Tuesday 16 September 2014

TRIPLETS LOVES : MY HANDSOME NERD BY BALDU MERAH


PROLOG
 

http://tripletsloves.blogspot.com/


DARI jauh, seorang kanak-kanak lelaki dalam lingkungan 13 tahun sedang lalu di tebing sungai itu. Hatinya tertanya-tanya di mana keberadaannya kini. Peluh yang menitis di dahi juga sudah banyak kali disekanya. Air mata yang jatuh berderai entah kali ke berapa menitis di pipi. Dia sendiri tidak tahu akan juraian air mata itu. Apa yang dia risaukan berkenaan keberadaanya sekarang. 

Bunyi tempikan meriam di tebing sungai itu menujah-nujah telinganya. Namun tidak langsung menarik perhatiannya. Apa yang dirisaukan sekarang ialah keberadaannya sekarang. Dia takut. Berita tentang penculikan, kes bunuh kanak-kanak yang pernah dibacanya di dalam akhbar kembali bergentayangan di dalam mindanya.

Langkah kakinya diatur perlahan. Kedua-dua tangan memeluk tubuhnya sendiri. Matanya memandang kiri dan kanan. Bunyi-bunyi katak yang bersahut-sahutan seolah-olah bunyi orkestra yang ditontonnya di Istana Budaya beberapa hari yang lalu seakan-akan sama di benak telinganya. Argh, mengapa itu yang dia fikirkan. Pokoknya dia harus mencari jalan pulang.

“Kat mana aku ni?”

Kepala yang tidak gatal digaru. Cermin mata berbingkai besar dibetulkan. Itulah padahnya jika terlalu leka di bazar Ramadhan tadi sehinggakan dia hilang dari pandangan ibu dan beberapa orang penjaga peribadi mereka. Kini bila hendak dicari balik, dia tidak tahu. Perut sudah berkeroncong entah kali berapa agaknya. Jarum jam di tangan sudah menginjak ke angka 9, namun dia masih belum menjamah barang sesuap makanan pun. Sungguh dia penat. Badannya mulai lemah.

“Pssst, Leman, kau tengok budak tu. Siapa? Tak pernah nampak pun?” 

Leman yang baru sahaja hendak meletakkan belerang ke dalam meriam buluh agak terperanjat dengan sapaan rakannya, Zali.

“Kau ni, kacau lah. Aku baru nak letak belerang. Mana?”

“Tu ha,” tunjuk Zali dengan jari telunjuknya.

“Argh, biarlah.” Perlakuannya diteruskan. Belerang tadi dibubuhnya ke dalam buluh. Air di dalam botol mula diambil dan dia berkira-kira hendak menuangnya ke dalam buluh.
 
“Woi!”

Air tadi telah menumpahi banyak belerang. Hasilnya, meriam mereka tidak jadi. Bau belerang yang kurang menyenangnya kerana disimbahi air menyebabkan mereka menutup hidung. Wajah Lemah kemerahan kerana disanggah sekali lagi oleh Zali.

“Kau ni memang buat aku mencarut lah. Apa lagi?” Jerkah Leman. Memang dia benar-benar marah dengan Zali.

“Ala, relaks lah. Tu budak tu, jom kita kacau dia. Aku rasa dia orang luar lah. Biar dia tahu sikit siapa berkuasa dalam kampung ni,” begitu mendabik dada kata-kata Zali. Seolah-olah kampung itu mereka yang punya. Padahal umur baru 13 tahun. Leman yang mendengar jadi bersetuju dengan kata-kata Zali. Marahnya tentang belerang itu tidak mahu dia fikirkan. Apa yang penting, dia mahu tahu siapa budak itu.

“Oi budak!” Sergah Leman.

Harith yang sedang jalan menunduk terkejut dengan sergahan mereka. Cermin mata berbingkai besar dibetulkan. 

“Aw..awak berdua cakap dengan saya kah?” soal Harith dengan penuh berbudi bahasa. Tidak lupa untuk senyum. Menampakkan lagi pendakap gigi besi yang dipakainya.

“Apa yang berkilat dekat gigi dia tu?” Berdekah ketawa kanak-kanak itu sesuatu yang pelik bagi mereka.

“Kenapa pula awak cakap macam tu?”

“Hei budak, kau dengar sini. Kampung ni kampung kita orang. Kita orang tak pernah nampak pun kau dekat kampung ni. Kau buat apa dekat sini?”

“Sa..sa..”

“Sa..sa..saya apa?”

“Saya sesat!” Jelas jawapan Harith dengan laju. Menambahkan gelak tawa Leman dan Zali.

 

“Hahaha. Gagap rupanya. Nah, aku ada hadiah untuk hilangkan gagap kau.” Zali mula mengeluarkan mercun mancis di dalam koceknya.

