha, jangan tukar plan plak!”
Bella seakan dapat membaca isi hati Sofea yang berbunga-bunga melihat Iqram.  Sofea keluar dari kereta, diikuti oleh Bella.  Iqram bergerak menuju ke arah Sofea.  Bella yang memahami, bergerak ke arah block perempuan sambil tersenyum-senyum. 
“Rindu!” Keluar sepatah perkataan di bibir Iqram. 
“Bila balik ni?” 
“Esok kut!” 
“Iqram ada apa dengan Farhana?” Sofea bertanya tiba-tiba. 
Soalan cepu emas tersebut ternyata tidak mengejutkan Iqram. 
“Tak ada apa-apa, dia dah faham kut!”
“Amirul lebih mengganggu kita!”
Kata-kata Iqram ternyata tidak disenangi oleh Sofea.  Wajah Sofea berubah. 
“Cuba Fea cakap betul-betul, Fea suka Amirul?” Iqram tiba-tiba menyesakkan dada Sofea. 
“Kami tak ada apa-apalah!” 
“Boleh Iqram percaya?” Iqram desak Sofea. 
“If tak percaya, tanya Abang Amirul.”
Tiba-tiba Sofea mendapat idea bernas untuk melepaskan diri dari soalan Iqram.  Iqram mengeluarkan telefon bimbitnya. 
“Mirul, turun kejap!”
Sofea seperti tidak percaya apabila Iqram berbuat demikian, menyuruh  Amirul turun.  Sofea terkedu dengan perbuatan Iqram.  Sikapnya yang kurang mengambil pusing hubungannya dengan Amirul ternyata tidak benar.  Iqram ternyata terlalu mengambil berat tentang hal tersebut.  Sofea tidak dapat membayangkan drama yang akan berlaku selanjutnya. 
“Ada apa ni?”
Amirul tetap mempamerkan wajah tenang walaupun Sofea pasti bagaimana gelora hatinya ketika itu. 
“Fea kena pilih antara kita,”Iqram bersuara tenang menjawab soalan Amirul. 
“Perlukah mendesaknya ketika ini?”Amirul menyoal Iqram kembali.
Sofea merasa begitu terharu dengan kenyataan Amirul.  Sofea kaku tidak bersuara, membiarkan dua orang lelaki kesayangannya berbicara. 
“Fea jawab!”Suara Iqram mengejutkan Sofea. 
Sofea memandang Iqram memohon simpati.  Iqram mencapai tangan Sofea.  Sofea  terkejut dan cuba melepaskan genggaman tangan Iqram.  Tanpa diduga Amirul menolak Iqram dengan kasar.  Iqram jatuh terduduk. 
“Abang!”
Sofea seakan tidak bersetuju dengan tindakan Amirul dan membantu Iqram untuk bangun.  Amirul berlalu pergi.
Akibat drama petang itu Sofea tiba di bilik hampir pukul 6.30 petang.  Bella menyambut Sofea di pintu bilik dengan wajah mencuka.  Setelah Sofea menceritakan drama yang berlaku, Bella tersenyum semula.  Sofea memujuknya agar pulang ke kampung lusa, kerana esok mereka boleh meneruskan rancangan mereka berdua ke Suria KLCC.  Bella bersetuju.  Sofea merasakan malam itu dirinya mahu berehat kerana penat dengan apa yang telah berlaku petang itu. 
“Mungkin betul kata Iqram, keputusan kena dibuat.” Tiba-tiba Bella bersuara menyatakan pandangannya menyokong tindakan Iqram. 
“Masalahnya aku tak tau siapa yang aku nak sekarang!” Sofea membalas kenyataan Bella dengan begitu berterus-terang. 
“Kalau aku, aku pilih Mr.Iqram lah.  Haha….” Bella mengusik Sofea sambil ketawa riang.  Sofea tersenyum membayangkan Aiman Amirul dan Iqram Haris.  Jika  dibandingkan di antara Iqram Haris Dato’ Iskandar Hisham dengan Aiman Amirul Bin Hamzah ternyata dua individu tersebut  amat berbeza.  Dari sudut watak, Iqram ternyata lebih tampan dan bergaya berbanding Amirul.  Perwatakan?  Iqram agak mendesak, namun agak memahami.  Amirul lembut, penyayang, juga agak mendesak. 
