Tuesday 23 September 2014

PELITA DI BAWAH PURNAMA BY FAZLINDA RIDZUAN


BAB 2
http://adnilzaff.blogspot.com/



Seperti yang dikatakan awal tadi Qairynn pulang dahulu ke rumahnya. Bimbang neneknya akan marah jika dia terus ke rumah sebelah tanpa mandi dan bersolat zohor. Selesai menunaikan solat dia terus turun ke bawah.
“Ryn, makan yuk?” Nong yang berkerja sebagai pembantu rumah itu segera menegur apabila ternampak kelibat Qairynn di ruang tamu bersama buku-bukunya dari ambang dapur.
“Takpelah, Nong. Rynn nak makan kat rumah mama dengan abang Aryan. Rynn pergi sana ya? Nanti Nong bagitahu nenek tau. Rynn terus buat homework kat sana dengan abang Aryan,” ucap Qairynn berserta sengihannya kepada wanita itu.
Tanpa menunggu jawapan Nong, gadis itu terus berlari anak ke muka pintu. Selipar yang tersedia di hadapan pintu disarungnya rakus. Tidak sabar benar rasanya mahu ke rumah sebelah. Perutnya pun sudah berlagu irama heavy metal. Namun sebenarnya dia tahu kegembiraan untuk menghabiskan masa yang ada bersama Aryan lebih mengatasi sebab yang lain.
Setiba di rumah ‘jiran ku abang angkat ku’ Qairynn lihat Aryan sudah berada di ruang tamu. Elok sahaja lelaki itu duduk di sofa sambil menonton tv.
“Abang dah makan ke?” tanyanya dengan mata membulat sebaik sahaja masuk ke dalam rumah itu. Senang hati benar Aryan dilihat tersandar di sofa. Macam orang sudah kenyang aja gayanya.
“Tengah tunggu minah sorang nilah! Terhegeh-hegeh!” jawab Aryan selamba sambil memandang Qairynn sekilas sebelum kembali memusatkan pandangannya ke arah tv.
“Mama mana?” tanya Qairynn sambil memandang ke tengah rumah. Tiada pula kelibat wanita yang sedang dicari. Rumah itu sepi sahaja melainkan suara tv yang sedang dipandang Aryan.
“Mam solat kat atas. Jom makan. Abang dah lapar ni,” ajak Aryan lantas bangun dari sofa itu. Pakaian sekolahnya sudah digantikan dengan seluar pendek dan t’shirt kolar bulat berlambang Nike.
“Jom!” sambut Qairynn teruja. Teruja dek kerana perut yang sudah kebuluran.
“Mama dah makan ke?” tanya Qairynn saat di meja makan itu. Mereka sudahpun memulakan suapan masing-masing. Lauk asam pedas ikan pari, ikan bawal masak masam manis dan sayur kailan goreng yang dimasak oleh ibu Aryan tidak mampu untuk membuat mereka menunggu lagi. Masing-masing menyuap laju seperti orang kebuluran.
“Tadi papa balik makan tengahari. Mama makan sekali dengan papa.” Aryan menjawab tanpa mampu mengalihkan tumpuannya daripada lauk pauk di atas meja.
Qairynn mengangguk sedikit kemudian meneruskan makannya. Tetapi seketika kemudian dia teringatkan sesuatu. Pandangannya kembali dihalakan kepada Aryan.
“Abang tahu tak? Tadikan.. Fahim dia cakap pada Rynn sesuatu pasal seseorang. Abang nak tahu apa dia cakap?” ucap Qairynn. Namun saat itu dia sudah tersenyum semacam kepada Aryan yang duduk di hadapannya.
“Apa dia?” tanya Aryan antara berminat dengan tidak sahaja gayanya.
“Fahim cakap abang ada peminat..” ujar Qairynn cuba memancing minat Aryan. Sambil menggaul nasi dalam pinggan dia memandang Aryan yang masih bereaksi cakna dengan tidak sahaja.
“Iya? Siapa peminat abang tu? Dia?” jawab Aryan selamba.
“Eeii! Ada pulak Fahim. Dia tu mana ada perasaan!” balas Qairynn lantas ketawa kecil mengenangkan sahabat sekelasnya itu.
Aryan tergelak kecil. “Tahu pun Rynn yang Fahim tu takde perasaan. Habis tu kalau bukan dia siapa lagi? Tak tahu pulak abang yang dia suka gosip-gosip ni semua?” ucap Aryan usai tawanya. Wajah gadis di hadapannya itu dipandang seketika.
“Wah! Berminat benar nak tahu?” perli Qairynn sedikit tidak senang melihat Aryan sudah mula tertarik dengan topik mereka saat ini. Entah-entah apa yang sering diceritakan orang kepadanya itu memang betul.
“Eh! Bukan ke tadi Rynn jugak yang beria nak bagitahu abang?” balas Aryan sambil tersenyum sendiri.
Qairynn mencebik meluat melihat senyuman Aryan. “Maya suka kat abang..” ujarnya agak mendatar. Wajah Aryan dipandang kosong. Entah kenapa dia tidak gemar mendengar cerita itu.
