Tuesday, 21 March 2017

NASI LEMAK TEPI KUBUR KARYA IZMA QAHIERA

Bab 2

'"AYAH nak pergi mana ni?”
“Tak ke mana pun. Kenapa?”
“Rajinnya seterika baju. Mengisi masa lapang ke?” Sambil bertanya, aku perli dia. Aku sibuk melayan pelanggan di kedai. Dia sedap-sedap duduk kat rumah. Ingatkan dia berehat sekejap. Rupa-rupanya tengah seterika baju.
“Kita ada jemputan lepas asar ni. Lupa ke?”
Ayah angkat muka sekejap. Lepas sambung seterika baju. Kain pelekat pun diseterikanya sekali. Pelik. Macamlah tak pernah pergi kenduri-kendara sebelum-sebelum ni. Selalunya tak kesah pun pakai baju tak berseterika. Hari ini bukan main beria-ia betul. Kalau letak tangan di garisan lengan baju yang ayah seterika tu boleh luka tau. Punyalah licin. Dulu arwah mak seterika baju sekolah aku pun tak sekemas itu.
“Jemputan tu lepas asar, kan? Orang pergi lewat sikitlah. Waktu petanglah ramai sikit orang datang nak beli barang. Rugilah kalau tutup awal.” Aku mencerabih. Malas 
 sebenarnya nak pergi awal-awal. Pergi makan aje cukuplah.
“Eloklah pergi awal sikit. Tolong-tolong apa yang patut. Dahlah lambat hantar barang-barang tadi.”
“Eh, orang lambat hantar pun sebab tunggu ayah tau.”
“Ha, sebab itulah ayah kena pergi awal dan menolong apa-apa yang patut. Kiranya ayah ni mewakili kita berdua untuk menebus kesalahan pagi tadi.”
Aku buat-buat tak dengar apa yang ayah cakap. Geram pun ya juga. Kedai orang sibuk pula dia nak tolong. Kedai sendiri dia biarkan aku uruskan sorang-sorang. Menyampah!
“Haliq! Nak ayah seterikakan baju tak?” Ayah melaung dari rumah.
“Tak payahlah. Orang pakai baju biasa aje karang.” 
“Okey. Ayah nak bersiap-siap. Kalau telefon ayah berbunyi tolong jawabkan, ya?” Ini satu lagi perangai pelik ayah. Kalau dulu, tak kesah pun dengan telefon. Tapi sekarang dia dan telefon tu dah macam kembar Siam. Melekat saja di tangan setiap masa.
Belum pun masuk asar, ayah dah sibuk-sibuk bersiap. Nak berjemaah di surau katanya. Lepas tu nak terus pergi warung Mak Cik Yusni. Tak pernah aku tengok dia begini teruja. Kenduri doa selamat aje kut. Tapi dia punya bersiap macam nak pergi kenduri kahwin.
“Kau ada nampak tak songkok ayah?” Sekali lagi aku dengar ayah memanggil. Mentang-mentanglah rumah belakang kedai, main jerit-jerit pula ayah ni. 
“Haliq... Ayah tanya ni. Kat mana arwah mak simpan songkok ayah tu, ya?” Ayah masuk ke kedai. 
Mak datuk! Wanginya. Ni nak pergi kenduri ke nak pergi dating?
“Songkok?” Aku pandang ayah atas bawah. Sejak bila pula dia pakai songkok? Kali terakhir aku tengok dia pakai songkok empat tahun yang lepas. Itu pun arwah mak paksa sebab nak ambil gambar keluarga masa raya. Biar nampak segak sikit. Itulah sekali aku tengok ayah pakai songkok. Lepas tu dia lebih selesa dengan kopiah. 
“Songkok orang adalah. Nak pinjam?” 
“Songkok kau nak buat apa? Ayah punya songkok tu elok lagi.” Ayah tenung lantai. Tengah berusaha nak ingat semula di mana mak simpan songkok dia.
Dalam pada tengah melilau tu, ayah pandang aku sekejap. Macam ada benda yang dia nak cakap. Tapi susah sangat nak keluar dari mulut dia. Ayah masuk ke rumah melalui pintu tengah. Tak lama. Masa dia keluar dari bilik, sekali lagi dia pandang aku.
“Kau tak bersiap lagi ke?” tanya ayah.
“Awal lagi ni. Tapi rasa macam malas pula nak pergi. Orang wakilkan ayah aje boleh tak?”
“Kau ni, langsung tak reti nak bercampur dengan orang-orang kampunglah. Tak rugi pun kalau tutup kedai sekejap. Kita bukannya bekerja dengan orang. Sendiri punya business.”
“Sebab business sendirilah kena usaha lebih sikit.”
Ayah kemam bibir. Dah tak ada modal nak membidas. Dia masih belum jumpa songkok yang dia nak. Sekejap dia berdiri di luar kedai. Kemudian dia masuk semula ke dalam rumah. Lepas tu keluar balik ikut pintu utama. Habis satu kedai ditawafnya. 