Ah, bukankah keduanya lelaki, baran itu sifat utama! Hati Sofea membuat konklusi. Sofea membuat keputusan keduanya tiada kekurangan dan kelebihan di matanya.  Seri.  “Susah sangat, kau suruh saja Pn. Baizura buat pilihan!” Kenyataan Bella membuat Sofea ketawa. 
“Ya lah tu.”
Sofea mencapai tuala dan bergerak menuju ke bilik air meninggalkan Bella  dengan deraian ketawa.
Sofea menanggalkan telekung, lantas menggantungnya semula di dalam almari.  Jam menunjukkan pukul 7.45 malam.  Perut Sofea mengeluarkan bunyi.  Akibat drama petang itu, rancangan Sofea dan Bella yang mahu makan di Suria KLCC tergendala.  Hendak ke dewan makan juga sudah lewat. 
Aduhai, laparnya! 
“Laparlah, Cik Bedah!” Sofea berkata manja kepada Bella. 
“Call lah mana-mana abang kesayangan kau tu!” 
“Tak payahlah, kita pergi berdua saja.”
Sofea yang masih trauma dengan kejadian petang itu tidak mahu mengingati Iqram dan Amirul buat sementara waktu.  Dalam waktu-waktu begini ingatan terhadap mama tersayang muncul di benak Sofea.  Baru Sofea sedar, mama tersayang belum diberitahu berkenaan kepulangannya yang ditunda.  Dengan pantas Sofea mencapai telefon bimbitnya di atas meja.
            ****
Sofea dan Bella tiba di kawasan gera-gerai makan Pantai Dalam kira-kira pukul 8.40 malam.  Sofea sengaja memilih gerai di mana dirinya dan Amirul menikmati ‘chicken chop’ dahulu.  Bella juga bersetuju setelah mengingati keenakan ‘chiken chop’yang dibawa pulang oleh Sofea kepadanya dahulu.  Baru sahaja duduk di kerusi, telefon bimbit di tangan Sofea berlagu riang.  Iqram menghubungi Sofea. 
“Iqram nak datang joint sama dinner.”
Sofea memberitahu Bella akan kedatangan Iqram setelah meletakkan telefon di atas meja. Bella tidak menjawab, sebaliknya hanya senyum.
“Tu, buah hati kau dah sampai.”
Bella memuncungkan mulutnya ke arah Vios Hitam yang bergerak perlahan di kawasan gerai mencari tempat letak kereta.  Lima minit berlalu, baru Iqram muncul. 
“Sorry, tak ada parkir dekat.”
Iqram menarik kerusi di hadapan Sofea. 
“Bella, sorry ya ganggu.” Iqram menegur Bella yang tersenyum-senyum seperti kerang busuk.  Seingat Sofea, sewaktu Minggu Silaturahim, Bella amat teruja dengan ketampanan Iqram.  Apabila jelas Iqram mendekati dirinya, Bella masih menggilainya, namun dengan cara yang berbeza.  Merelakannya untuk Sofea. 
“Fea balik dengan Iqram ya?” Iqram bersuara sambil tangannya menerima wang baki dari pekeja gerai makan.  Sofea memandang Bella.  Bella mengangkat kedua-dua belah bahunya.  Dengan malas Sofea menyerahkan kunci keretanya kepada Bella.  Iqram tersenyum, mungkin gembira apabila niatnya hendak berdua-duaan dengan Sofea terlaksana.  Jam menunjukkan pukul 10.15 malam. 
Alamak, aku patutnya dah di asrama ni.  Bukan merayap macam ni! 
“Mengapa?  Dah lewat ekh?”
Iqram dapat menduga apa yang bergolak di hati Sofea. 
