BAB 2
“Abang…
pagi ni Qisya ke rumah bonda ya?” Qisya
meminta izin daripada suaminya. Selepas subuh tadi dia mendapat SMS daripada
bonda menyuruh dia ke sana pagi ini. Ada hal penting mahu dibincangkan.
Tengku Danish yang sedang menghirup air coklat
meletakkan cawan di atas meja. Wajah sang isteri yang masih basah rambutnya
dipandang. Cintanya pada Qisya tak pernah berubah. Tetap sama seperti di awal
rumah tangga mereka dulu. Apatah lagi wanita itu telah memberinya ‘tiga harta’
yang cukup bernilai. Harta dunia dan akhirat!
“Kan semalam sayang dah pergi rumah bonda. Nak pergi
lagi buat apa?”
“Tadi lepas solat subuh bonda hantar SMS suruh Qisya
pergi sana hari ni. Katanya ada hal penting. Lagipun bang, bosan la asyik
terperuk kat rumah. Takde teman pun
nak bersembang. Kalau pergi rumah bonda, dapat juga sembang dengan bonda, Kak
Cem dan Bunga. Sambil-sambil tu dapat la Qisya belajar resepi baru dari Kak
Cem. Kebetulan hari tu Kak Cem dah janji nak ajar Qisya buat pizza homemade.” Panjang berjela Qisya
memberi alasan. Tujuannya agar si suami memberi kebenaran.
‘Ye la nak
belajar memasak sangat. Datang rumah bonda bukan belajar memasak aje yang dia
buat. Ajar Abang Mamat cara mengurat Bunga pun dibuat sekali. Menjadi pulak tu. Isteri la isteri….
Macam-macam!’ Hati kecil Tengku Danish berkata-kata.
“Susah-susah, Qisya ajak ajelah auntie Kwan sebelah rumah kita ni berbual. Tak payah pergi rumah
bonda semata-mata nak cari teman bersembang. Kat sebelah rumah ka nada jiran.”
Cadang Tengku Danish pada isterinya.
Qisya mengecilkan matanya. Geram mendengar jawapan
selamba badak jantan suaminya itu. Anak kembar mereka pula sudah
mengekek-ngekek ketawa mendengar jawapan papa mereka. Kelakar sangatlah tu!
Anak-anak dengan papa, sama saja!
“Apa abang ni? Abang kan tahu Auntie Kwan tu pekak dan
bisu. Dia mana reti nak bersembang
segala.” Gerutu Qisya.
Semakin galak Ku Alisha dan Ku Anisya ketawa. Dapat
dibayangkan muka blur Auntie Kwan jika mama mereka bersembang
tanpa henti. Kesian Auntie Kwan,
tentu dia pening tak faham apa yang mama mereka cakapkan. Kah… kah… kah….
Tersembunyi senyuman kecil Tengku Danish. Geli hati
mendengar jawapan isterinya. Sebenarnya dia sengaja hendak menyakat isterinya
pagi-pagi begini.
“Baguslah kalau Auntie
Kwan tak reti bercakap dan tak
dapat mendengar. Sayang boleh bercakap sorang
diri, Auntie Kwan tengok aje la.”
Merah padam muka Qisya. Geram tahap petala. Dia
serius, suaminya pula main-main.
“Amboi abang… bukan main lagi abang ya. Tunggu la
nanti malam, abang tidur dekat luar. Jangan berani tidur dalam!” ugut Qisya
dengan tangan sudah dibawa ke pinggang. Lagak tak ubah seperti mak tiri garang.
Si kembar berdua ketawa suka bila melihat wajah papa
mereka mula terkebil-kebil diugut dengan mama. Papa memang takut sangat diugut
tidur luar. ‘Kesian….’ Hati keduanya mendesis.
“Iye la. Iye la. Pergi la cinta hati abang. Abang
izinkan. Abang baru gurau sikit pun nak marah.”
Qisya tayang muka selamba. Terasa kemenangan
berpihak padanya. ‘Tahu takut….’ Hatinya ketawa suka.
“Okey… let’s
go girl’s. We need to move now!” arah si papa kepada anak-anak gadisnya.
Terkocoh-kocoh Ku Alisha dan Ku Anisya bangun dari
kerusi. Tangan mama mereka disalam sebelum sebuah ciuman dihadiahkan ke pipi
mama tersayang. Setelah itu mereka bergerak mendapatkan si adik yang berada di
dalam baby walker. Digomol-gomol adik mereka itu sehingga si adik naik rimas
dengan tingkah kakak-kakaknya.