“Penting sangat ke songkok tu? Pakai kopiah ajelah. Takkan berubah pun rupa ayah tu kalau tak pakai songkok. Tetap Haji Shafi’e. Tauke mini market yang masih ganteng dan kacak.” 
“Ganteng lagi ke?” Ayah gelak. Sukalah tu. Bukannya boleh dipuji sikit. Mulalah dia tayang otot lengan yang masih kekar tu. 
“Kalau hitamkan balik rambut tu mesti orang ingat kita ni adik-beradik. Tak payah cari lagilah songkok tu. Pakai kopiah. Nampak alim sikit.” Aku tayang senyum nakal. Dah macam pujuk budak tadika pula rasanya. Tekak dah rasa macam nak muntah hijau ni. Habislah kalau ayah minta hitamkan rambut pula lepas ni.
“Ada-ada ajelah kau ni. Cepatlah bersiap. Ayah tolong tutupkan kedai.” 
“Awal lagi ni. Ayah pergilah dulu. Nanti orang menyusul.” 
“Hmm, yalah. Kau jangan tak datang pula. Ayah tunggu kat sana tau.” Bukan main laju lagi ayah ambil kunci motor. Entah apalah yang dia kejarkan sangat sampai tak sempat-sempat nak tunggu aku.
Aku sambung menyusun barang-barang dalam kedai. Banyak lagi kerja yang belum siap. Stok belum kira lagi. Barang-barang yang dah habis, belum order lagi dengan pengedar. Pening kepala aku. Memang kena cari pembantu ni. Nak harapkan ayah, banyak manalah kerja yang dia boleh buat? 
“Haliq!”
Uik! Dia tak pergi lagi ke? Aku berkejar ke luar kedai. Baju Melayu ayah dah basah lencun. Sah! Motor dia rosak.
“Motor rosak ke?” Sepatutnya aku tak tanya soalan tu. Tapi saja nak tengok reaksi dia. Tak sempat-sempat sangat, kan? Kalau tunggu aku sekejap boleh sangat pergi surau dengan Hilux. Entah apalah yang dikejarkan agaknya.
“Rantai putus,” ujar ayah. 
Nafasnya masih tercungap-cungap. Mesti dia tolak motor tadi. 
“Alahai. Kesiannya. Ayah tolak motor naik bukit ke tadi?”
“Kau perli ayah, eh?” 
Aku sengih sambil jelir lidah. Faham pula dia. Memang kedai kami ni terletak di kawasan yang tinggi sikit. Tapi dekat dengan jalan besar. Senang sikit orang nak nampak dari jauh.
“Bagi kunci Hilux.”
“Kalau ayah guna Hilux, saya nak pergi dengan apa?”
Ayah mengipas-ngipas badan yang berpeluh dengan kopiah. Sekejap dia pandang motor kemudian dia pandang aku. Tak kesah pun kalau dia nak guna Hilux tu. Aku lagi suka. Tak payah ikut dia pergi kenduri.
“Pergilah siap cepat,” arah ayah.
Dia dah menggelisah. Barang-barang di luar kedai dia bawa masuk ke dalam. Amboi! Nak pergi kenduri punya pasal, tiba-tiba saja dia jadi rajin. Hilang sakit lutut, lenguh-lenguh badan semua. 
Aku biarkan ayah mengemas kedai sorang-sorang. Pakai yang ringkas-ringkas saja. Baju Melayu dan seluar jean. Okeylah, kan? Aku lebih suka gaya-gaya santai. Leceh nak bersamping bagai ni.
Pin! Pin!
Hon Hilux dah menjerit-jerit di luar. Itu mesti kerja ayah. 
“Yalah, yalah! Dah siap dah ni.” Aku campak sikat ke meja. Ayah ni dah kenapa? Rasa-rasanya tak sampai setengah jam pun aku bersiap. Apa benda yang dikejarkan ni?
Pintu kedai dah separuh tertutup. Wah! Laju betul ayah berkemas hari ini. Hebat betul. Dia pun dah siap-siap duduk dalam Hilux. Menyejukkan badan sambil layan radio.
“Kau belek apa kat dalam? Kita dah lambat ni.” Ayah membebel. Aku tengok jam tangan. Sambil tutup pintu, aku tenung ayah. Nak sangat tahu apa yang menyebabkan ayah nampak kalut sangat hari ni.
“Ayah kejar apa sebenarnya ni?” Aku tunjuk muka serius. Memang nak tahu sangat-sangat. Kalau betul ada hal penting tak apa. Kalau saja-saja nak datang awal sebab nak cuci mata memang nak kenalah jawabnya.
“Mak Cik Yus tu minta tolong ayah jadi wakil untuk orang lelaki. Sebab itulah ayah kena cepat. Nak ingatkan Pak Imam dan orang-orang surau. Takut nanti dia orang terus 
balik rumah lepas solat nanti.”
“Suami dia mana?” 
“Dia ibu tunggallah.”
Aku kemam bibir sekejap. Baru teringat Yusma ada cakap tadi yang dia balik ke sini sebab arwah ayah dia dah belikan rumah.
“Kut ya pun ibu tunggal, dah tak ada orang lain ke nak minta tolong? Ramai lagi orang lelaki dalam kampung 