“Kita pusing-pusing sampai Kota Raya, lepas tu balik,” Iqram memberi penjelasan kepada Sofea. 
“Jangan lebih pukul 11.00 malam.”
Sofea seakan merayu Iqram.  Bayangan wajah mama tersayang muncul di depan mata Sofea.  Wajah Amirul juga muncul. 
Mesti lelaki itu terluka dengan apa yang berlaku ni.  Ya, berdua-duaan dengan Iqram lewat malam macam ni! 
“Okey, kita terus balik, nak duduk sebelah Fea saja,” Iqram mengejutkan lamunan Sofea.  Sofea menarik nafas lega.  Doanya agar cepat sampai di kolej dan tidak menambah luka di hati Amirul, jika lelaki itu melihatnya bersama dengan Iqram.
Tiba di bilik, Sofea melihat Bella mengemas pakaiannya dan memasukkannya ke dalam beg.  Ternyata Bella bersiap awal.  Mengikut rancangan Bella, seharian mahu dihabiskan di Suria KLCC pada esok hari sebelum pulang ke Melaka lusa. 
Alahai, apalah yang dicarinya di Suria KLCC seharian esok? 
Sofea dapat membayangkan kepenatannya menemani Bella membeli-belah esok.  Sungguh mengerikan. 
Jam menunjukkan angka 1.00 pagi.  Sofea memandang ke arah Bella dalam kesamaran lampu di atas meja.  Nyenyak sekali Bella tidur.  Ternyata Bella tidak runsing seperti dirinya yang memikirkan masalah lelaki.  Sofea yang dengan megahnya dahulu tidak menggemari kaum lelaki, kini terperangkap dengan dua orang lelaki sekaligus.  Apalah nasib badan.  Peristiwa pertemuan di antara Amirul dan Iqram petang tadi seperti terjelma kembali di depan mata Sofea.  Tidak sengaja Amirul menyebabkan Iqram terjatuh.  Mesti Amirul menyangka dirinya memilih Iqram, setelah Sofea mendapatkan Iqram yang jatuh.
Sofea membuka pintu bilik dengan perlahan.  Setelah agak jauh dari bilik, Sofea menghubungi Amirul.  Sofea tidak dapat menepis perasaan sayangnya kepada Amirul. 
“Fea rindukan abang.  Fea minta maaf atas apa yang berlaku tadi.” Tanpa memberikan  salam Sofea mengeluarkan kenyataan romantiknya kepada Amirul.  Setelah enam bulan di bumi Universiti Malaya yang bertuah itu, Zara Sofea Hafizuddin jatuh cinta, dan mengakui cinta tersebut.  Sofea tidak dapat membayangkan apa yang berlaku apabila mama tersayang mengetahui hakikat itu. 
Seperti juga mama yang pernah gagal menepis amukan gelora cinta di kampus, begitulah kini anakmu! Hati Sofea berbisik nakal.
“Abang lebih dari itu!”Jawapan Amirul umpama hembusan redup angin senja di pantai yang mendamaikan seluruh jiwa Sofea. 
Sofea benar-benar diamuk gelombang cinta.
****
Mama kesayangan Zara Sofea, Baizura mengimbau kenangan cinta lamanya.
“Is tak mampu melukakan hati Ira,” kata-kata Iskandar umpama duri tajam yang merobek-robek hati Baizura. 
“Is muncul setelah 20 tahun untuk berkata ini?” Baizura kembali memandang lelaki yang dicintainya selama lebih 20 tahun. Ya, sejak berada di zaman persekolahan. 
“Kita masih boleh menjadi kawan baik selamanya, if itu takdir kita.” Baizura dengan rela meredakan cintanya terhadap Iskandar. 
“Gurauan kita dulu tentang anak-anak kita bagaimana?” Terukir senyuman di wajah Iskandar yang suram. 
“If itu jodoh mereka, Zura terima.” Baizura kembali mengukir senyuman, walaupun pahit. 
“Soalan terakhir Zura, adakah perasaan Is masih sama 20 tahun nanti?”Baizura bertanya lemah. 