“Aw..awak nak buat apa tu? Awak jangan macam-macam. Saya ada ta..taekwando,” ujar Harith cuba memberanikan dirinya. Tapi sayang, ibarat seekor tikus berhadapan dengna kucing. Ugutan itu langsung tidak mendatangkan kesan kepada Leman dan Zali.

Pom!

Zali membaling tepat ke arah kaki Harith. Mujur budak itu dapat mengelak. Leman dan Zali tidak berpuas hati apabila Harith berjaya mengelak. Kini, giliran Leman pula mengeluarkan sesuatu dari dalam koceknya.

“Kau cabar aku ya. Ni mesti kau tak dapat lari,” mercun bola dari dalam kocek dikeluarkan Leman dengan senyum menyeringai.

“Woi, jangan woi. Bahaya. Mati budak tu macam mana?” Halang Zali.

“Ala, aku olok-olok jer. Aku baling kat tepi. Saja nak takutkan dia,” bisik Leman kepada Zali. Dia juga takut hendak membakar mercun tu. Sudahlah mercun tu baru pertama kali hendak dibakarnya. Baru sahaja dia beli secara rahsia di kedai seberang jalan rumahnya itu.

Harith yang melihat pemetik api dinyalakan mula rasa tidak sedap hati. Dia cukup kenal dengan mercun itu. Dia pernah melihat sepupunya Zaki bermain mercun itu tahun lepas. Habis teruk Zaki dimarahi oleh pakciknya dulu. Sebelum terjadi apa-apa, baik aku lari, desis hatinya.

“Woi budak, jangan lari!”

Harith berlari sekuat hati. Tidak mahu dia berhadapan dengan budak berdua itu. Dalam hatinya, terus-terusan berdoa agar pengawal peribadinya segera datang. Dia takut!

“Woi, Zali, Leman. Kau buat apa ni?” Jerkah satu suara. Harith terus berhenti dan berdiri di belakang tubuh itu. Dia tidak tahu siapa, namun dalam situasi macam ni. Biarlah, dia tak kisah.

“Aw..awak buat apa kat sini? Tepilah, biar saya ajar budak tu.”

“Oh, kau nak tunjuk samseng ya? Aku beritahu bapa kau. Baru padan muka!”

“Awak jangan macam-macam, kalau tak..”

“Kalau tak apa?”

“Kalau tak saya bakar!”

“Eleh, ingat aku takut. Badan jer besar, tapi penakut macam tikus!” ugut suara itu.

Yang awak pegang-pegang saya ni kenapa pula? Awak lelaki, saya perempuan. Kalau mak saya nampak, teruk awak kena hambat dengan penyapu. Lepas!”  Pandangnya ke arah Harith pula.

Saat itu Harith merasakan waktu seakan terhenti. Wajah budak perempuan dengan mata galak itu cukup mempesonakan. Meskipun dalam kelam malam, ditemani lampu tepi jalan, namun wajah itu tetap jelas di matanya.

“Awak dengar tak?”

“Oh..ma..ma..maaf!” Tangannya dilepaskan.

“Bak sini, biar aku yang bakar. Kau tu penakut lah Zali. Baru kena sergah dengan Tika dah macam tikus.” Leman mengambil mercun ditangan Zali dan dengan pantas dicucuh api ke atas sumbu mercun bola itu.

“Woi, kau tahu tak mercun tu kuat? Kau nak kena balun kalau dengar dekat surau nanti?”

“Aku peduli a…”

Belum sempat Leman hendak habiskan, sumbu itu makin pantas bergerak. Dia tidak tahu hendak buat apa.

“Campak, campak!”

Leman yang gelabah terus mencampak mercun itu di hadapan dan bergolek-golek ke arah kaki budak perempuan itu dan Harith.

“Lari!!!” Mereka bertempik!

POM!!!

Saat  itu mercun berbunyi dengan kuat seiring dengan teriakan mereka. Kakinya terkena serpihan mercun sehingga menyebabkan pendarahan.

“Tuan Harith!” Sergah satu suara garau.

Leman dan Zali yang gelabah sudah tidak tahu hendak buat apa bila disergah begitu. Budak perempuan itu juga terkejut dengan sergahan itu. Dia jadi kelam kabut. Dalam kepayahan, dia cuba larikan diri dengan terjengket-jengket. Leman dan Zali kembali semula dan membantu budak perempuan itu melangkah.

“Tuan, ke mana tuan pergi. Jom kita balik,” ujar Fauzi. Pengawal peribadi Harith.

“Tapi pakcik, budak perempuan tu. Dia..dia..”

“Jom tuan, kita balik. Nanti ada orang akan uruskan semuanya. Mari..”

Dalam kepayahan dan tidak kerelaan, Harith melangkah perlahan ke kereta Mercedes tu. Matanya tidak lari memandang susuk tubuh yang sudah makin menjauh bergerak dalam kepayahan. Bibirnya tidak putus-putus mengucapkan...

“Terima kasih awak…”

No comments:

Post a Comment