Qisya dan Tengku Danish hanya menggeleng-geleng
kepala melihat telatah anak-anak mereka.
“Okey la. Abang pergi dulu. Sayang nanti pergi rumah
bonda tu memandu elok-elok. Jangan nak merempit pulak.” pesan Tengku Danish
kepada isterinya.
Qisya tersenyum manis. Tangan si suami di salam
sebelum sebuah ciuman diberikan ke pipi suaminya itu. Sebagai balasan, Tengku
Danish mencium ubun-ubun isteri tercinta. Inilah salah satu resepi kebahagiaan
rumah tangga mereka berdua. Resepi turun-temurun daripada kedua belah keluarga.
SEKEMBALINYA
Tengku Danish dari pejabat tepat pukul 6.00 petang, dia disambut mesra oleh
isterinya di muka pintu utama. Bukan main menggoda lagi senyuman sang isteri.
Bisa menggegarkan iman nipisnya.
Namun dalam senyuman penuh menggoda itu, terselit
juga rasa curiga melihat di hati Tengku Danish. Jika sudah begini senyuman
isterinya menyambut kepulangannya, tentu ada sesuatu yang dimahukan.
Percayalah! Dia cukup kenal perangai isterinya yang seorang itu. Hampir tujuh
tahun mendirikan rumah tangga, dia sudah cukup ‘masak’ dengan sikap isteri
tercinta.
“Assalammualaikum.” Ucap Tengku Danish kala sampai
ke pintu utama.
“Waalaikumusalam.”
Qisya menjawab mesra seraya menyalam tangan suaminya. Briefcase dicapai lalu lengan sasa suaminya itu dipaut. Mesra kemain!
Beririgan mereka menuju ke sofa. Anak-anak kelihatan
sibuk menonton rancangan kartun Disney kegemaran mereka. Tengku Aisy yang masih
kecil itu pun bagaikan mengerti dengan cerita kartun yang ditayangkan petang
ini. Tak berkedip-kedip matanya memandang setiap gerak-geri kartun Princess Sofia dan rakan-rakannya itu.
Ku Alisha dan Ku Anisya jangan cakaplah, memang kartun menjadi pilihan utama
mereka.
“Abang… minum.” Qisya menghulurkan secawan jus oren
kepada suaminya.
Terkejut Tengku Danish. Ralit sangat melihat
anak-anak sampaikan dia tak sedar isterinya menghilang ke dapur mengambil
secawan jus untuknya. Pantas cawan bertukar tangan. Perlahan dia meneguk jus
oren sejuk setelah menyebut bismillah di dalam hati. Lega rasa tekaknya.
Alhamdulillah….
Qisya tersenyum-senyum. Seronok melihat wajah suami
tercinta.
“Abang… hari ni Qisya masak makanan kegemaran abang
tau. Nanti lepas abang mandi kita makan sama-sama ya.”
“Hmmm… ya
la.” Sepatah saja jawapan Tengku Danish.
“Banyak kerja ke dekat ofis hari ni?” rancak pula
Qisya bertanya.
“Macam biasalah sayang. Kerja dekat ofis tu mana
pernah nak habis. Lepas habis satu kerja, masuk pula satu kerja baru.”
“Hmmm… ye tak ye jugak kan. Abang kan
bos besar. Kenalah kerja lebih sikit kalau nak majukan Istana Kristal. Kena
tunjuk sikap yang positif pada semua pekerja bawahan baru boleh jadi bos yang
baik dan diteladani.”
Sejak Tengku Danish menggantikan walidnya sebagai
Pengarah Urusan Istana Kristal Holding, kerjanya memang bertambah. Dia tak
boleh memberi sepenuh tugasan kepada pegawai bawahan. Setiap kerja perlu
diteliti seperti yang selalu walid lakukan dulu. Mujur juga ada Tengku Rayyan
yang selalu membantu. Adiknya itu memang cemerlang melakukan kerja-kerjanya.
Melancarkan segala kerja yang ada.
“Okey la sayang. Abang naik atas dulu. Badan ni dah
lekit. Abang nak mandi.” Tengku Danish bergerak untuk naik ke atas.
“Hmmm… ye la. Abang pergilah mandi. Qisya nak
panaskan lauk makan malam kita.” Qisya juga sudah bangun. Langkah dibawa ke
ruang dapur.
“Sayang dah mandi ke?” tanya Tengku Danish apabila
mindanya teringatkan sesuatu.