“Ya, sayang.”Iskandar menjawab dengan begitu pasti.
Deringan telefon di telefon bimbit mematikan ingatan Baizura terhadap kenangannya bersama Iskandar.  Baizura tersenyum, puteri kesayangannya akan tiba tidak lama lagi.  Baizura kembali mengingati panggilan dari Iskandar yang diterimanya semalam.  Setelah 17 tahun, ternyata Iskandar tidak lupa kepada janji.  Benar-benar seperti slot filem Hindi, ibu bapa mahu menyambung cinta yang tidak kesampaian dengan menyatukan anak masing-masing. 
Perlukah memenuhi jemputan Iskandar ke Ipoh minggu depan?  Perlukah? Baizura menyoal hatinya sendiri. 
Kenangan bersama Iskandar datang lagi, 40 tahun dahulu di pintu masuk SMK Khir Johari, Sungai Sumun, Perak.  Pengawas kurus tinggi itu pasti akan di situ, mencari setiap inci salah pelajar-pelajar yang melalui pintu masuk sekolah.  Siapalah Baizura dibandingkan dengan pengawas itu yang akhirnya menjadi ketua pengawas sekolah.  Perbezaan tersebut menjadi semakin keras apabila Baizura memburu cita-cita di Universiti Malaya dan Iskandar terus melebarkan sayapnya yang lebar di bumi Universiti Sains Malaysia.  Air mata Baizura gugur juga akhirnya.
****
Pengalaman memandu seorang diri untuk jarak yang jauh amat memenatkan Sofea.  Masih terdengar-dengar nada suara mama tersayang yang penuh kebimbangan mengiringi perjalanan Sofea pagi itu.  Setelah 6 jam memandu, Sofea berjaya  tiba di bandar kelahirannya.  Sofea begitu merindui pelukan mamanya.  Ingin rasanya Sofea memeluk mamanya erat-erat untuk masa yang lama.  Berada dalam dakapan mama tersayang, membuatkan Sofea merasa selamat dan tenang.  Lagak seperti tetamu, Sofea keluar dari perut kereta dan membunyikan loceng.  Baizura keluar membawa kunci membuka pintu pagar.  Pagar dibuka, Sofea memeluk Baizura erat. 
“Penat?” Soalan pendek dari Baizura yang ringkas tapi penuh makna. 
“Lapar!” Sofea menjawab soalan mamanya dengan penuh makna juga.  Tengahari itu walaupun agak lewat Sofea menjamu selera dengan masakan mamanya.  Sudah tentu dengan gulai masak lemak cili api kegemaran dua beranak itu.  Petang itu Sofea menghabiskan masa terlena di dalam bilik.  Baizura yang memahami keadaan Sofea, membiarkan anak gadisnya itu lena tanpa sebarang gangguan.
Pasir putih di pantai yang indah dan hembusan angin lembut yang bertiup, begitu menyamankan sekali.  Genggaman tangan oleh Amirul semakin erat. 
“Sofea!!”
Satu suara memanggil Sofea kuat.  Sofea segera menoleh.  Baizura menerpa dengan pantas merentap tangan Sofea.  Amirul  terkejut tidak dapat berbuat apa-apa. 
“Mama, Fea sayang dia,…mama, mama….mama.”  
“Fea, bangun sayang.”
Baizura mengejutkan Sofea. 
“Ha, itulah, tidur petang.  Dah!  Bangun, mandi kemudian solat Asar,” Baizura memberi arahan.  Sofea tersenyum tawar memandang Baizura.
Adakah benar mama akan menghalang cintaku terhadap Amirul?
Sofea memerhatikan Baizura yang keluar dari biliknya.  Gadis itu melangkah malas menarik tuala yang tergantung dan bergerak ke bilik air.  Selesai solat Asar, Sofea baru teringat sesuatu.  Telefon bimbit.  Setelah sampai ke rumah Sofea langsung tidak mempedulikannya.  Sofea meraba beg galasnya.  Sofea tersenyum penuh kegembiraan, terdapat dua WhatsApp tertera di telefon bimbitnya.  Yang pertama, dari Iqram, dan yang kedua tentunya dari Amirul. 