Spontan itu senyuman Aryan memudar. Tersentak jantungnya mendengar nama yang disebut Qairynn. Maya suka padanya? Betulkah? Hati Aryan berdebar entah kenapa. Macam seronok aja dia mendengar gosip itu. Harap-harap bukanlah sekadar gosip kosong. Dia tunduk menyuap makanan tanpa menjawab apa-apa kepada Qairynn.
Tanpa sedar kebisuan Aryan dipandang lama oleh Qairynn. Hatinya terus dibaluti rasa tidak enak. Sukakah Aryan kepada Maya si ratu cantik sekolah mereka itu? Kalau tidak suka mengapa Aryan tidak menafikan kata-katanya sebentar tadi. Entah-entah Aryan pun ada hati dengan Maya. Hati Qairynn hanya mampu bermonolog sendiri.
“Abang pun suka dengan Maya tu ke?” soal Qairynn setelah agak lama mereka membisu di meja itu.
“Ish! Taklah..” sambut Aryan pantas.
“Yelah tu. Entah-entah dalam diam memang suka,” ucap Qairynn lantas mencebik sendiri.
“Bukanlah macam tu..” ucap Aryan lembut.
“Apa yang bukan macam tunya?” soal Qairynn sambil mengerut kening kepada Aryan yang berjeda pula. Berangan ke apa ni? fikir Qairynn sambil terus merenung tampang Aryan.
“Abang dengan dia jarang bercakap selama ini. Abang pun tak pernah terfikir nak ke situ buat masa ni dengan sesiapa, Rynn. Ini bukan masanya,” jelas Aryan ringkas sahaja. Namun hakikat yang tersimpan di dalam hatinya hanya Allah yang tahu dan biarlah Allah sahaja yang tahu untuk seketika ini. Dia tidak mahu kelak timbul masalah jika rahsia itu terbongkar.
Qairynn segera mengangguk tanda berpuasa hati mendengar penjelasan itu. Tanpa kata lagi dia meneruskan suapan yang tergendala.
“Tapi mana Fahim tahu pasal ni semua?” kali ini Aryan pula yang menyoal Qairynn.
“Ada orang bagitahu dia,” jawab Qairynn jujur.
“Siapa?”
“Manalah Rynn tahu! Banyak tanya pulak,” getus Qairynn semakin tidak senang. Panas hatinya entah kenapa.
“Aik? Tanya sikit pun marah ke? Siapa suruh bukak cerita?” Aryan tersengih kepada Qairynn di hadapannya.
“Orang nak makan pun tak senanglah!”
“Dahlah! Cepat makan. Kita buat homework lepas ni.” Serentak itu lelaki itu terus bangun untuk membawa pinggannya ke dapur.
Tinggal Qairyn sendirian di meja itu menghabiskan nasinya. Melihat Aryan sudah beransur pergi dari meja itu Qairyn segera menyuap nasinya agak lahap. Selesai nasi di dalam pinggannya, dia juga terus bangkit untuk ke dapur. Di dapur dia melihat Aminah, pembantu rumah Indonesia yang berusia 30 tahun sedang mengemas dapur.
“Mbak, nak basuh pinggan ni,” ucap Qairynn lembut.
Enggakusah. Bairinmbak aja..” ucap wanita itu lembut kepada Qairynn.
Menyedari wanita itu sedang berada di sinki Qairynn akur dengan pemintaan wanita itu. “Terima kasih, mbak..” ucap Qairynn sambil tersenyum.
Selepas meneguk air dan mengemas meja sedikit sebanyak Qairynn terus naik ke tingkat atas bersama dengan buku-bukunya. Di pertengahan tangga dia bertembung dengan Datin Rahimah yang sedang melangkah untuk turun ke bawah.
“Mama..” sapa Qairynn mesra.
“Ya, sayang. Rynn dah makan ke?”
“Dah selamat pun dua pinggan. Mama punya asam pedas memang superb..” ucap Qairynn sambil tersenyum.
“Mama dah selalu dengar tu, Rynn.” ucap Datin Rahimah lantas tersenyum. Pujian seperti itu sudah acap kali diterimanya. Dia tahu Qairynn memujinya bukanlah bermakna uminya tidak tahu memasak makanan yang sedap-sedap. Sebaliknya emak Qairynn juara memasak resepi ala-ala Arab kerana wanita itu berdarah Arab. Sementara dia pula Melayu asli sudah tentulah lebih pakar memasak lauk ala-ala kemelayuan.
“Ma, Rynn nak buat homework ni. Naik dulu ya?”
“Banyak ke kerja rumah cikgu bagi hari ni?”
“Banyak jugak..”
“Yalah. Elok-elok duduk dengan abang Aryan tu. Jangan bergaduh pulak!” pesan Datin Rahimah lembut sebelum mengusap rambut Qairynn penuh kelembutan. Walaupun dia tahu Qairyn dan Aryan akrab semenjak dari sekolah rendah namun kadang-kala dua remaja itu sering bertengkar apabila sudah terlalu kerap mengusik dan diusik.
