Tuesday 16 September 2014

TRIPLETS LOVES : LAKARAN BAHAGIA BY SILENCER

PROLOG
http://tripletsloves.blogspot.com/


“PERGI kau!! Pergi! Pergi!” halau suara itu. Nyaring! Sama nyaringnya dengan gegaran guruh yang membadai teratak villa rumah mereka. Wardina ditolak jauh-jauh. Terduduk wanita itu sambil menangis teresak-esak. Merangkak dirinya mendapatkan Khalid kembali.

            “Ayah. Jangan buat macam ni, pada Ina. Jangan buat macam ni, ayah. Ayah tak kesiankan, Ina ke?” Rayu Wardina. Dia benar-benar berharap agar ayahnya tidak memaksudkan akan apa yang dikatakannya tadi. Kaki itu dipeluknya kembali. Mencuba sekali lagi setelah dirinya ditolak sekuat hati oleh si ayahnya tadi.

“Argh! Pergi kau! Kamu dah malukan ayah, sekarang kamu masih ada hati nak kami terima kamu? Kamu tanya kami tak kesiankan kamu? Apa kamu pernah kesiankan kami? Apa kamu pernah fikirkan air muka kami masa kamu buat tu? Ni! Ni muka ni! Nak letak dekat mana? Nak letak mana muka, ayah ni?” tengking Khalid lagi. Perit hati Wardina. Hatinya sedih. Pertama kali seumur hidupnya ditengking seperti ini. Sebelum ini, usah ditengking mahu dijentik pun ayahnya tidak pernah. Dan, sekarang? Sungguh, Wardina kecewa.

“Abang. Abang. Janganlah macam ni, abang. Kesiankanlah, Ina.” Pujuk Yasmin. Belakang Khalid digosoknya lembut.

“Awak cakap senang! Dia dah malukan kita! Apa kita nak cakap? Huh? Apa kita nak cakap nanti? Apa awak sedar tak? Anak kita ditangkap khalwat! Awak pekak? Buta? Bodoh? Anak kita ditangkap khalwat! Tak paham?!” marah Khalid. Dirinya benar-benar baran. Turun naik dadanya. Nafasnya juga hangat. Mukanya merah.

“Habis, apa kita nak buat? Dia ditangkap khalwat atau tak, tetap tak merubah apa, abang. Dia tetap anak kita!” bidas Yasmin kembali. Suaranya naik satu oktaf. Bukan mahu berlaku derhaka cuma sekadar mahu menyedarkan suaminya yang bagaikan tidak terkawal barannya ketika ini. Khalid diam. Yasmin mengeluh lega. Harap-harap suaminya sedar dengan apa yang dituturkannya.

“Kalau macam tu.. aku tak akan mengaku lagi dia anak aku!” Zappp!! Tersentap hati Wardina. Begitu juga dengan Yasmin. Kedua-dua mata mereka membulat. Tidak percaya. Wardina menggeleng.

“Tidak, ayah. Tidak ayah. Jangan, ayah. Ayah bergurau kan?” suara itu terketar-ketar bertanya. Air mata tidak pernah berhenti mengalir dari lekuk pipinya. Yasmin ingin memujuk suaminya namun Khalid menjeling isterinya di sisi, memberi petanda awal akan keputusannya muktamad!

“Jom, masuk.” Tangan Yasmin dicapai Khalid, membawanya masuk ke dalam villa. Wardina menggeleng laju. Gelengannya sama laju dengan rentak kakinya yang mengejar ke arah pintu utama rumah mereka. Namun, hampa. Berbaki jarak sejengkal sahaja antaranya dan pintu itu, pintu megah itu sudahpun terkatup rapat. Tidak memberi sebarang ruang buatnya untuk masuk ke dalam kembali. Wardina jatuh terduduk. Kepalanya menyandar lemah di dada pintu coklat itu. Tubuhnya mengigil kesejukkan. Habis bajunya basah kuyup.

Kepalanya diselitkan di celah lutut. Menangisi akan nasib yang menimpa dirinya. Apa malangnya nasib diri ketika ini. Terhinjut-hinjut bahunya naik atas dan bawah. Tangisan berlagu semakin nyaring. Tubuhnya pula mengigil kesejukan. Niat di hati mahu terus berada di sini, sehinggalah ayahnya datang membukakan pintu buatnya. Namun, baru saat ini dirinya rasa tidak kuat. Tidak gagah lagi untuk terus berhadapan dengan situasi begini. Dia memang alah dengan hujan. Pasti dirinya akan demam teruk nanti. Dan di kala itu, tubuhnya terasa seperti diselimuti sesuatu. Pantas, tanpa bertingkah lagi, kepala Wardina diangkat. Tegak sembilan puluh darjah. Matanya terpegun memandang wajah lelaki itu.

Lelaki itu senyum. Senyumannya tampak cantik dan ikhlas. Jaket yang diselimuti ke tubuhnya ditarik Wardina erat. Berharap jaket lusuh itu bisa menghangatkannya. Mata mereka saling bertembung, menghadiahkan satu sinaran yang cukup membahagiakan. Lelaki itu senyum sekali lagi. Perlahan-lahan dan penuh kelembutan. Jari kasar itu mengelap penuh syahdu sisa air mata yang mengalir di pipi Wardina.