“Dah. Kenapa?”
“Rugi la. Ikutkan hati abang nak ajak sayang mandi
bersama abang tadi.” Bersama sengihan Tengku Danish mengenyit mata nakal.
Merah padam wajah Qisya dibuatnya. Matanya
dibulatnya. Geram dengan sikap suami yang suka lepas cakap. Depan anak-anak
pula tu. Tak senonoh!
“Abang ni… cakap tak pandang kiri kanan langsung!
Tak malu ke anak-anak dengar. Dah! Dah! Abang pergi mandi. Qisya nak siapkan
makan malam.” Tanpa menghiraukan suami yang nakalnya semakin menjadi-jadi, dia
terus berlalu ke ruang dapur.
Lauk-pauk yang sudah dimasak sedari awal lagi hanya
perlu dipanaskan sahaja. Sudah menjadi kebiasaannya masak awal. Tepat pukul
4.00 petang, segala kerja dapurnya telah selesai. Kemudian barulah dia bergegas
menyediakan anak-anak pula. Menyuruh mereka mandi dan berpakaian. Sementara
menunggu makan malam, anak-anak akan diberi dessert
mengisi perut. Biasanya buah-buahan segar. Jarang dia memberi anak-anaknya
makanan ringan. Bagi Qisya, makanan ringan bukanlah makanan yang berkhasiat
buat kanak-kanak. Sekali-sekala itu tak mengapalah.
Selesai mengurus anak-anak, barulah Qisya menyiapkan
dirinya sendiri. Mandi dan berhias cantik-cantik untuk menyambut kepulangan
suaminya. Jangan fikir sudah berkahwin hampir tujuh tahun, dia tak jaga
penampilan diri. Biar dia sekadar suri rumah, tetapi penampilannya bila
berdepan dengan suami mengalahkan supermodel
buat peragaan fesyen. Namun takdelah over sangat. Dia model muslimah. Kihkihkih….
“Hmmm…
sedapnya bau. Dari atas abang dah terhidu. Tak sabar nak makan.” Tengku Danish
yang muncul di ruang dapur mengejutkan Qisya. Mujur rohnya tak bercerai dari
badan. Jika tidak… menduda awal la suaminya itu.
“Abang ni. Buat orang terkejut aje!” marah Qisya.
Dadanya diurut perlahan.
Tersengih Tengku Danish mendengar teguran sang
isteri. “Sorry la sayang. Tak
sengaja. Excited sangat hidu aroma
masakan sayang.”
“Abang panggil anak-anak. Ajak dia orang makan
sekali.”
“Okey madam!” Tengku Danish buat tabik spring.
Langkah dibawa keluar mendapatkan anak-anaknya yang ralit menonton TV.
Makan malam berlangsung dalam suasana yang aman.
Masing-masing makan dengan penuh berselera. Pasangan kembar Ku Alisha dan Ku
Anisya memang gemar ikan keli masak lemak cili api mama mereka. Biar pedas
tahap telinga berasap, namun mereka tetap suka. Disebabkan malam itu mama
mereka masak makanan kegemaran, si kembar siap tambah nasi dua kali. Begitu
juga dengan papa mereka. Bukan main berselera lagi makannya. Senang hati Qisya
melihat wajah penuh selera insan-insan tersayang. Terasa penat lelahnya tak
sia-sia.
Selesai makan malam, Tengku Danish membasuh pinggan.
Memang menjadi kebiasaannya membantu isterinya melakukan kerja-kerja dapur.
Kasihan membiarkan sang isteri melakukan kerja seorang diri. Waktu begini,
biarlah isterinya itu beristirehat. Dia tak mahu terlalu membebankan isterinya
setelah apa yang dilakukan untuk keselesaan mereka sekeluarga. Dia amat bersyukur
kerana Allah menganugerahkan seorang isteri seperti Qisya Nur Alifa kepadanya.
Wanita terbaik dalam hidupnya dan anak-anak.
Di ruang tamu, Qisya sedang memberi susu badan
kepada Tengku Aisy. Sambil menyusu, punggung Tengku Aisy ditepuk-tepuk agar anak
kecil itu terlena. Tak susah menidurkan Tengku Aisy. Beri susu badan saja,
pasti anaknya itu akan tidur dengan nyenyak.