ni, kan? Dia nak mengurat ayah ke?”
“Eh, kalau dia nak mengurat pun tak ada salahnya. 
I’m single and available. Cemburu ke?
 Macam nak terjojol biji mata aku. Ayah kata aku cemburu? Helo! Janda bukan taste akulah. Aku risau kalau ada yang cuba ambil kesempatan. Yalah. Ayah aku tu mudah kasihankan orang. Kalau dengan lelaki pun ayah cepat lembut hati, apa lagi kalau dengan perempuan?
“Hati-hati, ayah. Jangan cepat sangat percayakan orang.” Perlahan saja suara aku menasihatkan ayah. Sumpah aku tak cemburu. Cuma nak ayah lebih berwaspada. Bukan sikit-sikit duit ayah kena tipu dulu. Sampai sekarang masih belum jumpa lagi orang yang menipu ayah tu. Kononnya anak angkat. Anak angkatlah sangat. Mujur tak terangkat kedai ni si Amzar tu buat. 
“Kepala kau ni macam orang tualah Haliq. Cuba berfikiran terbuka sikit. Tak semua orang jahat macam Amzar tu. Ayah pun bukannya bodoh sangat sampai tak boleh fikir mana yang buruk dan yang mana betul-betul ikhlas nak berkawan dengan kita. Sekali dah terkena, sampai bila-bila pun ayah ingatlah, nak oi!” Ayah menepuk-nepuk paha aku. Dia gelak. Aku kerling sekejap. Tak boleh nak pandang lamalama. Takut ke longkang Hilux ni karang.
Tak ada apa yang nak aku cakapkan lagi. Bebel lebih-lebih nanti takut merajuk pula. Biarlah dia nak berkawan. Minta-minta tak kena tipu lagi. Ayah bernyanyinyanyi perlahan, mengikut lagu dendangan Ria Resty Fauzy di dalam radio. Senang hati betul ayah. Terangguk-angguk kepalanya menghayati bait-bait lirik. 
“Kalau kau benar sayang padaku. Dan kalau kau benar cinta. Ucapkanlah janji setiamu…”
Ewah-ewah! Makin kuat pula suara ayah. Kepala pun makin laju terangguk-angguk.
“Jangankan Gunung Fujiyama. Puncak Himalaya ku ikut kamu…”
“Puncak Himalaya konon! Tolak motor naik bukit pun dah mencungap, Puncak Himalaya apanya? Piiirah!”
Aku ketawa kuat. Ayah menjeling. Tapi kepala masih terangguk-angguk mengikut irama lagu.
“Eleh! Ada orang jealous tengok ayah dia tengah bahagia. Lalalala… Uhuk! Uhuk! Uhuk!”
Makin kuat aku gelak. Padan muka. Tekak tu dah berkarat, ada hati nak bernyanyi-nyanyi. Aku tepuk-tepuk belakang ayah. Biar lega sikit batuknya. Hilang batuk, dia sambung menyanyi lagi.
“Ayah, diam kejap boleh tak?” 
“Nantilah. Lagu dah nak habis ni.”
“Azanlah!”
Ayah tekup mulut. Laju tangannya menekan butang di radio. Senyap terus. Baru dia perasan kami dah sampai ke surau. Itulah. Tadi menyanyi tak toleh kiri kanan. Syok sendiri.
“Jomlah. Tadi kata dah lambat sangat.” Aku matikan enjin Hilux. Kemudian cepat-cepat masuk ke surau. Untung-untung dapat berdiri di saf paling depan. Bukan selalu aku dapat peluang berdiri betul-betul di belakang imam. 
Sebelum angkat takbir, aku menoleh ke pintu masuk sekejap. Tak nampak pula ayah di situ. Tak apalah. Ayah bukannya tak biasa solat di sini. Tapi selepas solat asar aku masih tak nampak ayah. Nak kata dia masih di dalam Hilux, tak ada pula dia di sana. Mana pula dia pergi ni?
“Haliq, ayah kau suruh temankan Pak Imam dan orang-orang surau ke Warung Nasi Lemak Tepi Kubur. Dia tunggu kat sana.” 
“Eh, Adam! Tunggu sekejap. Ayah aku dah ada kat sana?” Kelam-kabut aku sarung selipar. Aku kenal Adam ni. Dia ada kedai dobi di dalam pekan. Budak baik ni. Sama macam aku juga.
“Aku yang tumpangkan dia tadi. Kesian tengok dia jalan kaki.”
“Jalan kaki? Eh, rasa-rasanya tadi dia datang ke surau dengan aku.”
“Memanglah. Ayah kau cakap dia solat sendirisendiri aje. Tak ikut imam pun. Nak cepat katanya. Eh, pergilah cepat. Aku nak solat kejap. Nanti aku menyusul.” Adam terus masuk ke dalam surau. Sambil bersalam dengan jemaah surau yang belum keluar, dia menuding-nuding ke arah aku. Aku pula angguk-anggukkan kepala saja. Tahu dah apa yang Adam buat. Mesti dia suruh mereka semua tu ikut aku ke Warung Nasi Lemak Tepi Kubur. Aduh, ayah! Memang nak kena dengan aku ni.

No comments:

Post a comment