Monday 15 September 2014

ALASAN UNTUK SETIA BY ADZRA SUE

 
BAB 2

https://www.facebook.com/eizan.ezan.3?fref=ts

MEYUSURI laluan yang ditunjukkan Nasrul, akhirnya aku terpaksa memberhentikan kereta di hujung jalan tanah merah masuk ke kuarters yang menghadap rel keretapi yang berpagar.
Bahagian hadapan bangunan kuaters lama ini nampak bersih walaupun dindingnya bercat usang. Nampak gayanya, seperti tidak diselenggarakan dengan baik. Nasrul membawaku ke rumahnya yang berselang tiga pintu dari hujung kuarters. Dari luar aku dapat mendengar suara kanak-kanak yang sedang menangis.
Pintu yang tidak berkunci ditolak ke dalam. Tergeleng kepalaku. Mudah sahaja Nasrul meninggalkan adik-adiknya tanpa pengawasan dengan pintu yang tidak berkunci.
“Nasuha... Najwa....”
“Abang!!.” kedua-dua anak kecil dalam lingkungan 6 dan 7 tahun itu terus menerkam abangnya sambil menangis. Pakaian di tubuh adik-adiknya begitu kusam dan lusuh.
“Kenapa menangis?”
“Wawa lapar.....” Adu si adik sambil mengesat air matanya. Segera abangnya menghulurkan plastik yang mengandungi bekas polisterin. Terus berhenti tangisannya dan mereka terlonjak riang membawa bungkusan nasi ke dapur.
“Kak Liss nak pergi mana?” Tegur Nasrul melihat aku ingin mengikuti langkah adik-adiknya.
“Dapur. Kak Liss nak tolong adik-adik Nasrul”
“Tak payah, dorang pandai makan sendiri. Kak Liss duduklah. Maaf.... rumah Nasrul buruk...” Aku telan air liur.
Aku duduk di sofa rotan yang entah berapa tahun usianya. Kusyennya juga sudah penyek dengan warna sarungnya kelam berbintik-bintik hitam. Pastinya tidak pernak bertukar walau sekalipun. Tetapi, satu perkara yang aku patut puji. Ruang tamu kecil ini kemas dan sangat bersih. Jika Nasrul mengatakan emaknya sakit, siapa yang membersihkan rumah?
“Er... mak Nasrul mana?”
“Mak kat dalam bilik. Mak demam”
“Dah berapa hari demam?”
“Dah dekat seminggu. Kalau mak tak demam, mak boleh pergi kerja. Dapat duit.... jadi Nasrul tak mencuri...” Aku hela nafas berat. Begitukah kisahnya...?
“Mak Nasrul keje apa?”
“Cuci pinggan kat restoran. Nasrul jaga adik-adik sampai mak balik bawak lauk dari kedai makan”
“Nasrul pergilah makan dulu. Bagi mak makan juga. Kak Liss tunggu”
“Kak Liss tak makan?”
“Kak Liss masih kenyang sarapan nasi lemak tadi” Aku hulurkan senyuman kepadanya. Nasrul menghilang ke ceruk dapur yang sempit di bahagian belakang. Dia keluar semula dengan sepinggan nasi berlaukkan ayam dan sayur tumis petola campur suhun. Syukur, pekerja restoran tadi membekalkan sayur yang berkuah.
“Boleh kak Liss tengok mak Nasrul?” Dia angguk lambat-lambat. Aku rasa tentu berat hatinya mahu mengajak aku masuk ke bilik emaknya yang sedang terlantar sakit
“Mak…..” Aku berdiri di ambang pintu sambil menahan sebak yang tertahan-tahan. Betapa daifnya keluarga ini. Tiada sebarang katil, almari atau kerusi sekalipun. Hanya tilam nipis tempat emak Nasrul berbaring.
“Nasrul…..? Nasrul dah beli nasi untuk adik-adik?” Tanya emaknya sebaik sahaja dia membuka mata.
“Dah mak. Nasuha dengan Wawa tengah makan. Ni.. Nasrul bawak nasi untuk mak juga..” Dengan terketar-ketar emaknya angkat badan dan bersandar di dinding bata-bata. Di kanan dan kiri hujung keningnya bertampal koyok. Nasrul meletakkan pinggan di atas riba emaknya dan menyuakan sudu.
“Nasrul? Mana Nasrul dapat duit beli lauk ayam macam ni? Emak bagi Nasrul sepuluh ringgit aja. Cukup ke duit? Nasuha dengan wawa makan lauk apa?” Luluh hatiku serta-merta. Hanya sepuluh ringit untuk makan tengahari mereka berempat? Cukup ke?