“See you, ma!”
Tanpa menunggu lagi Qairynn terus naik ke tingkat atas. Selalunya dia akan membuat kerja sekolah di bilik bacaan bersama dengan Aryan. Setiba di bilik itu Aryan sudah berada di situ bersama dengan beg sekolahnya. Aryan mengerling Qairynn sekilas sebelum memandang semula bukunya.
Dua jam itu mereka berdua ralik menyudah kerja sekolah masing-masing. Tidak banyak perbualan dan senda mereka berdua. Tuntutan sebagai pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar hujung tahun ini lebih utama bagi mereka berdua. Tetapi seketika kemudian Aryan mula mengeliat. Akibat tidak banyak bergerak bahunya mula terasa keras.
“Sakitlah bahu abang, sayang.” Aryan berkata sambil memandang Qairynn yang masih ralik dengan tugasnya. Bahunya ditepuk-tepuk lembut.
Faham makna bicara Aryan gadis itu mengerling sekilas lelaki itu. “Bahu Rynn ni pun sakit jugak,” jawab Qairynn sengaja meleretkan nadanya. Dia tahu Hadi mahu dia mengurut bahu lelaki itu.
Spontan Aryan ketawa perlahan. Semenjak tadi mereka serius tiba-tiba sifat nakalnya timbul apabila memandang Qairynn yang begitu khusyuk. Pen di tangan Qairynn diambilnya pantas. Tersentak gadis 17 tahun apabila pen itu tiba-tiba lesap dari genggamannya. Panas hatinya dengan perbuatan lelaki itu.
“Abang, janganlah!” degusnya geram. Pena itu cuba diambil semula namun Aryan sengaja mengelak.
“Sayang abang dulu baru abang bagi,” usik Aryan sambil menunjukkan pipinya kepada gadis itu.
“Tak nak! Bak pen tu semula! Homework Ryn banyak lagi ni, abang! Janganlah kacau!” bentak Qairynn mula tidak senang dengan usikan Aryan yang tidak kena tempat. Dia sudah tiada masa untuk bermain-main.
“Okaylah! Kesian adik abang ni..” Aryan segera mengalah saat melihat wajah Qairynn sudah lain macam. Lagipun dia tidak sampai hati mahu mengacau dalam keadaan gadis itu sedang kejar masa. Sekejap lagi Qairynn mesti akan dipanggil balik oleh neneknya.
Qairynn sempat menjeling saat pen itu bertukar tangan. Tiada senyuman menghiasi bibirnya biarpun Aryan sedang tersenyum kepadanya. Dia benar-benar tiada mood untuk melayan usikan Aryan.
“Adik abang ni kalau masam macam ni memang cantik,” usik Aryan lembut. Pipi gadis itu dicuitnya lembut.
“Jangan nak poyo, okay!” getus Qairynn tanpa memandang.
“Poyo tu apa?”
“Poyo tu maksudnya jangan nak mengada-ada!”
“Oh.. poyo tu maksudnya mengada-ada..” Aryan kembali menyebut apa yang diungkapkan Qairynn itu. Buat seketika dia sekadar memandang jemari runcing Qairynn yang laju menulis di atas bukunya. Kemudian berpindah pula ke wajah gadis itu yang sedikit menunduk. Bulu mata hitam yang lentik itu benar-benar menarik dilihatnya. Tambahan pula bola mata coklat terang milik gadis itu dilitupi dengan kelopak mata yang sedikit redup. Wajah Melayu-Arab milik Qairynn sebenarnya memang unik. Tetapi dia tidak tahu kenapa gadis ini suka benar berambut pendek.
“Abang sebenarnya teringin nak tengok Rynn berambut panjang,” ucap Aryan tiba-tiba. Tangannya spontan menyentuh rambut yang terjuntai di dahi Qairynn. Wajah seseorang yang diminati dalam diam mula melintas. Dia memang sukakan gadis berambut panjang. Seperti Maya sebagai salah satu contohnya..
“Tapi sesetengah perempuan bila dia berambut pendek, dia nampak seksi..” sambung Aryan sambil merenung gadis di hadapannya itu.
Qairynn terdiam. Namun dia terus mengangkat pandangan kepada Aryan di hadapannya. Perlakuan Aryan tiba-tiba membuatkan hatinya merasa tidak enak. Nada lelaki itu juga agak aneh. Senyum Aryan mula memberikan dia satu rasa yang dia sendiri tidak tahu. Renungan lelaki itu mula membuatkan dia hilang fokus tiba-tiba. Apa kena dengan Aryan? Entah..
Qairynn tunduk tidak melayan perbuatan lelaki itu walaupun dalam diam hatinya terusik. Kenapa pulak dengan aku ni? Tiba-tiba ditimpa perasaan pulak! Dah gila agaknya! Degusnya sambil menggeleng sendiri.

No comments:

Post a Comment