Monday 17 July 2017

SUAMI TUAN PUTERI KARYA WARSINA AISYAH

Bab 3
  DISEBABKAN bonda beria-ia merayu agar dia tidak keluar malam ini, terpaksalah dia 
menurut. Ikutkan aktiviti malamnya, Eshal Rania tidak pernah duduk diam di rumah. 
Meskipun begitu, dia tidak pernah meneguk minuman beralkohol apabila menjejakkan kaki ke pusat hiburan. Tujuannya datang ke pusat hiburan untuk menari dan melepaskan tekanan. Muzik yang berdentam-dentum dengan cahaya lampu berkelip-kelip itu langsung tidak mengganggunya. Dia suka keadaan hingar-bingar itu.
Eshal Rania berdiri depan cermin. Disebabkan malam ini ada tetamu ingin bertandang ke rumah, bonda minta dia berbaju kurung. Awalnya, dia keberatan. Untuk apa berbaju kurung? Pakai seluar jean ketat dengan T-shirt sendat kan sudah cukup? Namun permintaan bonda tidak dapat ditolak. Mahu tak mahu, Eshal Rania terpaksa memakai baju kurung malam ini.
Setelah memastikan penampilannya kelihatan anggun, Eshal Rania turun ke bawah. Aroma yang menyengat hidung mancungnya membuatkan langkah di bawa ke ruang dapur. Di situ, bonda kelihatan sibuk memberi arahan kepada Nana dan Nini. 
Langkah dibawa mendekati bonda.
“Hmmm... Sedapnya bau. Bonda masak apa malam ni?” tanya Eshal Rania. Bau yang sedap membuatkan perutnya menjadi lapar dengan tiba-tiba.
Datin Paduka Syarifah Mastura berpaling. 
Penampilan puterinya itu diperhati. Cantik!
“Kenapa, bonda? Ada yang tak kena ke?” Cepat saja Eshal Rania bertanya. Cuak hatinya jika ada kekurangan pada penampilannya ini. Sedari dulu, Eshal Rania memang cukup takut andai ada kecacatan pada wajahnya. Dia mahu sentiasa kelihatan cantik jelita. 
Datin Paduka Syarifah Mastura menggeleng. 
“Tak ada yang tak kena. Rania nampak cantik sangat malam ni. Macam tuan puteri,” puji Datin Paduka Syarifah Mastura.
Mendengar pujian itu, senyuman di bibir Eshal Rania koyak dengan lebar. Kembang hatinya bila dipuji begitu.
“Tetamu dah sampai!”
Suara Datuk Paduka Tengku Azlan yang memanggil dari ruang tamu membuatkan senyuman Datin Paduka Syarifah Mastura melebar.
“Hah, tetamu dah sampai tu. Jom,” ajaknya pada si anak.
Eshal Rania menggeleng. “Bonda pergilah dulu.”
“Rania...” Meleret namanya disebut Datin Paduka Syarifah Mastura.
Eshal Rania mengeluh. Dalam keterpaksaan, dia melangkah juga. Mengekori langkah bondanya ke ruang tamu rumah.
“Mastura!”
“Nerina!”
Dua tubuh saling berpelukan. Kemudian berlaga pipi sesama mereka. Eshal Rania hanya jadi pemerhati bebas. Tiada niat mahu turut serta. 
“Lama tak jumpa. You masih cantik macam dulu,” ujar Datin Paduka Syarifah Mastura memuji kecantikan sahabat baiknya, Syarifah Nina Nerina.
“You pun apa kurangnya. Berseri-seri macam anak dara,” balas Syarifah Nerina.
Tergelak besar Datin Paduka Syarifah Mastura mendengar pujian sahabat lamanya itu. Kembang hatinya. Sejujurnya, dia amat mementingkan penjagaan luaran dan dalaman. Malah anak-anaknya, Eshal Rania dan Eliya Dania juga dididik agar mementingkan penjagaan kecantikan.
“Hmmm... Yang cantik manis ni tentu Tengku Puteri Eshal Rania, right?” Mata Syarifah Nerina lari ke wajah Eshal Rania. Cantik sungguh anak dara Datin Paduka Syarifah Mastura itu. Persis gadis Thailand.
Eshal Rania sekadar memberi senyuman nipis.
“Tentulah,” jawab Datin Paduka Syarifah Mastura. “Rania, kenalkan ini bestfriend bonda, Aunty Nerina.”
Tanpa menunggu arahan seterusnya, Eshal Rania menghulur tangan ingin bersalaman. Namun, sebaliknya terjadi. Syarifah Nerina menarik tubuh Eshal Rania dekat ke dalam pelukannya.