Sayang Abang ni  tak rindu Abang?”
 WhatsApp dari Amirul dibaca oleh Sofea berulang kali.  Demi Tuhan, Sofea sudah menyayangi lelaki penuh kesederhanaan itu.  Sofea membiarkan WhatsApp Iqram sepi tanpa balasan.  Sofea pasti Iqram akan tahu akhirnya keputusan yang dibuatnya.  Keinginan Sofea untuk mendengar suara Amirul tiba-tiba mengusik kalbu. 
“Abang!” Seperti biasa tiada salam dihulurkan oleh Sofea di talian. 
“Fea rindu,” Sofea berkata manja. 
“Assalamualaikum, rindu disambut sayang,”Amirul mengusik Sofea penuh manja. 
“Sayang Fea tak?” Sofea terus-terusan menyeksa kerinduan Amirul yang berjauhan dengannya. 
“Sesetengah perkara tidak perlu diungkapkan dengan kata-kata,” lembut mesra jawapan Amirul.
Setelah mendengar suara Amirul, Sofea tersenyum sendirian.  Sofea bergerak ke tingkap lalu mengikat langsir tingkap ke tepi.  Terlihat  oleh Sofea, mamanya berada di tepi rumah.  Sofea tersenyum sendirian melihat keasyikan mama tersayang membelai bunga-bunga rosnya.  Dengan riang Sofea berlari keluar rumah menuruti mamanya di taman ros. 
“Mama, Fea nak ni!”
Sofea memetik dengan pantas sekuntum ros kuning. 
“Apa maksud ros kuning, mama?” Sofea menyoal Baizura sambil mencium bunga ros tersebut.  Baizura yang sedang tekun membuang rumput-rumput nakal di dalam pasu bunga memandang wajah anak kesayangannya. 
“Untuk persahabatan rasanya,” Baizura menjawab dengan tidak pasti. 
“Ala, kalau untuk cinta?” Sofea bertanya manja.   Baizura mendongak memandang Sofea. 
“Fea dah ada kekasih?” Baizura bertanya dengan nada agak cemas.  Sofea melihat air muka mamanya berubah. 
“Ada, mama lah.” Sofea belum bersedia untuk memberi kejutan kepada mamanya. 
“Nakal!”
Baizura mencubit pipi Sofea. 
“Hari tu Fea jogging di tasik, tengok fakulti engineering, ingat mama.  Dulu kekasih mama budak engineering ya?” Entah dari mana timbul idea di hati Sofea untuk mencungkil rahsia cinta mamanya. 
“Eh, ke situ pula.”
“Ala, dulu mama asyik cakap pasal Fakulti engineering, baik mama mengaku,” Sofea mendesak manja mama kesayangannya.  Sofea ketawa terkekeh-kekeh, lalu memandang wajah Sofea. 
“Cinta kampus, second year, main-main saja.” 
“Nama?” 
“Azuddin!”
“Your true love?”
Sofea terus menanti penjelasan Baizura. 
“No!” 
“So, siapa true love mama?” Sofea tidak berputus asa mahu mencungkil rahsia cinta mamanya. 
“My first love my dear.” Baizura tersenyum manis menjawab pertanyaan Sofea. 
“Mama tak pernah cerita pun, cinta tu kat UM?” Sofea semakin teruja mendengar penjelasan mamanya. 
“Tak, di sekolah,” jawapan Baizura benar-benar mengejutkan Sofea. 
Sofea masih ingat, selama Sofea di sekolah menengah, mama mengawal Sofea begitu ketat.  Mama  akan memastikan dirinya tidak terlibat dengan cinta monyet di sekolah.  Kini baru Sofea tahu niat mamanya itu.  Sudah pasti mama tidak mahu dirinya mengulangi kesilapan yang sama.  Bukankah bercinta sewaktu persekolahan menjejaskan tumpuan pelajaran.  Tidak seperti di universiti, sambil menyelam boleh minum air. 