“Mak…. Nasrul balik dengan kak Liss. Kak Liss yang belikan Nasrul nasi dan lauk ayam. Tu dia kak Liss, mak…” Emak Nasrul terkejut lantas dia mendongak ke arah pintu, tepat kepadaku. Rupa-rupanya sedari tadi, dia langsung tidak perasankan kehadiranku di rumahnya ini. Aku yang sedang menahan sendu memaksa diri untuk tersenyum.
“Assalamualaikum makcik. Saya Lilis…”
“Lilis? Siapa?.... Macamana anak ni boleh kenal dengan Nasrul? Nasrul mintak sedekah ke? Mak tak suka Nasrul mintak duit orang!”
“Bu… bukan macam tu, makcik. Tadi…. Ada orang cuba ragut beg tangan saya… “ Aku dan Nasrul berpandangan. Airmatanya bergenang dan kelihatan takut-takut. Bimbang tembelangnya akan pecah jika aku membuka rahsia.
“Nasib baik ada Nasrul… dialah yang tolong kejar peragut tu dan selamatkan beg saya. Saya nak bagi upah, dia tolak. Saya nak belanja dia makan, tapi katanya dia nak beli nasi untuk adik-adik dia dan juga untuk makcik. Jadi.. saya belikan nasi untuk semua…”
“Oh.. macam tu.. terima kasih lah Nak. Mak cik takut kalau Nasrul menyusahkan orang lain” Nasrul renung aku bagai tidak percaya. Matanya berkaca-kaca.
“Nasrul… pergi makan. Biar kak Liss yang temankan mak Nasrul” Bukan niat mahu mengusirnya, tapi aku tak mahu emak Nasrul dapat mengesan air mata Nasrul yang mula menitis.
“Lilis tak makan?”
“Silakan makcik. Saya kenyang lagi makan dengan ibu saya tadi” Dengan tangan yang masih terketar-ketar, emak Nasrul menyudu nasi bersama kuah dan sayur sahaja dan suapkan ke mulutnya. Hampir separuh nasi berjaya dihabiskan dan sebelah tangannya mencapai gelas plastik berisi air putih. Cepat-cepat aku menolongnya.
“Makcik dah kenyang…”
“Tapi makcik… kenapa mak cik tak makan ayam goreng tu? Makcik makan nasi dengan sayur aja”
“Mak cik nak simpan untuk Nasuha dan Wawa. Jarang sekali makcik bawak balik lauk ayam. Malam nanti, bolehlah Wawa makan ayam lagi. Budak-budak kan suka ayam goreng?” Luluh hatiku sekali lagi. Kasih sayang seorang ibu, tiada tolok bandingnya. Demi anak, sanggup dia menahan nafsu makannya.
“Mak cik demam ni, dah pergi klinik ke?”
“Manalah makcik mampu nak pergi klinik, Lilis? Nak pergi hospital pun, tak ada kenderaan. Makcik nak naik bas, tak berdaya nak berjalan jauh. Nak panggil teksi, tambangnya mahal. Hari ni, dah rasa sedikit kebahnya. Esok lusa, bolehlah makcik kerja semula. Anak ni, dah kerja ke?”
“Belum lagi makcik. Lilis baru habis belajar. Er.. jIran-jiran makcik tak ada yang boleh tolong ke?”
“Jiran-jiran makcik pun, senasib dengan makcik. Masing-masing tak ada kenderaan. Kalau ada pun, motosikal buruk aja. Rata-ratanya hidup susah, kerja buruh” Terbatuk-batuk emak Nasrul bila terlalu banyak bercakap denganku. Dia menekan dadanya.
“Maafkan makcik. Makcik ni, dari muda dulu lagi ada lelah. Dah tua ni….. makin teruk…”
“Lilis yang patut mintak maaf dengan makcik. Makcik berehat lah. Esok.. Lilis datang lagi bawa makcik pergi klinik. Hari ni Lilis pinjam kereta kawan” Aku bantu dia baring semula setelah ambil pinggan nasi di atas ribanya. Ayam goreng yang basah berlumurun kuah tumis air aku pandang sayu. Bagaimanalah dia mahu menyimpan ayam ini untuk untuk makan malam nanti? Aku harus buat sesuatu!
Pinggan dan cawannya aku bawa ke ruang tamu semula. Nasrul juga baru selesai makan. Sebutir nasi pun tidak berbaki di pinggannya. Betapa berharganya sebutir nasi untuk golongan daif sepertinya. Aku membayangkan nasi yang selalu tidak aku habiskan dan Mak Timah humbankan sahaja di dalam tong sampah di rumahku!

No comments:

Post a Comment