“Sudahlah. Jangan nangis agi..” pujuk Ruzain lembut. Wardina menggeleng kecil. Macam mana dia mahu berhenti menangis jika dirinya tahu kini dia sudah bergelar anak yatim piatu? Suatu hakikat yang cukup perit untuk diterimanya.

“Apa saya nak buat, sekarang ni? Saya takut.. Saya takut, awak.. Keluarga saya dah buang saya.. Saya.. Saya..” Wardina kehilangan kata-kata. Membayangkan bagaimana kehidupannya berlangsung nanti, sudah membuatkan dirinya nanar. Apa yang akan terjadi pada dirinya? Oh.. Sungguh dia tidak mampu untuk bayangkannya.

“Apa nak ditakutkan..” belumsempat ayat itu dihabiskan, Wardina mencelah.

“Saya takut. Apa akan jadi pada saya tanpa ayah.. tanpa mak.. tanpa keluarga saya semua? Hakikat sekarang ni, saya sendiri. Hidup bagaikan sebatang kara. Apa yang saya boleh buat? Saya tak habis lagi belajar. Macam mana saya nak cari duit untuk teruskan hidup? Macam mana? Saya rasa tak mampu.. saya..” tersedu-sedu suara itu meluahkan apa yang terbuku.

Ruzain telan liurnya. Kata-kata sang gadis itu begitu tulus. Namun, ketulusan itulah sebenarnya yang membuatkan hatinya sedikit terguris. Bukan terasa dengan si gadisnya.. tetapi, pabila dia mengenangkan betapa dirinya juga sebatang kara. Terus, apa yang dirinya ada untuk terus menyara wanita itu agar terus berada di sisinya?

Ruzain pandang Wardina. Gadis itu masih lagi menangis. Lantas, kepala gadis itu diangkatnya lembut. Mata gadis itu dipaksa agar memandangnya. Wardina menurut. Perlahan-lahan, tangan Wardina dicapai lalu digengamnya erat. Jari kasarnya mengelap lembut titisan air mata emas itu.

“Jangan nangis, Ina. Saya sedih tengok awok macam ni..”

“Saya takut! Saya takut! Saya takut! Awak tak faham ke? Huh?” Wardina bengang. Suaranya naik sedikit. Tidak peduli perasaan Ruzain, apa yang penting dia dapat meluahkan apa yang terbuku di dadanya.

“Saya kan ada..”

“Huh?” mata Wardina sedikit bulat dengan kata-kata itu. Matanya bertentang mata dengan Ruzain. Suara itu, mata itu tampak ikhlas dan dirinya dapat merasai akan lelaki itu benar-benar memaksudkan akan kata-katanya. Ruzain angguk.


“Saya janji.. Saya akan jaga awok. Saya janji saya akan bahagiakan awok. Saya akan bertanggungjawab dengan apa yang terjadi antara kita..” mata Wardina berair. Terharu dengan kesungguhan lelaki itu. Firasatnya lelaki itu pasti akan meninggalkannya. Namun, telahannya jauh panggang dari api. Lelaki itu malah dengan beraninya tampil ke sini, berjumpanya. Sesuatu yang sungguh Wardina tidak mampu jangkakan.

“Kita kahwin, ya?” lagi bulat mata Wardina. Kahwin? Telinganya salah dengakah?

“Kah.. Kah.. Kahwin?” Ruzain angguk serta senyum. Lucu mendengar suara yang tergagap-gagap itu.

“Saya akan jaga awok.. Percayalah. Saya janji, saya akan cintakan awok. Sehingga hujung nyawa saya.” Makin sebak dirasakan Wardina. Janji manis itu begitu tulus, membuatkan hatinya sedikit tenang. Dari ragu-ragu kini entah kenapa, dirinya mudah percayakan Ruzain. Lantas, tanpa sedar kepalanya juga turut mengangguk. Setuju dengan lelaki itu.

Ruzain senyum lebar. Ucapan syukur meniti di bibir seraya tubuh Wardina ditarik ke dalam lembah pelukannya.

“Terima kasih.. Terima kasih, awok. Saya janji, saya akan jaga awok molek. Saya akan jaga awok sampai syurga.”

Wardina ukir senyuman. Kepalanya angguk.

“Dah, jom? Nanti, awok demam pulok. Siang ke awok, kekgi.” Wardina angkat kepalanya memandang akan villa ini. Dia tak mahu melangkah pergi, namun apakan daya.. dirinya sendiri belum yakin adakah ayahnya masih mahu menerimanya lagi. Lantas, rasa hati diturutkan mengikut jejak Ruzain. Mereka mula mengorak langkah.
Bahu Wardina dipeluk Ruzain dengan jaket yang tersarung di tubuh wanita itu dijadikan sebagai payung untuk mereka berteduh. Mereka melangkah dan terus melangkah. Tidak menoleh ke belakang kembali. Dan mungkinkah.. buat selama-lamanya?

No comments:

Post a Comment