“Ha, kenapa diam?” Baizura mengejutkan lamunan Sofea. 
“Nama?” Sofea kembali memberi tumpuan kepada cinta pertama mamanya itu. 
“Iskandar Hisham!” 
“Mama masih cintakannya?”
“Cinta tak akan mati sayang mama oi,” Baizura memberi penjelasan cukup padu dan cukup untuk Sofea mengerti.  Ternyata tekaan Sofea tentang cinta agung mamanya selama ini satu kesilapan.  Sofea menduga pelajar Fakulti Kejuruteraan itu cinta agung mamanya.   Ternyata  Baizura jatuh cinta lebih awal, di zaman persekolahan. 
“Habis tu ayah cinta ke berapa mama?” Sofea kembali nakal menyoal Baizura. 
“Itu jodoh!” Baizura tersenyum mempamerkan barisan giginya yang masih cantik.  “Kenapa mama tak kahwin lagi selepas divorce?  Kan mama masih muda masa tu.”
Sofea berterusan mengusik ketenangan hati mamanya petang itu. 
“Cinta tak sampai, Fea,” Baizura menjawab lemah. 
Cinta tak sampai?  Maksudnya mama jatuh cinta lagi selepas berpisah dengan ayah?  Seronok juga mendengar kisah cinta mama.  Harap-harap mama pula sudi mendengar cerita cintaku, sekaligus merestui hubunganku dengan Amirul.  Amin!
            Senja itu Sofea lalui dengan penuh keriangan bersama mama tersayang.  Mendengar kisah cinta mamanya yang tiada nohtah, menghidu haruman ros-ros kesayangan mama, dan yang pasti di hati tersimpan rapi nama Aiman Amirul.  Keindahan petang bersama mama tersayang teruskan oleh Sofea dengan makan malam penuh romantik.  Sofea menganggapnya romantik kerana sudah lama tidak makan berdua-duaan dengan mamanya di bandar kelahirannya itu.  Cukup indah dengan Baizura membawa Sofea makan malam di kedai makan yang menyediakan ‘chicken chop’ kegemaran Sofea.  Sofea sendiri tidak mengetahui sejak bila makanan tersebut menjadi makanan kegemarannya.  Apa yang pasti ianya mengingatkan Sofea kepada Amirul.   
“Mengapa mama tidak kahwin lagi selepas divorce dengan ayah?” Sofea mengulangi pertanyaannya.  Baizura meletakkan gelas teh ais kegemarannya. 
“Kan dah jawab tadi.” 
“Explain please, apa maksud mama tak ada jodoh.” Sofea seperti merayu Baizura agar bercerita lebih lanjut mengenai cintanya selepas bercerai. 
“Fea akan tahu minggu depan.  Kita akan ke Ipoh minggu depan!” Jawapan Baizura benar-benar mengelirukan Sofea.
Minggu depan?  Sure Ipoh tu lokasi percintaan mama!
Sofea tersenyum sendiri.  Baizura yang menyedari perbuatan Sofea turut tersenyum.  Sofea melihat senyuman mamanya yang manis.  Hati Sofea bertanya penuh ragu.  Apakah benar perempuan di depannya itu insan yang malang di dalam cinta seperti ayat-ayat syahdunya ketika mendefinisikan istilah cinta? 
“Manusia tidak pernah mati kerana cinta, tetapi cinta amat meracuni jiwa manusia.”
Ayat misteri Baizura tentang cinta masih Sofea ingati.  Bagi Sofea  tidak mungkin seorang yang bahagia dengan cinta menyimpan penuh keramat ayat penuh kelukaan itu.  Di dalam kegembiraan menerima kehadiran cinta Aiman Amirul, Sofea sebenarnya penuh ketakutan.  Sofea amat takut untuk memberitahu hakikat cintanya kepada Baizura.  Walaupun Sofea melihat mamanya seorang yang berfikiran terbuka apabila membicarakan cinta, namun seperti Baizura menolak untuk Sofea dari membuat pilihan sendiri. 