“Dah besar panjang Rania sekarang. Dulu sebelum 
aunty dengan family berangkat ke Jakarta, Rania kecik aje. Chubby pula tu. Geram aunty tengok. Hari-hari rasa nak cubit pipi tembam Rania.” 
Syarifah Nerina membuka cerita lama setelah pelukan dilerai. Hal itu membuatkan senyuman Eshal Rania tersungging sumbing. Peristiwa menjadi budak gemuk ketika zaman kecilnya amat menakutkan. Disebabkan tidak mahu diejek gemuk, Eshal Rania tekad menguruskan badan.
“Itu dulu Ner, waktu zaman Rania keanak-anakan. Rania yang sekarang dah cun melecun. Dah tak chubby macam dulu.” Datin Paduka Syarifah Mastura mencelah.
“I agree with you, Mas. Rania yang sekarang dah macam Miss World. Sesuai sangat kalau dipasangkan dengan Ameer. Bagai pinang dibelah dua.”
Berkerut dahi Eshal Rania mendengar bicara itu. Dipasangkan? Apa makna wanita itu dengan dipasangkan? Jangan bonda dengan wanita ini berkomplot mahu memadankan dia dengan seseorang, sudahlah. Eshal Rania masih belum bersedia mahu mendirikan rumah tangga.
“Sebut pasal Ameer, mana dia? Tak nampak pun batang hidung.” Kini perhatian Datin Paduka Syarifah Mastura beralih pula kepada anak teruna bernama Syed Ameer Rayyan. Agak lama mereka di sini, kelibat Syed Ameer Rayyan tidak kelihatan.
Belum sempat Syarifah Nerina membuka mulut, suara Syed Ameer Rayyan kedengaran.
“Assalammualaikum, Aunty Mas,” sapa lelaki itu mesra. Tangannya dihulur kepada Datin Paduka Syarifah Mastura lalu dikucup penuh hormat. Ajaran orang tua kepadanya tak pernah dilupa.
“Waalaikumussalam...” Dengan senang hati Datin 
Paduka Syarifah Mastura menjawab. Sejuk hatinya melihat tingkah Syed Ameer Rayyan yang tahu menghormati orang tua.
Kini, pandangan Syed Ameer Rayyan berkalih pula pada gadis manis berbaju kurung di hadapannya.
“You must Eshal Rania, right?” Syed Ameer Rayyan cuba meneka. Mamanya selalu menyebut nama gadis itu. Eshal Rania, anak sahabat mamanya.
Senyuman kecil terlukis di bibir Eshal Rania. Anak mata lelaki itu yang meratah wajahnya membuatkan dia jadi kurang senang. Bukan prejudis. Cuma, cara lelaki itu membuatkan Eshal Rania merasakan dia bukanlah lelaki yang baik.
“Dah, dah... Kalau nak berkenalan pun tunggulah lepas habis makan malam nanti. Perut papa dah lapar ni.” Syed Razali mencelah. Perutnya yang makin boroi itu ditepuk-tepuk menandakan betapa laparnya dia.
“Kalau macam tu, marilah kita ke meja makan. Makanan pun dah terhidang tu. Sambil makan, boleh bersembang panjang. Boleh berkenalan lebih rapat,” balas Datuk Paduka Tengku Azlan pula. Dengan senang hati dia menjemput tetamu yang bertandang ke meja makan.
Tanpa menunggu lama, kesemua mereka bergerak menuju ke meja makan. Melihat menu yang terhidang, membuatkan Syed Ameer Rayyan bersuara, “Hmmm... Sedapnya. Rania ke yang masak?”
Masakan belum menjamah hidangan yang tersedia Syed Ameer Rayyan sudah tahu makanan yang terhidang lazat. Nampak sangat lelaki itu mahu mengampu. Eshal Rania cukup tidak suka dengan lelaki berperangai begitu. 
Padanya lelaki itu berbuat baik untuk ‘membeli’ sesuatu.
“Tak! I tak tahu memasak pun.” Dengan jujur Eshal Rania mengakuinya.
Terkejut dengan pengakuan anaknya, Datin Paduka Syarifah Mastura ingin mencelah. Namun, Syed Ameer Rayyan terlebih dahulu bersuara. 
“Ya ke? Tak apalah. Tak tahu boleh belajar. Sementara waktu, nak makan kat luar pun I tak kesah.”
Eshal Rania mencebik. Semakin tidak senang dengan bicara lelaki itu yang membawa maksud tersirat. Eshal Rania dapat merasakan pasti ada rancangan di sebalik pertemuan malam ini. 

No comments:

Post a Comment