BAB 1
“Nenek!!!”
Suara si kembar bergema di halaman rumah. Berlumba-lumba mereka mendapatkan Ku
Ana yang sedang menanti di muka pintu utama. Tersenyum lebar si nenek menyambut
kedatangan cucu-cucunya. Rindu menggunung tinggi bagaikan Gunung Kinabalu.
“Alisha rindu nenek!” ujar si kakak, Tengku Nur
Qaireen Dalisha atau lebih senang dipanggil Ku Alisha.
“Anisya pun rindu nenek jugak.” Si adik tidak mahu
mengalah. Leher nenek dipaut sambil pipi itu dikucup berulang kali. Tengku Nur
Qaisara Danisya a.k.a Ku Anisya memang tak mahu kalah dengan kakak kembarnya.
Ku Alisha menceber. Leher neneknya dipaut juga.
“Tapi along rindu nenek lagi banyak dari angah.”
“Mana ada! Angah rindu nenek lagi bannnnnyak dari
along!” balas Ku Anisya tayang muka tak puas hati.
“Dah! Dah! Jangan bergaduh. Nenek tahu cucu-cucu
nenek ni rindukan nenek banyak sangat. Dua-dua pun sama.” akhirnya Ku Ana
bersuara setelah melihat ada tanda-tanda mahu bertengkar antara cucu-cucunya
itu. Baru lima tahun, tapi keletahnya cukup memeningkan kepala!
“Nenek, atok mana?” tanya Ku Anisya sambil mata
mencari-cari kelibat si atok.
“Atok ada kat laman belakang. Tengah bagi anak-anak
Cik Nab makan.”
“Cik Nab dah beranak ye nek?” giliran Ku Alisya bertanya. Teruja benar dia mendengar
neneknya memberitahu Cik Nab sudah beranak.
Ku Ana mengangguk. “A’ah… dah lima hari tau Cik Nab beranak. Ada empat ekor anak-anak
Cik Nab. Semua comel-comel.” Ku Ana melayan cucu-cucunya bersembang sambil
jarinya dinaikkan empat.
“Nak tengok! Nak tengok!” Ku Anisya melompat riang.
Tak sabar nak tengok anak-anak arnab siam peliharaan atoknya.
Di laman belakang banglo tiga tingkat ini, atoknya
pelihara banyak binatang ternakan. Ada ayam, itik, kambing dan dua ekor arnab
siam. Kucing parsi dan kampung pun banyak. Disebabkan itulah dua beradik kembar
itu suka berada di sini. Boleh bermain dengan binatang-binatang peliharan atok
mereka.
“Pergi la. Atok ada kat sana.”
“Horrey!!!”
Ku Alisha dan Ku Anisya bersorak riang. Berlumba-lumba mereka berlari ke laman
belakang. Jeritan si mama yang melarang mereka berlari-lari langsung tidak
diendahkan.
“Along… angah… jangan berlari!” jerit Qisya kepada
anak-anaknya. Namun jeritannya langsung tidak dipeduli. Semakin laju pula
anak-anaknya itu berlumba. Ini membuatkan Qisya mengetap bibir geram.
“Bonda….” Tangan Ku Ana disalam lalu pipi ibu
mentuanya itu dikucup kiri dan kanan.
“Budak-budak tu bukannya dengar cakap. Asyik nak
berlari aje. Macam dah tak boleh nak berjalan elok-elok.” Omel Qisya geramkan
anak-anak kembarnya yang aktif mengalahkan budak lelaki.
“Alaaa… biarlah Qisya. Dah namanya budak-budak.
Memang macam tu la perangai dia orang. Dulu suami kesayangan kamu tu pun
nakalnya bukan main lagi. Sampaikan hampir lemas jatuh dalam kolam gara-gara
bermain dengan Ryan.” Ujar Ku Ana sambil mengagah si kecil yang berada dalam
dukungan menantunya.