Apakah mama takut aku akan gagal mengejar kesucian cinta lelaki seperti mama?  Habislah aku, kalau mama dah ada calon untuk aku!
Hati Sofea terus-terusan bergelora dengan pelbagai persoalan. 
“Berangan!”
Baizura mencubit lengan Sofea.  Sofea segera melenyapkan kisah cintanya. 
“Kat Pantai Dalam ada gerai sedap jual ‘chicken chop’ tau, mama.” Dengan pantas Sofea mengalih perhatian Baizura. 
“Pergi dengan siapa?” Baizura seakan menduga Sofea. 
“ La, dengan Bella busuk lah.” Sofea menyembunyikan rahsianya.
****
Baizura menarik laci meja soleknya.  Mengeluarkan sebuah kotak merah kecil berbentuk hati.  Penuh hati-hati kotak comel itu dibuka.  Dua bentuk cincin yang masih bersinar dikeluarkan dari kotak tersebut.  Baizura memandang sayu cincin tersebut, dan dengan sekelip mata Iskandar bagaikan terjelma di depan mata.  Kenangan bersama Iskandar Hisham benar-benar mengusik hati perempuan Baizura. 
****
Sofea amat pasti melihat Baizura menangis walaupun mamanya itu membuat penafian.  Sofea merasakan dirinya bukan lagi budak kecil untuk menerima pembohongan dari mamanya. 
Kenapa mama nangis?  Cincin  indah di jari manis mama?
Sofea mengomel sendiri.  Melihat Baizura seakan cuba menyembunyikan jarinya, Sofea tidak bertanya apa-apa. 
Aduhai, air mata, cincin, dan kelukaan cinta menjadi begitu rapat dengan mama kini.  Apa yang berlaku sebenarnya?  Siapakah yang jatuh cinta kini?  Akukah atau mama? Hati Baizura berbicara lagi. 
Kekalutan Sofea memikirkan mamanya terganggu apabila mendengar telefon bimbitnya berbunyi menandakan WhatsApp tiba. 
Sayang abang ni dah tidur?
 Cukup indah bahasa yang digunakan oleh Aiman Amirul.  Lima minit berlalu, Sofea angau dengan kerinduannya terhadap Amirul.  Jika sah mereka bercinta, Sofea ingin memanggilnya Amirul sahaja.  Ingin  rasanya Sofea buang jauh-jauh panggilan abang yang selama ini digunakannya.  Sofea dikejutkan dengan bunyi telefon bimbitnya. 
“Assalamualaikum, why tak balas wasap abang?” Suara lelaki yang dahulunya cuma dikagumi sahaja oleh Sofea kini kedengaran cukup merdu di talian. 
“Saja, tarik perhatian abang,” Sofea menjawab dengan penuh manja. 
“Fea nak minta sesuatu dari abang ni?  Abang jangan marah ya?” 
“Apa dia?”Amirul seolah-olah tidak sabar mahu menunaikan permintaan gadis pujaannya. 
“Buang panggilan abang, Mirul saja boleh?” Sofea meluahkan permintaannya.  Tidak kedengaran jawapan dari Amirul. 
“Abang!” Sofea cuba mengejutkan Amirul yang sedang memikirkan permintaan Sofea. 
“Panggillah nama yang Fea nak panggil tu sekarang, tak sabar nak dengar,”Amirul semakin berani bercanda dengan Sofea. 
“Mirul kat mana ni?” Buat pertama kalinya Sofea memanggil nama Amirul tanpa panggilan abang. 
“Hahaha, rasa lain lah.” Nada-nada gembira Amirul kedengaran indah di telinga Sofea. 
Ya Allah, adakah ini dinamakan cinta? Hati Sofea berbisik lembut. 
“Mirul di kampung lah, nak datang?” Satu ajakan mesra keluar dari mulut Amirul.  Terus Sofea terbayangkan keindahan Pantai Timur. 