Tersenyum senang Tengku Danish melihat isteri dan
anak-anaknya di ruang tamu. Dia yang baru selesai menyudahkan kerja di dapur
segera menyertai mereka. Esok sabtu. Hari cuti. Disebabkan itulah dua puteri
kembarnya itu masih belum tidur lagi. Jika waktu sekolah, pukul 9.00 malam
sahaja rumah ini sudah sunyi kerana anak-anak telah masuk tidur.
“Along buat apa ni?” tanya Tengku Danish pada anak
sulungnya, Ku Alisha. Walau Ku Alisha dan Ku Anisya kembar seiras, namun
disebabkan masa dua minit yang membezakan keduanya menjadikan Tengku Nur
Qaireen Dalisha ini sebagai along.
“Along tengah lukis gambar papa, mama, along, angah
dengan adik.” Satu demi satu nama itu meniti pada bibir comel Ku Alisha. Gambar
orang yang dilukis ditunjukkan kepada papanya.
“Wah… cantik la. Pandai anak papa melukis.” Puji
Tengku Danish. Kepala anaknya digosok-gosok. Menyebabkan si kecil itu ketawa
gembira.
“Nanti dah besar… along nak buka kedai melukis macam
Uncle Rezza.” Petah sekali Ku Alisha
menutur kata. Dia pernah ke galeri seni lukis sepupu papanya itu bulan lepas.
Kagum sungguh dia melihat hasil seni Uncle
Rezza. Mulai hari itu, Ku Alisha menyimpan cita-cita mahu menjadi seorang
pelukis seperti Uncle Rezzanya.
Mendengar bicara anaknya, Tengku Danish tersenyum.
Setiap kali berjumpa Raja Rezza di galeri seninya itu, dia pasti teringat
kenangan silam. Bermula dari situlah terciptanya hubungan dia dengan Qisya.
Jika bukan kerana perasmian pembukaan galeri itu, tentu dia tak akan melamar
Qisya di hadapan semua orang. Baginya kenangan itu cukup manis untuk dikenang.
“Kalau nak buka kedai macam Uncle Rezza, along kena belajar rajin-rajin. Jangan asyik main aje.
Faham?”
Ku Alisha mengangguk. Tumpuan kembali ditala pada
lukisan di hadapannya. Manakala Ku Anisya sibuk sungguh bermain dengan patung
Barbie dan rumah kecil barunya. Anak seorang itu memang gemar bermain
rumah-rumah. Koleksi patung Barbie yang dimilikinya dah tak terbilang dengan
jari.
“Aisy dah tidur ke?” tumpuan Tengku Danish beralih
pada sang isteri. Punggung dilabuhkan di sebelah Qisya yang sedang menyusukan
Tengku Aisy. Dia suka melihat isterinya itu menyusukan anak-anak mereka. Dulu
waktu si kembar kesayangan seusia Tengku Aisy, isterinya menyusukan mereka
dengan susu badan sehingga berusia dua tahun.
Qisya memberi isyarat dengan meletakkan jari
telunjuk ke bibir. Tengku Aisy baru saja terlena. Dia tak mahu si kecil itu
terjaga hanya kerana suara papanya.
Tengku Danish mengangguk. Comel benar anak lelakinya
itu terlena dalam dakapan mamanya. Kemudian mata di hala ke skrin televisyen.
Isterinya itu tak habis-habis dengan drama korea channel 393.
“Apa hal yang penting sangat bonda nak jumpa sayang
pagi tadi?” tanya Tengku Danish dengan nada perlahan. Baru dia teringat akan
perjumpaan awal pagi antara isteri dan bondanya. Teringin juga dia mahu tahu
apa pakatan dua wanita itu.
“Oooo… takde
apa. Bonda cuma cakap hal Ryan.”
Teringatkan Tengku Rayyan, senyuman Qisya melebar.
Baru dia teringat akan rancangan bersama ibu mentuanya itu. Pantas dia
berpaling pada sang suami.
“Kenapa ni?” soal Tengku Danish pelik melihat
senyuman isterinya. Senyuman penuh makna tersirat.
“Hmmm…
Qisya nak tanya abang ni. Staf abang yang nama Mawar tu masih solo lagi tak?
Qisya berkenan la dengan staf abang yang sorang tu. Manis aje orangnya. Sesuai
jadi ahli keluarga” berbasa-basi Qisya dengan suaminya sebelum pergi kepada
tujuan asal.
“Hai… sayang nak jodohkan Mawar tu dengan Qayyum
atau Qayyim ke sampai berkenan nak jadikan ahli keluarga?”
“Hisy…
abang ni. Adakah patut nak dijodohkan dengan budak berdua tak cukup umur tu?!
Belajar belum habis, takyah nak
gatal-gatal fikir pasal kahwin. Ini bukan untuk Qayyum atau Qayyim, tapi ini
untuk Tengku Rayyan tu ha. Adik kita yang sorang
tu memang dah selayak-layaknya untuk berkahwin.” Qisya dah tak larat nak
berteka-teki. Lebih baik dia berterus-terang sahaja.
“Oooo… untuk Ryan. Ingatkan untuk Qayyum atau Qayyim
tadi.”
“A’ha la.
Untuk Ryan la. Abang tak fikir ke pasal Ryan tu. Umur dia dah tiga puluh tahun.
Sepatutnya dalam umur macam tu, Ryan dah fikir pasal kahwin. Ini tidak… asyik
menghadap kerja dua puluh empat jam. Nak keluar bersosial dengan rakan-rakan
pun takde masa. Itu yang bonda
risaukan. Lagipun bang… dah tiga tahun arwah Sofea tinggalkan kita semua.
Sepatutnya Ryan kena bangun dari masa silam. Bukannya terus-menerus macam ni.”
Tengku Danish sekadar berdiam. Malas hendak
bersuara. Hal berkaitan dengan Tengku Rayyan, dia malas nak masuk campur. Bukan
kerana dia tak prihatin. Namun baginya bagilah masa kepada Tengku Rayyan untuk
menenangkan fikiran. Soal kehilangan orang tersayang bukan boleh diukur dengan
masa. Itu yang isteri dan bondanya tak faham.
“Lagipun Qisya dah janji dengan bonda. Nak tolong
bonda carikan calon isteri yang terbaik untuk Ryan.” Sambung Qisya lagi.
“Aik? Sejak bila pula sayang jadi ajen mencari jodoh
ni?”
Panjang muncung Qisya. Dia tahu suaminya sedang
menyindir.
“Sejak bonda lantik orang kerja dengan dia la.”
Kemudian selamba sahaja dia menjawab. Tak mahu mengalah langsung!
Melihat muncung si isteri yang tak ubah seperti itik
betina, Tengku Danish menghela nafas. Dia tahu niat baik isterinya itu. Namun
dia tak mahulah Qisya berlebih-lebih pula dalam hal mencari calon isteri buat
Tengku Rayyan ini. Biarlah jodoh adiknya itu datang sendiri. Bukan diatur oleh
keluarga.
Bahu isteri yang sedang memuncung dipeluk erat.
“Sayang… dengar sini. Abang tahu niat baik sayang
nak tolong bonda dapatkan jodoh yang baik untuk Ryan. Tapi… dalam soal ni kita
tak boleh nak paksa Ryan. Kita serahkan pada Allah dan kehendak Ryan sendiri.
Kalau dah tertulis ada seorang perempuan untuk Ryan, tak payah sayang dengan
bonda bersusah-payah. Ryan pasti akan berkahwin. Cuma buat masa ni, kita beri
masa pada Ryan. Biar dia bertenang dulu.” Penuh berhati-hati Tengku Danish
menutur kata.
“Tapi sampai bila bang? Dah tiga tahun berlalu. Ryan
tetap macam tu. Ryan seolah-olah tak boleh lupakan arwah Sofea.”
“Masa bukan la ukuran untuk kita melupakan orang
tersayang. Kita semua tahu betapa dalamnya cinta Ryan pada Sofea. Sayang
sendiri, tahu macam mana Ryan bersusah-payah nak dapatkan cinta Sofea. Bukan
mudah untuk Ryan nak lupakan Sofea, sayang. Sofea dah sebati dalam hidup Ryan.
Apatah lagi Ryan kehilangan Sofea tiga hari sebelum majlis pernikahan dia orang
berlangsung. Itu satu tamparan hebat buat Ryan.”
Qisya diam tak berkutik. Mendengar saja bicara
suaminya. Sesekali suaminya itu menutur kata, bicaranya memang bernas dan
‘makan dalam’.
“Kita beri Ryan masa. Insya-Allah abang yakin suatu
hari nanti ada perempuan yang berjaya membawa Ryan kembali menjadi Ryan yang
dulu. Cuma kita perlu bersabar dan banyak berdoa.” Tengku Danish amat berharap
agar isterinya itu sedar akan tindakannya. Tak salah membantu bonda, tetapi
mereka perlu memikirkan hati dan perasaan Tengku Rayyan juga.
No comments:
Post a Comment