Tengku Muhammad Daniel Aisy ketawa mengekek apabila
diagah oleh neneknya. Si kecil berusia lapan bulan itu bagaikan tahu wanita
yang berdiri di hadapannya ini adalah keluarga sendiri. Laju saja dia
mendepangkan tangan minta diambil. Sedangkan bila berdepan dengan orang luar,
Tengku Aisy tunjuk muka takut bukan kepalang. Terutama bila berdepan dengan Auntie Casabell, teman mamanya yang
gemar mengagah-agah dia. Cebik saja bibirnya nak menangis kerana takut.
Tubuh montel itu sudah bertukar tangan. Seronok Ku
Ana dapat menggomol cucunya yang seorang ini. Montelnya bukan main. Sebiji
seperti papanya ketika kecil dulu.
“Walid mana bonda? Tak nampak pun kelibat walid.”
Tanya Qisya seraya melabuhkan punggungnya di atas sofa. Melilau dia mencari
kelibat si ayah mentua. Selalunya ayah mentua dan ibu mentuanya ini tak pernah
berenggang. Ke mana pasti berdua. Sejak ayah mentuanya bersara dan menyerahkan
urusan Istana Kristal Holding kepada Tengku Danish dan Tengku Rayyan, pasangan
itu tak ubah seperti pasangan pengantin baharu.
“Ada kat laman belakang. Tengah bagi
binatang-binatang ternakan dia makan. Biasa la walid kamu tu, sejak dah pencen
ni itu ajelah kerja yang dia buat hari-hari. Sampaikan binatang-binatang tu dah
kenal sangat muka walid.”
Qisya sekadar mengangguk dan tersenyum mendengar
bondanya menceceh. Patutlah anak-anak kembarnya itu berlari ke laman belakang
tadi. Itu mesti nak tengok binatang-binatang ternakan. Anak-anaknya itu memang
sukakan binatang-binatang ternakan atok mereka. Cuma suaminya sahaja yang tidak
mengizinkan anak-anak mereka terlalu dekat dengan binatang. Terutama binatang
berbulu. Takut penyakit ashma anak-anaknya itu menyerang.
“Sunyi je rumah ni bonda. Kak Cem, Bunga dengan
Abang Mamat mana? Tak nampak pula kelibat dia orang. Cuma Pak Abu aje yang ada
kat laman depan tengah gunting pokok-pokok bunga tu.” seorang demi seorang
pembantu rumah dicari. Selalunya rumah ini meriah dengan suara Kak Cem yang
suka mengarah Bunga buat itu dan ini. Bunga pula dengan bersahaja pasti akan
membalas kembali arahan Kak Cem. Buat Kak Cem naik darah dengan sikap Bunga
yang gemar menjawab.
“Cem balik kampung. Hari ni kenduri tujuh hari arwah
mak saudara dia. Mamat pula bawa Bunga pergi cari cincin kahwin. Kan tak lama
lagi dia orang berdua tu nak bernikah.” Beritahu Ku Ana.
Qisya sekadar tersenyum. Menjadi juga taktik
mengurat Abang Mamat yang diajarnya. Tak sia-sia dia menjadi sifu. Akhirnya
Abang Mamat yang sudah terlajak usianya itu dapat juga beristeri. Tentu mak
Abang Mamat gembira menerima menantu tak lama saja lagi. Menantu dari tanah
seberang pula tu. Cantik persis Bunga Citra Lestari!
“Kamu makan tengah hari dekat sini ya? Bonda masak
lauk banyak hari ni.”
“Boleh juga bonda. Tapi Qisya kena telefon bagitau
abang dulu la. Takut nanti abang balik rumah ingat Qisya dah masak.”
“Hmmm…
bagitau Danish suruh balik makan tengah hari kat sini. Dah lama sangat kita
sekeluarga tak makan bersama.” Ujar Ku Ana.
Qisya mengangguk. Telefon pintar dalam beg tangan LV
dicapai. Laju jari-jemarinya mencari nama suami tersayang. Setelah nombor
Tengku Danish didail, Qisya tak menunggu lama mendapat jawapan dari suaminya.
Bukan main manja lagi dia berbicara dengan Tengku Danish. Lagak bagaikan
pasangan baru berkahwin. Padahal anak dah masuk tiga. Namun Ku Ana gembira
melihat kebahagian rumah tangga anak dan menantunya itu. Sebagai seorang ibu,
tak pernah sekali dia lupa mendoakan kebahagian anak-anaknya.
Bunyi enjin kereta di halaman rumah memaksa Ku Ana
membuang pandangan ke laman. Kereta Mercedes hitam itu cukup dikenali. Tak lama
kemudian, muncul Tengku Rayyan di muka pintu. Kelam-kabut saja tingkah anak
bongsunya itu.
“Tak kerja ke Ryan?” tanyanya pada si anak yang
terkocoh-kocoh hendak melangkah naik ke atas.
Terhenjut sedikit bahu Tengku Rayyan menerima
teguran bondanya. Mungkin dia tak sangka bondanya berada di ruang tamu. Itu
yang buat semangatnya separuh melayang.
“Kerja bonda. Balik nak ambil dokumen tertinggal.”
Jawab Tengku Rayyan sambil terus mendaki anak-anak tangga.
Menggeleng kepala Ku Ana melihat tingkah anak
bujangnya itu.
Selang beberapa saat, kelibat Tengku Rayyan muncul
kembali. Di tangannya terdapat sebuah sampul surat bewarna coklat.
Terkocoh-kocoh dia bergerak ke pintu utama. Tak menyempat langsung nak
bersalaman dengan bonda.
Ku Ana bangun dari duduk. Tengku Aisy didukung
bersama sementara mamanya ‘berdating’
dengan papanya melalui telefon.
“Hari ni bonda masak banyak. Ryan balik makan tengah
hari dekat rumah ya? Kita makan ramai-ramai dengan Abang Long sekali.”
Langkah Tengku Rayyan terhenti. Dia berpaling kepada
bonda yang sedang mendukung Tengku Aisy.
“Ngeee…
tengok dulu la bonda. Ryan sibuk. Kalau sempat Ryan balik makan, tapi kalau tak
sempat tu jangan tunggu ya. Bonda dengan yang lain-lain makan la dulu. Okey la
bonda. Ryan dah lambat ni. Nak jumpa client. Ryan pergi dulu.
Assalammualaikum.” Seletah bersalaman dengan bonda dan mencuit pipi gebu anak
saudaranya, Tengku Rayyan terus masuk ke dalam perut kereta. Sempat dia
melambai tangan kepada bondanya sebelum kereta yang dipandu hilang dari
pandangan wanita itu.
Qisya yang sedang berbicara dengan suami tercinta,
hanya mampu menjeling tingkah adik iparnya. Tak sempat bertegur sapa dengan
adik iparnya itu kerana sibuk berbual dengan suami.
Ku Ana menghela nafas. Sedikit kecewa dengan sikap
Tengku Rayyan.
CUP!
Terkejut Qisya dibuatnya. Mujurlah dia takde penyakit melatah. Jika tidak, tentu
dah dikarate tengkuk makhluk yang sesuka
hati mencium pipinya itu. Dia tengah berfikir masalah Negara, makhluk seorang
itu pula nak main cium-cium.
Qisya tak hiraukan Tengku Danish. Dia kembali
berfikir. Wajahnya nampak serius bebenor!
Cup! Sekali lagi ciuman diberikan. Kali ini di pipi
sebelah kiri pula.
Qisya menala pandangan ke arah suami yang sedang
tersengih-sengih dengan mata tajam bagai burung helang. “Abang boleh tak jangan
kacau orang. Orang tengah berfikir ni.” dengus Qisya geram kerana diganggu.
Berkerut dahi Tengku Danish mendengar amaran
isterinya itu. Bukan main tegas lagi amarannya. Mengalahkan cikgu besar pencen!
“Sayang tengah fikir apa kat luar ni sampai abang
tak boleh nak kacau?” tanyanya. Tangan sudah naik ke pinggang si isteri.
Dipeluk kejap tubuh isterinya itu dari belakang. Anak-anak gadisnya sudah lama
masuk tidur. Tengku Aisy juga sudah lelap di dalam katil bayinya. Tinggal
mereka berdua sahaja yang masih berjaga.
Qisya mendecit. “Ada la. Ini masalah orang
perempuan.” Selamba Qisya menjawab. Hatinya berbunga cinta apabila si suami
mengeratkan pelukan.
Tengku Danish mencebik. “Sejak bila sayang pandai
berahsia ni? Besar sangat ke masalah tu sampai tak boleh nak kongsi dengan
abang? Selama ni takde istilah pun
masalah orang lelaki dengan orang perempuan. Semua sama je.”
Qisya mengeluh. Wajah sang suami dipandang. Walaupun
suaminya itu sudah mencecah usia tiga puluhan, namun ketampanannya masih
terserlah. Buat hati Qisya sering tak keruan bila mereka bertentang mata.
“Cuba cerita dekat abang apa masalah orang perempuan
sayang tu?”
“Pasal bonda la.” Beritahu Qisya.
“Bonda? Kenapa dengan bonda? Bonda tak sihat ke?
Tapi tengah hari tadi abang tengok bonda okey je. Takde pula abang tengok bonda macam orang sakit.” Cemas Tengku Danish
apabila sang isteri menyebut pasal bondanya. Pelukan dileraikan dan tubuh
isterinya itu dipaling agar menghadap wajahnya.
“Hisy…
abang ni. Qisya belum habis cakap abang dah potong Q! Bonda sihat la. Cuma
masalahnya sekarang bonda tu tengah risaukan pasal Ryan.” Jawab Qisya sambil
melangkah masuk ke dalam. Sempat dijenguk Tengku Aisy yang sedang terlena dalam
katil bayi. Comel benar anaknya itu tidur sambil menghisap ibu jarinya.
“Oooooh.” Panjang bunyi ‘o’ Tengku Danish. “Kenapa
dengan Ryan?” soalnya kemudian. Dia turut bergerak masuk sambil menutup pintu.
Dingin malam terasa mengigit tubuhnya yang hanya berbaju singlet nipis.
Qisya menjeling. Geram bukan kepalang dengan sikap
sambil lewa suaminya. Langsung takde
perasaan. Tengku Rayyan yang tak ubah seperti mayat hidup itu pun suaminya tak
boleh nampak. Nak kata rabun, mata suaminya itu sudah empat.
“Abang ni. Takde
sensitivity langsung! Abang tak
nampak ke keadaan Ryan tu?”
Tengku Danish jungkit bahu. Punggung dilabuhkan atas
katil. Bersebelahan dengan isterinya. “Abang tengok Ryan okey aje. Kerja pun
rajin.”
Mendengar jawapan suaminya, Qisya tarik muka masam.
Inilah masalahnya bila bercakap dengan orang takde perasaan. Menyakitkan hati sahaja!
“Eiii… dah
la! Qisya malas la nak cakap dengan abang ni. Bukannya tahu apa-apa pun. Dah
la. Qisya nak fikir jalan tolong selesaikan masalah bonda. Abang jangan kacau!”
ujar Qisya tegas.
Namun belum pun sampai seminit dia cuba berfikir,
bahunya dicuit. Dia berpaling. Suaminya tersengih-sengih ibarat kerang busuk.
“Abang nak apa lagi?”
“Nak sayang!” selamba jawapan diberi. Matanya
dikenyit nakal.
Merah padam wajah Qisya mendengar jawapan selamba
suaminya itu. Tak malu langsung! Jujur benar dia berkata.
“Qisya tengah sibuk.”
“Tak baik tolak permintaan suami. Time anak-anak tengah tidur, inilah masa
untuk mama mereka ‘layan’ papa. Lagipun malam ni malam jumaat. Pahala
berganda-ganda kalau kita dapat bunuh syaitan.”
Mendengar butir bicara suaminya itu, Qisya mencebik.
Kalau hal yang satu itu, panjang saja akal suaminya. Anak dah tiga, miang
suaminya juga semakin menjadi-jadi. Inilah yang dikatakan semakin tua semakin
menjadi.
Namun, apabila tangan kasar suaminya sudah menjalar
nakal ke segenap tubuh, dia sudah tak mampu berkata-kata. diturutkan saja
kemahuan sang suami. Lagipun ini adalah tanggungjawabnya sebagai seorang
isteri. Suami gembira, isteri bahagia!
No comments:
Post a Comment