“Bilalah dapat ke Ganu kita ya?”
“Dialu-alukan.  Fea, kita tunang nak?” Soalan spontan Amirul membuat jantung Sofea seakan berhenti berdenyut. 
“Kalimah cinta pun belum sebut, nak bertunang konon,” Sofea menarik perhatian Amirul.  “Itu kena sebut depan mata,” Amirul semakin menguasai keadaan, menguasai perhubungannya dengan Sofea.  Dan  yang penting Sofea suka perkara itu berlaku.
Sofea meletakkan telefon bimbitnya di atas meja dengan senyuman meleret.   Masih  terngiang-ngiang gurauan Amirul mengajaknya bertunang. 
Masih jauh lagi wahai sayangku perjalainan hubungan kita!
Sofea tersenyum lagi.    Baginya hubungan mereka baru di tahap permulaan, pasti diuji dengan pelbagai ujian nanti.  Tidak mungkin  wujud sebuah perhubungan yang tidak diberi ujian oleh Allah.  Sofea pasrah menanti semua itu.  Jam di dinding menunjukkan pukul 12.00 malam, Sofea memandang rantai tangan silver pemberian Iqram.
Ya Allah, Iqram belum tahu pilihan hatiku, dan aku masih memakai hadiah  pemberiannya!”
Sofea melepaskan keluhan yang berat.  Perasaan bersalah memburunya tiba-tiba.  Sofea tidak tahu mengapa Iqram gagal menawan hatinya, sedangkan dialah lelaki pertama yang berjaya mencuri perhatiannya di UM.  Mengapa?  Namun, Sofea tidak menafikan perasaannya yang juga menyukai Iqram.  Jika tidak, masakan rantai tangan pemberian Iqram masih utuh di pergelangan tangan. 
Adakah benar aku memilih Amirul kerana benar-benar jatuh cinta kepadanya?  Atau diburu ketakutan jika Iqram sekadar cuba mempermainkan perasaanku, lantas aku mengelaknya dan berlari ke arah Amirul?
Hati Sofea tetap bergelora dengan pelbagai persoalan demi persoalan.
Malam makin larut.  Sofea teraba-raba mencari telefon bimbit di sebelahnya. 
“Hello, siapa ni?” Sofea bertanya dengan suara serak dan kalut kerana dikejutkan sewaktu tidur. 
“Iqram!”
“Pukul berapa ni?” Sofea bertanya mamai. 
“Dua pagi, sorry, Iqram rindulah.”
Pengakuan Iqram yang ternyata tidak mengejutkan Sofea 
“Wasap Iqram pun tak balas, kenapa ni Fea?” Pertanyaan Iqram menagih jawapan yang mungkin akan melukakan hatinya.  
“Iqram kat mana ni?” Sofea mengalih topik perbualan. 
“Kat kolej lagi.  Rindu Iqram tak ni?” Iqram kembali memperkatakan persoalan rindu kepada Sofea. 
“Yup!” Sofea menjawab lemah. 
Sofea merasakan belum masanya untuk memberi penjelasan kepada Iqram, atau mungkin Sofea tidak sampai hati untuk melukakan hati Iqram.  Jawapan yang paling tepat, mungkinkah Sofea juga menyayangi Iqram.  Sofea merasa cukup keliru dan yang paling pasti cukup mengantuk.  Sisa kepenatan memandu selama enam jam pagi tadi masih terasa. 
“Fea mengantuk sayang.”
Secara tidak sengaja Sofea memanggil Iqram sayang. 
“Apa?  Ulang sekali lagi, baru sambung tidur.” Kedengaran nada ceria Iqram.  Sofea tidak mempunyai pilihan. 
“Sayang, Fea mengantuk sangat.”
Sofea sendiri tidak mengetahui sejauhmana keikhlasannya memanggil Iqram sebagai ‘sayang’.  Tapi yang pasti Sofea belum membuang anak dato’ itu dari hatinya.  Belum.

1 comment: